Friday, July 29, 2022

Langit atau Bumi, Mana Yang Diciptakan Dahulu?

Langit atau Bumi, Mana Yang Diciptakan Dahulu?

"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia." (Al-Baqarah: 117)

Penciptaan Langit atau Bumi

Ayat di atas ingin memperlihatkan kekuasaan Allah SWT yang mana menciptakan langit dan bumi tanpa ada ciptaan yang semisal dengannya sebelum ini. Melalui ayat ini juga, Allah SWT ingin memperlihatkan akan kesempurnaan kemampuan-Nya serta keagungan kekuasaan-Nya.

Mana Yang Diciptakan Dahulu?

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu." (Al-Baqarah: 29)

Berdasarkan firman di atas, makanya penciptaan bumi didahulukan daripada penciptaan langit. Ianya seumpama asas pembinaan yang mana perlu diciptakan tapaknya dahulu sebelum ditinggikan bahagian atap.

Ini sepertimana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah (1/15).

Kejadian Langit & Bumi

Adapun mengenai kejadian langit dan bumi, Al-Quran banyak menyebutkannya, antaranya yang maksudnya: "Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian dia bersemayam di atas 'Arsy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia." (Al-Furqan: 59)

Seterusnya yang maksudnya: "Allah lah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy. Tidak ada bagi kamu selain dari pada-Nya seorang penolongpun dan tidak (pula) seorang pemberi syafa'at. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?" (Al-Sajdah: 4)

Para ulama telah berbeza pendapat pada menafsirkan فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ iaitu penciptaan langit dan bumi pada enam masa dan padanya terdapat dua pendapat yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam karyanya, al-Bidayah wa al-Nihayah iaitu: Pendapat jumhur mengatakan bahawa enam masa yang dimaksudkan itu adalah hari-hari yang biasa sepertimana hari-hari kita sekarang ini.

Manakala pendapat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Mujahid, al-Dahhak dan Ka’ab al-Ahbar pula mengatakan bahawa setiap harinya itu bersamaan dengan 1000 tahun hari yang biasa.

[Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir. Dar al-Fikr, 1/15]

Apapun pendapat yang terdapat di dalam permasalahan ini, hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Dialah yang Maha menciptakannya dan dituntut dari ciptaan-Nya itu adalah untuk kita berfikir dan merenung alam ini sambil bermuhasabah diri bahawa sesungguhnya kita ini manusia yang tiada apa.

Umur Bumi

Saintis menganggarkan umur bumi berdasarkan batu batan yang terdapat di atas muka bumi. Mereka menganggarkan usia bumi sebagai 4.5 bilion tahun.

Ini berdasarkan kajian radioaktif bahan uranium misalnya yang bertukar menjadi plumbum. Uranium sebagai bahan radioaktif yang terdapat batu batan mereput untuk bertukar menjadi plumbum yang lebih mantap.

Saintis mengetahui separuh hayat uranium lalu melihat kuantiti logam tersebut yang masih tertinggal selepas pereputan berlaku. Lalu usia batu tersebut dianggarkan.

Saintis mengkaji Kristal zircon di Jack Hill Australia mendapati usianya sebagai 4.04 bilion tahun yang dianggap Kristal tertua yang ditemui di atas permukaan bumi, lalu mereka mengishtiharkan bahawa Australia benua tertua di dunia.

Saintis Amerika pula mengishtihatkan Amerika sebagai benua tertua berdasarkan penemuan yang lain pula di Kanada.

Saintis Muslim pula menganggap strata bumi di bawah Kaabah merupakan bumi tertua berdasarkan hadis yang menceritakan, Makkah merupakan bumi pertama muncul sebelum pembentangan daratan berlaku dan berhujah bahawa seluruh benua terjadi serentak daripada tectonic plate (lempeng bumi) yang sama lalu terpisah antara satu dengan yang lainnya sehingga terbentuk 7 benua yang berjiran.

Penemuan zircon di Australia atau Amerika tidak menunjukkan bahan tersebut berasal dari bumi tetapi kemungkinan besarnya berhasil daripada ruang angkasa lepas sebagaimana intan dianggap saintis berasal dari angkasa lepas.

Penutup

Jika kita merenung alam ini dengan sebaiknya, pasti akan terserlah kehebatan yang Maha Hebat Allah SWT dalam mentadbir segala urusan.

Pada penciptaan langit dan bumi itu akan kita perhatikan keteraturan, keharmonian serta keindahannya yang tiada tolok bandingnya.

Renunglah ke langit tatkala malam yang dihiasi dengan rembulan dan bintang-bintang.

Lihatlah hamparan daratan yang terbentang luas dihiasi dengan gunung-ganang serta sungai dan lautan.

Lihatlah juga pada penciptaan manusia itu sendiri.

Jelas menunjukkan kebesaran dan kehebatan Allah SWT.

Namun, segala yang ada ini bukanlah hanya untuk direnungkan sahaja. Ianya juga untuk kita sama-sama berfikir dan bertadabbur bagi lebih menambahkan keimanan kita.

Disebabkan itu, kita dapat perhatikan bahawa Allah SWT telah memuji golongan ulul albab iaitu golongan yang berakal kerana sentiasa mengingati Allah SWT.

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Aal Imran: 190-191)

Semoga Allah SWT menggolongkan kita di dalam golongan ulul albab yang sentiasa mentadabbur alam ini dengan melihat kehebatan Allah SWT seterusnya menghadirkan rasa keinsafan buat diri kita.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Thursday, July 28, 2022

Potong Gaji Menteri Sebagai Tanda Prihatin Kesusahan Rakyat, Bukannya Semakin Bongkak!

Potong Gaji Menteri Sebagai Tanda Prihatin Kesusahan Rakyat, Bukannya Semakin Bongkak!

Bongkak. Begitu Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menanggapi Annuar Musa selepas pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berhujah mengenai isu memotong gaji menteri.

Annuan Musa bongkak
Gambar hiasan.

Kata Rafizi, walaupun Annuar berpendapat tiada negara yang berjaya menangani isu inflasi dengan memotong gaji menterinya, ahli parlimen Keterh itu terlupa sesuatu.

Di negara selain Malaysia, layanan yang diberikan rakyat kepada menteri yang gagal menguruskan ekonomi dan menyusahkan orang ramai jauh lebih keras berbanding memotong gaji.

Ada yang dipecat, ada yang didakwa, ada yang dipenjarakan!

Justeru menurut Rafizi, Annuar perlu sedar bahawa desakan agar menteri-menteri mengambil potongan gaji bukanlah untuk mengurangkan harga barang.

Langkah tersebut, tambahnya, adalah perlambangan keinginan rakyat untuk melihat beberapa perkara termasuk sebagai isyarat menteri-menteri di negara ini gagal menjalankan tugas masing-masing bagi menguruskan ekonomi sehingga kenaikan harga barang tidak terkawal serta menekan orang awam.

Potongan gaji menteri juga, katanya, memaklumkan kepada rakyat bahawa menteri-menteri turut sensitif terhadap kepayahan yang dialami orang awam dan menjadi suatu bentuk solidariti terhadap kepayahan yang ditanggung.

"Pemotongan gaji menteri menghantar isyarat bahawa menteri-menteri juga tidak terkecuali daripada langkah penjimatan yang diarahkan kepada penjawat-penjawat awam.

"Jika tidak peruntukan awam dipotong tetapi menteri-menteri tetap menikmati kemewahan yang sama," katanya.

Kenaikan kos sara hidup sejak akhir-akhir ini menjadi antara tekanan yang dialami orang ramai dan ada desakan agar gaji anggota kabinet dipotong. Tunjuk perasaan bagi menyuarakan tekanan itu juga diadakan.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Rafidah Aziz, turut mencadangkan gaji menteri dipotong sebagai tanda empati kepada rakyat yang bergelut dengan keadaan semasa ekonomi.

Ambil masa berbulan-bulan

Annuar sebelum ini mencabar pengkritik agar menamakan negara yang berjaya menurunkan kadar inflasi setelah melaksanakan langkah seumpama itu.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia membayangkan, walaupun gaji setiap menteri dipotong, jumlah penjimatan itu tetap tidak memadai untuk mengubah keadaan.

"Tolonglah, jangan main politik," kata Annuar.

Sehari kemudian, Naib Presiden Umno Khaled Nordin tampil menempelak Annuar dengan berkata, walaupun inflasi tidak boleh diturunkan dengan memotong gaji menteri, langkah tersebut sekurang-kurangnya menunjukkan anggota kabinet faham akan kesusahan rakyat.

"Lupakah pengajaran yang kita dapati dari kewajipan berpuasa?" katanya.

Menurut Rafizi perlu ada lebih ramai pemimpin dan orang ramai mendesak agar menteri di negara ini mengambil potongan gaji sebagai langkah menguruskan "keangkuhan" Annuar.

Jika tidak, kata Rafizi, mereka hanya akan mempengerusikan jawatankuasa demi jawatankuasa yang mengambil masa berbulan-bulan untuk membuat keputusan.

Setelah ada keputusan, katanya, masa berbulan-bulan lagi digunakan untuk melaksanakan ketetapan tersebut.

"Kegilaan ini perlu dihentikan. Hanya melalui desakan rakyat yang kena pada poket menteri, barulah mereka sedar terhadap keutamaan (urgency) untuk mengambil tindakan dengan lebih cepat," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Seram Kipas Berputar Sendiri, Penyewa Cabut Lari!

Seram Kipas Berputar Sendiri, Penyewa Cabut Lari!

Walaupun soket sudah dicabut, tetapi sebuah kipas bergerak sendiri. Kipasnya masih lagi berputar seperti dihidupkan suisnya dan berpusing sebelum berhenti tepat menghadap seorang wanita yang merakamkan kejadian aneh itu.

Rumah sewa berhantu

Menerusi satu rakaman video yang tular, orang ramai boleh melihat soket yang tidak dipasang dililit pada kipas tersebut.

Wanita bernama Arina Yasmin Hassan berkata, kejadian tersebut berlaku pada waktu pagi di rumah sewa lamanya di Kajang, Selangor.

Menurutnya, rakaman tersebut dibuat ketika dia sedang sarat hamil lapan bulan anak kedua pada tahun 2021 yang lalu ketika mahu berpindah keluar dari rumah sewa tersebut.

"Saya dan suami serta seorang anak lelaki masa tu baru berusia satu setengah tahun baru je berpindah ke rumah sewa tu di sebuah apartment lama di Kajang.

"Tapi kami hanya bertahan tinggal selama dua bulan je sebelum bertindak keluar dari rumah tu dan tinggal sementara di rumah kakak di Semenyih," katanya

Patung anjing

Pertama kali menjejakkan kaki meninjau di rumah sewa itu sebelum menghuninya sudah membuatkan Arina yang berusia 28 tahun berasa tidak sedap hati.

Siapa yang tidak terkejut apabila sewaktu tinjauan ke rumah kosong di tingkat satu itu, tiba-tiba terlihat sebuah patung anjing besar diletakkan di atas kabinet di salah sebuah bilik.

"Saya tertanya-tanya, kenapa patung anjing tu tidak dikeluarkan sedangkan rumah tu dah kosong dua bulan sebelum kami berpindah masuk.

"Kami tidak bertanya lanjut tentang patung anjing tu demi menghormati tuan rumah, tapi meminta tuan rumah membawanya keluar.

"Sebenarnya sebelum berpindah masuk lagi saya dah tak sedap hati untuk tinggal di rumah itu. Tapi suami kata rumah dekat dengan tempat kerja suami di Putrajaya.

"Kami pun baru nak bina hidup berkeluarga dengan kos rumah sewa yang rendah iaitu sebanyak RM600 sebulan," kata Arina yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Anak nampak 'kakak'

Mengenai rumah sewa dengan tiga bilik tidur itu, pada awalnya tiada kejadian pelik yang berlaku sehinggalah anaknya sering didatangi 'seseorang' menyerupai wanita.

"Tiada siapa di rumah kecuali kami bertiga. Tapi anak selalu cakap ada nampak 'kakak' dan tunjuk tempat di mana 'kakak' tu berada.

"Saya juga terdengar pintu grill rumah diketuk pukul 3 pagi, tapi tiada siapa pun di luar masa suami pergi periksa. Siapa ketuk pintu pukul 3 pagi?" katanya yang merupakan suri rumah.

Selain itu, Arina berkata, sebelum ini dia juga pernah mendengar bunyi daripada kereta permainan anaknya yang terletak di bilik hujung.

"Sehinggalah pada suatu tengah hari, masa tu suami tiada di rumah cuma hanya saya dan anak, saya terdengar pintu bilik belakang tertutup sendiri.

"Saya masuk bilik tu nampak mainan tu bergerak dan berbunyi sendiri. Saya menangis dan menggigil, saya call suami dan minta tolong kakak ambil saya dan anak bawa ke rumah dia.

"Sebelum ini pun kakak pernah cerita datang ke rumah saya suatu malam, dia rasa ada hembusan angin yang kuat ketika buka almari di bilik tetamu di bilik tengah, tapi tiada siapa ketika itu.

"Kami ambil keputusan berpindah keluar kerana saya sarat hamil dan mahu keadaan lebih selesa untuk berpantang," katanya yang kini ibu kepada dua cahaya mata sambil menambah kereta mainan itu ditinggalkan di rumah sewa tersebut ketika berpindah keluar.

Mulanya tak percaya

Sementara itu, suami Arina, Muhammad Safwan Ramli berkata, isterinya sebelum ini sering meluahkan tentang kejadian aneh di rumah sewa itu tetapi dia tidak mempercayainya.

"Pada hari isteri saya dah tak tahan tu sebab takut sangat, saya ambil isteri di rumah kakaknya dan pulang ke rumah di sebelah petang. Saya kemudian pergi tanggalkan bateri daripada mainan tu, saya anggap mungkin ada masalah wiring sebab saya mulanya tak percaya apa yang berlaku," katanya yang merupakan penjawat awam berusia 28 tahun.

Safwan yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, malam yang sama selepas pukul 10 malam, ketika mereka berada di ruang tamu, tiba-tiba terdengar bunyi kereta mainan dari bilik belakang.

"Pintu bilik belakang tertutup. Saya cuba positif mungkin bunyi jiran sebelah rumah atau bunyi bising motor. Tapi saya terkejut apabila nampak bakul kosong yang digunakan untuk menyimpan mainan tiba-tiba bergerak sendiri. Daripada ruang tamu saya boleh lihat.

"Saya baca ayat Kursi dan surah-surah al-Quran. Makin kuat saya baca, bakul tu bergerak ke kiri dan ke kanan. Bunyi kereta mainan pun makin kuat. Malam itu juga kami berpindah keluar dan tinggal di rumah kakak ipar.

"Masa tu barulah saya percaya apa yang diluahkan isteri. Kami berpindah ke Semenyih dan Alhamdulillah, sejak itu sampai sekarang tiada lagi gangguan atau kejadian aneh. Bila diimbas kembali, saya meremang menyaksikan kejadian tu sendiri dan sekarang bercerita pun meremang," katanya.

Semoga memberi manfaat.


BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Wednesday, July 27, 2022

SBDJ Siri 181: Rahsia Hujung Kampung

SBDJ Siri 181: Rahsia Hujung Kampung

Bila situasi tegang dapat diamankan, secara diplomasi Andi Kamarool menceritakan secara terperinci tentang apa yang saya alami malam tadi. Dan Andi Kamarool juga menceritakan bagaimana dirinya terbabit dalam kejadian itu.

Toyol jadi-jadian


"Memang sudah ditetapkan, Tamar seorang saja berdepan dengan pengawal rumah. Tetapi, semasa dia mahu menghubungi penunggu rumah secara ghaib, tiba-tiba saja dia seperti kena rasuk dan terus balik ke rumah. Dia kejutkan aku suruh sembahyang subuh, katanya hari sudah siang. Pada hal masa itu baru pukul dua pagi," Andi Kamarool mengulangi kisah yang saya lalui menjelang subuh.

"Kemudian apa terjadi?" Mia kelihatan tidak sabar.

"Aku tenteramkan perasaannya. Kemudian aku ajak dia kerumah batu lama. Masa aku dan Tamar mahu mengelilingi rumah batu lama, kami bertembung dengan Kak Sun. Dia menunggu kamu di pintu belakang," sambung Andi Kamarool.

"Tunggu aku? Kenapa dia tunggu aku?"

"Iya, tunggu kamu selesai hiaskan diri."

"Hias diri? Mahu kemana?" Mia seperti merungut.

"Nak pergi ke kubur di bawah pokok buluh. Kejadian selanjutnya seperti apa yang Tamar sebutkan tadi. Tak payahlah aku ulangi lagi, nanti kau marah pula Mia," Andi Kamarool berhenti bercakap. Dia menelan air liur.

"Ohhhhh..."

Mia seperti terkejut dan tidak mahu meneruskan kata-kata. Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Nyanyian beburung pagi, di luar rumah, tidak menarik perhatian kami berdua, Mia menundukkan muka, merenung lantai.

Hampir lima minit berlalu, tiada sepatah perkataan yang terungkap dari mulut kami bertiga (Mia,saya dan Andi Kamarool). Suasana dalam ruang terasa amat sepi sekali.

Kalau ada jarum yang jatuh dapat didengar. Mia masih merenung lantai. Entah apa yang bermain dalam tempurung kepalanya. Entah apa tindakan selanjut yang bakal dilakukan Mia?

Apakah kemarahannya akan meletup dengan tiba-tiba. Mungkinkah dia akan menafikan apa yang dialaminya? Semua berkecamuk dalam kepala saya.

"Andi, Tamar..."

Serentak saya dan Andi Kamarool mengarahkan biji mata kewajah Mia. Perasaan saya tersentuh melihat air jernih bertakung di kelopak matanya dan mengalir membasahi cerun-cerun pipi. Kedua belah sayap bahu bergegar menahan sedu.

"Kenapa nangis, Mia?" tanya saya.

"Aku tak buat perkara yang kamu sebutkan tadi, Tamar."

"Tapi, aku tengok dengan mata kepala aku sendiri. Kamu melakukan nya Mia."

"Susah nak aku jelaskan, Tamar."

Saya segera merenung muka Andi Kamarool. Dengan memberi isyarat mata, saya minta Andi Kamarool membantu.

"Lupakan semua yang berlaku Mia," Andi Kamarool cubamenenangkan keadaan. Dengan jarijemari kanan, Mia mengesat air mata yang mengalir lembut di pipi.

"Inilah masaalah yang aku hadapi. Beberapa orang pekerja pernah melihat aku berjalan malam, sedangkan aku tidak melakukannya. Ada macam-macam cerita yang menakutkan tentang aku. Padahal aku tak buat perkara macam itu," Mia menangis tersedu.

Bagi mengatasi situasi tersebut, Andi Kamarool memperlihatkan kematangan dan kesabarannya. Dia berjaya menjalankan peranannya dengan baik sekali, penuh sopan dan kelembutan. Tangisan Mia berjaya dileraikan.

"Kak Sun tak pernah cerita apa-apa kepada kamu?" Tanya Andi Kamarool sesudah Mia berjaya mengawal perasaannya.

"Tak pernah," Mia gelengkan kepala.

"Sedikit pun dia tak pernah cerita?" saya mencelah.

"Dia cuma kata..." Mia tidak meneruskan kata-kata.

Saya dan Andi Kamarool tidak mendesak. Kami ambil jalan mudah, kalau Mia meneruskan cerita kami bersyukur. Kalau dia tidak mahu, kami tidak akan memusuhinya.

"Dia cuma beritahu, pada malam tertentu dia akan membawa aku ke satu tempat," kami agak terkejut bila Mia bersedia menyambung cerita yang terputus.

"Perkara begini memang sudah lama dilakukannya," sambung Mia dengan nada suara yang terputus-putus.

Bila didesak, dia cuma kata, "Begini, lupakan saja perkara itu. Aku memang mengharapkan kedatangan kamu berdua supaya dapat mengatasi masalah yang aku hadapi," Mia buka rahsia diri.

"Haji Basilam tahu hal ini?" Andi Kamarool cungkil rahsia.

"Tak tahu, cuma Kak Sun seorang saja yang tahu."

Saya dan Andi kamarool termenung panjang mendengar cerita Mia itu. Semuanya serba menyulitkan.

BERNAUNG

Kami tidak boleh lagi bernaung di rumah papan. Kami harus berangkat. Semua yang kami buru semakin jauh. Semua usha yang dilakukan sering berdepan dengan kegagalan.

Tetapi, bila kami fakir tentang nasib Mia, rasanya tidak sampai hati untuk membiarkan dia sendirian menghadapi masaalah yang sungguh kusut itu.

"Begini saja Mia, jangan susah hati," Andi Kamarool cuba memujuk.

"Bila kami sampai di Sungai Penuh nanti, semua yang terjadi kami sampaikan kepada Haji Basilam dan datuk Tamar. Barangkali mereka boleh menolong."

"Tapi..." Mia menelan air liur.

"Aku tahu, kamu merasa serba salah kerana masalah tu tak pernah kamu ceritakan pada Haji Basilam ayah angkat kamu," Tambah Andi Kamarool.

Diluar sinar mentari kian keras, suara nyanyian beburung kian kurang. Tetapi, jeritan ungka di kaki bukit masih kedengaran sekali-sekala.

"Jadi, kamu berdua nak berangkat petang ni juga?" Biji mata Mia silih berganti menatap wajah saya dan Andi Kamarool. Dia bagaikan mohon simpati dan pertimbangan yang sewajarnya.

"Iya," jawab serentak kami berdua.

Mia segera menundukan kepalanya, merenung lantai. Angin pagi yang bertiup agak perlahan, menyentuh kulit pipi saya.

"Begini saja Andi, Tamar," Mia menganggukkan kepala.

Sepasang anak matanya yang lembut memanah wajah saya dan Andi Kamarool. Tentu, ada sesuatu mahu diperkatakannya, fikir saya.

"Apa dia Mia, cakaplah," kata saya sambil menggosok-gosok bibir yang tidak gatal. Andi Kamarool merenung kosong ke luar melalui jendela yang terdedah. Awan gemawan yang lembut, kelihatan bergerak perlahan-lahan.

Mia senyum pendek. Wajah saya direnung, mungkin nada suara lembut yang saya ungkap sebentar tadi, memberi petanda optimis kepadanya.

"Begini saja Tamar, kau dan Andi tidur semalam lagi disini. Pagi esok lepas sembahyang subuh kau orang bertolak, secara kebetulan pula subuh esok si Mandur nak bawa pala, cengkih dan hasil kebun yang lain ke Sungai Penuh. Kamu berdua boleh tumpang dia, naik lori."

"Apa fasal kamu beria-ia sungguh menahan kami supaya bermalam bermalam semalam disini?" tanya saya.

"Kamu nak suruh kami cari pengawal rumah batu lama tu, Mia."

Mia menarik nafas dalam-dalam. Ekornya menjeling tajam ke arah suasana di luar menerusi jendela yang terbuka luas.

"Aku tidak berniat macam tu. Bila kamu bertolak pagi esok, malam ini boleh aku sediakan nasi lemak atau pulut untuk bekal kamu berdua."

BIBIR

"Niat kamu baik Mia. Tapi, sulit untuk kami," balas saya.

Andi Kamarool anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang saya luahkan. Tidak ada tindak balas dari Mia. Suasana dalam rumah papan lama terasa bungkam sekali.

Beberapa saat berlalu begitu saja. Tiada suara tiada bicara. Tiga insan dengan tiga persoalan yang berlainan. Mia segera saya jeling. Apakah tindakan selanjut yang bakal dilakukan.

Perlahan-lahan dia membasahkan kedua belah kelopak bibirnya dengan lidah. Dia bagaikan kecewa dengan ungkapan yang saya luahkan.

Andi Kamarool mengosok-gosok lantai papan dengan telapak tangan kirinya. Saya tak tahu kenapa Andi berbuat demikian. Tetapi, apa yang pasti, dia sedang memikirkan sesuatu.

"Apa yang sulit tu Tamar?" satu kejutan dari Mia. Dia minta sebuah kepastian.

"Aku fikir perkara itu tak sulit dan menimbulkan masalah. Cuma semalam sahaja, demi kebaikan kamu berdua," sambungnya tanpa memberi peluang untuk saya menindih hujah yang diajukan.

Tindakannya yang pantas, membuat saya hilang tumpuan. Saya bagaikan tergamam.

"Kalau itu hajat kau Mia, biarlah kami bermalam lagi disini. Subuh esok kami bertolak ke Sungai Penuh dengan lori pengangkutan barang," lagi sekali saya mengalami kejutan.

Andi Kamarool memberi kata putus tanpa berunding dengan saya. Ini sudah keterlaluan, saya perlihatkan rasa tidak puas hati dengan menumbuk lantai papan. Mia terperanjat.

"Jangan mudah naik darah, Tamar!"

Andi Kamarool jegilkan biji mata. Air mukanya berubah menjadi keruh.

"Humm..." saya mengeluh.

"Aku kira kamu setuju. Demi kebaikan kita berdua dan persahabatan dengan Mia, apa salahnya kita tunaikan permintaannya," bahu kanan saya segera ditepuk oleh Andi Kamarool.

Sinar matanya tidak sekeras tadi. Penuh kelembutan meminta simpati. Tindak-tanduk Andi Kamarool itu membuat saya berada dalam keadaan serba salah.

"Kamu setuju, Tamar!" Andi Kamarool bagaikan memaksa.

Saya terus membisu. Sukar untuk saya membuat keputusan. Kalau saya setuju, secara langsung memperlihatkan ketidak tegasan saya pada Mia. Kalau saya menolak, mungkin hubungan saya dengan Andi Kamarool kurang baik.

"Katakan yang kau setuju Tamar," sungguh mengejutkan bila Andi Kamarool mengungkapkan kembali kata-kata itu dalam keadaaan berbisik.

Demi persahabatan, saya anggukan kepala. Keriangan terpancar diwajah Andi Kamarool.

Tetapi, jauh disudut hati saya, berbunga perasaan kurang senang terhadap rakan karib yang pandai membuat keputusan sendiri, tanpa mahu berunding.

"Terima kasih Tamar," Mia renung saya.

"Berikan terima kasih tu pada Andi."

"Kamu marah lagi, Tamar," sahut Andi Kamarool.

"Tidak," kata saya tenang.

"Malam ni, kami mahu tidur saja, kami mahu rehat, tak mahu cari dan tak mahu fikir tentang penjaga rumah batu kamu," sambil menggeliat Andi Kamarool mengeluarkan ingatan.

Anak matanya terpaku ke wajah Mia.

"Aku tidak mengharap perkara itu."

"Jadi kamu mahu kami berehat," saya mencelah.

"Memang itu yang aku harapkan," tingkah Mia.

Ternyata Mia tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya. Harapannya berhasil menjadi kenyataan.

Namun begitu, sebagai manusia hati kecil saya disulami dengan pelbagai persoalan. Macam-macam saya fikirkan. Mungkin "bekal" yang diucapkan oleh Mia itu mempunyai maksud tertentu. Mungkin budi yang mahu dihulurkan adalah perangkap untuk kami.

"Mia," lagi sekali anak matanya saya tenung.

"Kenapa Tamar?"

"Kamu ikhlas mengajak kami."

"Iya," angguk Mia.

Saya tidak meneruskan pertanyaan. Dalam senyum, anak matanya yang jernih berada dalam anak mata saya. Saya merasakan ada keikhlasan dan kejujuran dalam kolam mata Mia.

"Kamu berdua sangsi dengan aku?"

"Kenapa kamu cakap macam itu Mia," sampuk Andi Kamarool gugup.

"Renungan Tamar, lain macam aje," balas Mia.

Kali ini renungan ditumpukan ke wajah Andi Kamarool yang sejak tadi cuma pasangkan telinga saja. Kenapa dia tak mahu pandang aku? Timbul pertanyaan dalam hati.

"Aku juga merasakan macam tu, gerak geri Tamar penuh dengan tandatanya," Andi Kamarool setuju dengan komen yang diluahkan oleh Mia. Keadaan saya benar-benar tersepit kini.

"Aku tak pernah sangsi, aku tak pernah bimbang dengan kamu Mia," saya bersuara perlahan sambil mengelengkan kepala.

Andi Kamarool tersenyum. Mia membetulkan anak rambutnya yang terjuntai di dahi.

"Pengakuan ikhlas dari Tamar. Kamu bagaimana Andi?" saya lihat sepasang anak mata Mia bercahaya ke arah Andi Kamarool.

"Aku juga macam Tamar, tak perna sangsi terhadap kamu."

Kami bertiga segera bertukar senyuman dan pandangan.

"Semuanya sudah terjawap, semuanya sudah selesai. Kalau begitu biar aku balik dulu," Mia terus bangun.

Tetapi, beberapa minit kemudian dia duduk bersila kembali. Tindak tanduk yang dilakukan oleh Mia menimbulkan tanda tanya dalam hati kami berdua.

"Kenapa Mia?" saya menyoal.

"Biar aku bersihkan cawan dan piring dulu."

"Tak payah, kami boleh basuh," Andi Kamarool melarang.

"Tak apalah," balas Mia selamba.

KUMPUL

Mia pun mengumpulkan, cawan dan piring, ditaruh atas talam. Dengan langkah yang teratur, dia menatang talam menuju ke ruang dapur.

Mungking kerana tidak ada apa-apa yang mahu diperkatakan Andi Kamarool segera bangun dan melangkah ke arah tingkap. Dia berdiri di situ melihat pepucuk kelapa yang melintuk liouk ditolak angin.

Saya segera meluruskan sepasang kaki sambil menyandarkan belakang pada dinding rumah.

"Dia ringan tulang, Andi."

"Siapa Tamar?" Andi Kamarool menoleh kearah saya.

"Mia."

"Hummmm. Aku juga berpendapat begitu Tamar."

Saya membengkok sepasang kaki, terus duduk bersila. Tetapi belakang masih melekap pada dinding. Bunya cawan dan piring berkaga jelas kedengaran di ruang dapur.

"Tapi, aku kurang senang dengan kamu, Andi."

Bagaikan kilat Andi Kamarool menerpa kearah saya dan terus duduk. Kami bertentangan wajah.

"Apa yang kau kurang senang dengan aku, Tamar."

"Perangai kamu."

"Kenapa dengan perangai aku, Tamar?"

"Kamu terlalu berlembut bila berdepan dengan Mia. Kamu selalu mengalah, suka mendengar cakapnya."

"Maksud kamu, Tamar?" Air muka Andi Kamarool nampak resah.

Sekejap dia gigit bibir, sekejap melagakan gigi atas dengan bawah. Sekejap renun ke tingkap, sekejap renungan ke dapur. Apa yang dibuat, semuanya tidak kena. Andi Kamarool benar-benar keresahan.

"Maksudnya," kata saya dengan tenang.

"Kerana Mia, kau paksa aku secara tak langsung supaya menunaikan permintaannya. Cara kamu menyakitkan hati."

Saya ledakan apa yang bergolak dalam batin selama ini. Andi Kamarool menggosok pangkal hidungnya dua tiga kali. Keresahan diwajahnya beransur kuran.

Dia tidak terkejut dengan apa yang saya luahkan. Senyum mula berlari dikelopak bibirnya. Saya tunduk merenung lantai.

Sinar matahari yang kian keras terus menerpa ke setiap sudut rumah. Keadaan luar bertambah panas, bahangnya tersa sehingga ke dalam rumah. Kicau burung langsung tiada kedengaran.

Tetapi, sekali terdengar suara "burung merbah tanah" memanggil anak mencari cacing pengisi perut. Hati saya berdebar menanti reaksi dari Andi Kamarool berhubung dengan kata-kata yang saya hamburkan sebentar tadi.

"Aku ada muslihat," tuturnya memecahkan kesepian.

"Muslihat apa? Muslihat mengenakan kawan, menguntungkan orang lain," sanggah saya. Nada suara agak keras sedikit.

"Tak semua muslihat dan rahsia mesti diceritakan atau dibawa berunding dengan kawan. Kalau kita fikirkan, muslihat itu menguntungkan kita boleh buat keputusan sendiri," kata Andi Kamarool sambil melunjurkan sepasang kakinya.

Kemudia dia menginsut ke pintu, merenung halaman rumah yang dimamah matahari.

"Apa muslihatnya?" sergah saya.

Andi Kamarool berpatah balik ke sisi saya.

"Bukankah kita merancang nak jumpa Haji Simpul, Tamar. Inilah peluang," gembira sekali nada suara Andi Kamarool.

Bahu kanan saya ditepukmya berkali-kali. Kelopak bibirnya mengukir senyum. Untuk kesekian kalinya wajah Andi Kamarool saya tatap.

"Bukan kerana permintaan Mia?" ulang saya.

"Tidak," Andi kamarool gelengkan kepala.

"Memang pada mulanya aku mahu menolak. Tetapi. Bila aku fikirkan dalam-dalam, tidak rugi memenuhi permintaannya. Ini peluang terbaik untuk kita berjumpa Haji Simpul," sambung Andi Kamarool lagi.

"Aku tak menduga sampai di situ," kata saya tenang.

MATI

Dialog selanjutnya terpasa dimatikan. Anak telinga kami menangkap bunyi telapak kaki Mia dari ruang dapur menuju ke ruang tengah.

Kami segera bangun. Masing-masing cari haluan sendiri. Saya berdiri dimuka pintu, pura-pura merenung rerumput di halaman.

Andi kamarool memilih jendela, pura pura melihat awan gemawan dan beburung yang terbang. Kami pura-pura buat tidak tahu yang Mia sudah berada di ruang tengah.

"Hai, dua-dua mengelamun. Satu jadi jaga pintu dan satu lagi teropong kapal terbang lalu," usik Mia.

Kami pura-pura terkejut besar dan segera berpaling ke arahnya. Serentak, kami mendekati Mia, hingga kedudukannya berada di tengah-tengah (dia antara saya dan Andi Kamarool).

"Terima kasih kerana tolong basuhkan cawan dan piring," Andi Kamarool mula bersuara sambil tersengih.

"Sepatutnya aku yang mengucapkan terima kasih kerana kamu berdua sudi menunaikan permintaan aku. Tengah hari ini makan di rumah aku."

"Tapi..." kami bersuara serentak.

Saya terpaksa mengalah untuk memberi laluan pada Andi Kamarool. Biar dia uruskan, barangkali dia dapat memberikan alasan yang bernas dan lojik.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 181/284

BACA: SBDJ Siri 180: Dirasuk Kucing Jantan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Beza Warna Pada Minyak Petrol Tiada Kaitan dengan Prestasi!

Beza Warna Pada Minyak Petrol Tiada Kaitan dengan Prestasi!

Beberapa tahun lalu, pernah viral sebuah video yang memaparkan perbandingan warna petrol RON97 dari dua buah stesen petrol berlainan jenama dan mendakwa kedua-duanya berbeza kualiti seterusnya memberi kesan kepada kadar penggunaan bahan api.

Beza Warna Minyak Petrol

Isu ini menyebabkan jurucakap dari sebuah syarikat minyak utama tampil mengatakan bahawa, pewarna yang digunakan pada petrol tidak menjejaskan kualiti produk mereka.

Menurutnya, warna semulajadi pada petrol dan diesel adalah kuning cerah, seperti yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.

Pewarna pada bahan api perlu ditambah untuk tujuan pengenalan kepada beberapa gred dan jenis bahan api.

Kualiti minyak petrol tidak boleh dilihat dengan sekadar melihat warnanya seperti. Warna tersebut adalah kerana tambahan dyes (pewarna) dalam minyak-minyak tersebut dan ia biasanya berbeza-beza mengikut syarikat, sebab itu warnanya berbeza.

Dyes ditambah untuk membezakan antara produk untuk tujuan2 tertentu.

Di Malaysia, RON97 diwartakan perlu diwarnakan dengan warna merah, manakala untuk RON95 ia perlu diwarnakan dengan warna kuning.

Pewarna yang digunakan dalam petrol juga tidak memberikan kesan kepada kualiti bahan api serta prestasi enjin.

Pandangan ini adalah senada dengan pakar dalam industri, yang mengatakan perbezaan warna antara petrol RON97 adalah kerana perbezaan jumlah pewarna yang digunakan, yang berkadar antara lima bahagian setiap juta (ppm) dan 18 ppm.

Kaedah suntikan pewarna, yang dilakukan secara automatik atau secara campuran pukal, juga menyebabkan perbezaan kepada ton warna. Perbezaan warna mungkin juga kerana bahan api berkenaan dibekalkan dari terminal berbeza.

Sementara itu, Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) Datuk Zulkifli Mokti, menyarankan bahawa jika seseorang itu merasakan kelainan pada prestasi bahan api, mereka perlu menghantar contoh bahan api berkenaan ke makmal kimia untuk diperiksa.

"Ambil contoh petrol berkenaan dan hantarnya untuk pemeriksaan kimia serta buat laporan kepada SIRIM dan mereka akan memeriksanya.

"Apabila berkaitan dengan warna, bercakap berkenaan prestasi, ia agak susah untuk diperkatakan. Jika ada perbezaan kecil, anda tidak akan mengetahui atau merasakannya kecuali anda menggunakan tolok.

"Agak sukar untuk mengatakan sama ada ia bagus atau tidak, sama ada ia bercampur, tirus atau tidak. Anda perlu menghantarnya ke makmal untuk diperiksa sama ada ia mempunyai masalah atau tidak."

Kesimpulannya, pewarna tidak mempunyai sebarang kesan kepada kualiti bahan api.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Tuesday, July 26, 2022

Tali Pinggang WBC Muhammad Ali Terjual USD$6 Juta!

Tali Pinggang WBC Muhammad Ali Terjual USD$6 Juta!

Pemilik pasukan bola sepak Colts di Indianapolis, Jim Irsay, membeli seutas tali pinggang kejuaraan milik legenda sukan tinju, Muhammad Ali pada harga berjumlah AS$6 juta (RM26.7 juta) menerusi satu acara lelongan, lapor stesen penyiaran ESPN.

WBC Muhammad Ali 1974

Ia merupakan tali pinggang kejuaraan WBC yang dimenangi Muhammad Ali pada tahun 1974 dalam kejohanan Rumble in the Jungle selepas menewaskan lawannya, George Foreman di Zaire.

Irsay berjaya memenangi bidaan tersebut dalam satu proses yang berlangsung sehingga hampir pukul 4 pagi (waktu tempatan) kelmarin.

Ia dianggap sebagai salah satu contoh memorabilia tinju paling berharga yang pernah wujud.

Menurut firma lelongan Heritage Auctions, tali pinggang tersebut adalah satu daripada hanya dua tali pinggang WBC yang dimiliki Muhammad Ali.

Satu lagi kini disimpan dalam koleksi muzium persendirian dan berkemungkinan tidak akan dijual.

Ia juga merupakan koleksi terbaharu bagi memorabilia Muhammad Ali yang dimiliki Irsay. Beliau sebelum ini telah membeli sepasang kasut yang pernah dipakai legenda tinju itu pada tahun 1957 ketika kejuaraan Thrilla in Manila.

Rumble in the Jungle, Pertarungan Paling Hebat Dunia Tinju!

Populariti Muhammad Ali mencanak apabila pada bulan Oktober 1974, dia menewaskan George Foreman di Zaire dalam pertembungan yang digelar "Guruh di dalam Hutan".

Seperti pertemuan pertamanya dengan Liston, Ali hanya diberikan sedikit harapan apabila bertemu dengan Foreman.

Malah, beberapa pengulas secara ekstrem meramalkan bahawa Ali mungkin terbunuh.

Dengan orang ramai yang penuh kegilaan di belakangnya, Ali menghabiskan sebahagian daripada lapan pusingan pertama tersandar pada tali, mengelak tumbukan musuh yang lebih muda dan lebih besar fizikalnya.

Beliau memanggil taktik tersebut ketagihan tali dan pada akhir pusingan kelapan, Ali membuat lima tumbukan berturut-turut ke kepala Foreman, menyebabkannya hilang keseimbangan dan jatuh.

Ali memenangi pertemuan tersebut yang ditonton secara langsung oleh lebih 100 buah negara.

Pada usia 32 tahun, Ali menjadi peninju kedua dalam sejarah dunia yang berjaya merampas kembali kejuaraan heavyweight dunia.

Semoga memberi manfaat.



BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, July 15, 2022

Petua Elak Gout Dengan Cara Memasak Yang Betul

Petua Elak Gout Dengan Cara Memasak Yang Betul

Bagi anda yang ada masalah gout sudah tentunya khuatir untuk makan atau memasak daging tersebut kerana makanan berasaskan daging boleh menyebabkan kesihatan terganggu, namun sebenarnya ada teknik tertentu bagi memasak daging agar terhindar dari kesulitan ini.

Basuh daging jika ada Gout

Gout menyebabkan keradangan, pembengkakan dan kesakitan yang datang secara tiba-tiba pada sendi, terutamanya sendi-sendi yang besar lalu membataskan pergerakan pesakit.

Bagi pesakit gout, kandungan purine yang tinggi dalam makanan boleh menyebabkan gout dan bahan ini wujud dalam makanan manakala kuantitinya bergantung kepada teknik memasak.

Berikut merupakan perkongsian Dr suri Roowi yang anda boleh ikut dan amalkan.

1. Teknik memotong daging

Daging yang dipotong kecil-kecil atau daging hancur (minced meat) lebih rendah kandungan purine berbanding daging yang dipotong besar-besar.

2. Membilas

Teknik membilas diikuti dengan memasak makanan akan mengurangkan jumlah purine.

Kajian menunjukkan, membilas daging lembu menggunakan air dan daging pada nisbah 5:1 selama 5 minit diikuti dengan cara membiarkan air mengalir akan menurunkan kandungan purine sebanyak 25%.

Kajian lain juga menunjukkan jumlah kandungan purine daging lembu menurun dengan ketara dari 8.6 kepada 5.2 mg/g protein selepas dibilas.

Selepas membilas dan memasak, penurunan yang lebih besar dilihat antara 4.6 mg/g protein.

Sampel ayam belanda tanah tidak menunjukkan perubahan ketara selepas dibilas, tetapi penurunan ketara dilihat selepas dibilas dan dimasak.

Secara keseluruhannya, kajian ini menunjukkan bahawa membilas makanan di dalam air berkesan mengurangkan jumlah kandungan purine dan memasak seterusnya selepas membilas menghasilkan pengurangan jumlah kandungan purine yang lebih besar.

3. Teknik memasak

Merebus makanan lebih baik berbanding kukus atau menggunakan mikrowave oven.

Kajian menunjukkan bahan purine dalam ikan tilapia menurun daripada 46% kepada 25% setelah direbus dan dikukus selama lebih 30 min.

Sebaliknya, hanya 17% purine hilang jika dimasak dengan microwave selama 7 minit. Bahan purine dalam ikan yang digoreng pula didapati lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, mendidih ikan yang sama akan mengurangkan tahap purine.

4. Masa memasak

Masa memasak juga mempengaruhi kandungan bahan purine. Kajian memunjukkan memasak sup cendawan pada masa yang lama akan menghasilkan bahan purine lebih banyak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, July 14, 2022

Permohonan RM500 Bantuan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakt (JKM)

Permohonan RM500 Bantuan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakt (JKM)

Bantuan untuk warga emas di Malaysia diuruskan oleh JKM yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, diberikan kepada warga emas yang layak untuk meneruskan kelangsungan dan kesejahteraan kehidupan dalam komuniti.

RM500 Bantuan Warga Emas

Di Malaysia, takrifan orang tua atau warga emas yang digunakan ialah mereka yang berumur 60 tahun ke atas berpandukan kepada takrifan yang dibuat di “World Assembly On Ageing 1982” di Vienna.

Syarat Kelayakan

Orang tua atau warga emas yang ingin memohon bantuan tersebut perlu memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti berikut:
  • Pemohon ialah warganegara dan bermastautin di Malaysia.
  • Orang tua atau warga emas berumur 60 tahun dan ke atas.
  • Pendapatan Isi Rumah tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa; dan
  • Warga emas yang bukan tinggal di: Institusi kendalian JKM; atau Pusat jagaan harian/berkediaman yang memberi kemudahan/ perkhidmatan secara percuma; atau
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.

Cara Memohon Bantuan Warga Emas

Untuk memohon bantuan ini, pemohon perlu mendaftar melalui atas talian iaitu:

Dokumen Yang Diperlukan

Dokumen-dokumen yang perlu dibawa ketika berkunjung ke Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah seperti berikut:
  • Salinan kad pengenalan diri pemohon.
  • Salinan kad pengenalan suami/isteri/ibu/bapa/anak yang tinggal bersama.
  • Salinan sijil kelahiran anak-anak/ahli keluarga yang tinggal bersama.
  • Salinan penyata gaji (jika ada).
  • Lain-lain dokumen yang berkaitan.

SOALAN LAZIM

Jika saya sudah berumur 65 tahun, adakah saya layak memohon Bantuan Warga Emas?

Boleh, namun tertakluk kepada syarat-syarat kelayakan lain yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Adakah warga emas yang tinggal di Rumah Jagaan Orang Tua layak untuk memohon bantuan ini?

Tidak. Bantuan ini diberikan hanya untuk warga emas yang tinggal di dalam komuniti dan bukannya di bawah mana-mana pusat jagaan.

Adakah warga emas yang bukan warganegara Malaysia layak memohon bantuan ini?

Tidak. Bantuan ini hanya diperuntukkan kepada warga emas warganegara Malaysia sahaja.

Jika saya sudah memohon secara atas talian namun tidak hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat untuk menyerahkan dokumen, adakah permohonan saya akan diterima?

Tidak. Pemohon mesti menghantar dokumen yang diperlukan di Pejabat Kebajikan Masyarakat yang berhampiran untuk proses verifikasi.

Maklumat & Pertanyaan Lanjut

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, sila hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat di alamat:

Jabatan Kebajikan Masyarakat
Aras 6, 9-18
No 55, Persiaran Perdana,
Presint 4,
62100 Putrajaya
No Tel: 03-8000 8000

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Friday, July 08, 2022

7 Rahsia Besar Yang Mungkin Disembunyikan Di Arkib Rahsia Vatican!

7 Rahsia Besar Yang Mungkin Disembunyikan Di Arkib Rahsia Vatican!

Arkib Rahsia Vatican adalah sebuah tempat simpanan bersekuriti tinggi yang menimpan pelbagai dokumen tertua dan paling bernilai milik gereja yang ditubuhkan pada tahun 1611 oleh Paus Paul V.

Sehingga kini, kebenaran untuk memasukinya amatlah sukar dan hanya pegawai Vatican serta ahli akademik yang layak sahaja, itupun dengan surat cadangan dari orang yang pernah memasukinya.

Membuat pencarian di dalamnya juga adalah dilarang, jadi anda perlu memberi senarai tentang dokumen apa yang anda ingin kaji sahaja.

Memandangkan keadaan yang begitu dirahsiakan, banyak khabar angin diperkatakan mengenai arkib di Vatican ini.

Berikut adalah 7 perkara paling popular yang dikatakan disimpan di dalamnya:

1. Bukti Pope Pius XII membantu Hitler dan Nazi

Pope Pius XII

Pope Pius XII dikenali ramai sebagai "Pope Hitler" kerana peranannya dalam menyokong Nazi. Dia juga dilihat tidak pernah mengkritik keganasan tentera Nazi secara terbuka namun pihak Vatican cuba untuk membuat orang ramai percaya bahawa Pope itu tidak menyokong gerakan Nazi.

Vatican menyatakan bahawa Pius XII telah menyelamatkan lebih 800,000 nyawa orang yahudi dan dipotretkan sebagai seorang yang menyayangi Yahudi.

Ketika perjumpaan Pope dengan pegawai atasan Nazi, Vatican mendakwa ia bukanlah untuk bersekongkol tetapi memberi peringatan.

Namun begitu, terdapat beberapa percanggahan. Pertama ialah pihak Vatican menolak untuk menyiarkan dokumen penting mengenai kegiatan mereka semasa era Holocaust dan yang kedua ialah dakwaan dari sumber yang dipercayai bahawa Pope Pius XII telah membantu Hitler untuk berkuasa.

Salah seorang yang membuat dakwaan ini ialah John Cornwell, seorang ahli akademik disegani yang juga seorang penganut Katolik.

Sebelum ini dia dibenarkan untuk meneliti dokumen bagi tujuan membersihkan nama Pope atas tuduhan itu namun apa yang dijumpainya sangat bercanggah.

Bukan sahaja bukti menunjukkan Pope itu membenci Yahudi dan enggan membantu mereka, malah memperlekehkan pihak Katolik dalam menentang Hitler.

Dia juga menentang orang kulit hitam dan mendakwa mereka adalah perogol dan pendera kanak-kanak. Dia mempunyai banyak persamaan dengan Hitler dan salah satunya ialah ingin kekal berkuasa dan juga seorang pemerintah kuku besi di dalam Vatican.

Paling teruk, Pope berdiam diri setelah mengetahui rancangan Holocaust (pembunuhan jutaan kaum Yahudi).

Pada ketika itu, pihak Nazi sedang mengumpulkan seluruh Yahudi di Rome, sementara pelbagai pihak dari seluruh dunia datang dan menuntut agar Pope bertindak.

Apakah benar Pope Pius XII benar menyokong Third Reich masih diperdebatkan. Apa yang pasti ialah dia Pope merupakan orang paling berpengaruh di Eropah dan jika sesiapa ingin menghentikan Hitler, dialah orangnya.

2. Bukti Jesus (Nabi Isa AS) tidak disalib

Jesus tidak disalib

Cerita mengenai Jesus disalib menjadi kepercayaan asas kepada penganut Katolik, namun menurut Michael Baigent yang merupakan seorang penulis buku tentang Jesus bahawa perkara ini tidak berlaku, setidaknya bukan seperti yang diceritakan di dalam Kitab Injil.

Pada pendapatnya bahawa Jesus tidak mati disalib adalah serupa dengan kepercayaan orang Islam namun pada hujah dan perinciannya tidak sedikitpun sama.

Dia mendakwa bahawa Jesus telah terlepas dari disalib dan membuat perjanjian dengan Pontius Pilate iaitu orang yang mengarahkan Jesus dibunuh. Ia dipalsukan di atas beberapa sebab kepentingan oleh pihak gereja.

Namun begitu, Baigent tidak mempunyai bukti kukuh terhadap dakwaannya.

Walaupun terdapat bukti bahawa Jesus tidak mati disalib oleh paderi Perancis iaitu Berenger Sauniere pada tahun 1891, bukti itu kemudiannya hilang dan Sauniere menjadi kaya raya dengan serta merta.

Ini membuatkan Baigent percaya bahawa pihak Vatican membayarnya untuk menyembunyikan bukti itu.

Terdapat beberapa pembayang di dalam gereja Sauniere di Rennes-le-Château.

Tidak seperti gereja lain yang memaparkan gambar Jesus disalib dan dialihkan oleh anak muridnya, gereja ini memaparkan ianya dilakukan pada waktu malam ketika bulan penuh, menunjukkan hari Passover (perayaan Yahudi) telah bermula.

Kaum Yahudi dilarang mengendalikan mayat pada hari Passover, menunjukkan mereka mengalihkan Jesus yang masih hidup, bukanlah mayatnya.

3. Syaitan

Sebagai seorang penghalau hantu senior, Father Gabriele Amorth tahu bagaimana untuk mengesan hantu. Sebelum kematiannya pada tahun 2016, dia telah melakukan ribuan upacara menghalau hantu dan sering berbicara dengan syaitan.

Dia pernah memberitahu pengarah filem The Exorcist iaitu William Friedkin bahawa syaitan itu adalah satu bentuk roh atau semangat yang kadangkala boleh bertukar menyerupai binatang buas.

Gabriele Amorth yang sering dipanggil untuk membantu mangsa kerasukan mendakwa dia menggunakan kaedah yang diasaskan oleh Pope Paul V pada tahun 1614 iaitu dengan mengarahkan roh jahat untuk meninggalkan badan mangsa dengan jampi serapah.

Pada tahun 2010, Gabriele Amorth telah membuat satu kenyataan yang menggemparkan apabila mendakwa bahawa Satan (Azazil) sedang bersembunyi di Vatican.

Pada pandangannya, pelbagai skandal dan korupsi yang melanda gereja dan Vatican adalah berpunca daripada syaitan itu sendiri.

Pope Paul VI juga pernah membuat dakwaan yang sama pada tahun 1972 dengan mengatakan, "tidak diketahui dari mana datangnya, asap berupa Satan telah memasuki gereja ini."

4. Artifak makhluk asing

Dakwaan bahawa pihak gereja telah mengetahui mengenai makhluk asing telah berlaku selama berabad lamanya. Sebelum kejadian Roswell, mereka dikatakan telah mengumpul bukti dan artifak makhluk asing. Begitu juga dengan dokumen yang dikaitkan dengan teknologi dari angkasa lepas.

Walaupun tidak mempunyai bukti yang kukuh, ahli teori konspirasi berpendapat ia dirahsiakan oleh pihak Vatican dengan alasan dunia masih belum bersedia untuk menerimanya.

Vatican juga dikatakan mempunyai maklumat tentang tempat yang mempunyai rahsia masyarakat purba seperti tinggalan peradaban Aztec dan juga Piramid Besar di Giza.

Ahli teori konspirasi mendakwa selepas sahaja Napoleon dan Hitler mengabiskan masa di Vatican, mereka terus menuju ke Mesir untuk mengkaji sendiri rahsia yang terkandung di dalam Piramid itu.

5. Rahsia ketiga Fátima

Rahsia ketiga Fátima

Pada tahun 1917, 3 anak kepada seorang pengembala dari Fátima, Portugal, dikatakan telah menerima visi mengenai Virgin Mary yang dikenali sebagai "Tiga rahsia Fátima".

Rahsia yang pertama dan kedua menceritakan tentang keberadaan neraka dan kebangkitan Komunis di Rusia.

Melalui kanak-kanak itu lagi, Virgin Mary berkata jika pesanan itu tidak disebarkan, ia akan menyebabkan berlakunya perperangan, feminisma, pembunuhan dan kemusnahan dunia yang akan dilakukan oleh pihak Rusia. Apa yang diramal itu sudahpun terjadi.

Kedua-dua pesanan itu telah diterbitkan kepada umum pada tahun 1941, namun pesanan ketiga pula dirahsiakan. Ia dikatakan tulis di atas sekeping kertas, kemudian disampulkan serta diserahkan kepada Bishop of Leiria dan disimpan di dalam Arkib Rahsia Vatican tanpa dibuka.

Pada tahun 1959, sampul itu diserahkan kepada Pope John XXIII, namun dia memilih untuk tidak membukanya. Ia tersimpan dengan rapi sehinggalah dibaca buat pertama kali pada tahun 1965 oleh Pope Paul VI namun tidak mendedahkan perkara itu kepada umum.

Kemudian Pope John Paul II pula membacanya pada tahun 1981 dan hampir terkorban melalui satu cubaan bunuh terhadapnya. Dia juga memilih untuk merahsiakan isi kandungan surat itu.

Akhirnya pada tahun 2000, Pope John Paul II telah mendedahkan ramalan ke-3 itu. Ia menceritakan tentang pertempuran besar di antara kebaikan dan kejahatan dan maklumat terperinci boleh dibaca di dalam laman web Vatican.

Ramai yang tidak percaya mengenai apa yang didedahkan oleh pihak Vatican itu. Malah Pope Benedict XVI yang dilantik pada 2010 juga bersetuju bahawa rahsia ke-3 itu masih belum didedahkan (pihak Vatican menafikan dakwaan beliau).

6. The Grand Grimoire

Grand Grimoire

The Grand Grimoire merupakan satu risalah di mana ia diketahui benar-benar wujud.

Namun, tidak dipastikan siapa penulis asal atau penulis semula risalah ini pada tahun 1750. Risalah asli ini dikatakan ditemui di dalam kubur King Solomon (Nabi Sulaiman AS).

Risalah ini dikatakan mengandungi upacara menyeru Lucifuge Rofocale iaitu Perdana Menteri Neraka yang mendiami alam ghaib. (walaupun kedengaran lucu namun inilah yang diperkatakan ramai)

Dikatakan bagi mereka yang melakukan upacara pemujaan ini juga perlu menyerahkan jiwa mereka sendiri.

Seorang ahli ajaran sihir yang terkenal pada kurun ke-19 iaitu A.E. Waite berkata hanya mereka yang "gila dan rosak teruk moralnya" sahaja yang mampu melakukan upacara sihir ini sepenuhnya.

Risalah Grimoire dikatakan muncul beberapa kali dalam sejarah namun tiada siapa yang mengaku memilikinya.

Hanya satu sahaja risalah yang hampir sama diterbitkan di dalam bahasa Perancis yang diberi nama "Le Dragon Rouge" dan telah tersebar di kepulauan Caribbean. Ia dikatakan masih digunakan sehingga sekarang.

7. Koleksi porno terbesar dunia

Muzium karya erotik Copenhagen mendakwa Vatican mempunyai koleksi porno terbesar di dunia. Tokoh berprofil tinggi yang lain iaitu William F. Buckley Jr. dan ahli akademik Camille Paglia dari Institut Kinsey juga mempunyai pendapat yang serupa.

Institut Kinsey tidak mempunyai bukti ke atas dakwaan mereka dan permohonan mereka untuk masuk ke dalam arkib juga telah ditolak.

Namun begitu, dari masa ke semasa ramai mendakwa pernah melihat ribuan koleksi erotik yang disimpan di dalam arkib itu.

Akan tetapi, sudah diketahui untuk sekian lama tentang seni erotik di Vatican. Sebagai contoh, pada kurun ke-16, salah seorang pelajar Raphael iaitu Guilio Romano telah diperintahkan untuk melukis sejumlah 16 lukisan erotik secara terperinci di dalam kamar mandi Kardinal Bibbiena.

Gambar lukisan itu telah bocor dan tersebar melalui satu risalah yang dinamakan "I Modi", seakan sebuah majalah lucah. Kemudian pihak Vatican telah memenjarakan Romano dan mengiakan lagi khabar angin tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

 SBDJ Siri 180: Dirasuk Kucing Jantan

SBDJ Siri 180: Dirasuk Kucing Jantan

Bagi menghilangkan rasa cemas, saya menarik nafas dalam-dalam sambil memeluk tubuh penuh erat. Kedinginan membuat kelopak bibir bergetar. Dengan ekor mata saya jeling ke arah Andi Kamarool yang keresahan.

Toyol jadi-jadian

Adakah Andi Kamarool mahu berada di sini sehingga fajar pagi terbit di kaki langit? Suara batin terus bergema. Dan dalam keadaan yang seba tidak kena itu, perlahan-lahan saya dongakkan kepala, merenung langit yang cerah. Awan nampak bersih sekali, bintang bertaburan di manamana. Bulan sabit kian mengecil.

Saya segera berfikir, cara paling baik mengatasi masaalah yang dihadapi ialah dengan menyuarakan apa yang ada di dalam hati.

"Berapa lama kita harus berada disini Andi?" dalam keadaan separuh menggigil saya bertanya.

"Oh..." Andi Kamarool kerutkan kening. Tetapi sepasang anak mata nya masih menyorot ke rumpun bambu kuning.

"Aku tak tahan berdiri di sini lama-lama. Aku sejuk Andi," suara saya tertahan-tahan.

"Iya, aku juga macam kamu Tamar. Jadi apa yang mesti kita buat?"

"Kita balik saja Andi."

"Tapi, macam mana dengan Mia dan Kak Sun?"

"Pedulikan, mari kita balik Andi."

"Jum..."

Sebelum langkah pertama dimulakan untuk pulang kerumah papan, serentak saya dan Andi Kamarool membuang pandangan ke arah perdu buluh kuning yang diterangi cahaya lilin.

Mia begitu khusyuk menghadapi timbunan batu kubur. Kak Sun yang berdiri membelakangi Mia tersenyum sambil mengamit kami agar medekatinya.

"Jangan dekati dia Andi," bisik saya.

Andi Kamarool mengangguk. Tetapi Kak Sun, mengamit.

"Jangan pedulikan dan jangan kata apa-apa. Dia ada pendamping, sebab setiap kali aku kutuk dan maki hamun Kak Sun, macam ada sesuatu yang datang kacau aku. Ada masanya aku ditampar, ditolak, ditendang. Aku tak dapat kesan benda aneh tu," saya pegang tangan kanan Andi Kamarool.

"Aku faham Tamar."

"Mari kita balik, Andi."

"Jum..."

Dan perjalanan ke rumah papan diteruskan. Kami membelah kedinginan dinihari yang mencengkam tulang. Salakan anjing liar, suara burung hantu dan musang jalang terus memukul gegendang telinga kami.

Bayu dinihari yang bertiup lembut mengugurkan air embun yang terkumpul di hujung daun. Bila terkena kulit tubuh menambahkan lagi kedinginan.

Saya jadi marah dan meradang semacam, bila perjalanan dihalang oleh reranting yang bertaburan dipermukaan tanah.

Entah mengapa, hati saya cukup ghairah untuk mencapai secepat mungkin ke rumah papan. Saya benci dengan lolongan anjing liar, suara burung hantu dan musang jalang.

Suara binatang tersebut, saya rasakan seperti mengejek diri kami yang dipermainkan oleh Mia dan Kak Sun.

"Sabar Tamar," Andi Kamarool mengingatkan saya.

"Subhanallah..." kata saya.

Memang ganjil sekali, dalam kedinginan yang mencengkam itu, dahi dan muka saya berpeluh. Pokok di kiri kanan jalan yang tadi bergerak lemah disentuh angin, secara mendadak bergoyang dengan keras, macam ada tenaga yang mengoncangnya.

"Ahh..."

Saya terus melompat, beberapa ekor tikus berbulu kuning sebesar lengan melintas ke depan. Suara jeritannya boleh mengoyangkan gegendang telinga.

"Berhenti Tamar..." Andi Kamarool memaut bahu kanan dan langkah saya berhenti.

Bagi meghilangkan rasa berdebar, saya mengucap panjang sambil merenungke kaki langit. Ada cahaya kemerah-merahan mucul di situ, menandakan tidak lama lagi subuh akan menyapa penghuni maya.

"Beri laluan untuk mereka Tamar, bila mereka selesai bari kita pula jalan," tambah Andi Kamarool.

MULUT

Lebih dari sepuluh minit kami berdiri, memperhatikan kumpulan tikus kuning melintas. Bila berdepan dengan kami, kumpulan tikus itu menganga mult, memperlihatkan sepasang gigi siung yang tajam dan panjang, macam gigi singa laut di kutub utara.

Mata sebelah kanan buta dan maakala mata sebelah kiri berukuran sebesar bola pingpong memancarkan cahaya kebiruan-biruan. Suara jeritan kumpulan tikus cukup gamat menenggelamkan suara lolongan anjing, burung hantu dan musang jalang.

Perarakan tikus kuning itu diakhiri denagn tikus hitam yang besarnya hamper menyamai kucing hitam jantan. Muncungnya macam muncung babi.

"Dah habis, sekarang kita teruskan perjalanan," itu yang dibisikkan oleh Andi kamarool ke telinga. Arahannya, segera saya patuhi.

Langkah yang terbantut diteruskan semula. Kali ini, keadaan sungguh berlainan, tiada lagi kedengaran suara lolongan anjing, burung hantu dan musang jalang.

Suasana terasa amat sepi sekali. Langkah pun kami percpatkan. Cahaya merah di kaki langit, kian garang. Rasa dingin mula mengendur, tidak sehebat tadi.

Ketika kami sampai di kaki tangga rumah papan, terdengar kokok ayam bersahut-sahutan. Kerana masih percaya dan patuh dengan pesan orang tua-tua, sebelum memijak anak tangga bongsu, kedua belah telapak tangan kami basuh dengan air embun di hujung daun.

Dan kesan air embun yang masih ada di telapak tangan, kami sapukan ke muka serta kedua belah telinga. Kami segera naik ke rumah papan. Kerana keletihan, kami terus tertidur.

JELMA

Pagi itu, setelah menunaikan fardhu subuh kami tidur kembali. Kira-kira pukul tujuh setengah baru bangun. Badan terasa sihat dan segar.

Dan seperti pagi-pagi sebelumnya kami tetap menanti sarapan yang akan dibawa oleh kak Sun. Menjelang jam sembilan, sarapan yang diharapkan itu, tidak kunjung tiba.

"Tak payah tunggu Kak Sun Tamar, buat air kopi sendiri. Di dapur ada kopi, gula, ada air dan periuk," Andi Kamarool mengemukakan cadangan dan saya menerima tanpa sebarang bantahan.

Kami terus ke ruang dapur.

"Apa yang kita rasa ni, adalah akibat dari peristiwa malam tadi. Mia mogok masak untuk kita dan Kak Sun pula tak mahu datang ke sini," suara Andi Kamarool separuh lemah dari atas bendul.

Dia tersenyum melihat saya terkial-kial menghidupkan api di dapur.

"Ini baru amaran pertama, ada lagi akibat yang bakal kita terima. Mungkin lebih buruk dari ini Andi," balas saya tenang.

"Sebelum keadaan menjadi lebih buruk, ada baiknya kita tinggalkan tempat ini."

"Bila waktu nya Andi?" saya mendesak.

"Tengah hari atau sebelah petang."

"Aku setuju. Tapi, siapa nak beritahu Mia? Apa alasan yang nak kita beritahu dia. Aku tak mahu menganggap rancangan kita gagal, kerana itu kita cabut. Kita kena beri alasan yang cukup lojik, Andi," saya segera memasukkan kopi dan gula ke dalam kolei dan kemudian saya kacau perlahan-lahan.

Andi Kamarool termenung sejenak, dua tiga kali dia melagakan gigi bawah. Barangkali dia sedang mencari formula terbaru untuk menyelesaikan masaalah yang sedang dihadapi.

"Begini saja Tamar."

"Apa lagi Andi?"

"Kita sama-sama jumpa Mia."

"OK, aku setuju tapi..."

"Tapi apa lagi Tamar."

Adi Kamarool tidak jadi menghirup kopi. Cawan di letakkan kembali atas lantai. Matanya tidak berkedip merenung wajahsaya. Dia bagaikan tidak sabar menanti kata-kata yang bakal saya luahkan. Tentu sekali perasaannya berdebar cemas.

"Kita perlu jumpa Haji Simpul, orang tua yang disebut-sebut, Kak Sun pada kita tu. Dari orang tua itu, kita cuba korek rahsia diri dan keturunan Mia. Apa macam kau setuju tak?"

"Aku setuju Tamar, bila kita nak jumpa Haji Simpul?"

Andi Kamarool menggeleng-gelengkan kepalanya. Tidak setuju dengan rencana yang saya susun. Bagi menghilangkan rasa resah, saya menghirup kopi. Andi Kamarool juga berbuat seperti apa yang saya buat.

"Kenapa kamu tidak setuju Andi?"

"Ada baiknya, kita jumpa Haji Simpul dulu, sebelum kita jumpa Mia. Kemudian kita minta kepastian dari Mia, apakah cerita yang kita dapat dari Haji Simpul itu benar atau tidak."

"Iya, aku setuju dengan pendapat kamu tu, Andi."

Kami terus ketawa. Dan untuk kesekian kalinya, kopi terus kami teguk. Kerana saya sudah menyediakan air kopi, kerja-kerja untuk mengemaskan barang dan pakaian ke dalam beg menjadi tugas Andi Kamarool pula. Dan kini, masa untuk saya berehat pula.

MARAK

Sinar matahari pagi berebut-rebut masuk ke ruang tamu, setelah daun tingkap saya kuak. Terpaku saya di jendela mendengar kicau burung pagi. Aman rasanya mata dan hati melihat pohon yang menghijau.

Sinar matahari terus marak, beberapa orang pekerja Mia memikul cangkul dan pungkis melintas di depan rumah menuju ke ladang. Mereka tidak lokek mendermakan senyum untuk saya. Andi Kamarool terus bergelut dengan tugasnya.

"Aku harap datuk kamu dan Haji Basilam tidak ke mana-mana. Tetap menanti kita di Sungai Penuh," Andi Kamarool bersuara.

"Seingat aku, datuk jarang mungkir janji,” balas saya.

Dan perbualan kami mati di situ saja. Andi Kamarool kembali dengan tugasnya semula.

Sambil menikmati keindahan alam semula jadi, secara diam-diam saya sorot kembali tindakan yang telah kami lakukan. Apakah kami telah memilih jalan yang betul atau jalan yang salah, sehingga kami terperangkap dalam dilemma yang seba sulit ini?

"Andi, Andi buka pintu."

Bagaikan kilat saya menerpa kearah Andi Kamarool yang terhenti dari melipat pakaian. Kami saling berpandangan.

"Itu suara Mia," bisik Andi Kamarool.

"Iya, aku juga fikir begitu."

Kami kembali membisu. Kembali pandangan dengan seribu pertanyaan. Apa yang timbul dalam kepala saya ialah malapetaka. Mungkin kedatangan Mia dengan segumpal kemarahan yang meluap-luap.

"Pergi buka pintu, kalau kedatangan baik, kita sambut dengan baik. Kalau jahat kita sambut cara jahat. Kita harus bersedia menghadapi seribu kemungkinan," begitu bersemangat Andi Kamarool meluahkan kata-kata, mendorong saya melangkah ke pintu dan membukanya.

"Baru bangun tidur."

Mia tercegat di depan, menatang setalam mangkok untuk sarapan pagi. Dia kelihatan menarik sekali dengan rambut yang disisir rapi. Ada sekuntum bungah cempaka di celah rambut sebelah kiri.

Baju kebaya biru dengan kain putih amat cocok sekali dengan dirinya. Dia memang anggun.

"Kenapa tercegat, ambil lah talam ni."

Talam tembaga segera saya sambut.

"Berkemas?"

Saya anggukkan kepala.

"Mahu kemana?"

Pertanyaan itu tidak saya jawap. Walau bagaimanapun Mia tetap melangkah ke ruang tamu,. Andi Kamarool tercegat di situ menanti kedatangan Mia.

Wajah Mia yang ceria segera berubah menjadi keruh, bila melihat teko dan kesan air kopi di kolei yang tersadai di ruang tamu.

Dengan perlahan-lahan ekor matanya melirik tajam ke arah dua beg pakaian yang tersandar di sudut dinding.

Dan sambil meletakkan ke atas lantai, saya lihat bibir Mia bergerak-gerak. Macam ada sesuatu yang diperkatakannya.

"Kami ingat tadi, tak ada air dan kuih muih untuk kami, jadi kami pun buat kopi sendiri. Duduklah Mia, buat apa berdiri macam patung," lembut sekali nada suara Andi Kamarool.

"Terima kasih."

Mia terus duduk bersimpuh penuh sopan di sisi saya. Beberapa saat kemudian Andi Kamarool turut duduk. Kami bertiga (Mia berada di tengah) menghadapi hidangan.

SEMERBAK

Bau kopi asli yang harum semerbak berpadu dengan bau lepat pisang membuat saya hilang malu. Tanpa segan silu, tudung saji dari mengkuang segera saya buka.

"Kamu ini, memang tak sabar. Gelojoh sangat, tuan punya belum pelawa kau dah mulakan," Bisik Andi Kamarool.

"Kopi yang aku buat dengan air kopi yang Mia buat lain rasanya. Air tangan Mia, memang sedap," saya berjenaka.

Di tengah-tengah deraian ketawa Mia dan Andi Kamarool, saya terus mengunyah dan menelan lepat pisang. Air kopi panas yang wangi saya teguk. Tubuh terasa segar dan bertenaga.

"Bernafsu sungguh kamu makan Tamar, jangan lupa orang yang kemudian," kata Andi Kamarool, lalu saya sambut dengan senyum.

"Terlambat hantar, maafkan saya," Mia renung batang hidung Abdi Kamarool.

"Tak mengapa, bantuan dan pertolongan yang diberikan selama ini, rasanya tak dapat kami balas," sambil menjamah lepat pisang Andi Kamarool bersuara.

Kemudian dia menghirup kopi panas. Mia masih senyum dengan sepasang mata masih tertumpu pada dua beg di tepi dinding.

"Berkemas mahu ke mana Tamar, Andi?"

Pertanyaan yang sememangnya suda diduga. Tetapi, untuk memberi jawapannya memang sulit. Kerana tidak memperolehi jawapan segera, membuatkan anak mata Mja berputar kearah saya dan Andi Kamarool.

Hasil dari renungannya itu, membuat kami jadi serba salah. Antara saya dan Andi Kamarool saling bertukar pandangan.

"Mahu meninggalkan rumah ini."

Mia sendiri menemui jawapannya. Serentak kami anggukkan kepala, macam merpati jantan panggil merpati betina.

"Kami berdua nak jumpa datuk Tamar dan Haji Basilam," Andi Kamarool bersuara tunduk. Dia bagaikan tidak sanggup menatap muka Mia.

"Ke Sungai Penuh?" soal Mia.

"Betul Mia," balas saya.

Mia dongakkan muka merenung siling rumah. Kemudian meraba kuntum bunga cempaka di kepala yang kedudukannya sudah agak senget kekanan.

"Terlalu cepat, agaknya kamu dah jumpa penunggu rumah batu."

"Tak jumpa Mia, kami gagal," tutur saya kehampaan.

"Sepatutnya kamu berdua teruskan hingga berjaya, jangan cepat putus asa dan mudah mengalah."

Kata-kata yang terpancut dari kelopak bibir Mia, membuat saya dan Andi Kamarool menggigit bibir. Saya kira debar dada Andi Kamarool tidak sehebat debar di dada saya.

Sebenarnya, secara tidak langsung Mia mencabar kami. Saya dan Andi Kamarool terus membisu. Pertanyaan Mia tidak mendapat tindak balas dari kami.

"Malam tadi macam mana?"

Pertanyaan itu membuat saya tersentak. Mustahil Mia tak tahu apa yang berlaku malam tadi. Lantas saya membuat kesimpulan, Mia tahu tapi sengaja buat tak tahu.

"Kami gagal," sahut saya.

"Tak mahu diteruskan lagi?" soalnya serius.

"Tak mahu, kami dipermain-mainkan," sahut Andi Kamarool.

"Maksud kamu Andi?" sepasang bijik mata terbeliak menghala ke batang hidung Andi Kamarool.

Saya lihat Andi Kamarool resah. Barangkali dia terjerat dengan pertanyaan itu atau tidak mahu mengungkit-ungkit hal yang sudah berlalu kerana perbuatan itu boleh memalukan Mia.

"Cuba terangkan, aku tak faham Andi," Mia terus mendesak.

"Malam tadi, kamu menghias diri. Pergi kekubur lama di bawah pokok buluh kuning, apa kamu sudah lupa Mia? Kamu mahu mempermainkan kami."

Ungkapan yang saya luahkan itu membuat Mia terkejut. Dahinya berkerut dan wajahnya agak pucat. Andi Kamarool tunduk merenung lantai.

"Aku tak faham Tamar, kamu menuduh sebarangan saja," sanggah Mia.

"Malam tadi, kamu membalut tubuh dengan kain hitam, kamu mengelingi kubur berkali-kali. Kak Sun menemani kamu. Aku dan Andi tengok segala-galanya. Usah berdalih Mia, usahlah mempermain-mainkan aku dan Andi," semua yang bergolak dalam hati terus saya luahkan.

Andi kamarool membiarkan, dia seolah-olah tidak mahu membabitkan diri dalam situasi yang agak yang agak tegang ini.

"Aku tak buat perkara tu, Tamar," suara Mia meninggi. Dia mula memperlihatkan riak kemarahan dan terus melompak bagaikan harimau menerkam pelanduk.

Dalam sekelip mata Mia terus berdiri tercegat.

"Kamu jangan menuduh sebarangan Tamar," dia mula menjerit dan menghentak-hentak kakinya ke lantai.

Piring dan cawan yang ada didalam talam tembaga turut bergegar. Mia benar naik angin, gerak gerinya tangkas sekali, bagai seorang lelaki. Sifat gadis yang lembut terus hilang darinya.

"Mia, nanti dulu jangan melenting," Andi Kamarool segera bertindak dengan mendekati Mia.

"Kamu tak boleh menuduh sebarangan pada Mia, kamu harus bertanya dengan cara baik," sambung Andi Kamarool sambil melepaskan pandangan yang tajam terhadap saya.

Entah apa ilmu yang digunakan oleh Andi Kamarool, kemarahan Mia yang meluap segera menjadi sejuk. Dia nampak tenang dan duduk bersimpuh kembali.

"Maafkan Tamar, Mia..." pohon Andi Kamarool.

Mia anggukkan kepala.

Agar situasi menjadi aman, Andi Kamarool mengungkap kembali kisah-kisah lucu yang pernah dialaminya yang disampaikan secara berjenaka, membuat saya dan Mia ketawa terbahak-bahak.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 180/284

BACA: SBDJ Siri 179: Kain Hitam Pembalut Tubuh
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com