Friday, December 28, 2018

Benarkah Organ Mayat Dicuri Selepas Dibedah Siasat?


Terdapat spekulasi bahawa organ si mati akan dicuri untuk dijual sebaik sahaja jasad si mati dihantar ke mortuari (bilik mayat). Walau bagaimanapun, tiada sebarang laporan yang sah menyatakan terdapatnya kes sebegini di Malaysia.

Organ Mayat Dicuri

Sekiranya benar berlaku, proses tuntutan mayat dari hospital akan menjadi lambat, sejurusnya menimbulkan kemarahan dan rasa tidak puas hati di kalangan waris dan keluarga.

Bayangkan keadaan boleh menjadi huru-hara jika kesan pemotongan dijumpai pada jasad si mati tanpa sebarang alasan yang munasabah!

Bagi membongkar mitos ini, beberapa fakta perlu diambil kira.

Pertamanya, perlu difahamkan bahawa justifikasi untuk mendapatkan organ dari jasad si mati adalah besar kemungkinan, secara logiknya, untuk memenuhi keperluan pemindahan (transplan) organ bagi mereka yang memerlukannya.

Dari segi undang-undang, bagi memastikan organ tersebut sesuai untuk transplan, organ tersebut mestilah diperolehi dengan kaedah yang betul oleh pakar yang terlatih dan mestilah disimpan dengan cara yang betul.

Sekiranya cara pengambilan organ tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan, organ tersebut akan rosak dan tidak boleh digunakan untuk pemindahan.

Agak sukar untuk memenuhi keperluan ini sekiranya pengambilan organ dilakukan secara sulit di dalam mortuari, tanpa pengetahuan dunia luar. Pelaku kesalahan ini sudah semestinya mudah ditangkap.

Keduanya, organ-organ manusia mudah rosak setelah dikeluarkan dari badan.

Bagi memastikan organ boleh berfungsi setelah dipindahkan kepada penerima organ, ianya perlu dipelihara dengan cara yang betul dalam tempoh pemeliharaan yang terhad.

Dalam ertikata lain, organ-organ mempunyai tarikh tamat tempoh masing-masing selepas diambil dari jasad, supaya ianya sesuai digunakan untuk transplan.

Anggaran tempoh pemeliharaan bagi pelbagai organ adalah seperti berikut:
  • Jantung/peparu: 4 – 6 jam
  • Pankreas: 12 – 24 jam
  • Hati: sehingga 24 jam
  • Ginjal: 48 – 72 jam
  • Kornea: mesti ditransplan dalam masa 5 –7 hari
  • Injap jantung, kulit, tulang, urat saphenous: Mungkin boleh dipelihara 3 – 10 tahun

Kadar kejayaan pemindahan organ-organ seperti jantung, hati, ginjal dan pankreas akan bertambah tinggi jika ianya dibekalkan darah dan oksigen secara berterusan.

Bekalan ventilator oksigen yang mencukupi membolehkan organ terus berfungsi dan memberi masa untuk koordinasi proses pendermaan.

Sebarang kesilapan dalam salah satu langkah akan menyebabkan organ-organ ini tidak boleh digunakan lagi.

Sebaik sahaja organ berjaya dipelihara, prosedur transplan hanya dapat dilakukan oleh pakar berkaitan dengan adanya bantuan dari warga kerja yang terlatih, peralatan yang betul dan bekalan darah yang mencukupi untuk pesakit.

Selepas transplan pula, pesakit perlu mendapatkan rawatan susulan dan dipantau oleh doktor pakar dalam bidang yang berkaitan.

Pesakit juga perlu mengambil ubat pos-transplan, iaitu immunosuppressant drugs untuk jangkamasa tertentu, supaya organ tersebut boleh berfungsi dengan baik.

Menurut Akta Racun 1952, immunosuppressant dikategorikan sebagai racun kumpulan B, iaitu preskripsi ubat ini hanya boleh dikeluarkan oleh pegawai perubatan yang berdaftar.

Di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia pula, ubat ini diletakkan di bawah kumpulan ubat A*, iaitu preskripsi ubat ini hanya boleh diarahkan oleh pakar perunding bagi indikasi yang tertentu sahaja.

Bukan sebarangan orang yang boleh mengeluarkan preskripsi ubat tersebut.

Justeru itu, di Malaysia, bukannya senang untuk seseorang mencuri organ dari jasad dan ditransplan kepada orang lain tanpa menimbulkan syak wasangka.

Dari sudut pandangan perubatan, prosedur pengambilan dan pemeliharaan organ, transplan organ dan rawatan pos-transplan merupakan prosedur yang besar, di mana banyak usaha dan masa diperlukan.

Pusat Sumber Transplan Nasional, yang telah ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, bertanggungjawab menyelaras usaha ini dengan cara yang betul dan sah dari segi undang-undang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myhealth

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon