Wednesday, December 27, 2017

'Keris Alang' Senjata Hukuman Mati Kerajaan Melayu Tua


Keris Alang atau keris penyalang adalah sejenis keris kuasa, senjata yang tidak digunakan untuk bertarung tetapi lebih merupakan simbol kuasa dan autoriti kerajaan beraja.

'Keris Alang' Senjata Hukuman Mati Kerajaan Melayu Tua

Keris Alang digunakan untuk menjalankan hukuman bunuh terhadap penjenayah berat.

Ia tidak dipakai bersama busana tetapi dipegang dengan menggunakan tangan.

Kerajaan Melayu dahulukala mengenakan hukuman bunuh bagi kesalahan berat seperti kesalahan menderhaka kepada Raja dan pemerintah.

Bagi melaksanakan hukuman bunuh menggunakan Keris Alang, pesalah akan didudukkan secara melutut dengan tangannya diikat dan algojo akan berdiri di belakangnya.

Keris ini akan dihunus dan ditikam antara celah tulang selangka sebelah kiri pesalah, lalu ditekan terus dan sedikit menyerong ke kanan.

Keris dengan bilah panjang ini akan menembusi jantung pesalah dan menyebabkan kematian serta-merta.

Apabila keris ditarik keluar, secebis kapas akan diletakkan di tempat tusukan keris dan darah yang keluar dikesat dengan kapas tadi.

Hukuman bunuh dengan cara ini sangat cepat, berkesan dan bersih kerana tidak banyak mengeluarkan darah. Dengan cara ini, jasad pesalah kekal sempurna dan lebih mudah diuruskan.

Bagi pengembara Eropah yang tiba ke Kepulauan Melayu sekitar abad ke 16, hukuman menyalang ini sangat asing, kerana hukuman berat di Eropah ketika itu biasanya dijalankan dengan kejam, bagi memberi pengajaran dan menakut-nakutkan orang ramai.

Mengikut kebiasaan, pesalah kesalahan berat lazimnya dipenggal atau diseksa dengan kejam sehingga mati. Sangat mengerikan dan tiada belas kasihan.

Menurut catatan sejarah, kerajaan Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah (Sultan Melaka terakhir) pada awal abad ke 16, mengenakan hukuman salang ke atas Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir dan keluarganya.

Manakala catatan oleh pengembara Inggeris pada abad ke 19, H. Wilfrid Walker di dalam bukunya bertajuk Wandering Among South Sea Savages and in Borneo and The Philippines, juga mengatakan kaedah hukuman menyalang ini biasa diamalkan oleh kerajaan Melayu, termasuk orang Melayu di Sarawak.

Pakar Menyalang

Hukuman menyalang tidak boleh dilaksanakan tanpa kefahaman teknikal terhadap anatomi manusia dan juga penciptaan alat yang sesuai.

Seorang algojo yang akan melaksanakan hukuman ini perlu mengetahui dengan tepat tempat untuk menikam bagi memastikan keris alang menusuk terus hingga ke jantung.

Hanya mereka yang benar-benar layak boleh memiliki keris alang dan melaksanakan melaksanakan hukuman bunuh.

Tanpa pengetahuan ini, dikhuatiri pesalah akan terseksa kerana lambat mati. Algojo perlu mempunyai kemahiran sekali tikam terus mati.

Alat yang digunakan juga mestilah cukup panjang, tajam dan teguh untuk menikam sehingga menembusi jantung pesalah.

Dari situlah dapat disimpulkan kebijaksanaan orang-orang Melayu terdahulu, dimana hukuman bunuh juga dilakukan dengan penuh adab dan berperikemanusiaan.

Hanya mereka yang benar-benar layak boleh memiliki keris alang dan melaksanakan hukuman sebegini.

Bagi memenuhi fungsi sebagai keris untuk menjalankan hukuman, keris alang atau penyalang mestilah mempunyai bilah yang lurus dan kuat.

Oleh itu, keris alang biasanya diperbuat daripada besi sebatang, tanpa pamor dan dibuat lurus tanpa luk (lekuk).

Bilah lurus membolehkan keris ditusuk terus sehingga mengenai jantung pesalah.

Panjang bilah keris alang biasanya dibuat antara 19 hingga 27 inci, bagi memastikan ia dapat ditusuk hingga menembusi jantung dan dikeluarkan semula tanpa mengakibatkan luka parah.

Pesalah yang disalang akan mati serta-merta kerana kecederaan jantung.
Pendarahan juga lebih kepada pendarahan dalaman dan darah tidak menyembur dengan banyak kerana kedudukan tikaman pada bahagian atas jantung.

Oleh kerana fungsinya sebagai keris hukuman dan lambang kuasa, keris alang biasanya menggunakan pakaian serta hiasan khas dan tidak sama dengan keris yang digunakan untuk bertarung.

Pakaian bagi keris merujuk kepada sarung, hulu, sampir dan 'pendokok' yang merupakan pelengkap bagi sebilah keris.

Keris alang turut menggunakan sampir berbentuk bulan sabit dan dipakaikan hulu mengikut cita rasa kedaerahan atau negeri.

Sebagai lambang kuasa, keris alang adalah anugerah daripada Raja dan tidak semua orang boleh memilikinya.

Dalam sistem pemerintahan moden kini, keris alang tidak lagi digunakan untuk melaksanakan hukuman.

Namun, masih dikekalkan sebagai alat kebesaran Raja bagi sesebuah negeri atau negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Kehebatan Keris Sebagai Senjata Sehingga Digelar 'A Coward Weapon'

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon