Sunday, May 01, 2022

9 Negeri Di Malaysia Bakal Tenggelam Pada Tahun 2050!

9 Negeri Di Malaysia Bakal Tenggelam Pada Tahun 2050!

Satu kajian yang dijalankan oleh Nature Communication pada tahun 2019, iaitu sebuah badan yang menerbitkan jurnal-jurnal berkualiti tinggi mendedahkan bahawa Malaysia bakal tenggelam menjelang tahun 2050.

Banjir Di Pahang
Banjir di Pahang.

Menggunakan Data Digital Elevation Models (CoastalDEM), kajian simulasi digital berkenaan yang menjelaskan bagaimana paras kenaikan air laut mempengaruhi negara-negara pesisir laut mendapati sembilan negeri di Malaysia akan tenggelam dan membentuk sebuah pulau, sekali gus menjejaskan berjuta-juta penduduk.

Antaranya, Sarawak, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu, Pahang dan Kelantan kerana berada di bawah paras air laut.

Pada tahun 2050: Alor Setar menjadi sebuah pulau; sepanjang kawasan Parit Buntar hingga ke Taiping tidak kelihatan; Lebuh Raya Utara Selatan tenggelam; Bagan Datoh, Teluk Intan dan Kuala Selangor lenyap; Port Klang tenggelam; Shah Alam mengecil; Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bertempat di sebelah pantai. Muar dan Pekan juga tenggelam; Kuala Terengganu mengecil dan menjadi beberapa pulau.

Di Sarawak, Kuching juga mengecil dan menjadi beberapa pulau. Dalam masa sama pendedahan itu turut menyatakan di peringkat global, populasi Asia adalah paling banyak terdedah kepada kenaikan paras laut iaitu sebanyak 70 peratus.

Keadaan lebih teruk jika faktor lapisan ais tidak stabil diambil kira. Keseluruhan bahagian selatan Vietnam termasuk bandar Ho Chi Minh akan tenggelam pada 2050. Bandar-bandar utama seperti Bangkok, Mumbai dan Shanghai akan lenyap.

Selain itu, hal yang sama juga mengancam negara-negara lain di dunia ekoran beberapa trilion tan ais yang telah hilang dari Greenland sejak 1994, sekali gus telah meningkatkan paras laut.

JAKARTA BAKAL TENGGELAM

Masjid Wal Adhuna, Jakarta
Masjid Wal Adhuna, Muara Baru, Penjaringan, Jakarta Pusat.

Sementara itu, negara Indonesia dijangka bakal tenggelam satu pertiga menjelang 2050, bahkan ibu negaranya iaitu Jakarta dikatakan akan tenggelam dalam tempoh beberapa puluh tahun akan datang.

Ia dibuktikan dengan sebuah masjid yang berdiri kukuh di kawasan Muara Baru, Penjaringan, Jakarta Pusat menjadi 'saksi bisu' kepada jangkaan tersebut apabila separuh strukturnya semakin tenggelam akibat peningkatan paras laut.

Dalam pada itu, pakar geodesi dari Institut Teknologi Bandung (ITB) Heri Andreas berkata, kira-kira 9,000 hektar tanah di Jakarta sudah berada di bawah permukaan laut.

Menurutnya, pada 2021, sebanyak 14 peratus wilayah Jakarta sudah berada di bawah laut dan jumlah itu boleh meningkat kepada 28 peratus menjelang 2050.

Ujarnya, fenomena ini berlaku disebabkan dua faktor iaitu peningkatan paras air laut akibat pemanasan global dan turunnya permukaan tanah akibat eksploitasi air secara berlebihan.

Heri menjelaskan, jika kerajaan tidak melakukan langkah maksimum, tanah di Jakarta boleh menurun sehingga empat meter di bawah permukaan laut menjelang 2050.

KERAKUSAN KAPITALIS

Bumi yang didiami ini semakin nazak dek kerakusan manusia yang menyebabkan masalah pemanasan global yang mencairkan lapisan ais pada kadar yang membimbangkan.

Apalah ertinya kemodenan dan kemajuan jika kita terpaksa membayarnya dengan harga paling mahal iaitu kemusnahan alam sekitar serta tempat tinggal kita?

Jika bumi ini musnah di tangan manusia, ke planet manakah generasi akan datang boleh melarikan diri?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, April 26, 2022

Kenapa Ada Negara Islam Mengiktiraf Kedaulatan Israel?

Kenapa Ada Negara Islam Mengiktiraf Kedaulatan Israel?

Di jazirah Arab, ada beberapa negara yang mengiktiraf kedaulatan negara haram Israel dan menjalinkan hubungan diplomatik yang antaranya adalah; Mesir, Jordan, UAE, Morocco, Bahrain dan Sudan.

Mesir dianggap klasik kerana negara ini sudah menandatangani Perjanjian Damai dengan Israel sejak tahun 1979, sama juga dengan Jordan, yang membuat Perjanjian Damai dengan Israel pada tahun 1994.

Arab iktiraf Israel

Mesir dan Jordan seperti yang kita tahu, negara sempadan kepada Palestin. Kedua negara ini terlibat dengan perang menentang Israel dari dahulu lagi.

Mungkin sebab penat berperang, lalu mereka ambil jalan berdamai.

Tahun 2020 memperlihatkan 4 lagi negara Islam mengikut jejak langkah mengiktiraf negara Israel iaitu UAE, Bahrain, Sudan dan Morroco.

Ada beberapa sebab kenapa negara-negara Islam, saudara mara kita ini menyokong negara haram Israel.

Kami akan terangkan secara ringkas satu persatu.

1. Bahrain

Bahrain merupakan negara Orthodox Sunni yang takutkan ancaman Iran (Syiah) dan di Bahrain, terdapat gerakan Syiah yang memperjuangkan hak-hak demokrasi dan kumpulan ini mendapat restu Iran.

Disebabkan Bahrain tidak segagah Iran, negara ini memerlukan perlindungan dari kuasa besar Amerika.

Macam mana nak dapat perlindungan dari Amerika? Mudah. Iktiraf Israel.

Tapi kenapa perlu iktiraf Israel sedangkan yang perlu diminta pertolongan adalah Amerika?

Situasi ini ada kaitan dengan geopolitik. Selain itu, Amerika Syarikat telah mula kurangkan kapasiti ketenteraan mereka di Timur Tengah.

Jadi, Bahrain memerlukan perlindungan (double protection) dan kuasa ketenteraan yang dilihat boleh membantu mereka iaitu Israel.

Faktor kedua, Bahrain terhutang budi kepada Arab Saudi disebabkan semasa Arab Spring 2011, Bahrain terselamat dengan bantuan Arab Saudi.

Bahrain tahu yang Arab Saudi ada niat untuk menjalin hubungan dengan Israel, disebabkan itu Bahrain menjadi shadow nation dulu tengok macam mana perkembangan sebelum Saudi pula memulakan langkah.

2. Morroco/Maghribi

Morroco ada pertikaian satu wilayah di Sahara Barat. United Nation tak luluskan kedaulatan Morroco ke atas kawasan Sahara Barat seperti yang dituntut oleh kerajaan Morroco.

Jadi Morroco mengambil jalan pintas, iktiraf Israel dan sebagai timbal balik, mereka meminta Amerika untuk membantu dalam tuntutan ke atas kawasan yang dituntut.

Apa Amerika buat? Amerika ketuai rundingan dengan United Nation untuk Morroco dapatkan beberapa habuan wilayah sepanjang Sahara.

3. Sudan

Sudan pula dilihat sebagai sahabat baik Iran. Sebabnya, Khortum tidak menyertai pertikaian Saudi-Emirates semasa pembantaian Houti di Yaman.

Bila Sudan tidak mempertahankan Sunni daripada diserang Iran (Syiah), maka negara arab melihat Sudan sebagai sekutu Iran.

Bersahabat baik dengan Iran tapi kenapa iktiraf Israel?

Seperti biasa, manusia ini hatinya sentiasa berubah-rubah. Macam itu juga dengan Sudan. Negara ini membuat langkah sampingan bila Amerika tawarkan sesuatu yang sukar ditolak.

Apa Amerika tawarkan?

Amerika akan keluarkan Sudan dari senarai negara yang menyokong keganasan, tetapi Sudan perlu mengiktiraf kedaulatan Israel.

Amerika pula akan memudahkan urusan perdagangan global untuk Sudan sebagai medium untuk menaikkan ekonomi dan mengukuhkan perdagangan antarabangsa.

Persetujuan Sudan ini juga menyelamatkan reputasi mereka daripada kritikan barat yang selama ini mengecam Sudan sebab kurangnya amalan demokrasi dalam sistem pemerintahan mereka.

4. UAE

Sebut Dubai dan Abu Dhabi, semua tahu ini tempat paling seronok di Timur Tengah.

Kedua-dua Bandar hebat ini berada di bawah negara UAE, sebuah lagi kuasa Islam yang mengiktitaf kedaulatan negara Israel.

Ketenteraan UAE tidaklah sehebat seperti kereta-kereta mewah yang rakyat mereka miliki (selalu tengok Supercar Blondie) atau segagah menara Burj Khalifah.

UAE perlukan kekuatan teknologi dan ketenteraan. Jadi macam mana nak dapat? Senang. Ikut sahaja cakap Amerika, iktiraf Israel.

Amerika akan memanfaatkan sokongan ini dengan bantuan ketenteraan termasuk jet pejuang yang UAE perlukan seperti F35 Stealth Fighter dan EA-18G Growler Warcraft.

Bukan setakat itu, UAE juga dapat banyak peluang kolaborasi dengan Israel terutamanya dalam hubungan dua hala perdagangan dan projek-projek mega yang jumlahnya ratusan bilion dollar.

Itulah serba sedikit yang boleh kita faham kenapa negara-negara Islam yang lebih dekat dengan Palestin tapi tidak berbuat apa-apa bila dibantai oleh Zionis.

Bukan sekadar menutup mata, malah berlaku khianat dengan mengiktiraf kedaulatan negara haram Israel.

Begitulah betapa geopolitik, kepentingan ekonomi, keutamaan ketenteraan, kepentingan kuasa, reputasi, kekayaan, keselamatan dan pengiktirafan kuasa besar; SENTIASA DAN SELAMANYA akan melebihi kepentingan nyawa apatah lagi kesyumulan sebuah agama.

Kita tak perlu menjerit Jihad ke telinga mereka, sebab itu bukan suatu hal yang mereka peduli pun.

Perang Zionist vs Palestinians? Pada mereka di situlah terletaknya 1001 peluang untuk menambah kuasa dan kekayaan.

Now you know.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, April 13, 2022

Perang Adalah Perniagaan Tipu

Perang Adalah Perniagaan Tipu

Perang Ukraine atau "Special Operation - operasi khas Putin" yang bermula pada 24 Februari 2022 lalu telah masuk bulan kedua. Banyak kota-kota Ukraine telah dimusnah oleh ledakan bom dari udara, dari kereta kebal dan dari kapal selam yang melancarkan peluru berpandu.

Perang adalah bisnes lumayan

Mengikut banci tahun 2020 penduduk Ukraine berjumlah 44.13 juta. Hari ini lebih dari enam juta warga telah kehilangan tempat tinggal. Seramai empat juta telah menjadi pelarian perang. Hampir 500,000 orang telah masuk ke Rusia.

Seramai 2.5 juta telah melarikan diri ke Poland. Selain daripada itu warga Ukraine yang ingin menyelamatkan diri telah mendapat perlindungan di Slovakia, Romania, Hungary dan Maldova.

Ini krisis pelarian perang terbesar di Eropah sesudah Perang Dunia Kedua.

Jangan salah baca. Jangan silap faham. Kita bukan menghalalkan apa yang dilakukan oleh Vladimir Putin. Keganasan tetap keganasan. Menceroboh masuk ke negara asing adalah salah laku yang wajib dikutuk.

Putin bersalah menceroboh dan menyerang Ukraine. Tindakan Rusia menyerang Ukraine ini sama seperti Presiden Bush menceroboh dan menyerang Iraq pada tahun 2001. Sama seperti tindakan Presiden Obama masuk menghantar soldadu Amerika ke Syria pada tahun 2014.

Amerika melakukan jenayah perang selama 20 tahun apabila masuk menceroboh dan menyerang Afghanistan pada tahun 2001.

Israel salah kerana menceroboh menyerang Syria pada tahun 1967 dan menawan Bukit Gholan hingga ke hari ini.

Singapura salah menceroboh ruang udara Malaysia yang dialami oleh warga Johor yang dikatakan semakin kerap berlaku kebelakangan ini.

China juga salah menceroboh masuk perairan Filipina, Vietnam dan Malaysia di Lautan Sunda.

China juga melanggar undang-undang dunia apabila masuk menceroboh sempadan Republik Taiwan saban tahun. Jika China masuk melanggar Taiwan ini bermakna China melakukan jenayah perang.

Imperialis - sama ada imperialis Amerika, Rusia atau China tidak ada beza. Watak, perangai dan tindak tanduk kuasa imperialis adalah sama.

Apa yang ingin ditimbulkan di sini ialah bagaimana media Barat menggarap cerita apabila Rusia menyerang Ukraine.

Media arus perdana Barat terus tanpa henti mengutuk dan menyelar Presiden Putin dan Rusia.

Keganasan dan kemusnahan yang dilakukan oleh Rusia dipapar setiap detik. Dari media cetak, dari kaca tv dan media baru yang dimiliki oleh syarikat Amerika semuanya seirama menyelar Rusia.

Bucha – dari sebuah pekan kecil entah di mana letaknya di Ukraine kini menjadi perbualan dunia.

Bucha yang penduduknya tidak melebihi 40,000 orang telah dihebohkan bagai nak rak. Di Bucha dikatakan soldadu dan bala tentera Rusia telah melakukan keganasan terhadap orang awam.

Mayat yang bergelimpangan dengan tangan terikat ditemui di tengah jalan. Apa yang berlaku di Bucha ditakrif oleh media Barat sebagai genocide – pembunuhan orang awam beramai-ramai.

Rusia menafikan apa yang berlaku di Bucha. Menurut Rusia semua ini hanyalah sandiwara yang dipentaskan untuk memerangkap dan menuduh Rusia melakukan jenayah perang.

Ketika Bush mengebom Baghdad kita tidak terjumpa laporan media Barat yang menuduh Presiden Bush melakukan genocide ke atas warga Iraq. Ketika Israel mengebom Gaza media Barat senyap membisu.

Tidak ada media Barat - CNN, BBC atau New York Times melaporkan niat untuk mendakwa Benjamin Netanyahu ke mahkamah dunia kerana genocide.

Justeru laporan berita yang berat sebelah pasti akan membuka fikrah sesiapa sahaja yang rasional.

Berfikir secara rasional untuk mengamati apa yang sebenarnya sedang berlaku di Ukraine.

Bertanya pada diri: Udang jenis apa ada tersorok di tembok Kyiv?

Yang mana propaganda, yang mana sandiwara, yang mana berita teater, yang mana berita palsu, mana operasi salah bendera dan yang mana berita perangkap.

Kita sebagai insan yang bertanggungjawab wajib terus meneliti. Jangan ambil sikap tangkap muat dan malas berfikir dan menganalisa.

Untuk memahami cerita dan apa berita kita wajib melihat apa sebenarnya agenda di belakang tabir.

Kita wajib bijak membaca apa makna suara dan kenyataan dan tindakan Presiden Biden, Kesatuan Eropah dan Nato.

Langkah pertama yang diambil oleh Amerika dan Kesatuan Eropah ialah melakukan sekatan ekonomi terhadap Rusia.

Dari minggu pertama apabila pecah perang Amerika telah menyusun strategi untuk menyekat ekonomi Rusia.

Amerika, Nato dan Kesatuan Eropah telah melancarkan perang ekonomi. Serangan ekonomi telah lama berlaku.

Amerika dan sekutunya telah mengadakan sekatan ekonomi semenjak Rusia mengambil alih kembali Crimea pada tahun 2014.

Sesudah Ukraine diserang sekatan ekonomi ditambah dan diperketat.

Nadi tenaga Eropah

Dari segi ekonomi Rusia adalah pengeluar minyak dan gas terbesar dalam dunia kerana memiliki simpanan minyak dan gas dalam bumi yang masih belum dicari gali.

Rusia mengeluarkan 10.5 juta tong minyak sehari atau 14 peratus pengeluaran dunia. Rusia juga pengeluar gas ke dua terbesar di dunia selepas Amerika.

Malah, negara-negara Eropah Barat dari Perancis hingga ke Itali membeli cecair gas dan bahan bakar minyak petroleum dari Rusia. Rusia menjadi pembekal 40 peratus bahan tenaga bakar untuk Jerman.

Hakikatnya tenaga letrik Eropah datang dari Rusia.

Rusia dilihat seperti saluran nadi darah – gas dan minyak - untuk Eropah Barat dan Timur. Minyak dan gas Rusia datang dari perut bumi bukan dari dasar laut. Maknanya cari gali yang lebih mudah. Maknanya keuntungan lebih lumayan untuk Rusia.

Mengikut laporan International Energy Agency pada tahun 2021, 45 peratus bajet Rusia datang daripada jual beli minyak dan gas.

Pada awal perang, Jerman enggan terlibat secara mendalam. Jerman enggan menghantar senjata ke Ukraine. Ini kerana kebergantungan Jerman kepada bahan tenaga gas dan minyak dari Rusia.

Amerika telah memberi tekanan kepada Jerman. Sekatan ekonomi dari Jerman amat penting dalam strategi perang ekonomi. Jerman adalah pemacu utama ekonomi Eropah yang diikuti oleh Perancis.

Malah, sebelum perang pecah Amerika telah meminta Jerman memutuskan hubungan ekonomi yang intim dengan Rusia.

Projek Nord Stream 2 - saluran paip gas bernilai 2 bilion dolar telah siap. Modal projek ini dari Jerman. Projek ini untuk menambah saluran paip Nord Stream 1 sedia ada. Amerika tidak selesa dengan saluran paip kedua ini. Justeru Amerika terus memberi tekanan.

Apabila perang pecah, tekanan Amerika ke atas Jerman bertambah kuat. Akhirnya Jerman membatalkan Nord Stream 2 dari beroperasi. Jerman juga bersetuju untuk menghantar senjata ke Ukraine.

Jelas hubungan ekonomi Jerman dengan Rusia melalui gas dan minyak ini mahu dimusnahkan oleh Amerika. Terbukti Amerika mahu Eropah membeli bahan bakar gas dan minyak dari Amerika.

Maka terbukti kebenaran kata-kata Karl Marx (1818-1883) ahli falsafah Jerman yang berkata 100 tahun dahulu bahawa perang adalah perebutan punca ekonomi.

Dampak pertama kita lihat bagaimana untuk pertama kalinya Jerman telah menggandakan bajet pertahanan daripada AS$52.8 bilion untuk tahun 2021 ke AS$112.7 bilion dolar untuk tahun 2022.

Apa makna semua ini?

Pada tahun 1935, Major Jeneral (Bersara) Smedley D Butler telah menulis buku: War is a RacketPerang Adalah Perniagaan Tipu.

Dalam buku yang digarap hasil daripada pengalaman dalam tentera, Major Jeneral Smedley telah membutirkan bagaimana tentera Amerika telah melancar beberapa perang di Amerika Latin.

Perang untuk menegak demokrasi. Perang untuk melawan komunis. Demokrasi dan komunis dijadikan sebab musabab untuk mengolah persetujuan rakyat Amerika agar menyokong presiden dan ahli kongres untuk melancarkan perang.

Walhal tujuan perang tidak ada sangkut paut dengan membawa demokrasi. Ini terbukti seperti di Iraq di mana demokrasi dijadikan alasan untuk menumbangkan Saddam Hussein.

Senjata 'mass destruction – senjata pemusnah' dijadikan ratiban untuk memerangi Iraq.

Hakikatnya, kita tidak perlu berdolak dalik. Kita tidak perlu menipu diri sendiri. Perang dilancarkan bertujuan untuk memastikan industri senjata terus berkembang.

Tokan senjata, taikun senjata, pemilik kilang senjata telah memberi dana kepada para politikus ketika berkempen mencari undi. Dana politik ini adalah pelaburan. Setelah presiden atau ahli Kongres dipilih maka inilah masa untuk menuai pelaburan itu.

Presiden dan ahli kongres akan berpolitik untuk mewujudkan perang. Bila perang pecah maka Military-Industrial Complex - Kompleks Industri Senjata akan bergerak pantas untuk mengeluarkan senjata.

Industri senjata ini amat penting untuk Amerika. Sebagai negara imperialis senjata perlu untuk menundukkan musuh. Hegemoni Amerika ini asasnya ialah kekuatan senjata.

Malah eksport utama Amerika ialah senjata. Syarikat Lockheed Martin, Boeing, Northrop Grumman dan Raytheon Technologies adalah nama-nama syarikat gergasi persenjataan dunia.

Bersama syarikat senjata ini wujud pula syarikat tentera swasta. Di Amerika ada 5,883 syarikat tentera swasta. Nama terulung yang dikenali dalam dunia ialah Blackwater dan G4S.

Kerja jahat, gelap

Soldadu swasta ini menjalankan tugas yang sama seperti yang dijalankan oleh tentera rasmi Amerika.

Bezanya soldadu dari Blackwater boleh melakukan kerja-kerja jahat yang tidak akan dilakukan soldadu rasmi Amerika.

Kontrak untuk membuat senjata dan kontrak kerja gelap yang bernilai berbilion dolar akan diluluskan oleh Kongres.

Kerja gelap seperti mengebom 'kenduri kahwin' di Kabul pada 18 Ogos 2019 di mana 63 telah tewas dan 180 lagi cedera.

Kerja jahat ini dilakukan oleh ISIS – Islamic State of Iraq and Syria. Dunia tahu ISIS adalah jaringan syarikat Al-Qaeda.

Al-Qeada asal usulnya adalah anak syarikat soldadu swasta yang ditaja oleh Amerika untuk melawan Rusia di Afghanistan pada tahun 1979.

Kerja jahat lagi gelap ini tidak akan dilakukan oleh soldadu rasmi Amerika. Justeru soldadu Amerika tidak akan didakwa di mahkamah dunia.

Media Barat tanpa henti melaporkan kata-kata dan ucapan molek-molek meminta perang Ukraine dihentikan.

Saranan hentikan perang kita dengar dari Presiden Biden dan Ursula Von der Leyen, Presiden Kesatuan Eropah.

Seperti pelakon Holywood yang menggunakan 'method acting' Biden dan Leyen telah menitiskan air mata sedih apabila melihat gambar mayat bergelimpang di atas jalan raya di Bucha.

Di belakang air mata buaya ini sebenarnya Amerika dan Nato dan EU tidak mahu perang ini ditamatkan.

Apa buktinya?

Buktinya - Amerika dan Nato terus meneruskan pembekalan pelbagai bentuk senjata kepada Ukraine. Senjata ini semuanya dari Amerika. Dana persenjataan terus dibekalkan kepada Ukraine.

Justeru dana politik yang dilaburkan oleh Lockheed Martin, Boeing atau Blackwater kini panennya sedang dituai.

Malah, jangan terperanjat bila ditemui ramai ahli Kongres daripada parti Republikan dan Demokrat memiliki saham dalam syarikat membuat senjata.

Pada 13 Disember 2021 dilaporkan terdapat 15 ahli Dewan Senat dan Kongres yang menerajui dasar pertahanan Amerika ada memiliki kepentingan dalam syarikat persenjataan.

Dua bulan semenjak perang Ukraine ini bermula ianya telah menaikkan lagi nilai saham Boeing, Lockheed Martin dan Taytheon Technologies. Saham syarikat senjata naik, maka poket politikus juga menggelembung naik sama.

Justeru mustahil perang ini akan ditamatkan secepat mungkin, malah ada tujuan lain lagi untuk meneruskan perang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Wednesday, April 06, 2022

Perang Rusia-Ukraine: CIA Dan NATO Penjahat Di Balik Tabir

Perang Rusia-Ukraine: CIA Dan NATO Penjahat Di Balik Tabir

Daripada apa yang dunia diberitahu rundingan damai pusingan keenam antara Rusia dan Ukraine telah selesai di Istanbul Turki pada penghujung Februari tahun 2022. Tidak ada berita lanjut menyusul hasil dari rundingan ini.

Perang Rusia-Ukraine

Apa yang jelas, kota-kota Ukraine terus dibedil oleh bala tentera Rusia dari darat, laut dan udara. Perang ini menimbulkan masalah orang pelarian.

Lebih dua juta warga Ukraine telah melarikan diri. Ada yang masuk ke Rusia, ke Belarus, ke Poland, ke Republik Czech dan negara jiran bersebelahan untuk mencari keselamatan.

Presiden Vladimir Putin memanggil perang ini sebagai special operation - operasi khas - dari Rusia.

Sementara itu, Presiden Volodymyr Zelenskyy menjerit terpekik terlolong melaung bahawa Ukraine telah diserang oleh Rusia.

Perangai terpekik terlolong Zelenskyy ini tidak menghairankan kerana sosok ini hanyalah seorang pelawak manakala Putin adalah bekas mata-mata gelap perisik KGB pada zaman Soviet Union. Putin juga pemain sukan judo dan pemilik tali pinggang hitam.

Putin ialah bekas perdana menteri Rusia dan menjadi presiden pada tahun 2000. Zelenskyy pula bekas pelawak yang bertukar menjadi pelakon dan kemudian menjadi presiden pada 2019.

Kalau kita membaca dan mengikuti laporan media Barat, Ukraine berjaya mengalahkan Rusia. Berpuluh ribu soldadu Rusia gugur. Ratusan kereta perisai Rusia musnah. Berpuluh jet pejuang Rusia telah ditembak jatuh.

Malah kuasa Putin sedang goyah dan bila-bila masa saja akan berlaku peralihan kuasa di Kremlin.

Bacaan politik seperti ini meyakinkan Presiden Joe Biden ketika berucap di Poland telah berkata "this man has to go.."

Putin wajib berambus.

Tak dilapor media Barat

Putin digambarkan sebagai Hitler jenis baru. Bekas setiausaha negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice bersuara mengatakan bahawa Putin tidak memiliki kewarasan fikrah lagi sehingga sanggup menghantar bala tentera Rusia untuk 'mati katak' di Ukraine.

Dilaporkan oleh media Barat bahawa rancangan 'perang jahat' Putin ini telah gagal meleset.

Seluruh dunia mengikut laporan media Barat sedang menyekat ekonomi Rusia dan saban hari rakyat dunia mengutuk Putin.

Media seperti stesen CNN, BBC, DW dari Jerman, ABC dari Australia - semua memberi laporan betapa Putin telah membuat silap besar.

Putin menyangka rakyat Ukraine akan menyambut soldadu Rusia dengan tangan terbuka.

Tidak cukup dengan ini stesen RT (Russia Today) telah dilarang beroperasi di Amerika Syarikat dan negara Eropah. Internet dan YouTube telah menghalang kemasukan semua berita yang berpunca dari Rusia.

Justeru kita hanya mendengar satu cerita sahaja. Cerita orang jahat bernama Putin. Cerita lain media Barat tidak lapor.

Bayangkan, ramai warga dunia tidak sedar bahawa Presiden Zelenskyy ini hanyalah seorang pelawak.

Apa sebenarnya terjadi?

Tulisan ini akan cuba memberi pencerahan tentang perang yang telah berlaku semenjak lapan tahun.

Selama lapan tahun berita perang ini ditutup dan tidak dihebohkan daripada diketahui warga dunia.

Tidak seperti yang berlaku sekarang - Perang Ukraine yang dihebohkan - perang 'senyap' ini telah mengorbankan lebih 14,000 nyawa.

Lapan tahun? Kenapa lapan tahun? Bukankah Perang Ukraine hanya bermula pada 24 Feb 2022?

Betul. Tarikh 24 Februari 2022 adalah permulaan special operation dari Rusia.

Operasi khas ini adalah sambungan perang lapan tahun yang berlanjutan dari wilayah Donbass di timur Ukraine. Perang ini telah bermula pada tahun 2014 lagi.

Apa punca perang yang bermula pada tahun 2014?

Perang Donbass ini tidak dilapor dan tidak dihebohkan oleh media Barat. Malah punca Perang Donbass ini juga cuba disorokkan.

Pada tahun 2014, satu rampasan kuasa telah berlaku di Kyiv ibu kota Ukraine. Dengan slogan antirasuah dan menentang oligarch, rakyat telah keluar berdemo ke jalan raya.

Hasilnya, kerajaan Presiden Victor Yunokovych yang dipilih oleh rakyat jatuh. Presiden Yunokovych lari ke Rusia untuk menyelamatkan diri.

Di belakang rampasan kuasa 2014 ini ialah kumpulan Azov, kumpulan Nazi bentuk baru sambungan dari ideologi Hitler peninggalan Perang Dunia Kedua.

Batalion Azov tersusun dan bersenjata. Mereka inilah yang mengepung, mengganas dan membunuh di Istana Presiden di Dataran Maidan Kyiv pada 2014.

Permulaan perang 8 tahun lalu

Di belakang rampasan kuasa 2014 ini ialah CIA dan Amerika Syarikat, yang memberi sokongan moral dan dana untuk menjatuhkan Yunokovych.

Puan Victoria Nuland diplomat Amerika yang bertugas di Kyiv telah mengaku bahawa Amerika telah membelanjakan AS$5 bilion dolar untuk rancangan menjatuhkan kerajaan Yunokovych. Dana ini disalurkan kepada parti politik dan pelbagai kumpulan NGO.

Peranan CIA dalam babak rampasan kuasa 2014 ini tidak dihebohkan oleh media arus perdana Barat.

Rampasan kuasa 2014 yang ditaja oleh AS ini mengubah politik Ukraine. Dari sebuah negara yang berbaik dengan Rusia menjadi negara yang mahu menjadi sekutu Eropah dan mahu menjadi anggota Nato.

Di wilayah Donbass – sama seperti empat wilayah Selatan Siam berbangsa Melayu – di Donbass berbangsa Rusia.

Bila rampasan kuasa 2014 berlaku, warga etnik Rusia di Donbass bangun melawan kerajaan pusat di Kyiv. Mereka tidak mahu memusuhi Rusia.

Tentera Ukraine datang untuk menundukkan pemberontakan dan gerakan pemisah. Masuk batalion Azov – kumpulan neo-Nazi. Inilah permulaan perang lapan tahun dahulu.

Dalam masa yang sama satu pungutan suara telah dijalankan pada Februari 2014 di Crimea, yang mana penduduknya adalah etnik Rusia. Hasil pungutan suara, 97 peatus warga mahu Crimea masuk menjadi Persekutuan Rusia.

Media Barat juga tidak menghebohkan bahawa Crimea ini asal usulnya adalah sebahagian dari Rusia.

Pada tahun 1953, untuk menstabilkan politik Ukraine, Nikita Khrushchev ( 1894-1971) yang ketika itu memimpin Rusia telah memberikan wilayah Crimea ini kepada Ukraine.

Apa yang media Barat hebohkan hanyalah pungutan suara ini tidak diiktiraf oleh dunia. Sejarah, asal usul Crimea tidak di hebohkan.

Perang di wilayah Donbass berterusan hingga diadakan Perjanjian Minsk. Perjanjian ini meredakan perang, memulang tahanan perang, menghormati sempadan yang sedia wujud dan mengundurkan senjata berat.

Perjanjian Minsk ini ditandatangani oleh Rusia dan Ukraine di Minsk ibu negara Belarus pada 5 September 2014.

Tetapi keganasan batalion Azov di wilayah Donbass berterusan. Bentrokan dan pertempuran sering berlaku walaupun telah ada Perjanjian Minsk yang mengajukan damai.

Tiba-tiba Presiden Zelenskyy yang dipilih pada tahun 2019 menghidupkan kembali niat Ukraine untuk menjadi anggota Nato.

North Atlantic Treaty Organisaton (Nato) ini adalah perjanjian di bawah telunjuk Amerika.

Nato – perjanjian politik dan ketenteraan ini ditubuhkan pada tahun 1949.

Sambut dengan tangan terbuka

Tujuan Nato: Untuk menentang negara-negara blok Soviet Union yang dipimpin oleh Rusia setelah tamat Perang Dunia Kedua.

Sebagai jawapan kepada Nato – enam tahun kemudian pada tahun 1955, Soviet Union mendirikan Warsaw Pact.

Perjanjian Warsaw ini menyatukan negara Blok Soviet dalam hal politik, ekonomi dan kerjasama.

Dua blok – blok Amerika dan blok Soviet menjadi protagonis Perang Dingin. Dari tahun 1947 hingga runtuhnya Tembok Berlin pada tahun 1989 dua blok – superpower - ini bertelagah.

Asas Perang Dingin dua blok ini ialah pertempuran dua ideologi, sistem ekonomi kapitalis yang dikepalai oleh Amerika dan ideologi sistem ekonomi sosialis yang dipimpin oleh Rusia.

Suasana politik berubah. Pada tahun 1985 Rusia di bawah Mikhail Gorbachev (1931) membawa 'perestroika' dasar baru yang terbuka.

Amerika di bawah Ronald Reagan (1911-2004) menyambut dasar Rusia ini dengan tangan terbuka.

Akhirnya, Amerika di bawah Presiden Ronald Reagan dan Soviet Union di bawah Presiden Mikhail Gorbachev berjabat tangan.

Dua bekas musuh ini bertemu di Geneva (1985), di Reykjavik (1986), di Washington DC (1987) dan di Moscow (1988). Permusuhan tamat.

Tembok Berlin runtuh pada tahun 1989. Blok Soviet Union dimansuhkan. Perang Dingin tamat. Perjanjian Warsaw terbatal dengan sendirinya.

Salah satu perkara yang dipersetujui oleh Reagan dan Gorbachev ialah Nato tidak akan menambah ahli dan menular ke Timur hingga ke sempadan Rusia.

Sayangnya persetujuan ini tidak dihitamputihkan antara Reagan dengan Gorbachev.

Dunia mengalu-alukan tamatnya Perang Dingin. Tetapi Nato masih wujud. Nato masih dengan agenda utama menjadikan Rusia sebagai musuh.

Bukan saja Nato tidak dimansuhkan malah terus menerima negara baru sebagai anggota.

Negara bekas Perjanjian Warsaw dan Blok Soviet: Hungary, Republik Czech, Albania, Crotia, Estonia, Latvia, Lithuania, Monte Negro, Romania, Slovakia, Slovania dan Poland, kini menjadi anggota Nato.

Nato ditubuhkan dengan satu tujuan: Menentang Rusia dan Soviet Union. Kini Soviet Union tidak wujud tetapi niat dan tujuan Nato masih lagi melihat Rusia sebagai musuh.

Bila Ukraine berniat hendak menjadi anggota Nato, ertinya Ukraine hendak bermusuh dengan Rusia.

Rusia telah memberi amaran dan memberi ingatan berkali kali. Jangan luaskan anggota Nato hingga sampai ke depan pintu Rusia.

Negara-negara bekas Blok Soviet yang menjadi anggota Nato tidak dilihat mengancam keselamatan Rusia, tetapi Ukraine sangat istimewa.

Ukraine dan Rusia bersempadan – seperti Tanah Semenanjung bersempadan dengan Siam.

Justeru jika Ukraine menjadi anggota Nato ini bermakna senjata nuklear Nato boleh dipasang betul-betul di tepi katil Rusia.

Media Barat dan penyokong Nato sentiasa berhujah hak Ukraine untuk membuat perjanjian dengan sesiapa sahaja. Ini kerana Ukraine negara berdaulat.

Betulkah hujah ini?

Untuk memahami hujah ini mari kita kembali ke tahun 1962. Ketika ini Perang Dingin sedang memuncak. Rusia dipimpin oleh Nikita Khrushchev manakala Amerika dipimpin oleh John F Kennedy (1917-1963).

Rusia dengan senyap-senyap telah cuba memasang senjata nuklear di Cuba. Bayangan jarak Cuba dengan Amerika Syarikat hanya 90 batu.

Semua kota Amerika menjadi sasaran senjata Rusia. Bila rancangan Rusia ini diketahui oleh badan perisik Amerika maka terjadi apa yang kini diingati sebagai Cuban Missile Crisis.

Presiden Kennedy membantah. Pertelagahan terjadi. Dunia hampir meledak dengan senjata nuklear. Amerika berkeras menolak rancangan Cuba untuk menempatkan senjata Rusia di negara mereka.

Betul – Cuba negara berdaulat boleh membuat perjanjian dengan sesiapa saja. Ini hak Cuba. Tetapi memasang senjata nuklear di Cuba mengancam keselamatan Amerika Sarekat.

Akhirnya Rusia membatalkan niat untuk memasang missile di Cuba.

Babak ini sama dengan apa yang berlaku di Ukraine sekarang. Tetapi media Barat langsung tidak membuat perbandingan dengan apa yang berlaku pada tahun 1962 dengan apa yang berlaku pada tahun 2022.

Bulan Februari 2022, Presiden Zelenskyy mengoyakkan Perjanjian Minsk. Wilayah Donbass yang majoritinya etnik Rusia kembali dibedil. Kumpulan neo-Nazi Azov kembali mengganas.

Justeru pada 22 Februari 2022, Parlimen Rusia mengiktiraf wilayah Donbass sebagai negara merdeka.

Dua hari kemudian Presiden Putin melancarkan apa yang dipanggil 'special operation – operasi khas' ke atas Ukraine.

Dua tujuan asal operasi ini. Pertama 'denazification' membebaskan pengaruh Nazi di wilayah Donbass.

Kedua untuk mempertahankan hak etnik Rusia menggunakan bahasa Rusia yang diganyang dan ditindas di Ukraine.

Apakah perang akan berterusan?

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Tuesday, April 05, 2022

Kisah Bagaimana Budaya Barat Yang Rosak Menghancurkan Tamadun India!

Kisah Bagaimana Budaya Barat Yang Rosak Menghancurkan Tamadun India!

Industri automotif Jepun dan Korea Selatan berkembang pesat di persada antarabangsa bukanlah dengan menidakkan penggunaan bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris, walaupun mereka memang mampu maju tanpa bahasa asing.

Penjajah Lord Macaulay

Walau bagaimanapun, mereka masih tetap menggunakannya apabila tiba masanya, bagi membawa apa yang dijana di negara sendiri ke negara luar supaya ia tidak kelihatan sebagai jaguh kampung sahaja.

Apa yang mereka perlukan? Bahasa Inggeris!

Ia membolehkan sesebuah negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan mudah menerima maklumat antarabangsa. Hal ini secara tidak langsung mempercepat pembangunan.

Bezakan Bahasa Dan Budaya

Namun, disebalik penggunaan Bahasa Inggeris yang dilihat kian penting saban hari, kita haruslah bijak membezakan antara menerapkan penggunaan bahasa itu, dengan menjadikan nilai-nilai dan budaya Inggeris itu sendiri sebagai pegangan. Ia adalah dua perkara yang tersangat berbeza.

Itulah yang sebenarnya diharapkan oleh penjajah British ketika mereka menyebarkan taktik licik, supaya kita hilang jati diri dan rasa cintakan budaya sendiri.

Antara budaya-budaya barat yang diterapkan dalam untuk merosakkan sesebuah masyarakat adalah pergaulan bebas, minum arak, kelab malam dan banyak lagi.

Perkara ini dibuktikan oleh ucapan Lord Macaulay, seorang ahli politik British yang bertanggungjawab memperkenalkan bahasa Inggeris dan konsep barat ke dalam sistem pendidikan di India. Ia menyebabkan terjadinya polisi Macaulayisma disana.

Dalam ucapan itu yang berlaku di Parlimen British pada 2 Februari 1835, beliau ada menyebut:

"Saya sudah menjelajah seluruh India, dan saya tidak bersua dengan seorang peminta sedekah pun. Tidak ada pencuri dalam negara yang kaya-raya ini. Nilai akhlak bangsa ini mulia. Rakyatnya berkemampuan tinggi.

Pada fikiran saya kita tidak akan pernah mampu untuk menakluki negara ini, melainkan kita patahkan tulang belakangnya, iaitu warisan agama dan budayanya.

Saya mencadangkan, kita gantikan pegangan dan susunan pendidikan mereka yang berkurun itu dengan pendidikan British.

Sekiranya rakyat India ini sudah mula memikirkan bahawa pendidikan British yang asing itu lebih baik dan lebih agung daripada pendidikan mereka, maka mereka akan hilang harga diri dan budaya aslinya.

Mereka akan menjadi bangsa yang kita mahu, yang dapat kita kuasai seluruhnya."

(Terjemahan Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia)


Dari sini kita dapat melihat penerapan sistem pendidikan dan budaya barat oleh British sememangnya disengajakan, kerana mereka tahu sesuatu bangsa itu akan mengikut telunjuk mereka, jika mereka mampu menggantikan apa yang tersemat di dada dengan apa yang diajarkan mereka.

Bagi penulis, bahasa itu sendiri tidak salah untuk dipelajari, selagi ia memberikan manfaat kepada kita, lebih-lebih lagi di zaman serba canggih itu.

Dahulunya bahasa digunakan sebagai alat untuk memesongkan jati diri seseorang, yang membuatkan Jepun langsung tidak mahu menggunakannya, selain daripada disebabkan oleh peristiwa Perang Dunia Kedua.

Namun kini ia bukan lagi sebagai alat jajahan, malah Jepun sendiri menggunakan bahasa Inggeris bagi mengembangkan sesuatu kebolehan, dan tidak sesekali mereka melupakan adat, budaya serta pegangan mereka.

Ambillah apa yang baik daripada budaya luar, tak kiralah daripada mana. Apa yang penting adalah kita masih mengekalkan pegangan agama dan nilai budaya. Nescaya kita akan menjadi satu negara yang tersangat hebat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Friday, April 01, 2022

Pengarah Eksekutif SAPURA DIBAYAR RM983 JUTA, Bukti Jelas Bagaimana GLC Di Malaysia Rugi Memanjang!

Pengarah Eksekutif SAPURA DIBAYAR RM983 JUTA, Bukti Jelas Bagaimana GLC Di Malaysia Rugi Memanjang!

Sejak hilang kuasa dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun kerana bersalah menyeleweng dana pencen rakyat, Dato' Seri Najib Tun Razak ghairah cuba bersuara dalam semua perkara kononnya untuk menjadi hero rakyat.

Punca GLC Rugi


Catatan: Syarikat MAS suatu ketika dahulu adalah contoh terbaik, bagaimana syarikat GLC boleh rugi besar sedangkan Air Asia mampu mencatat keuntungan. Bayaran kepada pengarah lantikan politik menjahanamkan segala-galanya.

Terbaru, dia mengusulkan supaya Kerajaan Persekutuan campur tangan dengan mengarahkan institusi milik rakyat seperti PETRONAS, Khazanah atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) untuk menyelamatkan Sapura Energy Berhad (Sapura) yang berdepan masalah kewangan.

Apabila saya bersuara bahawa sebarang usaha untuk menyelesaikan kemelut kewangan Sapura tidak boleh melibatkan wang rakyat, seperti biasa Najib menimbulkan isu kerugian wang rakyat (melalui pegangan PNB di dalam Sapura), kehilangan kerja, kerugian vendor dan pinjaman bank kepada Sapura.

Pada dasarnya, sebarang permasalahan kewangan mana-mana syarikat korporat tidak boleh melibatkan wang rakyat kerana ia bakal mewujudkan budaya urus tadbir (corporate governance) yang lemah.

Sekiranya syarikat-syarikat swasta ada talian hayat (dengan diselamatkan oleh wang rakyat) setiap kali mereka berdepan dengan masalah kewangan, tidak ada insentif dan pertanggungjawaban (accountability) untuk syarikat-syarikat swasta menguruskan perniagaan mereka dengan cermat, bijak dan berdaya saing.

Tambah pula, dalam hal ini, beberapa rekod kewangan Sapura sejak sedekad lalu banyak mengundang kontroversi terutamanya berhubung bayaran kepada pengarah-pengarah eksekutifnya (yang juga mewakili beberapa pemegang saham terbesar Sapura).

Rekod kewangan Sapura yang diaudit bagi tahun-tahun kewangan 2009 hingga 2021 menunjukkan pecahan bayaran-bayaran berikut (dibundarkan kepada juta yang terdekat, jika berkenaan):

Gaji Pengarah SAPURA

Selain gaji, bonus dan upah kepada pengarah eksekutif yang mencecah ratusan ribu ringgit setiap hari:
  • 2013: RM123,351 sehari
  • 2014: RM313,422 sehari
  • 2015: 245,893 sehari
  • 2016: 250,693 sehari
  • 2017: RM242,970 sehari
  • 2018: RM102,321 sehari
  • 2019: RM35,693 sehari
  • 2020: RM26,293 sehari
  • 2021: RM16,586 sehari

Pengarah eksekutif juga dibayar dalam bentuk lain, iaitu:
  • Sewa tahunan yang dibayar oleh Sapura kepada syarikat yang berkaitan (dimiliki oleh) pengarah eksekutif (dan pemegang saham yang mereka wakili). Sejumlah RM149 juta dibayar sebagai sewa dalam tempoh 2013 hingga 2021.
  • Yuran harta intelek (IP) sebanyak RM439 juta dalam tempoh 2013 hingga 2021. Saya difahamkan bayaran ini adalah yuran bagi membolehkan Sapura Energy Berhad menggunakan nama "Sapura" yang dilesenkan oleh pemegang saham (yang diwakili pengarah eksekutif).

Dalam tempoh yang sama (2009 hingga 2021), Sapura membayar dividen kepada pemegang-pemegang saham sebanyak RM683 juta.

Analisis kewangan ini (bagi tempoh 2009 hingga 2021) menunjukkan perkara-perkara berikut:
  • Sapura membayar pengarah eksekutif tertentu (yang mewakili pemegang saham majoriti) sebanyak RM1.1 bilion sedangkan keuntungan yang dipulangkan kepada pemegang saham sebagai dividen hanyalah RM683 juta.
  • Dari jumlah RM683 juta itu, sekitar 35% dividen dibayar kepada pemegang saham majoriti yang diwakili oleh pengarah eksekutif yang mengetuai Sapura.
  • Oleh itu, anggaran bayaran keuntungan kepada pemegang saham majoriti (yang diwakili pengarah eksekutif) dalam bentuk gaji, sewa, yuran harta intelek dan dividen adalah sekitar RM1.33 bilion berbanding hanya RM440 juta yang diagihkan kepada pemegang saham lain seperti PNB dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP).
  • Nisbah keuntungan yang dikaut oleh pemegang saham terbesar yang diwakili pengarah eksekutif adalah sekitar tiga (3) kali ganda berbanding yang diagihkan kepada pemegang saham lain yang dimiliki rakyat.

Semua ini berlaku semasa Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Najib memikul amanah memberi hala tuju dan memastikan institusi dana rakyat seperti PNB dan KWAP mendapat nilai yang terbaik dari pelaburan mereka.

Malangnya, 90% (atau RM983 juta) dari bayaran RM1,096,717,000 (dalam bentuk gaji, upah, sewa dan yuran harta intelek) kepada pengarah eksekutif yang secara jelas tidak adil kepada PNB dan KWAP berlaku dalam tempoh Najib menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan iaitu 2009 hingga 2018.

Semasa dia ada kuasa dan pengaruh untuk memastikan ribuan kakitangan Sapura tidak terjejas periuk nasi mereka, untuk memastikan syarikat kecil yang menjadi vendor Sapura mendapat bayaran dan pelaburan rakyat mendapat pulangan yang sewajarnya, di mana suara Najib ketika itu?

Saya ingin mengambil peluang ini untuk menunjukkan bagaimana Najib hanya mengambil kesempatan menembak dalam semua isu kononnya untuk menjadi ter-paling wira rakyat demi menyelamatkan dirinya yang sudah dijatuhkan hukuman penjara.

Hipokrasi Najib ini tidak sewajarnya dibiarkan berterusan dan rakyat harus dibentangkan dengan fakta-fakta untuk menunjukkan hipokrasinya.

Pada masa yang sama, saya juga akan membentangkan beberapa kaedah yang boleh dipertimbangkan untuk memastikan Sapura keluar dari kemelut kewangan sekarang dan mengelakkan ribuan kakitangannya kehilangan kerja.

RAFIZI RAMLI
31 Mac 2022

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: shahbudindotcom

Tuesday, March 29, 2022

Felda Bukan Gagal, Tetapi Dirompak Oleh Ahli Politik!

Felda Bukan Gagal, Tetapi Dirompak Oleh Ahli Politik!

Felda dibangunkan pada tahun 1956 melalui pembiayaan kerajaan Persekutuan, Bank Dunia dan institusi kewangan lain dengan nilai RM8.7 bilion. Felda kemudian berjaya melunaskan pinjamannya pada tahun 2000 yang mana terdapat pinjaman tempoh matangnya ialah pada 2020.

Rasuah Halal

Tiba-tiba, pada tahun 2009, Felda mula membuat pinjaman di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk program tanam semula dan pelaburan FGV Holdings Bhd (FGV) serta Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Pada tahun 2018, hutang terkumpul Felda meningkat kepada RM10.67 bilion berbanding RM1.5 bilion pada 2009.

FGV disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012 walaupun mendapat tentangan daripada sebahagian warga peneroka kerana kaedah penyenaraiannya yang dipertikaikan. Ia juga dianggap merisikokan sumber kewangan Felda.

Kebimbangan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila laporan kewangan pada tahun 2017 merekodkan kerugian sehingga RM4.9 bilion serta beban hutang RM12 bilion.

Usaha pemulihan berterusan

Isu hutang peneroka dibangkitkan sejak awal 2000 oleh NGO generasi Felda. Pada tahun 2015, tuntutan memuktamadkan hutang peneroka semakin kuat dengan gerakan beberapa NGO dari generasi Felda.

Proses tuntutan itu berjalan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk agensi berkaitan audit dan kewangan.

Laporan Ketua Audit Negara yang berakhir pada 31 Disember tahun 2018 merumuskan bahawa sejumlah RM6 bilion yang direkodkan sebagai hutang peneroka tidak dapat dikenal pasti dan disahkan.

Nilai itulah yang menjadi keraguan dan pertikaian di antara peneroka dan generasinya dengan pihak pengurusan Felda.

Pada 10 April 2019, Kertas Putih Felda dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi ketika itu, Azmin Ali, merangka beberapa langkah pemulihan termasuk memuktamadkan hutang peneroka.

Kerajaan selepasnya menyaksikan usaha memuktamadkan hutang peneroka diteruskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Felda, Idris Jusoh.

Akhirnya penghapusan hutang peneroka dapat dilaksanakan melalui pengumuman perdana menteri ketika itu, Muhyidin Yassin pada 15 Julai 2021 ketika sambutan Hari Peneroka Kebangsaan.

Langkah pemulihan itu ditambah lagi dengan penerbitan sukuk bernilai RM9.9 bilion serta usaha pengambilalihan FGV. Ia adalah langkah yang besar dan berani daripada Idris.

Peneroka dan generasi kemudian masih menunggu penyata kewangan Felda bagi tahun 2019, 2020 dan 2021 untuk memastikan penghapusan yang dibuat benar-benar terzahir dalam laporan kewangan.

Mereka juga menunggu penyata kewangan interim dan tahunan sebagaimana termaktub dalam perjanjian tanam semula yang telah mereka tandatangani.

Usaha pemulihan diteruskan lagi melalui Belanjawan 2022 apabila Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk pakej pemulihan dan program pembangunan peneroka.

Kembali ke landasan asal

Melalui garis masa ini, warga Felda boleh menilai siapa sebenarnya juara. Ianya juga menunjukkan bahawa semua yang terlibat dalam kerajaan - sepanjang proses pemulihan, sama ada pemulihan urus tadbir dan juga sosioekonomi peneroka - adalah usaha merentasi sempadan politik kepartian.

Hal itu kerana semua pihak bersetuju bahawa Felda perlu dipulihkan daripada kerosakan teruk yang sudah berlaku.

Felda bukan gagal, tetapi ia dirosakkan oleh masalah tadbir urus dan kepentingan individu dan pihak tertentu pada satu tempoh yang singkat, oleh para penyamun yang agamanya Islam!

Pada hari ini, warga Felda telah matang dengan pengalaman. Semua proses pemulihan dilakukan dengan libat urus di semua peringkat.

Menjadi tanggungjawab bagi sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan untuk memastikan proses pemulihan berkenaan diteruskan.

Ia perlu bagi mengembalikan Felda ke landasan asal serta kegemilangannya.

Warga Felda menghargai dan menyokong segala usaha yang dibuat oleh kerajaan yang peka dengan mereka sama ada kerajaan ini, sebelumnya atau yang akan datang.

Hero sebenar Felda ialah warga Felda itu sendiri jika mereka cakna dan sentiasa bermuafakat agar tiada pihak dapat mengambil kesempatan sehingga memungkinkan kerosakan yang pernah berlaku kembali berulang.

NEGARA PENGAMAL RASUAH

Di Malaysia saat ini, apa yang berlaku ialah seolah-olah rasuah menjadi nadi penggerak negara. Begitulah bayangan jenayah rasuah di Malaysia. Ianya telah meresap ke dalam seluruh sistem pentadbiran awam dan sektor swasta.

Kesimpulan paling mudah dan ringkas untuk memahami gejala rasuah di Malaysia ialah apabila tokoh-tokoh politik dan pemimpin masyarakat terlibat dengan rasuah, bermakna ia merupakan pencetus kepada penyebaran rasuah.

Pemimpin dari serendah-rendah kedudukan hingga setinggi-tingginya terlibat dengan rasuah, telah cukup menjadikan amalan rasuah nadi dan pencetus penyebaran rasuah.

Tidak cukup hanya dengan kempen antirasuah dan amaran dari pihak berkuasa bahawa rasuah telah berada pada tahap amat kritikal. Amaran dan kempen tersebut ibarat debu yang berterbangan.

Apa yang peliknya, pengamal rasuah di Malaysia masih bebas berbicara, bahkan mereka sedikitpun tidak berasa bersalah.

Mereka masih tamak untuk berada di puncak kepimpinan dan masih diberi kepercayaan untuk memimpin negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Tuesday, March 01, 2022

Kronologi Perang Antara Rusia Dan Ukraine

Kronologi Perang Antara Rusia Dan Ukraine

Rusia melancarkan perang berskala penuh terhadap Ukraine dengan menyasarkan bandar-bandar utama dalam serangan awal bermula lewat pagi pada 24.2.2022, dengan serangan roket dilancarkan terhadap semua pangkalan tentera di seluruh negara itu dan mendarat di bandar pelabuhan Odessa dan Mariupol di selatan.

Perang Rusia Dan Ukraine

Situasi ini adalah yang paling getir dalam sejarah 30 tahun Ukraine kerana terperangkap dalam persengketaan antara Rusia dan Amerika Syarikat serta sekutu Eropahnya.

Ukraine yang dilihat membelakangi Rusia dan menyokong perikatan Barat seperti NATO dan Kesatuan Eropah kini berhadapan dengan ujian terbesar mereka.

Perang Rusia-Ukraine bermula pada Februari 2014, terutamanya melibatkan Rusia dan tentera pro-Rusia di satu pihak dan Ukraine di pihak yang lain.

Sengketa tersebut awalnya tertumpu pada kedudukan Krimea dan bahagian-bahagian di Donbas, yang diiktiraf antarabangsa sebagai bahagian Ukraine.

Sengketa tersebut termasuk pengilhakan Rusia ke atas Crimea (2014), Perang Donbas (2014–sekarang), kejadian laut, perang siber, ketegangan politik dan peningkatan jumlah tentera Rusia berdekatan sempadan Ukraine dari tahun 2021.

Berikut adalah kronologi bagaimana Ukraine berada dalam keadaan getir seperti yang kita lihat pada hari ini.

1990-an: Kemerdekaan daripada Kesatuan Soviet

Protes anti-komunis melanda Eropah Tengah dan Timur yang bermula di Poland sehingga ke seluruh negara Kesatuan Soviet. Pada Januari 1990, lebih daripada 400,000 rakyat Ukraine berganding bahu berpegangan tangan membentuk human chain sepanjang 400 batu sambil mengibarkan bendera kuning biru yang telah diharamkan pemerintah Soviet.

Malah, pihak berkuasa Ukraine yang baru juga memanggil semula tentera mereka yang menyertai Kesatuan Soviet dan mengundi untuk menutup loji nuklear di Chernobyl yang terletak di utara negara itu.

Pada 24 Ogos 1991, parlimen Ukraine mengisytiharkan kemerdekaan mereka buat kali kedua dan meraikan tarikh itu sebagai Hari Kemerdekaan. Kesatuan Soviet dibubarkan pada 26 Disember tahun yang sama dan pada tahun 1992, Ukraine mula menjalinkan hubungan rasmi dengan NATO walaupun belum menyertai perikatan itu.

Selepas kejatuhan Kesatuan Soviet, Ukraine ditinggalkan dengan simpanan nuklear ketiga terbesar di dunia dan melalui perjanjian yang dipanggil Memorandum Budapest, Ukraine bersetuju untuk menukar semua senjata nuklear sebagai jaminan perdamaian antara tiga penandatangan bersama iaitu AS, UK dan Rusia.

Dari tahun 1994 hingga 2004, Presiden Leonid Kuchma berjaya membantu peralihan Ukraine daripada sebuah republik Soviet kepada negara kapitalis dengan menswastakan perniagaan dan menambah baik peluang ekonomi antarabangsa.

2000-an: Hubungan goyah antara Barat dan Rusia

Pilihan raya presiden untuk menggantikan Kuchma diadakan di antara Viktor Yanukovych (dipilih oleh Leonid Kuchma sendiri) dan disokong oleh Presiden Rusia Vladimir Putin, menentang pemimpin pembangkang yang popular dan pro-demokrasi iaitu Viktor Yushchenko.

Ketika penghujung kempen pilihan raya, Yushchenko tiba-tiba jatuh sakit dan disahkan oleh doktor bahawa dia telah diracun.

Victor Yanukovych memenangi pilihan raya itu walaupun dituduh melakukan penipuan. Rakyat Ukraine mengadakan bantahan secara besar-besaran yang dikenali sebagai Orange Revolution.

Setelah melakukan pengundian buat kali ketiga, Viktor Yushchenko memperolehi kemenangan dan menjadi Presiden Ukraine ketiga setelah negara itu bebas daripada Kesatuan Soviet.

Pada tahun 2008, Presiden Yushchenko dan Perdana Menteri Tymoshenko telah memohon agar Ukraine menjadi anggota pertubuhan NATO, dengan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George W. Bush, menyokong penyertaan Ukraine tetapi Perancis dan Jerman menolak setelah Rusia menyatakan ketidakpuasan hati dengan tindakan itu.

Pada 1 Januari 2009, syarikat gas asli milik kerajaan Rusia iaitu Gazprom, berhenti mengepam gas ke Ukraine setelah rundingan mengenai harga bahan mentah itu gagal. Bahkan, beberapa negara Eropah lain yang bergantung pada saluran paip melalui Ukraine turut terjejas berikutan krisis itu.

Krisis itu selesai setelah Perdana Menteri Tymoshenko membuat rundingan baru dengan Vladimir Putin dan gas kembali disalurkan pada 20 Januari tahun yang sama.

2014: Revolusi Maidan

Viktor Yanukovych yang kalah pada 2004 telah memenangi pilihan raya presiden pada tahun 2010 dan dilantik menjadi presiden Ukraine yang baru. Dia menyatakan bahawa Ukraine perlu menjadi 'negara berkecuali' dan bekerjasama dengan kedua-dua pihak iaitu Rusia dan Barat.

Pada tahun 2011, Yanukovych telah menyiasat bekas Perdana Menteri Tymoshenko atas tuduhan salah guna kuasa dalam rundingan krisis gas dengan Rusia.

Tymosheko didapati bersalah dan dihukum penjara selama tujuh tahun dan keputusan itu dilihat Barat sebagai penyalahgunaan kuasa oleh Yanukovych.

Pada tahun 2014, Yanukovych tidak mahu menandatangani perjanjian dengan Kesatuan Eropah dengan alasan mendapat tekanan daripada Rusia. Keputusan itu mencetuskan bantahan besar-besaran sejak Orange Revolution.

Atas arahan Yanukovych, pihak berkuasa mula menyerang penunjuk perasaan yang berhimpun di Maidan Square dan bangunan kerajaan sehingga menyebabkan lebih 100 orang terkorban. Sementara itu, Yanukovych melarikan diri ke Rusia.

Keadaan itu menyebabkan parlimen Ukraine menyingkirkan Yanukovych sebagai presiden dan menubuhkan kerajaan interim. Mereka memaklumkan akan menandatangani perjanjian Kesatuan Eropah dan membebaskan bekas Perdana Menteri Tymoshenko dari penjara.

2014: Pengilhakan Crimea dan Konflik Donbas

Rusia menganggap perubahan itu sebagai rampasan kuasa haram. Hampir serta-merta, pasukan bersenjata muncul di semenanjung Crimea yang merupakan salah satu sempadan Ukraine-Rusia. Putin pada mulanya menafikan mereka adalah tentera Rusia tetapi kemudian mengakuinya.

Setelah ditawan tentera Rusia, parlimen Crimea mengundi untuk berpisah dari Ukraine dan menyertai Rusia. Putin memuktamadkan pengilhakan Crimea dalam pengumuman pada 18 Mac 2014 kepada parlimen Rusia.

Sebagai tindak balas, AS dan sekutu di Eropah mengenakan sekatan ke atas Rusia dan tidak mengiktiraf pengilhakan Crimea. Ia adalah satu-satunya perubahan sempadan negara Eropah sejak Perang Dunia II.

Sejak itu, ketegangan antara Ukraine-Rusia semakin meningkat. Pertempuran antara tentera Rusia dan Ukraine terus berlanjutan terutamanya di wilayah Donbas. Walaupun beberapa perjanjian damai telah dibuat, ia tidak dapat menghentikan keganasan daripada berlaku.

Rusia juga berterusan menyerang Ukraine dalam beberapa siri serangan siber termasuklah ke atas grid kuasa pada 2016 dan 2017 sehingga menyebabkan blackout besar-besaran. Serangan siber dari Rusia masih berterusan sehingga hari ini.

2021: Krisis semakin meruncing

Rusia menghantar kira-kira 100,000 tentera ke sempadan Ukraine kononnya untuk latihan tentera. Presiden Volodymyr Zelensky yang dilantik pada 2019 menggesa NATO untuk menerima keahlian Ukraine sebagai ahli persatuan itu.

Walaupun Presiden AS, Joe Biden, komited menyokong Ukraine dan mengutuk serangan Rusia tetapi dia berulang kali mendakwa bahawa negara itu belum mempunyai kelayakan yang cukup untuk menyertai NATO.

Pada Disember 2021, Presiden Biden melalui panggilan telefon bersama Putin menggesa agar Rusia tidak menyerang Ukraine dan memberi amaran akan ada 'kesan' jika ia diteruskan. Sementara itu, Putin pula meminta agar NATO mengharamkan Ukraine daripada menjadi ahli jika mahu tentera Rusia berundur.

2022: Di ambang peperangan

Januari 2022: Pemimpin dan diplomat dari AS, Rusia dan negara Eropah bertemu berulang kali untuk mengelakkan krisis. Pada awal Januari, Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergei Ryabkov, memberitahu bahawa Rusia tidak mempunyai rancangan untuk menyerang Ukraine.

Namun, ketegangan yang masih tinggi menyebabkan pihak kerajaan mengarahkan kakitangan semua kedutaan meninggalkan Ukraine pada 23 Januari. Pada keesokannya, NATO menempatkan pasukannya termasuk tentera AS seramai 8,500 orang.

Februari 2022: Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan Chanselor Jerman, Olaf Scholz, telah mengembara ke Moscow dan Kyiv untuk berunding. Sementara itu Presiden Joe Biden menambah lagi 1,000 tentera di Romania dan 2,000 tentera di Poland.

10 Februari: Rusia dan Belarus menempatkan kira-kira 30,000 lagi tentera di sepanjang sempadan utara Ukraine bagi tujuan latihan.

11 Februari: AS dan UK menggesa rakyatnya di Ukraine untuk meninggalkan negara itu dan tidak akan menghantar sebarang bantuan menyelamat sekiranya tercetus peperangan.

24 Februari 2022: Rusia menggerakkan tentera ke dalam rantau yang dikawal puak pemisah pada 22 Februari 2022 dan peristiwa ini memuncak dengan pencerobohan penuh oleh Rusia ke atas Ukraine.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1

Monday, February 07, 2022

SPRM Sekadar Senjata Politik Dan Rasuah Yang Semakin Menjengkelkan!

SPRM Sekadar Senjata Politik Dan Rasuah Yang Semakin Menjengkelkan!

SPRM, yang berikrar memberi perhatian serius terhadap penurunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara selama dua tahun berturut-turut, bukanlah penyelesaian kepada isu rasuah tetapi sebaliknya merupakan masalah itu sendiri.

Rasuah Malaysia

Ini kerana SPRM digunakan sebagai senjata politik terhadap ahli politik pembangkang dan ia gagal bertindak sewajarnya dalam beberapa kes salah guna kuasa yang ketara.

Malaysia merekodkan prestasi terburuk dalam penarafan TI-CPI dan SPRM hanya mampu berkata bahawa akan memberikan perhatian serius serta mengemukakan cadangan yang serius terhadap penurunan CPI negara selama dua tahun berturut-turut sejak kerajaan pintu belakang menggantikan kerajaan yang dipilih rakyat pada 2020.

Yang pelik adalah, SPRM masih tidak tahu punca penurunan kedudukan CPI daripada tangga 51 dalam Laporan TI-CPI 2019 dengan 53 mata berbanding kedudukan semasa iaitu tangga 62 dengan hanya 48 mata dalam Laporan 2021.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, SPRM secara konsisten dan berterusan membenarkan badan tersebut digunakan sebagai senjata politik terhadap ahli politik pembangkang dengan ancaman penyiasatan dan pendakwaan yang hanya akan gugur secara ajaib apabila ahli parlimen pembangkang tersebut berpaling tadah dan menyokong perdana menteri yang tidak dipilih.

SPRM telah gagal melaksanakan kewajipan undang-undangnya untuk bertindak secara adil, bebas dan profesional dalam cara yang telus tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Lebih teruk lagi, SPRM sendiri dipenuhi dengan salah guna kuasa dan amalan rasuah apabila penguatkuasa undang-undang menjadi penjenayah.

CPI 2021, yang dikeluarkan oleh Transparency International-Malaysia (TI-M) pada 25 Jan, menunjukkan skor negara merosot kepada 48, berbanding 51 pada tahun sebelumnya dan 53 mata pada 2019.

Malaysia juga turun lima anak tangga dalam CPI 2021, ke kedudukan ke-62 daripada 180 negara dari segi rasuah sektor awam.

Dalam maklum balas segera, SPRM berikrar memberi perhatian serius mengenai perkara itu dan berkata ia akan menyemak semula penemuan laporan TI-CPI 2021 dan mengeluarkan cadangan.

Setakat ini juga, ada 17 kes salah guna kuasa yang ketara, tetapi tidak diambil tindakan sewajarnya oleh SPRM.

Ini termasuk kontroversi pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, kertas Pandora, dakwaan kes melibatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Rina Harun, Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Parlimen Tajuddin Abdul Rahman dan Dr Xavier Jeyakumar.

SPRM mesti tampil membersihkan namanya dan menjelaskan mengapa masih tiada tindakan terhadap 17 kes ini.

Kegagalan untuk melaksanakan tugas secara profesional dan bertanggungjawab, hanya akan menyebabkan kedudukan CPI Malaysia merosot lagi tahun 2022 ini dan menyebabkan keyakinan pelabur dan daya saing Malaysia semakin merosot.

SEMAKIN MENJENGKELKAN!

Sementara itu, Gerakan Anti Rasuah Nasional (GARAS) menyifatkan kemerosotan negara untuk Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 adalah satu keputusan memalukan dan menjengkelkan seluruh rakyat Malaysia.

Pengerusinya, Dr Maimunah Sargeant berkata, kajian dapatan yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) itu bukan sahaja memalukan rakyat, malah imej kerajaan di mata dunia

Keputusan tersebut menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah kemerosotan dari segi membanteras rasuah, menyokong hak asasi manusia dan demokrasi secara keseluruhannya.

Kedudukan Malaysia yang terus merosot iaitu di tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 amat menjengkelkan dan pastinya ini amat mengecewakan seluruh rakyat Malaysia.

Antara menjadi penyebab utama menyumbang kepada kemerosotan Malaysia dalam CPI 2021 adalah tindakan terpilih dan berhati-hati oleh pihak kerajaan dalam membendung aktiviti rasuah politik yang semakin 'membarah' dalam masyarakat.

Selain itu, kemerosotan CPI negara juga terjadi akibat kegagalan berterusan pihak kerajaan dalam mengukuhkan hak asasi manusia di peringkat Parlimen.

Malah, isu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki mengenai 'integriti' telah menambah luka kemerosotan Malaysia dalam CPI 2021.

Isu Azam menjadikan SPRM seolah-olah sebuah institusi yang benar-benar tidak bebas, di samping kurangnya ketelusan dalam hal berkepentingan awam seperti kontrak rundingan langsung disebabkan tafsiran longgar mengenai Akta Rahsia Rasmi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Tuesday, September 14, 2021

Apa Itu Gangguan Seksual?

Apa Itu Gangguan Seksual?

Gangguan seksual adalah sebarang bentuk perkataan atau tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal kepada diri mangsa.

Gangguan seks

Gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu ugutan seksual, yang atas sebab munasabah, boleh dianggap oleh penerima (mangsa) sebagai mengenakan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaannya dan pengacauan seksual yang atas sebab yang munasabah, boleh dianggap oleh penerima (mangsa) sebagai satu pencabulan maruah, atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya.

Jenis-jenis gangguan seksual

Gangguan seksual boleh berlaku sekali sahaja atau berulang kali, boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina mereka.

Ia juga boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada ditempat kerja, dalam pengangkutan awam, tempat riadah dan lain-lain lagi.

Gangguan seksual ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis gangguan:

1. Gangguan seksual secara lisan

Kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

2. Gangguan seksual secara isyarat atau bukan lisan

Pandangan atau jelingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan mengurat berterusan.

3. Gangguan seksual dalam bentuk visual

Menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian badan yang sulit yang tidak sepatutnya didedah.

4. Gangguan seksual berbentuk psikologi

Mengulangi jemputan sosial yang tidak diterima, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau bercumbuan.

5. Gangguan seksual berbentuk fizikal

Sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium, serta serangan seksual.

Tiada Akta Gangguan Seksual

Perlu diketahui, pada masa kini tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual yang berlaku di Malaysia.

Mangsa gangguan seksual perlu mengambil langkah perudangan melalui beberapa jenis saluran peruntukan undang-undang sedia ada yang memiliki kelemahannya yang tersendiri.

Ini seperti Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Industri 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 dan Kanun Keseksaan.

Antara kelemahan peruntukan undang-undang sedia ada termasuklah dari aspek syarat beban pembuktian yang tinggi.

Ini menyebabkan mangsa menghadapi kesukaran membuktikan dakwaan kes gangguan seksual yang berlaku terhadap dirinya.

Prosedur sedia ada dalam peruntukan undang-undang sedia ada ini juga tidak sesuai untuk mengendalikan kes gangguan seksual yang sensitif serta kompleks ini.

Peruntukan khas

Oleh yang demikian, penting peruntukan khas diwujudkan bagi mengatasi ini dengan lebih berkesan.

Apa yang paling penting adalah pihak mangsa gangguan seksual kelak tidak merasakan diri mereka tidak mempunyai harapan untuk membawa kes serta mendakwa pelaku gangguan seksual berkenaan ke muka pengadilan.

Oleh itu, kerajaan digesa memperkenal akta khusus berkaitan dengan isu gangguan seksual seperti dicadangkan NGO agar masalah gangguan ini diselesai mengikut peruntukan lebih jelas, tanpa menumpang atau menggunakan akta lain seperti dinyatakan di atas, yang mempunyai kelemahan.

Untuk makluman, pada masa kini sebuah cadangan akta khusus bagi mengatasi masalah gangguan seksual sedang giat diusahakan untuk dibentangkan sebagai RUU dalam negara kita.

Undang-undang khusus bagi mengatasi masalah gangguan seksual yang ingin diwujudkan ini mempunyai dua matlamat penting.

Pertamanya, ia mengkehendaki setiap pihak mengambil langkah proaktif mencegah gangguan seksual daripada berlaku dan kedua, menyediakan mangsa satu bentuk pembelaan undang-undang lebih sesuai, berkesan dan bermakna.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Wednesday, August 25, 2021

Rahsia Kebangkitan Tentera Taliban

Rahsia Kebangkitan Tentera Taliban

Sebelum 3,000 tentera Amerika berundur sepenuhnya daripada Afghanistan pada 11 September 2021, dalam tempoh tiga minggu sahaja sembilan wilayah penting Afghanistan berada dibawah kawalan pemberontak, dengan 11 bandar utama termasuk Kandahar dikuasai oleh Taliban.

Taliban

Beberapa persoalan penting seharusnya difikirkan, mengapa keadaan ini berlaku, bagaimana Taliban mendapat kekuatan yang luar biasa dalam tempoh masa yang sangat singkat?

Mengapa tentera Amerika berundur di saat negara tersebut masih kucar-kacir?

Dan yang paling penting adalah, apa yang dilakukan oleh Amerika selama dua dekad menjajah dan menghancurkan negara berdaulat tersebut?

Biden mengotakan janjinya semasa pilihan raya presiden pada April 2021 yang lalu.

Jumlah 3,000 tentera dengan bajet perbelanjaan mencecah trilion dolar adalah angka yang amat besar.

Amerika sudah tidak mampu menanggung kos yang tinggi untuk peperangan selama dua dekad sejak 2001.

Peperangan yang dicetuskan dari tragedi World Trade Centre 9/11 hingga menyebabkan Sudan, Somalia, Iraq dan Syria juga tersungkur.

Malah, Iran dan Korea Utara berada dalam senarai seterusnya.

Selama tempoh tersebut juga, sekurang-kurangnya 2,500 tentera dan warga Amerika menjadi korban dan siri serangan hendap dan tawanan oleh militia Afghanistan yang kesemuanya dikenali sebagai Taliban.

Siapa Taliban?

Muncul kelompok panglima militia yang melawan pendudukan Rusia sekitar tahun 1979 hingga 1989.

Kelompok ini dipimpin oleh dua nama besar iaitu Burhanuddin Rabbani dan Gulbuddin Hekmatyar.

Panglima tentera inilah yang mengalahkan Rusia dan menguasai kepimpinan kerajaan Afghanistan.

Kelompok-kelompok ini dibiayai oleh Amerika dalam perang proksi mereka terhadap USSR ketika itu.

Kelompok ini akhirnya berperang sesama sendiri merebut kuasa dan menjadikan Afghanistan sebuah negara yang paling tidak selamat.

CIA dan agensi risikan Pakistan (ISI) menyatukan kelompok-kelompok ini dan membentuk satu kelompok yang dikenali sebagai Taliban.

Pada tahun 1996, Taliban menguasai Afghanistan dan membentuk kerajaan tetapi akhirnya ditumbangkan oleh Amerika pada 2001.

Kelompok ini diperangi selama 20 tahun dan masih terus bertahan sehingga kini.

Bagaimana Taliban mempunyai kekuatan luar biasa?

Agak pelik, bagaimana Taliban mempunyai kekuatan yang sangat hebat dalam tempoh masa yang singkat.

Selama dua dekad Amerika menekan, menyerang, membunuh dan menghancurkan tentera Taliban, tetapi mengapa mereka masih gagal menguasainya?

Taliban sebenarnya didanai oleh Amerika secara sembunyi.

Laporan oleh agen risikan selain CIA jelas menunjukkan bagaimana sejumlah besar wang disalurkan melalui Bagram Airbase untuk mendanai Taliban.

Dengan cara tersebut, perang Afghanistan akan diakui perlu dan kestabilan rantau tersebut akan terus diragui.

Selain itu, Taliban juga berjaya menjadikan Afghanistan sebagai pengeluar candu terbesar dunia dalam masa yang cukup singkat.

Laporan agensi risikan CIA juga mengakui bahawa sejumlah besar dadah ini dibawa masuk ke Amerika melalui pangkalan tentera yang berjaya melepasi kawalan keselamatan sama ada di Afghanistan mahupun Amerika.

Taliban juga mengenakan cukai untuk pengeluaran heroin oleh warga Afghanistan yang amat bergantung kepada industri ini untuk kelangsungan hidup.

Laporan oleh WHO menyatakan, lebih dua pertiga keluaran heroin dunia berasal daripada Afghanistan dengan pendapatan sekitar 1.16 billion pada suku berakhir 2020.

Perang berterusan terhadap pengganas

Kebangkitan Taliban dijangka akan merancakkan semula aktiviti keganasan di seluruh dunia.

Sekali lagi Afghanistan akan menjadi pusat latihan dan operasi sebagaimana yang dilakukan oleh Osama Laden sekitar 80 hingga 90-an.

Lokasi Afghanistan yang bersebelahan dengan Iran adalah penting dalam penguasaan geopolitik Asia Barat.

Selagi wilayah teroris wujud, selagi itulah Amerika mempunyai alasan untuk menyerang negara-negara yang dikira sebagai the axis of evil.

Agenda perang melawan teroris tidak akan tamat hinggalah Amerika dan sekutunya mencapai agenda untuk mengaut keuntungan dan kekal berkuasa atas kerosakan dan kehancuran sesebuah negara.

Dasar pecah dan perintah seperti yang dilakukan di Afrika dan Asia Barat akan diteruskan di Afghanistan.

Siri seterusnya adalah kemasukkan 'jihadis' ke Afghanistan untuk latihan dan melawan Amerika yang mana akhirnya akan dikembangkan ke Iran, Turki dan negara Asia Barat lainnya.

Hanya yang boleh menyekat agenda ini adalah China, kebangkitan kuasa 'naga' dan konflik yang timbul antara Beijing dan Washington dijangka akan mengalihkan perhatian dunia berkaitan isu terrorisme dalam dekad mendatang.

Ulangi kesilapan Perang Vietnam

Amerika nampaknya bakal dicop sekali lagi sebagai gagal dan kalah dalam peperangan.

Selama dua dekad 1955 hingga 1975, sekurang-kurangnya 50,000 korban di pihak Amerika terjadi dalam perang Vietnam.

Ketika era tersebut, teknologi persenjataan masih belum secanggih kini, akan tetapi era milenium ini menyebabkan angka kematian menjadi rendah, walaupun kemusnahan adalah sangat besar.

Malah kematian di pihak musuh juga adalah besar terutamanya apabila senjata kimia dan biologi digunakan dalam peperangan sebagaimana yang berlaku di Iraq dan Syria.

Perubahan kepimpinan Amerika menyebabkan dasar luar mereka juga berubah.

Biden melalui kenyataan media bertarikh 10 Ogos 2021 menyatakan Afghanistan bukan lagi masalah Amerika, ia perlu diselesaikan oleh warga Afghanistan sendiri!

Keadaan yang sama juga apabila Amerika di bawah Presiden Trump mengambil keputusan keluar daripada Iraq dan Syria.

Jelas Amerika bertindak sedemikian selepas terbukti mereka gagal dalam peperangan yang dicetuskan oleh mereka sendiri.

Pemimpin Amerika bersikap lepas tangan meninggalkan negara tersebut setelah terbukti mereka tidak mampu memenangi peperangan tersebut.

Jelas sekali, Taliban gagal dimusnahkan oleh Amerika walaupun bertapak selama 20 tahun di negara tersebut.

Bukan sahaja Amerika, Nato juga menerima tempias, dimalukan dengan kegagalan mengawal sebuah negara kecil yang miskin dan tidak mempunyai teknologi secanggih mereka.

Malah kelihatannya Amerika dan Nato mempunyai agenda peribadi apabila keluar dari Afghanistan dan membiarkan Taliban menguasai negara tersebut.

Keupayaan luar biasa yang dimiliki Taliban juga menunjukkan bahawa Amerika dan sekutunya dengan sengaja membiarkan Taliban berkembang, mendanai malah menyediakan strategi berkaitan agar kerosakan di Afghanistan akan berterusan.

Natijahnya nanti, Amerika dan sekutunya mempunyai alasan untuk menyerang semula negara ini atau menjadikan Afghanistan sebagai hub untuk menjatuhkan Iran dan lain-lain 'musuh' yang dikenal pasti berdasarkan kepentingan geopolitik mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Monday, May 31, 2021

Total Lockdown 2021: Apa Sahaja Yang Di Benarkan?

Total Lockdown 2021: Apa Sahaja Yang Di Benarkan?

Prosedur operasi standard (SOP) untuk 'total lockdown' yang berkuat kuasa bermula 1 Jun 2021, kebanyakannya menyerupai apa yang dikuatkuasakan semasa perintah kawalan pergerakan pertama (PKP 1.0) pada bulan Mac tahun 2020 lalu.

Total Lockdown

Keseluruhan penutupan akan menyaksikan sebahagian besar sektor ekonomi dan sosial ditutup kecuali perkhidmatan penting manakala pergerakan orang ramai juga akan dibendung.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk larangan pergerakan penuh (total lockdown) hanya akan membenarkan beberapa perkhidmatan seperti berikut:

Pembuatan
  • Aeroangkasa (komponen dan maintenance, repair and overhaul - MRO).
  • Makanan dan minuman.
  • Bahan pembungkusan dan percetakan hanya berkaitan bahan makanan dan kesihatan.
  • Barang-barang dan penjagaan diri, dan bahan pencuci.
  • Keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet.
  • Barang penjagaan diri, peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran.
  • Komponen bagi peranti perubatan.
  • Elektrikal dan Elektronik (kepentingan rantaian ekonomi global).
  • Minyak dan gas (Oil and Gas) termasuk petrokimia dan produk petrokimia.
  • Mesin dan peralatan hanya berkaitan kesihatan dan makanan sahaja.
  • Tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja.
  • Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir.

Kapasiti bekerja yang dibenarkan adalah 60% pekerja sahaja.

Pertanian, Perikanan, Penternakan, Perladangan dan Komoditi
  • Pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya (contohnya kedai yang menjual baja dan racun/kilang memproses buah sawit adalah dibenarkan untuk beroperasi).
  • Perladangan dan komoditi serta rantaiannya (kelapa sawit, getah, lada dan koko).

Pembinaan
  • Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.
  • Kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam yang utama.
  • Kerja kerja pembinaan bangunan yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau pekerja yang ditempatkan di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

Kapasiti bekerja yang dibenarkan adalah secara optima.

Perdagangan Pengedaran
  • Kompleks membeli-belah DITUTUP kecuali hanya premis, pasar raya, pasar raya besar dan departmental store yang mempunyai seksyen makanan dan minuman, keperluan asas, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dan restoran untuk bawa pulang dan penghantaran ke rumah.
  • Pasar raya, pasar raya besar, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dan kedai runcit serta departmental store dibuka TERHAD kepada seksyen makanan, minuman dan keperluan asas sahaja.
  • Restoran, gerai-gerai serta outlet makanan.
  • Dobi (termasuk layan diri).
  • Kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan.
  • Kedai cermin mata dan barang optik.
  • Kedai hardware.
  • Bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti.
  • E-dagang (semua kategori produk).
  • Pemborongan dan pengedaran (semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja).

Semua sektor perniagaan ini dibenarkan beroperasi dari jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam sahaja.

LAIN-LAIN YANG DIBENARKAN

Penumpang

Kapasiti kenderaan persendirian dihadkan kepada dua wakil isi rumah sahaja termasuk pemandu bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas sepanjang tempoh 14 hari Sekatan Pergerakan Penuh.

Bagi tujuan kesihatan dan perubatan pula, kapasiti maksimum yang dibenarkan hanya tiga orang termasuk pesakit.

Pergerakan itu juga terhad dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman namun jika perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius tersebut, pergerakan dibenarkan ke tempat paling hampir dengan kediaman.

Aktiviti Riadah

Dalam tempoh itu juga, pergerakan dan aktiviti riadah secara bersendirian tanpa bersentuhan dibenarkan namun terhad di kawasan terbuka selain hanya melibatkan senaman dan joging yang dilakukan di kawasan kejiranan bermula 7 pagi hingga 8 malam.

Taman asuhan kanak-kanak (Taska), taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) swasta di sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun dibenarkan beroperasi untuk petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang kedua-duanya bekerja.

Pengangkutan Awam

Kapasiti penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang termasuk pemandu dan penumpang disyaratkan duduk di kerusi belakang.

Bagi perkhidmatan pengangkutan awam laut dan darat seperti pengangkutan pekerja, bas henti-henti, bas ekspres, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Express Rail Link (ERL), monorel dan feri dibenarkan beroperasi berdasarkan 50 peratus kapasiti.

Keagamaan

Aktiviti solat di surau dan masjid terhad kepada maksimum 12 ahli jawatankuasa (AJK) manakala aktiviti lain tidak dibenarkan.

Upacara pernikahan (akad nikah) Islam dibenarkan hanya di pejabat Jabatan Agama Islam dengan kehadiran mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing manakala aktiviti rumah ibadat bukan Islam adalah dihadkan kepada maksimum 12 AJK rumah ibadat dengan kehadiran penganut tidak dibenarkan.

Stesen Minyak

Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam kecuali di lebuh raya yang boleh beroperasi 24 jam.

Total Lockdown: Perkhidmatan Awam Bekerja Dari Rumah (BDR) Sepenuhnya!

Perkhidmatan awam akan melaksanakan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) sepenuhnya susulan pengumuman pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Namun, arahan itu tidak termasuk perkhidmatan barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

Perintah itu bertujuan untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan serta tiada perjumpaan atau aktiviti fizikal dibenarkan.

Perkhidmatan kaunter ditutup dan segala urusan adalah melalui perkhidmatan dalam talian kecuali kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan perkastaman, imigresen serta kuarantin.

Pelaksanaan BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 - Dasar Bekerja Dari Rumah, yang jelas memperincikan aspek-aspek yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja. BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 - Dasar Bekerja Dari Rumah, yang jelas memperincikan aspek-aspek yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja.

Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U (A) 395 - Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Bagaimanapun, kehadiran ke pejabat boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak dapat dilaksanakan secara BDR dengan tidak melebihi kapasiti 20 peratus di pejabat.

Antara urusan yang dibenarkan kehadiran di pejabat ialah pembayaran kontrak, invois atau gaji, pembayaran atau pengagihan bantuan bulanan dan berkala kepada rakyat, penyelenggaraan atau keselamatan permis dan pengurusan teknikal ICT bagi tujuan penyelenggaraan sistem serta mesyuarat dalam talian.

Penggiliran kakitangan bagi tempoh maksimun empat jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja. kakitangan bagi tempoh maksimun empat jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja.

Pemantauan akan dilaksanakan dari masa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan kepada arahan yang dikeluarkan. akan dilaksanakan dari masa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan kepada arahan yang dikeluarkan.

Sebarang pengecualian arahan itu perlu mendapat kelulusan Pejabat KSN.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2 | 3