Sabtu, Mac 14, 2020

Ketahui Maksud Epidemik, Endemik Dan Pandemik, Istilah Yang Merujuk Penularan Penyakit Berbahaya


Loading...

Terdapat 3 istilah yang kerap digunakan untuk menunjukkan betapa seriusnya penularan sesuatu wabak penyakit iaitu Epidemik, Endemik dan Pandemik, dengan setiap satu daripada istilah ini membawa maksud yang berbeza.

Maksud Epidemik, Endemik Dan Pandemik

Untuk memahami apakah maksud di sebalik terma itu, berikut penjelasan makna di sebalik tiga terma yang menggambarkan situasi penularan wabak iaitu epidemik, endemik dan pandemik.

1. Epidemik

Epidemik membawa maksud penyakit berjangkit yang mudah merebak di kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama, atau juga wabak yang menyerang sekumpulan manusia atau komuniti.

Terma epidemik ini digunakan sekitar tahun 1600 apabila berlakunya wabak dalam kelompok komuniti membabitkan orang Greek dan istilah itu masih kekal sehingga hari ini.

Contoh wabak epidemik yang melanda negara kita ialah serangan virus nipah yang menyerang komuniti di daerah Kinta, Perak pada tahun 1998.

2. Endemik

Endemik merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu, termasuk penularan wabak dalam skop yang lebih besar seperti melibatkan sebuah negara.

Perkara ini juga membawa makna kepunyaan atau berasal daripada sekumpulan manusia di sesuatu tempat tertentu.

Penyakit malaria yang menyerang kawasan-kawasan di benua Afrika satu ketika dulu adalah antara endemik yang mengancam dunia.

Tiga negara di dunia yang merekodkan wabak endemik paling tinggi adalah Republik Congo, Madagascar dan juga Peru.

Endemik lain yang tercatat dalam sejarah termasuk penyakit demam kuning dan malaria di Congo; wabak bubonik di Madagascar; dan wabak demam kuning, malaria dan demam denggi di Peru.

3. Pandemik

Istilah pandemik merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata.

Wabak pandemik ini akan mengancam kawasan yang lebih luas seperti sebuah negeri, negara, benua, juga seluruh dunia jika dibiarkan melarat.

Pandemik bermula daripada penularan wabak di peringkat epidemik yang merebak secara meluas sehingga tidak dapat dikawal dan mampu membunuh ramai orang dalam masa singkat.

Namun, sekiranya sesuatu wabak itu berada pada peringkat endemik dan menyerang satu negara misalnya, tetapi berada dalam keadaan terkawal, wabak itu tidak akan dikategorikan sebagai satu pandemik.

Antara pandemik yang pernah berlaku adalah wabak Antonine, wabak Jusne serta 'The Black Death' yang dipercayai membunuh puluhan juta orang sekitar abad ke 14.

Pada ketika ini, satu-satunya pandemik yang sedang berlaku adalah penyakit HIV/AIDS yang diramalkan mampu mengorbankan sehingga 100 juta orang pada tahun 2025 kelak.

Selain itu, krisis Koronavirus (COVID-19) yang menghantui seluruh dunia ketika ini juga telah diklasifikasikan sebagai penularan wabak pandemik oleh WHO.

Panik

Dengan pengisytiharan pandemik, ia pastinya akan membuatkan orang ramai panik akan tetapi, jika anda mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan pihak berkuasa memainkan peranan mereka untuk membendung perkara ini, maka wabak dapat dikawal daripada merebak.

Orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari menghadiri perjumpaan awam, pesta keramaian dan sebagainya ketika amaran telah dikeluarkan.

Anda juga harus mengelak untuk melancong ke negara yang sedang dilanda wabak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon