Friday, December 28, 2018

Gula-gula Marshmellow Mengandungi Gelatin Babi?

Gula-gula Marshmellow Mengandungi Gelatin Babi?

Bahagian Hab Halal Jakim memperjelaskan dakwaan bahawa produk makanan marshmellow adalah haram sepertimana yang hangat diperkatakan. Menurut Penolong Pengarah Kanan Bahagian Hab Halal, produk yang berasaskan gelatin dari sumber haiwan adalah antara yang dikenal pasti sebagai produk kritikal dari perspektif halal.

Marshmellow halal
Gambar hiasan.

Marshmallow adalah antara produk yang mengandungi gelatin dan banyak dijual secara terbuka serta diimport tanpa diketahui status halalnya.

Walaupun ada pengeluaran dan pemprosesan produk ini di Malaysia, namun jumlahnya amatlah terhad.

Justeru itu, bagi penggemar marshmallow, pastikan produk yang ingin dibeli mempunyai logo halal Malaysia atau logo dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM.

Apa Itu Gelatin?

Gelatin adalah satu bahan yang digunakan di dalam industri makanan dan perubatan kerana sifatnya yang unik. Manusia telah menggunakan gelatin sejak beratus-ratus tahun yang lalu.

Kini, kegunaannya telah diperluaskan ke dalam industri farmaseutikal, kosmetik dan teknikal pula. Tanpa gelatin, sesetengah produk tidak mungkin dapat dihasilkan.

Terdapat dua jenis gelatin. Gelatin ‘Type A’ kebanyakannya didapati dari kulit babi. Gelatin ‘Type B’ pula didapati dari tulang-tulang dan kulit-kulit haiwan ‘bovine’ seperti lembu, kambing dan kerbau.

Gelatin telah menjadi isu hangat bagi seluruh penduduk dunia termasuk orang-orang Islam, Yahudi, Vegetarian, Buddha dan lain-lain apabila mereka mengetahui sumber gelatin adalah dari tulang-tulang dan kulit-kulit haiwan.

Bagi orang-orang Islam, walaupun sumbernya dari binatang yang halal dimakan, mereka harus memastikan bahawa haiwan-haiwan tersebut disembelih oleh orang Islam dan mengikut syariah.

Tanpa kita sedari, penggunaan Gelatin dalam makanan adalah perkara biasa dalam industri makanan.

Cuma yang menjadi masalahnya ialah, kita tidak tahu sama ada produk yang dihasilkan menggunakan Gelatin yang halal atau tidak.

Terutamanya produk-produk makanan yang dihasilkan dari negara China, seperti makanan ringan dan sebagainya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sebenarnya

Benarkah Organ Mayat Dicuri Selepas Dibedah Siasat?

Benarkah Organ Mayat Dicuri Selepas Dibedah Siasat?

Terdapat spekulasi bahawa organ si mati akan dicuri untuk dijual sebaik sahaja jasad si mati dihantar ke mortuari (bilik mayat). Walau bagaimanapun, tiada sebarang laporan yang sah menyatakan terdapatnya kes sebegini di Malaysia.

Organ Mayat Dicuri

Sekiranya benar berlaku, proses tuntutan mayat dari hospital akan menjadi lambat, sejurusnya menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan waris dan keluarga.

Bayangkan keadaan boleh menjadi huru-hara jika kesan pemotongan dijumpai pada jasad si mati tanpa sebarang alasan yang munasabah!

Bagi membongkar mitos ini, beberapa fakta perlu diambil kira.

Pertamanya, perlu difahamkan bahawa justifikasi untuk mendapatkan organ dari jasad si mati adalah besar kemungkinan, secara logiknya, untuk memenuhi keperluan pemindahan (transplan) organ bagi mereka yang memerlukannya.

Dari segi undang-undang, bagi memastikan organ tersebut sesuai untuk transplan, organ tersebut mestilah diperolehi dengan kaedah yang betul oleh pakar yang terlatih dan mestilah disimpan dengan cara yang betul.

Sekiranya cara pengambilan organ tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan, organ tersebut akan rosak dan tidak boleh digunakan untuk pemindahan.

Agak sukar untuk memenuhi keperluan ini sekiranya pengambilan organ dilakukan secara sulit di dalam mortuari, tanpa pengetahuan dunia luar. Pelaku kesalahan ini sudah semestinya mudah ditangkap.

Keduanya, organ-organ manusia mudah rosak setelah dikeluarkan dari badan.

Bagi memastikan organ boleh berfungsi setelah dipindahkan kepada penerima organ, ianya perlu dipelihara dengan cara yang betul dalam tempoh pemeliharaan yang terhad.

Dalam ertikata lain, organ-organ mempunyai tarikh tamat tempoh masing-masing selepas diambil dari jasad, supaya ianya sesuai digunakan untuk transplan.

Anggaran tempoh pemeliharaan bagi pelbagai organ adalah seperti berikut:
  • Jantung/peparu: 4 – 6 jam
  • Pankreas: 12 – 24 jam
  • Hati: sehingga 24 jam
  • Ginjal: 48 – 72 jam
  • Kornea: mesti ditransplan dalam masa 5 –7 hari
  • Injap jantung, kulit, tulang, urat saphenous: Mungkin boleh dipelihara 3 – 10 tahun

Kadar kejayaan pemindahan organ-organ seperti jantung, hati, ginjal dan pankreas akan bertambah tinggi jika ianya dibekalkan darah dan oksigen secara berterusan.

Bekalan ventilator oksigen yang mencukupi membolehkan organ terus berfungsi dan memberi masa untuk koordinasi proses pendermaan.

Sebarang kesilapan dalam salah satu langkah akan menyebabkan organ-organ ini tidak boleh digunakan lagi.

Sebaik sahaja organ berjaya dipelihara, prosedur transplan hanya dapat dilakukan oleh pakar berkaitan dengan adanya bantuan dari warga kerja yang terlatih, peralatan yang betul dan bekalan darah yang mencukupi untuk pesakit.

Selepas transplan pula, pesakit perlu mendapatkan rawatan susulan dan dipantau oleh doktor pakar dalam bidang yang berkaitan.

Pesakit juga perlu mengambil ubat pos-transplan, iaitu immunosuppressant drugs untuk jangkamasa tertentu, supaya organ tersebut boleh berfungsi dengan baik.

Menurut Akta Racun 1952, immunosuppressant dikategorikan sebagai racun kumpulan B, iaitu preskripsi ubat ini hanya boleh dikeluarkan oleh pegawai perubatan yang berdaftar.

Di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia pula, ubat ini diletakkan di bawah kumpulan ubat A*, iaitu preskripsi ubat ini hanya boleh diarahkan oleh pakar perunding bagi indikasi yang tertentu sahaja.

Bukan sebarangan orang yang boleh mengeluarkan preskripsi ubat tersebut.

Justeru itu, di Malaysia, bukannya senang untuk seseorang mencuri organ dari jasad dan ditransplan kepada orang lain tanpa menimbulkan syak wasangka.

Dari sudut pandangan perubatan, prosedur pengambilan dan pemeliharaan organ, transplan organ dan rawatan pos-transplan merupakan prosedur yang besar, di mana banyak usaha dan masa diperlukan.

Pusat Sumber Transplan Nasional, yang telah ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bertanggungjawab menyelaras usaha ini dengan cara yang betul dan sah dari segi undang-undang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth

5 Amalan Mudah Agar Rezeki Berkat Dan Mencukupi

5 Amalan Mudah Agar Rezeki Berkat Dan Mencukupi

Belum sampai hujung bulan poket dah kering. Rezeki bagai tak lekat. Stress dibuatnya. Kadang tak tahu di mana silapnya sampai duit gaji tidak pernah cukup. Dah puas berjimat, dah belanja ikut bajet tapi ada saja yang tidak kena.

Amalan Rezeki Berkat

Jangan kata nak menyimpan nak bayar bil pun kadang-kadang ramai yang sangkut. Sebelum kita menyalahkan sesiapa dan terus merungut, apa kata kita audit diri. Mesti ada silap kita sehingga rezeki tidak lekat.

Jom amalkan lima perkara ini, lakukan dengan ikhlas dan sentiasa istiqamah. Insya-Allah rezeki tidak akan putus malah semakin bertambah.

1. Bayar Hutang

Kalau ada hutang dengan orang, lunaskan. Jangan tangguh-tangguh terutama apabila sudah berjanji nak bayar pada tarikh tertentu.

Kalau kita mungkir janji, orang yang kita pinjam duit tak gembira. Dia mesti marah dan mungkin ada juga yang menyumpah kita.

Mereka ini dikira orang teraniaya, doa mereka dimakbulkan Allah. Sebab tu kadang-kadang, kita ditimpa musibah.

Contohnya, kereta rosak, tayar pancit dan kena saman. Sebab kita tak bayar hutang, duit kita ‘diambil’ dengan cara paksa. Jadi buka mata hati, silakan bayar hutang kalau nak hidup senang.

2. Bagi Duit Pada Mak Ayah

Sikit atau banyak bukan soalnya, bagi duit pada mak dan ayah dengan jumlah yang kita mampu. Beri setiap bulan, mak dan ayah yang menerima pemberian kita sangat gembira dan mereka pasti berdoa kita dimurahkan rezeki.

Buat baik dengan mak ayah, jangan derhaka dan jangan kedekut dengan mereka. Amalkan tip ini mesti rezeki tidak putus kerana mendapat keberkatan.

3. Sedekah Punca Rezeki Berkat

Satu lagi cara untuk Allah luaskan rezeki apabila kita memberi sedekah. Kita meringankan beban orang dalam kesusahan. Maka Allah akan gandakan rezeki kita dan Allah beri kita kesenangan.

Jangan berkira nak bagi sedekah, boleh bagi pada sesiapa sahaja yang kita mahu. Tapi ingat bagi sedekah kena ikhlas bukannya menunjuk-nunjuk.

4. Buat Baik Pada Binatang

Binatang pun ada perasaan, jangan kita dera mereka. Tapi layan binatang dengan kasih sayang. Kalau ada kucing lapar, bagi kucing makan. Jika ada binatang yang cedera, bawa ke klinik untuk dirawat.

Jangan zalim dengan binatang, mereka juga makhluk Allah. Apabila kita baik dengan binatang, binatang akan mendoakan kesejahteraan kita. Rezeki kita akan bertambah, yakinlah dengan janji Allah.

5. Solat Dhuha

Dalam Islam sudah diajar, salah satu amalan untuk murahkan rezeki adalah melakukan solat Dhuha. Buat secara konsisten, yakin dengan Allah. Insya-Allah kita akan sentiasa diberi rahmat daripada Allah.

Buat 2 rakaat atau 4 rakaat, ikut kemampuan kita. Tak rugi pun luangkan masa 10 hingga 15 minit sehari meminta Allah melimpahkan nikmatnya pada kita.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: MW

Thursday, December 27, 2018

SBDJ Siri 5: Berjaga di Hujung Jambatan

SBDJ Siri 5: Berjaga di Hujung Jambatan

Datuk amat merahsiakan peristiwa yang terjadi pada dirinya pada anak cucu. Pada orang lain perkara itu bukan rahsia bagi datuk. Dia boleh menceritakan peristiwa itu dari A sampai Z . Biasanya, perkara itu cuma sekali sahaja datuk mahu menceritakannya. Kalau ada orang minta datuk bercerita bagi kali yang kedua, datuk akan marah.

Berjaga di Hujung Jambatan

“Aku bukan tukang cerita,” katanya dan ada orang yang tidak percaya dengan apa yang terjadi pada diri datuk.

Malah, ada yang mengatakan datuk cuma mengadakan cerita itu untuk tujuan bersuka-suka pada sebelah petang, bila datuk tidak berburu. Datuk tidak marah dengan tuduhan yang dilemparkan oleh kawan-kawan pada dirinya.

Cukup mudah bagi datuk menjawab cabaran itu dengan berkata:

“Mari ikut aku atau biar aku hantarkan kalian ke tempat tersebut dan kalian lihat nanti, apa yang akan terjadi.”

Anehnya, tidak ada seorang pun dari kalangan kawan-kawan datuk yang mahu menjawab cabaran itu. Akhirnya, cerita datuk bertemu dengan perempuan cantik dan bermalam di rumahnya, merupakan satu legenda yang menjadi buah mulut orang-orang setempat. Sekarang, cerita itu tidak lagi diperkatakan oleh orang.

Dua bulan berselang sesudah peristiwa itu., datuk telah diserang penyakit, seluruh badannya sakit dan bengkak-bengkak. Anak cucu membawa datuk ke klinik kerajaan dan swasta, tapi sakit datuk tidak juga mahu hilang.

Bila anak cucu mengambil keputusan untuk menghantarnya ke Rumah Sakit Lumut atau Batu Gajah, bagi mendapatkan rawatan yang sempurna, datuk membantah dengan alasan, dia tidak suka duduk di hospital.

Tidak ada seorang cucu datuk yang berani memaksa datuk untuk tinggal di hospital. Jadi datuk terpaksa dirawat secara kampung. Semua dukun dan bomoh yang terkenal dipanggil untuk merawatnya. Sakitnya tidak juga mahu hilang.

Seorang dukun dari Mambang di awan dekat Kampar mengatakan sakit datuk sukar diubat, kecuali oleh pawang yang benar-benar handal.

“Kenapa tok bomoh?” seorang cucu datuk bertannya.

“Sakitnya dibawa oleh orang atas,” jawabnya pendek.

“Siapa orang atas tu tok bomoh,” desak cucu datuk.

Dan bomoh itu tidak mahu memberikan jawapannya. Begitulah datuk, ia terus terlantar di tempat tidur menanggung sakit. Walaupun sakit terlentang merenung atap rumah, datuk masih mahu bercakap, kalau ada kawan-kawannya yang datang melawat.

Kadang-kadang datuk memaksa dirinya untuk duduk. Bila anak cucu mahu datang membantunya. Dia segera melarang dan menepis tangan anak cucunya.

“Aku masih kuat lagi,” katanya.

Dengan itu semua anak cucu pun menyepi. Pada sutu malam, semua anak cucu datuk berkumpul dan mengambil keputusan untuk memanggil dukun orang asli yang tinggal dekat Grik.

Entah macammana rancangan itu sampai ke pengetahuan datuk. Dia jadi berang dan membuang semua benda yang berhampiran dengannya. Rancangan itu terpaksa dibatalkan. Kemudian datuk terus dipujuk untuk menerima rawatan doktor swasta yang sanggup datang ke rumah untuk merawatnya.

Memang di luar dugaan anak cucu, datuk setuju dengan rancangan itu. Menurut doktor itu, sakit datuk tidaklah berapa serius sangat, tapi dia memerlukan rawatan yang agak lama.

Sesudah menerima suntikan dan memakan pil yang diberikan oleh doktor itu, datuk pun boleh bangun dan berjalan dari ruang tengah ke anjung ruamh. Mukanya nampak berseri. Tidak pucat lagi.  Datuk mula boleh makan nasi.

Sebulan, sesudah menerima rawatan dari doktor swasta ternyata datuk beransur sihat, tapi pada satu malam, datuk terus rebah sesudah menunaikan sembahyang Isyak.

Dia tidak boleh bercakap. Terpaksa diusung ke tempat tidur. Semua anak cucunya mengerumuninya. Semua anak cucu yang mengerumuninya resah, bilik tidur datuk dikuasai oleh bau-bauan yang wangi, diganti pula dengan bau kemayan. Serentak dengan itu datuk mula terbatuk dua tiga kali. Dia terus duduk.

“Carikan aku tiga biji limau, tiga gelai daun sireh putus urat, seulas pinang, kemenyan dan tempat membakarnya,” ujar datuk tenang.

“Nak buat apa,” tingkah nenek.

“Usah banyak soal, sediakan perkara yang aku mahu itu sekarang,” datuk membeliakkan matanya.

Semua keperluan itu disediakan. Diletakkan dalam dulang tembaga berlapikkankain kuning. Bila barang-barang itu tersedia, bau harum datang kembali menguasai bilik tidur datuk.

Duduklah datuk mengadap dulang tembaga, asap kemenyan pun keluar dari dupa, bagaikan ada kuasa ghaib yang menaburkan serbuk kemenyan di dalam dupa.

“Duduklah,” datuk bersuara sambil merenung ke tepi dinding.

Anak cucu merenung ke tepi dinding. Tidak ada siapa pun yang bediri di situ. Kemudian anak cucu datuk melihat buah limau tiga biji bergerak-kerak bagaikan ada tangan yang menyentuh.

“Kalian keluarlah, ada pawang nak mengubat aku,” datuk memberi perintah.

Semua anak cucu keluar. Datuk mengunci pintu biliknya dari dalam. Tapi, bau kemenyan terus juga lepas keluar.

“Dah berapa lama sakit ini, kenapa tak beritahu,” anak cucu datuk terdengar suara orang perempuan bercakap di dalam bilik. Semua hati anak cucu berdebar dan cuba mengintai dari celah pintu.

Tidak ada orang lain dalam bilik selain dari datuk sahaja yang terlentang dekat dulang tembaga, sesekali datuk bergerak, bagaikan ada tangan yang sedang mengurut badannya. Sesekali datuk melipatkan kaki kanannya menandakan dia tidak mahu kaki kanannya diurut.

“Berapa lama sakit ni,” terdengar lagi suara perempuan.

“Dah dekat tiga bulan,” sahut datuk

“Patutlah lama tak ke rumah.”

“Sibuk.”

“Apa asalnya, ada jatuh atau ada tersalah makan.”

“Salah makan tu tak ada, tapi jatuh memang ada,saya jatuh dekat perigi buta.”

“Patutlah, kalau jatuh cepat berurut atau berubat, kalau tak diubat inilah jadinya.

“Itu salah saya,” datuk mengaku.

Suasana dalam bilik datuk sunyi, cuma yang kedengaran hanyalah bunyi orang mengambil sesuatu serta bunyi orang mengoyakkan daun sireh.

“Amalkan apa yang saya buat, tapi ingat kalau dah sihat jangan lupakan tempat saya,”terdengar lagi suara perempuan.

Beberapa saat kemudian, datuk memebuka pintu bilik, bau wangi masuk ke ruang rumah. Lepas itu datuk membuka pintu depan. Datuk berdiri di muka pintu.

“Selamat jalan,” kata datuk pada malam yang samar-samar itu.

Datuk melambaikan tangannya. Entah pada siapa datuk melambaikaikan tangan. Tidak seorang pun anak cucunya yang tahu. Perkara itu berlanjutan hingga tiga malam.

Masuk malam keempat datuk mengadakan kenduri kesyukuran. Datuk sudah pulih. Datuk sudah boleh berjalan dan memandu kereta buruknya.

Datuk sudah pun mengucapkan ribuan terima kasih pada doktor swasta yang datang merawatnya.

Dan anak cucunya bertambah pening. Antara doktor dan dukun siapakah yang sebenarnya merawat datuk hingga sembuh. Lalu anak cucu datuk membuat kesimpulan begini: Masa kuat sakitnya doktor yang mengurangkannya dan dukun itu cuma mendapat rahmat dari doktor sahaja.

Seminggu kemudian, datuk ghaib dari rumah dan anak cucu tidak merasa apa-apa atas kehilangannya itu, semuanya tahu, bahawa datuk pergi ke rumah isteri orang bunian. Dan datuk akan kembali ke pangkuan nenek sesudah tinggal dengan isterinya orang bunian itu selama tiga empat hari.

Nenek tidak pula merasa cemburu. Apa yang nenek fikirkan ialah tentang kebahagiaan diri datuk. Biarlah datuk buat apa sahaja. Asalkan datuk gembira dan boleh panjang umur. Cukup mulia hati nenek.

Macam selalu, bila datuk pulang dari rumahnya di kampung bunian, datuk akan membawa seekor dua ayam hutan dan buah labu atau mentimun untuk nenek dan anak cucunya.

“Siapa yang merawat dalam bilik dulu,” tanya nenek pada suatu petang. Datuk tersenyum mendengar pertanyaan itu.

“Isteri muda kitalah.”

“Siapa?”

“Orang bunian.”

“Hum, lagi apa katanya pada awak.”

“Tidak ada apa-apa, cuma dia berpesan satu sahaja, kalau ada apa kesusahan pada keluarga kita, segera beritahu padanya,” jawapan yang diberikat itu cukup menyenangkan nenek.

Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, datuk terlibat dalam pengambilan ahli-ahli pengawal kampung untuk menentang pihak komunis yang sentiasa mengancam keselamatan penduduk kampung. Datuk telah dipilih untuk menjadi anggota AP.

Kerana itu datuk kena menjaga kampung pada setiap malam secara gergilir-gilir dengan orang-orang kampung yang lain. Kerana datuk dianggap penduduk yang tertua di kampung itu dan tahu pula serba sedikit ilmu dunia, datuk telah dipilih untuk menjadi ketua.

Kadang-kadang datuk dipanggil juga oleh pasukan keselamatan untuk masuk ke hutan untuk menggempur sarang komunis. Ini bukanlah beban yang berat baginya. Datuk mernerimanya dengan rasa senang hati.

Satu keistimewaan datuk, ialah dia kurang tidur tapi badannya tetap sihat. Wajahnya tidak cengkung atau pucat.

Satu malam telah diarahkan pasukan keselamatan untuk membawa anak buahnya menjaga kawasan kampung yang bersempadan dengan jalanraya yang merintangi sebuah anak sungai. Datuk pecahkan anak buahnya kepada dua pasukan, setiap pasukan dianggotai oleh lima orang.

Satu pasukan ditugaskan peronda tapi sungai mengala ke utara. Sedangkan datuk dengan kawan-kawan menguasai sebelah selatan hingga sampai ke jabatan besi. Datuk memilih pangkal jambatan besi itu sebagai tempat ia mengatur sebarang gerakan.

Malam itu datuk bertugas dengan tenang di atas jambatan besi. Sesekali malam yang sepi itu dipecahkan oleh bunyi jentera lori pasukkan keselamatan yang melintas di atas jambatan besi.

“Kau berdua pergi ke hujung sama, dan kau berdua pergi berjaga dekat pokok besar,” datuk memerintahkan anak buahnya.

“Di sini, siapa nak tunggu, tanya Hamid, salah seorang dari anak buahnya. Datuk tidak menjawab pertanyaan itu dengan cepat. Dia termenung berfikir.

“Di sini, biar aku tunggu,” katanya.

Anak buahnya yang sudah diperintah mengikut arahan yang ditetapkan. Malam bertambah sejuk. Datuk mengigil kesejukan. Dua tiga kali dia menguap. Badannya disandarkan pada besi jambatan.

Tiba-tiba datuk terkejut, seekor ular berbelang kuning dan hitam meniti atas palang besi jambatan menuju ke arahnya. Lebih kurang satu ela mahu sampai padanya, ular itu berhenti.

Panggung kepala. Menjulurkan lidah. Mata ular itu nampak merah. Dari mulut ular itu terpancar sesuatu macam api. Bila ular itu mengatupkan mulutnya. Api itu padam dan api itu akan wujud kembali, bila ular itu membuka mulutnya.

Tamat siri 5/284

BACA: SBDJ Siri 4: Kereta Datuk Tersadai Di Tepi Jalan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Legenda Puteri Gunung Ledang Bunian Atau Jin?

Legenda Puteri Gunung Ledang Bunian Atau Jin?

Meneliti legenda Puteri Gunung Ledang sememangnya menimbulkan seribu persoalan lantaran terdapat versi cerita Sultan Mahmud Shah membina jambatan emas dari Melaka ke gunung di Johor sebagai syarat peminangan puteri itu.

Puteri Gunung Ledang
Gambar hiasan.

Akan tetapi, sehingga kini, jambatan kira-kira 40 kilometer itu masih gagal ditemui sekali gus menyebabkan ramai pihak sangsi akan kesahihan kisah mahsyur berkenaan.

Cerita Puteri Gunung Ledang sememangnya terkenal dan dicatatkan dalam kitab Melayu lama, antaranya Salalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah selain diperturunkan secara lisan daripada generasi lama ke generasi baharu.

Justeru, ada banyak versi kisah puteri jelita berkenaan dan satu daripada versi itu bermula dengan kemangkatan permaisuri Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan kelapan dan terakhir memerintah Kerajaan Melaka dari tahun 1488 hingga 1511.

Orang bunian

Akibat kematian permaisurinya, Sultan Mahmud menitahkan Hang Tuah yang sudah tua selain Sang Setia dan Tun Mamat melamar Puteri Gunung Ledang yang amat jelita. Ada versi mengatakan puteri itu bukanlah manusia sebaliknya orang bunian.

Maka, rombongan peminangan dihantar dan selepas beberapa hari meredah hutan, akhirnya Tun Mamat bersama pengiring tiba di Gunung Ledang. Hang Tuah yang uzur gagal meneruskan pendakian manakala Sang Setia menemani Hang Tuah.

Selepas lama mendaki menelusuri hutan tebal, Tun Mamat tiba di taman nan indah di atas gunung.

Mereka kemudian menemui ketua dayang kepada Puteri Gunung Ledang dan menyampaikan hajat peminangan Sultan Melaka.

Selepas lama menunggu jawapan, akhirnya datang seorang nenek bongkok menyampaikan syarat tujuh hantaran Puteri Gunung Ledang iaitu:
  • Jambatan emas dari istana Melaka hingga ke puncak Gunung Ledang.
  • Jambatan perak dari puncak Gunung Ledang ke istana Melaka.
  • Tujuh dulang hati nyamuk.
  • Tujuh dulang hati kuman.
  • Tujuh tempayan air mata anak dara.
  • Tujuh tempayan air pinang muda.
  • Semangkuk darah Raja Muda Melaka.

Tun Mamat terkejut mendengar syarat yang mustahil dipenuhi itu. Beliau kemudian turun menemui Hang Tuah dan menceritakan hal berkenaan.

Sultan menjadi zalim

Secara tersirat, Hang Tuah sedar peminangan Sultan ditolak secara kiasan oleh Puteri Gunung Ledang.

Lalu akibat kecewa kerana gagal menyempurnakan titah, Hang Tuah enggan kembali ke istana dan menghilangkan diri dalam sungai. Tun Mamat pulang menyampaikan syarat peminangan kepada Sultan Melaka.

Tanpa memahami maksud tersirat di sebalik syarat hantaran, Sultan Mahmud mengerahkan seluruh rakyat menyediakan tuntutan supaya baginda dapat memperisterikan Puteri Gunung Ledang.

Keadaan dalam negara menjadi kacau-bilau apabila rakyat dikerah membina jambatan emas dan perak sehingga seluruh emas dan perak milik kerajaan dilebur. Tidak cukup dengan harta kerajaan, emas dan perak penduduk turut dirampas.

Lebih zalim, kalangan gadis dikerah berkurung dalam istana dan dipaksa menangis manakala rakyat lain dikerah mendapatkan pinang muda untuk diperah airnya walhal pinang muda tidak berair.

Selepas bertahun-tahun, akhirnya semua hantaran berjaya disediakan kecuali satu, iaitu semangkuk darah Raja Muda Melaka, iaitu Raja Ahmad.

Sultan Mahmud diceritakan tidak sampai hati untuk membunuh anakandanya yang masih kecil tetapi hasutan nafsu menyebabkan baginda tidak mempedulikan apa-apa lagi. Lantas dada kecil Raja Ahmad cuba ditikam.

Bagaimanapun, ketika keris hampir menembusi dada kanak-kanak itu, tiba-tiba Puteri Gunung Ledang menjelma di hadapan Sultan.

Puteri itu menzahirkan kekecewaannya terhadap Sultan Mahmud yang sanggup menindas rakyat dan menumpahkan darah zuriatnya sendiri kerana tergila-gilakan wanita yang tidak pernah dikenali.

Puteri Gunung Ledang menjelaskan beliau menolak pinangan Sultan Mahmud dan rentetan kejadian itu akhirnya menginsafkan baginda.

Pelbagai versi cerita

Sehingga kini, ramai pihak tertanya-tanya di manakah letaknya jambatan emas dan perak yang kononnya sudah dibina. Melewati masa, tiada kesan tinggalan jambatan ditemui melainkan dalam kisah legenda semata-mata.

Menerusi laman sesawang informasi Wikipedia, tertera maklumat pihak tertentu percaya jambatan emas dan perak itu wujud tetapi tertimbus dibawah tanah.

Wikipedia turut memaparkan versi lain kisah berkenaan antaranya Puteri Gunung Ledang tidak pernah mengemukakan tujuh syarat hantaran tetapi syarat itu direka Tun Mamat dan Hang Tuah dengan harapan Sultan Mahmud faham peminangannya ditolak.

Ada juga versi mengatakan Sultan Mahmud gagal menunaikan semua syarat pelik itu sekali gus menjelaskan jambatan itu tidak pernah dibina.

Selain itu, satu lagi misteri dalam legenda Puteri Gunung Ledang ialah identiti sebenar wanita berkenaan.

Puteri raja dari Jawa

Ada juga cerita disebarkan kononnya Puteri Gunung Ledang bukanlah manusia tetapi ratu bunian, jin atau makhluk kayangan.

Bagaimanapun, ada juga pihak dan pengkaji yakin Puteri Gunung Ledang adalah manusia iaitu puteri raja dari Jawa.

Puteri itu turut dikenali sebagai Raden Puteri Mas Nyawa, Gusti Puteri Adjeng Ratno Dumilah Sari, Raden Ratna Gumilah Sari, Raden Puteri Ratna Gumilah Sari dan Puteri Siti Jamilah binti Sultan Alam Fattah alAkbar.

Mengikut pendapat itu, ketika remaja, Puteri Gunung Ledang dihantar ayahandanya dari Jawa untuk menuntut ilmu agama di Pulau Besar, Melaka.

Selepas itu, puteri berkenaan berpindah ke Gunung Ledang bersama pengikutnya untuk bersuluk dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Mengenai dakwaan kononnya Puteri Gunung Ledang adalah bunian atau jin, pihak skeptikal berhujah sememangnya gunung dan hutan menjadi kediaman jin dan tidak mustahil makhluk halus itu menyamar sebagai Puteri Gunung Ledang untuk menipu manusia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Kenali 4 Jenis Gula Yang Kita Makan Setiap Hari

Kenali 4 Jenis Gula Yang Kita Makan Setiap Hari

Ada gula yang 'baik' dan sangat diperlukan untuk metabolisme badan, manakala ada juga gula 'jahat' yang menyumbang ke arah obesiti, sakit jantung dan barah. Mengenali jenis-jenis gula bukan sahaja penting, malah ia mampu menyelamatkan nyawa dan juga ukur lilit pinggang anda.

4 Jenis Gula

Baca adalah empat kategori gula yang kita selalu makan setiap hari:

1. Glukosa

Ini merupakan bentuk gula paling asas dan terdapat dalam setiap sel tubuh badan manusia.

Ia juga dijumpai dalam hampir kesemua makanan yang mengandungi unsur karbohidrat seperti roti, cendawan, mi dan susu.

Tubuh manusia akan menguraikan semua jenis gula kepada glukosa yang akan digunakan sebagai tenaga.

Glukosa ini merupakan gula ringkas dan lebih dikenali sebagai "gula darah" kerana ia adalah gula yang sentiasa bergerak melalui salur darah.

2. Fruktosa

Fruktosa juga merupakan sejenis gula ringkas yang ditemui dalam kebanyakan sayur-sayuran dan buah. Madu asli juga mengandungi fruktosa.

Walaupun ia merupakan sejenis gula ringkas, ia lebih sukar diuraikan berbanding glukosa kerana ia perlu diproses oleh hati sebelum ditukarkan menjadi tenaga.

Ia bersifat lebih cenderung kepada lemak berbanding karbohidrat, tidak merangsang penghasilan insulin dan juga tidak membebaskan hormon ghrelin yang mengawal tenaga dan rasa lapar.

3. Sukrosa

Gula ini merupakan kombinasi antara glukosa dan fruktosa, kebiasaannya dalam nisbah 50:50 dan lebih dikenali sebagai gula pasir yang dihasilkan daripada tebu atau bit gula (sugar beets) yang ditanam di seluruh dunia.

Apabila sukrosa ditambah ke dalam makanan, tubuh manusia perlu memprosesnya menggunakan kedua-dua kaedah.

Glukosa akan terus ditukarkan menjadi tenaga manakala fruktosa pula akan diasingkan dan dihantar ke hati untuk diproses sebagai penyimpanan lemak.

4. Sirap Jagung Berfruktosa Tinggi

Inilah gula yang paling popular dewasa ini sehingga menjadi bahan pemanis yang selalu digunakan dalam makanan.

High-fructose corn syrup (HFCS) dihasilkan daripada jagung dan mempunyai kepekatan berbeza sehingga boleh mencecah 90% fruktosa.

Sama seperti sukrosa, tubuh akan memproses glukosa menjadi tenaga manakala gula selebihnya akan disimpan sebagai lemak untuk digunakan sebagai tenaga pada masa kemudian.

Ia jugalah penyebab badan anda tiba-tiba berasa amat letih akibat makan terlalu banyak gula. Fenomena ini dipanggil 'sugar crash' atau hipoglisemia reaktif.

Kenapa anda wajib mengenali semua gula ini?

Dua kategori gula pertama (glukosa dan fruktosa) merupakan gula semula jadi yang terhasil daripada makanan yang anda makan.

Kedua-dua gula ini ditemani oleh protein, serat, mineral dan vitamin yang diperlukan oleh metabolisme tubuh untuk berfungsi dan menjamin kesihatan.

Misalnya, apabila anda memakan sebiji epal, anda bukan sahaja mendapat fruktosa malah serat dan pelbagai jenis vitamin seperti vitamin A, B, C, fitonutrien, pektin, kuersetin dan juga flavonoid.

Ini bermakna proses penghadaman akan menjadi lebih perlahan dengan membenarkan tubuh untuk menguraikan gula perlahan-lahan secara semula jadi untuk ditukarkan menjadi glukosa.

Penyimpanan lemak juga amat sedikit kerana tubuh bukan berada dalam keadaan terburu-buru.

Sebaliknya, apabila anda mengambil sukrosa atau sirap jagung berfruktosa tinggi seperti bar coklat atau pemanis yang tidak mempunyai kandungan serat atau nutrien lain, tubuh akan tergopoh-gapah mencerna makanan itu sehingga menyebabkan gula darah melonjak naik dengan cepat.

Pankreas kemudian akan bertindak balas menghasilkan insulin dengan amat banyak untuk menentang kenaikan gula dalam darah. Situasi ini akan menghentikan proses penukaran gula kepada tenaga.

Gula punca anda jadi gemuk

Anda juga perlu ingat bahawa hati merupakan satu-satunya organ yang boleh menghadam fruktosa. Jadi, bila terlampau kuat bekerja, ia hanya akan menukarkan lebihan gula ke dalam bentuk lemak.

Pada ketika ini, tubuh tidak akan mendapat isyarat yang ia memerlukan apa-apa lagi tenaga. Inilah keletihan 'sugar crash' yang sering terjadi selepas anda meminum dua atau tiga tin air berkarbonat.

Memandangkan gula kilang atau gula yang diproses ini dimetabolismekan dengan terlalu cepat menjadi tenaga dan lemak, badan anda tidak akan berasa kenyang dan mendorong anda untuk makan lebih banyak.

Jika makanan yang anda makan itu juga mengandungi banyak gula yang diproses, kitaran ini tidak akan berhenti.

Elak obesiti, penyakit jantung dan barah

Oleh sebab itulah anda perlu mengenal pasti jenis gula yang anda ambil dalam diet seharian, disebabkan gula yang diproses ini menjadi salah satu punca utama kegemukan di seluruh dunia.

Seperti yang kita sedia maklum, obesiti merupakan salah satu punca penyakit kronik termasuklah kencing manis, penyakit kardiovaskular dan kanser.

Peningkatan penggunaan gula yang diproses ini mungkin disebabkan kos penghasilannya yang rendah dan amat mudah untuk ditambah ke dalam produk makanan.

Namun ia amat berbahaya kerana kemampuannya merosakkan kesihatan umat sejagat dan mencipta generasi baru yang ketagihan gula sebegini.

Bayangkanlah anda suka makan makanan tinggi gula, ditambah pula dengan makanan tinggi lemak dan garam. Manalah tak dapat macam-macam penyakit kan?

Apa kata mulai dari sekarang, kurangkan (atau sebaik-baiknya elakkan) pengambilan gula sukrosa dan HFCS jika anda mahukan kehidupan yang sihat.

Sebaliknya, ambillah makanan yang mengandungi gula semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Selain memberi serabut diet harian, ia juga bersifat antioksida yang boleh merendahkan paras kolestrol dan mengurangkan risiko penyakit barah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Apa Perlu Dilakukan Jika Menemui Harta Karun Atau Barang Temuan?

Apa Perlu Dilakukan Jika Menemui Harta Karun Atau Barang Temuan?

Menurut tafsiran dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005, harta karun ialah wang, syiling, emas, perak, saduran, barang kemas bulion, batu berharga atau apa-apa objek bernilai dijumpai tetapi tuan punya tidak diketahui atau tidak dijumpai, namun ia tidak termasuk apa-apa warisan kebudayaan ketara.

Menemui Harta Karun
Gambar hiasan.

Objek bersejarah pula ertinya apa-apa artifak atau objek lain yang padanya terdapat kepentingan keagamaan, tradisional, artistik atau bersejarah ini termasuk manuskrip, syiling, wang kertas, pingat, lencana, lambang kebesaran, jata, panji-panji, senjata atau perisai.

Memberikan contoh menentukan spesifikasi kepentingan sejarah dalam artifak yang ditemui berdasarkan tafsiran objek bersejarah, artifak itu perlu dikaji dengan mendalam antaranya dengan menghantarnya ke makmal dan Jabatan Warisan Negara.

Jadi, apa yang sepatutnya dilakukan sekiranya anda menemui harta karun?

Ia perlu diserahkan kepada Pegawai Daerah dikawasan tersebut, berdasarkan prosedur dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Pegawai Daerah akan mengambil tindakan seperti melaporkan kepada pihak berkuasa seterusnya menentukan spesifikasi harta itu bagi mengenal pasti harta itu adalah harta karun, objek bersejarah atau istilah lain dalam akta tersebut.

Setiap satu jenis atau istilah harta ini mempunyai cara tertentu dalam akta itu untuk diuruskan, termasuk pemberian ganjaran, faktor lesen pencarian, serta berapa banyak ganjaran patut diberikan kepada individu yang menemuinya.

Hukum Menemui Harta Karun Dalam Islam

Berikut ini adalah kitab matan Abi Syuja' berdasarkan mazhab Syafi'i berkenaan Luqathah atau barang temuan.

Apabila seseorang itu menemui suatu barang (luqhatah/barang temuan) samada di tanah yang mati atau dijalanan, maka dia boleh mengambilnya ataupun meninggalkannya.

Dan mengambilnya adalah lebih utama, itupun jika dia percaya bahawa dia boleh menjaga barang temuan itu.

Jika dia mengambilnya, maka wajib ke atasnya mengetahui enam perkara:
  1. Bekas/tempatnya.
  2. Penutupnya.
  3. Talinya.
  4. Jenisnya.
  5. Bilangannya.
  6. Timbangannya.

Barang temuan itu wajib disimpan di tempat simpanan yang sesuai. Kemudian jika dia ingin memiliki barang temuan itu, dia mestilah mengumumkan selama setahun di pintu-pintu masjid dan juga di tempat di mana barang itu ditemui.

Maka jika tidak dapat menemui pemiliknya, bolehlah dia memiliki barang temuan itu dengan syarat dhamaan (dia mestilah menggantinya jika pemilik itu ditemui).

Barang temuan (luqathah) ada empat jenis:
  1. Jenis yang kekal seperti emas dan perak. Maka itulah hukumnya (perkara yang disebutkan di atas).
  2. Jenis yang tidak kekal seperti makanan basah. Orang yang menemuinya boleh memakannya, kemudian menggantinya, atau boleh menjualnya dan menyimpan wang hasil jualannya.
  3. Jenis yang tidak kekal jika tidak dijaga atau diproses, seperti kurma yang basah. Penemunya hendaklah melakukan apa yang terbaik untuknya, samada menjual dan menyimpan wang hasil jualannya atau mengeringkan dan menyimpannya.
  4. Jenis yang memerlukan biaya, seperti binatang.

Jenis binatang pula terbahagi dua jenis:
  • Binatang yang tidak boleh mencegah/menjaga dirinya sendiri. Penemunya boleh memakannya dan menggantikan nilai harganya atau memeliharanya secara sukarela, kemudian menjual dan menyimpan wang hasil jualannya.
  • Binatang yang boleh mencegah/menjaga dirinya sendiri. Jika ia ditemui di padang, hendaklah dibiarkan/ditinggalkan. Jika ia ditemui di kampung, penemunya boleh memilih melakukan antara 3 perkara yang tersebut di atas.

Kanak-kanak

Apabila ada kanak-kanak yang ditemui di jalanan, maka hukum mengambil, menjaga dan memeliharanya adalah fardhu kifayah.

Kanak-kanak ini tidak boleh ditinggalkan kecuali di tangan orang yang boleh dipercayai.

Jika didapati pada kanak-kanak itu ada harta, hakim hendaklah menampung kos perbelanjaan kanak-kanak itu dengan harta berkenaan. Jika kanak-kanak itu tiada harta, maka kosnya adalah ditanggung oleh baitulmal.

Ma'adin, Kanz dan Rikaz

Ma'adin dengan kata lain adalah bahan galian berharga, yang dengan sendirinya tersimpan di dalam bumi.

Manakala kanz adalah harta yang ditanam di dalam bumi oleh tangan manusia. Istilah Rikaz pula mencakupi kedua-dua ma'adin dan kanz.

Namun, umumnya setiap harta yang tertanam di dalam bumi dipanggil sebagai rikaz.

DALIL ZAKAT RIKAZ

Yusuf al-Qaradawi menyatakan harta yang tertanam termasuklah semua benda berharga yang ditinggalkan oleh manusia terdahulu di dalam tanah seperti emas, perak, tembaga, logam dan seakan dengannya.

Para fuqaha telah menetapkan bahawa sesiapa yang terjumpa harta-harta ini diwajibkan untuk mengeluarkan zakat seperlima bahagian (20%), berdasarkan hadis yang berasal dari Abu Hurairah RA yang bermaksud:

"Rasulullah SAW bersabda: "…harta terpendam (rikaz) (bila ditemui seseorang) zakatnya seperlima (20%)." (HR Bukhari & Muslim)

An-Nasa'i meriwayatkan dari Amru Ibnu Syu'aib dari bapanya dari datuknya bahawa:

"Rasulullah pernah ditanya tentang harta yang hilang dan dijumpai (luqatah), dan Baginda bersabda, "harta benda yang dijumpai dijalan umum atau di kawasan yang didiami orang ramai, hendaklah diberitakan kepada umum selama setahun. Sekiranya tuan empunya barang datang menuntut maka serahkan harta tersebut kepadanya, dan sekiranya tidak, ambillah sebagai milikmu. Tetapi harta yang dijumpai bukan pada jalan umum atau bukan di kawasan yang didiami orang, maka harta tersebut dikenakan bayaran, sebagaimana rikaz, iaitu seperlima bahagian (20%)." (HR An-Nasa'i)

KADAR, NISAB DAN HAUL ZAKAT RIKAZ

Kedua-dua hadis di atas menunjukkan beberapa hal, antaranya:

1. Seperlima bahagian (20%) sebagai zakat bagi harta jumpa yang tidak dipunyai sesiapa sekalipun harta tersebut dijumpai di permukaan atau di dalam tanah. Sekiranya harta yang dijumpai itu ada pemiliknya, sama ada dia seorang muslim atau tidak, maka harta itu mesti dikembalikan kepada pemiliknya.

2. Jumhur ulama berpandangan, rikaz meliputi semua harta yang wujud di permukaan tanah atau tertanam di dalamnya. Hal ini kerana hadis-hadis tersebut mengandungi pengertian yang lebih umum.

3. Kedua-dua hadis di atas menunjukkan bahawa sesiapa yang menjumpai harta rikaz berkewajipan mengeluarkan seperlima (20%) dari harta yang dijumpai itu, tidak kira sama ada beliau seorang muslim atau tidak, demikian juga sama ada kanak-kanak atau dewasa.

Namun, menurut al-Syafi'i, orang bukan Islam tidak diwajibkan seperlima (20%) kerana bayaran tersebut adalah zakat, dan orang bukan Islam tidak diharuskan zakat.

4. Zahir hadis tidak menyatakan tentang nisab dan menurut pandangan Malik, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan Syafi'i dalam qaul qadimnya, seperlima (20%) diwajibkan pada harta yang dijumpai tidak kira berapa jumlah kuantitinya.

Hal ini kerana harta ini perlu dibahagi lima, maka tidak perlu diperhitungkan nisabnya, sama halnya dengan harta rampasan perang (ghanimah) sekalipun sedikit.

5. Para ulama sepakat bahawa tiada syarat haul (tidak perlu menunggu setahun) bagi zakat ini. Malah kewajipan ini mesti dilaksanakan dengan segera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Wednesday, December 26, 2018

SBDJ Siri 4: Kereta Datuk Tersadai Di Tepi Jalan

SBDJ Siri 4: Kereta Datuk Tersadai Di Tepi Jalan

Sudah seminggu Hari Raya berlalu, tapi rumah datuk tetap sibuk dengan anak cucu yang datang berhari raya ke rumahnya, pada malam 27 likur yang lalu, datuk turut sama memasang lampu di haalman rumah dengan anak cucu.

Kereta tersadai

Datuk membelikan mercun untuk anak cucunya. Sesungguhnya, datuk amat menyayangi semua anak cucunya memang menjadi kebiasaan dalam hidup datuk, pada Hari Raya pertama ia akan mungumpulkan anak cucunya di anjung rumah, makan lemang dan rendang bersama anak cucu, kemudian akan mengepalai anak cucunya pergi ke masjid untuk sembahyang Hari Raya.

Lepas itu, datuk akan mengajak semua anak cucunya pergi ke tanah kubur menziarahi kubur nenek moyang yang sudah pergi, datuk pun menunjukkan kubur datuk nenek pada anak cucu sambil menyebut keistimewaan datuk nenek masa ada hayatnya dulu.

Dalam suasana yang sibuk itu, tiba-tiba datuk menghilangkan diri. Tidak ada siapa yang tahu ke mana datuk pergi. Bila salah seorang cucu mengesyurkan supaya kehilangkan datuk itu dilaporkan pada pihak polis, nenek dengan tenang bersuara:

“Usah bimbang, dia akan balik dalam sehari dua ini.”

“Dia berhari raya ke rumah yang lagi satu,” jawapan nenek itu, menghilangkan keraguan anak cucu.

Nenek pun menceritakan pada anak cucu, sepanjang bulan puasa yang lalu, datuk tidak pergi turun memburu, ia banyak menghabiskan masanya di kampung orang bunian, bersama isteri barunya, setiap kali datuk pulang, ia membawa buah tangan untuk nenek yang dibekalkan oleh orang bunian.

Sebagai isteri yang setia, nenek tidak pernah bertanya tentang isteri muda datuk. Nenek tahu, kalau ditanya dan disoaljawab nanti datuk naik darah, akibatnya akan berlaku pertengkaran, kalau sudah bertengkar nanti mudah masam muka.

Kalau ini terjadi tentulah tidak elok. Malu pada anak menantu dan cucu cicit. Demi menjaga kerukunan rumahtangga dan anak menantu ada baiknya perkara itu dibiarkan. Itulah pendapat nenek.

Ia merasa bersyukur pada Tuhan, kalau datuk sihat dan boleh makan dengan baik, itu sudah cukup, bagi nenek kalau ia kasihkan datuk sepenuh hati pun tidak ada gunanya, satu hari, salah seorang daripada mereka akan berpisah juga atas kehendak Allah yang maha besar.

Barang kali esok atau lusa ia akan meninggalkan datuk, bila nyawa miliknya diambil oleh Tuhan, begitu juga dengan datuk, tidak ada yang abadi di dunia ini melainkan Allah yang maha bijaksana.

Nenek menghitung semuanya ini, kerana itu ia tetap bersikap tenang dan senang ke atas apa yang terjadi pada diri datuk.

Akhirnya anak cucu datuk yang berkumpul di rumah terpaksa meninggalkan rumah datuk kerana urusan diri masing-masing. Ada yang sudah bekerja sendiri dan tidak kurang pula yang makan gaji.

Kereta yang bersusun di depan rumah datuk, sebuah demi sebuah meninggalkan halaman rumah datuk, pulang ke tempat masing-masing. Nenek berpeluk-peluk dengan anak cucu sambil mendoakan keselamatan mereka semasa dalam perjalanan. Nenek berharap pada Hari Raya tahun depan anak cucu akan kembali ke kampung.

Cuma yang nenek terkilan hanya satu sahaja, semasa kereta anak cucunya bergerak, datuk tidak dapat melambaikan tangan. Datuk tidak dapat memeluk anak cucu dengan penuh mesra. Mengingatkan ini semua nenek jadi sayu, perasaannya cukup hiba.

“Sampaikan salam pada datuk,” kata Ahmad Zaki cucu datuk yang kedua belas. Matanya merenung muka nenek.

“Boleh, jangan bimbang,” nenek memberikan perngakuan.

Ahmad Zaki yang lewat sekali meninggalkan rumah datuk. Ia bertugas sebagai guru mengajar di Sekolah Menengah Dr Burhanuddin di Taiping.

Bila semua anak cucu sudah pergi, nenek kembali dengan kerjanya membelah pokok sireh di belakang rumah, melihat ayam yang bertelur di reban serta memetik kacang panjang.

Kalau diikut kata hati, nenek mahu sahaja mengikut salah seorang dari anak cucunya. Duduk sama mereka. Tidak guna kalau dudu rumah sendiri sedangkan suami selalu sahaja meninggalkannya.

Bila nenek mengkaji semula hal ini dengan sedalam-dalamnya. Ia tidak rela meninggalkan datuk. Ia mengira semua yang terjadi atas dirinya adalah atas kehendak Tuhan yang maha bersar.

Sudah tiga jam anak cucunya pergi, tapi telinga nenek masih dapat mendengar suara anak cucu, bagaikan terbayang tingkah kalu anak cucu di depan matanya.

Nenek tidak tahu pukul berapa anak cucunya pergi meninggalkannya yang pasti masa anak cucunya pergi tadi matahari baru naik segalah, tapi sekarang matahari sudahpun berada di pucuk kelapa.

Nenek masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja ia membasuh dan memotong kacang panjang. Ia terdengar bunyi suara kereta masuk. Nenek menerpa ke muka pintu. Ia melihat Muhammad Hakim keluar dari kereta.

“Kenapa ada barang tinggal?” tanya nenek.

“Tak ada apa nek, kereta Ramlah berlangar dekat pekan pusing. Nenek diam. Ia tahu cucunya itu dalam perjalanan pulang ke Johor Bharu. Ramlah bertugas sebagai pegawai kastam.

“Apa yang mesti kita buat?” Nenek menyoal.

Mohammad Hakim suruh nenek masuk ke dalam keretanya untuk pergi ke Batu Gajah. Pada jiran sebelah telah ditinggalkan pesan, bila datuk balik suruh dia pergi ke Hospital Batu Gajah. Jiran yang baik hati itu berjanji mahu menyampaikan amanat itu.

Bagaikan digerakkan oleh sesuatu, datuk yang sudah lama tinggal dengan isteri mudanya di kampung bunian, teringat mahu balik. Isteri mudanya tidak menahan. Datuk pun balik.

Datuk sampai ke rumah waktu maghrib, dia tidak bertanya pada jiran tentang nenek yang tidak ada di rumah.

Selepas sembahyang, seorang jiran datang menemuinya dan menyampaikan berita yang dipesan. Datuk menerima pesanan itu dengan tenang.

“Terima kasih, aku ingat lepas sembahyang Isyak aku nak pergi,” kata datuk pada jiran yang menyampaikan pesan.

Apa yang dicakapkan oleh datuk, di kotakannya, lepas sembahyang Isyak datuk pun mengidupkan injin keretanya, kemudian datuk matikan injin kereta itu, datuk buka bonet kereta untuk memastikan ia membawa barang keperluan, kalau tayar keretanya bocor di tengah jalan. Datuk periksa enjin kereta,. Ia yakin keadaan keretanya cukup baik dan selamat untuk perjalanan jauh.

Masa datuk meninggalkan rumah, keadaan langit agak mendung, tidak ada bintang mengerdip, tiada bulan sabit di kaki langit. Datuk terus memandu kereta Ford Anglianya dengan tenang membelah kegelapan malam.

Kereta datuk sudahpun melintasi Kampung Buruk Bakul dan Simpang Tiga, bila masuk ke dalam kawasan Kampung Buluh Aur, hujan mula turun dengan lebatnya,agak sukar juga datuk memandu dalam malam hujan lebat.

Ia terpaksa melarikan keretanya dengan perlahan sekali. Sesekali datuk terbabas ke tepi jalan. Bila selisih dengan lori balak atau lori ikan datuk terpaksa memberhentikan keretanya.

Datuk sudahpun melalui Jambatan Nordin di Tanjung Belanja, sekarang datuk sudah memasuki Pekan Parit hujan tidak juga beransur reda, walau apa yang terjadi datuk tetap mahu meneruskan perjalannya ke Hospital Batu Gajah, datuk meninggalkan Pekan Parit, datuk menggigil kesejukan, sampai di satu selekoh kereta datuk berhenti dengan tiba-tiba.

Ia cuba menghidupkan enjinnya, usahanya itu tidak berjaya. Dalam hujan yang lebat itu datuk keluar dari perut kereta. Datuk membuka bahagian depan dengan lampu picit di tangan ia meraba semua wayar yang terdapat pada injin kereta. Badannya sudah basah. Ia menggigil.

Datuk ingin menghidupkan kereta. Tidak berjaya. Datuk membunyikan hon, tidak bersuara. Datuk masih juga tenang. Walaupun ia tahu, ia sekarang berada di tempat sunyi di kiri kanannya penuh dengan hutan tebal.

Kilat mula bermaharajalela. Dari cahaya kilat itu datuk dapat memastikan bahawa dirinya berada tidak jauh dari Bukit Berapit. Setiap kali cahaya kilat memancar ia dapat melihat Bukit Berapit yang tertegun berdiri di kiri kanan jalan.

Hujan terus turun. Jalanraya sudah penuh dengan air melimpah-limpah, datuk melihat jam di tangan, sudah hampir pukul dua belas malam. Tidak ada sebuah kereta yang melintas di situ.

Datuk tetap menggigil dalam perut kereta Ford Anglia, tiba-tiba datuk melihat ada cahaya api dari sebelah kanan jalan. Ia mempastikan cahaya lampu itu datangnya dari sebuah rumah.

Datuk ambil golok, lalu diselitkan ke pinggang. Kemudian ia memutuskan untuk pergi ke rumah yang ada cahaya lampu itu. Datuk mengunci semua pintu kereta. Datuk menyeberang jalan dalam hujan yang begitu lebat.

Datuk masuk ke dalam satu lorong menuju ke rumah tersebut. Sampai sahaja di kawasan rumah itu, kilat pun memancar, datuk dapat melihat rumah itu, ialah sebuah rumah batu beringkat dua, di halamannya penuh dengan pokok-pokok bunga yang sudah basah dengan air hujan.

Datuk masuk ke bawah rumah lalu mengetuk pintu berulang-ulang kali. Tidak ada jawapan. Datuk ketuk lagi. Pintu pun terkuak, seorang perempuan muda berdiri sambil di tangannya tertatang sebuah pelita minyak tanah.

“Saya mahu tumpang berteduh,” kata datuk.

“Begitu, masuklah ke dalam.”

“Tak payah, biarlah di luar sahaja.”

“Jangan begitu masuklah,” pelawa perempuan itu mendesak juga datuk supaya masuk ke dalam rumah.

Akhirnya datuk masuk. Ia disuruh duduk di ruang tamu. Perempuan yang baik hati itu memberikan datuk kain pelikat dan baju Melayu. Datuk terus memakainya. Perempuan itu juga memberikan datuk secawan kopi panas habis dihirup, datuk terasa badannya cukup segar.

“Tinggal seorang saja,” tanya datuk.

Perempuan muda yang berambut panjang itu tersenyum, lampu minyak tanah terlintuk liok ke kiri dan kanan ditiup angin malam.

“Emak dan ayah saya pergi ke Bagan Serai, tengok orang sakit.”

“Suami?”

“Saya belum bersuami, dulu bertunang dengan askar, tapi tunang saya mati ditembak komunis di Sungai Siput.”

“Kalau begitu, tidak manis saya berada di rumah anak dara, malam begini.”

“Apa salahnya, kita tidak berbuat jahat, awak datang dengan kereta awak rosak, dan saya berkewajipan menolongnya, masa ini masa awak, nanti ada masanya saya memerlukan pertolongan dari awak.”

“Awak perempuan yang baik hati.”

“Usahlah terlalu memuji,” tingkah perempuan muda.

Di luar ruamh hujan terus menggila, petir dan kilat juga menunjukkan gagah. Angin yang bertiup kencang menghasilkan bunyi suara daun yang berlaga sama sendiri, sesekali terdengar bunyi dahan pokok yang sekah.

Datuk terdengar bunyi lolongan anjing sayup-sayup di luar bersama bunyi suara kucing berkelahi. Dari arah dapur datuk terdengar bunyi pinggan dan piring berlaga, serentak dengan itu datuk terdengar bunyi suara perempuan mengilai.

Datuk tidak menyoal apa yang didengarnya pada perempuan muda itu. Ia tetap tenang. Tentulah tidak wajar sekali bertemu di rumah orang yang baik budi bahasa mahu menyoal hal peribadi. Itu biadab namanya. Datuk tidak mahu perempuan muda menuduh dia biadab.

Malam itu, perempuan muda yang cantik, berbibir nipis, berdahi luas memberitahu datuk, bahawa dia dan orang tuanya berasal dari Pulau Pinang dan berbangsa Cina.

Masa zaman pemerintahan Jepun mereka tinggal di Batu Gajah dan mereka sekeluarga terus memeluk agama Islam. Bila Jepun kalah, mereka pindah ke Seputih dan membeli rumah dan tanah yang mereka duduki sekarang ini.

Dengan penjelasan itu, datuk senang hati. Kemudian perempuan muda itu memberikan datuk sebuah bilik yang lengkap dengan katil dan meja serta almari.

“Bilik untuk awak tidur di sini,” ujar perempuan muda itu, datuk melihat sebatang lilin yang dimamah api tersedia di atas meja.

“Usah bimbang, esok saya suruh orang baiki kereta awak.”

Tambah perempuan cantik itu lagi, “Kereta awak dan awak selamat di sini.”

“Terima kasih.”

Perempuan muda itu merapatkan daun pintu bilik. Datuk terdengar perempuan muda itu mengunci bilik dari luar.

Datuk tersenyum, dan terfikir bahawa perempuan muda itu berbuat begitu adalah untuk kebaikan dirinya, ia bimbang datuk akan keluar mencarinya di tengah malam lalu merogolnya. Datuk menggelengkan kepala.

“Aku tidak sejahat itu,” kata datuk dalam hati.

Ia rebahkan badan atas katil. Bila datuk mahu merapatkan kedua belah kelopak matanya, ia terdengar bermacam-macam bunyi di luar, ada bunyi orang berjalan, ada suara orang menangis. Datuk tidak menghiraukannya barangkali itu cuma perasaannya sahaja.

Akhirnya, datuk terlelap, ia bermimpi ada orang berkepala anjing datang padanya lalu mahu membaham pangkal pehanya. Datuk melawan dengan sekuat hati.

Dalam perlawanan itu, datuk tewas pada orang berkepala anjing yang terus mengoyak daging peha datuk. Darah bertaburan dalam bilik. Datuk menjerit dengan sekuat hati. Datuk pun terjaga.

Datuk terkejut, kerana hari sudah cerah, matahari mula bersinar dan masuk ke dalam ruang bilik. Datuk mengerutkan dahi, kerana ia mendapati dirinya cuma tidur di atas simen di sebuah bilik yang kotor dan buruk.

Tidak ada katil. Tidak ada meja. Cuma yang ada hanya tunggul kayu dan batang pisang. Datuk keluar. Datuk menarik nafas panjang. Rumah yang malam tadi indah, ternyata sebuah rumah buruk yang hanya menanti masa untuk rebah ke bumi.

Di halaman rumah penuh dengan hutan keduduk, serunai laut, pemandangan sekitar rumah itu amat meyeramkan.

Datuk mencari perempuan muda yang melayannya semala. Tidak nampak batang hidung. Datuk pergi ke ruang tengah. Ia melihat satu cawan sumbing yang kotor. Di dalamnya ada air hitam yang busuk. Ada dua tiga ekor bangkai cicak yang kembung perutnya terdapat dalam cawan itu.

Datuk mengucapkan panjang. Ia ingat malam tadi ia minum di situ. Ia yakin air itu sudah masuk ke dalam perutnya.

“Syaitan, aku dipermainkan oleh syaitan,” bisik batin datuk.

Ia pun meninggalkan kawasan rumah itu menuju ke jalanraya. Datuk cuba menghidupkan injin keretanya. Suara kereta mengaum. Datuk cuba memandu dua tiga rantai ke depan.

Keretanya tidak mengalami sebarang kecelakaan. Datuk terus menuju Hospital Batu Gajah. Ia kecewa. Ramlah yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sudah meninggal dunia.

Jenazahnya telah dibawa ke kampung malam itu juga. Datuk menceritakan kisah yang dialaminya pada seorang pekerja di Hospital Batu Gajah.

“Begini pak cik, rumah tu rumah tinggal anak dara tuanpunya rumah itu menggantung diri di ruang tengah rumah tu,” beritahu pekerja itu pada datuk.

“Sebab?”

“Dia kecewa, kerana tunangnya berkahwin dengan orang lain.”

“Begitu?” suara datuk lembut.

Tamat siri 4/284

BACA: SBDJ Siri 3: Tidur Di Rumah Bunian
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Resepi Pau Kukus Yang Gebu Dan Lembut

Resepi Pau Kukus Yang Gebu Dan Lembut

Pau sangat mengenyangkan dan sebahagian orang memakan pau untuk sarapan, menjadi kegemaran di kalangan kanak-kanak sehingga orang dewasa.

Pau Kukus

Pau merupakan sejenis kuih yang dibuat daripada tepung dan yis, diuli dan dibentuk bulat serta mempunyai inti di dalam, sama ada manisan, daging ataupun sayur-sayuran.

Ciri pau ialah berwarna putih, bulat dan gebu serta lembut dimakan. Walaupun ada beberapa pau berwarna hijau misalnya, menandakan itu ialah pau pandan dengan inti kelapa.

Biasanya setitik pewarna diletakkan di atas pau bagi menandakan jenis inti yang terdapat di dalam pau tersebut.

Teknik popular memasak pau ialah dengan cara kukus dan selain menggunakan teknik mengukus, teknik memasak secara goreng dan bakar juga boleh dilakukan.

Sila cuba resepi ini dirumah dengan cara kukus dan anda boleh meletakkan inti yang anda mahu seperti kaya, kacang merah, coklat, cendawan, ayam dan lain-lain.

Bahan-bahan Resepi Pau Gebu

Bahan A:
  • 1 kg tepung pau.
  • 1 sudu teh baking powder.

Kedua-dua bahan di atas diayak bersama.

Bahan B:
  • 1 sudu teh garam.
  • 1/2 cawan minyak jagung atau minyak masak.
  • 2 1/4 cawan air.
  • 11 gram yis.
  • 1 sudu makan gula.
  • 2 sudu makan susu pekat manis.
  • 1 biji telur.

Satukan bahan di atas dan kacau hingga gula larut.

Cara Membuat:

1. Masukkan Bahan A ke dalam mangkuk besar.

2. Tuangkan Bahan B cecair sedikit-sedikit sambil diuli hingga menjadi doh yang lembut dan tidak melekat di tangan.

3. Tutup doh dengan kain dan biarkan 5 minit.

4. Ambil sedikit doh dan bulatkan sebesar bola pimpong (anggaran berat 35 gm).

5. Kemudian leperkan.

6. Masukkan inti yang telah dibulat-bulatkan sebesar guli (anggaran berat 12 gm).

7. Tutup dan kemaskan.

8. Letakkan doh di atas lapik kertas minyak yang dipotong segi empat atau bulat atau letakkan di atas paper cup yang dileperkan sedikit.

9. Susun dalam kukusan dan jarakkan sedikit antara satu sama lain.

Tips:

Biarkan doh naik 1 kali ganda. Jangan terlalu naik, sebab ia akan mengecut pula bila di kukus dan membuatkan permukaannya mengerutu dan keras.

Pastikan kukusan telah di panaskan terlebih dahulu hingga airnya betul-betul mendidih.

Balut tutup kukusan dengan kain supaya air dari kukusan tidak menitis atas pau yang membuatkan permukaan pau berkawah.

Jika mahu buat ½ adunan, kurangkan jumlah air, gula, susu pekat, sukatan yis tetap sama.

10. Kukus pau selama 7 hingga 10 minit.

Tips Untuk Pau Frozen:

Setelah membeli pau sejuk dari kedai, simpan dalam bekas plastik yang kedap udara. Masukkan dalam beg plastik pun boleh. Simpan dalam peti ais.

Bila nak makan keluarkan dan kukus semula selama 1 minit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: saji

Pati Kiub Knorr Pork Dijual Di Malaysia?

Pati Kiub Knorr Pork Dijual Di Malaysia?

Tular di media sosial dakwaan bahawa terdapat kiub pati Knorr yang dijual menggunakan inti babi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui media sosial memaklumkan bahawa memang terdapat produk jenis kiub inti babi yang dijual namun ianya tidak dijual dan tidak dikilangkan di Malaysia.

Pati Kiub Knorr Pork

JAKIM juga menjelaskan jenama Knorr yang dikilangkan oleh Unilever Foods (Malaysia) Sdn Bhd mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah.

Asal-usul

Unilever ialah syarikat produk kepenggunaan trans-nasional British-Belanda yang beribu pejabat di London, United Kingdom dan Rotterdam, Belanda.

Unilever diasaskan pada 2 September 1929, oleh penggabungan pengeluar marjerin Belanda Margarine Unie dan pembuat sabun British Lever Brothers.

Ia adalah dua syarikat berdaftar yang terdiri daripada Unilever plc, yang berpusat di London dan Unilever N.V., yang berpusat di Rotterdam. Kedua-dua syarikat beroperasi sebagai perniagaan tunggal, dengan lembaga pengarah bersama.

Produknya termasuk makanan dan minuman (kira-kira 40 peratus daripada hasilnya), agen pembersih dan produk penjagaan diri.

Ia merupakan syarikat barangan pengguna terbesar di dunia yang diukur pada tahun 2012 dan syarikat ketujuh paling bernilai di Eropah.

Unilever ialah salah satu syarikat multinasional tertua yang produknya boleh didapati di sekitar 190 negara.

Knorr

Knorr merupakan jenama makanan dan minuman Jerman yang dimiliki oleh syarikat Belanda-British Unilever sejak tahun 2000, apabila Unilever mengambil-alih Best Foods, tidak termasuk Jepun.

Ia menghasilkan sup dehidrasi dan campuran makanan, perasa dan kiub rebusan. Ia dikenali sebagai Royco di Indonesia serta Belanda dan sebagai Continental di Australia.

Di seluruh dunia

Pada tahun 1957, jenama Knorr seperti air daging dan sup, telah dijual di lapan negara dan pada tahun 2000, produk Knorr telah dijual di hampir 90 negara di seluruh dunia.

Di Jepun, Knorr dimiliki oleh Ajinomoto.

Knorr Di Malaysia

Di Malaysia, kisah Unilever bermula pada tahun 1947 dengan pembukaan kilang membuat sabun dan marjerin oleh Lever Brothers di Bangsar.

Berharga RM12 juta, ia merupakan kilang terbesar di negara ini, dengan mesin yang boleh membalut 124 bar sabun satu minit!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3