Thursday, April 20, 2017

Perbezaan Antara H1N1 Dan H5N1 Yang Anda Wajib Tahu


Orang ramai dinasihatkan supaya jangan keliru tentang penyakit H1N1 yang sememangnya berbeza dengan wabak H5N1 berikutan viral berita kematian seorang wanita mengandung yang kononnya disebabkan H1N1.

H1N1

Influenza A H1N1 dan H5N1 (Avian Influenza) adalah dua wabak penyakit yang berbeza.

H1N1

H1N1 adalah flu (selesema) biasa yang boleh menjangkiti sesiapa sahaja dan tidak akan menyebabkan sebarang komplikasi kesihatan yang teruk dan akan pulih dalam tempoh beberapa hari.

Hanya empat golongan yang berkemungkinan berisiko ditimpa masalah komplikasi kesihatan apabila menghidap H1N1 iaitu wanita hamil, kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti jantung, kencing manis atau darah tinggi.

Itu sahaja golongan berisiko sekiranya menghidap H1N1. Ia langsung tidak ada kena mengena dengan ayam atau binatang ternakan yang lain kerana ia adalah virus berlainan yang menyebabkan H5N1.

Pandemik

Pada akhir Mac dan awal April tahun 2009, wabak jangkitan virus novel Influenza A H1N1 dikesan di Mexico. Virus ini kemudiannya menyebabkan pandemik selesema H1N1 tahun 2009.

Pandemik adalah keadaan wabak penyakit yang merebak dengan begitu meluas, sama ada hingga ke seluruh wilayah, benua atau dunia disebabkan oleh kemunculan virus baru.

Di Malaysia, lebih 15,000 individu telah dijangkiti dengan virus ini semasa gelombang awal pandemik H1N1 berlaku.

Tanda dan gejala

Gejala jangkitan virus influenza adalah serupa dengan selesema bermusim, termasuk:
  • Demam (dengan suhu melebihi 37.8ºC)
  • Menggigil
  • Batuk
  • Sakit tekak
  • Sakit badan
  • Sakit kepala
  • Keletihan
  • Muntah dan cirit-birit (bukan gejala selesema bermusim)

Komplikasi

Komplikasi influenza berlaku pada sesetengah individu; pneumonia adalah komplikasi yang paling biasa.

Pneumonia adalah jangkitan paru-paru yang serius dan biasanya berlaku dalam kalangan:
  • Wanita hamil.
  • Bayi dan kanak-kanak khususnya di bawah 2 tahun.
  • Individu yang mengalami penyakit kronik (termasuk asma atau penyakit paru-paru, penyakit jantung, diabetes, penyakit buah pinggang atau beberapa masalah neurologi).
  • Individu yang sistem pertahanan (imuniti) badannya terjejas teruk contohnya: penghidap HIV. Individu yang menggunakan steroid dalam tempoh yang lama.
  • Individu yang mendapatkan rawatan kanser dan lain-lain.

Rawatan

Kebanyakan indivdu akan pulih menggunakan bahan-bahan yang ada di rumah. Rehat secukupnya dan banyakkan meminum air. Gunakan paracetamol jika sakit.

Walau bagaimanapun, anda perlu berjumpa doktor jika:
  • Berasa sesak nafas atau mengalami masalah pernafasan.
  • Mengalami sakit di perut atau sesak dada.
  • Mengalami dehidrasi, seperti pening apabila berdiri atau tidak buang air kecil.
  • Berasa keliru.
  • Muntah tanpa henti atau anda tidak mampu minum air yang secukupnya.
  • Demam lebih daripada dua (2) hari.

Bagi kanak-kanak, anda perlu mendapatkan bantuan jika kanak-kanak mengalami sebarang gejala di atas atau gejala berikut:
  • Kulit beturkar menjadi biru atau ungu.
  • Begitu marah sehingga tidak mahu dipegang.
  • Tiada air mata apabila menangis (bayi).
  • Sukar bangun tidur.

Ubat antiviral seperti oseltamivir (Tamiflu ®) dan zanamivir (Relenza ®) berkesan jika diambil dalam tempoh 48 jam. Dapatkan nasihat doktor bagi menentukan jenis ubat yang diperlukan.

Jangan sebarkan virus kepada individu di sekeliling anda. Jangkitan boleh merebak dalam tempoh satu hari sebelum anda mempunyai gejala sehingga sekurang-kurangnya 24 jam selepas demam anda reda (tanpa mengambil ubat-ubatan anti-demam).

Individu yang lemah daya tahan (imuniti) diri mungkin boleh merebakkan virus lebih daripada tujuh hari.

Oleh itu, jika anda sakit:
  • Duduk di rumah dan elakkan ke tempat kerja, sekolah atau tempat yang terdapat ramai orang.
  • Tutup mulut dan hidung apabila batuk dan bersin. Jika gunakan tisu, buangnya ke dalam tong sampah.
  • Basuh tangan dengan sabun dan air atau bahan pembersih yang berasaskan alkohol.
  • Jika anda tidak mempunyai tisu ketika batuk atau bersin.
  • Gunakan penutup mulut dan hidung (mask) untuk mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain.
  • Maklumkan kepada keluarga dan rakan-rakan tentang penyakit anda dan elakkan berada dekat dengan orang lain.

Pencegahan

Cara virus Influenza A H1N1 merebak adalah serupa dengan virus selesema yang lain. Virus ini boleh disebarkan melalui batuk atau bersin, atau menyentuh hidung atau mulut selepas menyentuh permukaan yang dicemari virus.

Elakkan diri daripada dijangkiti dengan:
  • Menjauhi diri dari individu yang menunjukkan gejala selesema seperti batuk atau bersin (sekurang-kuangnya 1 meter).
  • Basuh tangan menggunakan sabun dan air, atau bahan pembersih yang berasaskan alkohol (terutamanya jika menyentuh permukaan yang dicemari).
  • Elakkan daripada menyentuh mulut, hidung dan mata.
  • Elakkan berada di persekitaran yang sesak.
  • Buka tingkap bagi meningkatkan pengudaraan di rumah.
  • Amalkan cara hidup yang sihat (termasuk tidur yang cukup, makan makanan berkhasiat, dan lakukan aktiviti fizikal).
  • Dapatkan suntikan vaksin influenza bermusim.

H5N1

H5N1 atau Selesema burung (selsema unggas) ialah penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan kesihatan dan menyebabkan kematian terutama kepada burung-burung domestik seperti ayam, angsa, itik dan ayam belanda.

Selesema burung H5N1 ialah salah satu jenis virus dalam kumpulan virus jenis Influenza A. Sebagai pengetahuan, virus H1N1 juga adalah satu daripada virus Influenza A. Oleh itu simptom awal kedua-duanya hampir sama.

Jenis selsema burung terbahagi kepada dua kumpulan berdasarkan tahap patogenik (menyebabkan penyakit oleh) virus, atau keupayaan virus untuk menghasilkan penyakit.

Kajian Geologi Amerika Syarikat mendefinisikan selsema burung sebagai "sangat patogenik" berdasarkan keupayaannya untuk membunuh ayam.

Walau bagaimanapun, "sangat patogen" tidak merujuk kepada bagaimana tahap virus itu menjangkiti manusia, mamalia lain, atau spesies burung lain.

Cara Jangkitan

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penularan H5N1 kepada manusia - biasanya melalui sentuhan dengan burung atau persekitaran yang tercemar - boleh berlaku tetapi tetap menjadi kejadian yang jarang-jarang berlaku.

Manusia juga tidak boleh dijangkiti dengan memakan daging ayam atau burung yang telah mati dan diproses dengan sempurna. Ia hanya menjangkiti apabila haiwan tersebut masih hidup.

Virus ini tidak menjangkiti manusia dengan mudah dan penyebaran dari orang ke orang nampaknya bukanlah suatu yang biasa terjadi.

Menurut WHO, tidak ada bukti bahawa penyakit ini dapat disebarkan kepada orang melalui makanan yang disiapkan dengan baik dan teliti, manakala kadar kematian terhadap manusia adalah 60 peratus.

Walaupun masih tiada penduduk setempat yang dijangkiti, langkah perlu diambil di setiap sudut supaya jangkitan tidak disebarkan daripada unggas ke manusia.

Tanda-tanda Jangkitan

Simptom awal perlu dikenal pasti supaya ia dapat dikesan awal dan tidak disebarkan ke individu lain. Simptom awal jangkitan selesema burung hampir sama dengan H1N1.

Pesakit akan mengalami demam panas seawal hari pertama yang disertai dengan selesema dan batuk.

Bagi kanak-kanak, selera makan semakin berkurangan. Demam panas ini akan berulang untuk beberapa hari. Apabila rawatan awal tidak dimulakan, jangkitan akan merebak ke paru-paru.

Jika dibandingkan dengan H1N1, jangkitan paru-paru akibat H5N1 ini lebih berbahaya dan lebih berisiko kematian akibat jangkitan paru-paru.

Kematian akibat dehidrasi juga boleh berlaku jika pesakit tidak minum banyak air sewaktu demam.

Rawatan

Selaras dengan evolusi dan teknologi kesihatan, ubat antivirus untuk melawan jangkitan Influenza A sudah lama berada di hospital. Beberapa hospital swasta juga mempunyai antivirus ini yang boleh diberikan kepada pesakit yang dijangkiti.

Ia akan diberi untuk lima hari bagi memastikan pesakit bebas daripada jangkitan. Akan tetapi, ujian pengesahan sampel hidung akan diambil.

Selain itu, ujian darah juga mungkin dijalankan untuk memastikan demam itu tidaklah disebabkan oleh jangkitan lain. Ujian sinaran X paru-paru juga boleh dijalankan jika perlu.

Adakah penyakit selesema burung di Malaysia?

Malaysia bebas dari penyakit selesema burung sehingga Ogos 2004 apabila kes pertama dikesan di Kelantan.

Penyakit ini telah berjaya di benteras dengan segera dan Malaysia diiktiraf bebas dari penyakit ini pada 5 Januari 2005.

Kes terpencil sekali lagi dilaporkan kira-kira satu tahun kemudian di Kuala Lumpur.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon