Khamis, Disember 27, 2018

Legenda Puteri Gunung Ledang Bunian Atau Jin?


Meneliti legenda Puteri Gunung Ledang sememangnya menimbulkan seribu persoalan lantaran terdapat versi cerita Sultan Mahmud Shah membina jambatan emas dari Melaka ke gunung di Johor sebagai syarat peminangan puteri itu.

Puteri Gunung Ledang
Gambar hiasan.

Akan tetapi, sehingga kini, jambatan kira-kira 40 kilometer itu masih gagal ditemui sekali gus menyebabkan ramai pihak sangsi akan kesahihan kisah mahsyur berkenaan.

Cerita Puteri Gunung Ledang sememangnya terkenal dan dicatatkan dalam kitab Melayu lama, antaranya Salalatus Salatin (Sejarah Melayu) dan Hikayat Hang Tuah selain diperturunkan secara lisan daripada generasi lama ke generasi baharu.

Justeru, ada banyak versi kisah puteri jelita berkenaan dan satu daripada versi itu bermula dengan kemangkatan permaisuri Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan kelapan dan terakhir memerintah Kerajaan Melaka dari tahun 1488 hingga 1511.

Orang bunian

Akibat kematian permaisurinya, Sultan Mahmud menitahkan Hang Tuah yang sudah tua selain Sang Setia dan Tun Mamat melamar Puteri Gunung Ledang yang amat jelita. Ada versi mengatakan puteri itu bukanlah manusia sebaliknya orang bunian.

Maka, rombongan peminangan dihantar dan selepas beberapa hari meredah hutan, akhirnya Tun Mamat bersama pengiring tiba di Gunung Ledang. Hang Tuah yang uzur gagal meneruskan pendakian manakala Sang Setia menemani Hang Tuah.

Selepas lama mendaki menelusuri hutan tebal, Tun Mamat tiba di taman nan indah di atas gunung.

Mereka kemudian menemui ketua dayang kepada Puteri Gunung Ledang dan menyampaikan hajat peminangan Sultan Melaka.

Selepas lama menunggu jawapan, akhirnya datang seorang nenek bongkok menyampaikan syarat tujuh hantaran Puteri Gunung Ledang iaitu:
  • Jambatan emas dari istana Melaka hingga ke puncak Gunung Ledang.
  • Jambatan perak dari puncak Gunung Ledang ke istana Melaka.
  • Tujuh dulang hati nyamuk.
  • Tujuh dulang hati kuman.
  • Tujuh tempayan air mata anak dara.
  • Tujuh tempayan air pinang muda.
  • Semangkuk darah Raja Muda Melaka.

Tun Mamat terkejut mendengar syarat yang mustahil dipenuhi itu. Beliau kemudian turun menemui Hang Tuah dan menceritakan hal berkenaan.

Sultan menjadi zalim

Secara tersirat, Hang Tuah sedar peminangan Sultan ditolak secara kiasan oleh Puteri Gunung Ledang.

Lalu akibat kecewa kerana gagal menyempurnakan titah, Hang Tuah enggan kembali ke istana dan menghilangkan diri dalam sungai. Tun Mamat pulang menyampaikan syarat peminangan kepada Sultan Melaka.

Tanpa memahami maksud tersirat di sebalik syarat hantaran, Sultan Mahmud mengerahkan seluruh rakyat menyediakan tuntutan supaya baginda dapat memperisterikan Puteri Gunung Ledang.

Keadaan dalam negara menjadi kacau-bilau apabila rakyat dikerah membina jambatan emas dan perak sehingga seluruh emas dan perak milik kerajaan dilebur. Tidak cukup dengan harta kerajaan, emas dan perak penduduk turut dirampas.

Lebih zalim, kalangan gadis dikerah berkurung dalam istana dan dipaksa menangis manakala rakyat lain dikerah mendapatkan pinang muda untuk diperah airnya walhal pinang muda tidak berair.

Selepas bertahun-tahun, akhirnya semua hantaran berjaya disediakan kecuali satu, iaitu semangkuk darah Raja Muda Melaka, iaitu Raja Ahmad.

Sultan Mahmud diceritakan tidak sampai hati untuk membunuh anakandanya yang masih kecil tetapi hasutan nafsu menyebabkan baginda tidak mempedulikan apa-apa lagi. Lantas dada kecil Raja Ahmad cuba ditikam.

Bagaimanapun, ketika keris hampir menembusi dada kanak-kanak itu, tiba-tiba Puteri Gunung Ledang menjelma di hadapan Sultan.

Puteri itu menzahirkan kekecewaannya terhadap Sultan Mahmud yang sanggup menindas rakyat dan menumpahkan darah zuriatnya sendiri kerana tergila-gilakan wanita yang tidak pernah dikenali.

Puteri Gunung Ledang menjelaskan beliau menolak pinangan Sultan Mahmud dan rentetan kejadian itu akhirnya menginsafkan baginda.

Pelbagai versi cerita

Sehingga kini, ramai pihak tertanya-tanya di manakah letaknya jambatan emas dan perak yang kononnya sudah dibina. Melewati masa, tiada kesan tinggalan jambatan ditemui melainkan dalam kisah legenda semata-mata.

Menerusi laman sesawang informasi Wikipedia, tertera maklumat pihak tertentu percaya jambatan emas dan perak itu wujud tetapi tertimbus dibawah tanah.

Wikipedia turut memaparkan versi lain kisah berkenaan antaranya Puteri Gunung Ledang tidak pernah mengemukakan tujuh syarat hantaran tetapi syarat itu direka Tun Mamat dan Hang Tuah dengan harapan Sultan Mahmud faham peminangannya ditolak.

Ada juga versi mengatakan Sultan Mahmud gagal menunaikan semua syarat pelik itu sekali gus menjelaskan jambatan itu tidak pernah dibina.

Selain itu, satu lagi misteri dalam legenda Puteri Gunung Ledang ialah identiti sebenar wanita berkenaan.

Puteri raja dari Jawa

Ada juga cerita disebarkan kononnya Puteri Gunung Ledang bukanlah manusia tetapi ratu bunian, jin atau makhluk kayangan.

Bagaimanapun, ada juga pihak dan pengkaji yakin Puteri Gunung Ledang adalah manusia iaitu puteri raja dari Jawa.

Puteri itu turut dikenali sebagai Raden Puteri Mas Nyawa, Gusti Puteri Adjeng Ratno Dumilah Sari, Raden Ratna Gumilah Sari, Raden Puteri Ratna Gumilah Sari dan Puteri Siti Jamilah binti Sultan Alam Fattah alAkbar.

Mengikut pendapat itu, ketika remaja, Puteri Gunung Ledang dihantar ayahandanya dari Jawa untuk menuntut ilmu agama di Pulau Besar, Melaka.

Selepas itu, puteri berkenaan berpindah ke Gunung Ledang bersama pengikutnya untuk bersuluk dan mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Mengenai dakwaan kononnya Puteri Gunung Ledang adalah bunian atau jin, pihak skeptikal berhujah sememangnya gunung dan hutan menjadi kediaman jin dan tidak mustahil makhluk halus itu menyamar sebagai Puteri Gunung Ledang untuk menipu manusia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon