Jan 13, 2016

'Haram Kerja Di Kedai Fotostat'

Haram tetap haram. Hukumnya jelas. Tetapi mindset haram kita tidak semudah itu. Ia adalah lebih tertakluk kepada satu wacana perdana agama (Mainstream Religious Discourse) yang mengawal cara seseorang berfikir tentang perkara haram yang perlu diketengahkan dan perkara haram yang perlu didiamkan.

Kerja fotostat haram
Gambar hiasan.

Dr Maza telah menyindir mengapa pihak agamawan begitu taksub mengharamkan vape tetapi diam dalam isu bauksit yang lebih memudaratkan.

Ini adalah kerana isu bauksit tidak termasuk dalam Mainstream Religious Discourse. Adalah religious berbincang mengenai hukum vape tetapi tidak religious untuk berbincang tentang hukum bauksit.

Soalan yang popular ialah haramkah saya kerja di tempat yang jual arak seperti 7-Eleven, Tesco dan sebagainya.

Saya suka memberi respons yang membuka lebih persoalan supaya kita nampak masalah bukan secara zahir tetapi dari akarnya.

Saya tanya balik, “Adakah haram bekerja di kedai fotostat buku? Undang-undang memang membenarkan fotostat sebahagian daripada buku untuk tujuan akademik tetapi bukan seluruh buku.”

Respons yang biasa ialah, “Mengapa haram pula? Bukankah Islam galakkan kita menuntut ilmu! Bukankah membaca buku itu satu cara untuk menuntut ilmu? Takkanlah penulis begitu berkira. Pahala diberi kepadanya nanti!”

Respons di atas bukan sekadar tidak mengiktiraf keharaman fotostat buku tetapi ia adalah satu usaha penuh rela untuk merasionalisasikan perbuatan haram yang di luar Mainstream Religious Discourse sehingga perbuatan haram menjadi ‘biasa, harus, halal’.

Perbuatan ini tidak perlu difikirkan, diketengahkan dan diharamkan.

Respons saya seperti berikut. Kalau kamu menulis buku dan syarikat menerbitkannya, apakah harapan penerbitan?

Mungkin kamu inginkan pahala semata-mata, tidak memerlukan royalti. Tetapi jangan lupa apakah harapan syarikat?

Mungkin kamu akan kata bahawa ilmu tidak boleh dijual beli oleh syarikat swasta. Tetapi jangan pula lupa bahawa syarikat penerbitan mempunyai pekerja yang mempunyai keluarga seperti kamu.

Bagaimana periuk nasi mereka? Bila kamu fotostat sebuah buku, kamu telah merompak duit yang perlu digunakan untuk membeli susu bayi!

Yang paling tragisnya ialah kamu guna buku itu untuk kegunaan diri kamu sehingga mendapatkan ijazah supaya kamu dapat hidup mewah kelak!

Bila kamu kerja di kedai yang fotostat seluruh buku, tidakkah kamu rasa berdosa setiap hari kerana begitu banyak buku kamu sudah rompak?

Saya juga akan menambah perencah dalam hujah saya. Kalau sebuah buku agama itu menggunakan hadis-hadis palsu, dan kamu fotostat buku itu dan kamu dapati ia akan disebarkan kepada orang ramai, adakah kamu tidak rasa berdosa besar?

Manakah yang lebih haram di antara kerja di kedai yang jual arak dan kerja di kedai fotostat yang jual hadis palsu, berdusta atas nama Nabi Muhammad SAW sehingga merosakkan aqidah dan prinsip asas agama!

Isu di sini ialah mengapa wacana pengharaman di atas disenyapkan?

XIFU NASER
XIFU NASER.

Mengapa tidak pula mempersoalkan kedai makanan ‘Islam’ yang menjual rokok? Bukankah ini menghina agama?

Manakah yang lebih memudaratkan kalau dibandingkan merokok dan makan babi?

Bayangkan kedai makan ‘Islam’ yang sama itu menggantikan penjualan rokok dengan penjualan daging babi? Adakah respons Religious Discourse kita akan sama?

Mengapa tiada agamawan yang ketengahkan isu jual rokok di kedai makan ‘Islam’ ini? Mungkin akan ada usaha merasionalisasikan merokok sebagai makruh sahaja.

Bahkan kita boleh fikir jauh lagi. Apakah hukum kerja di NGO dan parti politik yang menggalakkan rasisme, mengelirukan masyarakat tentang Islam sehingga maruah Islam tercemar?

Manakah yang lebih memudaratkan antara mencemarkan maruah Islam dan menjual arak? Mengapa Mainstream Religious Discourse kita senyap?

Apakah hukumnya bekerjasama dengan parti politik yang mengamalkan rasuah berbilion-bilion secara berleluasa, terbuka dan tidak malu jika dibandingkan mereka yang berkhalwat di hotel-hotel secara tertutup kerana malu?

Isu haram bukan sekadar hukum tetapi ia adalah isu konsistensi dalam wacana pengharaman.

Konsistensi ini hanya akan tercapai jika agamawan kita tidak menjadi lalang yang mengikut arus perdana tetapi berdiri atas prinsip bercakap benar walaupun pahit.

*Abdul Naser Tun Rahman, Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Muslim

BACA INI JUGA: 3 Cara Mudah Menarik Rezeki

Sumber: Sinarharian.com.my

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

3 comments

Haram...tak kan sampai macam tu sekali...
apa yang penting nawaitu kita....

Haah lah, betul jugaq tu.. Tak pernah terfikir bole jatuh hukum haram :'(

Haram photostat seluruh buku.

Mujurlah time belajar dulu Mrs. A photostat mana yang perlu sahaja.

Takde budget nak beli buku IT yang dari oversea mahal gilos.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon