Monday, November 23, 2015

Sejarah Peperangan Antara Yahudi dan Kristian


Perpecahan dan perselisihan yang pertama adalah berlaku di antara golongan umat Yahudi sebelum dibangkitkan Nabi Isa a.s.

Peperangan Antara Yahudi dan Kristian

Mereka telah berpecah belah kepada berbagai-bagai golongan dan puak, sedangkan rasul mereka ialah Nabi Musa a.s dan kitab suci mereka ialah at Taurat.

Mereka membentuk lima golongan yang besar iaitu golongan Saduqiyyin, golongan Farisiyyin, golongan Aasiyyin, golongan pelampau dan golongan Samiriyyin. Setiap golongan mempunyai ciri-ciri dan arah tujuan masing-masing.

Kemudian perpecahan dan perselisihan berlaku di antara orang Yahudi dan orang Kristian, sedangkan Nabi Isa a.s itu sendiri merupakan salah seorang dari nabi mereka yang terakhir yang datang dan mengesahkan kitab suci (at-Taurat) yang dikurniakan kepada mereka sebelum ini, namun demikian perselisihan dan pertelingkahan yang tercetus di antara orang-orang Yahudi dan Kristian telah sampai ke peringkat perseteruan yang ketat dan dendam kesumat yang keji.

Berbagai-bagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai yang kejam dan mengerikan telah berlaku di antara dua pihak itu sebagaimana yang telah dicatatkan dalam sejarah.

Peristiwa-peristiwa permusuhan dan persengketaan di antara orang-orang Yahudi dan Kristian telah tercetus kembali di awal abad yang ke tujuh.

Pada tahun yang akhir dari pemerintahan Maharaja Pokas (610M), orang-orang Yahudi telah menyerang orang-orang Kristian di Antakiyah.

Untuk memadamkan pemberontakan itu Maharaja telah mengirim seorang panglimanya bernama Abnosus.

Beliau berlepas ke sana dan menjalankan tugasnya dengan keganasan dan kekejaman yang jarang berlaku. Beliau telah membunuh semua orang Yahudi.

Mereka dibunuh dengan pedang, digantung, dilemaskan, dibakar, diseksa dan dicampakkan kepada binatang-binatang buas. Kejadian yang seperti itu telah berlaku berulang-ulang kali.

Dalam bukunya, al Khutat al Maqrizi menulis: Di zaman Maharaja Rome Puqa, Baginda Maharaja Parsi telah menghantar bala tenteranya ke negeri-negeri Syam dan Mesir, lalu mereka meruntuhkan gereja-gereja di Quds, di Palestin dan di kebanyakkan negeri-negeri di Syam.

Mereka membunuh semua orang Kristian. Di Mesir juga mereka memburu dan membunuh sebahagian besar orang Kristian. Sementara jumlah yang ditawan amat ramai pula.

Orang-orang Yahudi turut membantu askar-askar itu di dalam usaha memerangi Kristian dan merobohkan gereja-gereja mereka.

Kemudian dari Tabriyah mereka mara ke negeri-negeri al-Furs, Jabal al Jalil, Kampung an Nasirah dan bandar Sur dan negeri-negeri al Quds, lalu mereka membunuh dan menyeksa orang Kristian dengan buas dan kejam, mereka telah meroboh dua buah gereja di al Quds, dan mereka membakar rumah-rumah kediaman dan merampas sebatang tiang salib dan menawan Paderi Besar Al Quds dan sebilangan besar dari sahabat-sahabatnya.

Al Maqrizi berkata lagi ketika menyebut cerita penaklukan al-Quds: Ketika itulah orang-orang Yahudi di bandar Sur bangkit memberontak dan mengerahkan saki-baki orang-orangnya, lalu mereka berpakat menyerang dan membunuh orang-orang Kristian.

Satu peperangan tercetus di antara Yahudi dan Kristian dan di dalam peperangan itu orang-orang Yahudi telah mengumpul tentera-tenteranya serami kira-kira dua ribu orang.

Mereka telah meruntuhkan gereja-gereja Kristian di luar negeri Sur. Kemudian orang-orang Kristian menyerang balas orang-orang Yahudi dengan tentera-tentera yang lebih ramai, menyebabkan orang-orang Yahudi menerima kekalahan yang teruk dan ramai dari mereka yang terbunuh.

Maharaja Heraclius pemerintah Rom di Qustantiniyah (Constantinople) telah berjaya mengalahkan pemerintah Parsi dengan satu tipu helah yang dilakukan terhadap Maharaja Parsi sehingga baginda keluar darinya.

Dan dari Qustantiniyah, baginda keluar untuk menubuhkan kerajaan-kerajaan Syam dan Mesir, dan membangunkan kembali apa yang telah diruntuhkan oleh kerajaan Parsi. Orang-orang Yahudi dan Tabriyah dan lain-lain tempat telah keluar beramai-ramai menyambut kedatangan baginda.

Mereka mempersembahkan berbagai-bagai hadiah yang mahal kepada baginda, dan apabila mereka memohon kepada baginda supaya mereka memberi keamanan kepada mereka, baginda telah bersumpah untuk memenuhi permintaan mereka.

Setelah itu baginda memasuki negeri Al Quds, di sana baginda disambut pula oleh orang-orang Kristian dengan kitab suci Injil, salib-salib, pembakaran-pembakaran kemenyan dan lilin yang dipasang.

Baginda dapati rumah-rumah dan bangunan-bangunan gereja di bandar itu telah roboh dan runtuh. Pemandangan itu amat menyedihkan baginda, lalu baginda menyatakan simpati kepada penduduk-penduduknya.

Kemudian orang Kristian memberitahu baginda tentang orang Yahudi yang telah mencetuskan pemberontakan bersama orang-orang Parsi dan tindakan-tindakan mereka membunuh semua orang-orang Kristian dan merobohkan gereja-gereja.

Orang Kristian meminta Maharaja Heraclius supaya bertindak ke atas orang Yahudi itu, tetapi baginda membantah kerana baginda telahpun memberi janji keamanan kepada mereka.

Kemudian para paderi Kristian telah mengeluarkan fatwa yang menghalalkan baginda membunuh orang-orang Yahudi, kerana mereka telah menipu baginda dalam mendapatkan keamanan itu.

Selanjutnya para paderi itu menyatakan kesanggupan mereka untuk membayar kifarat langgar sumpah dengan mewajibkan diri mereka dan semua orang Kristian berpuasa satu hari setiap Jumaat pada setiap tahun sebagai ganti baginda buat selama-lamanya.

Baginda tertarik dengan cadangan mereka, lalu bertindak menyerang orang-orang Yahudi dengan ganasnya dan menghapuskan semua mereka di negeri itu sehingga tidak ada lagi orang Yahudi di dalam negeri-negeri di bawah pemerintahan Rom di Mesir dan di Syam kecuali mereka yang sempat melarikan diri dan bersembunyi.

Dari cerita-cerita sejarah ini dapatlah diketahui bagaimana kejam dan ganasnya kedua-dua pihak Yahudi dan Kristian itu terhadap darah manusia dan bagaimana kedua-dua mereka sentiasa menunggu peluang untuk menyerang musuhnya tanpa menghormati batas-batas yang wajar.

(Tafsir Fil Zilal Quran: Tafsir Surah Al Baiyinah)

Peperangan antara Yahudi dan Kristian satu pengajaran

Terlalu banyak ibrah yang boleh kita kutip dengan mengkaji sejarah. Kini, berdasarkan cerita di atas, tahulah kita bahawa, Al Aqsa itu memang senantiasa menjadi rebutan sejak zaman sebelum diutuskan Rasulullah SAW lagi.

Yahudi dan Nasrani akan berusaha sehabis mungkin untuk mendapatkan Al Aqsa. Kerana apa?

Kerana Al Aqsa adalah simbol kekuatan, kemenangan dan simbol kesucian.

Jika dahulu mereka bergaduh kerana mahu merebut Al Aqsa, kini puak kuffar itu bersatu hati pula untuk menjatuhkan umat Islam.

Pelbagai strategi dirangka, pelbagai helah dicipta.

Umat Islam pula semakin jauh dan jauh daripada Islam.

Kesatuan antara umat Islam dirobek, bagaikan bangkai yang dirobek oleh binatang buas.

300 juta umat Arab di serata tempat tidak mampu untuk mengalahkan Israel yang hanya berjumlah tidak sampai 5 juta orang.

Mana perginya kita? Mana perginya kita?

‘Aku di sini!‘

Semoga yang menjawab itu adalah kita.

Wallahua'lam

BACA INI JUGA: Dendam Yahudi dan Nasrani (Kristian) Terhadap Islam

Sumber: Akubukansuparmen

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon