Tuesday, September 14, 2021

Apa Itu Gangguan Seksual?


Gangguan seksual adalah sebarang bentuk perkataan atau tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal kepada diri mangsa.

Gangguan seks

Gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu ugutan seksual, yang atas sebab munasabah, boleh dianggap oleh penerima (mangsa) sebagai mengenakan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaannya dan pengacauan seksual yang atas sebab yang munasabah, boleh dianggap oleh penerima (mangsa) sebagai satu pencabulan maruah, atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya.

Jenis-jenis gangguan seksual

Gangguan seksual boleh berlaku sekali sahaja atau berulang kali, boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina mereka.

Ia juga boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada ditempat kerja, dalam pengangkutan awam, tempat riadah dan lain-lain lagi.

Gangguan seksual ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis gangguan:

1. Gangguan seksual secara lisan

Kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

2. Gangguan seksual secara isyarat atau bukan lisan

Pandangan atau jelingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan mengurat berterusan.

3. Gangguan seksual dalam bentuk visual

Menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian badan yang sulit yang tidak sepatutnya didedah.

4. Gangguan seksual berbentuk psikologi

Mengulangi jemputan sosial yang tidak diterima, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau bercumbuan.

5. Gangguan seksual berbentuk fizikal

Sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium, serta serangan seksual.

Tiada Akta Gangguan Seksual

Perlu diketahui, pada masa kini tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual yang berlaku di Malaysia.

Mangsa gangguan seksual perlu mengambil langkah perudangan melalui beberapa jenis saluran peruntukan undang-undang sedia ada yang memiliki kelemahannya yang tersendiri.

Ini seperti Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Industri 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 dan Kanun Keseksaan.

Antara kelemahan peruntukan undang-undang sedia ada termasuklah dari aspek syarat beban pembuktian yang tinggi.

Ini menyebabkan mangsa menghadapi kesukaran membuktikan dakwaan kes gangguan seksual yang berlaku terhadap dirinya.

Prosedur sedia ada dalam peruntukan undang-undang sedia ada ini juga tidak sesuai untuk mengendalikan kes gangguan seksual yang sensitif serta kompleks ini.

Peruntukan khas

Oleh yang demikian, penting peruntukan khas diwujudkan bagi mengatasi ini dengan lebih berkesan.

Apa yang paling penting adalah pihak mangsa gangguan seksual kelak tidak merasakan diri mereka tidak mempunyai harapan untuk membawa kes serta mendakwa pelaku gangguan seksual berkenaan ke muka pengadilan.

Oleh itu, kerajaan digesa memperkenal akta khusus berkaitan dengan isu gangguan seksual seperti dicadangkan NGO agar masalah gangguan ini diselesai mengikut peruntukan lebih jelas, tanpa menumpang atau menggunakan akta lain seperti dinyatakan di atas, yang mempunyai kelemahan.

Untuk makluman, pada masa kini sebuah cadangan akta khusus bagi mengatasi masalah gangguan seksual sedang giat diusahakan untuk dibentangkan sebagai RUU dalam negara kita.

Undang-undang khusus bagi mengatasi masalah gangguan seksual yang ingin diwujudkan ini mempunyai dua matlamat penting.

Pertamanya, ia mengkehendaki setiap pihak mengambil langkah proaktif mencegah gangguan seksual daripada berlaku dan kedua, menyediakan mangsa satu bentuk pembelaan undang-undang lebih sesuai, berkesan dan bermakna.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

1 comment

  1. Salam ziarah..berbagai gangguan..bahaya tu..kena kuat iman

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon