Monday, May 24, 2021

PKP 3.0: Kerajaan Gagal!


Siapa yang menang dan siapa yang kalah susulan mesyuarat terbaharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan keputusan untuk tidak melaksanakan sekatan pergerakan penuh dalam perang melawan wabak Covid-19?

Kerajaan+Gagal

Rakyat dan negara kita yang kalah, tetapi kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menganggap mereka telah menang.

Perkara ini sangat meragukan walaupun beberapa kajian populariti kononnya mengatakan Muhyiddin Yassin jauh mendahului pemimpin lain.

Seorang doktor, mengenai pandangannya terhadap keputusan MKN seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri.

Jawapannya:

"Dari pandangan perubatan, langsung tak masuk akal."

"Dari segi kelangsungan hidup politik, baik untuk mereka."

"Untuk rakyat, habislah"!

Nampak gayanya, jenaka "MCO – Making Confusing Orders; CMCO – Continue Making Confusing Orders; EMCO – Even More Confusing Orders; RMCO – Repeatedly Making Confusing Orders" di media sosial tidak akan berakhir dalam masa terdekat.

Apabila Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah meminta rakyat untuk melakukan "lockdown kendiri" selama dua minggu untuk membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan rantaian jangkitan Covid-19, seolah-olah dia sendiri sudah tiada pilihan lagi kerana barangkali dia tidak mampu mendapatkan MKN untuk menerima cadangannya.

Hanya mereka yang sangat optimis sahaja yang akan percaya bahawa langkah-langkah yang diambil oleh MKN boleh memutuskan rantaian jangkitan dalam masa dua minggu.

Kini, rakyat hanya ditinggalkan dengan "lockdown kendiri" -- mengelakkan 3C (kawasan yang sesak, sempit dan sembang dengan jarak dekat) dan mengamalkan 3W (wash, wear dan warn).

Sekiranya perkara ini memadai, kita tidak perlu pun melalui PKP, PKPB, PKPD, dan PKPP.

Tetapi dengan beberapa hari berturut-turut negara mencatatkan jumlah kes baru melepasi paras 6,000 kes, dengan jumlah kes terkumpul kini lebih daripada setengah juta dan kadar kematian lebih 2000 orang, 32 juta rakyat Malaysia perlu menunjukkan kepada dunia yang kita berdisiplin dan mampu untuk melaksanakan "lockdown kendiri".

Pada masa sama, kita tidak boleh berhenti menuntut kerajaan untuk membawa dasar-dasar yang lebih baik untuk mengawal wabak Covid-19 ini.

Muhyiddin diseru untuk mengetepikan pertimbangan lain dan menasihati Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan DUN untuk membentuk barisan melawan Covid-19 yang kuat dengan lima matlamat:
  • Mobilisasi kebangsaan.
  • Mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat.
  • Pakej rangsangan ekonomi untuk membantu golongan memerlukan.
  • Ujian saringan saringan besar-besaran.
  • Mempercepatkan program vaksinasi.

Walaupun Parlimen dan DUN telah digantung sidangnya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menitahkan ahli-ahli Parlimen dan DUN di negeri itu untuk bermesyuarat membincangkan masalah Covid-19 ini yang kini semakin teruk.

Sekiranya jangkaan baru disemak Kementerian Kesihatan terbukti tepat, kita akan melihat peningkatan harian di sekitar 8,000 kes sehari pada Jun.

Adakah kita akan melihat 10,000 kes sehari menjadi norma baru di Malaysia?

Kadar peningkatan harian kes Covid-19 di Malaysia melebihi kadar di Indonesia dan perkara ini seakan-akan mengiyakan kenyataan pihak berkuasa di Indonesia untuk rakyat mereka tidak mengikuti jejak langkah Malaysia atau India dalam menguruskan wabak ini.

Malah, India sendiri melihat kadar penurunan mendadak sebanyak 42 peratus berbanding dengan kemuncak 414,433 kes pada 6 Mei 2021.

Semua negeri sepatutnya mengikut langkah nasihat Sultan Johor dan mengadakan mesyuarat dalam kalangan ahli Parlimen dan Adun untuk menyemak perkembangan terkini berkenaan Covid-19.

Menjadi satu idea yang baik untuk wakil rakyat kayangan membentuk barisan bersatu di Parlimen dan DUN untuk mencapai kelima-lima objektif di atas.

Ia perlu didorong oleh konsensus sama ada secara formal atau sebaliknya tanpa sebarang "undi tidak percaya" untuk membolehkan penggal Parlimen dan DUN sedia ada dipenuhkan sehingga Mei 2023, melainkan jika keadaan Covid-19 bertambah baik dengan lebih awal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon