Sunday, May 30, 2021

Maksud 'Total Lockdown' Dan Perbezaannya Dengan PKP!

Maksud 'Total Lockdown' Dan Perbezaannya Dengan PKP!

Perintah berkurung atau lockdown adalah perintah yang tidak membenarkan sesiapa pun melakukan sebarang aktiviti di luar kediaman. Tiada langsung pergerakan di luar termasuklah untuk membeli makanan dan keperluan. Berbeza dengan PKP yang masih membenarkan rakyat keluar untuk mendapatkan bekalan makanan dan keperluan lain.

Total lockdown

Mengisytiharkan lockdown tampak mudah, tetapi impaknya cukup besar kepada rakyat dan negara. Kerajaan menyedari penularan COVID-19 sangat membimbangkan dan ketika ini sedang berusaha sedaya mungkin mencegah penularan COVID-19 bagi mengelak daripada berlakunya lockdown.

Namun begitu, sebelum panik tidak tentu fasal, mari kita fahami apa itu Perintah Berkurung atau LOCKDOWN dan bezanya dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP):

Perintah Berkurung:
  • Atau LOCKDOWN bermaksud larangan keluar masuk ke sesuatu bangunan atau kawasan secara bebas atas sebab kecemasan.
  • Apabila perintah berkurung dijalankan semua orang tidak dibenarkan untuk keluar rumah mahupun keluar untuk membeli makanan.
  • Dalam erti kata lain, apabila darurat diumumkan, apabila kita keluar rumah pun perlu mengikut masa ditetapkan atau kalau kritikal terpaksa diiringi pasukan keselamatan!

Perintah Kawalan Pergerakan:
  • Tak sama macam perintah berkurung kerana ketika perintah kawalan pergerakan dijalankan cuma pergerakan dibataskan seperti aktiviti keluar masuk negara, perhimpunan besar dan sebagainya.
  • Atau dalam bahasa mudahnya ialah, hanya sebagai langkah untuk menjarakkan hubungan sosial yang bertujuan menurunkan jumlah kes untuk merendahkan lengkung (jangkitan) wabak COVID-19.
  • Kita masih boleh keluar rumah tetapi dihadkan pergerakan untuk urusan yang betul-betul penting sahaja seperti keluar bekerja atau pergi ke bank.

Bagaimanapun, kalau ada mana-mana pihak yang melanggar perintah kawalan pergerakan ini, mereka akan dikenakan tindakan.

Antaranya:
  • Mana-mana orang yang melakukan sesuatu kesalahan pertama di bawah akta ini, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau didenda atau kedua-duanya.
  • Kesalahan kedua, boleh dipenjara tidak melebihi lima (5) tahun atau denda atau kedua-duanya.
  • Bagi kesalahan berterusan, didenda bagi tiap-tiap hari kesalahan berterusan.

Kompaun kesalahan:
  • Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai awam diberi kuasa secara bertulis boleh mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah akta ini dengan mendapatkan daripada pesalah itu sejumlah wang.

Oleh itu, orang ramai diminta untuk tidak mudah melatah dengan berita tular, terutama yang tidak diketahui sumbernya.

Jadi, tak perlu panic buying. Belilah barang keperluan harian seperti biasa dan mencukupi untuk ahli keluarga. Jangan berlebih-lebihan pula takut nanti jadi pembaziran!

Buat masa sekarang, adalah lebih baik mematuhi apa yang telah diumumkan Perdana Menteri dan amalkan pencegahan sendiri di rumah.

Stay safe at home!

BACA INI JUGA:
sumber: gempak

Monday, May 24, 2021

PKP 3.0: Kerajaan Gagal!

PKP 3.0: Kerajaan Gagal!

Siapa yang menang dan siapa yang kalah susulan mesyuarat terbaharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan keputusan untuk tidak melaksanakan sekatan pergerakan penuh dalam perang melawan wabak Covid-19?

Kerajaan+Gagal

Rakyat dan negara kita yang kalah, tetapi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menganggap mereka telah menang.

Perkara ini sangat meragukan walaupun beberapa kajian populariti kononnya mengatakan Muhyiddin Yassin jauh mendahului pemimpin lain.

Seorang doktor, mengenai pandangannya terhadap keputusan MKN seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri.

Jawapannya:

"Dari pandangan perubatan, langsung tak masuk akal."

"Dari segi kelangsungan hidup politik, baik untuk mereka."

"Untuk rakyat, habislah"!

Nampak gayanya, jenaka "MCO – Making Confusing Orders; CMCO – Continue Making Confusing Orders; EMCO – Even More Confusing Orders; RMCO – Repeatedly Making Confusing Orders" di media sosial tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

Apabila Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta rakyat untuk melakukan "lockdown kendiri" selama dua minggu untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, seolah-olah dia sendiri sudah tiada pilihan lagi kerana barangkali dia tidak mampu mendapatkan MKN untuk menerima cadangannya.

Hanya mereka yang sangat optimis sahaja yang akan percaya bahawa langkah-langkah yang diambil oleh MKN boleh memutuskan rantaian jangkitan dalam masa dua minggu.

Kini, rakyat hanya ditinggalkan dengan "lockdown kendiri" -- mengelakkan 3C (kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat) dan mengamalkan 3W (wash, wear dan warn).

Sekiranya perkara ini memadai, kita tidak perlu pun melalui PKP, PKPB, PKPD, dan PKPP.

Tetapi dengan beberapa hari berturut-turut negara mencatatkan jumlah kes baru melepasi paras 6,000 kes, dengan jumlah kes terkumpul kini lebih daripada setengah juta dan kadar kematian lebih 2000 orang, 32 juta rakyat Malaysia perlu menunjukkan kepada dunia yang kita berdisiplin dan mampu untuk melaksanakan "lockdown kendiri".

Pada masa sama, kita tidak boleh berhenti menuntut kerajaan untuk membawa dasar-dasar yang lebih baik untuk mengawal wabak Covid-19 ini.

Muhyiddin diseru untuk mengetepikan pertimbangan lain dan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan DUN untuk membentuk barisan melawan Covid-19 yang kuat dengan lima matlamat:
  • Mobilisasi kebangsaan.
  • Mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat.
  • Pakej rangsangan ekonomi untuk membantu golongan memerlukan.
  • Ujian saringan saringan besar-besaran.
  • Mempercepatkan program vaksinasi.

Walaupun Parlimen dan DUN telah digantung sidangnya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menitahkan ahli-ahli Parlimen dan DUN di negeri itu untuk bermesyuarat membincangkan masalah Covid-19 ini yang kini semakin teruk.

Sekiranya jangkaan baru disemak Kementerian Kesihatan terbukti tepat, kita akan melihat peningkatan harian di sekitar 8,000 kes sehari pada Jun.

Adakah kita akan melihat 10,000 kes sehari menjadi norma baru di Malaysia?

Kadar peningkatan harian kes Covid-19 di Malaysia melebihi kadar di Indonesia dan perkara ini seakan-akan mengiyakan kenyataan pihak berkuasa di Indonesia untuk rakyat mereka tidak mengikuti jejak langkah Malaysia atau India dalam menguruskan wabak ini.

Malah, India sendiri melihat kadar penurunan mendadak sebanyak 42 peratus berbanding dengan kemuncak 414,433 kes pada 6 Mei 2021.

Semua negeri sepatutnya mengikut langkah nasihat Sultan Johor dan mengadakan mesyuarat dalam kalangan ahli Parlimen dan Adun untuk menyemak perkembangan terkini berkenaan Covid-19.

Menjadi satu idea yang baik untuk wakil rakyat kayangan membentuk barisan bersatu di Parlimen dan DUN untuk mencapai kelima-lima objektif di atas.

Ia perlu didorong oleh konsensus sama ada secara formal atau sebaliknya tanpa sebarang "undi tidak percaya" untuk membolehkan penggal Parlimen dan DUN sedia ada dipenuhkan sehingga Mei 2023, melainkan jika keadaan Covid-19 bertambah baik dengan lebih awal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Wednesday, May 05, 2021

Pendidikan Seks Cara Islam

Pendidikan Seks Cara Islam

Seks bukanlah suatu taboo yang tidak dibincangkan langsung dalam pendidikan Islam, kerana ia dianggap tuntutan fitrah manusia sepertimana makan, minum dan tidur. Ia tidak diajar secara lucah, tetapi dengan ilmiah, kerana Islam menghormati maruah dan mengiktiraf tuntutan nafsu manusia. Tidak wajar dijadikan jenaka.

Pendidikan seks

Junaid Baghdadi berkata, "Aku memerlukan seks sebagaimana aku memerlukan makanan." Imam al-Ghazali menjelaskan, "Maka isteri adalah makanan (batin) dan jalan kebersihan hati."

Kitab Ihya Ulumiddin menerangkan tujuan zakar lelaki dan vagina perempuan.

"Allah taala telah menciptakan suami isteri. Dijadikan tanda kelakian (zakar) dan dua buah pelir. Dijadikan air yang hanyir dalam tulang belakang lelaki dan disediakannya bagi air yang hanyir itu dalam dua buah pelir, urat-urat dan tempat-tempat mengalir.

"Dijadikannya rahim perempuan, tempat ketetapan dan tempat simpanan air yang hanyir itu. Dan dikerasinya kehendak nafsu syahwat kepada sesama sendiri, lelaki dan perempuan. Maka segala perbuatan dan alat itu menjadi saksi nyata dengan lisan yang tegas untuk melahirkan dari iradah Penciptanya. Dan menyerukan sekalian yang berakal fikiran untuk mengenali apa yang di sediakan untuknya."

Begitulah ketinggian tamadun ilmu Islam; zakar, vagina dan air mani pun ada falsafah yang tinggi.

Seks tidak dilucahkan dalam kitab-kitab ulama. Melucahkan seks atau menormalisasikan lawak rogol (rape joke) adalah pembodohan akal yang tidak pernah dilazimi salafussoleh. Saat berbicara soal ini, sikap malu dan matang adalah perlu.

Ulama mendidik lelaki dan perempuan dengan sikap malu, sehinggakan seks bebas dianggap aib besar. Maka jalan zina jua dianggap sebagai perkara memalukan. Pakai seksi, menonton porno, ugut rogol dan lain-lain, ini semua adalah jalan zina yang keji. Bimbang sekali, membiasakan lidah dengan perkara lucah akan melenturkan hati untuk tidak malu dengan zina.

Malah, menjadikan seks sebagai bahan lawak adalah mengkhianati sikap malu yang dianjurkan Nabi! Lidah yang menuturkan perkara kotor itu, kelak akan dipersoal di hadapan Allah.

Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya orang yang berkata-kata dengan perkataan yang mentertawakan teman-teman duduknya, maka dia akan jatuh dengan perkataan itu lebih jauh dari bintang surayya." (HR Ibnu Abi Dunya)

Rasulullah bersabda, "Tidaklah orang mukmin itu pencela, pengutuk, pelaku perbuatan keji dan berlidah kotor." (HR Tirmizi)

Rasulullah bersabda, "Jagalah dirimu daripada kekejian! Kerana Allah tidak menyukai kekejian dan perbuatan keji." (HR Ibn Hibban)

Ibn Abbas berkata, "Barangsiapa berdosa dengan suatu dosa dan dia tertawa, nescaya dia masuk neraka dan dia menangis."

"Percakapan tentang perempuan termasuk perkara maksiat." (Imam al-Ghazali)

Salman al Farisi berkata, "Manusia yang terbanyak dosanya di hari kiamat, ialah yang terbanyak perkataannya pada perbuatan maksiat terhadap Allah."

"Orang yang keji dan melakukan perkara keji, akan dibangkitkan di hari kiamat dalam bentuk anjing atau dalam perut anjing." (Ihya Ulumiddin)

"Bolehkah Saya Berzina?"

Lihatlah sirah di saat Rasulullah mendidik pemuda dengan sikap malu. Seorang pemuda datang bertemu Nabi dan bertanya, bolehkah dia berzina. Apa jawab Nabi? Mafhumnya:

Kata Baginda, "Adakah engkau suka ibumu berzina?"

"Tidak! Dijadikanlah kiranya aku oleh Allah tebusan engkau!"

"Manusia pun begitu, tidak menyukai zina untuk ibu mereka. Adakah engkau menyukai zina untuk anak perempuan engkau?"

"Tidak! Dijadikanlah kiranya aku oleh Allah tebusan engkau!"

"Manusia pun begitu, tidak menyukai zina untuk anak perempuan mereka."

"Adakah engkau menyukai zina untuk saudara perempuan engkau?"

Dijawab oleh anak muda itu; "Tidak! Dijadikanlah kiranya aku oleh Allah tebusan engkau!" Dan Nabi pun menyambung; "Manusia tidak menyukainya."

Kemudian Nabi meletakkan tangan ke dada anak muda itu dan berdoa: "Ya Allah tuhanku, sucikanlah hatinya, ampunilah dosanya dan peliharalah kemaluannya."

Setelah itu, yang paling dibenci anak muda ini adalah zina.

Pendidikan Seks Cara Islam, Bukannya Kaedah Orang Barat!

Lihatlah pendekatan kaunseling Nabi, secara psikologi dan spiritual. Yang salah itu salah. Perkara salah tidak diselesaikan dengan cara salah.

Di sini Nabi fokus kepada penyelesaian dan tidak menjadikannya jenaka. Hati manusia mudah menganggap ringan dengan sesuatu yang dianggap lawak. Seks bukan lawak. Di sini Nabi mengaitkan seks bebas dengan maruah dan pemuda itu sendiri merasa malu. Sungguh halus dakwah Nabi.

Ulama tidak segan menuliskan seks secara ilmiah.

Berbicara soal seks tidak salah. Yang salah adalah melucahkan seks.

Ibnu Umar seorang sahabat, pernah berbuka puasa dengan seks, sebelum makan. Pernah sekali dia melakukannya dengan tiga orang hamba perempuan sebelum solat Isyak.

Ada seorang sahabat Nabi yang mempunyai syahwat besar, sampaikan isteri-isterinya tidak larat melayan. Akhir sekali, Nabi mengahwinkan sahabat itu dengan seorang wanita lain, dan isteri barunya itu mampu memenuhi semua keinginan syahwatnya.

Saidina Ali menikahi perempuan lain seminggu setelah Fatimah wafat.

Fayyadh bin Nujaih berkata, "Apabila naik zakar lelaki, maka hilanglah 2/3 akalnya." Sesetengah berkata, "1/3 agamanya."

Ibnu Abbas menafsirkan QS Falaq ayat ke-3: "Dan dari kegelapan (malam) ketika ia telah datang," sebagai bangunnya kemaluan lelaki. Maknanya mengerasnya syahwat itu, akal dan agama tidak lagi berfungsi.

Seorang pemuda pernah mengadu kepada Ibnu Abbas, "Sesungguhnya aku seorang pemuda yang tidak mempunyai isteri. Kadang-kadang aku takut terjadi perkara jahat kepadaku. Kadang-kadang aku keluarkan mani dengan tanganku sendiri (melancap). Adakah itu suatu maksiat?"

Maka Ibnu Abbas memalingkan muka dan berkata, "Ah kotor sekali! Kahwin dengan hamba perempuan adalah lebih baik daripada itu. Dan itu adalah lebih baik daripada zina."

Imam al-Ghazali menekankan soal malu dalam pendidikan seks. Merasa jijik dengan jalan zina adalah tanda hati yang sihat. Maka merasa kelakar dengan perkara jijik boleh mengotorkan hati. Jangan dijadikan kebiasaan. Bimbang tompok kecil menjadi besar sehingga seluruh hati bertukar hitam.

Untuk mengelakkan seks bebas atau rogol, maka ulama menyarankan tiga perkara: Menundukkan pandangan, Puasa, Kahwin.

Ketiga-tiga perkara ini perlu dilaksanakan semampu mungkin. Jikalau mampu, berkahwinlah. Maka menundukkan pandangan dan berpuasa menjadi lebih mudah. Jika tidak, tundukkanlah pandangan dan berpuasa sehingga sampai jodoh.

Tidak menjaga pandangan akan mengeraskan syahwat dan jika berulangkali dibuat boleh membuat nafsu membuak-buak sehingga sukar ditolak. Melabuhkan pakaian bagi perempuan juga tidak terkecuali, kerana ia membantu lelaki menundukkan pandangan.

"Marriage did not end the fight. It just makes it easier."

Kahwin itu menyempurnakan separuh agama. Yang separuh lagi itu masih perlu diperjuangkan.

Dalam semua soal, lelaki dan perempuan sama-sama perlu berjuang.

Lelaki perlu berjuang menundukkan pandangan, perempuan perlu berjuang melabuhkan pakaian. Lelaki perlu berjuang mengumpul duit kahwin, perempuan perlu berjuang memujuk wali.

Lelaki dan perempuan sama-sama perlu berjuang menjaga maruah dan kehormatan, kerana neraka itu bukan untuk wanita seorang, dan syurga itu bukan hanya untuk lelaki. Syurga itu untuk orang-orang soleh dari lelaki dan perempuan, neraka itu untuk orang-orang derhaka daripada lelaki dan perempuan. Allah itu maha adil.

Ini baru sekadar pada bab adab & tasawuf. Belum lagi bab feqh, yang lebih luas perbahasan seks dan seksualiti.

Kitab Qurrotul 'Uyun karya Syeikh Muhammad At-Tihami bin Al-Madani Kanun, membincangkan adab jimak.

Kitab Al-Rawd al-'Athir fi' Nuzhat al-Khathir, karangan Syaikh al Imam al-Allamah al-Humam Sayiddi Muhammad al Nafzawi membincangkan petua seks.

Kitab al-Fiqh al-Manhaji Ala al-Mazhab al-Imam al-Syafie karya Dr. Mustofa Al-Khin, Dr. Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji memasukkan bab berkenaan haid, nifas dan istihadah.

Lihatlah kesungguhan ulama, tidak meninggalkan umat dalam kejahilan. Tidak memperbodohkan umat dengan lawak lucah. Seks dibincangkan secara ilmiah. Ulama boleh membahaskan seks secara sihat. Mengapa tidak kita contohi pewaris Nabi?

Berdoalah kita, agar dijauhkan lidah, mata dan hati daripada perkara menjijikkan.

Rujukan: Imam al-Ghazali. Ihya Ulumiddin.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: thepatriots

Tuesday, May 04, 2021

Gelombang Covid-19 Yang Menghancurkan Sistem Perubatan India!

Gelombang Covid-19 Yang Menghancurkan Sistem Perubatan India!

Ketika ini, kes jangkitan Covid-19 di India mencatatkan lebih 300,000 kes sehari dengan lebih 3,000 kematian setiap hari, dengan hospital di seluruh negara itu sudah tidak mampu menampung pertambahan bilangan pesakit sehingga terpaksa menolak mana-mana pesakit yang cuba mendaftar masuk.

Covid-19

Selain itu, bekalan oksigen diperlukan untuk pesakit-pesakit Covid-19 semakin berkurangan sehingga memaksa sesetengah beralih kepada pasaran gelap untuk mendapatkannya.

Ya, memang benar kemunculan varian baru Covid-19 yang lebih mudah berjangkit menjadi pencetus gelombang kedua pandemik di India, tetapi hakikatnya pengisytiharan 'kemenangan' pra-matang yang dibuat kerajaan Narendra Modi pada September tahun 2020 lepas sebagai pencetus gelombang kedua Covid-19.

Mereka menyangka selepas berjaya menempuh gelombang pertama pada 2020, imuniti berkelompok sudah dicapai sekali gus membuka jalan kepada kehidupan normal pra-pandemik.

Mungkin ramai menggaru kepala dengan dakwaan ini yang dikemukakan oleh Modi kepada rakyat India pada tahun lepas, tetapi dakwaan mengarut ini disokong dengan model kajian kes Covid-19 di India yang menunjukkan imuniti berkelompok tercapai.

Dakwaan ini bukan sekadar dijaja di jurnal-jurnal penyelidikan, malah dalam kolum-kolum akhbar tempatan.

Selain itu, figura-figura terkemuka terutama ahli politik berterusan menjaja bilangan jangkitan dan kadar kematian yang rendah sebagai bukti kejayaan India menangani Covid-19.

Mereka memberi gambaran bahawa orang India mempunyai ciri istimewa yang membantu mereka kebal daripada jangkitan, namun bagi pakar virulogi dari Universiti Ashoka, Shahid Jameel, anggapan sebegitu mengarut semata-mata dan terbukti sudah memakan diri.

Bagi K Srinath Reddy, Presiden Yayasan Kesihatan Awam India, beliau memahami mengapa ahli-ahli politik berusaha menjaja naratif ini kepada rakyat jelata.

Sebelum pandemik Covid-19 melanda, India berdepan situasi kemelesetan ekonomi dan baru saja hendak bangkit semula dan selain itu, pemimpin-pemimpin sektor perniagaan turut menggesa sektor-sektor ekonomi dibuka semula lantaran mereka menanggung kerugian besar menutup operasi semasa PKP dilaksanakan di India.

Dengan bilangan kes semakin berkurangan pada Februari tahun 2021, kehidupan dilihat kembali seperti pra-pandemik, dengan pertandingan sukan dihadiri ribuan penonton, pusat-pusat beli-belah dibanjiri pengunjung dan aktiviti perkumpulan ramai dibenarkan termasuk perhimpunan-perhimpunan politik dan keagamaan.

Walaupun jawatankuasa parlimen India memberi amaran bilangan katil di hospital tidak akan mencukupi sekiranya berlaku gelombang Covid-19 yang seterusnya, ia langsung tidak diendahkan oleh Modi.

Hospital-hospital sementara dirobohkan termasuk empat buah hospital sementara di New Delhi dan hospital sementara dengan kapasiti 800 buah katil di Pune.

Selain itu, aktiviti perhimpunan terus giat dijalankan di sebalik amaran ia boleh menjadi pencetus pandemik, dengan salah satu daripadanya yang diluluskan kerajaan ialah festival keagamaan Kumbh Mela di Haridwar, Uttarakhand.

Ketua Menteri Tirath Singh Rawat menggalakkan ramai orang untuk hadir sambil menambah, "Tiada siapa yang akan dihalang di bawah nama Co3vid-19 kerana kami pasti keyakinan kepada Tuhan akan mengatasi ketakutan kepada virus ini."

Sejak itu, Uttarakhand mencatat pertambahan kes mendadak sebanyak 1,800% dalam tempoh 25 hari dan ironinya, antara individu yang disahkan positif Covid-19 ialah Singh Rawat sendiri.

Sementara di West Bengal pula, kempen-kempen pilihan raya negeri dinyatakan sebagai punca peningkatan kes Covid-19 paling tinggi di India, dengan proses pengundian dijalankan di sebalik peningkatan kes.

Dan kini, harga yang dibayar akibat kebebasan palsu ini ialah peningkatan kadar kematian yang tinggi terutama dalam kalangan generasi muda dan menurut Dr Amit Thadhani, pengarah hospital Niramaya di Mumbai, varian baru dilihat lebih agresif dengan kebanyakan mangsanya ialah orang muda.

Tambahnya lagi, kebanyakan kes yang dimasukkan ke hospital ialah individu muda yang menderita simptom-simptom Covid-19 yang kritikal.

Tetapi, yang paling memilukan ialah melihat ramai orang di atas pengusung yang menunggu giliran untuk dibawa masuk ke hospital.

Bagi yang bernasib baik, mereka boleh menunggu sambil menggunakan tangki oksigen yang dibeli sendiri, tetapi bagi yang tidak bernasib baik, maka tempat letak kereta hospital menjadi tempat untuk mereka menghembuskan nafas terakhir.

Bagi Dr Jalil Parkar, dari Hospital Lilavati, beliau mengakui sistem kesihatan awam India kini di ambang keruntuhan kerana bukan saja berdepan kekurangan pelbagai bahan seperti kit ujian saringan Covid-19, vaksin dan tangki oksigen, malah pihak hospital terpaksa menggunakan semua ruang yang ada termasuk koridor dan ruang bawah tanah sebagai wad pesakit Covid-19.

Dan bukan rakyat biasa saja yang berdepan masalah sebegini, pemimpin kerajaan juga turut bergelut mendapatkan katil rawatan untuk ahli keluarga mereka seperti dihadapi Vijay Singh Kumar.

Singh Kumar merupakan Ahli Parlimen Uttar Pradesh dan Menteri Pengangkutan India dan dalam satu ciapannya di Twitter, beliau merayu agar abangnya ditempatkan di hospital untuk rawatan Covid-19.

Berikutan bilangan kes Covid-19 yang tinggi, usah terkejut ada negeri cuba menyorok kadar kematian mereka dalam laporan rasmi Covid-19.

Antara negeri yang dituduh terlibat dalam perkara ini ialah Gujerat dan Uttar Pradesh dengan bilangan mayat yang disimpan di rumah mayat mengatasi angka rasmi kematian.

Dengan lambakan mayat sebegitu rupa, penggali kubur dan rumah-rumah pengebumian berdepan tugas sukar menguruskan pengebumian dan pembakaran mayat.

Contoh mudah, kemudahan pembakaran mayat Nigambodh Ghat di Delhi melaporkan mereka sudah kehabisan ruang untuk melaksanakan pembakaran mayat walaupun telah menyediakan 60 tempat pembakaran.

Manakala saban hari, penggali-penggali menggali kubur baru setiap hari untuk mengebumikan mayat yang baru tiba dari rumah mayat.

Kini, kerajaan-kerajaan negeri di Delhi dan Mumbai berlumba-lumba membina semula hospital-hospital sementara selepas dirobohkan berbulan-bulan sebelumnya dan kerajaan pusat turut mengumumkan mana-mana individu berusia 18 tahun ke atas layak mendapat vaksin bermula 1 Mei 2021.

Bagaimanapun, India masih berdepan isu kekurangan vaksin yang masih belum diselesaikan.

Di samping itu, India turut mengeluarkan perintah semua oksigen untuk kegunaan perindustrian dialihkan untuk kegunaan perubatan dan gerabak-gerabak keretapi turut diubahsuai sebagai wad-wad tambahan pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, apa yang dilakukan Modi ibarat nasi sudah menjadi bubur, kerana bagi Dr Thandani, perkara ini sepatutnya disedari kerajaan sejak pertengahan tahun lepas tetapi mereka seolah-olah duduk dalam dunia mereka sendiri dan memandang rendah kesan pandemik Covid-19.

Dan beliau percaya gelombang kedua ini belum pun sampai ke puncaknya dan mungkin lebih ramai orang akan menderita untuk bulan-bulan seterusnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thepatriots

Tuesday, February 23, 2021

Sejarah Kenapa Ganja Dan Ketum Di Haramkan Penjajah British Adalah Untuk Menghalalkan Arak!

Sejarah Kenapa Ganja Dan Ketum Di Haramkan Penjajah British Adalah Untuk Menghalalkan Arak!

Dua tumbuhan asli dari bumi tropika adalah ganja dan ketum. Semua warga tahu apa itu ganja. Semua tahu apa itu ketum. Mustahil ada manusia waras yang mengada-ngada buat-buat tidak tahu dan kita yakin semua warga yang akil baligh pernah mendengar nama ganja dan ketum sekurang-kurangnya sekali, walaupun pastinya ramai belum melihat rupa dua tumbuhan ini.

Ganja

Mungkin juga ramai yang tidak tahu apa guna dan peranan dua tumbuhan luar biasa ini.

Kalau masih ada lagi yang kata tak pernah mendengar ganja dan ketum – kalaulah ada kuasa - gantung saja status kerakyatan hingga mereka kenal apa itu ganja dan apa itu ketum.

Jangan risau dan jangan kecewa kalau tak pernah melihat ganja dan daun ketum. Tidak pernah melihat dua tumbuhan ini bukan satu jenayah.

Penggunaan nama Latin untuk ketum dan ganja adalah mengarut. Ketum dan ganja mustahil akan tumbuh segar di tepi Sungai Tiber Rom Itali – tempat asal usul bahasa Latin.

Ramai tahu bahawa ganja dan ketum boleh hidup subur membiak di belakang kedai Pak Usin Batu Tujuh Bendang Raja Kuala Nerang.

Pasal itu ada daerah dan orang-orang kampung ini panggil Daun Ketum sebagai Daun Biak. Kerana senang membiak dalam alam bumi tropikal.

Penulisan tentang ketum dan ganja kali ini adalah dengan tujuan yang amat jelas. Bukan kerana diupah oleh tokan ganja atau tokan ketum. Tidak.

Ini ditulis untuk membuka pencerahan dan wacana baharu tentang sejarah dan punca 'kebencian' kepada daun ketum dan daun ganja.

Ini juga untuk menjadikan ganja dan ketum sebagai perbualan harian, membawang tentang ketum dan ganja dari sudut yang segar, cerah dan berpaksikan sejarah dan fakta.

Sentimen anti dari konstruk sosial

Sikap antiketum dan antiganja kini telah melebar. Sikap anti pada dua tumbuhan asli negara kita ini muncul melalui apa yang dipanggil akta dan undang-undang yang diluluskan melalui apa yang dipanggil parlimen.

Ahli parlimen dan senator – para YB - bertanggungjawab membuat dan meluluskan rang undang-undang.

Undang-undang ini adalah konstruk sosial yang diwujudkan oleh daulah. Konstruk sosial bukan azali. Ia adalah hasil perbuatan manusia. Ia tidak natural seperti petai dan kerdas atau pisang.

Konstruk sosial ini diwujudkan oleh manusia seperti rumah atau reban ayam.

Tetapi, ia bukan macam reban ayam yang boleh dilihat dan dipegang. Konstruk sosial tidak dapat dilihat. Tetapi ia wujud. Konstruk sosial wujud dengan agenda dan tujuan masing-masing. Semua kontruk sosial memiliki agenda.

Undang-undang kolonial

Selesai membaca tulisan ini, para pembaca yang budiman sila beri perhatian teliti. Baca dengan teliti apabila membaca berita tangkapan ganja atau ketum yang dilaporkan oleh media.

Pada hari Isnin, 1 Feb 2021, portal My Metro ada melaporkan sebuah lori dengan muatan 4.5 tan daun ketum ditahan dalam perjalanan dari Baling Grik Kedah ke Serambi Mekah.

Polis berkata: Suspek di reman sehingga 4 Februari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Pada 10 Jun 2020 portal Berita Harian telah melaporkan tentang sosok bernama Mat Tarzan dari Jalan Datuk Kumbar Alor Star telah ditahan kerana menanam ganja di halaman rumahnya.

Polis berkata: Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menanam pokok ganja dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.

Setelah membaca dua berita ini, adakah pembaca nampak sesuatu?

Bukan nampak daun ganja atau daun ketum. Tetapi sesuatu yang amat menonjol. Selama ini ia tenggelam dalam laporan berita.

Selama ini mata kita hanya memerhati berapa kilo ganja dirampas atau berapa guni daun ketum ditemui dalam lori.

Gambar polis berhadapan dengan daun ketum atau air ketum juga mengalihkan pandangan kita untuk menjadi teliti.

Angka 1952 - perhatikan betul -betul – angka 1-9-5-2 - Akta Racun 1952. Akta Dadah 1952. Kuncinya di sini ialah angka 1-9-5-2.

Kenapa kita mengatakan angka 1-9-5-2 sebagai kunci?

Bro, 1952 ialah angka tahun akta itu dibuat. Sedarlah bahawa pada tahun 1952 kita belum ada Parlimen. Kita masih lagi dijajah oleh Inggeris.

Maknanya, undang-undang dan akta ini adalah hukuman dari kuasa kolonial Inggeris. Betul atau tidak?

Ini bukan undang-undang dari parlimen negara Malaysia. Tapi kuasa kolonial Inggeris dan Baginda Queen yang membuat udang undang ini.

Undang-undang anti ganja dan ketum ini dibuat oleh kuasa kolonial Inggeris. Sesudah fakta ini difahami maka kita akan masuk ke satu bab yang baru.

Fakta baharu ini ialah, di negara yang di jajah seperti Tanah Melayu - anak buah suku sakat kaum kerabat baginda Queen dari London awalnya datang dengan syarikat bernama East India Company.

Ini sebenarnya lanun laut yang dipayung oleh baginda Queen. Datang untuk menjarah harta kekayaan negara lain.

Lanun ini diberi taraf 'perniagaan' oleh baginda Queen. Mereka melanun atas nama baginda Queen. Dapat senjata dan bantuan laut dari baginda Queen.

Demi 'Menghalalkan' Arak

Lanun penjajah ini telah mendirikan kilang Tiger Beer di Singapura pada tahun 1932. Pada tahun 1933 kilang Anchor beer didirikan juga di Singapura. Dua beer ini amat terkenal dalam dunia ini. Dua-dua beer ini berasal dari air Kallang di Singapura.

Anak-anak muda jangan silap faham dan bertanya - ada apa tersangkut dengan Singapura.

Singapura ini adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Pulau ini kita boleh nampak dari Johor Baharu. Kalau kita menonggeng beramai-ramai dan terkentut di Johor Baru mengarah ke Singapura mungkin ada bangunan yang akan runtuh di Woodland.

Bagaimana parti ketuanan Melayu - United Malays National Organisation belot hingga Singapura cabut lari – satu cerita lain. Bukan dalam kisah ganja dan ketum.

Apa yang hendak disampaikan disini ialah bagaimana kuasa kolonial Inggeris mahu memunculkan satu akta dan udang undang untuk melarang ketum dan ganja.

Undang-undang ini di buat pada tahun 1952. Akta anti ketum dan anti ganja ini muncul 20 tahun setelah Tiger dan Anchor bertapak di Singapura.

Nampak atau tak nampak?

Ketum

Tujuan undang-undang antiganja dan antiketum dibuat agar orang ramai lari dari menghisap ganja dan meninggal meminum air ketum untuk membeli bir buatan syarikat kolonial Inggeris.

Satu habuk pun kita tak percaya bahawa baginda Queen yang meluluskan akta antiganja dan antiketum ada niat untuk menjaga kesihatan anak-anak tanah jajahan. Poorah.

Niat kesihatan ini tak timbul. Kuasa kolonial Inggeris datang untuk menjarah Tanah Melayu. Apa boleh dirembat akan dirembat. Apa boleh dilanun akan dilanun. Gali, tebang dan jual. Ini rukun iman kuasa kolonial Inggeris.

Jangan lupa - rokok dan tembakau telah diperkenalkan ke Tanah Melayu seawal tahun 1912 – lebih awal dari Tiger dan Anchor.

Di Kelantan, walaupun klim sebagai Serambi Mekah menjadi wilayah penting untuk kaum tani menanam tembakau, tidak ada undang-undang anti rokok yang bersabit dengan kesihatan sehingga tahun 1977.

Para perancang syarikat beer pasti sedar bahawa ganja dan ketum adalah dua tanaman asli Tanah Melayu.

Ini memberi persaingan yang maha hebat kepada Anchor dan Tiger. Voila! Maka undang-undang yang berselindung di sebalik kesihatan dibuat.

Konon untuk mengawal dan menjaga kesihatan anak tanah jajahan dari makan racun. Maka dimunculkan Akta Racun 1952.

Pukrak mukrak apa? Ganja dan ketum tidak penah menjadi racun dalam alam Melayu. Tak ada siapa kena racun. Ganja dan ketum wujud selari dalam budaya kehidupan kaum tani, nelayan dan buruh cucu cicit sejak sekian lama.

Tiba-tiba para penjajah ini mengatakan ganja dan ketum ini racun. Ganja dan ketum tidak baik untuk kesihatan.

Bagi penjajah ini, untuk berehat dan bersantai salepas memburuh di bendang atau pulang dari menangkap ikan, buka sebotol Harimau atau sebotol Sauh.

Apakah para pembaca budiman tidak melihat kenapa harimau dari hutan dan sauh dari laut telah dijadikan logo?

Ini taktik kuasa kolonial Inggeris di belakang Akta Racun 1952. Tak percaya?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Tuesday, February 16, 2021

Kisah 'Majistret Korup' Di Malaysia

Kisah 'Majistret Korup' Di Malaysia

Firdaus Ramlan, 39, merupakan hakim majistret di Kelantan apabila kes rasuahnya terbongkar lebih satu dekad lalu dan dalam satu temu bual dengan wartawan, lulusan UiTM itu menceritakan kisah hidupnya agar menjadi pengajaran kepada orang lain.

Firdaus

Firdaus melakukan kesalahan itu ketika berkhidmat sebagai majistret di Mahkamah Majistret Gua Musang.

Sebelum itu, dia pernah bertugas sebagai penasihat undang-undang untuk Majlis Bandaraya Klang dan pendaftar kanan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

"Sistem yang korup tu dah ada. Saya mewarisinya. Ini merupakan rahsia terbuka," tambahnya.

Mengakui bahawa dia tidak dipaksa untuk menerima rasuah, Firdaus berkata "broker" adalah antara mereka yang 'menyambutnya' ketika dia melaporkan diri sebagai hakim.

"Ini adalah orang tengah antara saya dan penjahat. Ketika saya melapor bertugas untuk pertama kalinya, mereka membayar makanan saya dan menyediakan tempat untuk saya tinggal," tambahnya.

Gaji permulaan Firdaus bagi jawatan gred F41 adalah sebanyak RM1,500 sebulan.

Bagaimanapun, bekas majistret itu berkata dia tidak menyentuh 'satu sen pun' gaji berkenaan kerana boleh mendapat sehingga RM10,000 bagi setiap kes.

"Bayangkan berapa banyak yang akan saya dapat sekiranya ada tiga atau empat kes dalam sehari?" katanya sambil mengatakan godaan itu terlalu besar untuk dihindari.

Firdaus menceritakan dia menggunakan wang itu untuk membeli barangan mewah seperti jam tangan dan kasut berjenama.

“Ketika dah buat duit, giliran kamu melayani broker. Saya juga kirimkan wang kepada ibu bapa saya," tambahnya.

Bagaimana ia disepakati

Pada tahun 2009, Firdaus mengendalikan kes melibatkan pesalah dadah yang sebelumnya didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada masa itu, dia dikenali di kalangan orang tertentu sebagai majistret yang korup.

Tertuduh menawarkan untuk membayar RM5,000 untuk dibebaskan dengan bon bagi mengelakkan dipenjara.

Menceritakan bagaimana ia disepakati, Firdaus berkata tertuduh akan menyatakan hasratnya kepada anggota polis yang bertugas di mahkamah.

Anggota polis kemudian akan menyampaikan mesej itu kepada ketua inspektor yang akan mendekati tertuduh untuk mengesahkan kesepakatan itu.

Setelah perkara itu disahkan, ketua inspektor, yang bertemu majistret setiap pagi, akan menyampaikan tawaran itu kepada Firdaus.

Sekiranya disepakati, tertuduh akan mengupah peguam untuk merayu hukuman yang lebih ringan di hadapan majistret.

Namun, dalam kes ini, tertuduh tidak menjelaskan bayarannya dan ini menyebabkan rasuah itu terbongkar.

"Ketua inspektior mengugut tertuduh bahawa dia akan mengemukakan rayuan dan mengembalikan hukuman penjara. Oleh itu, tertuduh buat laporan polis dan dedahkan kami semua.

"Tertuduh dilindungi di bawah Akta SPRM sebagai pemberi maklumat," tambah bekas hakim itu.

Firdaus ditangkap pada 11 Oktober 2009 ketika isterinya mengandung anak pertama mereka.

Ketika perkara itu didengar di Mahkamah Rayuan, Firdaus mengaku dia cuba melarikan diri.

"Saya tahu ia dah berakhir.

"Saya melihat nama panel hakim termasuk Abdul Wahab Patail dan Jeffrey Tan. Peguam saya sudah bersedia tapi kes ini kuat. Para hakim tak akan tertipu," katanya.

Fridaus menceritakan dia mengambil kunci keretanya dan keluar dari bangunan mahkamah melalui pintu belakang ketika bertemu peguamnya.

"Dia tanya ke mana saya nak pergi. Saya beritahu saya nak lari. Tapi dia nasihatkan saya untuk berdepan masalah ini dan saya mendengar nasihat dia.

"Seperti dijangka, para hakim mengekalkan hukuman. Saya masih ingat wajah sedih isteri dan ibu mentua saya," tambahnya.

Firdaus berkata dia masih meratapi kematian ibu, ayah tiri dan adiknya yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.

"Mayat ibu saya rentung. Saya tak dapat berhenti daripada memikirkan bahawa saya telah memberi makan keluarga saya dengan hasil haram," tambahnya.

Firdaus dijatuhi hukuman tiga tahun penjara tetapi dibebaskan dengan parol selepas 19 bulan.

Pada bulan Jun 2014, Firdaus bertemu pegawai SPRM yang menyiasat kesnya.

"Saya nampak dia di sebuah restoran. Dia kenal saya ketika saya perkenalkan diri sebagai 'majistret korup.'

"Saya beritahu dia bahawa saya ingin berkongsi pengalaman saya dengan pegawai kerajaan yang lain untuk mengelakkan mereka mengalami nasib yang serupa," tambahnya.

Dengan bantuan pegawai itu, Firdaus menemui pengarah SPRM negeri untuk mengemukakan cadangan tersebut.

"Pengarah setuju dengan idea itu. Sesi perkongsian pertama saya adalah di institut perguruan di Kota Bharu. Di situlah ia bermula. Inilah apa yang saya lakukan sekarang," tambahnya.

Ketika ditanya apakah dia merindui profesion perundangan, Firdaus menjawab:

"Jika saya dapat mengundurkan waktu, saya akan menjadi majistret yang menegakkan keadilan, bukan majistret yang korup."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Friday, January 01, 2021

Malaysia Hilang Budi

Malaysia Hilang Budi

Jika ada satu kalimat yang tidak dapat dikaitkan dengan 2020, kata itu ialah 'budi', kerana ia adalah kebalikan dari bencana, pengkhianatan dan tipu daya yangmenghiasi seluruh hari-hari sepanjang tahun 2020 di Malaysia.

Rasuah

Baik penjarahan kuasa rakyat dirobohkan lantas dinaikkan sebuah pemerintahan tanpa mandat, hinggalah kepada pecah amanah dan kepercayaan rakyat dengan pendedahan kartel daging selepas 40 tahun, Malaysia tidak dapat lagi dikenali sebagai sebuah negara budi.

Negara ini adalah kebalikan dari budi, ia adalah negara badi.

Budi sudah tiada dalam kalangan kita. Budi pekerti itu ertinya perangai, atau tingkah laku yang baik. Malangnya itu sudah tiada.

Kita melihat para ulama dan tok guru menelanjangkan seluar dalam masing-masing dan mempamerkan apa yang ada dalam kain pelekat mereka. Para lebai ini telah menjadi muka sebelah pada keping siling penyangak.

Dalam kalangan politikus kita melihat kegersangan budi bahasa iaitu keindahan pertuturan. Jerit pekik di Dewan Rakyat sebagai contoh mengesahkan kepada kita bencana ini.

DAGING KANGGARU & KUDA HALAL

Kita juga akhirnya mengerti, pada tahun 2020, Malaysia sudah tiada lagi mereka yang berakal dan bijaksana kerana kita ditipu hidup-hidup dengan daging kanggaru dan kuda (dengan pelekat halal).

Maka, apabila tiada lagi budi untuk disandarkan, kita boleh isytiharkan Malaysia adalah sebuah negara gagal.

Siapa yang boleh mengkhayalkan 2020 menjadi tahun mula kehancuran negara tercinta ini? Padahal kita dahulu membayangkan 2020 adalah tahun bakti.

Pantun Melayu menghujahkan begini:

Buah pelaga di tepi perigi
Dalam perigi ada timba
Sendi bangsa ialah budi
Runtuh budi runtuhlah bangsa.

Terdapat sebuah lagi pantun yang matlamatnya serupa mengingatkan kita pula begini:

Tegak rumah kerana sendi
Rosak sendi rumah binasa
Tegak bangsa kerana budi
Rosak budi bangsa binasa

Kehancuran peradaban

Demikianlah Malaysia menuju kehancuran peradaban, sedang kehilangan budi dengan cepat sekali.

Ini kerana pada tahun 2020 inilah kita melihat para politikus mengkhianati mandat rakyat. Sedangkan kita diajar dengan pelbagai pegangan budi.

Misalnya ‘berhutang budi’ itu adalah ‘berasa berterima kasih’, manakala 'mengenang budi’ itu ialah ‘tidak lupa kebaikan orang’; sedangkan ‘membalas budi’ diertikan sebagai ‘membalas kebaikan orang’.

Dalam pada itu ‘menabur budi’ adalah ‘sering membuat kebaikan' serta 'menanam budi’ dimaksudkan oleh ‘membuat kebaikan kepada orang’.

AHLI POLITIK MALAYSIA TIADA MARUAH

Para politisyen tidak berminat untuk berbudi sama sekali kepada rakyat. Budi mereka adalah pada kuasa dan tawaran dunia, iaitu badi.

'Scheme of things' adalah badi, bukan budi.

Kita dapat melihat kepada fenomena badi ini pada mereka yang melanggar peraturan Covid-19 misalnya dan tanpa segan silu tiada rasa bersalah menabraknya. Mereka dengan berani mentertawakan perintah kuarantin misalnya.

Itulah sebabnya kita melihat ahli politik di negara kita sungguh hina sekali.

Atau, mereka dipandang dengan penuh rasa jijik, menyampah, meluat, benci, rimas, jengkel, tawar dan geli geleman oleh kita, rakyat.

Ini kerana orang dulu-dulu menamakan manusia hina sebagai orang yang tidak berbudi:

Bunga melati bunga di darat
Bunga seroja di tepi kali
Hina besi kerana karat
Hina manusia tidak berbudi

Perangai ahli politik ini makin meloyakan apabila kita melihat mereka yang konon pembangkang berbudi sekadar memilih untuk duduk saja di Dewan Rakyat, dan bila dikecam baru terhegeh-hegeh berdiri untuk mempertahankan mandat rakyat.

Tepatlah mereka dengan kerangka pantun yang berbunyi:

Dari pulau ke tepi kali
Daun berselerak di atas panggung
Hidup kalau tidak berbudi
Duduk tegak berdiri canggung

Makanya apabila terbocor rahsia Malaysia menjamah daging kanggaru yang dilekatkan dengan label halal selama 40 tahun kita juga tahu budi itu sudah bertukar badi.

Luka mula terdaging

Ini kerana tanggungjawab, kejujuran, kepercayaan yang sudah dikhianati untuk kita makan itu telah bertukar menjadi badi, maka yang mendarah daging bukan lagi budi dalam tubuh kita.

Penipuan daging itu membangunkan jasad kita dengan badi. Maka badi ini ibarat kata orang Melayu ‘lukanya sudah mula terdaging’ atau sudah sangat melukai sehingga tiada lagi kebersihan kalbu.

Ada pun daging rusa yang halal itu pun orang Melayu kaitkan dengan keduniaan atau dalam konteks ini wang sebagai perhiasan; saya tidak tahu daging kanggaru sesuai dihubungkan dengan apa:

Kalau udang dibuat gulai
Daging rusa dimasak kari
Kalau wang jadi pemakai
Budi bahasa pengiring diri

Maka tidak menghairankan jika kita di Malaysia sudah tidak peduli, kerana 40 tahun menjamah daging kanggaru kita sudah tidak lagi mengenal tulus.

Memanglah cara pandang ini boleh saja ditolak oleh kerangka sekular, bahawa kesalahan dan kecuaian itu tidak harus dibebani oleh kita yang sama sekali tidak tahu urusan ini. Bukankah kita sendiri mangsa?

PATUTLAH YB SUKA LOMPAT KANGGARU

Akan tetapi, mungkin ini saja penjelasan mengapa ahli politik kita suka melompat seibarat kanggaru.

Mereka terlihat oleh rakyat umpama kanggaru merah, atau kanggaru antelop, manakala sesetengah lain kita pandang bagaikan kanggaru kelabu dalam genusmacropus yang berkuku dan tidak peduli (tiada rasa segan silu).

Lebih parah, salah satu spesies kanggaru sebetulnya adalah sejenis tikus. Ia lebih dikenalisebagai “Quokki” sebesar saiz kucing.

Itu juga menjelaskan kepada kita kenapa rasuah sedang menjadi wabak dikalangan kita, baik pada politisyen, ulama, artis, penjawat awam malah dalam kalangan pensyarah di universiti.

Ini menjelaskan mengapa seperti kanggaru ada dalam kalangan kita mempunyai kocek kecil untuk disumbat imbuhan.

Bak kanggaru betina, selepas kelahiran, terkembang sejenis poket dalam yang dilengkapi dengan otot kuat.

Poket aneh ini ia terus tumbuh dan berkembang. Ia mengambil dan mengambil. Terus mengambil.

Empat puluh tahun menghadami daging kanggaru di kenduri-kendara dan katering pejabat kerajaan, sesetengah penjawat awam telah menjadi pensubahat, penyumbaleweng dan lebih dahsyat enabler.

Untuk membikin gaya, kita menyikapinya sebagai pendekatan Hang Tuah. Siapa tahu barangkali hulubalang itu memang pernah menjamah daging kanggaru? Kita tahu dari teks lama, dia sanggup terjun ke dalam lubang tahi untuk menggembirakan raja Melaka.

Itu belum lagi kita syarahkan perihal daging kuda, mengapa sesetengah kita misalnya bernafsu liar atau nafsu kuda.

Memang terlalu mudah mengaitkan perangai manusia Malaysia hari ini dengan apayang mereka makan selama 40 tahun, katakan kanggaru.

Akan tetapi, kita sudah habis hujah saintifik untuk menjelaskan ketelanjangan sesetengah orang Malaysia yang tidak malu makan rasuah atau bermegah menyondol rasuah.

Mereka malah makan kenduri dengan rasuah di perkarangan tangga keadilan.

Pokoknya, saya hanya ingin mengatakan kita sedang diancam satu bahana iaitu malapetaka kehilangan budi. Sama ada ia datang dari makan haram atau halal satu perkara lain yang boleh kita perdebatkan.

Tetapi kebolehberadaan daging kanggaru di atas pinggan kita yang kadang kita kari atau kita rendangkan itu tidak berpunca dari budi. Ia datang kerana badi. Ia disuguhkan tanpa kemahuan. Seperti ahli politik khianat yang tidak kita kehendaki.

Kartel daging ini semakin diasak dan dipersoalkan semakin ia disembunyikan.

Seolah-olah ada yang hendak dilindungi. Kerja melindungi pesalah ini adalah perangai badi. Bukan suatu yang budi.

Inilah masalah kita. Rakyat sudah tidak ada siapa yang hendak dipercayai.Tiada apa lagi yang benar di Malaysia. Dahsyatnya, daging lembu itu boleh jadi daging kanggaru dari Perth. Demikian kita ditipu hidup-hidup.

Jadi apa rasanya daging kanggaru? Badi. Siapa yang menerbalikkan budi, dan melondehkan badi, kita diam-diam tahu mungkin mereka inilah bahagian dari bahana itu.

Memang, seperti kata saya tadi; ia alasan mudah tetapi apa lagi yang mudah untuk menjelaskan apa yang menimpa kita dalam tahun 2020, tahun penuh badi.

2020 tahun tiada budi.

***

Penulis ialah FAISAL TEHRANI, pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Thursday, December 10, 2020

Mimpi Ngeri Dan Realiti Akses Internet Di Malaysia

Mimpi Ngeri Dan Realiti Akses Internet Di Malaysia

Dengan ledakan komunikasi secara digital di Malaysia yang sudah berusia lebih 20 tahun, menjadi suatu yang janggal apabila ada yang ketinggalan dan masih tidak mampu untuk berada dalam era yang sama.

Internet Di Malaysia

Ditambah dengan keadaan kita berada dalam pandemik Covid-19 ini, memaksa kita mengoptimumkan penggunaan peranti digital.

Malangnya, menjadi ketidakpuasan hati apabila timbul isu-isu berkaitan akses digital kepada pendidikan kerana umum maklum dengan keadaan kini, semua pelajar sekolah mahupun mahasiswa di universiti terpaksa menjalani pembelajaran secara dalam talian.

Namun, dengan contoh kisah Veveonah Mosibin, seorang pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang terpaksa memanjat pokok semata-mata untuk mendapatkan akses internet di kawasan rumahnya, Pitas, Sabah, sudah cukup membuktikan masih ramai lagi yang tidak mampu menjalani norma baharu ini.

Dengan penutupan sekolah sehingga Januari tahun 2020, pelajar sekolah terpaksa meneruskan pembelajaran melalui dalam talian.

Bagaimanapun, kajian KPM telah menyatakan bahawa 1.7 juta pelajar tidak mempunyai sama ada telefon pintar, tablet atau komputer yang membolehkan mereka belajar secara maya.

Manakala lebih daripada 52% pelajar di negeri Sabah tidak mempunyai kemudahan akses ini.

Sedang kita berlumba ke arah era pendigitalan secara total, masih ramai yang belum mampu berada dalam perlumbaan sebenar.

Isu terbesar kepada akses ini ialah soal kemiskinan sebenar yang dialami sehingga tidak mampu mempunyai peranti digital yang bersesuaian.

Jangan dilupakan juga soal infrastruktur menjadi persoalan terbesar walaupun saban tahun belanjawan negara akan membawa agenda digital dan infrastruktur.

Kerajaan selalu berbangga dengan infrastruktur yang kononnya bertaraf dunia, walhal hasilnya hanya di nikmati oleh sebilangan pihak sahaja.

Paling kasihan sudah tentunya rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang jelas ketinggalan 20 tahun di belakang.

Era digital perlu keluar daripada bendung mimpi dan diubah realitinya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Tuesday, November 24, 2020

Hiperinflasi Yang Menghancurkan Negara Venezuela

Hiperinflasi Yang Menghancurkan Negara Venezuela

Negara Venezuela sangat terkenal sebagai negara yang menawarkan harga petrol paling murah di dunia serta mempunyai simpanan minyak antara yang terbesar berbanding semua negara pengeluar minyak, tetapi sedang mengalami hiperinflasi.

Hiperinflasi

Bagaimana seksanya hidup dalam keadaan hiperinflasi? Sangat, sangat sukar.

Mengambil negara kita sebagai perbandingan, Venezuela berdepan kadar inflasi setinggi lebih 1,000,000% (ya! satu juta peratus) berbanding Malaysia yang hanya berdepan inflasi pada kadar 1.5-2.0% pada tahun 2020.

Sehingga penghujung 2017, ada tiga negara di dunia sedang menghadapi kadar inflasi melebihi 100% selama tiga tahun berturut-turut iaitu Sudan Selatan, Suriname dan paling teruk sudah tentulah Venezuela.

Apa itu hiperinflasi? Bagaimana hiperinflasi memberikan kesan buruk pada sesebuah negara?

Dalam sebuah sistem ekonomi yang baik, akan berlaku kenaikan atau penurunan kadar inflasi yang stabil dan seimbang.

Harga, pengeluaran serta faktor-faktor lain yang merangsang atau merencatkan ekonomi memberi kesan naik turun dalam amaun yang sedikit.

Secara keseluruhannya, tidak ada masalah inflasi naik sedikit asalkan ekonomi sesebuah negara akan berkembang dalam jangka masa panjang.

Namun, ada masanya sesebuah negara gagal mengawal ekonomi mereka dengan baik sehingga mengalami fenomena yang dinamakan hiperinflasi.

Sekiranya anda terkejut dengan ramalan Venezuela boleh mencapai kadar kenaikan inflasi 1 juta peratus sekiranya tidak dibendung, anda perlu tahu kadar inflasi tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah dunia adalah 2.2 juta peratus, yang terjadi pada ekonomi negara Zimbabwe pada tahun 2009.

Kenaikan kadar inflasi pada tahap 15 peratus sekalipun, walaupun dilihat besar sepatutnya tidak mengganggu gugat kestabilan ekonomi sesebuah negara.

Kebiasaannya, masyarakat masih mampu mengubah dan mengurangkan beberapa aspek hidup mereka untuk menampung kenaikan kos itu.

Jadi perlu kita fahami, inflasi adalah sesuatu yang normal sekiranya naik melebihi 10 peratus sekalipun.

Berkenaan hiperinflasi, tidak ada kadar tetap untuk sebuah kadar inflasi dikatakan sudah mencapai tahap hiperinflasi.

Semuanya bergantung kepada kenaikan bulan ke bulan yang berlaku dalam ekonomi negara tersebut, dengan hiperinflasi akan diisytiharkan sekiranya kadar inflasi naik mendadak dalam jangka masa yang singkat tanpa henti.

Kesan hiperinflasi yang sangat besar memang memburukkan keadaan; pendapatan yang diperolehi orang ramai akan dianggap tidak mencukupi walaupun hanya untuk membeli barangan keperluan asas.

Mengapa hiperinflasi berlaku di Venezuela?

Penganalisis secara majoritinya bersetuju kejatuhan harga minyak mendadak menyebabkan kejatuhan ekonomi Venezuela.

Negara itu sangat bergantung dengan hasil minyak dan juga dibebankan dengan jumlah hutang negara dalam bentuk matawang asing yang tinggi.

Venezuela dianggarkan mempunyai jumlah hutang luar negara setinggi 50 bilion dolar dan kejatuhan harga minyak menyebabkan negara tersebut kehilangan dana untuk membayar semula hutang-hutang itu.

Ini juga menyebabkan nilai matawang mereka 'bolivar' menjunam sehingga mengakibatkan nilai hutang mereka dalam matawang dolar meningkat berkali ganda.

Untuk membantu menyelesaikan hutang ini, kerajaan Venezuela terpaksa mencetak lebih banyak wang bolivar sebagai dana untuk membeli matawang asing seperti dolar contohnya, bagi menjelaskan hutang yang perlu dibayar.

Ini menyebabkan matawang bolivar kehilangan nilainya apabila berlaku lambakan wang tersebut ke dalam pasaran tempatan.

Bila bekalan jumlah wang bolivar melebihi keperluan negara tersebut, nilai bolivar akan semakin susut.

Jumlah hutang dalam kadar matawang asing yang perlu dibayar pula tidak berkurangan, malahan semakin bertambah.

Nilai bolivar yang diperlukan untuk membeli wang dollar pula semakin meningkat hari ke hari, menyebabkan hiperinflasi teruk pada Venezuela.

Bagaimana rasanya hidup dalam keadaan hiperinflasi?

Hiperinflasi

Ketika ini, diramalkan tahap pengangguran Venezuela akan mencecah 36% pada tahun 2022. Masalah yang paling besar, untuk bekerja juga dilihat tidak berbaloi.

Orang ramai tidak lagi dapat bergantung harap dengan sumber pendapatan mereka kerana nilai matawang Venezuela boleh turun mendadak bila-bila masa.

Ini menyebabkan jumlah pendapatan yang mereka terima tidak membolehkan mereka berbelanja untuk membeli apa-apa.

Kedai makan tidak lagi berani meletakkan harga kerana harga boleh berubah bila-bila sahaja dan pasaraya juga tidak lagi diwajibkan memaparkan tanda harga.

Harga barang pula sangat menggerunkan kerana untuk membeli segulung tisu tandas, mereka perlu membayar 2.6 juta bolivar yang bersamaan dengan RM43.20.

Seekor ayam pula berharga 14.6 juta bolivar, bersamaan dengan RM242.50. Harga dah mahal kan? Nak membayarnya pun satu masalah besar.

Untuk membayar satu gulung tisu tandas, rakyat Venezuela perlu membawa wang kertas 1000 bolivar setinggi 26cm tebal dan mempunyai berat 2.6 kg.

Membayar ayam? Mereka perlu membawa wang tunai setebal 73 cm dengan berat sebanyak 14.6 kg.

Apa yang lebih malang, nilai wang Venezuela boleh berubah setiap masa, jadi ada kemungkinan ketika mereka dalam perjalanan hendak membeli tisu dan ayam, harganya sudah naik menyebabkan mereka tidak lagi mampu membeli barangan tersebut. Begitulah parahnya kesan hiperinflasi kepada ekonomi.

Diet masyarakat mereka juga mula berubah dengan 3 daripada 4 orang mengalami penurunan badan ketara dengan purata 9kg.

Harga makanan meningkat sehingga 300% dalam tempoh 5 tahun sehingga menyebabkan orang ramai kembali bergantung kepada ubi kentang sebagai makanan utama.

Kesan buruk pada pekerjaan dan masa depan

Pelacur

Oleh kerana pendapatan atau gaji sudah tidak lagi membawa nilai pada penduduk Venezuela, banyak syarikat kini memilih untuk membayar pekerja mereka dengan barangan keperluan asas.

Wang ringgit yang tiada lagi nilai turut sama memaksa orang ramai mula menggunakan sistem barter.

Memiliki barangan keperluan asas seperti sabun, minyak masak dan bahan mentah dilihat jauh lebih penting berbanding keperluan memiliki wang.

Sebagai contoh, sebuah syarikat keselamatan Venezuela yang tular pada awal 2018, menawarkan gaji 2 juta bolivar yang masih belum cukup untuk membeli tisu tandas sebagai pengawal keselamatan.

Sebagai ganjaran tambahan, pekerja yang bekerja dengan baik ditawarkan bonus 36 biji telur seminggu untuk dibawa pulang ke rumah.

Salah satu kesan lain yang paling menakutkan adalah dalam sekelip mata, keseluruhan simpanan rakyat Venezuela hilang nilainya.

Keadaan ini menyebabkan sistem ekonomi Venezuela menjadi lebih kucar-kacir kerana orang ramai tidak lagi mempunyai minat untuk terus menyimpan wang untuk tujuan melabur; menyumbang kepada kejatuhan ekonomi yang lebih dahsyat kerana kerajaan kini ketiadaan modal untuk dijadikan suntikan kepada penggerak industri.

Selain itu, aktiviti pelacuran juga berleluasa kerana aktiviti itu adalah salah satu bentuk perniagaan yang tidak memerlukan sebarang modal.

Situasi hiperinflasi yang berlaku di Jerman pada awal abad ke 20 membuktikan aktiviti pelacuran melibatkan pelacur lelaki dan wanita berleluasa, disebabkan tekanan hidup yang mendadak pada ketika itu.

Yang lebih membimbangkan, kadar jenayah juga akan turut meningkat setiap kali sesebuah negara mengharungi situasi hiperinflasi, kerana kerajaan kini ketiadaan dana yang cukup untuk membayar gaji petugas keselamatan yang memadai dengan kos sara hidup.

Ini menyebabkan kewujudan situasi di mana undang-undang diabaikan dan orang ramai mula menjadikan mencuri itu tabiat bagi memudahkan mereka menjalankan urusan barter.

Jenayah bunuh juga semakin menjadi-jadi dengan 73 orang warga mereka dibunuh setiap hari berdasarkan statistik, selain daripada jenayah rompakan dan penculikan menjadikan negara tersebut, yang satu masa dulu terkenal sebagai antara negara paling mementingkan kebajikan rakyat mereka runtuh, semua kerana hiperinflasi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Monday, October 12, 2020

Krisis Kepimpinan Yang Dahsyat Di Malaysia

Krisis Kepimpinan Yang Dahsyat Di Malaysia

Kepimpinan yang berwibawa merujuk kepada pemimpin - peringkat negara dalam konteks ini - yang mendapat kepercayaan dan mandat rakyat, juga berprestasi tinggi, berkebolehan serta ada sifat amanah, integriti, bertanggungjawab, mampu mentadbir negara dengan cekap berlandaskan perlembagaan.


Krisis kepimpinan
 
Allah SWT merakamkan kisah anak perempuan Nabi Shuib dalam surah al-Qasas ayat 26 bermaksud: "Salah seorang antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah."

Ayat itu menjelaskan dua ciri penting iaitu "quwwah" dan "amanah" yang jika mengikut keadaan pada hari ini, kita boleh terjemahkannya sebagai kompetensi dan integriti yang menentukan kepimpinan berwibawa.

Rakyat Malaysia kini sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan yang amat dahsyat sejak kemerdekaan, kerana ciri-ciri kewibawaan telah hilang di kalangan kepimpinan negara.

Amalan rasuah, ketirisan dan penyalahgunaan kuasa telah sampai ke tahap tragedi nasional, sangat menakutkan.

Wang suapan bukan lagi diberi secara bawah meja, sebaliknya bertukar tangan secara terbuka, tanpa rasa malu dan segan silu. Cash is king.

Ironinya, yang korup itu pula diangkat menjadi penasihat untuk membenteras amalan rasuah. Mungkinkah kerana kita memerlukan pencuri untuk menangkap pencuri?

Virus ini sukar dibendung selagi kita ada pemimpin yang gila kuasa dan harta. Ada tanda harga yang membolehkan kejujuran dibeli atau tawar-menawar.

Ia tiada vaksin kecuali rakyat berusaha membetulkan kompas moral kepimpinan negara. Kembali kepada jalan Allah dengan sebenar-benarnya.

Rasuah Norma Baharu?

Apakah maruah rakyat Malaysia benar-benar sudah terhakis sehingga sedemikian rupa? Tidak dapat lagi membezakan yang baik dengan yang buruk?

Adakah budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah menjadi sebahagian daripada norma baru dalam kehidupan rakyat Malaysia?

Hari ini, ketika ini dan saat ini, kita sedang melihat penguatkuasaan dua darjat, amalan yang jauh berbeza berbanding apa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita.

Adakah pemimpin berasakan mereka ada hak untuk diberi pegecualian daripada mematuhi undang-undang hanya kerana mereka berjawatan menteri? Di manakah kompas moral mereka?

Akhirnya, rakyat yang menanggung derita akibat ketidakpatuhan orang kenamaan yang merasakan bahawa diri mereka tidak boleh disentuh langsung.

Negara boleh tergadai akhirnya

Selain integriti, kompetensi dalam mentadbir negara dengan cekap dan berkesan serta keupayaan untuk membuat keputusan yang tepat, teratur dan betul juga sering menjadi masalah.

Rakyat kini terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis akibat keputusan pemimpin yang mencabul amanah, tiada integriti, penunggang agama dan bukan pakar bidang dalam melaksanakan tanggungjawab.

Syarikat-syarikat kerajaan (GLC) juga diterajui oleh individu yang bukan pakar dalam bidang diperlukan.

Ahli-ahli politik juga dilantik sebagai Pengarah GLC dengan gaji (sebut rasuah) yang luarbiasa banyaknya sehinggakan sebagai contoh; AirAsia mampu menjana keuntungan sedangkan MAS mengalami kerugian berpanjangan, kerana semua keuntungan diratah sepenuhnya oleh orang-orang politik.

Mengangkat pemimpin yang tidak berwibawa hanya mengundang kehancuran tamadun sesebuah negara.

Jika sesebuah syarikat boleh jatuh bankrap disebabkan pengurus yang tidak berwibawa, tidak mustahil negara juga berhadapan dengan malapetaka yang sama, apatah lagi apabila ia melibatkan rakyat keseluruhannya.

Yang pasti, pemerintah dan pemimpin yang semakin terbuka mengamalkan rasuah akan menyebabkan negara akhirnya tergadai dan dijajah kembali dek maruah yang boleh jual beli.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Wednesday, July 29, 2020

Skandal Kepala Darah Di China Menyedarkan Kita Betapa Pentingnya Menderma Darah

Skandal Kepala Darah Di China Menyedarkan Kita Betapa Pentingnya Menderma Darah

Peningkatan permintaan yang tinggi dan berterusan terhadap penjagaan kesihatan diseluruh dunia menyebabkan China berdepan dengan krisis kekurangan komoditi yang dianggap paling penting iaitu bekalan darah.

Manfaat derma darah

Apabila bekalan darah di hospital semakin tenat, dalam keadaan terdesak pesakit terpaksa mencari alternatif lain dan mendapatkan bantuan daripada ejen yang dikenali dengan panggilan 'kepala darah' yang menjual sijil bagi memberikan pesakit akses kepada bank darah kebangsaan.

Perkara ini secara tidak langsung mencetuskan pasaran gelap di tengah sistem penjagaan kesihatan China.

"Pada pesakit seperti kami, membeli darah akan menyelesaikan masalah," kata seorang warga Shanghai juga pesara kerajaan yang menghidap sindrom myelodysplastic, sejenis kanser di mana sumsum tulang tidak mampu menghasilkan sel darah secukupnya dan kehadiran sel tidak normal dalam darah atau sumsum tulang.

"Mujur juga ada kepala darah itu, kalau dia tiada, apa saya hendak buat?" soalnya dalam satu pertanyaan yang sukar untuk dijawab.

Kekurangan yang teruk ini berlaku berikutan skandal bekalan darah tercemar dan sememang­nya amat memalukan.

Kerajaan China cuba memulihkan keadaan dengan menggalakkan orang ramai menderma darah secara sukarela.

Skandal Derma Darah

Pada lewat 1980-an dan 1990-an, pihak berkuasa tempatan menggesa petani untuk menjual darah dan plasma darah mereka dan generasi awal kepala darah kemudiannya menjual darah petani ini ke hospital dan bank darah.

Akibatnya, puluhan atau ratusan ribu pesakit dijang­kiti virus HIV kesan daripada proses pemindahan darah yang tidak memberi penekanan terhadap aspek kebersihan.

Skandal kedua yang berlaku pada tahun 2011 membuat­kan keadaan menjadi lebih parah dan menyukarkan lagi laluan kempen derma darah.

Seorang wanita mendakwa bekerja dengan Persatuan Palang Merah China memuat naik gambar yang memaparkan kemewahan hidupnya di Internet.

Peristiwa itu menjejaskan imej badan kebajikan berkenaan yang membantu kerajaan mendapatkan bekalan darah daripada penduduk.

Pada pertengahan 1990-an, China menutup stesen pengumpulan darah komersial dan pada 1998, ia memperkenalkan undang-undang pendermaan darah serta mengharamkan penjualan darah.

Sebaliknya, kerajaan menggalakkan penduduk China untuk menderma darah secara sukarela dan pada masa sama, pihak berkuasa China turut mengetatkan peraturan pengumpulan plasma darah dan ujian darah.

Undang-undang China kini mengkehendaki pesakit untuk menunjukkan sijil bahawa mereka, rakan atau saudara-mara sudah menderma darah apabila mahu mendapatkan bekalan darah daripada simpanan darah negara.

Malah, sesetengah hospital tidak akan memberikan darah kepada pesakit jika mereka gagal menunjukkan sijil berkenaan.

Namun, peraturan itu memberi kesan besar kepada pesakit yang sakit teruk dan memerlukan transfusi darah secara berkala atau dalam kuantiti besar.

Ini termasuk mereka yang tidak boleh bergantung harap kepada keluarga dan kawan yang tinggal berdekatan.

Lebih menyedihkan, undang-undang China juga mengehadkan kekerapan pendermaan darah penuh di mana seseorang itu boleh menderma dua kali saja dalam tempoh setahun.

Malah, mereka juga biasa­nya tidak berkongsi bekalan darah dengan wilayah lain di China.

Untuk memenuhi keperluan dan permintaan, generasi baru kepala darah mula memainkan peranan.

Mereka memberi wang kepada orang ramai untuk menderma darah di bank darah dan menjual sijil pendermaan kepada pesakit yang terdesak.

Generasi Baharu 'Kepala Darah'

Kebaikan derma darah

Apabila ditanya mengenai urus niaganya, seorang generasi baharu 'kepala darah' dengan pantas memberitahu, dia mengenakan bayaran 1,000 yuan (RM582) bagi setiap 100 cc (100 ml) yang didermakan kepada bank darah.

Apa yang diperlukan selain wang ialah notis sehari awal, nama hospital dan jenis darah pesakit.

Memang ada tindakan dikenakan pada kepala darah ini, tetapi ia tidak mampu menghapuskan mereka.

"Jangan risau pasal polis. Kami ada di luar kebanyakan hospital dan kami kenal semua anggota polis," katanya lagi.

Ketika berbual dengannya, kelihatan dua kereta polis tidak jauh dari situ.

Seorang pesakit yang meminta nama penuh­nya dirahsiakan kerana bimbang pihak hospital tidak mahu memberikan dia tempat di wad lagi sekira­nya rahsia itu bocor, berasa bersyukur dengan kehadiran ejen 'kepala darah'.

Apabila permohonannya untuk mendapatkan transfusi darah secara berkala di salah sebuah hospital kerajaan terkemuka di Shanghai, Hong terpaksa berpindah ke hospital swasta.

Kakitangan di hospital swasta itulah yang memperkenalkan Hong dengan 'kepala darah'.

Perkhidmatan mereka memang boleh dipuji kerana menghantar sijil pendermaan darah ke tangan pesakit yang berada di hospital.

Skandal membabitkan pengurusan darah yang berlaku berulang kali memadamkan keinginan rakyat China untuk menderma.

Pada tahun 2011, tidak sampai satu peratus rakyat China menderma darah dan berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah itu sangat rendah, di tahap paling bawah dalam julat yang disarankan badan kesihatan itu.

Bagaimanapun, kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan dan Perancangan Keluarga China pula berbeza kerana menurut mereka pada tahun itu (2011), jumlah penderma mencecah lima peratus dan dapat mengumpulkan 4,164 tan darah.

Namun, suruhanjaya berkenaan enggan memberikan sebarang komen apabila diminta penjelasan lanjut.

Di negara di mana sebahagian besar rakyatnya masih berkira atau keberatan untuk menderma darah, kebanyakan pendermaan yang 'sah' datang dari pelajar dan anggota tentera.

Malah, undang-undang juga menggalakkan kakitangan kerajaan untuk menderma.

Dokumen mahkamah China menunjukkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini badan kerajaan juga menggunakan khidmat ejen atau kepala darah untuk memenuhi kuota tahunan bagi pengumpulan darah daripada penduduk atau kakitangan. Peguam yang terbabit dalam kes ini menge­sahkan perkara berkenaan.

Kewujudan kuota ini membuatkan kerajaan tempatan juga terpaksa melakukan pelbagai kempen 'luar biasa' untuk mencari penderma baharu.

Tindakan kerajaan tempatan di satu daerah di wilayah Zhejiang menjadi tajuk utama akhbar suatu ketika dahulu apabila ia mencadangkan untuk menaikkan markah peperiksaan kemasukan sekolah bagi pelajar jika keluarga mereka menderma 4,000 cc darah.

Wilayah Hunan pula menawarkan insentif dengan tidak mengenakan bayaran penggunaan darah di bank darah kepada penduduk yang menderma sebanyak 900 cc darah.

Jumlah simpanan darah di kebanyakan tempat masih sedikit dan menjadi semakin rendah pada musim cuti seperti Tahun Baru Cina.

Di Changsa, wilayah Hunan, pegawai di pusat pendermaan darah berkata, jumlah simpanan darah di situ hanya satu pertiga daripada tahap selamat.

Kerana masalah ini, semua pembedahan ditangguhkan kecuali yang benar-benar terdesak dan sangat kritikal saja.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Monday, July 27, 2020

Pemandu Mabuk Penjara 5 Tahun Jika Menyebabkan Kecederaan Atau Kematian

Pemandu Mabuk Penjara 5 Tahun Jika Menyebabkan Kecederaan Atau Kematian

Kerajaan kini sedang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan bagi menguatkuasakan hukuman yang lebih tinggi terhadap pemanduan cuai atau dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kecederaan atau kematian.

Hukuman kepada Pemandu mabuk

RUU tersebut menaikkan tempoh penjara dan nilai denda untuk beberapa bahagian, dengan pesalah berulang berdepan hukuman yang lebih keras.

Bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat pemanduan cuai, Seksyen 41(1) Akta itu akan dipinda dengan meningkatkan hukuman penjara kepada lima tahun berbanding dua tahun sebelum ini. Bagi pesalah berulang, mereka boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun.

Denda di bawah seksyen itu juga dinaikkan daripada RM20,000 kepada RM50,000 untuk pesalah pertama, dengan ulangan kesalahan melibatkan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Penggantungan lesen juga dinaikkan kepada lima tahun berbanding tiga tahun sebelum ini.

Bagi kesalahan pemanduan di bawah pengaruh dadah atau alkohol yang mengakibatkan bahaya, RUU itu meminda Seksyen 44 untuk memasukkan hukuman atas kesalahan menyebabkan kecederaan.

Seksyen 44(1A) yang baru menyatakan mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan mengakibatkan kecederaan boleh dipenjara antara tujuh hingga sepuluh tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, bagi pesalah pertama.

Pesalah berulang pula boleh dipenjara antara sepuluh hingga 15 tahun dan didenda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Lesen pesalah juga akan digantung sekurang-kurangnya tujuh tahun bagi kesalahan pertama, dan sepuluh tahun bagi kesalahan berulang.

Sementara itu, menurut seksyen itu lagi, mereka yang memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan mengakibatkan kematian, hukuman penjara dinaikkan kepada antara sepuluh hingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM100,000.

Pesalah berulang pula berdepan hukuman penjara antara 15 hingga 20 tahun dan denda antara RM100,000 hingga RM150,000.

Mereka juga dilarang memandu sekurang-kurangnya selama 10 tahun untuk kesalahan pertama, dan sekurang-kurangnya 20 tahun untuk kesalahan berulang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Rawatan Kesihatan Di Malaysia Jauh Lebih Baik Berbanding AS Dan Eropah!

Rawatan Kesihatan Di Malaysia Jauh Lebih Baik Berbanding AS Dan Eropah!

Walaupun mungkin ada yang berpendapat sistem kesihatan di Malaysia belum cukup baik, namun lelaki warga asing, Paul Penders, melalui hantarannya di Facebook tampil memuji sistem kesihatan di negara ini. Tulisan itu dibuat beliau selepas difahamkan mendapat rawatan di salah sebuah hospital di Langkawi.

Paul Penders in Langkawi
Paul Penders.

Walaupun tidak mempunyai fasiliti mewah seperti yang bakal dijangkakan warga asing, namun dia menjelaskan masih dirawat dengan baik dan sangat profesional.

"Saya dapat semua ubat yang diperlukan termasuk morfin dan penjagaan diabetik. Makanannya juga bagus dan staf hospital berkerja dengan sangat, sangat kuat.

"Sistem mereka juga kelihatan sangat berteknologi (computerised) dan saya mendapat bekalan ubat yang banyak untuk dibawa pulang.

"Kesemua itu hanya lebih sedikit daripada RM2,000. Jika di Amerika Syarikat dan Eropah, seseorang itu hanya membayar sebanyak ini untuk terlantar di atas katil tanpa semua penjagaan yang saya maklumkan dan juga ubat-ubatan," kongsinya di Facebook.

Bukan saja mendapat layanan yang baik, malah pihak hospital juga menurutnya turut menawarkan untuk menghantar beliau ke Perlis untuk melakukan pemeriksaan RMI menggunakan bot hospital mereka.

Bagaimanapun, dia menjelaskan tidak perlu melakukan rawatan tersebut dan tidak meneruskan dengan perkara itu.

"Tolong berhenti merungut dan bersifat negatif terhadap komuniti hospital tanpa memeriksa fakta. Langkawi mempunyai hospital yang sangat hebat.

"Langkawi boleh berbangga dengan komuniti hospital mereka yang sangat baik.

"Saya menghargai dan menghormati kesemua doktor dan jururawat yang bekerja keras ini. Terima kasih," kongsi Paul Penders di Facebook.

MALAYSIA NEGARA TERBAIK PERKHIDMATAN KESIHATAN DI DUNIA

Menurut laman web International Living, negara Malaysia menduduki tempat pertama daripada 6 negara yang mendapat penilaian terbaik dalam kategori Kesihatan Terbaik di Dunia pada tahun 2019.

Malah, pemilihan ini berdasarkan beberapa faktor iaitu hospital yang bersih, cemerlang, doktor yang terlatih dan harga yang berpatutan.

Penilaian dilakukan oleh The Joint Commission International (JCI) yang merupakan satu organisasi diiktiraf di seluruh dunia meneliti taraf perkhidmatan kesihatan seluruh dunia.

The Joint Commission International (JCI) telah menilai 13 hospital di negara ini dimana hampir semua doktor yang majoritinya dilatih di United Kingdom, Amerika Syarikat atau Australia fasih berbahasa Inggeris dengan baik.

YouTuber UK Puji Cara Malaysia Tangani Covid-19

Darren Cronian Covid-19 in Malaysia
Darren Cronian.

Di sebalik tuduhan negatif terhadap pihak berkuasa Malaysia kononnya menganiaya rakyat asing semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian COVID-19, beberapa warga asing melihat sisi positif dan memuji tindakan pihak berkuasa membendung virus maut itu.

Seorang daripadanya, usahawan dalam talian dan YouTuber dari United Kingdom (UK), Darren Cronian melalui salurannya (Remote Darren) memberi komen positif mengenai inisiatif Malaysia dan kerajaan, dalam menangani krisis itu.

Menerusi video lapan minit yang dimuat naik, Cronian berkongsi pengalamannya ketika terkandas di Malaysia hampir 11 minggu, bersendirian dalam apartmennya berdepan pandemik itu di negara asing.

Videonya turut dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook.

Menurut lelaki Inggeris berusia 46 tahun itu, beliau kagum bagaimana pihak berkuasa tempatan mengendalikan situasi itu dengan melaksanakan PKP di negeri berbeza dan mengurangkan pergerakan rakyat.

"Apabila saya melihat Malaysia melaksanakan tindakan, sedangkan UK perniagaannya masih dibuka, saya buat keputusan, saya kuatkan semangat (komited) tinggal di sini untuk menempuhnya, tanpa mengira berapa lama masa yang diambil.

"Saya katakan, saya amat kagum bagaimana Malaysia mengendalikan COVID-19 apabila terus melaksanakan tindakan, menguatkuasakan PKP, memastikan orang ramai tidak membuat pergerakan dan hanya boleh keluar untuk membeli makanan dan barangan keperluan," katanya.

Cronian juga mengakui tidak bagus untuk melihat imej sesetengah kawasan kejiranan dikelilingi dawai berduri tetapi ia perlu dilakukan, kerana Malaysia mempunyai kepemimpinan yang baik dan Kementerian Kesihatan (KKM) mengendalikan masalah itu dengan sangat baik.

Beliau berkata, dia tidak memberi tumpuan dari sudut politik atau agama tetapi berfikiran positif dan merasakan apa yang dilakukan oleh Malaysia, adalah model yang harus diikuti seluruh dunia.

"Bagaimana Malaysia uruskan pandemik ini sangat mengagumkan, ketika dikuarantin selama 11 minggu, saya lakukan tinju bayang berlatarkan lagu tema Rocky, angkat berat gunakan botol air dan banyak habiskan masa melihat luar tingkap," katanya.

Beliau berkata, bersendirian dan suasana yang sepi hampir menyebabkannya hilang akal, tetapi dia bersyukur apabila individu di Malaysia menghubunginya dan bertanya bagaimana keadaannya atau adakah dia memerlukan apa-apa, dan ini menyebabkan dia berasa bertambah baik bahawa ada orang yang mengambil berat mengenai dirinya.

Selain itu, Cronian berkata ketika dia pergi ke pejabat Imigresen untuk melanjutkan visanya dan mendapati ia ditutup, beliau kemudian menyedari rakyat di negara ini memandang serius pandemik ini.

"Rakyat di negara ini adalah sebahagian daripada sebab kenapa pandemik ini tidak seburuk yang terjadi di negara lain di seluruh dunia.

"Apabila anda lihat angka setakat ini berbanding UK atau negara Eropah yang lain, banyak yang berkaitan dengan kerjasama rakyat.

"Hanya dengan duduk di rumah, orang ramai dalam sekatan pergerakan, terima kasih kepada semua orang di sini, mungkin keadaannya jauh lebih teruk," katanya.

Cronian mengakhiri videonya dengan mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana mengambil berat mengenai dirinya dan menyediakan beliau rumah yang selamat dan beliau sangat menghargai rakyat Malaysia yang sentiasa berhubung dengannya sepanjang 11 minggu pelaksanaan PKP.

Tonton video dibawah.

BACA INI JUGA:



sumber: 1 | 2 | 3