Monday, September 28, 2015

Kumbh Mela, Ritual Penyucian Dosa Penganut Hindu


Minggu ketiga bulan September, merupakan hari yang paling istimewa dalam kalendar penganut agama Hindu di India.

Kumbh Mela

Ini kerana, pada minggu tersebut, jutaan penganut beragama Hindu akan turun beramai-ramai ke sungai untuk mandi, sebagai ritual penyucian dosa.

Uniknya, perayaan yang berbentuk kerohanian dikenali sebagai Kumbh Mela ini tidak diadakan saban tahun, sebaliknya ia selalunya dianjurkan tiga tahun sekali.

Kumbh Mela merupakan satu perayaan terbesar bagi masyarakat India yang mana semua penganut Hindu, terutamanya golongan lelaki akan berhimpun dan berendam bersama di dalam air, selain tidur dan makan beramai-ramai di lokasi sama selama dua hari berturut-turut.

Menurut seorang lelaki yang dikenali sebagai Agamaya, Kumbh Mela membawa maksud festival periuk kera yang merupakan salah satu mitos bagi penganut agama Hindu dan lazimnya dilakukan di empat batang sungai berbeza di negara tersebut.

Sungai tersebut ialah Ganga di Haridwar; Saraswati (Allahabad), Godawari (Nashik) dan Shipra (Ujjain).

Kumbh berasal daripada perkataan Sanskrit bermaksud periuk kera. Dalam bahasa Hindi pula, Kumbh merupakan tanda zodiak dalam Astrologi India yang merupakan simbol Aquarius.

Mela pula membawa maksud suatu perhimpunan atau perjumpaan yang adil.

Walaupun Kumbh merupakan simbol periuk kera, ia bagaimanapun sinonim dengan aktiviti suci seperti yang dilakukan dalam kehidupan harian masyarakat Hindu.

"Sebenarnya festival ini dilakukan bersempena dengan pertempuran epik yang melibatkan dewa dan syaitan.

Perebutan madu

Kumbh Mela [2]

"Berdasarkan mitos dalam masyarakat Hindu, kedua-dua mereka dikatakan bertempur dan bertarung nyawa untuk berebut madu. Bagi mereka, madu merupakan simbol kekuatan dan kehidupan abadi.

"Bagaimanapun dalam pertempuran tersebut, kemenangan berpihak kepada para dewa. Ketika dalam perjalanan pulang, titisan madu yang dibawa menggunakan periuk kera tertumpah di empat batang sungai itu," jelasnya.

Ujar Agamaya, peristiwa tersebut merupakan permulaan bagi festival Kumbh Mela dan disebabkan kejadian itu juga, ia dijalankan di empat batang sungai tersebut kerana aliran air sungai yang mengandungi titisan madu itu dianggap sebagai air suci yang mampu menghapus dosa.

Kebanyakan daripada individu yang menyambut festival tersebut merupakan sadhu, iaitu golongan lelaki Hindu yang alim.

Bagaimanapun, sewaktu melakukan ritual tersebut, mereka terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga buat sementara waktu.

Pengambilan ganja

Kumbh Mela [3]

Di India, jumlah sadhu dianggarkan kira-kira lima juta orang.

"Sadhu merupakan peringkat keempat dan terakhir kehidupan sebelum melalui proses kematian, dan juga kelahiran semula bagi masyarakat Hindu.

"Mereka akan berusaha untuk mencapai ketenangan hidup melalui proses meditasi dan renungan.

"Golongan ini biasanya terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan yang menyembah Dewa Shiva dan Vishnu," jelasnya.

Ketika menjalani festival tersebut, sadhu akan mengecat sebahagian daripada badan mereka dengan kapur atau abu yang bermaksud kematian.

Bukan itu sahaja, mereka juga akan memakai rambut palsu panjang sebagai tanda penghormatan kepada Tuhan.

Bagi kebanyakan sadhu, merokok dan pengambilan ganja adalah sebahagian daripada amalan agama mereka.

Kesemua mereka percaya bahawa pengambilan kedua-dua barangan tersebut mampu membawa mereka lebih dekat kepada Tuhan.

Ia juga merupakan konvensyen utama bagi sadhu yang mana kebanyakan daripada mereka akan mendirikan kem, bermeditasi, melakukan yoga dan mengambil bahagian dalam pertapaan ritual.

Kumbh merupakan pertembungan semula budaya di India meliputi aspek ilmu pengetahuan dan juga kerohanian.

"Kumbh menjadikan individu sedar akan kepentingan alam semula jadi dan planet Bumi melalui nyanyian dan mantera yang dibaca sepanjang perayaan tersebut dijalankan.

"Ia juga merupakan simbol pertemuan antara alam dan manusia. Pada zaman dahulu, perayaan Kumbh disertai segelintir manusia sahaja. Bilangan sadhu yang menyertai Kumbh Mela ini bagaimanapun menunjukkan peningkatan berlipat kali ganda setiap tahun," ujarnya.

Katanya lagi, faktor penyertaan tersebut didorong oleh pembangunan kemudahan infrastruktur yang baik seperti kem kediaman sementara, tempat letak kereta, klinik kesihatan dan bekalan elektrik disediakan pihak berkuasa.

Penglibatan berjuta-juta sadhu sepanjang perayaan tersebut, menyebabkan penganut Hindu lain di seluruh pelosok dunia turut sama menyertai festival tersebut.

Biarpun ramai antara mereka mahu merasai sendiri kemeriahan perayaan tersebut, namun, kebanyakan mereka juga tidak mahu melepaskan peluang untuk memperoleh kebaikan bagi kehidupan semula kelak.

BACA INI JUGA: Rahsia Besar 1hb Mei Dan Kaitannya Dengan Yahudi

Sumber: Kosmo

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon