Selasa, November 13, 2018

Benarkah Saka Roh Nenek Moyang? Bagaimana Ia Diwarisi?


Istilah saka mengundang pelbagai persepsi dalam kalangan masyarakat. Ada yang melenting bila dikatakan mewarisi saka dan ada yang menerimanya dengan hati terbuka, namun ramai yang tertanya-tanya benarkah ianya wujud dan tidak kurang juga yang tersalah faham tentang istilah ini.

Saka Roh Nenek Moyang
Gambar hiasan.

Saka dimaksudkan sebagai leluhur (keturunan) daripada sebelah emak; manakala saka baka pula ialah leluhur daripada kedua-dua belah pihak iaitu ibu dan bapa.

Dikalangan pengamal perubatan tradisional dan komplementari, saka merupakan istilah yang digunakan untuk makhluk halus (jin dan syaitan) yang diwarisi dari keturunan.

Konsep saka ini bukan hanya terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu sahaja, tetapi juga dikesan dalam beberapa bangsa lain dengan istilah yang berbeza.

Sebagai contoh di Sudan, ia dikenali sebagai mangu, iaitu semangat atau roh yang diwarisi dari ibu dan bapa.

Di Sri Lanka, ia dikenali sebagai mala yakā (the inferior spirit of a dead ancestor).

Dalam masyarakat Cina, India dan masyarakat Orang Asli pula, mereka percaya bahawa roh nenek moyang yang tidak disemadikan dengan sempurna akan kembali mengganggu anak cucu.

Dalam Al-Quran, memang tiada istilah saka digunakan, tetapi perbuatan meminta perlindungan dari jin dan syaitan, atau menjadikannya sahabat, khadam, pendamping ada dinyatakan dalam surah Al-Jinn ayat 6.

”Dan bahawa sesungguhnya adalah beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat."

Apabila manusia memohon perlindungan dari jin atau syaitan, maka mereka akan segera datang untuk menyesatkan anak Adam.

Ada yang datang dan memasuki hati manusia lalu menimbulkan perasaan was-was, benci, dendam dan permusuhan antara manusia.

Kebiasaannya, jenis sebegini datang silih berganti dan keluar dari tubuh manusia.

Namun, di sana, terdapat jenis jin dan syaitan yang akan tinggal berdampingan dengan manusia, menjadi qarin dan sahabat manusia, tinggal dalam tubuh manusia, makan, minum dan kencing dalam tubuh dan kediaman manusia.

Jenis ini bukan sahaja menimbulkan penyakit pada hati dan rohani, malah akan turut menyakiti tubuh jasmani manusia. Ia juga akan turut mengganggu anak cucu dan pasangan seseorang setelah kematian orang itu.

Makhluk ini bukanlah diwarisi secara sukarela, tetapi mereka berpindah kepada keturunan berikutan dendam kesumat mereka kepada anak Adam. Inilah makhluk halus yang dipanggil saka dalam kalangan masyarakat Melayu.

BAGAIMANA SAKA DIWARISI?

Makhluk jin dan syaitan ini datang mendampingi manusia melalui beberapa cara. Ada sesetengahnya berlaku dengan disengajakan dan ada yang berlaku tanpa disedari dan tanpa kerelaan kita.

Pewarisan saka secara sedar biasanya dilakukan melalui upacara tertentu seperti akad atau melalui pewarisan sesuatu barang yang menjadi simbol perjanjian antara mereka seperti keris, barangan kemas, barang hiasan tembaga dan atau apa sahaja yang menjadi milikan tuannya.

Sekiranya seseorang waris menolak pewarisan khadam ini, maka makhluk ini akan menimbulkan gangguan kepada waris tersebut berupa penyakit-penyakit misteri.

Gangguan juga boleh berlaku sekiranya tuan punya khadam atau warisnya melanggar pantang larang perjanjian seperti tidak menyediakan jamuan (ancak) atau tidak mengasapkan senjata dengan kemenyan pada waktu tertentu dan sebagainya.

Ada ketikanya gangguan saka ini berlaku tanpa disedari. Ini berlaku kerana keghairahan kita mengejar kehebatan dan ganjaran dunia tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi.

Antaranya ialah melalui:

1. Ilmu dan amalan kebatinan yang menyeleweng

Seseorang yang menuntut ilmu kebatinan seperti ilmu kebal, ilmu ghaib, ilmu seri muka dan seumpamanya akan mempunyai risiko diganggu makhluk halus.

Makhluk halus ini datang kerana upacara yang dilakukan oleh pengamal tersebut melalui pelbagai amalan tertentu seperti bertapa, bacaan mantera atau ayat-ayat tertentu dalam waktu tertentu, amalan pati geni dan sebagainya.

Mungkin semasa hayatnya, tiada apa-apa berlaku tetapi, menjelang akhir hayatnya, terutama ketika sakaratul maut, makhluk halus ini akan menagih balasannya. Selepas meninggal, saka ini akan mencari keturunannya pula.

2. Khidmat rawatan menggunakan makhluk halus

Seseorang yang mendapatkan rawatan dari perawat yang menggunakan makhluk halus sebenarnya telah membuka ruang kepada khadam perawat tersebut untuk memasuki dan menyerap dalam tubuhnya.

Rawatan ini biasanya melibatkan upacara yang aneh dan pelik seperti menurun, main puteri, tok bageh, bedah batin, ulek mayang, alin telur dan yang seumpamanya.

Begitu juga perbuatan menggantung atau menyimpan sebarang tangkal, azimat, wafaq atau barang berpuja yang dibekalkan oleh perawat tersebut boleh mengundang gangguan kepada diri dan kediaman mangsa.

3. Memagar atau mendinding rumah dengan cara yang berlawanan syariat

’Harapkan pagar, pagar makan padi’. Begitulah perbuatan memagar kediaman dengan cara yang salah. Ia sebenarnya menjerumuskan penghuni kediaman kepada gangguan makhluk halus.

Ini kerana yang ditugaskan untuk menjaga rumah bukanlah malaikat tetapi makhluk-makhluk halus yang lambat laun akan menjahanamkan keharmonian rumahtangga.

Apabila tuan rumah meninggal dunia, makhluk yang menjaga rumah tersebut tetap mendiami rumah tersebut dan menimbulkan gangguan kepada penghuni dan keturunannya.

4. Menyimpan barang-barang berunsur khurafat

Seseorang yang menyimpan barangan yang pernah menjalani suatu upacara khusus seperti keris yang dipuja, tombak yang dimandikan darah; atau batu permata yang dikatakan diambil dari alam ghaib; atau barang perhiasan seperti tepak sirih yang diwarisi dari pengamal ilmu-ilmu khurafat; atau barang kemas yang diwarisi secara turun temurun dengan syarat-syarat tertentu, maka besar kemungkinan ianya boleh menimbulkan gangguan misteri.

Barangan tersebut biasanya dihuni dan dijaga oleh makhluk halus ini.

BENARKAH SAKA ITU ROH NENEK MOYANG?

Ramai orang tersalah anggap tentang makhluk saka ini. Mereka menyangka bahawa ianya adalah roh ibu bapa atau nenek moyang yang telah meninggal dunia.

Sebenarnya, anggapan sedemikian sangat silap dan meleset. Apabila seseorang meninggal dunia, rohnya akan dibawa ke alam barzakh, iaitu alam yang memisahkan antara hidup dunia dengan kehidupan akhirat kelak.

Roh manusia yang telah meninggal dunia tidak akan kembali semula ke dunia sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Mu’minun ayat 99-100:

"Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan.”

Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).

Berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa Allah tidak akan sesekali membenarkan roh orang yang telah mati terutamanya roh orang yang kufur untuk kembali ke dunia.

Jikalau benar roh-roh ini dibenarkan kembali, nescaya mereka tidak akan membuang masa untuk mengganggu anak cucu tetapi mereka pasti akan ke rumah ibadah untuk beribadah dan melakukan pelbagai lagi amalan soleh sebagai bekal untuk pulang semula ke akhirat.

Sebaliknya, yang mengganggu anak cucu itu adalah jin dan syaitan yang mengambil kesempatan atas kejahilan manusia.

Adakalanya seseorang itu tidak mengetahui bahawa ada sesuatu yang mendampinginya. Apabila dia meninggal dunia, makhluk tadi akan mencari pendamping baru yang mempunyai pertalian darah dengan si mati tadi.

Penulis membuat satu andaian, bahawa penyakit genetik merupakan satu istilah perubatan moden yang sebenarnya adalah merujuk kepada saka.

Kita biasa mendengar, jika datuk atau bapa ada sakit jantung dan darah tinggi, kemungkinan anak atau cucu lelakinya akan mewarisi penyakit yang sama kelak.

Jika nenek atau ibunya menghidap kencing manis, maka besar kemungkinan anak perempuannya akan turut terkena kencing manis.

Bahkan, banyak penyakit-penyakit moden yang dikenali dalam perubatan moden dikatakan mempunyai kaitan dengan genetik dan faktor keturunan seperti kanser, ketumbuhan, tumor dan sebagainya.

MEMBUANG SAKA BERDASARKAN KISAH NABI MUSA DAN SAMIRI

Tidak dinafikan bahawa merawat penyakit berpunca dari saka agak sukar terutama apabila ada ahli keluarga yang membantah dan enggan bekerjasama ekoran silap faham tentang isu saka ini.

Ada satu kaedah yang ditunjukan oleh Allah melalui firmanNya dalam surah Ta-Ha ayat 97: ”Musa berkata kepada Samiri: “Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya telah ditetapkan bagimu akan berkata dalam kehidupan dunia ini: ` Jangan sentuh daku‘, dan sesungguhnya telah dijanjikan lagi untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.”

Kisah ini adalah berkenaan seorang lelaki bernama Samiri dari umat Nabi Musa a.s.

Menurut Ibnu Abbas r.a., Samiri adalah seorang penduduk Bajarma dan berasal daripada kaum yang menyembah berhala.

Ketika Nabi Musa pergi bermunajat kepada Allah selama 40 hari di bukit Tursina, Samiri telah mencipta patung seekor lembu betina dari emas untuk dijadikan bahan sembahan Bani Israel.

Ahli sejarah berpendapat, patung lembu tersebut adalah patung Hathor (patung lembu sapi betina dengan kepalanya dihiasi cakera matahari) atau Hapis (patung lembu jantan). Istimewanya, patung lembu tersebut boleh bercakap.

Menurut Ibnu Kathir dan Ath-Tabari, kebolehan patung itu bercakap adalah kerana pertolongan syaitan melalui ilmu sihir yang diamalkan oleh Samiri.

Rahsia tersebut ialah dengan mengambil segenggam tanah yang dipijak oleh kuda tunggangan Jibrail as. dan dicampakkan ke dalam adunan emas yang sedang dibakar.

Terpukau dengan lembu yang boleh bercakap, maka bani Israel telah menjadikannya sebagai tuhan sembahan.

Sekembalinya Nabi Musa dari munajatnya, baginda terkejut dengan apa yang berlaku, lalu baginda menghalau Samiri.

Baginda juga membakar dan menghancurkan patung lembu tersebut dan menaburkan abunya di laut sehingga hilang lenyap.

Seterusnya, nabi Musa memerintahkan agar bertaubat kepada Allah melalui firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 54: ”Dan (ingatlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya:” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.”

Langkah 1: Musnahkan barang kediaman saka

Berdasarkan dua ayat di atas, terdapat dua langkah utama yang perlu dilakukan oleh pesakit untuk mengelakkan gangguan makhluk jin dan syaitan.

Yang pertama ialah dengan menghapuskan sesuatu yang pernah dijadikan sebagai bahan perlindungan, bahan sembahan, bahan pergantungan atau bahan simbolik perjanjian dengan syaitan dengan cara membakar, menghancur dan membuangnya jauh-jauh ke laut atau sungai.

Oleh itu, jika kita ada menyimpan barangan-barangan tertentu yang disimpan secara khas dengan syarat tertentu, maka eloklah dimusnahkan supaya gangguan dapat dielakkan.

Sekiranya barang tersebut berupa senjata lama yang perlu melalui upacara khusus seperti perlu diperasap pada malam bulan purnama; atau mungkin ianya disimpan dengan balutan khusus berwarna tertentu, maka cara untuk mematikannya ialah dengan membuangnya ke laut sebagaimana yang dilakukan oleh Nabi Musa.

Sekiranya barang itu berupa barang kemas yang diwarisi dari seseorang yang diketahui terlibat dengan perkara-perkara khurafat dan mengamalkan ilmu-ilmu kebatinan, maka barang kemas tersebut perlu dilupuskan dengan cara menjualnya kepada tukang emas untuk dileburkan.

Sekiranya barang tersebut berupa barang perhiasan yang diperbuat dari tembaga seperti tepak sirih, dulang, pahar atau kacip pinang, cara untuk memusnahkannya ialah dengan melupuskan ia dari kepunyaan kita sama ada dengan menjual atau membuangnya jauh-jauh.

Sekiranya bahan tersebut berupa fabrik, pakaian atau kertas, cara untuk menghapuskannya ialah dengan membakarnya.

Ada pesakit yang berasa sedih apabila barang-barang tersebut termasuk gambar dimakan api.

Sebenarnya, cara terbaik untuk mengingati keturunan kita yang telah meninggal dunia ialah dengan berdoa memohon agar rohnya dirahmati Allah, membuat majlis tahlil arwah dan lain-lain ibadah dengan niat agar Allah menyampaikan pahala tersebut kepada mereka. Menyimpan barang kenangan belum tentu menambah pahala kepada si mati.

Langkah 2: Banyakkan taubat

Setelah kesemua barangan tersebut dimusnahkan, maka pesakit perlu memperbanyakkan taubat, memohon ampun kepada Allah atas segala kejahilan dan kekufuran yang telah dilakukan.

Cara taubat yang sebaik-baiknya ialah melalui taubat terpimpin iaitu dengan menemui seorang pembimbing dari kalangan orang alim yang beramal dengan ilmunya dan belajar cara taubat yang sebetulnya.

Kebiasaannya, sebahagian besar masalah tersebut akan dapat di atasi melalui kaedah banyak bertaubat.

PESANAN UNTUK PEWARIS SAKA

Dalam banyak situasi, ahli keluarga pesakit enggan mengaku bahawa keluarga mereka ada mewarisi saka bahkan, ada juga yang memarahi perawat kerana membuat tuduhan melulu.

Dalam menghadapi keadaan ini, ahli keluarga pesakit tidak perlu melenting apabila didapati punca penyakit misteri yang dihidapinya berpunca dari gangguan saka. Perawat pula janganlah beriya-iya menyalahkan keturunan pesakit sebagai punca masalah.

Sebaik-baiknya kedua-dua pihak, sama ada pesakit atau perawat, berlapang dada menerima kenyataan bahawa masalah yang dihadapi adalah berpunca dari kejahatan dan dendam kesumat iblis dan syaitan terhadap Adam dan keturunannya.

Firman Allah Taala dalam surah Al-A’raf ayat 16-17: Iblis berkata: “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

Penulis yakin tidak ada ibu bapa atau datuk nenek kita yang ingin melihat keturunannya hidup dalam penderitaan dan ketakutan.

Adakalanya, mereka sendiri tidak menyedari bahawa amalan tersebut menjadi punca kedatangan jin kafir dan syaitan untuk menganggu anak cucu mereka.

Kadang-kadang, dorongan nafsu untuk menjadi kaya, menjadi hebat, menjadi cantik menyebabkan mereka beramal dengan ilmu-ilmu tersebut. Oleh yang demikian, jangan sesekali menyalahkan ibu bapa, datuk nenek atas kesilapan mereka.

Apa yang perlu kita lakukan ialah memohon kepada Allah agar Allah mengampunkan dosa dan kejahilan mereka.

Dalam masa yang sama, kita berikhtiar untuk sembuh dengan cara yang ditunjukkan oleh Allah dalam Al-Quran.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mahyuddin09

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon