Ahad, Januari 12, 2014

LUAR BIASA! Lyudmila Titchenkova Digelar Gadis Zirafah


Loading...

Pada usia 16 tahun, Lyudmila Titchenkova sudah mempunyai ketinggian mencecah 197 sentimeter.

Lyudmila Titchenkova

Ketinggian luar biasa gadis yang berasal dari Nikolaev, Ukraine itu menyebabkan dia lebih dikenali sebagai zirafah dalam kalangan rakan-rakannya.

Bagaimanapun, gadis cantik itu memberitahu, dia sedikit pun tidak berasa kecil hati dengan gelaran itu.

"Dahulu, saya sering merasa rendah diri kerana sering diejek kawan-kawan di sekolah.

"Saya juga malu untuk berdepan dengan masyarakat sekeliling. Namun, lama-kelamaan saya jadi biasa dengan kritikan yang diterima," katanya menerusi portal Rocket News 24.

Cerita Titchenkova, keganjilan pertumbuhan fizikal pada tubuhnya mula dikesan sewaktu dia berumur 10 tahun.

(Baca: Pelik! Tutup Telinga Untuk Mengelak Bau Busuk)

Ketika itu, kedua-dua ibu bapanya menyedari kadar pertumbuhan pada anggota badannya dilihat tidak normal kerana berkembang dengan sangat pantas jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya lain.

"Secara fizikal, saya jauh lebih tinggi daripada kawan-kawan seusia malah ukuran tangan serta leher saya juga berbeza berbanding kanak-kanak normal.

"Ibu dan bapa saya turut melahirkan kebimbangan terhadap situasi pelik yang berlaku ke atas diri saya ini," katanya sambil memberitahu, adiknya, Tamura turut mengalami penyakit serupa.

Selain itu, pertumbuhan abnormal fizikal gadis berkenaan turut melibatkan bahagian tulang belakang yang kelihatan sedikit melengkung.

Titchenkova memberitahu, dia kemudiannya dirujuk ke sebuah hospital di Ukraine untuk mendapatkan rawatan selain bagi mengenal pasti punca sebenar penyakit tersebut.

Setelah menjalani beberapa ujian, pihak hospital mendapati gadis berkenaan menghidap sejenis penyakit genetik yang dikenali sebagai sindrom Marfan.

Menurut National Marfan Foundation yang berpusat di Port Washington, New York, Amerika Syarikat (AS), sindrom tersebut merupakan sejenis penyakit yang disebabkan oleh kecacatan genetik manusia.

Kebiasaannya, ia akan menyerang tisu penghubung yang berfungsi sebagai otot penyokong kepada pelbagai struktur tubuh manusia.

Gangguan genetik itu sekali gus menjejaskan fungsi organ terutamanya jantung, pembuluh darah, tulang, sendi dan mata.

"Bahagian badan memerlukan otot penghubung yang kental untuk menyokong setiap fungsinya.

"Tisu penghubung yang lemah pada jantung misalnya membuatkan otot yang berkembang menjadi longgar ketika proses pengepaman darah.

"Ada juga kes terpencil yang dilaporkan turut menyerang organ lain seperti paru-paru dan kulit," katanya.

Dalam kes Titchenkova, penyakit itu menyerang tisu penghubung pada tulang belakangnya sehingga menyebabkan dia mengalami masalah tulang belakang membengkok (scoliosis) sehingga mengakibatkan tubuhnya menjadi bongkok 30 darjah.

Bagaimanapun, gadis tersebut berjaya menjalani pembedahan di Institute of Spine and Joint Pathology di Ukraine bagi memperbetulkan keadaan tulang belakangnya itu.

Menurut doktor pakar yang merawat Titchenkova, Dr. Dmitry Petrenko, pembedahan yang dijalankan adalah bagi meluruskan struktur tulang belakang agar tidak membahayakan organ lain.

"Dia (Titchenkova) akan menjalani tempoh pemulihan buat sementara waktu sebelum dapat menempuhi kehidupan normal," ujarnya.

Sementara itu, Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Malinee Thambyayah berkata, sindrom Marfan boleh dihidapi sesiapa sahaja tanpa mengira usia termasuklah golongan lelaki, wanita serta kanak-kanak.

(Baca: Misteri Puaka Di Berkeley Square)

Katanya, penyakit itu biasanya diwarisi daripada salah seorang ahli keluarga iaitu ibu atau bapa dan tidak mempunyai penawar buat masa ini.

Meskipun demikian, terdapat beberapa kaedah rawatan yang digunakan untuk mengekang serangan penyakit tersebut antaranya melakukan fisioterapi, pemeriksaan berkala, pengambilan ubat-ubatan khas, dan pembedahan.

"Jangka hayat pesakit kini semakin panjang kerana mereka mula mendapatkan rawatan secara berterusan daripada doktor.

"Selalunya mereka akan dirawat oleh pihak kardiologi yang akan selalu memantau kesihatan jantung termasuk injap dan aorta.

"Tujuan rawatan adalah untuk melambatkan kerosakan pada injap jantung selain meminimumkan tekanan darah," katanya.

Sumber: Kosmo

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon