Friday, August 10, 2018

Sejarah Perang Etnik Iban Di Sarawak

Sejarah Perang Etnik Iban Di Sarawak

Etnik Iban merupakan antara etnik yang terkenal dengan sejarah perang mereka. Bukan sahaja ketika Sarawak dibawah pemerintahan Brooke selama 100 tahun sebaliknya ianya telah berlaku lebih lama daripada itu iaitu sejak mereka mula berhijrah daripada kawasan Sungai Kapuas sehinggalah menjelajahi segenap pelusuk Borneo pada awal abad ke 17 Masihi lagi.

Sejarah Perang Etnik Iban Di Sarawak

Sejarah perang etnik Iban di Sarawak sebenarnya mempunyai sebab yang tertentu samada melalui perang perluasan wilayah mahupun kerana perang untuk menyelesaikan pertikaian yang berabad lamanya.

Apa yang disajikan di dalam artikel ini adalah hanya secara sepintas lalu sahaja sebagai ruang informasi untuk semua.

1. Perang Iban vs Seru & Buketan

Di ketika etnik Iban mula memasuki wilayah Sarawak, ada 2 etnik yang menjadi musuh mereka kerana kedua-duanya juga mempunyai tradisi yang sama.

2 etnik itu adalah etnik Seru dan Buketan yang mana pada masa sekarang etnik Seru sudah tiada lagi di dalam dermografi Sarawak manakala Buketan menjadi etnik yang lebih kecil.

Pertembungan mereka dengan beberapa etnik seperti Seru malah juga Buketans telah menyebabkan etnik-etnik ini terpaksa menyelusup masuk menjadi etnik-etnik yang berada di sekitarnya bagi tujuan survival kaum mereka pada ketika itu.

Kekuatan dan teknik perang etnik Iban seringkali tidak dapat diduga oleh mereka sehingga menyebabkan ramai antara mereka terkorban dan kepala mereka menjadi “hadiah” perang kayau etnik Iban suatu waktu dahulu.

Kedua-dua etnik ini yang pada mulanya menetap di kawasan persisiran sungai telah “dihalau” sehingga ke kawasan pedalaman Sarawak.

Menurut ceritanya pada ketika Brooke mula bertapak di Sarawak, kedua-dua etnik ini telah melalui penyusutan yang ketara sehingga Brooke sendiri melabelkan mereka antara etnik yang hilang di Sarawak.

2. Perang Iban vs Kaum Orang Ulu & Bidayuh

Selain itu, etnik Iban juga boleh dikatakan memerangi sesiapa sahaja di dalam proses perluasan wilayah mereka seperti konflik perang dengan Kaum Orang Ulu di utara Sarawak, etnik Bidayuh di selatan Sarawak dan juga mana-mana etnik sehingga ke wilayah Kapuas.

Peristiwa Bung Bratak misalnya menyaksikan bagaimana Iban Skrang telah memerangi etnik Bidayuh sehingga memaksa Panglima Kulow seorang pahlawan Bidayuh mengejar mereka sehingga ke perkampungan mereka dengan kerjasama daripada Brooke yang baru sahaja menggungguli Kuching pada masa itu.

Ini adalah salah satu contoh perang Iban ke atas etnik Bidayuh yang tercatit di dalam sejarah iaitu sebelum Brooke mula melebarkan sayapnya ke seluruh Sarawak suatu waktu dahulu.

3. Perang Iban vs Pembesar Kesultanan Brunei

Umum mengetahui bahawa wilayah Sarawak suatu waktu dahulu adalah juga wilayah kuripan kepada pembesar-pembesar Kesultanan Brunei Darussalam.

Pembesar-pembesar dilantik untuk memungut cukai daripada rakyat-rakyat di dalam wilayah kuripan ini sentiasa tidak disukai oleh etnik Iban.

Dan kerana itulah pernah berlaku beberapa rentetan perang dengan pembesar-pembesar ini seperti cerita perang yang melibatkan Sharif Hamid yang telah dibunuh oleh etnik Iban kerana terlalu sombong.

Dan ada juga beberapa orang pembesar yang sebenarnya bersahabat baik dengan etnik Iban sehingga membenarkan ada beberapa pemimpin Iban turut mendapat gelaran Orang Kaya dan juga Panglima.

Ada antara etnik Iban ini yang menjadi tulang belakang kepada penentangan pembesar lantikan Brunei seperti Indra Lela, Sharif Jaafar dan Sharif Sahap yang terkenal dengan perang mereka ke atas Brooke sebelum Brooke berjaya menjadi Sarawak sebagai wilayahnya daripada Kerajaan Brunei Darussalam suatu waktu dahulu.

Contoh terdekat adalah Perang Patusan iaitu antara perang utama ketika Brooke ingin memperkuatkan pengaruhnya di Sarawak.

Pada ketika itu Iban Undup memihak kepada pembesar Brunei sehingga menyebabkan Brooke yang berang membakar perkampungan Iban Undup kerana berani bersekongkol dengan pembesar lantikan Brunei yang bangun memberontak keatas pemerintahan Brooke di Sarawak.

4. Perang Iban vs Lanun Iranun

Di dalam sejarah juga menyaksikan wilayah Sarawak juga suatu waktu dahulu menjadi kawasan untuk lanun-lanun Iranun bermaharajalela dan seringkali mereka menjarah kawasan perkampungan dengan menjarah apa yang ada serta menculik wanita, kanak-kanak untuk dijadikan hamba.

Hal ini tidak pernah dibiarkan oleh etnik Iban sebaliknya mereka turut memerangi lanun-lanun Iranun ini sehingga mereka cabut lari.

Sejarah memerangi lanun Iranun ini yang paling maha hebat adalah bagaimana seorang pemimpin Iban bersama-sama dengan anak buahnya iaitu Sunggang “Lebor Menoa” telah berjaya menyelamatkan saudagar dari China yang datang berniaga ke Saribas.

Kapal dagangnya hampir dirompak oleh lanun Iranun dan Sunggang “Lebor Menoa” bersama anak buahnya telah menyelamatkan mereka dan memerangi lanun Iranun sehingga mereka bertempiaran lari menuju ke tempat asalnya tanpa pernah singgah lagi untuk merompak selepas itu di wilayah Saribas.

5. Perang Iban vs Iban

Sejarah juga tidak pernah menafikan bahawa etnik Iban juga berperang sesama etnik Iban samada perang tersebut tercetus akibat salah faham mahupun pertikaian atas sesuatu perkara.

Etnik Iban sendiri mempunyai beberapa sub etnik yang diklasifikasikan mengikut dimana penempatan mereka seperti Iban Sebuyau, Iban Balau, Iban Undup, Iban Saribas mahupun Iban Skrang itu sendiri.

Di ketika pengaruh pembesar Brunei masih lagi berkuasa di wilayah Sarawak, ada sesetengah iban yang setia kepada pembesar Brunei dan ada juga yang enggan menerima langsung kedudukan pembesar Brunei di wilayah Sarawak pada masa itu.

Pembesar dilantik oleh Brunei seperti Indra Lela, Wangsa Lingga dan Lela Pelawan misalnya banyak bersandarkan kepada Iban Saribas untuk memerangi Iban Sebuyau yang enggan membayar cukai kepada mereka.

Antara nama-nama besar yang pernah memimpin banyak peperangan sesama sendiri serta mempunyai pasukan tersendiri adalah seperti Iban Saribas dibawah OK Pemancha Dana “Bayang” dari Padeh bersekutu dengan Linggir “Mali Lebu”, Uyut “Bedilang Besi” dari Paku, Bunyau Apai Bakir daripada Entanak dan Unal “Bulan” dari Ulu Layar.

Di bahagian Iban Skrang pula dipimpin oleh Libau “Rentap”, Orang Kaya Gasing dan Orang Kaya Rabong.

Nama Libau “Rentap” telahpun disebut-sebut sebelum Brooke memerintah lagi iaitu sebagai Raja Ulu kerana kegagahannya malah peristiwa Perang Sadok membuktikan Brooke sebenarnya tidak mampu melawan kegagahan seorang pahlawan perang bernama Rentap ini.

Dan Iban Sebuyau pula terkenal dengan pemimpinnya yang bernama Ngelambong dan juga anaknya Temenggong Jugah Lundu yang turut pernah memimpin peperangan sesama etnik Iban suatu waktu dahulu.

Antara contoh perang iban vs iban adalah pada tahun 1834 iaitu Iban Skrang yang dipimpin oleh Orang Kaya Rabong telah memerangi Iban Balau di Bukit Banting. Pada perang itu menyaksikan kemusnahan yang besar di pihak Iban Balau.

Pada tahun 1837 pula menyaksikan perang Iban Saribas dibawah pimpinan OK Pemancha Dana Bayang memerangi Iban Undup.

Perang ini sebenarnya bertitik tolak kepada Iban Undup yang dikatakan telah membunuh Angkum iaitu seorang anak Iban Saribas.

Dikatakan pada masa itu juga Iban Saribas turut bersatu dengan Iban Skrang dan perang ini menyaksikan banyak rumah panjang Iban Undup menjadi mangsa atas hukuman pembunuhan tersebut.

Tahun 1838 pula menyaksikan Iban Balau pula menyerang Iban Saribas di Kalaka. Ini adalah sebenarnya merupakan perang balas dendam memandangkan dikatakan Iban Balau turut menerima kerugian sewaktu perang Iban Saribas terhadap Iban Undup di Banting.

Mereka yang hidup aman damai dan harmoni tidak mencampuri urusan perang iban Saribas ini telah terpalit sama kerana penempatan mereka tidak jauh daripada Iban Undup.

Pada masa itu Iban Balau dibawah Janting telah memerangi rumah panjang besar Orang Kaya Temenggong Tandok di Melupa, Kalaka.

Manakala Iban Balau dibawah pimpinan Ijau “Lang” pula terpaksa mengaku kalah kepada Unal “Bulan” daripada Ulu Layar di sebuah sungai di Saribas.

Kegagahan Iban Saribas dibawah pimpinan Unal tidak mampu ditandingi oleh Iban Balau dibawah Ijau “Lang” pada masa itu.

Dan sekali lagi pada tahun 1839 juga terheret daripada perang 1838, perasaan dendam dan ingin menuntut bela itu ada yang akhirnya Iban Balau sekali lagi menyerang Iban Saribas yang mendiami Paku dan juga di Rimbas.

Peperangan yang dikatakan lokasinya di Nanga Undai itu menyaksikan ramai Iban Saribas yang tinggal di Rimbas terkorban seperti anak-anak Orang Kaya Antau dan Gun yang merupakan antara pemimpin Iban Rimbas pada masa itu.

Apa yang disajikan hanyalah sepintas lalu peperangan Iban sebelum Brooke mula mendominasi Sarawak suatu waktu dahulu.

Etnik Iban sebenarnya gah dengan perang dan tiada siapa yang boleh menidakkan sejarah ini.

Selain daripada itu kerana peperangan inilah Brooke melihatnya sebagai satu peluang kerana mana mungkin dia boleh memenangi setiap perangnya di dalam penentangan serta perluasan wilayahnya pada ketika itu.

Peluang inilah yang dinamakan oleh Brooke “Only Dayaks Can Kill Dayak” iaitu dengan mengadu domba sesama etnik Iban yang sejak azalinya sudah tidak boleh bersatu-padu.

Kerana itulah ada etnik Iban sendiri yang menyebelahi Brooke dan sanggup menikam belakang etnik Iban yang lain untuk kepentingan serta kebajikan mereka sendiri.

Satu kenyataan yang pahit untuk ditelan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: facebook

Thursday, July 12, 2018

Muslim Uighur Di Xinjiang Yang Ditindas China

Muslim Uighur Di Xinjiang Yang Ditindas China

Pedang telah dihunus, dan kita akan mendengar dentuman guruh, kata Chen Quanguo kepada pegawai-pegawainya. Adakah anda bersedia, teriak wakil Xi Jinping itu. Kami semua bersedia! Balas pegawai-pegawai China dengan garang.

Muslim Uighur Di Xinjiang Yang Ditindas Pengganas China

China telah melancarkan penindasan sistematik terhadap muslim Uighur dan Xinjiang asalnya dikenali sebagai Turkistan Timur.

Dibuka di zaman Bani Umayyah sejak tahun 96 Hijrah lagi, ianya adalah wilayah Islam sebelum dijarah komunis China.

Xinjiang adalah wilayah yang bersempadan dengan Pakistan dan Afghanistan dan hampir 4/5 penduduk selatan Xinjiang berketurunan Uighur.

Tanah air kepada kira-kira 10 juta kaum muslimin ini sekarang sedang dijajah dan diratah teruk oleh China sejak tahun 1949 hinggalah sekarang.

Salah satu strategi China bagi melemahkan muslim Uighur, ialah dengan meningkatkan populasi etnik Han yang bukan muslim.

Dengan ini, pengaruh Islam semakin berkurang. Semakin ramai cina non-muslim, semakin lemah muslim Uighur.

Sejak tempoh penjajahannya hingga ke hari ini, China dengan kejamnya telah membunuh sebanyak 60 juta lebih umat Islam Uighur. 10 kali ganda ramainya dari jumlah para syuhada Bosnia, Iraq, Afghanistan, Chechnya dan Palestin.

Pada tahun 1952 sahaja, China telah menghukum bunuh 120,000 orang dari umat Islam di sana yang kebanyakannya adalah para alim ulama dan perkara ini telah disebut sendiri oleh Burhan Syahidi iaitu salah seorang pemerintah Turkistan Timur ketika itu.

Hampir 200 orang terbunuh dan lebih daripada 1,000 cedera dalam rusuhan pada bulan Julai 2009 kerana Muslim Uighur, marah terhadap diskriminasi daripada majoriti etnik Han China dan kerajaan.

Kerajaan bertindak balas dengan mengerahkan tentera menahan ribuan demonstran. Internet terus shut down.

Dari tahun 1949 hingga 1979, penjajah China telah meruntuhkan 1000 buah masjid di sana. Dari tahun 1979 hingga sekarang, penjajah ini telah mengunci 1200 masjid, dan telah cuba sedayanya untuk menukarkan sebahagiannya menjadi pejabat parti komunis.

Bukan setakat cuba menyekat umat Islam dari beribadat di masjid-masjid, malah ibadat puasa di bulan Ramadhan juga adalah dilarang.

Juga tidak dapat dipastikan adakah sambutan hari raya aidilfitri disana masih kekal wujud ataupun tidak. Kebencian mereka juga cukup memuncak terhadap para pembaca dan pencinta al Quran.

Hingga kini, mereka telah membakar 370,000 pusat-pusat tahfiz al Quran di kota Urumqi, ibu kota Xinjiang.

Undang-undang China memaksa ibu bapa untuk mengubah nama-nama Muslim semua kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.

Sesiapa saja yang mengajarkan tentang Islam akan dipenjara selama dua tahun. China juga telah memaksa 54,000 orang pegawai-pegawai agama bekerja sebagai tentera kerahan.

Mereka juga telah membakar wanita berhijab yang enggan menanggalkan hijab mereka. Muslimah dibakar hidup-hidup di kota Kashgar dan kota-kota lain.

Pemerintahan kuku besi itu tidak mempunyai belas kasihan.

Sekitar tahun 2017, China telah memaksa pihak kerajaan Mesir untuk menyerahkan pelajar-pelajar al Azhar dari Xinjiang dikembalikan ke negara mereka, habis berselerak muslim Uighur yang malang ini lari menyorok dan menyembunyikan diri di sekitar Madinah Nasr, Kaherah.

Ibu bapa mereka ditahan dan diugut bunuh andai tidak pulang. Ramai yang ditangkap dan diserahkan secara paksa.

Hingga kini juga tidak diketahui adakah pelajar-pelajar tersebut masih hidup atau sudah bergelar syuhada.

Mesir menangkap pelajar Uyghur sebagai pengusiran atas perintah China, menurut Human Rights Watch, sekurang-kurangnya 70 lelaki dan wanita telah ditangkap.

Rejim zalim Sisi menceroboh rumah ke rumah. Presiden Mesir itu telah membuang nilai ukhwah sesama Islam.

Seorang pelajar Uyghur memberitahu Radio Free Asia (RFA) bahawa ada yang pulang ke rumah dan terus ghaib.

“Kami tidak dapat menghubungi mereka. Kesusahan bersarang di setiap fikiran pelajar Uyghur.”

Polis dan pegawai China di Xinjiang selatan memberitahu RFA bahawa kempen itu adalah usaha untuk menyiasat idea-idea politik pelajar yang diarahkan pulang ke rumah di China.

Walaupun China menuduh komuniti Uyghur melakukan serangan pengganas, pakar-pakar di luar China mengatakan Beijing telah membesar-besarkan ancaman dari Uyghur.

Dasar domestik yang menindas bertanggungjawab atas peningkatan dalam keganasan. Ia menyebabkan beratus-ratus mati sejak tahun 2009.

Xinjiang kini dipenuhi pusat pemeriksaan, balai polis dan kamera cctv. Sistem penjejakan satelit wajib dipasang di dalam kereta.

Setiap kali memasuki pasar, membeli bahan api atau melawat tempat-tempat seperti terminal utama bas Urumqi, muslim Uighur wajib direkod kamera.

Stesen minyak pula dikelilingi dawai besi. Sistem ini turut diaplikasi di Kashgar, suatu wilayah silk road.

“Mereka telah membina balai polis bagi setiap beberapa blok atau lebih. Polis memeriksa kami setiap hari, tidak kira jika anda seorang doktor, guru, sesiapa sahaja”, lapor seorang penduduk tempatan.

Hampir 100,000 anggota keselamatan dalam tempoh 12 bulan telah dikerah.

Kedai-kedai di bandar dipaksa mengambil dan membayar pengawal keselamatan yang memakai armband merah dan bersenjatakan baton.

Muslim Uighur menjadi ‘tikus makmal’ kepada rejim China. Sistem pengenalan wajah (facial-recognition systems) mengkatalogkan setiap warga cina muslim.

Ia memberi amaran kepada pihak berkuasa apabila mereka keluar lebih 1,000 kaki dari kawasan yang ditetapkan sebagai kawasan selamat, termasuk rumah dan tempat kerja.

Projek yang menceroboh privasi rakyat ini dirahsiakan dari media umum. Ia menggantikan surat keizinan di zaman silam.

Diarahkan oleh Presiden Xi Jinping sebagai respon terhadap serangan maut yang melibatkan Uighur pada tahun 2013 dan 2014.

Uighur disalahkan atas keganasan di Dataran Tiananmen dan stesen kereta api di Guangzhou dan Kunming. Ia adalah sebahagian besar usaha China selama dua tahun untuk membina rangkaian sekuriti domestik.

China sedang berusaha menguasai 46 peratus atau kira-kira $8 bilion daripada pasaran facial recignition bernilai $17.3 bilion menjelang akhir tahun, menurut Jon Cropley, penganalisis utama kanan di IHS Markit.

China memperuntukkan 938 bilion yuan ($146 bilion) untuk keselamatan domestik pada tahun 2015.

Diselia oleh China Electronics Technology Group, kontraktor pertahanan negara yang membina radar tentera dan sistem angkasa. Ia dimaktubkan dalam inisiatif keselamatan dalam negeri.

Projek ini adalah sebahagian dari usaha untuk membangunkan perisian mengumpul data tingkah laku dalam meramalkan terrorisme sebelum ia berlaku.

“Sistem seperti ini jelas sesuai untuk mengawal orang,” kata Jim Harper, naib presiden eksekutif Institut Perusahaan Kompetitif dan ahli pengasas Jawatankuasa Penasihat Privasi dan Integriti Data Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika.

Seorang lelaki pertengahan umur yang menjual sparepart kereta meluahkan bahawa sistem sekuriti ini telah membunuh ekonomi tempatan.

Seperti kebanyakan lelaki Uighur, dia sering berkunjung ke negara-negara Asia Tengah dalam perniagaan – dan seperti setiap Uighur lain, dia tidak mahu menggunakan namanya kerana takut menghadapi masalah dengan polis.

“Ia hampir mustahil untuk saya menjalankan perniagaan saya sekarang,” lelaki itu mengadu.

“Saya tidak boleh pergi ke luar negara kerana polis telah merampas semua pasport kami.

"Anda perlu meminta izin untuk pergi sekarang dan apabila anda kembali dari perjalanan, mereka menahan anda dan bertanya apa yang anda lakukan di sana, apa yang anda lihat.”

Tambahnya lagi, penindasan ini juga memberi kesan peribadi.

“Kami tidak dapat melawat saudara-mara kami lagi,” katanya.

“Jika kita cuba, polis tempatan akan datang untuk memeriksa kami untuk melihat apa yang kami lakukan di sana.”

Di daerah lain Xinjiang, kerajaan telah menubuhkan pusat pendidikan semula politik, di mana muslim Uighur yang telah mengembara ke luar negara ditahan kadang-kadang selama berbulan-bulan dan terpaksa menonton video propaganda, mengambil kelas bahasa Mandarin dan identiti Cina sebelum dibebaskan.

Polis kini menghalang penduduk di jalan dan memaksa mereka menyerahkan telefon. Kemudian mereka menyambungkannya ke komputer dan memaksa penduduk untuk memuat turun aplikasi kerajaan. Aplikasi ini menyemak secara automatik sama ada telefon anda dibenarkan oleh kerajaan.

Jika tidak, ia akan meminta anda memadamnya. Ia juga akan mengesan video tentang keganasan dan perkara-perkara berkaitan. Aplikasi kamera yang boleh edit diharamkan.

“Di mana sahaja anda pergi, mereka memeriksa ID anda,” dia mengeluh.

“Restoran dan kedai-kedai membazirkan wang untuk menggaji pengawal keselamatan.

"Tidak ada tempat yang menyeronokkan untuk keluar pada waktu malam kerana semuanya ditutup awal," luah kesal seorang rakyat Xinjiang.

Doktrin komunis dipaksakan rejim China.

Muslim Uighur Di Xinjiang Yang Ditindas Pengganas China

Sepanjang jalan, kedengaran lagu-lagu propaganda bahasa Mandarin yang sama: mengenai undang-undang lalu lintas dan lagu akustik yang menggalakkan nilai Komunis teras.

Kerajaan memaksa kedai-kedai dan restoran-restoran di kawasan kejiranan Uighur untuk menyiarkan kedua-dua lagu itu sepanjang hari.

“Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ambil menjadi teman kepercayaanmu orang-orang yang, di luar kalanganmu (kerana) mereka tidak henti-hentinya (menimbulkan) kemudharatan bagimu. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi. Sungguh telah Kami terangkan kepadamu ayat-ayat (Kami), jika kamu memahaminya.” (QS:ali Imran. 118)

Rasulullah bersabda, “Nyaris orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kalian, seperti halnya orang-orang yang menyerbu makanan di atas piring.”

Seseorang berkata, “Apakah kerana sedikitnya kami waktu itu?”

Beliau bersabda, “Bahkan kalian waktu itu banyak sekali, tetapi kamu seperti buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kalian serta menjangkitkan di dalam hatimu penyakit wahn.”

Seseorang bertanya, “Apakah wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.” (HR. Ahmad, Al-Baihaqi, Abu Dawud).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, July 10, 2018

Sejarah Penciptaan Trofi Piala Dunia FIFA

Sejarah Penciptaan Trofi Piala Dunia FIFA

Trofi Piala Dunia FIFA yang sangat ikonik itu sememangnya sangat terkenal di seluruh dunia dan hampir semua orang mengenalinya namun, disebalik kehebatan trofi ini, terdapat sejarah tersurat tentang bagaimana ia boleh tercipta dan berdiri gah sehingga ke hari ini.

Trofi Piala Dunia FIFA

Jom kami kongsikan sejarah bagaimana trofi Piala Dunia yang anda lihat pada hari ini dicipta.

Kisah Dewi Emas

Piala Jules Rimet yang sebelum itu diberikan nama "Victory", dihadiahkan kepada pemenang Piala Dunia sehingga tahun 1970.

Presiden FIFA ketiga iaitu Jules Rimet meluluskan undi untuk memulakan kejohanan bola sepak global buat kali pertama pada tahun 1929.

Setahun kemudian, beliau menganugerahkan piala tersebut kepada pasukan Uruguay yang memenangi Piala Dunia yang pertama dalam sejarah.

Piala itu kemudiannya dinamakan semula sebagai penghormatan kepada jasa Jules Rimet selepas Perang Dunia Kedua.

Direka oleh pengukir Perancis, Abel Lafleur, piala tersebut menggambarkan dewi Yunani purba yang sedang menjulang cawan berbentuk decagonal.

Patung idaman itu adalah seberat 3.8 kilogram dan diperbuat daripada perak sterling bersalut emas di atas dasar lapis lazuli.

Trofi ini diberikan nama jolokan "Dewi Emas" dan pada plak emas yang dilekatkan kepada empat bahagian pada tapak trofi ini, setiap nama negara yang pernah memenangi Piala Dunia dari tahun 1930 hingga 1970 diukir, iaitu Uruguay, Itali, Jerman, England dan Brazil.

Selepas memenangi Piala Dunia buat kali ketiga pada tahun 1970 di Mexico, Brazil mendapat hak untuk menyimpan piala tersebut selama-lamanya, menurut peraturan FIFA ketika itu.

Tiga kecurian dan seekor anjing

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA
Piala Jules Rimet.

Pada tahun 1930, Piala Jules Rimet memulakan pelayaran sulungnya ke Uruguay di atas kapal transatlantik iaitu Conte Verde.

Ketika Perang Dunia Kedua meletus, piala ini disimpan oleh Itali yang memenangi Piala Dunia 1938.

Itali yang pada ketika itu sangat tidak selamat untuk menyimpan trofi berharga di tengah-tengah kekacauan yang melanda, membuatkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali, Ottorino Barassi memutuskan untuk menyembunyikannya dengan cara yang kelihatan seperti kecurian.

Beliau secara diam-diam mengeluarkan trofi itu dari peti besi bank dan menyembunyikannya di dalam sebuah kotak kasut di bawah katilnya, dengan harapan bahawa Nazi tidak akan menemuinya di situ.

Trofi tersebut selamat dan pada tahun 1950, ia dianugerahkan kepada Uruguay, yang memenangi kejohanan Piala Dunia selepas perang, sekali lagi.

Pada 20 Mac 1966, 4 bulan sebelum Piala Dunia 1966 berlangsung di England, Piala Jules Rimet telah dicuri ketika dipamerkan di Westminster Centrall Hall, walaupun dengan kawalan keselamatan 24 jam, yang menyebabkan kegemparan hebat.

Seluruh pasukan polis London dikerah untuk mencari pencuri trofi ini yang menuntut wang tebusan sebanyak £15,000.

Mereka dengan tergesa-gesa menghasilkan replika trofi ini bagi menggantikan yang asal, sekiranya ia tidak dapat ditemui semula sebelum kejohanan bermula.

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA

Namun, seekor anjing bernama Pickles telah menyelamatkan keadaan untuk England apabila berjaya menemui piala tersebut yang dibalut dengan suratkhabar ketika bersiar-siar bersama tuannya, David Corbett.

David yang merupakan peminat bola sepak tahu apa yang berada dalam bungkusan surat khabar itu dan menyerahkan trofi tersebut kepada pihak berkuasa.

Terdapat khabar angin bahawa David Corbett dijemput ke majlis makan malam sebagai tanda penghormatan ketika England memenangi Piala Dunia pada tahun tersebut dan dihadiahkan £6,000, manakala anjingnya diberikan bekalan makanan seumur hidup.

Trofi replika yang dihasilkan atas alasan keselamatan itu dijual pada lelongan kepada FIFA dengan harga £254,500 pada tahun 1997.

Piala Jules Rimet kemudiannya berpindah ke Brazil pada tahun 1970, namun itu bukanlah pengakhiran bagi kontroversi yang dialaminya.

Berita bahawa trofi Dewi Emas itu hilang sekali lagi telah menggemparkan dunia pada Disember 1983.

Beberapa orang telah mencuri trofi tersebut dari kabinet pameran di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Brazil di Rio, dengan membuka pintu belakang kabinet menggunakan rod besi.

4 lelaki tersebut didakwa dan disabitkan kesalahan atas kesalahan mencuri dan trofi itu gagal ditemui.

Jadi, mengikut jejak langkah England, Brazil terpaksa menghasilkan replika Piala Jules Rimet dan tiada siapa tahu apa yang berlaku kepada trofi asli tersebut.

Ramai yang percaya bahawa sama ada ia dicairkan dan dijual, atau menjadi koleksi peribadi seseorang.

Sejarah trofi Piala Dunia yang baharu

Trofi Piala Dunia FIFA Baru

Selepas meyerahkan Piala Jules Rimet kepada Brazil, FIFA terpaksa mengarahkan penggantian trofi untuk Piala Dunia 1974.

53 penyertaan diterima bagi tender reka bentuk piala yang baru, yang diumumkan pada tahun 1971 daripada pengukir di 7 buah negara.

Silvio Gazzaniga, pengukir dari Itali, yang dinobatkan sebagai pemenang mereka bentuk piala yang baru, telah menghantar dua reka bentuk yang mana dimenangi oleh rekabentuk pertama.

"Untuk menghasilkan simbol universal, saya mendapat ilham daripada dua imej asas, iaitu atlet yang berjaya dan dunia.

"Saya ingin mencerminkan kegembiraan pemain bola sepak yang memenangi kejuaraan, seorang lelaki yang berubah disebabkan kemenangannya, tetapi tanpa ego manusia yang tinggi.

"Wira sukan ini yang memeluk dunia dengan tangannya, mencerminkan kekuatan yang diperlukan untuk melakukan pengorbanan setiap hari dengan ahli pasukannya dan ciri-ciri sejagat sukan seperti komitmen dan kebebasan," jelas Silvio Gazzaniga.

Khabar angin mengatakan bahawa Silvio tinggal di studionya selama seminggu untuk menghasilkan trofi tersebut.

Beliau sendiri kemudiannya mengakui bahawa sebenarnya sebahagian besar daripada kerja itu tidak mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Walau bagaimanapun, trofi tersebut diperbuat daripada emas pepejal, butiran lebih halus yang dihasilkan membuktikan ianya adalah satu cabaran besar dan terpaksa ditambah selepas pembentangan pertama trofi ini.

Trofi emas seberat 5 kilogram

Trofi Piala Dunia FIFA Gold

Tidak seperti trofi sebelumnya, trofi baru ini diperbuat daripada 5 kilogram emas 18 karat.

Trofi ini berukuran 36.8 sentimeter tinggi dan seberat 6.142 kilogram. Tapaknya berdiameter 13 sentimeter dengan dua lapisan malachite, sepadan dengan warna padang bola sepak.

Trofi ini menggambarkan dua tokoh manusia yang sedang menjunjung Bumi.

"Kedua-dua pemain yang mengangkat tangan mereka melambangkan pasukan pada saat kegembiraan dan keghairahan kemenangan.

"Sfera di bahagian atas dibentuk bagi menggambarkan imej benua-benua. Ini juga melambangkan bola sepak dan dunia, manakala garis-garis di antara dua pemain ini menggambarkan tenaga dalam sukan bola sepak," jelas Silvio.

Bahagian tapak trofi Piala Dunia diperbuat daripada dua cincin malachite hijau, dipisahkan oleh cincin emas yang tertulis nama kejohanan "FIFA World Cup".

Ia dilengkapi dengan plat emas yang mana diukir atasnya nama negara pemenang dalam bahasa tempatan, sebagai contoh "1974 Deutschland" atau "1994 Brazil".

Nama tersebut disusun dalam bentuk bulatan, meninggalkan ruang untuk pemenang seterusnya.

Di mana trofi ini disimpan?

Sejarah Penciptaan Trofi 'Jules Rimet' Piala Dunia FIFA

Sebelum tahun 2006, trofi ini akan diserahkan kepada negara yang menjadi juara, yang akan disimpan sehinggalah cabutan akhir Piala Dunia yang akan datang namun, ia tidak lagi dilakukan sedemikian.

Menurut peraturan semasa FIFA, pemenang kejohanan akan menerima trofi replika tembaga bersalut emas dan trofi sebenar akan dipamerkan di Muzium Bola Sepak Dunia FIFA di Zurich, Switzerland sejak tahun 2006.

Ia hanya dibawa keluar dan dipamerkan ketika Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA oleh Coca-Cola di Cabutan Akhir bagi kejohanan tersebut dan juga di atas padang, serta di atas pentas ketika perlawanan akhir kejohanan ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, July 03, 2018

Kebaikan Luar Biasa Sultan Bayezid II Menyelamatkan Pelarian Yahudi

Kebaikan Luar Biasa Sultan Bayezid II Menyelamatkan Pelarian Yahudi

Sultan Bayezid II yang merupakan putera Sultan Muhammad Al Fateh sememangnya dikenali sebagai seorang sultan yang soleh, diberi gelaran ‘Bayezidi Veli” yang bermaksud ‘Bayezid Sang Wali Allah’.

Kebaikan Luar Biasa Sultan Bayezid II Menyelamatkan Pelarian Yahudi

Ketika Raja Ferdinand dan Ratu Isabela berjaya menakluki Andalusia dari pemerintahan Islam, mereka mengamalkan polisi ‘Spanish Inquisition’ yang memaksa orang-orang Islam dan Yahudi untuk memeluk Kristian.

J. Michelet menulis bahawa dalam tempoh 10 tahun, hampir sejuta orang Islam dan Yahudi dibakar hidup-hidup, dilemaskan dalam air dan dibiarkan mati kelaparan dan di kota Seville sahaja, lebih 2,000 orang lelaki dan wanita dibakar hidup-hidup.

Mendengar penyeksaan yang dialami oleh orang Islam dan Yahudi, Sultan Bayezid II mengutuskan sepasukan armada laut yang diketuai oleh Laksamana Kamal (Kemal Reis) pada tahun 1492 menjemput orang Islam dan Yahudi untuk diselamatkan dari pembunuhan dan kezaliman Raja Ferdinand.

Armada Uthmaniyah berlabuh di pelabuhan Cadiz dan Seville lalu menjemput pelarian Islam dan Yahudi yang diusir sehelai sepinggang.

Dikatakan sekitar 150,000 pelarian Yahudi dibawa ke Daulah Uthmaniyah, kemudian ratusan ribu lagi pelarian Yahudi dari Portugal mengikuti jejak saudara mereka dari Sepanyol.

Rombongan pelarian pertama ditempatkan di Istanbul, Erdine dan Salonika, yang selebihnya ditempatkan di merata tempat dalam Daulah Uthmaniyah.

Ketika mereka tiba di Istanbul, mereka disambut oleh Sultan Bayezid dan baginda memberikan layanan yang istimewa pada pelarian-pelarian Yahudi tersebut.

Rabbi Eliya Kapsal berkata, “Sultan Bayezd mengeluarkan arahan kepada seluruh gabenornya agar menerima dan menyambut dengan baik pelarian Yahudi dari Sepanyol. Barangsiapa yang menzalimi pelarian Yahudi, maka mereka akan dihukum dengan berat”.

Bagi membantu Yahudi membina kehidupan mereka di Daulah Uthmaniyah, Sultan Bayezid II membuat pengecualian cukai terhadap mereka selama 5 tahun.

Kebaikan yang dihulurkan oleh Sultan Bayezid menyebabkan Rabbi Yitzchak Sarfati di Erdine menulis surat kepada Yahudi-yahudi di Eropah bahawa Yahudi akan mendapat keadilan dan layanan yang sebaik-baiknya hanya dalam Daulah Uthmaniyah.

Kenapa Sultan Bayezid II begitu baik membantu dan memberikan layanan pada pelarian Yahudi? Bukankah Yahudi terkenal sebagai bangsa yang paling tidak boleh dipercayai? Adakah Sultan Bayezid tidak membaca sirah Nabi SAW bagaimana Yahudi mengkhianati Nabi SAW? Tidak, semuanya tentang Yahudi ada dalam pengetahuan baginda.

Antara sebab baginda membantu pelarian Yahudi ialah:-
  • Membantu orang yang dizalimi (mustadh’ifin) tanpa mengira kaum dan agama adalah perintah Allah.
  • Ini adalah peluang untuk baginda menyampaikan dakwah dan keindahan Islam
  • Baginda percaya tentang keberkatan dan bantuan Allah akibat membantu orang yang teraniaya.

Sudah menjadi lumrah bagi sultan-sultan Uthmaniyah yang soleh bahawa mereka akan mendakwahkan Islam dengan penuh bijaksana kepada para pelarian.

Di samping memberikan kebebasan kepada pelarian Yahudi untuk mengamalkan agama mereka, baginda menjalankan dakwah Islam melalui pendidikan dan layanan yang baik. Kesannya, tidak sedikit Yahudi yang memeluk Islam.

Hal ini juga berlaku pada zaman Sultan Abdul Majid di mana ramai pelarian Poland dan Hungary yang lari dari kekejaman tentera Rusia masuk Islam secara sukarela dalam Daulah Uthmaniyah.

Mereka yang bersyahadah termasuk panglima tentera Hungary-Poland seperti Jeneral Bem (nama Islamnya Murad Pasha), Kmety (Ismail Pasha), Stein (Ferhad Pasha) dan Zarchesty (Uthman Beg).

Ketika Rusia meminta pada Sultan Abdul majid untuk menyerahkan panglima-panglima tentera Hungary-Poland, baginda berkata, “Aku lebih sanggup menyerahkan singgahsana aku ini kepada kamu berbanding menyerahkan orang-orang yang dizalimi yang meminta perlindungan dariku.”

Apakah kesan yang baik dari bantuan Sultan Bayezid II ke atas pelarian Yahudi?

1. Golongan cerdik pandai Yahudi menyumbang kepada kekuatan Daulah Uthmaniyah sehinggakan Sultan Bayezid berkata, “Anda mengatakan bahawa Raja Ferdinand pemimpin yang bijak (kerana mengusir Islam dan Yahudi), namun sebenarnya dia telah mengkayakan kerajaanku.”

2. Dakwah Islam tersebar ke Eropah dengan pesat bila mana kebaikan Sultan Bayezid II menjadi buah mulut orang-orang Eropah.

3. Bangsa Yahudi sedikit sebanyak dapat di Islam dan diturkikan.

Membantu pelarian sedikit sebanyak sudah pasti memberikan kesan atau kerugian kepada ekonomi dan hal-hal kebendaan.

Namun, keberkatan dari perbuatan menolong orang yang teraniaya itu adalah sesuatu yang sukar diterangkan kerana ianya sesuatu yang kita tidak akan nampak kelebihannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Sunday, March 11, 2018

Bertuahnya Brunei Tidak Sertai Kemerdekaan Bersama Malaysia

Bertuahnya Brunei Tidak Sertai Kemerdekaan Bersama Malaysia

Mungkin ramai pembaca sudah tahu mengapa negara Brunei tidak mahu bersatu dan merdeka bersama Malaysia seperti yang telah tercatat dalam sejarah namun, apakah anda tahu faktor-faktor yang mendorong Brunei menolak untuk bernaung dibawah satu bumbung bersama Malaysia?

Bertuahnya Brunei Tidak Sertai Kemerdekaan Bersama Malaysia

Mari kita imbau kembali sejarah penolakan Brunei ini.

Apabila Sultan Omar Ali Saifudin III dari Brunei mengisytiharkan bahawa Brunei tidak akan bersama-sama membentuk Malaysia, Tunku Abdul Rahman telah cuba untuk memberikan tekanan ke atas Brunei dengan memanggil balik beratus-ratus guru dan pegawai dari Tanah Melayu yang di pinjamkan kepada negara tersebut.

Hal ini menyebabkan Brunei ketika itu menghadapi masalah pentadbiran.

Namun, Sultan masih tetap dengan pendiriannya. Antara perkara yang tidak dipersetujui oleh Sultan semasa rundingan dengan Persekutuan Tanah Melayu adalah kedudukan Kesultanan Brunei yang di letakkan di bawah sekali di dalam Majlis Raja-raja Melayu.

Satu lagi perkara besar yang tidak dipersetujui oleh Sultan adalah berkenaan dengan cukai Pusat ke atas hasil minyak sebanyak 10% untuk selama 10 tahun dan selepas itu Pusat mahu mengambil alih kawalan minyak Brunei.

Selain itu, tuntutan Sultan Brunei tidak dipenuhi dan antara tuntutan tersebut:
  • Sekurang-kurangnya Brunei mendapat 10 kerusi di Parlimen.
  • Hasil minyak adalah dibawah penguasaan Brunei.
  • Brunei juga diberi memegang autonomi kewangan.
  • Semua pelaburannya hendaklah dikekalkan.
  • Kadar cukai yang rendah dikekalkan.
  • Program pendidikan dan kebajikannya diteruskan.
  • Jaminan keselamatan ke atas Brunei terjamin.
  • Sultan Brunei mahukan kedudukan yang lebih tinggi dalam senarai yang akan menjadi Yang Dipertua Agung.

Hujah-hujah bahawa dengan pembentukan Malaysia maka dapat membendung ancaman komunis dan untuk mendapatkan kemerdekaan awal dari British akhirnya telah di tolak oleh Sultan atas sebab-sebab tidak bersetuju dengan syarat-syarat di atas.

Hari ini, Brunei adalah sebuah negara berdaulat, ahli kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan juga ahli kepada ASEAN.

Ini bermakna Brunei adalah sebuah negara yang diiktiraf bukan sahaja oleh negara-negara yang berjiran dengannya, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Hari ini juga rakyat Brunei menikmati pendapatan perkapita antara yang tertinggi di dunia, harga petrol terendah, pendidikan percuma hingga peringkat tinggi dan sebagainya.

Kerajaan Brunei melalui Menteri Tenaganya juga pernah melahirkan rasa kecewa secara terbuka kerana masih ramai rakyat tempatan tidak di ambil bekerja di syarikat-syarikat pembekal dan kontraktor industri minyak.

Menteri tersebut berkata, walaupun Brunei mengalu-alukan pelaburan asing, namun jika tidak serius untuk memberikan peluang pada rakyat tempatan, syarikat-syarikat ini tidak dikehendaki untuk berada di Brunei. Amaran keras dan terbuka.

Dalam satu ucapan, bagi memperingati Sultan Omar Ali Saifuddin III, bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew berkata apabila Singapura keluar dari Malaysia, Sultan Omar Ali telah berkata padanya, “Kamu sudah seperti Brunei. Itu adalah lebih baik untuk kamu.”

Sejarah adalah perkara yang telah pun berlalu dan tidak akan sesekali dapat diubah, namun satu soalan retorik yang menarik, apakah yang mungkin berlaku seandainya Brunei bersetuju untuk bersama-sama membentuk Malaysia?

Andaian

1. Brunei bukan saja akan di kenakan cukai untuk hasil minyak, malah 95% hasil minyak akan pergi ke pusat. Tinggal 5% untuk Brunei.

2. Pendapatan perkapita rakyat Brunei setahun tidak mungkin akan setinggi USD76,740 berbanding Malaysia, USD11,028 bagi tahun 2017.

3. Rakyat Brunei akan membeli minyak dengan harga yang lebih mahal berbanding sekarang B$0.36. (Rujuk perkapita)

4. Rakyat Brunei yang hendak melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi terpaksa meminjam dari PTPTN dan dikenakan riba.

5. Sindrom ramai orang luar Brunei memegang jawatan tinggi dengan gaji mahal di sektor Minyak dan Gas akan berlaku tanpa ada apa-apa bunyi bantahan dari pemimpin tempatan Brunei. Rakyat Brunei akan di beri jawatan peringkat rendah dengan gaji yang rendah juga.

6. Harga kereta import sangat mahal dan ramai rakyat Brunei terpaksa membeli kereta Proton dan Perodua sahaja.

7. Jalan antara bandar di Brunei akan menjadi jalan satu lorong sehala yang berombak-ombak dan banyak lubang. Dan di kebanyakan lokasi, akan di tampal berulang-ulang kali macam kek lapis Sarawak.

Kesimpulan

HARI INI, lihatlah pembangunan dan kemajuan negara Brunei sehingga tersenarai dalam ranking KE-4 terkaya dunia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Pertumbuhan ekonomi sekitar tahun 1990-an hingga 2000, membawa perubahan kepada Brunei sehingga menjadi sebuah negara perindustrian.

Purata peningkatannya adalah 56 peratus bagi tahun 1999 hingga 2008 sahaja.

Sektor petroleum dan gas asli menjana kekayaan negara yang mencapai kemerdekaan dari United Kingdom pada 1 Januari 1984 ini memiliki paras hutang negara pada kadar KOSONG peratus daripada KDNK negaranya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Rasuah Malaysia Jadi Bahan Lawak Pemimpin Afrika

sumber: infokini

Monday, February 19, 2018

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Berdasarkan rekod dan catatan sejarah, akhbar telah menjadi bahan bacaan manusia sebagai medium penyebaran berita bermula sejak abad ke 2 sebelum masihi, ketika era pemerintahan kerajaan Rom.

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Sebagai sebuah kerajaan yang berkuasa dan mempunyai wilayah jajahan yang luas, Rom mempunyai sistem tersendiri untuk menyebarkan sesuatu berita kepada orang ramai.

Caranya ialah dengan menulis atau mengukir perkara yang hendak disebarkan di atas papan, logam atau batu.

Ia kemudiannya diletakkan di tempat umum dan disebut sebagai 'Forum Romanum' dan akhbar kuno ini dikenali sebagai Acta Diurna.

Dalam bahasa latin, Acta Diurna bermaksud 'Laporan harian umum' yang diterbitkan dua atau tiga hari sekali, bergantung kepada kepentingan sesuatu isu yang hendak disampaikan.

Dan selepas beberapa hari dipaparkan, papan kenyataan yang lama akan diturunkan dan digantikan dengan lembaran yang baru.

Bentuk pertama Acta Diurna muncul sekitar tahun 131 SM dengan isi berita kebanyakannya berkisar tentang urusan rasmi kerajaan Rom.

Dalam era perkembangannya, informasi berita kemudian diperluaskan kepada perkara-perkara lain seperti pemberitahuan kelahiran, perkahwinan dan kematian pembesar-pembesar serta kerabat istana.

Ia kemudian ditambah baik dengan memasukkan elemen-elemen lain dalam paparan berita berkenaan seperti kes jenayah, subsidi kerajaan, harga syiling makanan asas seperti gandum, acara melibatkan pembesar kerajaan, berita astrologi, politik, acara gladiator, sehinggalah kepada kisah-kisah kemanusiaan seperti anjing yang hilang dan menemui jalan pulang.

Surat Khabar Pertama Di Dunia

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Pada tahun 59 SM, Julius Caeser secara rasmi telah mengangkat Acta Diurna sebagai akhbar rasmi kerajaan dan memerintahkan penerbitannya diperbanyak dan dipasang di pasar, pintu kuil dan disemua tempat awam.

Pada awal abad pertama Masihi, Acta Diurna lebih banyak diisi dengan berita tentang politik, uji kaji saintifik, keputusan kehakiman, kegiatan ahli senat dan strategi peperangan.

Seiring dengan perkembangannya, Acta Diurna turut melahirkan 'Diurnarii' - wartawan yang ditugaskan untuk mencari berita bagi dimuatkan dalam akhbar berkenaan.

Pada peringkat awal, Diurnarii dilantik oleh kerajaan namun, kerana sentimen kemasyarakatan yang mementingkan pelbagai berita dan informasi setempat, orang-orang awam juga mula melakukan tugas Diurnarii dan menjual catatan mereka kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya.

Disebabkan itulah berlakunya persaingan diantara Diurnarii untuk mencari berita diseluruh pelusuk kota Rom.

Bahkan, ada sesetengahnya turut menulis berita dari luar kota Rom.

Wartawan Pertama Dihukum Mati

Sejarah Surat Khabar Kuno Dan Wartawan Purba

Persaingan itu kemudiannya telah menyebabkan korban pertama dalam sejarah kewartawanan.

Seorang Diurnarii bernama Julius Ructicus telah dihukum gantung atas tuduhan menyiarkan berita yang belum disahkan, rahsia kerajaan!

Dianggarkan, penerbitan ini bertahan selama lebih 600 tahun dan cetakan terakhirnya berakhir pada tahun 555 Masihi.

Selepas runtuhnya empayar Rom, kegiatan jurnalistik merudum, terutamanya pada zaman gelap Eropah.

Tiada lagi Acta Diurna dan pada ketika itu sistem kewartawanan lenyap begitu sahaja.

Tahukah anda, daripada perkataan Acta Diurna inilah muncullah perkataan 'Diurnal' yang kemudiannya diadaptasi ke dalam bahasa Perancis menjadi 'Du jour' dan bahasa Inggeris 'Journal' yang bermaksud 'hari', 'catatan harian' ataupun 'laporan'.

Manakala perkataan Diurnarii pula diterjemahkan kepada 'Diurnalis' atau 'Journalist' yang bererti wartawan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Penemuan Epik Kuno Yang Menceritakan Perang Nuklear Pernah Terjadi!

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, January 25, 2018

Keluhan Terakhir Moor Disaat Tumbangnya Kerajaan Islam Terakhir Di Sepanyol

Keluhan Terakhir Moor Disaat Tumbangnya Kerajaan Islam Terakhir Di Sepanyol

Penghujung tahun 1491, tentera Ferdinand V telah mengepung ambang pintu-pintu Granada. Ferdinand dan isterinya, Ratu Isabella hanya menanti masa untuk masuk menguasai kerajaan Islam terakhir di Eropah.

Keluhan Terakhir Moor Disaat Tumbangnya Kerajaan Islam Terakhir Di Sepanyol
Gambar hiasan.

Setelah tidak mampu lagi menahan serangan demi serangan tentera Kristian, pemerintah Granada, Sultan Muhammad XII Abu Abdullah yang dikenali di Barat sebagai Boabdil, terpaksa bersetuju untuk menyerahkan kota terakhir Islam kepada orang-orang Kristian sebagai balasan laluan selamat untuknya keluar dari Sepanyol.

Pada 2 Januari 1492, Sultan Abu Abdullah terpaksa menyerah kalah kepada Raja Ferdinand.

Apabila telah hampir meninggalkan bandar, beliau berhenti seketika untuk melihat kembali istana agam Alhambra, taman-taman indah dan seluruh Granada.

"Allahu Akhbar!" katanya dan terus menangis teresak-esak.

Ibunya, Aisyah berdiri disampingnya dan berkata, "Menangislah anda sepuas-puasnya seperti seorang wanita, untuk apa yang anda tidak mampu lakukan dalam membelanya seperti lelaki!"

Makan, pada 2 Januari 1492, kuasa kedaulatan politik Islam di Sepanyol berakhir selepas Granada jatuh ke tangan Kristian.

Tamadun Islam yang pernah wujud dan diakui kehebatannya di muka bumi Andalusia berakhir selepas 800 tahun Islam menyinari benua itu.

Ia juga menjadi sejarah hitam apabila legasi Islam turut dihapuskan. Darah orang Islam membasahi bumi Granada apabila mereka dibunuh beramai-ramai oleh tentera salib. Segala tanda kegemilangan empayar Silam dipadam dari benua itu.

Tempat Sultan Abu Abdullah menangis sambil memandang Granada kini dikenali dengan nama 'el ultimo suspiro del Moro' yang disebut dalam bahasa Inggeris sebagai 'The last sigh of the Moor' atau Keluhan Terakhir Moor.

Andalusia, kenangan yang pahit dalam sejarah Islam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Damascus, Pedang Lagenda Paling Tajam Di Dunia

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, December 27, 2017

'Keris Alang' Senjata Hukuman Mati Kerajaan Melayu Tua

'Keris Alang' Senjata Hukuman Mati Kerajaan Melayu Tua

Keris Alang atau keris penyalang adalah sejenis keris kuasa, senjata yang tidak digunakan untuk bertarung tetapi lebih merupakan simbol kuasa dan autoriti kerajaan beraja.

'Keris Alang' Senjata Hukuman Mati Kerajaan Melayu Tua

Keris Alang digunakan untuk menjalankan hukuman bunuh terhadap penjenayah berat.

Ia tidak dipakai bersama busana tetapi dipegang dengan menggunakan tangan.

Kerajaan Melayu dahulukala mengenakan hukuman bunuh bagi kesalahan berat seperti kesalahan menderhaka kepada Raja dan pemerintah.

Bagi melaksanakan hukuman bunuh menggunakan Keris Alang, pesalah akan didudukkan secara melutut dengan tangannya diikat dan algojo akan berdiri di belakangnya.

Keris ini akan dihunus dan ditikam antara celah tulang selangka sebelah kiri pesalah, lalu ditekan terus dan sedikit menyerong ke kanan.

Keris dengan bilah panjang ini akan menembusi jantung pesalah dan menyebabkan kematian serta-merta.

Apabila keris ditarik keluar, secebis kapas akan diletakkan di tempat tusukan keris dan darah yang keluar dikesat dengan kapas tadi.

Hukuman bunuh dengan cara ini sangat cepat, berkesan dan bersih kerana tidak banyak mengeluarkan darah. Dengan cara ini, jasad pesalah kekal sempurna dan lebih mudah diuruskan.

Bagi pengembara Eropah yang tiba ke Kepulauan Melayu sekitar abad ke 16, hukuman menyalang ini sangat asing, kerana hukuman berat di Eropah ketika itu biasanya dijalankan dengan kejam, bagi memberi pengajaran dan menakut-nakutkan orang ramai.

Mengikut kebiasaan, pesalah kesalahan berat lazimnya dipenggal atau diseksa dengan kejam sehingga mati. Sangat mengerikan dan tiada belas kasihan.

Menurut catatan sejarah, kerajaan Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah (Sultan Melaka terakhir) pada awal abad ke 16, mengenakan hukuman salang ke atas Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan keluarganya.

Manakala catatan oleh pengembara Inggeris pada abad ke 19, H. Wilfrid Walker di dalam bukunya bertajuk Wandering Among South Sea Savages and in Borneo and The Philippines, juga mengatakan kaedah hukuman menyalang ini biasa diamalkan oleh kerajaan Melayu, termasuk orang Melayu di Sarawak.

Pakar Menyalang

Hukuman menyalang tidak boleh dilaksanakan tanpa kefahaman teknikal terhadap anatomi manusia dan juga penciptaan alat yang sesuai.

Seorang algojo yang akan melaksanakan hukuman ini perlu mengetahui dengan tepat tempat untuk menikam bagi memastikan keris alang menusuk terus hingga ke jantung.

Hanya mereka yang benar-benar layak boleh memiliki keris alang dan melaksanakan melaksanakan hukuman bunuh.

Tanpa pengetahuan ini, dikhuatiri pesalah akan terseksa kerana lambat mati. Algojo perlu mempunyai kemahiran sekali tikam terus mati.

Alat yang digunakan juga mestilah cukup panjang, tajam dan teguh untuk menikam sehingga menembusi jantung pesalah.

Dari situlah dapat disimpulkan kebijaksanaan orang-orang Melayu terdahulu, dimana hukuman bunuh juga dilakukan dengan penuh adab dan berperikemanusiaan.

Hanya mereka yang benar-benar layak boleh memiliki keris alang dan melaksanakan hukuman sebegini.

Bagi memenuhi fungsi sebagai keris untuk menjalankan hukuman, keris alang atau penyalang mestilah mempunyai bilah yang lurus dan kuat.

Oleh itu, keris alang biasanya diperbuat daripada besi sebatang, tanpa pamor dan dibuat lurus tanpa luk (lekuk).

Bilah lurus membolehkan keris ditusuk terus sehingga mengenai jantung pesalah.

Panjang bilah keris alang biasanya dibuat antara 19 hingga 27 inci, bagi memastikan ia dapat ditusuk hingga menembusi jantung dan dikeluarkan semula tanpa mengakibatkan luka parah.

Pesalah yang disalang akan mati serta-merta kerana kecederaan jantung.
Pendarahan juga lebih kepada pendarahan dalaman dan darah tidak menyembur dengan banyak kerana kedudukan tikaman pada bahagian atas jantung.

Oleh kerana fungsinya sebagai keris hukuman dan lambang kuasa, keris alang biasanya menggunakan pakaian serta hiasan khas dan tidak sama dengan keris yang digunakan untuk bertarung.

Pakaian bagi keris merujuk kepada sarung, hulu, sampir dan 'pendokok' yang merupakan pelengkap bagi sebilah keris.

Keris alang turut menggunakan sampir berbentuk bulan sabit dan dipakaikan hulu mengikut cita rasa kedaerahan atau negeri.

Sebagai lambang kuasa, keris alang adalah anugerah daripada Raja dan tidak semua orang boleh memilikinya.

Dalam sistem pemerintahan moden kini, keris alang tidak lagi digunakan untuk melaksanakan hukuman.

Namun, masih dikekalkan sebagai alat kebesaran Raja bagi sesebuah negeri atau negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kehebatan Keris Sebagai Senjata Sehingga Digelar 'A Coward Weapon'

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, December 25, 2017

Shang Yang Tokoh Hebat Disebalik Kebangkitan Dinasti Qin Namun Akhirnya Mati Secara Sadis!

Shang Yang Tokoh Hebat Disebalik Kebangkitan Dinasti Qin Namun Akhirnya Mati Secara Sadis!

361 SM, Duke Xiao of Qin (Quliang: 361 SM-338 SM) menaiki takhta negara Qin ketika masih belia setelah kematian Duke Chu of Qin (Chuzi II: 386 SM-385 SM). Kemajuan negara Qin setelah hampir 300 tahun kematian Duke Mu of Qin telah membentuk peribadi penguasa Xiao bercita-cita untuk meneruskan empayar kekuasaan leluhurnya.

Shang Yang Tokoh Hebat Disebalik Kebangkitan Dinasti Qin Namun Akhirnya Mati Secara Sadis!

Untuk memulakan langkah perluasan kuasa jauh dari negara Qin, maka penguasa Xiao mengatur rancangan pertamanya iaitu untuk mengumpulkan para cendekiawan dari seluruh tanah China datang berkhidmat di bawah pemerintahannya.

KEANGKUHAN NEGARA WEI MENGUNDANG PADAH

Gongsun Yang dari negara Wei datang menemui penguasa Xiao lalu menyatakan hajatnya untuk berkhidmat kepada negara Qin.

Pada mulanya, permintaan Gongsun Yang ditolak mentah-mentah oleh penguasa Xiao setelah Gongsun Yang hanya berbicara panjang lebar tentang sesuatu tanpa diisi dengan perkara yang penting sehingga tidak menarik perhatian penguasa Xiao.

Gongsun Yang yang tidak berputus asa merayu kembali kepada penguasa Xiao untuk diberikan peluang kali kedua menunjukkan bakatnya yang terpendam.

Penguasa Xiao mengizinkan dan pada kali kedua inilah, Gongsun Yang mengeluarkan segala strategi-strateginya dan idea-idea yang bernas untuk menjadikan negara Qin sebagai negara terkuat daripada tujuh negara yang lain.

Setelah tiga malam berturut-turut penjelasan yang panjang lebar disampaikan oleh Gongsun Yang, maka penguasa Xiao yang kagum dengan bakat beliau sehingga Gongsun Yang diangkat sebagai penasihat dalam pentadbirannya.

Berikut adalah strategi dan idea yang dikemukakan oleh Gongsun Yang:

1. Jika ingin menjadikan negara Qin sebagai negara terkuat mula sekarang, maka negara ini memerlukan sebuah pasukan tentera yang kuat dan bekalan makanan yang banyak serta tidak pernah putus.

2. Menawarkan jawatan yang tinggi dalam pemerintahan dan akan dianugerahkan pangkat kehormatan dari pemerintah, iaitu:
  • Tentera Qin yang berjasa dalam peperangan mahupun memberikan idea yang bijak untuk mengalahkan musuh dan memenanginya maka beliau akan diberikan ganjaran yang banyak atau dinaikkan ke pangkat tertinggi dalam jabatan ketenteraan.
  • Masyarakat atau penduduk biasa yang berjaya memberikan hasil pertanian yang bagus serta bijak menguruskan tanah dalam menambahkan penghasilan bekalan makanan mentah yang banyak kepada negara akan diberikan jawatan pangkat yang terhormat di dalam pentadbiran Qin.

IDEA HEBAT

Idea yang dikemukakan oleh Gongsun Yang diterima bulat-bulat oleh penguasa Xiao tanpa bantahan. Arahan baru dikeluarkan, reformasi yang dilancarkan oleh Gongsun Yang berjalan dengan baik sehingga ramai masyarakat berstatus sosial rendah berebut-rebut untuk berjasa ketika perang atau berusaha keras mengeluarkan hasil tanaman yang melimpah.

Berkat kesanggupan penguasa Xiao menerima usul Gongsun Yang membuahkan hasil setelah idea dan strategi penasihatnya ini mencipta suasana baharu dalam pemerintahan negara Qin sehinggakan kekuatan tentera dan ekonomi negara ini yang dahulunya hanya biasa-biasa menaiki aras negara kecil yang setaraf dengan enam buah negara besar yang lain, iaitu Han, Wei, Chu, Zhao, Qi dan Yan.

Akibat daripada reformasi undang-undang baru yang diperkenalkan oleh Gongsun Yang tidak hanya menguatkannya di dalam kedudukan politik, tetapi dalam masa yang sama beliau mencipta musuh daripada bangsawan tempatan yang telah hilang status quo yang telah lama mengakari negara Qin.

Dasar pemerintahan meritokrasi yang diusulkan oleh Gongsun Yang dan dilaksanakan oleh penguasa Xiao mengubah persepsi para bangsawan Qin yang selama ini memiliki pelbagai tanah yang luas disita dan diberikan kepada masyarakat yang berbakti pada negara Qin.

Ajaran Li Kui yang dianuti oleh Gongsun Yang mengajarkannya bahawa segala pangkat darjat dalam kekuasaan, harta dan kehormatan diterima melalui kerja keras bukannya melalui pewarisan harta keturunan atau mempunyai hubungan darah dengan keluarga penguasa.

Melalui tahap-tahap reformasi yang diterapkan oleh kedua tokoh terbabit, maka negara Qin mula berkembang dengan lebih maju dan stabil.

Gongsung Yang mengatur langkah seterusnya untuk meluaskan pengaruh negara Qin. Beliau mencadangkan kepada penguasa Xiao untuk memindahkan pusat pemerintahan ke kota Xianyang iaitu sebuah tempat yang terletak di sebuah tanah tinggi Guanzhong bersebelah sungai Wei.

Kelebihan yang didapati melalui keadaan geografinya iaitu dikelilingi oleh gunung-gunung yang tinggi dan hanya mempunyai satu pintu masuk sahaja, melalui pintu gerbang Hangu lalu serta-merta menjadikan kota Xianyang mudah dipertahankan daripada serangan musuh.

SEMBURAN NAFAS NAGA QIN BERTIUP DI TIMUR

Kedudukan kota baharu yang berdekatan dengan perbatasan timur negara Qin memberikan kesempatan kepada Gongsun Yang mengusulkan cadangan kepada penguasa Xiao untuk menguasai beberapa wilayah dan kota negara Wei yang terletak di kawasan timur.

Dalam tempoh waktu terdekat itu, negara jirannya, iaitu Wei baru sahaja mengalami kekalahan dalam Perang Malingdao (342 SM) terhadap negara Qi.

Gongsun Yang mengambil kesempatan untuk menakluk wilayah negara Wei dengan memperalatkan hubungannya yang baik dengan jeneral perang utama negara Wei iaitu Gongzhi Ang.

Kepercayaan yang diberikan oleh Gongzhi Ang dikhianati oleh Gongsun Yang dengan mengerahkan pasukan tentera Qin dengan keizinan penguasa Xiao merebut kota-kota utama negara Wei iaitu kota Shaoliang, kota Hexi, kota Hedong dan kota Anyi (bekas pusat pemerintahan negara Wei).

Pada masa ini, negara Wei diperintah oleh Raja Hui of Wei.

Melalui kejatuhan beberapa buah kota penting milik negara Wei menjadikan negara Qin serta-merta ditakuti oleh negara-negara besar yang lain. Api yang disembur oleh naga Qin mula terasa bahangnya.

Negara Wei, Qi dan Zhao mula berjaga-jaga dengan segala serangan yang bakal berlaku dari pihak Qin suatu hari nanti.

Atas kejayaan Gongsun Yang menunjukkan kecerdikannya mereformasikan undang-undang dan perluasan kuasa Qin maka penguasa Xiao membalas jasanya dengan menghadiahkan pangkat seorang bangsawan menguasai wilayah Shang dan Yu serta diberikan mandat untuk mentadbir 15 buah kota di wilayah terbabit.

Beliau pun mendapat gelaran yang baharu, gelaran kehormatan yang diberikan langsung oleh penguasa Xiao iaitu Tuan Shang Yang.

UNDANG-UNDANG YANG MEMAKAN DIRI

Segala pangkat, harta dan kekuasaan yang diperlolehi secara susah-payah pasti akan berakhir jua. Begitu juga nasib yang akan dialami oleh Shang Yang.

388 SM

Setelah hampir 30 tahun pemerintahan yang berkembang pesat, penguasa Xiao pun meninggal dunia ketika berumur 44 tahun. Takhta kekuasaan Qin diturunkan kepada putera buangan, iaitu Putera Ying Si dengan memakai gelaran Raja Huiwen (338 SM-311 SM).

Raja Huiwen menyimpan dendam kepada Shang Yang kerana beliaulah baginda menjadi putera dalam buangan pada suatu masa dahulu.

Ketika Raja Huiwen masih muda dan memegang gelaran Putera Ying Si yang bakal mewarisi takhta negara Qin telah melakukan pelanggaran hukum ketika undang-undang Shang Yang diperkenalkan.

Guru-guru Ying Si, Gongsun Jia dan Ying Qian dihukum dengan dipotong hidung lalu ditato kening mereka sementara Ying Si dibuang dari istana.

Setelah menaiki takhta, Raja Huiwen ingin menghukum bunuh Shang Yang. Baginda ingin menampakkan hukum bunuh ke atas Shang Yang bukannnya bersifat peribadi melainkan melalui pelanggaran hukum.

Ditambah pula hasutan oleh para menteri dan para bangsawan yang sudah lama memusuhi Shang Yang, baginda nekad untuk memulakan agendanya ini.

Shang Yang yang sudah mendengar khabar berita kemangkatan penguasa Xiao tidak dapat berbuat apa-apa melainkan hanya ada satu sahaja cara untuknya meneruskan hidup iaitu dengan melarikan diri daripada rumah dan menuju ke negara Wei.

Pasukan tentera Qin yang sudah tiba ke rumah Shang Yang menggeledah dan memburunya di atas alasan mengingkari perintah Raja Huiwen.

Shang Yang melarikan diri secara senyap-senyap pada tengah malam dan sentiasa mengatur perjalannya agar tidak ditangkap oleh pasukan tentera Qin yang mula mendapat perintah rasmi untuk memburunya.

Setelah melakukan perjalanan yang panjang dan lama akhirnya beliau tiba di gerbang kota negara Wei.

Pada waktu ini negara Wei hanya bertahan di sebuah wilayah yang kecil dan lemah tetapi mendapat bantuan perlindungan ketenteraan daripada negara jirannya, negara Zhao.

Pengawal yang menjaga pintu gerbang Wei mengetahui Shang Yang walaupun beliau memakai identiti palsu.

Shang Yang dihalau kerana ulah beliaulah, negara Wei sekarang berada di ambang kehancuran. Shang Yang mati akal. Beliau tidak mempunyai cara lain untuk meneruskan hidup melainkan dengan melancarkan aksi pemberontakan ke atas Raja Huiwen.

Pasukan pemberontak yang dikumpulkan melalui tentera upahan dan pengikutnya yang setia, pasukan Shang Yang membuat kekacauan sehingga memaksa Raja Huiwen mengerahkan angkatan pasukan Qin yang besar untuk mengalahkannya Shang Yang.

Pemberontakan Shang Yang dipatahkan dengan mudah lalu Shang Yang ditawan hidup-hidup dan dibawa ke hadapan Raja Huiwen.

Raja Huiwen membacakan hukuman yang bakal dijatuhkan kepada sesiapa yang melancarkan pemberontakan bersenjata ke atas penguasa Qin.

Undang-undang yang dibacakan oleh Raja Huiwen merupakan undang-undang yang ditulis sendiri oleh Shang Yang.

Bentuk hukuman yang dijatuhkan kepadanya iaitu hukuman mati dengan ditarik oleh empat buah kereta kuda.

Maka tamatlah riwayat hidup seorang manusia yang berjaya membentuk negara Qin sejajar dengan negara lain tetapi segala kebaikannya dibalas dengan sebuah pengakhiran hidup yang sadis.

Walaupun Raja Huiwen membenci Shang Yang, tetapi baginda masih memegang teguh undang-undang yang dibuat olehnya sehingga baginda berjaya meluaskan kuasa negara Qin melalui taklukan ke atas daerah Badan Shu (Sichuan) iaitu sebuah daerah yang kaya dengan hasil tanaman subur.

Dengan taklukan ke atas daerah ini, maka pertahanan negara Qin di bahagian barat semakin kuat.

Bermulanya sebuah era pemerintahan baru di bawah pentadbiran Raja Huiwen yang bakal mengegar enam negara besar yang lain sehinggakan mereka bersatu untuk menangkis ekspedisi perluasan kuasa pasukan Qin di bawah perjanjian bersekutu Anti-Qin (Hezong) 295 SM.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kejelitaan 'Yang Yuhuan' Meruntuhkan Sebuah Empayar

sumber: thepatriots

Saturday, December 23, 2017

Sejarah Bekam Sepanjang Tamadun Manusia

Sejarah Bekam Sepanjang Tamadun Manusia

Apabila skuad USA dilaporkan telah memakai bekam sebagai salah satu daripada langkah persediaan mereka menghadapi Sukan Olimpik Rio Brazil, maka kita mula menggali semula khasiat bekam.

Sejarah Bekam Sepanjang Tamadun Manusia

Bila bekam pertama kali digunakan dalam sejarah dunia? Tamadun manakah yang paling awal mengamalkan bekam yang mempunyai pelbagai nama Bentousa, SchrÖpftherapie, Köpölyözés, Glāstīdams, Вендузи and Kyukaku ini?

i. Mesir Purba

Di Mesir Purba, terdapat ukiran hieroglyphic yang menceritakan tentang amalan ini seawall 3,500 tahun yang lalu manakala terdapat sebuah buku perubatan yang ditulis dalam Eber Papyrys yang ditulis seawall 1550 SM tetapi makalah ini dipercayai dicatat daripada manuskrip perubatan yang jauh lebih awal.

Manuskrip perubatan Mesir Purba ini jelas mencatatkan tentang pengunaan bekam.

ii. China

Tiada tamadun (mungkin Islam) yang mencatatkan tentang bekam seteliti seperti mana yang dicatatkan oleh Tamadun China.

Rekod terawal tentang amalan berbekam dicatatkan sehingga seawal 3000 tahun yang lalu yang bercakap tentang bagaimana amalan bekam digunakan untuk menyembuhkan penyakit Pulmonary Tuberculosis.

Lalu kemudian, terdapat catatan yang merujuk kepada seorang Taoist terkenal bernama Ge Hong yang hidup sekitar 281-341 Masihi yang memang terkenal dengan amalan alkimia dan perubatan herbanya.

Dia dikatakan menceritakan tentang penggunaan tandung haiwan dalam amalan berbekam untuk menyembuhkan bisul-bisul yang tumbuh di kulit manusia dalam bukunya yang bertajuk A Handbook of Prescriptions of Emegencies (Jou How Pei Jyi Fang). Ge Hong juga memberi nama untuk amalan berbekam ini sebagai Jiaofa.

Catatan daripada Dinasti Tang yang berdiri pada abad ke-7 Masihi dahulu turut memperkatakan tentang amalan berbekam dalam buku seperti Necessities Of a Frontier Official (Wai Tai Mich Yao) ditulis oleh Wang Tayr yang memperkatakan tentang pengunaan bekam yang dapat menghindarkan diri daripada sakit kepala, sakit perut dan juga pening dalam batang tubuh seorang pesakit.

Bekam merupakan salah satu cara perubatan tradisional China selain daripada pengunaan Akupuntur dan juga Moxibustion.

Catatan lain seperti dalam buku Supplement to Outline of Materia Medica (Ban Tsau Gang Mu Chyr Yi) yang ditulis oleh Zhao Xuemin daripada Dinasti Qin.

Catatan ini menceritakan amalan bekam yang dikatakan menggunakan cawan yang diperbuat daripada tanah liat dan buluh.

iii. Tamadun Islam

Antara rekod terawal yang bercakap tentang amalan bekam ini ialah dalam hadis Rasulullah S.A.W yang dicatatakan seperti berikut:

“Tidaklah aku melewati sekumpulan malaikat pada malam aku di-Isra’kan, melainkan mereka (para malaikat) semua mengatakan kepadaku, “Hai Muhammad, Engkau harus berbekam.” (HR.Tirmidzi)

“Kesembuhan dapat diperoleh dengan tiga cara: pertama dengan meminum madu (dengan obat herbal), kedua dengan berbekam/hijamah, dan ketiga dengan (terapi) besi panas. Dan aku tidak menganjurkan umatku untuk melakukan pengobatan dengan besi panas.” (HR. Bukhari)

Selain itu, amalan berbekam turut boleh didapati dalam buku Al-Tibb Al-Nabawi yang merupakan sebuah kompilasi berbicara tentang amalan perubatan yang disandarkan pada Rasulullah S.A.W yang dimana terdapat tentang amalan berbekam (dapat dilihat pada perkongsian admin Naseer Sobri).

Selain itu, ilmuwan Islam seperti Ibnu Sina (980-1036 M) turut dicatatkan menggunakan amalan berbekam dalam rawatannya.

iv. Dalam Tamadun Lain

Pengamal perubatan Yunani Purba iaitu Hippocrates dicatatkan menggunakan amalan perbekaman pada sekitar 400 SM.

Herodotus dikatakan pernah menulis tentang kebaikan berbekam pada 413 SM seperti berikut:

“Scarification with Cupping possesses the power of evacuating offending matter from the head; of diminishing pain of the same part; of lessening inflammation; of restoring the appetite; of strengthening a weak stomach; of removing vertigo and a tendency to faint; of drawing deep-seated offending matter towards the surface; of drying up fluxions; checking hemorrhages; promoting menstrual evacuations; arresting the tendency to putrefaction in fevers; allaying rigors; accelerating and moderating the crisis of diseases; removing a propensity to somnolence; conciliating natural repose; removing heaviness. These, and many analogous maladies, are relieved by the judicious application of the Cucurbits (Cups), dry or bloody.”

The Sudanese Travels of Theodoro Krump (1701 Masihi) mencatatkan pengunaan bekam dalam tamadun Afrika.

Seorang pakar bedah bernama Charles Kennedy dari Amerika mengatakan tentang kejayaan bekam dalam kebanyakan rawatannya. (1826) seperti berikut:

“The art of cupping has been so well-known, and the benefits arising from it so long experienced, that it is quite unnecessary to bring forward testimonials in favor of what has received not only the approbation of modern times, but also the sanction of remotest antiquity.”

Sebuah peta yang melakarkan peta Allegheny County, Pennsylvania pada tahun 1862 terdapat sebuah iklan yang diselitkan dalam peta itu yang bertulis “Cupping, Leeching, Bleeding, and Tooth drawing.”

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Bekam Sebagai Kaedah Merawat Penyakit Wujud Sejak Tamadun Purba!

sumber: thepatriots

Tuesday, December 12, 2017

Kejelitaan 'Yang Yuhuan' Meruntuhkan Sebuah Empayar

Kejelitaan 'Yang Yuhuan' Meruntuhkan Sebuah Empayar

China, sebuah negara yang tidak pernah lokek daripada gadis-gadis yang jelita. Dari zaman purba, negara ini tidak pernah lekang dengan kisah-kisah legenda mengenai gadis-gadis cantik yang membikin para jejaka menjadi gila.

Kejelitaan Yang Yuhuan Meruntuhkan Sebuah Empayar
Gambar Yang Yuhuan sedang menaiki kuda semasa sebuah perarakan.

Dari seorang gadis yang membuatkan panglima perang berhati singa tunduk pada cinta, hingga kisah dua orang kembar yang kejelitaannya umpama 1000 bintang di langit yang bikin pertempuran paling berdarah dalam sejarah sehinggalah ke seorang gundik, yang menyebabkan seorang Maharaja sanggup menyuruh anaknya menceraikan gundik itu hanya kerana dia mahu bersama dengan gundik tersebut.

Pada ketika zaman Dinasti Tang, dunia menyaksikan kemunculan seorang gadis jelita dalam sejarah yang kemudiannya menjadi duri dalam daging kepada kejatuhan Dinasti Tang.

Yang Yuhuan, adalah pemilik nama kepada seorang bidadari dunia yang sedang kita bicarakan dan bidadari yang telah membikin seorang raja menjadi gundah gulana kerana cinta.

Pada usia 17 tahun, Yang Yuhuan telah berkahwin dengan anak kepada Maharaja Tang ketika itu, Maharaja Xuanzong.

Namun, tidak sampai enam tahun perkahwinan putera Maharaja Xuanzong dengan Yang Yuhuan, kejelitaan yang dimiliki oleh Yang Yuhuan telah membuatkan hati lelaki Maharaja Xuanzong menjadi gundah-gulana ketika kunjungan Maharaja Xuanzong di sebuah istana yang diduduki oleh Yang Yuhuan di sebuah kaki gunung di China.

Maharaja mahu melupakan wanita yang sudah berpunya itu, namun dia tidak dapat menahan nafsu dan cintanya.

Maka, dengan hati yang cekal tanpa memperdulikan mulut-mulut yang akan mengatanya, maka maharaja menyuruh puteranya menceraikan Yang Yuhuan.

Mahu atau tidak, maka terpaksalah anak mematuhi namun, Maharaja Xuanzong tahu apa yang akan dilakukanna ialah sebuah larangan dalam masyarakatnya. Mahu mengalihkan perhatian, maka maharaja menyuruh Yang Yuhuan menjadi biarawati agama Tao sebelum akhirnya dia sendiri mengahwini Yang Yuhuan.

Yang Yuhuan selepas mengahwini Maharaja Xuanzong, dia telah memiliki segala-galanya. Dia telah dihadiahkan rambut emas, istana khas untuk dirinya, serta pelbagai gelaran yang menjadikan Yang Yuhuan sebagai isteri Maharaja Xuanzong yang paling disayangi oleh maharaja.

Bahkan Maharaja pernah membuatkan sebuah lagu yang menyamakan Yang Yuhuan dengan sebiji permata yang berkilauan.

Baginda sering menyanyi atau memainkan alat muzik ketika Yang Yuhuan menari. Puisi yang ditulis oleh gundik ini juga sangat indah, hingga ke hari ini masih dibaca oleh kalangan rakyat.

Menurut ceritanya, “meskipun dalam istana terhadap tiga ribu orang gadis yang cantik, kasih sayang baginda terhadap tiga ribu orang gadis ini dicurahkan kepada gundik ini seorang sahaja.”

Dengan menggunakan kasih sayang baginda terhadapnya, abang Yang Yuhuan, iaitu Yang Guozhong telah menjadi Perdana Menteri dalam Dinasti Tang, manakala tiga kakak perempuannya pula diberi gelaran bangsawan.

Disebabkan terlalu asyik dengan kecantikan Yang Yuhuan, baginda tidak lagi mempedulikan urusan negara. Maka kuasa pemerintahan telah dipegang oleh Yang Guozhong dan Li Linfu.

Kedua-dua pegawai yang khianat ini telah memperdaya baginda secara lembut di samping membunuh semua pegawai yang tidak mematuhi arahan mereka.

Pemerintahan Dinasti Tang menjadi semakin teruk, hingga mengakibatkan timbul krisis besar dikalangan masyarakat.

Pada tahun 755, An Lushan, seorang Gabenor telah memberontak dengan alasan untuk membunuh Perdana Menteri Yang Guozhong yang khianat itu. Sebuah negara bernama Yan ditubuhkan oleh An Lushang,

Maharaja Xuanzong terpaksa membawa Yang Yuhuan melarikan diri dari ibu negara. Ketika menuju ke arah Mawei (di provinsi Shaanxi), pasukan tentera pengawal baginda tidak mahu bergerak lagi.

Jeneral pasukan tentera tersebut telah membunuh Perdana Menteri Yang Guozhong dan bapanya, dan dia menuntut supaya Yang Yuhuan dibunuh, barulah pasukannya bersedia mengawal baginda dan menghapuskan pemberontak.

Jeneral itu tahu bahawa yang menjadi duri dalam daging kepada kejatuhan Empayar Tang ketika itu ialah Yang Yuhuan. Kalau mereka mahu melihat Dinasti Tang terus bernyawa, maka gadis itu harus mati.

Mahu memastikan dinastinya dan empayar Tang terus hidup, maka Yang Yuhuan terpaksa dibunuh oleh maharaja.

Ada juga kisah lain mengatakan bahawa, maharaja menghantar Yang Yuhuan ke Jepun untuk hidup aman di sana tanpa gangguan pemberontak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Monday, December 11, 2017

Pemberontakan Yahudi Tahun 70 Masihi Yang Mengorbankan Sejuta Nyawa

Pemberontakan Yahudi Tahun 70 Masihi Yang Mengorbankan Sejuta Nyawa

Di Jurusalem tahun 70 Masihi, Gabenor Rom di Judea ketika itu, Gessius Florus telah menaikkan cukai menjadi terlalu membebankan di Judea, yang tidak dipersetujui oleh orang Yahudi.

Pemberontakan Yahudi Yang Mengorbankan Sejuta Nyawa

Apabila orang Yahudi tidak mahu menjawab cukai, maka tentera Rom ketika itu telah memasuki kuil-kuil orang Yahudi di Jerusalem (Baitulmaqdis) dan merampas segala asset kekayaan yang dimiliki oleh kuil-kuil Yahudi. Dalam insiden rampasan ini, nyawa 6000 orang Yahudi juga terkorban.

Ini membawa kepada amukan orang Yahudi ketika itu, dan tentera-tentera garrison Rom yang berjumlah 30, 000 orang itu diserang secara mengejut dan memaksa mereka berundur dari situ.

Ribuan tentera Rom juga terbunuh dalam serangan orang Yahudi ini, bahkan para Yahudi ini telah merampas senjata dan segala kelengkapan pertahanan untuk digunakan oleh militia yang baru ditubuhkan oleh orang Yahudi.

Ini telah membuatkan Maharaja Nero ketika itu menghantar salah seorang jeneral perang Rom dibawahnya bernama Vespasian memimpin ketumbukan tentera Rom.

Strategi Vespasian ketika itu ialah dengan menakluk kota-kota kecil disekitar Jerussalem terlebih awal sebelum barulah menyasarkan pada Jerusalem.

Namun lain pula yang berlaku, di Rom, Nero telah digulingkan manakala Vespasian pula terpaksa pulang untuk ditabalkan sebagai maharaja Rom yang seterusnya.

Untuk menyelesaikan misinya yang tertangguh, Vespasian menghantar anak lelakinya bernama Titus untuk mengetuai lebih kurang 70, 000 orang tentera Rom untuk mematahkan pemberontakan Yahudi.

Pengepungan dan penaklukan kota Jerusalem bukanlah sesuatu yang mudah buat Titus. Betapa orang Yahudi yang diramalkan angka mereka dalam sekitar 10,000 orang begitu kuat mempertahankan Jerusalem.

Lagi-lagi pertahanan kota Jerusalem itu sendiri sangat ampuh. Selain dilindungi oleh tiga tembok berserta pertahanan semula jadi seperti bukit bakau yang mengitarinya, ia mengambil masa berbulan-bulan untuk penaklukan Jerusalem itu sendiri.

Selepas berjaya menembusi dua tembok kota Jerusalem, tinggal sebuah tembok dan kubu sahaja namun, usaha untuk menembusi tembok yang ketiga sangat mengorbankan nyawa dan masa.

Lagipun kepungan ini akan memakan masa kerana betapa bekalan tetap memasuki Jerusalem. Ini membuatkan Titus terpaksa membina tembok kepungan sendiri diluar tembok terakhir Jerusalem.

Namun, penduduk Yahudi didalamnya tetap berdegil bertahan membuatkan. Senjata kepungan dan juga mesin seperti ram tidak dapat menghancurkan kota. Bahkan banyak nyawa tentera Rom yang terkorban.

Menyedari bahawa kekerasan tidak akan mampu meruntuhkan kedegilan orang Yahudi, Titus pun menukar starteginya.

Dihantarnya tentera terbaiknya yang berfungsi untuk menyelinap masuk pada waktu malam ke dalam Jerussalem dan melakukan serengan mengejut. Ini menyebabkan tembok ketiga berjaya ditembusi juga akhirnya pada bulan Julai.

Namun, ketika tentera Rom mula menyerbu masuk ke dalam kubu, Titus yang mahu menyelamatkan kuil tersebut dan menukarkan tempat penyembahan berhala Roman tidak kesampaian apabila ada tentera yang melontarkan obor api ke dalam kuil sekaligus api mula membakar kuil Yahudi.

Namun, serangan tetap berlangsung di segala sudut kota tersebut dan pertarungan berterusan selama tiga bulan sehinggalah pada bulan September, barulah seluruh bahagian kota berjaya ditakluki.

Laporan sejarah mengatakan bahawa nyawa yang terkorban mencecah sehingga 1 juta orang untuk kedua-dua pihak termasuklah nyawa orang awam. 97,000 orang Yahudi pula ditangkap dan dijadikan hamba oleh Rom.

Namun, terdapat sebuah kubu gunung yang tetap bertahan di Masada. Mereka di dalam Masada lebih kental untuk ditundukkan.

Rom dikatakan mengambil masa sehingga 3 tahun untuk menakluk Masada dengan pelbagai cara hanya mendapati bahawa para pemberontak yang bertahan di tembok tersebut, telah membunuh diri bersama dengan ahli keluarga mereka seperti anak-anak dan isteri, kerana tidak mahu menjadi tawanan Rom.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, December 08, 2017

Bangsa Kanaan Penduduk Asal Palestin Bukannya Yahudi

Bangsa Kanaan Penduduk Asal Palestin Bukannya Yahudi

Benarkah Palestin milik kaum Yahudi? Siapa kata tanah yang diberkati ini penduduk asalnya Bani Israel? Kata-kata ini tidak benar, malah hanyalah dakwaan bersifat penyelewengan fakta semata-mata oleh pihak berkepentingan untuk menguasai wilayah yang telah didiami lebih awal oleh sebuah kaum atau masyarakat bernama Kanaan.

Bangsa Kanaan Penduduk Asal Palestin Bukannya Yahudi

Makan, tidak hairanlah Palestin dahulunya pernah dikenali sebagai Tanah Kanaan.

Siapakah kaum Kanaan ini? Ahli-ahli sarjana Islam percaya kaum Kanaan datang ke Palestin sebelum kedatangan Nabi Ibrahim a.s. lagi iaitu sekitar 2000 hingga 3000 tahun sebelum Masihi.

Ada juga di kalangan sarjana Islam yang menyebut kaum Kanaan berasal daripada Ham, putera Nabi Nuh a.s. yang berhijrah ke Palestin untuk mencari kehidupan lebih baik.

Kaum Kanaan mahir dalam industri logam dan tekstil, kesenian, perdagangan dan ketenteraan.

Kaum Kanaan mempunyai susur galur dari leluhur Phonesia yang hidup pada Zaman Gangsa dan mereka merupakan arkitek bagi Kapal Perang Bireme, Kapal Dua Pendayung yang serba luar biasa.

Di Palestin, kaum Kanaan mendiami kawasan berbukit dan pergunungan dengan menjadi pengembala kambing, sementara sebahagiannya tinggal di kawasan lembah menjadi petani, sementara yang tinggal di lembah-lembah pesisir Jordan menjadi pedagang laut.

Mereka mendirikan kota-kota kecil Kanaan dan mengadakan hubungan dengan kerajaan kuno sekitarnya.

Kerana kaum ini juga, Palestin menjadi pusat penting dan penghubung kepada pelbagai benua dunia pada waktu itu.

KAUM KANAAN YANG GAGAH

Kanaan juga dikenali sebagai kaum yang gagah perkasa. Kisah Nabi Musa a.s. dan kaumnya Bani Israel ada mencatatkan kisah kegagahan kaum Kanaan ini.

Mereka menjawab, “Wahai Musa, bahawasanya di negeri itu ada kaum yang gagah perkasa dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehingga mereka keluar daripadanya; kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan masuk (ke negeri itu)”. (Al-Maidah: 22)

Malangnya, agama dan kepercayaan mereka tidak bersumberkan tauhid kepada Allah SWT.

Sebaliknya, mereka menyembah berhala dan dewa sebagaimana penemuan banyak kuil lama mereka di bawah runtuhan Kota Kuno Jericho (Ariha) di Palestin.

Kaum Bani Israel diusir dari Palestin ketika zaman Nabi Yaakub dan Nabi Yusuf a.s ke Mesir juga kerana kezaliman sendiri.

Mereka dijanjikan oleh Allah SWT tanah Palestin lantaran penderitaan yang dialami kerana kekejaman Firaun.

Pun begitu mereka enggan memasukinya semasa diarahkan berbuat demikian pada zaman Nabi Musa a.s., sebaliknya memasuki Palestin ketika dipimpin oleh Nabi Yushak a.s. setelah berjaya mengalahkan kaum Kanaan dengan bantuan Allah SWT.

Dalam peristiwa kemenangan ini, Allah SWT memberhentikan peredaran matahari seketika sekaligus menundakan kehadiran malam bagi membolehkan kemenangan diperoleh Nabi Yushak a.s. dan kaumnya Bani Israel.

Setelah berhasil menakluk seluruh bumi Kanaan, Nabi Yushak a.s. membahagi tanah ini kepada 12 bahagian (The twelve tribes of Israel).

Setiap bahagian diberikan kepada suku-suku Bani Israil yang terdiri daripada 12 suku.

MULA RUNTUH

Sesetengah pengkaji sejarah kuat mengatakan bahawa proses asimilasi antara kaum Kanaan dengan Bani Israel membuktikan bahawa kepercayaan dan agama keduanya saling berkait.

Para ilmuan sejarah juga berjaya membuktikan bahawa leluhur bangsa Israel mempunyai kesamaan dalam hal kepercayaan dan beragama bangsa Kanaan.

Sejarah penduduk terawal Kanaan di Palestin secara perlahan-lahan akhirnya lenyap dan digolongkan dalam kategori Al Arab Al Baidah (Bangsa Arab yang telah musnah). Ia berlaku semasa zaman Nabi Sulaiman a.s.

Seperti mana kaum Kanaan di Palestin, kaum Bani Israel juga akhirnya lemah. Mereka dijajah dan diusir sebagai orang buangan oleh banyak empayar besar seperti Babylon, Parsi dan Rom sekitar penghujung sebelum Masihi dan awal Masihi. Pada zaman moden pula dilanyak oleh Nazi Jerman.

Akibatnya mereka bertebaran di seluruh dunia khususnya di Eropah Timur. Kaum ini pernah dikategorikan sebagai 10 kaum yang hilang di dunia.

Apa yang terjadi kepada Bani Israel sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dan tidak diduga, malah semuanya telah dinyatakan dalam al-Quran antaranya surah al-Baqarah, al-Maidah dan al-Araf.

Walaupun asalnya mereka adalah kaum pilihan Allah SWT dan dijanjikan tanah untuk mereka di Palestin, sejarah merakamkan bagaimana kaum ini akhirnya dilaknat dan pernah dibinasakan oleh Allah SWT lantaran kesombongan dan kekufuran mereka.

Apa yang sedang terjadi di Palestin hari ini merupakan sebahagian daripada kerosakan yang pernah mereka lakukan dahulu seperti mana dinyatakan oleh Allah SWT yang maksudnya, "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau." (al Isra’: 4)

YAHUDI BUKAN BANI ISRAEL

Sarjana Islam sependapat bahawa Bani Israel telah hilang status keistimewaan yang pernah diberikan Allah SWT kepada mereka pada awalnya, begitu juga dengan tanah Palestin bukanlah lagi milik mereka lantaran segala kerosakan yang mereka lakukan, selain kufur kepada Allah SWT.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan