Tuesday, March 17, 2020

Kenapa Imun Tubuh Kanak-kanak Lebih Kuat Menentang Covid-19 Berbanding Orang Dewasa?


Kes baharu Covid-19 sudah menjangkiti ratusan ribu individu diseluruh dunia, manakala jumlah kematian hampir mencecah angka ribu, kebanyakannya melibatkan golongan yang mempunyai sistem imun tubuh yang lemah.

Kanak-kanak imun covid-19

Namun, sedarkah anda golongan kanak-kanak hanya merangkumi kurang 1% daripada jumlah keseluruhan mereka yang telah disahkan positif Covid-19? Tiada satu pun kanak-kanak berusia di bawah 9 tahun dilaporkan mati akibat virus ini di China.

Perkara ini bukan sahaja menimbulkan kekeliruan dikalangan ahli akademik, bahkan kerisauan terhadap potensi mereka untuk menyebarkannya kepada individu lain tanpa pengetahuan mereka.

Terdapat 2 teori yang menerangkan sebab di sebalik peningkatan jumlah kes dalam kalangan orang dewasa dan bukannya kanak-kanak.

Risiko kematian pesakit Covid-19 meningkat mengikut usia

Menurut kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) di China, dalam kalangan 44,672 pesakit, hanya 416 merupakan kes Covid-19 pada kanak-kanak yang berusia 10 tahun dan ke bawah.

Jumlah tersebut merangkumi 0.9% daripada jumlah keseluruhan pesakit yang disahkan positif.

Memandangkan Covid-19 mempunyai tempoh pengeraman di antara 2 hingga 14 hari, sukar untuk kita tentukan jika kanak-kanak yang terdedah mempunyai jangkitan tersebut atau tidak.

Tambahan pula, terdapat individu yang dijangkiti oleh Covid-19 namun tidak menunjukkan sebarang simptom yang dalam situasi ini, penyebaran virus boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa disedari oleh pembawa virus.

Bagi individu berusia di antara 10 hingga 19 tahun, kes kematian Covid-19 pada kanak-kanak hanya melibatkan seorang daripada 549 kes yang didiagnosis.

Seperti jangkitan lain, kadar kematian bagi mereka yang dijangkiti meningkat mengikut usia individu, dengan mereka yang berusia 40 tahun ke bawah mempunyai kadar kematian kurang daripada 2%.

Apabila kita beralih kepada populasi yang berusia di antara 60 hingga 79 tahun, risiko kematian meningkat secara mendadak kepada 30%.

Konsepnya mudah sahaja. Semakin lemah sistem pertahanan badan seseorang itu, semakin berisikolah mereka untuk mendapat jangkitan serius Covid-19.

Persoalannya, mengapa Covid-19 pada kanak-kanak sukar berlaku walaupun mereka mempunyai sistem imun yang lemah? Mengapa mudah sangat jumlah kes positif dalam kalangan orang dewasa meningkat?

TEORI

Terdapat dua teori yang diusulkan oleh ahli akademik berkenaan dengan sebab kepada peningkatan jumlah orang dewasa yang mendapat jangkitan tersebut.

Teori 1 – Sistem imuniti semula jadi vs sistem imuniti penyesuaian

Sistem imuniti badan, secara mudahnya, boleh dibahagikan kepada 2.

Sistem imuniti semula jadi (innate immunity) menggunakan sel darah putih bagi membanteras kemasukan bakteria atau virus asing ke dalam badan.

Jika dibandingkan dengan sistem imuniti penyesuaian, ia dianggap sebagai satu sistem yang kurang efektif untuk melawan mikroorganisma berbahaya.

Sistem imuniti penyesuaian (adaptive immunity) merupakan sistem pertahanan badan yang dicipta berdasarkan pendedahan terhadap agen berbahaya.

Sebagai contoh, kemasukan virus ke dalam badan buat kali pertama menyebabkan terhasilnya antibodi spesifik kepada virus yang menyebabkan permasalahan tersebut.

Jika badan diserang oleh virus yang sama buat kali kedua, antibodi akan bertindak dengan pantas.

Apabila usia seseorang itu meningkat, sistem imuniti penyesuaian mereka lebih efisien berbanding dengan sistem imuniti semula jadi.

Ini berbeza dengan golongan kanak-kanak yang lebih bergantung kepada sistem imuniti semula jadi untuk membasmi kuman.

Mekanisme bagi kedua-dua sistem ini agak berbeza.

Oleh sebab Covid-19 merupakan virus baharu, penghasilan antibodi baharu akan mengambil masa yang agak lama. Kesannya, orang dewasa dan golongan tua lebih terdedah untuk mendapat jangkitan virus tersebut.

Bagi golongan kanak-kanak pula, hampir kesemua virus dianggap sebagai virus baharu. Sistem imuniti semula jadi akan bertindak ke atas semua jenis jangkitan dengan menghantar sel darah putih sebagai agen pembasmi kuman utama.

Kesannya, kanak-kanak mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat jangkitan.

Teori 2 – Pembawa Covid-19 dalam diam

Oleh sebab kanak-kanak jarang mendapat jangkitan, mereka boleh menjadi perumah kepada virus korona sebelum menular kepada individu lain.

Virus Covid-19 (termasuk dengan subjenis lain) merupakan virus yang lazim menjangkiti kanak-kanak menyebabkan simptom selesema. Lebih parah lagi jika kanak-kanak tersebut tidak menunjukkan sebarang simptom.

Ibu bapa tidak akan membawa anak-anak mereka untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya tiada tanda yang menunjukkan mereka dijangkiti, menjadikan mereka penyebar virus utama kepada orang dewasa terutamanya golongan berisiko tinggi.

Ini termasuklah orang tua, penghidap penyakit kronik dan mereka yang mengalami masalah sistem imun badan lemah.

Menurut Dr Malik Peiris, Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit dari Universiti Hong Kong, kanak-kanak masih boleh mempunyai jangkitan tersebut, namun mereka tidak sakit atau mengalami simptom berkaitan dengan jangkitan itu.

Oleh sebab perkara ini masih lagi baru, kajian lanjut perlu dijalankan bagi membuktikan keberkesanan kedua-dua teori yang dikemukakan.

Kanak-kanak mempunyai risiko yang rendah untuk mendapat jangkitan namun, mereka mampu menyebarkannya kepada individu lain sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.

Terapkan amalan mencuci tangan secara kerap dalam kalangan anak-anak anda dan pastikan mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan sekiranya disyaki mengalami jangkitan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon