Selasa, Julai 03, 2018

Kebaikan Luar Biasa Sultan Bayezid II Menyelamatkan Pelarian Yahudi


Sultan Bayezid II yang merupakan putera Sultan Muhammad Al Fateh sememangnya dikenali sebagai seorang sultan yang soleh, diberi gelaran ‘Bayezidi Veli” yang bermaksud ‘Bayezid Sang Wali Allah’.

Kebaikan Luar Biasa Sultan Bayezid II Menyelamatkan Pelarian Yahudi

Ketika Raja Ferdinand dan Ratu Isabela berjaya menakluki Andalusia dari pemerintahan Islam, mereka mengamalkan polisi ‘Spanish Inquisition’ yang memaksa orang-orang Islam dan Yahudi untuk memeluk Kristian.

J. Michelet menulis bahawa dalam tempoh 10 tahun, hampir sejuta orang Islam dan Yahudi dibakar hidup-hidup, dilemaskan dalam air dan dibiarkan mati kelaparan dan di kota Seville sahaja, lebih 2,000 orang lelaki dan wanita dibakar hidup-hidup.

Mendengar penyeksaan yang dialami oleh orang Islam dan Yahudi, Sultan Bayezid II mengutuskan sepasukan armada laut yang diketuai oleh Laksamana Kamal (Kemal Reis) pada tahun 1492 menjemput orang Islam dan Yahudi untuk diselamatkan dari pembunuhan dan kezaliman Raja Ferdinand.

Armada Uthmaniyah berlabuh di pelabuhan Cadiz dan Seville lalu menjemput pelarian Islam dan Yahudi yang diusir sehelai sepinggang.

Dikatakan sekitar 150,000 pelarian Yahudi dibawa ke Daulah Uthmaniyah, kemudian ratusan ribu lagi pelarian Yahudi dari Portugal mengikuti jejak saudara mereka dari Sepanyol.

Rombongan pelarian pertama ditempatkan di Istanbul, Erdine dan Salonika, yang selebihnya ditempatkan di merata tempat dalam Daulah Uthmaniyah.

Ketika mereka tiba di Istanbul, mereka disambut oleh Sultan Bayezid dan baginda memberikan layanan yang istimewa pada pelarian-pelarian Yahudi tersebut.

Rabbi Eliya Kapsal berkata, “Sultan Bayezd mengeluarkan arahan kepada seluruh gabenornya agar menerima dan menyambut dengan baik pelarian Yahudi dari Sepanyol. Barangsiapa yang menzalimi pelarian Yahudi, maka mereka akan dihukum dengan berat”.

Bagi membantu Yahudi membina kehidupan mereka di Daulah Uthmaniyah, Sultan Bayezid II membuat pengecualian cukai terhadap mereka selama 5 tahun.

Kebaikan yang dihulurkan oleh Sultan Bayezid menyebabkan Rabbi Yitzchak Sarfati di Erdine menulis surat kepada Yahudi-yahudi di Eropah bahawa Yahudi akan mendapat keadilan dan layanan yang sebaik-baiknya hanya dalam Daulah Uthmaniyah.

Kenapa Sultan Bayezid II begitu baik membantu dan memberikan layanan pada pelarian Yahudi? Bukankah Yahudi terkenal sebagai bangsa yang paling tidak boleh dipercayai? Adakah Sultan Bayezid tidak membaca sirah Nabi SAW bagaimana Yahudi mengkhianati Nabi SAW? Tidak, semuanya tentang Yahudi ada dalam pengetahuan baginda.

Antara sebab baginda membantu pelarian Yahudi ialah:-
  • Membantu orang yang dizalimi (mustadh’ifin) tanpa mengira kaum dan agama adalah perintah Allah.
  • Ini adalah peluang untuk baginda menyampaikan dakwah dan keindahan Islam
  • Baginda percaya tentang keberkatan dan bantuan Allah akibat membantu orang yang teraniaya.

Sudah menjadi lumrah bagi sultan-sultan Uthmaniyah yang soleh bahawa mereka akan mendakwahkan Islam dengan penuh bijaksana kepada para pelarian.

Di samping memberikan kebebasan kepada pelarian Yahudi untuk mengamalkan agama mereka, baginda menjalankan dakwah Islam melalui pendidikan dan layanan yang baik. Kesannya, tidak sedikit Yahudi yang memeluk Islam.

Hal ini juga berlaku pada zaman Sultan Abdul Majid di mana ramai pelarian Poland dan Hungary yang lari dari kekejaman tentera Rusia masuk Islam secara sukarela dalam Daulah Uthmaniyah.

Mereka yang bersyahadah termasuk panglima tentera Hungary-Poland seperti Jeneral Bem (nama Islamnya Murad Pasha), Kmety (Ismail Pasha), Stein (Ferhad Pasha) dan Zarchesty (Uthman Beg).

Ketika Rusia meminta pada Sultan Abdul majid untuk menyerahkan panglima-panglima tentera Hungary-Poland, baginda berkata, “Aku lebih sanggup menyerahkan singgahsana aku ini kepada kamu berbanding menyerahkan orang-orang yang dizalimi yang meminta perlindungan dariku.”

Apakah kesan yang baik dari bantuan Sultan Bayezid II ke atas pelarian Yahudi?

1. Golongan cerdik pandai Yahudi menyumbang kepada kekuatan Daulah Uthmaniyah sehinggakan Sultan Bayezid berkata, “Anda mengatakan bahawa Raja Ferdinand pemimpin yang bijak (kerana mengusir Islam dan Yahudi), namun sebenarnya dia telah mengkayakan kerajaanku.”

2. Dakwah Islam tersebar ke Eropah dengan pesat bila mana kebaikan Sultan Bayezid II menjadi buah mulut orang-orang Eropah.

3. Bangsa Yahudi sedikit sebanyak dapat di Islam dan diturkikan.

Membantu pelarian sedikit sebanyak sudah pasti memberikan kesan atau kerugian kepada ekonomi dan hal-hal kebendaan.

Namun, keberkatan dari perbuatan menolong orang yang teraniaya itu adalah sesuatu yang sukar diterangkan kerana ianya sesuatu yang kita tidak akan nampak kelebihannya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

Bagus perkongsian ini.. menarik dibaca dan pengetahuan baru juga. Thanks sharing SP!

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon