Ahad, Mac 15, 2020

Misteri Angka 13 Membawa Sial, Disumpah Dan 'Berhantu' Masyarakat Barat


Loading...

Sebahagian masyarakat Barat akan mengalami rasa takut yang sangat luar biasa terhadap angka 13 sehinggakan mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk mengelakkan diri daripada memperoleh nombor itu dalam kehidupan.

Misteri Angka 13

Fobia terhadap angka 13 itu bukan saja melanda orang bawahan tetapi pengarah syarikat dan kalangan intelektual sehinggakan situasi kronik itu menimbulkan beberapa keadaan yang pelik di negara terbabit, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Kanada.

Antara keadaan pelik itu ialah, ada bangunan tinggi di kota besar di negara itu tidak memiliki tingkat bernombor 13.

Sekiranya anda menaiki lif di bangunan berkenaan, anda akan melihat butang lif menunjukkan tingkat nombor 10, 11, 12 kemudian terus ke 14.

Selain itu, ada juga lapangan terbang yang tidak memiliki pintu pelepasan bernombor 13, kerusi pesawat tanpa nombor 13, hotel atau hospital yang tidak memiliki bilik dengan nombor 13, malah kenderaan tidak menggunakan angka 13 pada nombor plat.

Jadi, ke mana menghilangnya tingkat, bilik, pintu atau plat kenderaan bernombor 13?

Keadaan itu memang menghairankan tetapi fenomena pelik yang melanda segelintir masyarakat Barat atau mungkin ramai penduduk di seluruh dunia itu tercetus lantaran mereka beranggapan angka 13 membawa sial, disumpah dan 'berhantu'.

Fobia Pelik

Kajian terhadap fenomena pelik itu menyebabkan ketakutan terhadap angka 13 digelar 'triskaidekaphobia' dan individu yang mengalami fobia itu pada tahap kronik akan menganggap penggunaan angka 13 dalam hidup akan membawa malang atau maut buat mereka.

Beberapa kejadian aneh yang berlaku pada hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan menambahkan ketakutan segelintir pihak terhadap angka 13.

Selain angka 13, ada juga warga Barat, termasuk Britain, Jerman, Poland, Bulgaria dan Portugis, yang amat fobia terhadap hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan yang diklasifikasikan sebagai 'paraskavedekatriaphobia' atau 'friggatriskaidekaphobia'.

Institut Fobia dan Pengurusan Tekanan AS di Utara Carolina menganggarkan antara 17 juta hingga 21 juta penduduk AS percaya, Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan sebagai hari sial.

Kesannya, pelbagai industri di negara itu kerugian antara AS$800 juta hingga AS$900 juta (antara RM2.9 bilion dan RM3.2 bilion) pada hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan kerana ramai penduduk enggan menaiki penerbangan atau keluar rumah pada hari itu.

Mitos Angka 13

Lif No 13

Kepercayaan masyarakat Barat kononnya angka 13 sebagai sial, disumpah dan berhantu dipercayai bermula daripada beberapa momokan berkaitan alam mistik dan keagamaan yang tersebar sejak dulu lagi.

Antaranya, mengikut ajaran Kristian, iblis iaitu ketua syaitan pada asalnya dianggap sebagai 'malaikat ke-13' tetapi digugurkan kerana menderhaka kepada Tuhan.

Selain itu, pada majlis 'Santapan Terakhir' yang dipercayai dalam doktrin agama Kristian, rakan yang mengkhianati Jesus iaitu Judas dikatakan lelaki yang ke-13 duduk di meja makan.

Ketika ahli sihir Rom purba menyeru kehadiran syaitan, mereka akan berkumpul seramai 12 orang dan orang ke-13 yang hadir pada upacara itu adalah jelmaan syaitan.

Selain itu, kepercayaan terhadap sumpahan angka 13 turut berasal daripada pegangan kaum Viking.

Dikisahkan, ketika 12 dewa Norse sedang mengadakan majlis makan malam, tiba-tiba datang Loki iaitu dewa yang tidak diundang ke majlis tersebut.

Loki dianggap tetamu ke-13 pada majlis itu dan menjadi perancang utama pembunuhan Baldr, dewa kegembiraan.

Kematian Baldr menyebabkan seluruh dunia menjadi gelap dan hari itu tidak lagi disinari kegembiraan atau dengan kata lain, kononnya hari itu sial dan malang.

Menerusi kisah itu jugalah, wujud kepercayaan tahyul kononnya apabila 13 orang berkumpul, maka seorang daripada mereka akan mati.

Fobia terhadap angka 13, termasuk hari Jumaat pada 13 hari bulan diperkuatkan dengan beberapa kejadian aneh yang berlaku membabitkan angka itu. Antaranya, penahanan dan pembunuhan pasukan Knights Templar dalam perang salib, yang berlaku pada hari Jumaat, 13 Oktober 1307.

Pada Jumaat 13 Oktober 1066 juga menjadi hari terakhir pemerintahan King Saxon Harold II sebelum dia dibunuh Duke of Normandy, William.

Ekspedisi ke bulan menggunakan pesawat Apollo 13 dianggap gagal kerana ia menyandang nombor 13, malah diterbangkan pada jam 13:13 pada 11 April 1970.

Dalam laporan kajian National Geographic, saintis Pusat Pendidikan Sains dan Matematik Universiti Delaware, Thomas Fernsler, menjelaskan pengkaji numerologi menganggap nombor 12 sebagai angka yang lengkap dan seimbang sehingga wujud banyak keadaan berakhir dengan 12 seperti 12 bulan dalam setahun. Justeru, lebihan satu nombor selepas 12 akan menyebabkan ia mengganggu keseimbangan dalam turutan nombor.

Dalam menilai fenomena fobia ini, persoalan paling penting ialah adakah benar angka 13 atau hari Jumaat yang jatuh pada 13 hari bulan adalah angka dan hari yang disumpah, sial atau berhantu?

Kebanyakan penyelidik percaya, kepercayaan berkenaan sebenarnya tidak lebih daripada perasaan manusia semata-mata.

Ini kerana, masih ramai lagi pihak yang menggunakan angka 13 dalam kehidupan tetapi tiada sebarang kejadian buruk yang berlaku kepada mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon