Friday, September 09, 2016

Pentingkah Memilih Produk Yang Mempunyai Logo Halal JAKIM Sekalipun Pemiliknya Bukan Islam?


Secara mudah, halal JAKIM adalah satu pengiktirafan patuh syariah terhadap proses pembuatan produk yang bermula dari proses paling awal iaitu pemilihan bahan mentah hinggalah proses yang terakhir iaitu produk sampai di tangan pengguna.

Halal Jakim

Jika anda berada di hadapan dua buah restoran; sebuah restoran milik bukan muslim tetapi mempunyai sijil halal daripada JAKIM, manakala satu lagi milik Muslim tetapi tidak sijil halal JAKIM, restoran manakah yang anda pilih?

Saya pasti ramai yang tak mampu menjawab dengan yakin. Hal ini kerana kebanyakan kita tidak mengetahui apakah itu sijil halal JAKIM dan apakah proses yang dilalui bagi memperoleh sijil halal.

Untuk memperoleh pengiktirafan itu, sesebuah pengeluar makanan perlu mengistiharkan semua proses dan bahan mentah yang terlibat dari awal hingga akhir dengan terperinci.

Semua dokumen pengistiharan ini dikumpul dalam satu fail yang dipanggil Fail Halal. Fail ini dijaga oleh Eksekutif Halal di setiap syarikat.

Setiap kali juruaudit halal JAKIM datang melawat, fail inilah yang akan diperiksa dahulu. Apabila semua pengistiharan lengkap, juruaudit itu akan melakukan tinjauan di lapangan terbabit bagi memastikan semua pengistiharan itu benar-benar dipatuhi.

Selain dari itu, pihak syarikat juga mesti melantik seorang eksekutif halal yang beragama Islam dan mempunyai kewarganegaraan Malaysia. Lantikan ini mesti berstatus ‘Tetap’.

Tugas eksekutif halal adalah memastikan keberkesanan sistem kawalan halal dalaman (internal halal control).

Semua langkah ini diambil bagi memastikan pihak syarikat mencapai sifar kesilapan dalam penghasilan produk halal.

Nah, itulah yang terkandung dalam logo kecil halal di bungkusan produk kita. Menurut pengamatan saya, rata-rata pengguna menganggap pengiktirafan halal hanya meliputi bahan mentah sahaja.

Mulai saat ini, ketahuilah bahawa pengiktirafan halal juga meliputi aktiviti memproses bahan mentah itu. Bahkan pada masa hadapan, ia mungkin melibatkan sumber kewangan yang patuh syariah.

Dengan memahami apa yang ada si sebalik logo Halal ini, tentunya pendekatan yang lebih dekat dengan maqasid syariah (hifzun nafs; menjaga nyawa/diri) adalah memilih restoran yang mempunyai sijil halal, walaupun ia milik non-muslim.

Sebenarnya saya pernah berada dalam situasi di atas. Lalu saya pilih restoran mamak (yang mempamer simbol-simbol Islam) yang tidak memiliki sijil halal. Akhirnya saya dikecewakan dengan tisu di restoran itu yang berbau najis tikus!

Pentingkah mencari produk yang mempunyai logo halal?

Ya, bahkan teramat penting. Dalam era kemajuan teknologi ini, rata-ratanya hanya orang yang mempunyai latar belakang tertentu saja (seperti Sains Pemakanan, Bioteknologi dan lain-lain) yang faham maklumat yang terpamer di bungkusan produk.

Kompleksiti proses pembuatan makanan menyebabkan ramai yang tidak tahu apa itu gelatin, lecithin, glycerin, Kod-Kod E dan lain-lain.

Maka wajarlah dibentuk satu badan berautoriti yang memantau perkara ini agar orang-orang yang berpendidikan rendah dapat menikmati makanan halal tanpa was-was. Penting untuk kita menjauhi rasa was-was kerana ia merupakan satu perasaan yang menyiksa jiwa.

Persoalannya, sejauh mana kita perlu berusaha mencari produk halal? Bagi saya, kita dituntut untuk mencarinya semampu kita.

Dalam konteks Malaysia, kita dipandu oleh logo halal JAKIM, maka carilah produk yang sudah diperiksa kehalalannya oleh JAKIM.

Jika di luar negara yang tiada badan pengiktirafan halal, maka tanyalah kepada pengeluar produk mengenai spesifikasi produk yang dikeluarkan, samada melalui emel atau panggilan telefon.

Menurut pengalaman saya, apabila sesebuah syarikat sering dihubungi pengguna untuk bertanyakan status halal produknya, pihak pengurusan syarikat akan mengambil langkah memohon pensijilan halal. Itulah kesan kuasa pengguna.

Pada hari ini, kesedaran halal dalam kalangan pengguna semakin baik. Bermula dengan produk makanan, kini JAKIM menawarkan pensijilan halal kepada rumah sembelih, farmaseutikal, kosmetik dan logistik.

Dengan sokongan padu dan komitmen terbaik pihak berautoriti, skop halal ini akan diperluas sehingga kita dapat menikmati Halal Lifestyle (Gaya Hidup Halal) yang dituntut oleh Allah SWT.

Moga Allah permudahkan urusan ini untuk umat Islam keseluruhannya.

Penulis
Ustaz Bilal bin Jailani
Sarjana Pentadbiran Muamalat (Produk Halal)

BACA INI JUGA:

Sumber: Ismaweb

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon