Friday, September 27, 2019

Buy British Last: Boikot Malaysia Yang Menundukkan Britain


Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad telah me­laksanakan polisi Buy British Last pada 2 Oktober 1981 hingga 31 Mac 1983, yang menjadikan hampir kesemua barangan dan perkhidmatan dari Britain sebagai pilihan terakhir.

Buy British Last
Malaysia bertindak balas.

Polisi kerajaan itu diumumkan oleh Tun Mahathir sebagai suatu tindakan memboikot produk dari Britain yang mengenakan yuran tiga kali ganda terhadap pelajar Malaysia.

Tindakan itu juga ada kaitan dengan pengambilalihan syarikat Guthrie Corporation Limited dari British oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam satu gerakan yang dinamakan 'Serangan Waktu Subuh' (Dawn Raid) pada 7 September 1981.

Pengambilalihan Guthrie yang memiliki ladang kelapa sawit, getah dan koko di Malaysia itu, menyebabkan British memutuskan untuk merombak peraturan di Bursa Saham London bagi mengelakkan perkara seumpama itu berulang sehingga menjejaskan kepentingan ekonomi Britain.

Perubahan peraturan itu telah menghalang Malaysia dari menambahkan lagi pemilikan dalam syarikat British yang mempunyai hartanah dan sumber asli di Malaysia.

Sunora Sagi dan Azlizan Mat Enh dalam Journal of Social Sciences and Humanities Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi Vol. 12. No. 3 (2017) bertajuk 'Polisi Buy British Last' (1981-1983): Reaksi-Reaksi British dan Implikasi Terhadap Hubungan Bilateral Jangka Pendek Malaysia dan Britain', menyatakan polisi itu telah dilaksanakan dalam tempoh yang singkat iaitu selama 18 bulan tetapi impaknya telah menyebabkan Britain mengalami kerugian kira-kira RM170 juta.

Ketika kempen Buy British Last dilancarkan, Malaysia antara negara dagangan terbesar bagi Britain.

Polisi tersebut turut menyebabkan Britain terpaksa bersaing dengan pelabur-pelabur dari negara lain untuk mendapatkan kontrak dan tender di Malaysia.

ASPIRASI

"Tindakan Britain menaikkan kadar yuran pengajian tinggi untuk pelajar Malaysia di Britain dan kegagalan pihak British dalam memahami aspirasi DEB menjadi antara punca utama yang telah mendorong Dr. Mahathir melaksanakan polisi Buy British Last pada 1981." (Sunora Sagi dan Azlizan Mat Enh 2017).

Semasa merasmikan mesyuarat ke-30 Jawatankuasa Perundingan Rancangan Colombo di Kuala Lumpur pada 5 November 1984, Dr. Mahathir telah mengingatkan negara-negara maju agar tidak menaikkan yuran untuk kepentingan masing-masing.

Dr. Mahathir menyuarakanketidakadilan itu apabila beliau mendapati Britain hanya memberikan pengecualian kenaikan yuran kepada setiap pelajar dari negara-negara anggota European Economic Community (EEC) sebaliknya pelajar dari Malaysia tidak diberi layanan yang sama seperti pelajar-pelajar Britain.

Dr. Mahathir turut mengemukakan rayuan agar Britain mengenakan kadar yuran dan layanan yang sama untuk pelajar-pelajar dari Malaysia.

Pada 1981, dianggarkan seramai 17,000 orang pelajar Malaysia sedang melanjutkan pelajaran di Britain di bawah tajaan kerajaan Malaysia.

Namun, Britain tidak menghiraukan rayuan Dr. Mahathir itu sebaliknya mencadangkan agar Malaysia menghantar pelajar-pelajarnya ke negara lain yang boleh menawarkan kadar yuran yang lebih murah.

SAHUT CABARAN

Dr. Mahathir telah menyahut cabaran Britain tersebut dengan mengehadkan penghantaran pelajar ke Britain tetapi pada masa yang sama kerajaan menaja ramai pelajar ke negara lain seperti Jepun dan Korea Selatan melalui Dasar Pandang ke Timur.

Reaksi-reaksi yang telah ditunjukkan oleh Perdana Menteri Britain Margaret Thatcher, pegawai-pegawai British dan ahli-ahli perniagaan British pula telah membuktikan bahawa polisi Buy British Last telah menjejaskan kepentingan ekonomi British di Malaysia.

"Pada 31 Mac 1983, Tun Dr. Mahathir menarik balik polisi Buy British Last kerana telah menyedari kesungguhan pihak British dalam memperbaiki keadaan yang tidak disenangi oleh Malaysia, terutamanya dengan memberikan subsidi yuran pengajian tinggi untuk pelajar-pelajar Malaysia di Britain." (Sunora Sagi dan Azlizan Mat Enh 2017).

Kempen Buy British Last antara lain telah mencapai beberapa resolusi yang memberi kemenangan kepada Malaysia.

Antaranya, kerajaan Britain menyediakan bantuan kewangan sebanyak 160 juta pound sterling sebagai subsidi kepada pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di United Kingdom (UK).

Britain juga memberi hak pendaratan tambahan kepada pesawat Malaysia Airlines (MAS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London.

Ternyata polisi Buy British Last yang dilaksanakan oleh kerajaan pada era 1980-an membawa banyak faedah untuk rakyat dan memberi keuntungan terhadap kepentingan strategik negara.

Tindakan Dr. Mahathir itu telah membuka mata negara-negara maju agar lebih menghormati Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon