Friday, July 29, 2022

Langit atau Bumi, Mana Yang Diciptakan Dahulu?


"Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya); dan apabila Ia berkehendak (untuk menjadikan) suatu, maka Ia hanya berfirman kepadanya: "Jadilah engkau!" Lalu menjadilah ia." (Al-Baqarah: 117)

Penciptaan Langit atau Bumi

Ayat di atas ingin memperlihatkan kekuasaan Allah SWT yang mana menciptakan langit dan bumi tanpa ada ciptaan yang semisal dengannya sebelum ini. Melalui ayat ini juga, Allah SWT ingin memperlihatkan akan kesempurnaan kemampuan-Nya serta keagungan kekuasaan-Nya.

Mana Yang Diciptakan Dahulu?

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak (menciptakan) langit, lalu dijadikan-Nya tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu." (Al-Baqarah: 29)

Berdasarkan firman di atas, makanya penciptaan bumi didahulukan daripada penciptaan langit. Ianya seumpama asas pembinaan yang mana perlu diciptakan tapaknya dahulu sebelum ditinggikan bahagian atap.

Ini sepertimana yang dinukilkan oleh al-Imam Ibn Kathir Rahimahullah di dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah (1/15).

Kejadian Langit & Bumi

Adapun mengenai kejadian langit dan bumi, Al-Quran banyak menyebutkannya, antaranya yang maksudnya: "Yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara keduanya dalam enam masa, kemudian dia bersemayam di atas 'Arsy, (Dialah) Yang Maha Pemurah, maka tanyakanlah (tentang Allah) kepada yang lebih mengetahui (Muhammad) tentang Dia." (Al-Furqan: 59)

Seterusnya yang maksudnya: "Allah lah yang menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas 'Arsy. Tidak ada bagi kamu selain dari pada-Nya seorang penolongpun dan tidak (pula) seorang pemberi syafa'at. Maka apakah kamu tidak memperhatikan?" (Al-Sajdah: 4)

Para ulama telah berbeza pendapat pada menafsirkan فِي سِتَّةِ أَيَّامٖ iaitu penciptaan langit dan bumi pada enam masa dan padanya terdapat dua pendapat yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Kathir di dalam karyanya, al-Bidayah wa al-Nihayah iaitu: Pendapat jumhur mengatakan bahawa enam masa yang dimaksudkan itu adalah hari-hari yang biasa sepertimana hari-hari kita sekarang ini.

Manakala pendapat Ibn ‘Abbas R.Anhuma, Mujahid, al-Dahhak dan Ka’ab al-Ahbar pula mengatakan bahawa setiap harinya itu bersamaan dengan 1000 tahun hari yang biasa.

[Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir. Dar al-Fikr, 1/15]

Apapun pendapat yang terdapat di dalam permasalahan ini, hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui.

Dialah yang Maha menciptakannya dan dituntut dari ciptaan-Nya itu adalah untuk kita berfikir dan merenung alam ini sambil bermuhasabah diri bahawa sesungguhnya kita ini manusia yang tiada apa.

Umur Bumi

Saintis menganggarkan umur bumi berdasarkan batu batan yang terdapat di atas muka bumi. Mereka menganggarkan usia bumi sebagai 4.5 bilion tahun.

Ini berdasarkan kajian radioaktif bahan uranium misalnya yang bertukar menjadi plumbum. Uranium sebagai bahan radioaktif yang terdapat batu batan mereput untuk bertukar menjadi plumbum yang lebih mantap.

Saintis mengetahui separuh hayat uranium lalu melihat kuantiti logam tersebut yang masih tertinggal selepas pereputan berlaku. Lalu usia batu tersebut dianggarkan.

Saintis mengkaji Kristal zircon di Jack Hill Australia mendapati usianya sebagai 4.04 bilion tahun yang dianggap Kristal tertua yang ditemui di atas permukaan bumi, lalu mereka mengishtiharkan bahawa Australia benua tertua di dunia.

Saintis Amerika pula mengishtihatkan Amerika sebagai benua tertua berdasarkan penemuan yang lain pula di Kanada.

Saintis Muslim pula menganggap strata bumi di bawah Kaabah merupakan bumi tertua berdasarkan hadis yang menceritakan, Makkah merupakan bumi pertama muncul sebelum pembentangan daratan berlaku dan berhujah bahawa seluruh benua terjadi serentak daripada tectonic plate (lempeng bumi) yang sama lalu terpisah antara satu dengan yang lainnya sehingga terbentuk 7 benua yang berjiran.

Penemuan zircon di Australia atau Amerika tidak menunjukkan bahan tersebut berasal dari bumi tetapi kemungkinan besarnya berhasil daripada ruang angkasa lepas sebagaimana intan dianggap saintis berasal dari angkasa lepas.

Penutup

Jika kita merenung alam ini dengan sebaiknya, pasti akan terserlah kehebatan yang Maha Hebat Allah SWT dalam mentadbir segala urusan.

Pada penciptaan langit dan bumi itu akan kita perhatikan keteraturan, keharmonian serta keindahannya yang tiada tolok bandingnya.

Renunglah ke langit tatkala malam yang dihiasi dengan rembulan dan bintang-bintang.

Lihatlah hamparan daratan yang terbentang luas dihiasi dengan gunung-ganang serta sungai dan lautan.

Lihatlah juga pada penciptaan manusia itu sendiri.

Jelas menunjukkan kebesaran dan kehebatan Allah SWT.

Namun, segala yang ada ini bukanlah hanya untuk direnungkan sahaja. Ianya juga untuk kita sama-sama berfikir dan bertadabbur bagi lebih menambahkan keimanan kita.

Disebabkan itu, kita dapat perhatikan bahawa Allah SWT telah memuji golongan ulul albab iaitu golongan yang berakal kerana sentiasa mengingati Allah SWT.

Firman Allah SWT yang maksudnya: "Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka." (Aal Imran: 190-191)

Semoga Allah SWT menggolongkan kita di dalam golongan ulul albab yang sentiasa mentadabbur alam ini dengan melihat kehebatan Allah SWT seterusnya menghadirkan rasa keinsafan buat diri kita.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
sumber: (1)

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon