Sunday, March 15, 2020

SBDJ Siri 138: Ular Kepala Buaya

SBDJ Siri 138: Ular Kepala Buaya

Dalam kesukaran bernafas itu, saya terus meraba batang leher dan telapak tangan saya tersentuh sesuatu yang bulat, bila saya lurut ke kanan dan ke kiri terasa kesat dan bersisik kasar. Jari-jemari saya terus mencengkam benda bulat itu yang hampir sama besar dengan bulatan batang pinang dara.

Toyol jadi-jadian

Jari-jemari saya tidak mampu mencengkam benda bulat itu agak lama kerana licin. Sendi-sendi jari pula terasa lenguh.

Saya semakin lemah dan kesempatan itu dimanfaatkan oleh benda lembik itu untuk membelit seluruh tubuh. Sendi tubuh dan tulang terasa bagaikan patah-patah.

Saya kehabisan tenaga untuk berdiri, perlahan-lahan saya rebahkan badan ke bumi sambil memikirkan tindakan selanjutnya untuk membinasakan benda bulat yang lembik itu menjahanamkan diri saya.

Rupa-rupanya, saya tewas juga, benda bulat lembik itu terus membelit dan menjerut tubuh dengan kemas dan kejap.

Saya terus bergolek di pasir dalam usaha memaksa benda bulat itu membuka lilitan yang membelit tubuh.

Aduh! Bukannya bertambah longgar tetapi bertambah kejap, pandangan saya jadi berpinar-pinar. Lidah bagaikan mahu terkeluar, kulit leher yang kena belit terasa amat gatal.

Satu-satu ikhtiar yang dapat saya lakukan ialah terus bergolek di pasir. Dalam keadaan yang berhempas pulas itu, saya berjaya memegang bahagian pangkal benda lembik itu.

Hasil dari gerak tangan, saya dapat menduga bahawa benda yang saya pegang itu ialah, kepala ular.

Saya berazam walau apa yang terjadi kepala ular itu tidak saya lepaskan. Kepala ular itu saya tekan ke pasir. Biar matanya dimasuki pasir hingga buta.

Perbuatan saya menimbulkan kemarahan ular, jerutannya makin kuat membelit tubuh, rasanya semua tulang-temulang dalam tubuh saya sudah remuk dan hancur.

Suara saya langsung tidak terkeluar dari kerongkong dan buah halkum terasa terbenam dalam tulang dan daging leher.

Saya kira semua organ di bahagian leher sudah punah, tidak boleh digunakan lagi Biar tubuh saya menjadi debu, kepala ular tidak akan saya lepaskan.

Itu tekad hati saya yang tidak ada tolak ansurnya. Kepala ular yang entah macam mana rupanya terus saya tekan ke dada pasir.

Saya bagaikan terkejut, bila mendapati jerutan ular itu di tubuh beransur longgar, saya boleh menarik dan melepaskan nafas dengan agak lancar. Boleh menelan air liur tanpa rasa tersekat-sekat.

Kesempatan itu, segera saya manfaatkan dengan sebaik mungkin. Kepala ular yang tidak dapat dilihat itu terus ditekan ke dada pasir.

Perlahan-lahan saya gerakan kaki, ternyata kaki saya tidak dibelit oleh ular ghaib. Setelah bersusah payah, akhirnya saya berjaya bangun tetapi, gagal melepaskan belitan ular daripada bahagian pinggang ke dada.

Rasanya tulang-temulang dada berlaga antara satu dengan lain. Sakitnya bukan kepalang dan bahagian ekor ular terus menekan bahagian kemaluan.

Saya kembali mengalami kesukaran untuk menarik dan melepaskan nafas. Rasanya riwayat hidup saya akan berakhir di pasir pantai.

SEDAR

Saya menjerit sekuat hati dan bumi saya rasa bergerak sendiri. Tubuh saya seperti berada di awang-awangan. Pandangan saya berpinar dan gelap. Saya jatuh atas pasir kembali.

Kepala ular dalam genggaman terlepas. Dan ular ghaib bertindak garang. Seluruh tubuh, dari hujung kaki hingga kepala dililit oleh badan ular.

Keadaan saya tidak ubah seperti seberkas ranting kayu yang diikat dengan rapi.

Dalam keadaan yang serba payah dan kelemasan itu, saya mengolek-golekan badan di pasir. Setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.

Beberapa lama saya tidak sedarkan diri, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Apa yang pasti, di saat saya sedar tubuh dan muka masih dililit oleh badan ular.

Dari celah lilitan badan ular itu, samar-samar saya melihat Datuk melangkah ke arah saya, terkejut melihat perbuatan saya menggulingkan tubuh d pasir, macam bergelut dengan sesuatu.

"Kenapa kamu ini Tamar? Agaknya kamu ni dah gila, berbaring bergolek atas pasir," cukup jelas suara Datuk menikam gegendang telinga saya.

"Ular belit saya tuk!"

"Ular? Aku tak nampak apa-apa," Datuk terus merenung kiri kanan.

Sepasang matanya di arah ke tubuh saya yang masih bergolek atas pasir.

"Kau ni mimpi Tamar."

"Betul tuk, saya tak nampak ular tu tapi apa yang saya rasa memanglah ular besar membelit saya."

Sebaik saja atuk mendengar kata-kata saya itu, dia terus termenung, wajahnya membayangkan keresahan yang amat sangat.

Datuk duduk mencangkung membelakangi saya tetapi, tangan kanannya menyentuh bahagian bahu kiri saya, bagaikan terkena kejutan elektrik Datuk menarik tangan kanannya.

Dia memusingkan tubuh lalu menghadapi saya, mukanya nampak pucat sedikit dan dahinya nampak berkedut.

"Aku macam terpegang ular di badan kamu tamar."

"Sekarang Datuk percaya tak dengan cakap saya."

"Hum," Datuk anggukkan kepala.

"Ada sesuatu yang tak kena di sini," nada suara Datuk membayangkan keresahan, kecemasan dan kebimbangan.

Beberapa sangat kemudian saya lihat reaksi Datuk berubah, dia mula memperlihatkan tanda-tanda untuk bertindak.

Datuk terus mengelilingi saya yang bergolek, gerak-geri Datuk tidak ubah macam singa lapar yang mahu menerkam mangsanya.

Keadaan diri saya tetap tidak berubah, sakit terasa di mana-mana. Tanpa putus asa saya terus berjuang untuk membuka lilitan ular di tubuh di samping mengharapkan Datuk memberi pertolongan segera.

Di saat saya berjuang itu, saya lihat Datuk secara mengejut melompat dan menerkam ke arah saya.

Tangan kirinya menyentap kepala ular yang saya pegang. Di saat itu juga saya merasakan tubuh saya tidak lagi dibelit dan dijerut oleh ular.

Dengan cepat saya bangun, menghayunkan sepasang tangan ke kanan dan ke kiri. Begitu dengan sepasang kaki.

Saya lakukan gerakan itu untuk memastikan anggota tubuh benar-benar bebas dari belenggu dibelit ghaib.

Saya mendongakkan kepala ke langit melihat awan. Saya renung pepohon di sebelah kanan dan telinga saya mula diasak dengan deru ombak dan kicau burung.

Masa saya dibelit ular, deru ombak dan kicau burung tidak kedengaran. Apa yang saya rasai di saat itu ialah suasana yang amat sepi sekali.

"Sudah hilang tuk."

Datuk jegilkan mata ke arah saya. Dia tidak kisah dengan yang saya ucapkan kepadanya. Datuk seperti berada di dunia lain.

Datuk membongkok seperti mengambil sesuatu di atas pasir. Entah apa yang diambilnya saya sendiri tidak pasti, sambil meluruskan tubuh Datuk renung ke kiri lima kali berturut-turut.

Dia menatang benda yang diambil dari atas pasir dengan kedua belah tangannya. Lucu, bila melihat Datuk keadaan begitu, dia menatang angin.

Dengan tenang Datuk menuju ke arah rumpun buluh. Datuk tunduk di situ seperti melepaskan sesuatu di perdu buluh kuning. Gerak-geri Datuk saya perhatikan dengan teliti.

DEKAT

Datuk mendekati saya semula. Saya kira kehadiran Datuk di sisi saya untuk meluahkan rasa hampa kerana orang yang ditunggu tidak kunjung tiba.

Memang saya mengharapkan Datuk membatalkan saja rancangan untuk ke Tanah Jambi.

"Kamu tahu kenapa kamu kena belit ular?" itu yang Datuk ajukan kepada saya. Lain yang diharap, lain pula yang dapat.

"Saya tak tahu tuk, lagi pun ular yang membelit saya tu, tak nampak dilihat. Saya cuma terasa dan main agak-agak saja."

"Aku dapat melihatnya, Tamar."

"Datuk dapat melihatnya?"

"Iya," Datuk anggukkan kepala.

"Macam mana rupanya tuk?"

Datuk menggigit bibir sambil menggosok batang hidungnya berkali-kali. Dia kelihatan seperti berfikir tentang sesuatu.

Mungkin juga dia memikirkan sama ada mahu menjawab atau tidak pertanyaan yang sedang saya kemukakan kepadanya.

"Macam mana rupanya," saya terus mendesak.

"Kepalanya macam kepala buaya, sisik di badannya macam sisik tenggiling, berbelang merah hitam," jelas Datuk.

Saya terdiam dan terus menarik nafas dalam-dalam. Segera saya bayangkan, andainya saya dapat melihat rupa dan bentuk ular yang Datuk katakan, pasti saya terkencing dan terberak mungkin terus pengsan. Datuk terus meraba-raba pangkal hidungnya dengan aman.

"Kamu tahu Tamar, kamu sudah menceroboh."

"Ceroboh? Ceroboh apa tuk, saya tak faham," turut saya kehairanan sambil merenung ke kiri dan ke kanan.

Fikiran saya serabut dengan tanda tanya. Apakah maksud sebenar kata-kata Datuk itu?

Agaknya Datuk mahu bergurau atau sekadar mahu menguji hati saya.

Kalaulah itu tujuannya memang tidak menyusahkan hati. Tetapi, bagaimana kalau apa yang dikatakan itu memang benar saya lakukan?

"Maksud Datuk yang sebenar apa dia?"

"Aku tak mahu cakap, cuba kamu ingat dan fikir, apa yang sudah kamu lihat di sini, kira-kira tiga bulan yang lalu," terang Datuk dengan tenang.

Saya perah otak untuk mengingati apa yang terjadi. Saya tersenyum panjang kerana sudah dapat menangkap apa yang Datuk maksudkan.

"Ada hubungannya dengan Haji Yatimi," kata saya

"Iya," Datuk anggukkan kepala.

"Kenapa dengan dia tuk?"

"Kau cari sendiri, Tamar."

Datuk segera meninggalkan saya. Dia berdiri di bibir pantai. Datuk merenung laut dan ombak. Datuk melihat sinar matahari pagi yang kian cerah.

Datuk berdiri di situ semata-mata mahu mengubati rasa resah dalam menanti kedatangan anak saudara nakhoda pemilik tongkang dari Aceh.

Di saat saya bersendirian, barulah saya teringat di waktu mahu menghantar Haji Yatimi ke Solok dulu, saya melihat ada orang berjanggut panjang memakai pakaian serba putih muncul di pantai.

Kemudian orang itu menghilangkan diri betul-betul di batang buruk itu. Bagi memastikan apakah ingatan saya ini betul atau tidak, saya segera mendapatkan Datuk.

SETUJU

Selesai saja Datuk mendengar cerita saya itu, dia terus anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang saya turutkan.

"Silap kamu, nak menumpang duduk tak minta izin. Kamu main langgar saja. Inilah akibatnya," Datuk bersuara lantang.

"Saya tak tahu tuk."

"Ah kamu ni, sudah aku ajar segala petua dan doa. Kenapa tidak kamu manfaatkan," tempelak Datuk kepada saya.

Memang tidak ada peluang untuk saya mempertahankan diri. Kesilapan tetap berada di pihak saya dan saya hanya mampu telan air liur.

"Kamu mesti ingat, selain dari manusia, ada makhluk lain di dunia ini. Nasib baik makhluk lain tu tak marahkan kamu, kalau marah entahlah..." Datuk berhenti bercakap.

"Kenapa dia nak marahkan saya. Apa yang saya dah buat?" tanya saya dengan rasa hairan.

Buat beberapa saat Datuk termangu, mungkin dia tidak terfikir yang saya akan mengajukan pertanyaan sedemikian kepadanya.

"Kamu ni memang tak faham cakap orang. Dia marahkan kamu kerana kamu duduk di tempatnya dengan tidak minta kebenaran, sekarang kamu dah faham atau tidak?" Datuk jegilkan matanya ke arah batang hidung saya.

Tentulah saya jadi resah dan cemas bila dibuat demikian.

"Saya faham, sekarang saya faham tuk."

"Apa yang kamu rasa tadi, itu cuma dia bergurau saja," sambung Datuk lagi.

"Bergurau tuk?"

"Iya."

Memang tidak logik apa yang Datuk katakan itu. Pelik sungguh, saya diseksa setengah mati, masih dikira bergurau senda.

Ini perbuatan dan kerja orang gila, kerja orang tak ada otak. Demikian saya membuat rumusan dalam kepala.

"Teruknya makhluk lain mengusik dan bergurau tuk?"

Saya lihat Datuk tersenyum dengan kata-kata yang saya lakukan. Dua tiga kali Datuk anggukkan kepala. Saya jadi resah, susah benar rasanya mahu menerima pendapat yang Datuk ajukan.

"Kerana makhluk lain tu bergurau, kamu masih dapat bercakap dengan aku. Kalau dia marah, aku tak tahu apa jadi pada kamu. Kamu boleh jadi gila, lari ke gunung atau membunuh orang," lanjut Datuk lagi.

Dia berusaha mahu menyelesaikan soalan yang berlegar-legar dalam tempurung kepala saya.

"Saya nak tanya tuk satu perkara, boleh tak?"

"Boleh, asalkan perkara yang munasabah."

"Tadi tuk buang ular orang halus dekat perdu pokok buluh, apa yang orang halus tu kata pada tuk."

"Hmmmmmmmmmmm..." Datuk kelihatan seperti tergamam.

"Itu cuma syarat saja, memanglah sekali pandang macam aku membawa sesuatu dan melepaskan sesuatu di situ, aku ke situ cuma mematahkan tiga batang pokok kecil," Datuk berhenti bercakap. Matanya tetap tertumpu ke arah laut.

"Buat apa tuk patahkan pokok-pokok kecil tu?"

"Tanda syarat, minta maaf atas perbuatan kamu yang main langgar, tak berbudi bahasa langsung," lagi sekali saya di persalahkan.

"Minta maaf tuk diterima atau tidak?"

"Nampaknya diterima, Tamar."

"Buktinya tuk?"

"Sampai sekarang tak ada tanda-tanda yang orang halus tu nak kacau kita," lanjut Datuk lagi dengan tenang.

Kerana yakin, perasaan Datuk sudah tenang dan berada dalam gembira, saya terus mendekatinya. Berdiri di sebelah kanannya.

Kami sama-sama merenung laut dan ombak. Matahari pagi terus bangun di kaki langit.

Pada hemat saya, bila matahari sudah melepasi paras laut, pasti Datuk tidak akan membatalkan perjalanannya. Sebelum perkara itu berlaku, saya terus mengusulkan kepada Datuk.

"Kita batalkan rancangan kita ni tuk, orang yang tuk nanti tak nampak batang hidungnya. Jangan-jangan dia mainkan kita tuk."

"Kamu ni banyak cakap pula, sepatutnya kamu ni jangan dibawa tadi, buat menyusahkan aku. Kalau kamu tak senang pergilah kamu balik," Datuk meluahkan rasa tidak senangnya terhadap kerenah saya.

Saya mula merasa kesal apa yang berlaku. Sepatutnya saya jangan banyak mulut dan banyak tanya.

Bagi meredakan keadaan, secara perlahan-lahan saya menjauhkan diri dengan Datuk lalu pergi ke gigi pantai, menendang buih-buih ombak hingga kaki seluar saya basah.

Sambil bermain buih saya tetap menjeling ke arah Datuk. Saya ingin tahu, apakah yang dilakukannya bila dia keseorangan.

Ternyata Datuk memerhatikan saja apa yang saya lakukan di tepi pantai.

MENGGIGIL

Angin laut membuat saya menggigil. Bibir dan tubuh saya menggeletar sendirian. Saya terdengar suara datuk berdehem dua kali berturut-turut.

Saya segera merenung ke arahnya. Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi atas renungan saya. Pandangannya tidak berubah, tetap ke arah laut lepas.

Dua tiga kali saya pejam celikkan kelopak mata dan dalam samar-samar kabus itu saya bagaikan terpandang ada seseorang yang mengayuh perahu menuju ke arah saya.

Bagi memastikan apa yang saya lihat itu benarnya bukanya khayalan, kedua belak kelopak mata segera saya gosok dengan telapak tangan.

Memang tidak salah lagi, seorang lelaki sedang bergelut mengayuh perahu di pagi yang dingin.

"Kenapa Tamar."

"Ada orang berperahu datang ke sini tuk."

Tanpa berkata apa-apa Datuk segera memegang tangan saya lalu dipimpin ke gigi pantai.

"Mana dia orangnya Tamar?"

"Di situ," saya segera menuding jari ke arah perahu di tengah laut.

Datuk segera merenung ke arah yang saya tunjukkan. Datuk tumpukan segala perhatian ke arah perahu dan orang yang nampak berbalam dan terumbang-ambing di main ombak.

Mungkin kerana Datuk dapat memastikan yang datang itu benar manusia, dia tersenyum panjang.

"Barangkali orang itu yang kita tunggu Tamar! Tapi kenapa dia menggunakan jalan laut, tidak jalan darat," Datuk seperti merungut.

Dari raut wajahnya saya dapat menduga bahawa Datuk sedang memikirkan sesuatu.

"Begini saja Tamar," kata-kata Datuk berhenti di situ saja.

"Kenapa tuk."

"Untuk kebaikan kita, ada baiknya bersembunyi di balik pokok besar, kita tengok dulu, apakah orang yang datang memang orang yang kita nantikan atau sebaliknya."

"Itu pendapat yang baik, beringat sebelum kena tuk."

"Ah, sudahlah, kamu nak tunjuk pandai pula di sini," nada Datuk agak keras bersama dengan jelingan yang tajam ke arah saya.

Dari balik pokok besar, kami melihat seorang anak muda melompat dari perahu ke pasir pantai.

Dengan sepenuh tenaga dia menolak badan perahu hingga tersadai atas pasir. Anak muda itu merenung ke kiri dan ke kanan, melihat gerak-gerinya.

Bila sudah yakin tidak ada sesiapa yang melihatnya dia pun maju ke darat. Berdiri betul-betul di depan pokok besar tempat saya dan Datuk sembunyikan diri.

Anak muda berkulit sawo matang, rambut hitam dengan parut melintang di pipi kanan melihat jam di tangan, tingginya hampir lima kaki sebelas inci. Jarang-jarang orang Melayu yang boleh mencapai tahap ketinggian seperti itu.

"Agaknya mereka belum datang lagi," anak muda itu bercakap seorang diri.

Datuk segera menyiku rusuk kanan saya. Kami berbalas senyum dan Datuk memberi isyarat kepada saya supaya jangan bertindak apa-apa.

Datuk seolah-olah menyuruh saya melihat telatah anak muda itu, apakah dia orang yang humor.

Lebih kurang sepuluh minit dia berlegar-legar di depan pokok, ternyata anak muda itu mula gelisah dan putus asa. Bersedia mahu melangkah ke perahunya kembali.

Tanpa memberi isyarat Datuk keluar dari tempat persembunyian lalu memberi salam.

"Maafkan saya kerana lambat," kata anak muda itu gugup.

"Tak mengapa," balas Datuk.

Saya segera keluar dari tempat persembunyian, melihat kehadiran saya itu, anak muda itu jadi resah.

"Saya harap tak salah orang," dia renung muka Datuk.

"Maksud kamu apa dia?"

"Saya disuruh oleh bapa saudara saya mengambil kawannya di sini. Katanya, orang itu seorang tetapi, kenapa dua orang. Agaknya saya salah orang."

"Kamu betul, akulah yang berjanji dengan bapa saudara kamu tu dan ini cucu aku. Kenapa kamu ikut jalan laut tidak ikut jalan darat macam dikatakan oleh bapa saudara kamu pada aku?" soal Datuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 138/284

BACA: SBDJ Siri 137: Di Belit Ular Ghaib
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Ganjaran Pahala Bersabar Dengan Anak Perempuan

Ganjaran Pahala Bersabar Dengan Anak Perempuan

Kehadiran anak dalam rumah tangga muslim merupakan nikmat yang besar dari Allah Ta’ala, namun, sebahagian orang ada yang lebih mendambakan kehadiran anak lelaki berbanding anak perempuan, kerana dianggap lebih mulia.

Bersabar Dengan Anak Perempuan

Mereka bangga dan bergembira tatakala dikurniakan anak lelaki. Sebaliknya, bagi sebahagian orang, kehadiran anak perempuan merupakan aib dan dianggap bencana.

Mereka sedih dan kecewa jika dikurniai anak perempuan. Padahal kehadiran anak perempuan juga termasuk nikmat dari Allah.

Bahkan, Islam secara khusus menjelaskan tentang keutamaan anak perempuan dan ganjaran bagi orang tua yang memelihara dan mendidik anak-anak perempuan mereka.

Namun begitu, ada yang berpendapat bahawa anak perempuan akan memberi lebih keberkatan buat ibu bapanya, meskipun masyarakat jahiliah dahulu sangat membenci anak perempuan.

Oleh itu, apakah kenyataan ini benar belaka?

PERTAMA

Hadits dari 'Aisyah radhiyallahu 'anha, beliau berkata, "Ada seorang wanita yang datang menemuiku dengan membawa dua anak perempuannya. Dia meminta-minta kepadaku, namun aku tidak mempunyai apapun kecuali sebiji buah kurma. Lalu aku berikan sebuah kurma tersebut untuknya. Wanita itu menerima kurma tersebut dan membaginya menjadi dua untuk diberikan kepada kedua anaknya, sementara dia sendiri tidak ikut memakannya.

"Kemudian wanita itu bangkit dan keluar bersama anaknya. Setelah itu Rasulullah datang dan aku ceritakan peristiwa tadi kepada beliau, maka Nabi shallallhu ‘alaii wa sallam bersabda, "Barangsiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan, kemudia dia berbuat baik kepada mereka, maka anak-anak perempuan tersebut akan menjadi penghalang dari seksa api neraka." (H.R Muslim 2629)

KEDUA

Diriwayatkan juga dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata,

"Seorang wanita miskin datang kepadaku dengan membawa dua anak perempuannya, lalu aku memberinya tiga biji kurma.

"Kemudian dia memberi untuk anaknya masing-masing sebiji buah kurma, dan satu kurma hendak dia masukkan ke mulutnya untuk dimakan sendiri.

"Namun, kedua anaknya meminta kurma tersebut. Maka si ibu pun membagi dua kurma yang hendak dia makan untuk diberikan kepada kedua-dua anaknya. Peristiwa itu membuatku takjub sehingga aku ceritakan perbuatan wanita tadi kepada Rasulullah. Maka baginda bersabda, “Sesungguhnya Allah telah menetapkan baginya syurga dan membebaskannya dari neraka." (H.R Muslim 2630)

KETIGA

Diriwayatkan dari sahabat Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, dia berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Barangsiapa yang memelihara dua anak perempuan hingga dewasa maka ia akan datang pada hari kiamat bersamaku.” (Anas bin Malik berkata: Nabi menggabungkan jari-jari jemari beliau). (HR Muslim 2631)

Ulasan Hadis

Hadis-hadis di atas mengandungi beberapa faedah:

1. Hadis-hadis di atas menunjukkan keutamaan anak-anak perempuan dalam agama Islam. Imam An Nawawi rahimahullah mengatakan, "Hadis-hadis di atas menunjukkan keutamaan berbuat baik kepada anak-anak perempuan, memberi nafkah kepada mereka, serta bersabar dalam mengurus seluruh urusan mereka."

2. Anak perempuan merupakan ujian bagi orang tua. Sebahagian orang tidak suka dengan kehadiran anak perempuan dan sangat bergembira ketika memiliki anak lelaki. Oleh kerana itu kehadiran anak-anak perempuan dianggap sebagai ujian. Imam An Nawawi rahimahullah menjelaskan, "Anak perempuan disebut sebagai ibtilaa’ (ujian) kerana umumnya manusia tidak menyukai mereka."

Hal ini juga firman Allah Ta’ala: "Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya, dan dia sangat marah. Ia menyembunyikan dirinya dari orang banyak, disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan ataukah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup)? Ketahuilah, alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu." (An Nahl:58)

3. Yang dimaksud memelihara anak perempuan adalah menunaikan hak-hak mereka seperti makan, pakaian, pendidikan, dan lain-lain.

Imam An Nawawi rahimahullah menjelaskan, "Menunaikan hak-hak dengan menafkahi dan mendidik mereka serta memenuhi keperluan-keperluan yang lainnya."

4. Terdapat ganjaran yang besar bagi orang tua yang memelihara anak perempuan mereka, berupa nikmat syurga, terhalang dari seksa api neraka, dan kedekatan bersama Rasulullah di akhirat.

Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: "Sesiapa yang memiliki seorang, dua atau tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka." (Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka, melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a., dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang maksudnya: "Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka." (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Pernahkah Dengar?

"Menjaga lembu sekandang lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan?"

Pernahkah anda mendengar, kata orang tua, menjaga lembu sekandang adalah lebih mudah daripada menjaga seorang anak perempuan?

Kemungkinan ini ada benarnya apakala kita melihat ramai ibu bapa yang menjaga anak-anak mereka dengan hanya memberi tempat tinggal, makan dan minum semata-mata seperti menjaga dan memelihara binatang ternakan yang hanya bertujuan menggemukkan sahaja, sedangkan pendidikan agama tidak diberi penekanan yang sepatutnya.

Contohnya, dalam perkara aurat dan pergaulan hingga akhirnya ramai perempuan atau wanita yang menjadi bahan fitnah dan terdedah dengan berbagai keburukan yang mencemarkan nama baik keluarga dan agama.

Alangkah beruntungnya ibu bapa yang mempunyai anak perempuan, lalu mereka mendidik dengan penuh kesabaran dan kasih sayang.

Mendidik anak perempuan sememangnya mencabar, tetapi cabaran yang besar itu jika dilakukan dengan kesungguhan serta tabah menghadapi kerenah mereka, Allah SWT dan Rasul-Nya telah menjanjikan balasan yang amat besar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wanista

Tuntutan Insurans Pekerjaan (SIP) Jika Anda Hilang Kerja

Tuntutan Insurans Pekerjaan (SIP) Jika Anda Hilang Kerja

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) adalah pelengkap jaringan keselamatan sosial yang bertindak membantu pekerja di Malaysia yang kehilangan pekerjaan, yang akan diberikan bantuan kewangan segera bagi menampung kehidupan, sementara mereka mencari pekerjaan baharu.

Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri

Di samping itu, pekerja berkenaan juga akan diberikan bantuan perkhidmatan pekerjaan yang meliputi program kaunseling kerjaya, carian pekerjaan, pemadanan kerjaya (job matching), penempatan pekerjaan (job placement), kaunseling kerjaya dan latihan.

5 Faedah SIP

Pada dasarnya, caruman yang dibayar oleh majikan dan pekerja kepada PERKESO adalah caruman kepada solidarity fund.

Melalui caruman inilah semua pekerja yang mencarum berkongsi risiko sama tanpa mengira risiko kategori pekerjaan yang berbeza mengikut industri, yang dinamakan konsep Pooling of Resources, Sharing of Risk.

Daripada dana inilah, SIP melindungi pekerja yang kurang bernasib baik dengan bantuan berjumlah RM2,515 sehingga RM14,265.

Terdapat lima faedah kewangan di bawah SIP iaitu:
  1. Elaun Mencari Pekerjaan (EMP): akan dibayar pada kadar 80 peratus, 50 peratus, 40 peratus dan 30 peratus, daripada gaji anggapan bagi tempoh tiga hingga enam bulan maksimum, berdasarkan kelayakan caruman.
  2. Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA): dibayar sebagai satu insentif kepada mereka yang berjaya mendapat pekerjaan awal, iaitu sebelum tamat tempoh pembayaran EMP, sebanyak 25 peratus daripada baki EMP.
  3. Elaun Latihan (EL): dibayar sebagai duit poket minimum RM10 sehari dan maksimum RM20 sehari sepanjang tempoh menjalani latihan.
  4. Fi/Yuran Latihan (FL): diperuntukkan untuk mereka yang menjalani latihan, iaitu sebanyak maksimum RM4,000.
  5. Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB): dibayar kepada mereka yang mempunyai lebih daripada satu majikan dan kehilangan satu daripada pekerjaan dengan bayaran sama seperti faedah EMP dan dibayar secara pukal. Bagi situasi ini, pencarum tidak layak untuk mendapat EL dan FL.

SOALAN LAZIM SISTEM INSURANS PEKERJAAN

Soalan: Apakah syarat–syarat seorang pekerja layak diliputi di bawah Sistem Insurans Pekerjaan?

Jawapan: Pekerja yang layak diliputi di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta SIP) adalah seperti berikut:
  • Semua pekerja yang bertaraf warganegara Malaysia dan pemastautin tetap.
  • Berumur 18-60 tahun (Pekerja berumur 57 tahun ke atas yang tidak pernah mencarum sebelum mencapai umur tersebut TIDAK diliputi Akta SIP dan TIDAK perlu mencarum).
  • Bekerja dengan sektor swasta (Pekerja badan berkanun, kuasa tempatan, perkhidmatan awam dan negeri, pekhidmat domestik dan bekerja sendiri TIDAK diliputi Akta SIP).
  • Berkhidmat berasaskan kontrak perkhidmatan (contract of service).

Soalan: Saya telah kehilangan pekerjaan. Adakah saya layak untuk memohon tuntutan faedah SIP?

Jawapan: Semua permohonan tuntutan faedah SIP perlu memenuhi syarat-syarat berikut;
  • Membuat permohonan tuntutan faedah dalam tempoh 60 hari selepas tarikh kehilangan pekerjaan (loss of employment).
  • Memenuhi Syarat Kelayakan Caruman iaitu caruman pekerja telah dicarum mengikut jadual caruman SIP dan mempunyai bilangan bulan minimum dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Soalan: Apakah kategori kehilangan pekerjaan yang boleh dibuat tuntutan?

Jawapan: Kategori kehilangan pekerjaan yang boleh dibuat tuntutan adalah seperti berikut:
  • Pembuangan kerja/pertindihan.
  • VSS/MSS (Skim pemisahan sukarela dengan persetujuan bersama).
  • Penutupan tempat kerja kerana bencana alam.
  • Bankrap atau penutupan tempat kerja.
  • Pembuangan kerja konstruktif.
  • Perletakan jawatan disebabkan gangguan seksual atau ugutan di tempat kerja.
  • Perletakan jawatan apabila diarah melaksanakan kerja di luar skop yang membahayakan keselamatan.

Soalan: Apakah kategori kehilangan pekerjaan yang tidak boleh dibuat tuntutan?

Jawapan: Kategori kehilangan pekerjaan yang tidak dipertimbangkan tuntutan adalah seperti berikut :
  • Pembuangan akibat salah laku pekerja.
  • Peletakan jawatan sukarela oleh pekerja.
  • Persaraan.
  • Tempoh kontrak perkhidmatan tamat (termasuk penamatan kontrak atas persetujuan bersama atau penyiapan kerja mengikut terma kontrak perkhidmatan).

Soalan: Bagaimanakah cara saya hendak membuat permohonan tuntutan faedah SIP sekiranya saya telah kehilangan pekerjaan?

Jawapan: Permohonan tuntutan faedah SIP boleh dibuat secara atas talian di Portal SIP ataupun hadir sendiri di mana-mana kaunter pejabat PERKESO yang berhampiran dengan anda.

LAMAN WEB SIP PERKESO LOGIN:

Soalan: Apakah dokumen sokongan yang diperlukan semasa permohonan tuntutan faedah SIP dikemukakan?

Jawapan: Setiap permohonan tuntutan faedah SIP perlulah mengemukakan dokumen penting iaitu menyertakan;
  • Salinan KPPN.
  • Bukti kehilangan pekerjaan, contohnya surat penamatan kerja.
  • Salinan maklumat akaun bank.
  • Slip gaji untuk 6 bulan sebelum tarikh kehilangan pekerjaan.

Selain itu, pemohon juga perlulah mengemukakan dokumen sokongan tambahan bagi tujuan melengkapkan tuntutan – tuntutan faedah yang diminta mengikut jenis tuntutan yang layak diterima.

Dokumen sokongan yang disertakan bagi semua jenis faedah adalah seperti jadual di bawah:

Dokumen SIP

Soalan: Bagaimanakah caranya mengemukakan dokumen bercetak semasa membuat permohonan secara atas talian?

Jawapan: Dokumen asal perlulah diimbas dan dimuatnaik ke Portal SIP dengan menggunakan pautan yang telah disediakan dalam borang permohonan secara atas talian.

Soalan: Bagaimanakah cara menyemak status permohonan yang telah didaftarkan melalui Portal SIP?

Jawapan: Semakan kes yang telah didaftarkan melalui Portal online boleh dibuat dengan menggunakan kes ID pengguna dan kata laluan dengan cara log masuk ke Portal SIP.

Soalan: Permohonan saya telah ditolak oleh Pegawai SIP disebabkan tidak layak. Adakah saya dibenarkan untuk membuat rayuan bagi kes sedemikian?

Jawapan: Sebarang kes permohonan SIP yang telah ditolak boleh membuat rayuan kepada Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS) dengan mengemukakan borang permohonan ke alamat berikut:

Urus Setia, Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial, Tkt 11, Menara PERKESO, 281, Jalan Ampang, 50538 Kuala Lumpur.

Soalan: Saya seorang pekerja yang pernah hilang pekerjaan dan menerima faedah SIP. Adakah saya layak untuk memohon faedah SIP untuk kali kedua?

Jawapan: Anda layak untuk membuat permohonan kali kedua sekiranya anda memenuhi syarat-syarat kelayakan caruman yang ditetapkan.

Soalan: Berapakah jumlah bayaran faedah SIP yang saya layak untuk terima untuk Elaun Mencari Pekerjaan?

Jawapan: PERKESO menyediakan Faedah Elaun Mencari Pekerjaan yang dibayar berdasarkan purata gaji bulanan anggapan iaitu 80% pada bulan pertama, 50% pada bulan kedua, 40 % pada bulan ketiga dan 30% pada bulan kelima dan keenam.

Soalan: Sekiranya ada pertanyaan atau kemusykilan, bagaimanakah saya hendak menghubungi PERKESO?

Jawapan: Hubungi Pusat Khidmat Pelanggan (CRM) di talian 1 300 22 8000 atau melalui emel eis@perkeso.gov.my

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Perbezaan Stres Dan Kemurungan

Perbezaan Stres Dan Kemurungan

Kemurungan telah menjadi suatu perkara yang serius kerana terlalu banyak kes yang melibatkan kematian disebabkan 'depression', dengan penyanyi terkenal seperti Avicii dan Chester Bennington, sebagai contoh; telah membunuh diri mereka akibat terlalu tertekan.

Stres Dan Kemurungan

Mungkin ramai antara kita yang tidak pasti sama ada diri sendiri hanyalah stres atau depression (kemurungan).

Jom kita lihat apa perbezaan antara stres dan depression:

STRES (Anxiety)

Stres adalah 'common' dimana perasaan yang anda akan alami apabila berada di bawah tekanan. Ia mungkin berkaitan dengan soal peribadi, trauma, kerja ataupun kewangan.

DEPRESSION (Kemurungan)

Kemurungan adalah isu yang lebih serius dan tekanan yang lebih teruk. Kebanyakan individu yang mengalami kemurungan akan memilih untuk berdiam diri atau memendam perasaan sendiri.

Punca Kemurungan
  • Keturunan.
  • Pekerjaan.
  • Persekitaran.
  • Ubat-ubatan.
  • Penyakit.
  • Corak pemikiran.
  • Stres.
  • Kehilangan orang yang disayangi.

Stres vs Depression

Stres (Tertekan):
  • Stres adalah disebabkan masalah dalam hidup manakala kemurungan boleh berlaku secara tiba tiba walaupun tiada masalah yang timbul.
  • Stres sentiasa berkaitan dengan masalah yang sedang dihadapi. Kemurungan pula boleh disebabkan perkara yang dipendam dan telah lama berlaku.
  • Stres boleh membuatkan seseorang depress atau anxiety dan depression membuatkan seseorang selalu mempunyai 'suicidal thoughts'.

Depression (kemurungan):
  • Depression adalah salah satu penyakit mental yang perlu dirawat segera.
  • Jika anda mempunyai simptom-simptom di atas, disarankan untuk merujuk doktor psikologi atau kaunselor.

Perbezaan

Bila menghadapi sesuatu situasi yang kita tak suka contohnya bergaduh dengan kawan, banyak hutang dan sebagainya kita akan rasa tertekan. Itu maksud perkataan STRESSED. Kita marah, sedih dan kadang kala mengamuk. Bila masalah tersebut selesai kita kembali ceria dan emosi menjadi stabil semula.

Dalam situasi depression yang sebenar, orang yang menghadapinya akan mengalami keadaan yang jauh bezanya berbanding orang yang stres tadi.

Orang depressed mengalami ANHEDONIA (hilang minat untuk buat apa saja perkara yang dia biasa buat, tak nak pergi sekolah kelas, tak nak jumpa kawan-kawan, tak nak keluar rumah, tak nak bangun tidur dan sebagainya).

INSOMNIA (gangguan tidur, sampai tak tidur berhari hari pun ada), turun atau naik berat badan dengan mendadak, gangguan selera makan, rasa diri tak berguna dan banyak lagi.

Dan paling menakutkan adalah keinginan untuk membunuh diri!

Bantu Mereka Dengan Hanya Memahami

Apabila kita faham depresi dari sudut klinikal kita akan faham kenapa pejuang depresi ini tidak suka dapat tuduhan kurang iman, jauh dari Allah, tinggal solat dan sebagainya.

Mereka solat dan sentiasa menangis memohon pertolongan Allah, sentiasa berzikir bahkan solat malam itu semua, mereka memang buat.

Sokong mereka dengan bertanya soalan yang sesuai, seperti bertanya, makan ubat belum? Ubat apa yang ambil? Biasa pergi dapatkan khidmat psikiatri dekat mana? Dosage ubat makin turun ke atau naik? Depresi jenis apa yang dia alami?

Bukannya dengan soalan seperti, kau mesti tak kuat iman kan? Kau mesti tak solat kan? Kau mesti lama tak baca al Quran kan? Kau mesti tak maafkan orang kan? Kau mesti suka bersangka buruk kan? Kau tak tengok orang lain lagi susah dari kau? Apakah ini semua.

Kenapa begitu judgemental dan tidak adil. Janganlah begitu. Otak pun organ manusia yang boleh sakit sama seperti organ lain.

Berlaku adil pada pejuang depresi. Harap dapat jelaslah perbezaanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Saturday, March 14, 2020

Bawang Putih Antibodi Semulajadi Terbaik, Apa Akan Terjadi Kepada Tubuh Jika Makan Setiap Hari?

Bawang Putih Antibodi Semulajadi Terbaik, Apa Akan Terjadi Kepada Tubuh Jika Makan Setiap Hari?

Ramai yang sudah tahu khasiat bawang putih untuk meningkatkan sistem imun badan, tetapi ramai yang tidak suka makan sebab bau bawang putih dan risau badan berbau busuk, kerana mengandungi bahan aktif alisin yang boleh melawan jangkitan dan bakteria.

Bawang Putih Antibodi Semulajadi

Namun, dengan memakan dua ulas bawang putih mentah sehari atau mencampurkannya dalam masakan, boleh memberi kebaikan pada tubuh.

Berikut khasiat dan manfaat bawang putih yang mampu meningkatkan ketahanan badan sekali gus mengelak diri daripada mudah jatuh sakit.

1. Antibiotik Semulajadi

Merupakan ANTIBIOTIK semulajadi yang selamat dan sangat bagus untuk meningkatkan sistem imun badan supaya boleh menghalang sakit berjangkit seperti selesema, kulat, kuman, virus dan yis candida.

2. Alergik

Membantu mengatasi masalah alergik dengan meningkatkan keimunan terhadap penyakit seperti hidung yang sensitif, sinus, asma, selesema dan hepatitis.

3. Penghadaman

Meningkatkan dan membantu masalah sistem penghadaman seperti kembung perut, senak, ulser gastrik dan ketidakhadaman.

4. Tekanan Darah Tinggi

Menstabilkan tekanan darah tinggi dengan pengambilan bawang setiap hari. Garlic dapat mengeluarkan raksa, plumbum dan kadmium, antara punca darah tinggi yang merupakan logam toksik dalam tubuh dengan pantas.

5. Sel Darah

Melindungi sel darah dari kemusnahan yang disebabkan kehadiran logam dalam tubuh, sekali gus menghalang kerosakan hati oleh bahan kimia yang terkandung dalam tubuh tanpa kita sedari.

6. Kolesterol

Membantu menurunkan paras kolestrol, LDL, trigliserid dan kelikatan darah, selain mengurangkan bekuan darah.

Meningkatkan HDL, melindungi jantung dan menghalang strok dan penyakit koronari.

7. Antioksidan

Membantu merawat kanser serta membantu mengurangkan peratusan bahan pencetus kanser iaitu Nitrosamine.

Bawang putih adalah anti-oksidan kerana mengandungi sebatian selenium, germanium dan asid amino, melindungi tubuh dari radikal bebas yang merupakan antara penyebab kanser.

8. Pembengkakan Badan

Mengelakkan Odema iaitu air terkumpul dalam badan terutama pada kaki dan pergelangan kaki.

9. Masalah Pernafasan

Membantu menangani masalah organ-organ pernafasan tersumbat akibat batuk dan brokitis yang berterusan, sakit kerongkong, selesema dan resdung (sinus).

10. Kencing Manis

Bagi mereka yang mempunyai Diabetes, bawang putih dapat meningkatkan pengeluaran insulin dan merangsang hati untuk mengawal gula dalam darah.

12. Mampu melawan bakteria dan semua jenis jangkitan pada:
  • Kerongkong dan telinga (throat & ear infection).
  • Perut memulas (stomach upset).
  • Cirit-birit (Diarrhea).
  • Bronkitis.
  • Luka-luka (infected wounds).
  • Jangkitan yang berulang-ulang pada telinga, kerongkong, gusi, mulut, dada dan sistem air kencing.

13. Bawang Putih Dan Madu

Untuk pengetahuan anda, banyak khasiat bawang putih jika dimakan bersama madu, kerana kedua-duanya memiliki ciri antibiotik terbaik untuk tubuh.

Bawang putih akan memberi tindak balas yang lebih positif jika diambil ketika perut kosong oleh itu, makan satu sudu campuran madu asli dan 2-3 ulas bawang putih setiap pagi sebelum sarapan.

Cuba amalkan selama 7 hari dahulu dan lihat hasilnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 137: Di Belit Ular Ghaib

SBDJ Siri 137: Di Belit Ular Ghaib

Saya kira bila nenek sudah mula duduk bersila begitu, pasti dia mahu mengajukan beberapa pertanyaan untuk Datuk dan pertanyaan yang dikemukakan itu bergantung pada rasa hatinya. Kalau hati sedang marah, pasti pertanyaan yang keluar menyakitkan hati. Kalau hati sudah sejuk, pertanyaan yang terhambur pasti menggembirakan hati Datuk.

Toyol jadi-jadian

Masa terus berlalu, nenek masih membisu. Perbuatan itu menimbulkan keresahan dalam diri saya.

Walaupun demikian, saya masih dapat mendengar deru angin di luar yang beransur perlahan.

Tetapi suara salakan anjing terus mendayu-dayu. Burung tukang, tidak sekerap tadi berbunyi. Cuma yang rancak berbunyi ialah suara cengkerik.

"Dari mana awak nak bertolak?" nada pertanyaan nenek lembut . Wajah Datuk nampak aman dan saya tersenyum.

"Dari Pulau Pinang?" sambung nenek lagi.

Datuk gelengkan kepala.

"Dari Lumut?"

Datuk gelengkan kepala.

"Dari Melaka?"

Macam tadi juga Datuk tetap gelengkan kepala.

"Habis dari mana awak nak bertolak?" suara nenek meninggi, dia mula naik darah.

"Dari Teluk Senangin," jawab Datuk.

"Haa..." nenek terkejut, mulutnya terlopong.

"Awak buat kerja gila, awak naik perahu menyeberang ke Sumatera. Awak nak tempah maut di Selat Melaka," sambung nenek lagi matanya tidak berganjak menatap batang hidung Datuk.

"Begini," ujar Datuk dalam usahanya meredakan rasa bimbang di hati nenek.

"Aku hanya naik perahu ke tengah laut saja, dari situ aku naik tongkang yang bawa barang-barang dari Lumut ke Belawan.

"Dari situ menyusur pantai menuju ke Jambi, kemudian masuk Kuala Sungai Batang Hari," jelas Datuk kepada nenek yang nampak resah semacam saja.

Dari gerak-geri dan air mukanya, saya dapat menduga bahawa nenek kurang puas hati dengan penjelasan Datuk.

Macam ada sesuatu yang ingin diketahuinya, tetapi nenek takut mengajukan pertanyaan kepada Datuk.

"Hum, awak kurang puas hati?" Datuk merenung hidung nenek.

Tidak ada jawapan yang Datuk terima dari nenek. Sebagai suami yang sudah berpuluh tahun mendampingi isteri, Datuk dapat membaca perasaan hati nenek melalui gerak-gerinya.

"Tak usah bimbang, aku dah aturkan perjalanan dengan sebaik mungkin," saya lihat Datuk bersuara penuh ketenangan.

Memang Datuk bersuara mahu menyingkirkan rasa sangsi yang bermain di hati nenek. Tidak ada sepatah kata yang nenek luahkan, dia terus membisu.

Nampaknya nenek lebih senang mendengar dari meluahkan pendapat atau pertanyaan.

"Tongkang yang aku naik tu, tongkang pedagang Acheh. Aku kenal dengan nakhodanya. Sudah lama perkara ini aku aturkan lebih dari setahun," tambah Datuk. Nenek anggukkan kepala tanpa memberi sebarang komen.

"Sampan nak membawa ke tengah laut tu, milik anak saudara nakhoda itu, dia tahu di mana tongkang ayah saudaranya boleh berlabuh, semuanya sudah aku susun. Kamu tak usahlah bimbang," Datuk bersuara lagi.

Nenek menarik nafas lemah. Mata Datuk ditatapnya.

"Kalau sudah begitu, eloklah. Saya bukan apa-apa, saya cuma bimbangkan keselamatan diri awak," nenek meluahkan perasaannya.

"Sayang juga awak kepada saya," Datuk bergurau.

Nenek menghadiahkan senyum sinis kepada Datuk. Saya lihat Datuk terus tersengih panjang.

"Selain dari menengok kampung halaman, bertemu dengan sahabat handai, ke mana lagi awak nak pergi?"

Barulah nenek memperlihatkan keriangan di wajahnya. Datuk membetulkan duduk dan silanya supaya kemas dan selesa.

"Aku nak ke Kampar, Indragiri, Langkat, Serdang, Acheh dan..." Datuk berhenti bercakap dan terus kerutkan kening.

Macam ada sesuatu yang diingatinya. Apakah yang diingat dan difikirkan oleh Datuk untuk diluahkan kepada saya dan nenek?

"Aku ada beberapa tempat lain lagi," Datuk menyambung kata yang terhenti.

"Semua tempat dan daerah yang budaya adatnya serta percakapannya serupa dengan kita di sini, ke situlah aku nak pergi."

"Itulah sebabnya awak kata, awak nak pergi lama," tingkah nenek bersahaja.

Datuk tidak berkata apa-apa, dia hanya sekadar menggoyangkan kepala saja.

BUKA

Nenek bangun dan melangkah ke jendela. Daun jendela dibuka, dia merenung malam yang hitam. Deru angin masih terdengar agak lemah.

Nenek rapatkan daun jendela kembali. Dia memusing badannya lalu merenung ke arah Datuk.

"Pintu dapur yang terkopak bila nak betulkan?"

"Siang esok saja."

"Jadi sepanjang malam ni, pintu tu terdedah. Nanti masuk pencuri susah kita, ada kain sehelai dua habis kena kebas."

"Usah bimbanglah, tahulah aku membuatnya."

Jawapan Datuk itu membuat nenek angkat kaki lalu menuju ke bilik tidur. Barangkali nenek yang sudah lanjut usia sudah mengantuk dan kepenatan.

"Ikut aku Tamar."

Datuk bangun lalu melangkah ke ruang dapur. Tanpa banyak soal saya ikut saja langkahnya hingga sampai ke depan pintu dapur yang terkopak. Datuk ambil daun pintu yang terpisah dengan jenang.

"Tuk nak penukul dan paku, nanti saya cari tuk."

"Tak payah, kamu angkat papan pintu, seginya kamu rapatkan ke jenang."

Saya patuh dengan perintahnya, sambil mengangkat papan pintu, saya mula berfikir, besar kemungkinan Datuk menyuruh saya memegang papan pintu hingga terbit matahari.

Itulah sebabnya, dia tidak mahu mencari paku dan penukul. Tidak habis-habis Datuk mahu mendera saya.

Bucu papan pintu saya lekatkan ke jenang. Hampir sepuluh minit saya memegangnya, Datuk tidak pula menyuruh bergerak dari situ, dia sekadar merenung ke arah saya dengan renungan yang tajam sekali.

"Tuk suruh saya buat macam ini sampai pagi."

"Eh, aku tak cakap apa-apa, kenapa kamu pandai-pandai buat andaian yang bukan-bukan. Apa kamu tak boleh dengar cakap aku," herdik Datuk.

"Maafkan saya," kata saya terketar-ketar.

Memang tidak saya duga sama sekali bahawa pertanyaan itu boleh menimbulkan kemarahan pada diri Datuk.

Saya jadi serba salah, perbuatan yang saya lakukan sebentar tadi membuat Datuk jadi perengus dan suka marah-marah.

Datuk melangkah ke arah saya dengan teratur. Kedua belah tangannya memeluk tubuh. Bila dia sudah hampir dengan saya, kedua belah tangannya diluruskan ke bawah.

"Tentukan kedudukan pintu dengan betul."

Saya segera melihat bucu pintu, sama ada selari dengan jenang pintu yang dibuat dari kayu cengal merah.

"Dah betul kedudukannya, Tamar?"

"Sudah tuk."

"Pegang kuat-kuat, hitung sampai sepuluh, kemudian tahan nafas. Apa yang aku buat jangan kamu tegur. Kalau kamu ternampak apa yang ganjil jangan bersuara. Faham Tamar?"

"Faham tuk."

Selesai saja saya memberi kata putus, saya lihat Datuk menarik nafas sedalam-dalamnya, kemudian dia mengepal penumbuk lalu bergerak perlahan dua tapak ke depan dan berhenti.

Dia melepas nafas dengan lemah. Kemudian Datuk tarik nafas lagi, bergerak setapak ke depan hingga jaraknya dengan papan pintu yang saya pegang, tidak sampai sekaki.

Datuk merenung tajam ke arah papan pintu. Pada saat itu saya terdengar bunyi deru angin yang amat kuat macam ribut.

Papan pintu yang saya pegang bergerak-gerak dengan kuatnya macam ditolak sesuatu dari luar. Tubuh saya terasa seperti diangkat.

Dalam saat-saat seperti itu, saya berhasrat mahu memberitahu Datuk tentang masalah yang saya hadapi. Tetapi, saya seperti kehilangan suara dan tenaga.

Papan pintu yang saya pegang terasa amat berat macam batu besar yang mahu menghempap tubuh saya.

"Pegang dan tahan pintu kuat-kuat," pekik Datuk dengan sekelip mata dia sudah terpacak di sisi saya.

Tubuh saya ditolaknya dengan sekuat tenaga hingga saya tersungkur di lantai. Papan pintu yang saya pegang pun terlepas.

Datuk pun mengganti tempat saya. Apa yang menakjubkan dan menghairankan saya, bila melihat Datuk menahan papan pintu yang selebar lebih dari tiga kaki dengan jari kelingking kiri.

Dengan jari kelingking tersebut dia menggerakkan dan merapatkan papan pintu ke jenang.

Datuk angkat tangan kanan yang sudah di genggam kejamnya lalu menumbuk bahagian tengah papan pintu.

"Sudah selesai, aku buat semuanya ni untuk menyenangkan hati nenek kamu," kata Datuk.

Saya lihat pintu dapur kembali dalam keadaan sediakala. Boleh dibuka dan dikunci. Saya merasa takjub bagaimana engsel di bucu pintu boleh melekat ke jenang pintu tanpa paku dan skru.

"Sudah selesai tuk," saya minta kepastian.

"Dah selesai pun."

"Tak pakai paku dan penukul?"

"Iya, kamu tengok sendiri."

Saya segera memeriksa engsel pintu, ternyata engsel tersebut sudah dipasang dengan skru. Lagi sekali saya merasa takjub.

"Jangan tanya apa-apa," tutur Datuk bila melihat saya mahu mengajukan pertanyaan.

Saya segera angguk kepala. Datuk memimpin tangan saya menuju ke ruang tengah.

"Pergi tidur, ingat lusa kita nak berjalan, itu pun kalau diizinkan Allah, kita ada masa dua hari untuk membuat persiapan.

"Kamu jangan ke mana-mana, tolong nenek buat kerja untuk kita yang mahu ke tanah seberang," tutur Datuk sebelum dia masuk ke bilik tidurnya.

Baru dua langkah Datuk melangkah, dia berpatah balik ke arah saya. Perbuatannya itu memeranjatkan saya. Rasanya tak ada kesalahan yang saya lakukan.

"Ingat Tamar."

"Ingat apa tuk?"

"Jangan beritahu sesiapa dengan apa yang kamu tengok tadi. Pada nenek kamu pun jangan kamu ceritakan."

"Saya faham tuk."

"Begitu juga dengan hajat kita nak ke Jambi. Jangan kau hebahkan dengan orang lain.

"Saya faham tu."

Setelah melihat biji mata dan wajah saya dan yakin saya akan mematuhi pesanannya, barulah Datuk masuk ke bilik.

Sepuluh minit kemudian Datuk keluar. Dia mengambil wuduk, tidak lama berselang terdengar suara Datuk membaca al-Quran.

Dengan rasa letih dan mengantuk, saya rebahkan tubuh atas ranjang, dan sementara menanti mata terpejam, saya segera pasang angan-angan.

Saya gambarkan betapa sukarnya dan payahnya naik tongkang membelah ombak Selat Melaka. Dan akhirnya saya pun terlena.

TINGGAL

Segala barang-barang yang mahu dibawa sudah disediakan oleh nenek di muka pintu. Saya duduk di kaki tangga melihat kelip-kelip yang terbang subuh.

Dan Datuk pun mengakhiri doa sembahyang subuhnya. Sebentar lagi, sebelum matahari terbit saya dan Datuk harus meninggalkan rumah, tidak boleh berpatah balik walaupun ada barang yang tinggal.

Bagi menjamin semua barang-barang dibawa tidak tertinggal, saya ditugaskan memeriksa dan melihatnya.

Kata Datuk, berpatah balik setelah memulakan perjalanan akan membawa padah buruk, mungkin orang yang berjalan itu akan berhadapan dengan masalah besar dalam perjalanan.

Petua yang diwarisi dari nenek moyang itu tetap mahu dipelihara dan dikekalkan oleh Datuk.

"Sudah cukup semuanya, Tamar?" tanya Datuk dari arah belakang.

Saya segera menoleh arahnya. Datuk memakai kemeja hitam lengan panjang. Seluar kuning panjang, bersongkok hitam serta bertali pinggang lebar hitam, macam tali pinggang anggota polis sebelum merdeka.

"Semuanya sudah siap tuk."

"Sudah kamu periksa, apa yang aku suruh sediakan?"

"Sudah tuk."

"Tak ada yang tinggal, Tamar?"

"Tak ada tuk," tutur saya dengan penuh yakin.

"Kau bawa beg kecil, beg besar biar aku yang bawa," kata Datuk sambil menyelitkan lawi ayam ke celah tali pinggang besarnya.

Di bahagian dalam tali pinggang sengaja dibuat tempat khas untuk senjata kecil seperti lawi ayam, kerambit, keris kecil dan sebagainya.

Hari itu, di samping lawi ayam, Datuk juga menyelitkan keris kecil. Dilihat sepintas lalu dari luar, keadaan tali pinggang itu kelihatan macam biasa saja.

Di hujung tali pinggang terdapat tembaga kuning yang disatukan dengan kulit tali pinggang yang lebarnya sama dengan ukuran tali pinggang dan panjangnya kira-kira dua inci.

Datuk pernah menggunakan tembaga di hujung tali pinggang sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya diserang orang jahat.

Datuk sendiri yang menceritakan perkara itu kepada saya. Kesimpulannya, tali pinggang itu, bukan sekadar tali pinggang tetapi ada tujuan yang lain bila di pakai.

"Eloklah kita mulakan perjalanan."

Datuk segera mengambil capal kulit lalu disarungkan ke kaki. Tanpa mengeluarkan arahan selanjutnya Datuk melangkah ke pintu.

Berdiri di situ dengan tangan kiri memegang jenang pintu dan tangan kanan terletak di pinggang.

Perbuatan Datuk berdiri di muka pintu menghalang perjalanan saya. Kalau saya bersuara mungkin Datuk marah atau menengking saya.

Saya mengambil keputusan tunggu dan lihat. Sekiranya Datuk berubah tempat, barulah saya keluar dari rumah.

Seluruh pancaindera, saya tumpukan ke tubuh Datuk yang tercegat di ambang pintu.

Tiba-tiba saya lihat, sepasang tangan Datuk memeluk tubuh dan sepasang matanya tidak berkedip melihat ke arah halaman rumah.

Macam ada sesuatu dilihatnya di situ. Lebih kurang lima minit lamanya, Datuk terpaku begitu.

Datuk menarik nafas dalam-dalam seraya menjatuhkan sepasang tangannya, lurus ke bawah tetapi, jari telunjuk, jari manis dan jari hantu tangan kanan dibengkokkannya, sementara jari telunjuk dan ibu jari diluruskan.

Datuk mengerakkan tubuhnya membelakangi ambang pintu untuk menatap wajah saya. Matanya nampak bercahaya.

"Sudah selesai Tamar?"

"Sudah tuk."

"Kalau begitu sekarang kita mulakan perjalanan."

Datuk mendekati saya lalu membongkok mengambil beg besar dekat tiang besar. Datuk galas beg besar ke bahu.

Dengan serta-merta saya bangun dan mencapai beg kecil yang isinya entah apa, terus saya sangkutkan ke bahu. Neneklah yang mengisikan barang-barang ke dalam beg kecil itu.

Waktu saya mahu memulakan langkah, nenek segera mendekati saya. Nenek paut bahu kiri saya dari belakang. Datuk hanya melihat saja apa yang nenek lakukan terhadap saya.

"Jaga beg itu baik-baik, Tamar."

"Kenapa nek?"

"Dalam beg tu ada bekalan makanan untuk kamu dengan Datuk. Ada rendang ayam dan daging. Cuma elakkan diri kamu berdua dari makan di sebarang tempat, kuih-kuih kering juga ada aku bekalkan."

"Oh, begitu," kata saya.

"Jangan makan merata-rata Tamar," nenek mengingatkan saya untuk kedua kalinya. Saya segera anggukkan kepala.

Saya kira, apa yang nenek turutkan itu sampai juga ke telinga Datuk. Tetapi, dia buat tak kisah saja dan berdiri tenang di ambang tangga. Kemudian Datuk merenung wajah nenek, penuh sayu, penuh penghargaan.

"Kami pergi, doakan kesejahteraan untuk kami," kata Datuk.

Dengan lembut nenek anggukkan kepala sambil sepasang anak matanya menyorot langkah Datuk memijak tangga menuju ke halaman rumah. Dan langkah kami untuk merantau pun bermula.

BERDIRI

Sebaik saja dekat pohon rambutan, saya menoleh ke arah rumah untuk melihat nenek. Apakah dia masih berdiri di pintu atau sudah beredar di situ.

"Kalau sudah melangkah, pantang menoleh ke rumah," Datuk segera menegur perbuatan saya.

"Maafkan saya tuk."

"Lain kali ingat, kalau sudah bulat tekad untuk berjalan, jangan niat apa-apa, jangan toleh kiri kanan, jangan renung depan belakang.

"Tumpukan hati pada perjalanan. Biar selamat, terhindar dari malapetaka dan perbuatan jahat dari makhluk lain."

"Begitu ke tuk?"

"Iyalah, sekarang kamu dah faham, apa sebabnya aku larang kamu menoleh ke rumah tu."

"Iya, saya faham tuk."

"Bagus, lekatkan di hati dan di kepala pesanan aku ini."

"Iya tuk."

"Bagus."

Terlalu cepat Datuk melangkah melanggar rerumput dan pepohon renek hingga hujung seluarnya jadi lembap dan basah diresapi air embun.

Agar tidak ketinggalan jauh oleh Datuk, saya terpaksa berlari dalam dingin pagi yang menyengat itu.

Datuk tidak peduli, sama ada saya tersepak tunggul atau terjerlus dalam lubang. Dia terus melangkah tanpa mahu mengambil tahu apa yang berlaku sekitarnya.

Pada hemat saya, dalam perjalanan kali ini Datuk memperlihatkan tanda-tanda ganjil dan luar biasa.

Sebelumnya, Datuk tidak pernah bersikap demikian. Ciri-ciri yang diperlihatkan oleh Datuk secara tidak langsung menimbulkan tanda-tanya dalam diri saya.

Kicau burung mula kedengaran di reranting pohon. Cukup rancak dan bersahut- sahutan. Sesekali terdengar kokok ayam jantan yang terlewat berkokok.

Kabus nipis mula bangun di celah-celah pepohon kecil. Beruk dan monyet mula bergerak di dahan pokok dengan rasa malas untuk mencari rezeki.

Dan sepanjang perjalanan itu, saya dan Datuk tidak berkata apa-apa pun. Mungkin kerana mahu sampai ke Teluk Senangin, Datuk terpaksa menggunakan jalan pintas membelah paya kecil yang penuh dengan pokok-pokok rumbia dan bemban.

Betapa seksanya terpaksa meranduk air paya yang dalamnya separas buku lali. Serangan nyamuk dan pacat bagaikan tidak mahu bertimbang rasa.

Waktu matahari mula memancarkan senyumannya di bibir langit, saya dan Datuk sudah pun ada di gigi pantai Teluk Senangin.

Alun ombak yang lembut nampak sekata memburu pantai, pancaran matahari yang mula mengembang terus menampar ke permukaan ombak lalu memancarkan cahaya yang sungguh cantik dan indah, sementara warna langit di hujung nampak merah keemasan.

"Saya jadi terpesona dengan keindahan itu.

Mana dia orang yang tuk katakan tu, tak nampak pun dia datang. Hari dah beransur cerah," itu pertanyaan pembuka mulut dari saya untuk Datuk.

Saya lihat Datuk menarik nafas dalam-dalam sambil menggigit bibir. Matanya tajam merenung ke arah laut lepas.

"Mana dia tuk?"

"Kita tunggu dia."

"Sampai dia datang tuk."

"Iyalah," suara Datuk meninggi.

Saya tersentak dan tidak jadi untuk mengemukakan pertanyaan selanjutnya. Datuk menguis-nguis pasir pantai dengan hujung capalnya. Dan saya terus memeluk tubuh sambil menghadapkan wajah ke tengah laut.

Kerana tidak sanggup menahan rasa dingin akibat hembusan angin laut, saya segera bergerak ke arah selatan dan berhenti dekat selonggok kulit nipah yang sudah kering.

Tidak jauh dari longgokan sabut nipah itu terdampar batang buruk yang dihantar oleh ombak ke pantai.

Bahagian pangkal dan hujung batang buruk sudah reput tetapi, bahagian tengahnya masih utuh. Di bahagian yang masih utuh itulah menjadi sasaran meletakkan punggung.

Bagi menghilangkan rasa lenguh di sendi, sepasang kaki saya luruskan sambil mata merenung ke beberapa ekor burung yang sedang berada di dahan yang menjulur ke arah saya. Beburung itu terus berkicau.

NIKMAT

Sedang saya asyik menikmati kicau burung serta bunyi deru ombak. Tiba-tiba saya terasa ada benda lembut jatuh betul-betul di bahagian ubun-ubun kepala.

Benda lembut itu menggelongsor perlahan-lahan ke bahagian bahu. Buat beberapa saat tidak ada pergerakan dari benda lembut tersebut.

Bila saya memusingkan leher ke kanan dan ke kiri, benda lembut tersebut turut bergerak keras lalu membelit batang leher saya.

Apakah benda yang membelit leher saya ini. Barangkali ular sawa? Mana mungkin ada ular sawa waktu pagi begini, timbul pertanyaan dalam hati saya.

Puas saya menoleh ke kiri dan ke kanan, tidak ada sesuatu yang saya nampak di bahu atau di badan saya. Anehnya! Leher saya tetap dirasakan ada sesuatu yang menjerut.

Saya semakin terasa sukar bernafas. Manakala kulit pipi saya terasa seperti dijilat dengan lidah yang bercabang.

Kulit pipi yang dijilat itu terasa amat gatal dan pedih. Saya juga tercium bau hanyir.

Paling mencemaskan, bila benda lembut dan lembik itu terus membelit seluruh badan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 137/284

BACA: SBDJ Siri 136: Lelaki Serba Hitam
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Zirafah Putih Terakhir Bakal Pupus Dari Muka Bumi

Zirafah Putih Terakhir Bakal Pupus Dari Muka Bumi

Zirafah putih terakhir di dunia dan anaknya dilaporkan telah ditemui mati dibunuh oleh pembunuh haram di Ishaqbini Hirola Conservancy, Kenya, merupakan dua daripada hanya tiga zirafah terakhir di dunia.

Zirafah Putih

Pengurus tempat dimana zirafah putih ini dilindungi, Mohammed Ahmednoor berkata, "Kami adalah satu-satunya komuniti di dunia yang menjaga (dan memiliki) zirafah putih.

"Kejadian ini adalah satu tamparan bagi memastikan langkah-langkah luar biasa yang akan diambil oleh komuniti untuk memulihara spesies unik ini dan ia juga wake up call untuk usaha pemuliharaan."

Mohammed turut memberitahu bahawa, zirafah itu ditemui mati dalam keadaan hanya tinggal rangka selepas dibunuh oleh pemburu haram.

Zirafah Putih Dibunuh

Zirafah dari spesies putih ini ditemui pada tahun 2017 di pusat pemuliharaan dan dijumpai kali kedua pada Ogos 2019 ketika ia melahirkan anak.

Warna putih zirafah ini adalah disebabkan oleh kejadian yang dipanggil Leucism, satu keadaan di mana warna pigmen di dalam badan zirafah hilang.

Kita sering dimomokkan oleh pemanasan global dan beberapa kejadian yang terjadi akibat daripada alam sekitar, namun apa yang jelas, ramai orang tidak benar-benar peduli tentang alam semula jadi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Ketahui Maksud Epidemik, Endemik Dan Pandemik, Istilah Yang Merujuk Penularan Penyakit Berbahaya

Ketahui Maksud Epidemik, Endemik Dan Pandemik, Istilah Yang Merujuk Penularan Penyakit Berbahaya

Terdapat 3 istilah yang kerap digunakan untuk menunjukkan betapa seriusnya penularan sesuatu wabak penyakit iaitu Epidemik, Endemik dan Pandemik, dengan setiap satu daripada istilah ini membawa maksud yang berbeza.

Maksud Epidemik, Endemik Dan Pandemik

Untuk memahami apakah maksud di sebalik terma itu, berikut penjelasan makna di sebalik tiga terma yang menggambarkan situasi penularan wabak iaitu epidemik, endemik dan pandemik.

1. Epidemik

Epidemik membawa maksud penyakit berjangkit yang mudah merebak di kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama, atau juga wabak yang menyerang sekumpulan manusia atau komuniti.

Terma epidemik ini digunakan sekitar tahun 1600 apabila berlakunya wabak dalam kelompok komuniti membabitkan orang Greek dan istilah itu masih kekal sehingga hari ini.

Contoh wabak epidemik yang melanda negara kita ialah serangan virus nipah yang menyerang komuniti di daerah Kinta, Perak pada tahun 1998.

2. Endemik

Endemik merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu, termasuk penularan wabak dalam skop yang lebih besar seperti melibatkan sebuah negara.

Perkara ini juga membawa makna kepunyaan atau berasal daripada sekumpulan manusia di sesuatu tempat tertentu.

Penyakit malaria yang menyerang kawasan-kawasan di benua Afrika satu ketika dulu adalah antara endemik yang mengancam dunia.

Tiga negara di dunia yang merekodkan wabak endemik paling tinggi adalah Republik Congo, Madagascar dan juga Peru.

Endemik lain yang tercatat dalam sejarah termasuk penyakit demam kuning dan malaria di Congo; wabak bubonik di Madagascar; dan wabak demam kuning, malaria dan demam denggi di Peru.

3. Pandemik

Istilah pandemik merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata.

Wabak pandemik ini akan mengancam kawasan yang lebih luas seperti sebuah negeri, negara, benua, juga seluruh dunia jika dibiarkan melarat.

Pandemik bermula daripada penularan wabak di peringkat epidemik yang merebak secara meluas sehingga tidak dapat dikawal dan mampu membunuh ramai orang dalam masa singkat.

Namun, sekiranya sesuatu wabak itu berada pada peringkat endemik dan menyerang satu negara misalnya, tetapi berada dalam keadaan terkawal, wabak itu tidak akan dikategorikan sebagai satu pandemik.

Antara pandemik yang pernah berlaku adalah wabak Antonine, wabak Jusne serta 'The Black Death' yang dipercayai membunuh puluhan juta orang sekitar abad ke 14.

Pada ketika ini, satu-satunya pandemik yang sedang berlaku adalah penyakit HIV/AIDS yang diramalkan mampu mengorbankan sehingga 100 juta orang pada tahun 2025 kelak.

Selain itu, krisis Koronavirus (COVID-19) yang menghantui seluruh dunia ketika ini juga telah diklasifikasikan sebagai penularan wabak pandemik oleh WHO.

Panik

Dengan pengisytiharan pandemik, ia pastinya akan membuatkan orang ramai panik akan tetapi, jika anda mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan pihak berkuasa memainkan peranan mereka untuk membendung perkara ini, maka wabak dapat dikawal daripada merebak.

Orang awam dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari menghadiri perjumpaan awam, pesta keramaian dan sebagainya ketika amaran telah dikeluarkan.

Anda juga harus mengelak untuk melancong ke negara yang sedang dilanda wabak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Maklumat Penyakit Polio Dan Imunisasi Pencegahan

Maklumat Penyakit Polio Dan Imunisasi Pencegahan

Polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal yang sekiranya kegagalan pernafasan berlaku, ia boleh membawa maut.

Apa itu Penyakit Polio

Imunisasi polio merupakan vaksin yang digunakan untuk melindungi tubuh dari gangguan poliomyelitis atau jangkitan polio yang sangat penting untuk mencegah penularan, kerana jika dibiarkan tanpa langkah pencegahan, polio boleh membahayakan dan mengancam nyawa pesakit.

Bagaimana Virus Polio Merebak?

Virus Polio menjangkiti manusia secara fekal-oral, yang mana virus dalam najis individu dijangkiti polio yang tidak dicuci sempurna, akan memasuki tubuh individu lain.

Tanda-tanda Dan Gejala Penyakit Polio

Kebanyakan orang yang dijangkiti virus polio tidak menunjukkan sebarang gejala. Hanya 1 daripada 4 orang dengan jangkitan virus polio akan mengalami gejala demam selesema. Gejala-gejala ini biasanya dialami selama dua (2) hingga lima (5) hari dan kemudian sembuh dengan sendiri tanpa sebarang komplikasi.

Walau bagaimanapun, sebilangan kecil kes akan mengalami gejala lebih serius akibat jangkitan pada otak dan saraf tunjang seperti:
  • Kebas
  • Meningitis iaitu keradangan pada selaput otak
  • Lumpuh
  • Kematian

Adakah Polio Boleh Dirawat?

Tidak. Tetapi polio boleh dicegah melalui imunisasi polio yang lengkap.

Siapa Yang Harus Menerima Imunisasi Polio?

Semua kanak-kanak berumur dibawah 13 tahun harus menerima imunisasi polio tanpa mengira status kewarganegaraan dan status imunisasi lampau.

Bagaimana Cara Pemberian Vaksin Polio?

Jenis vaksin polio yang diberi adalah dalam bentuk 2 titisan terus ke dalam mulut (oral).

Gabungan 2 vaksin polio terkini (bOPV dan mOPV) yang mana 2 dos setiap satu vaksin dengan jarak masa pemberian 2-4 minggu, maka jumlah dos lengkap adalah 4 dos kesemuanya.

Kenapa Imunisasi Polio Secara Oral?

Antibodi terhadap virus polio akan mula terhasil didalam perut dan sistem peredaran darah apabila vaksin ditelan lengkap.

Oleh itu, kanak-kanak yang menerima vaksin polio secara oral akan mendapat perlindungan berganda, iaitu pertahanan imun tubuh terhadap kuman polio didalam perut dan dalam peredaran darah.

Apa Yang Perlu Dilakukan Selepas Menerima Imunisasi Polio?
  • Kanak-kanak dilarang makan dan minum dalam tempoh 30 minit selepas menerima titisan vaksin polio.
  • Perlindungan penuh hanya boleh dicapai dengan 4 dos imunisasi lengkap.
  • Amalkan menggunakan tandas yang mempunyai sistem kumbahan yang sempurna.
  • Amalkan kebersihan dan amalan mencuci tangan dengan sempurna setiap masa, terutama selepas menggunakan tandas dan sebelum menyentuh makanan dan minuman.
  • Amalkan minum air yang telah dimasak sempurna dari sumber air terawat dan dinginkan, simpan ditempat yang bersih dan selamat.
  • Sekiranya ada reaksi alahan selepas imunisasi, sila segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Harga Vaksin Polio Di Klinik Swasta

Harga Vaksin Polio

Apakah Status Penyakit Polio di Malaysia?

Kes polio terakhir di Malaysia adalah pada tahun 1992. Sejak Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region) telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio.

Walau bagaimanapun, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut, pada 6 Disember 2019, satu (1) kes telah disahkan dijangkiti virus polio.

Adakah Negara Kita Berisiko untuk Mendapat Jangkitan Virus Polio?

Ya. Negara kita berisiko untuk mendapat jangkitan virus polio kerana terdapat negara di dunia ini yang belum bebas dari penyakit polio.

Sekiranya terdapat pengembara yang dijangkiti virus polio dari negara terbabit masuk ke kawasan di negara ini yang ramai ahli masyarakatnya tidak mendapatkan imunisasi polio, maka risiko virus ini merebak adalah tinggi.

Penularan ini akan lebih mudah berlaku sekiranya kebersihan diri tidak dijaga dan persekitaran kotor.

Siapakah yang Berisiko Mendapat Penyakit Polio?

Individu yang tiada sejarah pelalian polio lengkap adalah berisiko dijangkiti virus polio jika;
  • Tidak membasuh tangan dengan sempurna selepas mengendalikan kes dijangkiti polio buang air besar termasuk selepas menukar lampinnya.
  • Tidak menggunakan bekalan air bersih.
  • Tidak menggunakan tandas dengan sempurna.
  • Mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan penerima organ.
  • Sejarah terkini perjalanan ke kawasan yang berlaku wabak polio.
  • Mengendalikan spesimen makmal virus polio.

Apakah nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan orang ramai untuk:
  • Memastikan anak-anak mendapatkan vaksinasi polio yang lengkap mengikut jadual yang telah ditetapkan.
  • Membawa kanak-kanak yang cicir imunisasi ke fasiliti kesihatan yang terdekat.
  • Mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat sekiranya mengalami gejala AFP.
  • Sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas keluar tandas dan selepas menukar lampin pakai buang serta menjaga kebersihan persekitaran.
  • Menyediakan makanan secara bersih dan selamat, termasuk membasuh ulam-ulaman atau sayur-sayuran yang dimakan mentah dengan air bersih, minum air yang telah dimasak serta memilih premis makanan yang bersih.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com