Wednesday, March 18, 2020

Pampasan RM600 Sebulan Pekerja Pendapatan Bawah RM4,000 Ketika Perintah Kawalan Pergerakan

Pampasan RM600 Sebulan Pekerja Pendapatan Bawah RM4,000 Ketika Perintah Kawalan Pergerakan

Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu yang diumumkan kerajaan malam tadi dibuat bagi mengekang penularan wabak Covid-19, namun pada masa sama ia menimbulkan persoalan tentang kesan yang bakal dihadapi oleh tenaga kerja.

Perintah Kawalan Pergerakan

Perintah yang berkuat kuasa mulai 18 Mac ini bakal menyaksikan penutupan semua premis kerajaan dan swasta, kecuali perkhidmatan penting. Bermakna, kebanyakan pejabat diarahkan tutup.

"Apa akan terjadi kepada pendapatan peniaga dan gaji para pekerjanya? Adakah ia akan ditanggung oleh kerajaan?" soal bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.

Sesetengah pekerja di sektor swasta yang dihubungi Malaysiakini memberitahu, syarikat mereka memberi arahan agar mereka bekerja dari rumah. Bagaimanapun, bukan semua kerja mempunyai keanjalan sedemikian.

Penularan Covid-19 sebelum ini memberi kesan terhadap pekerja industri pelancongan dan penerbangan. Ramai yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Kerajaan berkata ia akan membayar RM600 sebulan selama enam bulan buat pekerja berpendapatan bawah RM4,000 yang bercuti tanpa gaji.

Beri kesan besar

Bagaimanapun, pengumuman itu hanya membabitkan peruntukan RM120 juta untuk menampung kira-kira 33,000 pekerja.

Tidaklah jelas bagaimana kerajaan akan mengembangkan pakej itu buat pekerja yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan. Adakah kosnya mampu ditampung kerajaan?

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, Hannah Yeoh, turut menyuarakan kebimbangan bagaimana perintah kawalan pergerakan itu akan memberikan kesan kepada mereka yang meraih pendapatan secara harian.

Selain menutup semua pejabat yang tidak termasuk dalam perkhidmatan penting, perintah kawalan pergerakan itu turut melarang rakyat keluar dari Malaysia.

Ini boleh memberi kesan signifikan buat warganegara Malaysia yang bekerja di Singapura. Lim menganggarkan ia akan melibatkan sehingga kira-kira 300,000 pekerja.

Adun Parit Yaani di Johor, Aminolhuda Hasssan, berkata kerajaan perlu memberi penjelasan terperinci mengenai hal berkenaan.

"Kerajaan sudah berbincangkah dengan pihak berkuasa Singapura?" soalnya ketika dihubungi.

Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad, memberitahu Malaysiakini bahawa perbincangan akan dilakukan bagi mendapatkan penyelesaian terbaik buat rakyat Johor.

Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Chan Chun Sing, berkata perniagaan yang terjejas dengan larangan itu mungkin perlu menjalankan pelan sokongan untuk kesinambungan perniagaan mereka.

Kes direkodkan naik ketara

"Perniagaan yang menggaji pekerja Malaysia yang berulang-alik antara Singapura dan Malaysia setiap hari mungkin perlu menjalankan pelan sokongan untuk kesinambungan perniagaan mereka.

"Jika mereka perlukan bantuan, mereka patut hubungi agensi ekonomi (di Singapura) yang sentiasa bersedia untuk membantu," katanya di Facebook.

Tambahnya lagi, Singapura akan terus berhubung dengan Putrajaya dan keutamaan mereka adalah untuk memastikan rakyat dan perniagaan di Singapura dapat meneruskan kehidupan serta mata pencarian mereka.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijangka menjawab soalan-soalan yang berlegar tentang perintah berkenaan hari ini. Talian khidmat pelanggan juga akan diaktifkan bermula 12 tengah hari ini.

Perintah kawalan pergerakan berkuat kuasa esok, Rabu, 18 Mac, sehinggalah 31 Mac.

Keputusan itu diambil setelah negara menyaksikan peningkatan mendadak kes Covid-19, dengan 533 kes dilaporkan semalam.

Perkhidmatan penting yang akan terus beroperasi sepanjang perintah kawalan pergerakan itu adalah air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Tuesday, March 17, 2020

Kenapa Imun Tubuh Kanak-kanak Lebih Kuat Menentang Covid-19 Berbanding Orang Dewasa?

Kenapa Imun Tubuh Kanak-kanak Lebih Kuat Menentang Covid-19 Berbanding Orang Dewasa?

Kes baharu Covid-19 sudah menjangkiti ratusan ribu individu diseluruh dunia, manakala jumlah kematian hampir mencecah angka ribu, kebanyakannya melibatkan golongan yang mempunyai sistem imun tubuh yang lemah.

Kanak-kanak imun covid-19

Namun, sedarkah anda golongan kanak-kanak hanya merangkumi kurang 1% daripada jumlah keseluruhan mereka yang telah disahkan positif Covid-19? Tiada satu pun kanak-kanak berusia di bawah 9 tahun dilaporkan mati akibat virus ini di China.

Perkara ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dikalangan ahli akademik, bahkan kerisauan terhadap potensi mereka untuk menyebarkannya kepada individu lain tanpa pengetahuan mereka.

Terdapat 2 teori yang menerangkan sebab di sebalik peningkatan jumlah kes dalam kalangan orang dewasa dan bukannya kanak-kanak.

Risiko kematian pesakit Covid-19 meningkat mengikut usia

Menurut kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) di China, dalam kalangan 44,672 pesakit, hanya 416 merupakan kes Covid-19 pada kanak-kanak yang berusia 10 tahun dan ke bawah.

Jumlah tersebut merangkumi 0.9% daripada jumlah keseluruhan pesakit yang disahkan positif.

Memandangkan Covid-19 mempunyai tempoh pengeraman di antara 2 hingga 14 hari, sukar untuk kita tentukan jika kanak-kanak yang terdedah mempunyai jangkitan tersebut atau tidak.

Tambahan pula, terdapat individu yang dijangkiti oleh Covid-19 namun tidak menunjukkan sebarang simptom yang dalam situasi ini, penyebaran virus boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa disedari oleh pembawa virus.

Bagi individu berusia di antara 10 hingga 19 tahun, kes kematian Covid-19 pada kanak-kanak hanya melibatkan seorang daripada 549 kes yang didiagnosis.

Seperti jangkitan lain, kadar kematian bagi mereka yang dijangkiti meningkat mengikut usia individu, dengan mereka yang berusia 40 tahun ke bawah mempunyai kadar kematian kurang daripada 2%.

Apabila kita beralih kepada populasi yang berusia di antara 60 hingga 79 tahun, risiko kematian meningkat secara mendadak kepada 30%.

Konsepnya mudah sahaja. Semakin lemah sistem pertahanan badan seseorang itu, semakin berisikolah mereka untuk mendapat jangkitan serius Covid-19.

Persoalannya, mengapa Covid-19 pada kanak-kanak sukar berlaku walaupun mereka mempunyai sistem imun yang lemah? Mengapa mudah sangat jumlah kes positif dalam kalangan orang dewasa meningkat?

TEORI

Terdapat dua teori yang diusulkan oleh ahli akademik berkenaan dengan sebab kepada peningkatan jumlah orang dewasa yang mendapat jangkitan tersebut.

Teori 1 – Sistem imuniti semula jadi vs sistem imuniti penyesuaian

Sistem imuniti badan, secara mudahnya, boleh dibahagikan kepada 2.

Sistem imuniti semula jadi (innate immunity) menggunakan sel darah putih bagi membanteras kemasukan bakteria atau virus asing ke dalam badan.

Jika dibandingkan dengan sistem imuniti penyesuaian, ia dianggap sebagai satu sistem yang kurang efektif untuk melawan mikroorganisma berbahaya.

Sistem imuniti penyesuaian (adaptive immunity) merupakan sistem pertahanan badan yang dicipta berdasarkan pendedahan terhadap agen berbahaya.

Sebagai contoh, kemasukan virus ke dalam badan buat kali pertama menyebabkan terhasilnya antibodi spesifik kepada virus yang menyebabkan permasalahan tersebut.

Jika badan diserang oleh virus yang sama buat kali kedua, antibodi akan bertindak dengan pantas.

Apabila usia seseorang itu meningkat, sistem imuniti penyesuaian mereka lebih efisien berbanding dengan sistem imuniti semula jadi.

Ini berbeza dengan golongan kanak-kanak yang lebih bergantung kepada sistem imuniti semula jadi untuk membasmi kuman.

Mekanisme bagi kedua-dua sistem ini agak berbeza.

Oleh sebab Covid-19 merupakan virus baharu, penghasilan antibodi baharu akan mengambil masa yang agak lama. Kesannya, orang dewasa dan golongan tua lebih terdedah untuk mendapat jangkitan virus tersebut.

Bagi golongan kanak-kanak pula, hampir kesemua virus dianggap sebagai virus baharu. Sistem imuniti semula jadi akan bertindak ke atas semua jenis jangkitan dengan menghantar sel darah putih sebagai agen pembasmi kuman utama.

Kesannya, kanak-kanak mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat jangkitan.

Teori 2 – Pembawa Covid-19 dalam diam

Oleh sebab kanak-kanak jarang mendapat jangkitan, mereka boleh menjadi perumah kepada virus korona sebelum menular kepada individu lain.

Virus Covid-19 (termasuk dengan subjenis lain) merupakan virus yang lazim menjangkiti kanak-kanak menyebabkan simptom selesema. Lebih parah lagi jika kanak-kanak tersebut tidak menunjukkan sebarang simptom.

Ibu bapa tidak akan membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya tiada tanda yang menunjukkan mereka dijangkiti, menjadikan mereka penyebar virus utama kepada orang dewasa terutamanya golongan berisiko tinggi.

Ini termasuklah orang tua, penghidap penyakit kronik dan mereka yang mengalami masalah sistem imun badan lemah.

Menurut Dr Malik Peiris, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dari Universiti Hong Kong, kanak-kanak masih boleh mempunyai jangkitan tersebut, namun mereka tidak sakit atau mengalami simptom berkaitan dengan jangkitan itu.

Oleh sebab perkara ini masih lagi baru, kajian lanjut perlu dijalankan bagi membuktikan keberkesanan kedua-dua teori yang dikemukakan.

Kanak-kanak mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat jangkitan namun, mereka mampu menyebarkannya kepada individu lain sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.

Terapkan amalan mencuci tangan secara kerap dalam kalangan anak-anak anda dan pastikan mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya disyaki mengalami jangkitan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Lafaz Azan 'Solatlah Kalian Di Rumah' Ketika Zaman Rasulullah SAW

Lafaz Azan 'Solatlah Kalian Di Rumah' Ketika Zaman Rasulullah SAW

Media antarabangsa Middle East Eye melaporkan laungan azan yang berkemundang di negara itu telah diubah kepada perkataan "solatlah kalian di rumah", berbanding seruan asal iaitu "marilah kita solat", selepas arahan menutup sementara masjid di negara itu.

Solatlah kalian di rumah

Kementerian Hal Ehwal Awqaf dan Islam Kuwait membuat pengumuman tersebut pada Jumaat lalu (13/3/2020), selain beberapa video laungan azan yang mengarahkan umat Islam menunaikan solat di rumah turut tersebar di media sosial.

Menerusi sebuah rakaman yang tersebar, kedengaran suara seorang bilal membuat perubahan pada lafaz azan kepada "shollu fi rihaalikum" (solatlah kalian di rumah).

Ia menyentuh hati ramai pengguna media sosial, kerana pada seketika kedengaran seolah suara bilal berkenaan bergetar ketika melaungkan azan.

Difahamkan, perubahan tersebut berkuat-kuasa sehingga notis baharu dikeluarkan.

SUNNAH YANG HILANG

Namun, mengingat lafaz azan tambahan semacam ini jarang didengar masyarakat, sehingga dianggap asing atau bahkan dianggap ajaran sesat.

Sehingga mu'adzin enggan melantunkan lafaz itu ketika azan, kerana takut masyarakat akan menilainya sebagai ajaran sesat.

Tambahan Lafaz Azan Ketika Hujan

Terdapat banyak riwayat yang menunjukkan adanya perbezaan antara lafaz azan biasa dengan lafaz adzan ketika hujan.

Berikut beberapa riwayat yang menunjukkan hal tersebut:

Pertama, dari Nafi' dari Ibnu Umar,

"Ibnu Umar pernah azan untuk solat di malam yang dingin, anginnya kencang dan hujan, kemudian dia mengatakan di akhir azan;

Alaa shollu fi rihaalikum,
Alaa shollu fir rihaal'
[Solatlah di rumah kalian, solatlah di rumah kalian].

Kemudian beliau mengatakan, "Sesungguhnya Rasulullah SAW biasa menyuruh mu'adzin, apabila cuaca malam dingin dan hujan ketika beliau safar, untuk mengucapkan, 'Alaa shollu fi rihaalikum' [Solatlah di tempat kalian masing-masing]." (HR. Muslim no. 1633 dan Abu Daud no. 1062)

Kedua, dari Nafi', beliau menceritakan:

"Ibnu Umar pernah azan ketika solat di waktu malam yang dingin dan berangin. Kemudian beliau mengatakan 'Alaa shollu fir rihaal' [Solatlah di rumah kalian].

Kemudian beliau mengatakan, "Dulu Rasulullah SAW memerintahkan mu'adzin ketika keadaan malam itu dingin dan hujan, untuk mengucapkan 'Alaa shollu fir rihaal' [hendaklah kalian solat di rumah kalian]." (HR. Muslim no. 1632 dan Abu Daud no. 1063)

Ketiga, dari Ibnu Abbas r.a. beliau berpesan mu'adzin pada saat hujan:

"Apabila engkau selesai mengucapkan 'Asyhadu allaa ilaha illallaah, asyhadu anna Muhammadar Rasulullah', maka janganlah engkau ucapkan 'Hayya 'alash sholaah'. Tetapi ucapkanlah 'Sholluu fii buyutikum' [Solatlah di rumah kalian].

Masyarakat pun mengingkari perkataan tersebut, lalu Ibnu Abbas mengatakan, "Apakah kalian merasa hairan dengan hal ini, padahal telah dilakukan oleh orang yang lebih baik dariku (Rasulullah SAW)." (HR. Muslim no. 1637 dan Abu Daud no. 1066)

Dari riwayat di atas, dapat disimpulkan bahawa ada beberapa lafaz azan tambahan ketika hujan sebagai berikut:

('Alaa shollu fir rihaal' ertinya 'Solatlah kalian di rumah')
('Alaa shollu fi rihaalikum' ertinya 'Solat kalian di rumah kalian')
('Sholluu fii buyutikum' ertinya, 'Solatlah di rumah kalian')

Tiga lafaz di atas tidak dibaca semuanya, namun dipilih salah satu.

Letak lafaz tambahan 'Shollu Fii Buyuthikum' atau 'Ala Shallu fir rihaal'

Pertama, menggantikan lafaz 'Hayya 'alas sholaah' ini sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat Ibnu Abbas di atas.

Kedua, diucapkan setelah selesai azan, sebagaimana yang dinyatakan dalam riwayat Ibnu Umar r.a.

Ketika menjelaskan hadis Ibnu Abbas, an-Nawawi mengatakan, "Dalam hadis Ibnu Abbas r.a., mu'adzin mengucapkan 'Alaa shollu fii rihalikum' di tengah azan.

Sedangkan dalam hadis Ibnu Umar, beliau mengucapkan lafaz ini di akhir azannya.

Kedua-dua cara seperti ini dibolehkan, sebagaimana ditegaskan Imam Syafi'i dalam kitab al-Umm pada Bab Azan, dan diikuti oleh majoriti ulama mazhab kami (syafi'iyah). (Syarh Shahih Muslim oleh an-Nawawi, 5:207)

Lebih lanjut, an-Nawawi menganjurkan agar dilakukan setelah azan, beliau mengatakan:

"Lafaz ini boleh diucapkan setelah azan mahupun di tengah-tengah azan, kerana terdapat dalil untuk kedua bentuk azan ini.

"Akan tetapi, sesudah azan lebih baik, agar lafaz azan yang biasa diucapkan, tetap ada." (Syarh Shahih Muslim oleh an-Nawawi, 5:207)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Huawei Mate XS 5G Boleh Lipat Berharga RM11,111

Huawei Mate XS 5G Boleh Lipat Berharga RM11,111

Mula diumumkan sejak tahun 2019 lalu mengenai projek telefon boleh lipat dari Huawei, penantian untuk memiliki Huawei Mate XS, bakal tamat setelah Huawei Malaysia mengumumkan model Mate Xs bakal ditawarkan seawal 20 Mac 2019 ini dengan harga RM11,111.

Huawei Mate XS 5G

Sesuai dengan harganya yang premium, Huawei pada model ini berjaya menawarkan spesifikasi terbaik, antara yang tercanggih di pasaran ketika ini.

Dilengkapi dengan skrin boleh lipat 8-inci serta boleh dilipat kepada telefon 6.6-inci, Huawei Mate Xs dikuasakan oleh prosesor Kirin 990 5G dan bateri berkapasiti 4,500mAh.

Buat pasaran Malaysia, model ini hadir dengan RAM 8GB dan ruang storan 512GB.

Tidak hanya memfokuskan pada bahagian spesifikasi, kamera Huawei Mate Xs dilengkapi dengan kamera 40-megapixel, 16-megapixel dan 8-megapixel.

Huawei Mate XS 5G Boleh Lipat

Bagi anda yang berminat serta mahu muncul yang terawal untuk memiliki telefon pintar boleh lipat pertama dengan rangkaian 5G ini, anda boleh mula membuat pra-tempahan pada harga RM11,111.

Model Huawei Mate XS ini bakal ditawarkan secara rasmi di Malaysia pada 20 Mac dimana pembeli juga bakal menerima Huawei Freebuds 3.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

5 Perkara Penting Perintah Kawalan Pergerakan Dan Senarai Jabatan Kerajaan Yang 'Bercuti'

5 Perkara Penting Perintah Kawalan Pergerakan Dan Senarai Jabatan Kerajaan Yang 'Bercuti'

Seperti yang telah kita sedia ketahui, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, telah memaklumkan penutupan premis kerajaan dan swasta kecuali perkhidmatan penting bagi menangani penularan wabak Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan

Arahan penutupan premis ini adalah berdasarkan perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020 bagi menangani wabak Covid-19.

Perintah Kawalan Pergerakan ini dilakukan kerajaan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) dan "tertakhluk kepada perkembangan semasa bagi semua warganegara dan bukan warganegara yang berada di Malaysia."

Perintah Kawalan Pergerakan tersebut meliputi lima perkara seperti berikut:

1. Larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara

Ini termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Bagi menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk Solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas yang telah bersidang pada 15 Mac 2020.

2. Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia

Sekatan dilaksanakan ke atas rakyat Malaysia ke luar negara dan bagi yang baharu pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari.

3. Sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara

4. Penutupan semua insititusi pendidikan

Penutupan institusi dilakukan ke atas semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

Selain itu, penutupan tersebut juga melibatkan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara.

5. Penutupan semua premis kerajaan dan swasta

Penutupan ini melibatkan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara (atau essential services) iaitu air, elektrik, tenaga, telekomunikasi, pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan.

Senarai Kementerian Cuti Perintah Kawalan Pergerakan:
  • Kementerian Pelancongan.
  • Kementerian Wilayah.
  • Kementerian Pendidikan.
  • Kementerian Alam Sekitar.
  • Kementerian Sumber Manusia.
  • Kementerian Wanita dan Keluarga.
  • Kementerian Pengajian Tinggi.
  • Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
  • Kementerian Belia dan Sukan.
  • Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.
  • Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi.
  • Kementerian Perpaduan Negara.

LANGKAH KAWAL PERGERAKAN BUKAN PERINTAH BERKURUNG

Langkah kawalan pergerakan yang diumumkan bagi menangani Covid-19 bukan perintah berkurung tetapi satu bentuk menjarakkan hubungan sosial yang bertujuan bertujuan menurunkan jumlah kes dengan 'merendahkan lengkung (jangkitan) wabak'.

Ia bukanlah perintah berkurung kerana apabila perintah berkurung dilaksanakan, sesiapapun tidak boleh keluar rumah dan tidak boleh keluar untuk membeli makanan.

Ungkapan yang paling baik adalah mengelak aktiviti sosial dengan matlamat akhirnya untuk merendahkan lengkung epidemik.

Istilah merendahkan lengkung epidemik merujuk kepada tindakan mengurang dan memperlahankan penularan sesuatu wabak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, March 16, 2020

Benarkah Kunyit Mampu Merawat Covid-19?

Benarkah Kunyit Mampu Merawat Covid-19?

Kunyit sememangnya baik dan telah diakui untuk kesihatan kerana sudah terbukti oleh kajian saintifik yang dijalankan terhadapnya namun, adakah ia boleh digunakan untuk menghalang kemaraan wabak virus novel korona (COVID-19)?

Kunyit Merawat Covid-19

Ini kerana jika tiada usaha yang diteruskan untuk membendung wabak Covid-19 ini, jumlah mereka yang dijangkiti akan terus meningkat bersama dengan jumlah kematian.

Kunyit telah diuar-uarkan di sebuah pusat pengajian di Indonesia sebagai salah satu herba yang boleh melawan jangkitan wabak virus novel korona. Adakah ia benar?

Betul ke kunyit boleh mencegah Covid-19?

Kunyit hidup bukanlah bahan masakan yang asing lagi namun, jika dikaitkan dengan wabak virus Covid-19 yang melanda, jawapannya sama dengan sayur kangkung yang dikatakan boleh mengubati wabak tersebut. Tiada kajian yang menunjukkan bahawa ia berkebolehan untuk berbuat demikian.

Jadi, bagaimana boleh timbulnya ura-ura ini? Berita berkenaan dengan kebolehan kunyit ini tersebar berikutan penyelidikan yang dilakukan oleh pensyarah biologi molekular dan biokimia Chaerul Anwar Nidom di Universiti Airlangga (UNAIR).

Setakat ini, tiada dapatan yang telah dikeluarkan secara rasmi dan menurut Chaerul, persoalan wabak tersebut mungkin tidak akan terjawab memandangkan kajian beliau berlangsung sebelum wabak virus tersebut menular.

Namun begitu, ini tidak bermakna herba tersebut tidak boleh menghalang jangkitan virus Covid-19 daripada berlaku. Terdapat banyak khasiat kunyit hidup yang pernah disahkan oleh kajian-kajian saintifik sebelum ini.

Antaranya adalah, kunyit berupaya untuk menangkis fenomena ribut sitokin yang sering berlaku pada mereka yang dijangkiti oleh virus, suatu keadaan di mana tindak balas sistem pertahanan badan terhadap penceroboh seperti bakteria dan virus berlaku pada paras yang sangat tinggi.

Penghasilan bahan kimia tersebut boleh menyebabkan proses keradangan berlaku di serata tempat dan menghalang tisu dan organ seperti paru-paru berfungsi dengan betul. Perkara ini bukan sahaja boleh menyebabkan simptom yang teruk, malah kematian.

Kebolehan kunyit hidup dalam menghalang perkara ini berlaku telah pun dibuktikan melalui kajian yang dijalankan pada tahun 2014. Dapatan kajian tersebut menunjukkan kunyit boleh menghalang penghasilan sitokin IL-6 dan IL-10 yang menjadi kunci kepada proses keradangan.

Ia juga merupakan bahan yang mempunyai fungsi antiviral yang sangat luas di samping selamat untuk diambil pada dos yang tinggi.

Khasiat kunyit untuk kesihatan manusia

Kunyit mengandungi bahan yang dikenali sebagai kurkumin, yang memberikan warna kuning kepada kunyit dan merupakan komponen bioaktif utama dalam memberikan kesan positif terhadap proses fisiologi di dalam badan.

Kebanyakan herba seperti kunyit hidup, temulawak dan halia yang mengandungi kurkumin tumbuh di rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan.

Di negara-negara Eropah, kunyit sering digunakan untuk mewarnai kain dan produk pakaian manakala di Asia pula, kegunaan herba tersebut lebih tertumpu sebagai bahan masakan.

Selain daripada menjadi bahan penting untuk resepi masakan tertentu, kunyit mempunyai kebaikannya yang tersendiri daripada sudut kesihatan.

Kurkumin yang terkandung di dalam kunyit mempunyai keupayaan untuk mencegah pelbagai jenis penyakit termasuklah kanser.

Kebanyakan ahli akademik giat melakukan kajian makanan herba terhadap risiko untuk mendapat kanser. Bukan sahaja kurkumin berkesan dalam merencat pertumbuhan sel kanser, ia juga boleh menghalang pembentukan salur darah baharu yang membekalkan nutrisi kepada sel tumor.

Kajian yang dijalankan di Universiti Illinois, Chicago pada tahun 2011 telah menunjukkan bahawa bahan bioaktif yang terdapat pada kunyit boleh menghalang pertumbuhan kanser kolorektal.

Jika bahan yang mengandungi kurkumin diambil sebanyak 4 gram sehari, kadar penurunan risiko kanser usus besar meningkat kepada 40%. Ia merupakan satu langkah pencegahan yang mudah terutamanya bagi orang Asia memandangkan kunyit sering digunakan dalam masakan.

Kunyit juga berupaya untuk menggalakkan pertumbuhan sel saraf baharu bagi mengelakkan berlakunya masalah degeneratif otak seperti penyakit Alzheimer. Pengambilannya pada kadar saranan boleh mempengaruhi kekuatan memori.

Kunyit boleh menghalang penyebaran Covid-19?

Tiada kajian yang menunjukkan, secara objektifnya, kunyit berupaya untuk menghalang penyebaran virus namun, itu tidak bermakna ia tidak boleh menghalang berlakunya jangkitan terhadap individu yang mengambilnya secara kerap.

Kekuatan sistem pertahanan badan memainkan peranan penting dalam menghalang berlakunya jangkitan. Terdapat banyak herba yang mampu memperkukuhkan fungsi sistem imun individu. Ini termasuklah kayu manis, teh hijau dan kunyit.

Setakat ini, pelbagai jenis kajian telah menunjukkan kurkumin berupaya untuk menghalang berlakunya jangkitan oleh virus hepatitis, virus Zika dan virus influenza namun, pemberian kepada pesakit bagi merawat atau menghalang berlakunya jangkitan tanpa penjelasan saintifik yang kukuh dianggap tidak beretika.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menggalakkan setiap individu untuk mencuci tangan menggunakan air dan sabun sebagai langkah utama bagi membasmi wabak virus novel korona.

Langkah lain yang boleh diambil adalah seperti berikut:
  • Pakai topeng muka sekiranya anda sakit dan perlu keluar ke kawasan awam.
  • Amalkan etika bersin, batuk yang betul.
  • Jangan mengambil makanan eksotik seperti daging ular, kelawar ataupun tenggiling.
  • Jika anda mengalami simptom seperti batuk, selesema dan demam, segeralah berjumpa dengan doktor untuk pengesahan.

Konklusi

Mungkin ada yang beranggapan bahawa kunyit dapat melindungi individu daripada wabak virus novel korona, namun masih tiada lagi bukti saintifik yang menunjukkan ia mampu berbuat sedemikian.

Amalan mencuci tangan secara kerap masih lagi menjadi saranan utama badan kesihatan global bagi mencegah penyebaran wabak virus novel korona.

Walau bagaimanapun, kandungan curcumin dalam kunyit yang merupakan bahan aktif utama mampu menguatkan sistem imunisasi badan daripada serangan penyakit.

Curcumin adalah antara bahan penyembuh terbaik di dunia perubatan tradisional dan moden.

Oleh itu, kunyit mungkin belum terbukti dapat menyembuhkan Covid-19, tetapi antibodi yang sihat dan kuat melalui pengambilan kunyit sebagai sebahagian dari menu harian, mampu mencegah tubuh dari serangan penyakit berbahaya. Insyaa Allah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hellodoktor

Bahaya Penggunaan 'Hand Sanitizer' Menurut Kajian

Bahaya Penggunaan 'Hand Sanitizer' Menurut Kajian

Ketika dunia dilanda wabak Covid-19, lebih ramai orang percaya penggunaan hand sanitizer berbanding mencuci tangan menggunakan sabun dan air, namun tahukah anda banyak keburukan apabila menggunakan hand sanitizer kepada kesihatan?

Bahaya Guna Hand Sanitizer

Hand sanitizer dicipta untuk kegunaan individu yang bekerja di kawasan yang memerlukan kesedaran kesihatan yang tinggi, seperti hospital, klinik, farmasi, mana-mana pusat kesihatan dan sebagainya.

Hand Sanitizer adalah sejenis cecair yang sangat berguna dan berjasa kepada golongan doktor, jururawat, ahli farmasi dan pekerja yang bekerja di pusat kesihatan yang penuh dengan pesakit.

Ini kerana ia dikatakan sangat membantu golongan ini membunuh kuman, bakteria atau virus yang sering berada pada tangan mereka akibat menyentuh atau merawat pesakit.

Hand sanitizer mengandungi pelbagai sebatian seperti air, ejen pewangi, glycerin, ethanol, triclosan, isopropyl dan N-propanol sebagai bahan ramuan yang aktif dan berfungsi sebagai antiseptik.

Pun begitu, hand sanitizer ini boleh digambarkan sebagai indah khabar dari rupa, kerana cecair yang dikatakan kononnya boleh membersihkan sepenuhnya tangan dari segala anasir buruk ini tidaklah begitu berkesan seperti yang disangka.

Bahkan, terdapat banyak keburukan hand sanitizer ini kepada penggunanya!

Menurut U.S. Food and Drug Administration (FDA), bahan-bahan yang terkandung di dalam cecair pencuci tangan ini mungkin akan mendatangkan beberapa risiko yang tersembunyi, seperti:

1. Menjadikan tubuh badan kebal antibiotik

Untuk pengetahuan anda, antibiotik sangat efektif dalam melawan bakteria namun, apakah yang akan terjadi sekiranya tubuh badan anda kebal terhadap antibiotik?

Ini sudah tentu sekali akan membuat kuman dan bakteria bermaharajalela dalam tubuh badan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh U.S. Centers for Disease Control and Prevention (CDC) pada 2011, didapati bahawa pekerja di sebuah tempat kerja lebih berisiko dijangkiti norovirus jika menggunakan hand sanitizer berbanding mencuci tangan menggunakan sabun.

Jelas sekali, sifat cecair pencuci tangan yang rintang antibiotik ini hanya akan membuatkan kuman dan bakteria 'kebal' di dalam tubuh badan kita.

2. Membuatkan kulit lebih kering

Ramuan yang terdapat di dalam cecair pencuci tangan ini seperti ethanol, isopropyl dan N-propanol boleh menyumbang kepada keburukan hand sanitizer.

Ini kerana bahan-bahan tersebut adalah antara jenis alkohol yang boleh mengeringkan kulit jika ia terkena pada mana-mana bahagian kulit pada tubuh badan.

Bukan itu sahaja, ia juga malah akan merengsakan kulit dan membunuh segala sel kulit yang terhidrat dan membuang minyak semula jadi serta acid mantle, sekali gus meninggikan risiko dermatitis kontak.

Anda pasti tidak mahu ini terjadi kepada tangan anda, bukan?

3. Membuat proses penuaan kulit lebih pantas

Selain membuat kulit lebih kering, keburukan hand sanitizer yang lain pula adalah ia akan menyebabkan kulit lebih cepat mengalami penuaan.

Untuk lebih faham, penggunaan yang terlalu kerap akan mengakibatkan timbulnya garisan dan kedutan pada kulit selain merosakkan keremajaannya.

Ini kerana bahan alkohol yang disebutkan tadi akan merosakkan sistem pertahanan semula jadi kulit sekali gus mengurangkan keupayaannya untuk melindungi diri dan seterusnya meningkatkan risiko dehidrasi berlaku.

Ini adalah punca kulit tangan anda nampak lebih tua, berbeza dengan kulit wajah!

4. Keracunan alkohol

Bukan itu saja, antara keburukan hand sanitizer yang lain adalah, ia mungkin boleh menyebabkan keracunan alkohol.

Hanya kerana produk yang anda guna tidak mengandungi triclosan, tidak bermakna ia selamat digunakan.

Terdapat banyak jenis alkohol lain yang ada di dalam cecair pencuci tangan ini boleh mengakibatkan keracunan alkohol.

Pada Mac 2012, 6 remaja yang tinggal di Amerika Syarikat terpaksa dikejarkan ke hospital akibat keracunan alkohol selepas didapati meminum hand sanitizer.

Namun, janganlah anda menyangka bahawa keracunan alkohol hanya disebabkan anda meminumnya kerana hanya dengan menyapu secara berlebihan juga boleh mendatangkan risiko!

5. Melemahkan sistem imun tubuh badan

Selain yang disebutkan di atas, triclosan yang terdapat dalam cecair pencuci tangan ini boleh melemahkan sistem imunisasi pada tubuh badan yang berfungsi melawan penyakit.

Bagaimana ia berlaku? Menurut kajian yang dijalankan oleh University of Michigan School of Public Health, triclosan akan menjejaskan sistem imunisasi sekali gus menyebabkan individu lebih mudah mendapat alahan dan lebih terdedah kepada bahaya toksik Bisphenol A, yang biasa ditemui dalam plastik.

Pendek kata, hand sanitizer akan membuat tubuh badan menjadi lemah dan kurang efektif dalam melawan beberapa jenis penyakit.

6. Ia tidak 100% berkesan

Menurut Aaron E. Glatt yang merupakan Naib Presiden Mercy Medical Center di Amerika Syarikat, penggunaan hand sanitizer mungkin benar dapat membantu membunuh kuman dan bakteria yang terdapat pada tangan kita, namun bukan 100%.

Sebagai contoh, beliau menerangkan bahawa cecair pencuci tangan ini tidak berkesan untuk melawan virus C. difficile, yang boleh menyebabkan keradangan pada kolon yang boleh membawa maut jika tidak dirawat segera.

Hand sanitizer adalah pilihan yang kurang tepat

Hakikatnya, terdapat banyak keburukan hand sanitizer jadi, untuk apa merisikokan diri anda dengan terus menggunakan cecair pencuci tangan ini jika anda ada pilihan untuk mencuci tangan menggunakan sabun dan air?

Menurut kajian pada tahun 2000, hand sanitizer dikatakan tidak mampu mengurangkan amaun kuman dan bakteria yang terdapat pada tangan kita malah meningkatkannya!

Jadi, bertukarlah kepada sabun dan air!

BACA INI JUGA:

sumber: hellodoktor

Apa Itu 'Hand Sanitizer' Yang Di Gunakan Untuk Membunuh Kuman Berbahaya?

Apa Itu 'Hand Sanitizer' Yang Di Gunakan Untuk Membunuh Kuman Berbahaya?

Kuman di sini merujuk kepada mikroorganisma iaitu makhluk tersangat kecil yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar seperti bakteria, virus, fungi dan protozoa (biasa yang jahat iaitu boleh menyebabkan penyakit).

Apa Itu 'Hand Sanitiser'

Mari kita cuba ketahui, apa sebenarnya hand sanitizer ini dan apa fungsi serta bagaimana ia bertindak dalam membunuh kuman berbahaya yang terdapat disekeliling kita.

Apa itu 'hand sanitizer'?

Hand sanitizer adalah sejenis cecair, gel, buih yang secara amnya digunakan untuk mengurangkan kuman pada tangan. Pengunaannya menjadi popular sekitar tahun 1990an.

Terdapat dua jenis hand sanitizer iaitu yang berasaskan alkohol (alcohol-based) dan yang bukan berasaskan alkohol (non alcohol-based).

Apa bahan kimia aktif dalam 'hand sanitizer'?

1. Berasaskan Alkohol

Bahan kimia aktif dalam hand sanitiser berasaskan alkohol ialah campuran bahan-bahan kimia isopropanol (isopropyl alcohol), ethanol (ethyl alcohol), atau n-propanol.

Kandungan alkohol yang paling berkesan dalam membunuh kuman ialah 60-95%, seperti yang disarankan oleh Food and Drug Administration (FDA).

2. Bukan Berasaskan Alkohol

Untuk hand sanitiser yang bukan berasaskan alkohol pula mengandungi bahan kimia aktif seperti benzalkonium chloride atau triclosan.

Kandungan bahan kimia benzalkonium chloride yang dibenarkan ialah 0.1% sahaja, kerana pada dos yang tinggi, ianya boleh merengsa kulit dan menyebabkan iritasi kepada mata. Ianya juga berpotensi menggangu sistem pernafasan, pertahanan semulajadi badan dan saraf.

Bahan kimia aktif triclosan pula disarankan 2% dalam formulasi hand sanitizer namun, masih lagi kontroversi sehingga FDA telah menarik penggunaannya, kerana keupayaannya yang boleh mengganggu sistem endokrin (hormon) badan.

Pun begitu, ianya (dalam dos yang lebih rendah 0.10–1.00%) banyak digunakan dalam lebih daripada 2,000 produk seharian kita termasuklah sabun mandi, shampo, deodorant, ubat gigi, cecair pencuci mulut dan sebagainya.

Ianya dikatakan boleh menyumbang kepada masalah alam sekitar di mana dikuatiri berkumpul dalam air buangan seterusnya kembali dalam air minum kita.

Di sini saya senaraikan kebaikkan dan apa yang kita perlu tahu pasal hand sanitiser ini sebagai rujukan dalam membuat pertimbangan.

Apa yang baik tentang 'hand sanitiser':
  • Membunuh kuman dengan berkesan. Pun begitu pengguna harus memastikan kandungan alkohol adalah dalam julat 60-95% untuk memastikan keberkesanannya. Jika tidak, usaha hanya sia-sia.
  • Mudah diakses tanpa mengira tempat terutamanya semasa ketiadaan air.
  • Mudah diperolehi, murah, jangka hayat yang lama dan tahan lama.
  • Dengan harga mampu milik dan mudah diperolehi, sesiapa pun boleh menggunakannya.
  • Dengan pengunaan yang hanya sedikit dan jangka hayat yang lama (2-3 tahun) juga membuatkannya tahan lebih lama, tidak perlu dibeli berulangkali.

Apa yang kita perlu ambil tahu tentang 'hand sanitiser':
  • Sesetengah jenama tidak menepati kandungan minima (60%) yang disarankan oleh FDA. Maka ianya kurang berkesan.
  • Hanya berkesan membunuh kuman. Ianya tidak mampu menanggalkan racun perosak (pesticides), kotoran, gris, minyak, warna, habuk yang melekat pada tangan. Jelas, kegunaannya tidak mampu menggantikan fungsi sabun dan air sepenuhnya
  • Penggunaan yang terlalu KERAP akan membunuh semua jenis kuman yang penting untuk sistem pertahanan semulajadi badan.
  • Mudah meruap dan mudah terbakar, terutamanya yang mengandungi alkohol yang tinggi (lebih daripada 90%). Maka elakkan berdekatan dengan api, dan pastikan semasa pengunaan, ianya betul-betul telah kering pada tangan.
  • Mengeringkan kulit. Namun jenis gel kurang mengeringkan kulit jika dibandingkan dengan sabun yang bersifat antimicrobial. Sesetengah produk ditambah dengan bahan kimia glycerol untuk mengurangkan kulit kering.
  • Hand sanitiser hanya digalakkan sekiranya ketiadaan sabun dan air. Ini kerana hanya sabun dan air boleh membuang spora bakteria (seperti Clostridioides difficile), parasit (seperti Cryptosporidium) dan sesetengah virus (seperti norovirus).
  • 60-80% alkohol mampu membunuh hampir semua jenis bakteria termasuklah TB dan yang telah mempunyai kerintangan.
  • 90% alkohol pula boleh membunuh pelbagai jenis virus termasuk jenis enveloped (seperti virus influenza) . Namun tidak berkesan pada virus rabies.

Benarkah hand sanitizer membunuh bakteria baik di kulit?

Benar. Selain daripada kuman (aka bakteria,virus yang jahat), hand sanitizer juga akan membunuh bersama populasi bakteria baik yang terdapat secara semulajadi pada lapisan kulit kita.

Bakteria-bakteria baik ini hidup secara simbiotik dengan membantu dalam menjaga kesihatan kulit kita, yang menghasilkan enzim untuk menguraikan sel kulit mati pada kulit dan aktiviti ini menghasilkan minyak yang membantu dalam mengekalkan kelembapan kulit.

Selain itu, bakteria-bakteria ini juga berfungsi sebagai benteng pertahanan terhadap serangan kuman jahat tadi.

Pun begitu, kajian juga membuktikan kesan ini hanya seketika, memandangkan bakteria-bakteria ini berada pada semua bahagian kulit kita, maka mereka mudah kembali berpopulasi setelah dibasuh dengan air.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahsains

Sunday, March 15, 2020

Misteri Angka 13 Membawa Sial, Disumpah Dan 'Berhantu' Masyarakat Barat

Misteri Angka 13 Membawa Sial, Disumpah Dan 'Berhantu' Masyarakat Barat

Sebahagian masyarakat Barat akan mengalami rasa takut yang sangat luar biasa terhadap angka 13 sehinggakan mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk mengelakkan diri daripada memperoleh nombor itu dalam kehidupan.

Misteri Angka 13

Fobia terhadap angka 13 itu bukan saja melanda orang bawahan tetapi pengarah syarikat dan kalangan intelektual sehinggakan situasi kronik itu menimbulkan beberapa keadaan yang pelik di negara terbabit, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Antara keadaan pelik itu ialah, ada bangunan tinggi di kota besar di negara itu tidak memiliki tingkat bernombor 13.

Sekiranya anda menaiki lif di bangunan berkenaan, anda akan melihat butang lif menunjukkan tingkat nombor 10, 11, 12 kemudian terus ke 14.

Selain itu, ada juga lapangan terbang yang tidak memiliki pintu pelepasan bernombor 13, kerusi pesawat tanpa nombor 13, hotel atau hospital yang tidak memiliki bilik dengan nombor 13, malah kenderaan tidak menggunakan angka 13 pada nombor plat.

Jadi, ke mana menghilangnya tingkat, bilik, pintu atau plat kenderaan bernombor 13?

Keadaan itu memang menghairankan tetapi fenomena pelik yang melanda segelintir masyarakat Barat atau mungkin ramai penduduk di seluruh dunia itu tercetus lantaran mereka beranggapan angka 13 membawa sial, disumpah dan 'berhantu'.

Fobia Pelik

Kajian terhadap fenomena pelik itu menyebabkan ketakutan terhadap angka 13 digelar 'triskaidekaphobia' dan individu yang mengalami fobia itu pada tahap kronik akan menganggap penggunaan angka 13 dalam hidup akan membawa malang atau maut buat mereka.

Beberapa kejadian aneh yang berlaku pada hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan menambahkan ketakutan segelintir pihak terhadap angka 13.

Selain angka 13, ada juga warga Barat, termasuk Britain, Jerman, Poland, Bulgaria dan Portugis, yang amat fobia terhadap hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan yang diklasifikasikan sebagai 'paraskavedekatriaphobia' atau 'friggatriskaidekaphobia'.

Institut Fobia dan Pengurusan Tekanan AS di Utara Carolina menganggarkan antara 17 juta hingga 21 juta penduduk AS percaya, Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan sebagai hari sial.

Kesannya, pelbagai industri di negara itu kerugian antara AS$800 juta hingga AS$900 juta (antara RM2.9 bilion dan RM3.2 bilion) pada hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan kerana ramai penduduk enggan menaiki penerbangan atau keluar rumah pada hari itu.

Mitos Angka 13

Lif No 13

Kepercayaan masyarakat Barat kononnya angka 13 sebagai sial, disumpah dan berhantu dipercayai bermula daripada beberapa momokan berkaitan alam mistik dan keagamaan yang tersebar sejak dulu lagi.

Antaranya, mengikut ajaran Kristian, iblis iaitu ketua syaitan pada asalnya dianggap sebagai 'malaikat ke-13' tetapi digugurkan kerana menderhaka kepada Tuhan.

Selain itu, pada majlis 'Santapan Terakhir' yang dipercayai dalam doktrin agama Kristian, rakan yang mengkhianati Jesus iaitu Judas dikatakan lelaki yang ke-13 duduk di meja makan.

Ketika ahli sihir Rom purba menyeru kehadiran syaitan, mereka akan berkumpul seramai 12 orang dan orang ke-13 yang hadir pada upacara itu adalah jelmaan syaitan.

Selain itu, kepercayaan terhadap sumpahan angka 13 turut berasal daripada pegangan kaum Viking.

Dikisahkan, ketika 12 dewa Norse sedang mengadakan majlis makan malam, tiba-tiba datang Loki iaitu dewa yang tidak diundang ke majlis tersebut.

Loki dianggap tetamu ke-13 pada majlis itu dan menjadi perancang utama pembunuhan Baldr, dewa kegembiraan.

Kematian Baldr menyebabkan seluruh dunia menjadi gelap dan hari itu tidak lagi disinari kegembiraan atau dengan kata lain, kononnya hari itu sial dan malang.

Menerusi kisah itu jugalah, wujud kepercayaan tahyul kononnya apabila 13 orang berkumpul, maka seorang daripada mereka akan mati.

Fobia terhadap angka 13, termasuk hari Jumaat pada 13 hari bulan diperkuatkan dengan beberapa kejadian aneh yang berlaku membabitkan angka itu. Antaranya, penahanan dan pembunuhan pasukan Knights Templar dalam perang salib, yang berlaku pada hari Jumaat, 13 Oktober 1307.

Pada Jumaat 13 Oktober 1066 juga menjadi hari terakhir pemerintahan King Saxon Harold II sebelum dia dibunuh Duke of Normandy, William.

Ekspedisi ke bulan menggunakan pesawat Apollo 13 dianggap gagal kerana ia menyandang nombor 13, malah diterbangkan pada jam 13:13 pada 11 April 1970.

Dalam laporan kajian National Geographic, saintis Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Universiti Delaware, Thomas Fernsler, menjelaskan pengkaji numerologi menganggap nombor 12 sebagai angka yang lengkap dan seimbang sehingga wujud banyak keadaan berakhir dengan 12 seperti 12 bulan dalam setahun. Justeru, lebihan satu nombor selepas 12 akan menyebabkan ia mengganggu keseimbangan dalam turutan nombor.

Dalam menilai fenomena fobia ini, persoalan paling penting ialah adakah benar angka 13 atau hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan adalah angka dan hari yang disumpah, sial atau berhantu?

Kebanyakan penyelidik percaya, kepercayaan berkenaan sebenarnya tidak lebih daripada perasaan manusia semata-mata.

Ini kerana, masih ramai lagi pihak yang menggunakan angka 13 dalam kehidupan tetapi tiada sebarang kejadian buruk yang berlaku kepada mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian