Sabtu, Mac 14, 2020

Maklumat Penyakit Polio Dan Imunisasi Pencegahan


Loading...

Polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal yang sekiranya kegagalan pernafasan berlaku, ia boleh membawa maut.

Apa itu Penyakit Polio

Imunisasi polio merupakan vaksin yang digunakan untuk melindungi tubuh dari gangguan poliomyelitis atau jangkitan polio yang sangat penting untuk mencegah penularan, kerana jika dibiarkan tanpa langkah pencegahan, polio boleh membahayakan dan mengancam nyawa pesakit.

Bagaimana Virus Polio Merebak?

Virus Polio menjangkiti manusia secara fekal-oral, yang mana virus dalam najis individu dijangkiti polio yang tidak dicuci sempurna, akan memasuki tubuh individu lain.

Tanda-tanda Dan Gejala Penyakit Polio

Kebanyakan orang yang dijangkiti virus polio tidak menunjukkan sebarang gejala. Hanya 1 daripada 4 orang dengan jangkitan virus polio akan mengalami gejala demam selesema. Gejala-gejala ini biasanya dialami selama dua (2) hingga lima (5) hari dan kemudian sembuh dengan sendiri tanpa sebarang komplikasi.

Walau bagaimanapun, sebilangan kecil kes akan mengalami gejala lebih serius akibat jangkitan pada otak dan saraf tunjang seperti:
  • Kebas
  • Meningitis iaitu keradangan pada selaput otak
  • Lumpuh
  • Kematian

Adakah Polio Boleh Dirawat?

Tidak. Tetapi polio boleh dicegah melalui imunisasi polio yang lengkap.

Siapa Yang Harus Menerima Imunisasi Polio?

Semua kanak-kanak berumur dibawah 13 tahun harus menerima imunisasi polio tanpa mengira status kewarganegaraan dan status imunisasi lampau.

Bagaimana Cara Pemberian Vaksin Polio?

Jenis vaksin polio yang diberi adalah dalam bentuk 2 titisan terus ke dalam mulut (oral).

Gabungan 2 vaksin polio terkini (bOPV dan mOPV) yang mana 2 dos setiap satu vaksin dengan jarak masa pemberian 2-4 minggu, maka jumlah dos lengkap adalah 4 dos kesemuanya.

Kenapa Imunisasi Polio Secara Oral?

Antibodi terhadap virus polio akan mula terhasil didalam perut dan sistem peredaran darah apabila vaksin ditelan lengkap.

Oleh itu, kanak-kanak yang menerima vaksin polio secara oral akan mendapat perlindungan berganda, iaitu pertahanan imun tubuh terhadap kuman polio didalam perut dan dalam peredaran darah.

Apa Yang Perlu Dilakukan Selepas Menerima Imunisasi Polio?
  • Kanak-kanak dilarang makan dan minum dalam tempoh 30 minit selepas menerima titisan vaksin polio.
  • Perlindungan penuh hanya boleh dicapai dengan 4 dos imunisasi lengkap.
  • Amalkan menggunakan tandas yang mempunyai sistem kumbahan yang sempurna.
  • Amalkan kebersihan dan amalan mencuci tangan dengan sempurna setiap masa, terutama selepas menggunakan tandas dan sebelum menyentuh makanan dan minuman.
  • Amalkan minum air yang telah dimasak sempurna dari sumber air terawat dan dinginkan, simpan ditempat yang bersih dan selamat.
  • Sekiranya ada reaksi alahan selepas imunisasi, sila segera ke klinik atau hospital berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Harga Vaksin Polio Di Klinik Swasta

Harga Vaksin Polio

Apakah Status Penyakit Polio di Malaysia?

Kes polio terakhir di Malaysia adalah pada tahun 1992. Sejak Oktober 2000, Malaysia bersama-sama dengan negara-negara Rantau Pasifik Barat (Western Pacific Region) telah diisytiharkan bebas daripada penyakit polio.

Walau bagaimanapun, setelah 27 tahun Malaysia bebas daripada penyakit tersebut, pada 6 Disember 2019, satu (1) kes telah disahkan dijangkiti virus polio.

Adakah Negara Kita Berisiko untuk Mendapat Jangkitan Virus Polio?

Ya. Negara kita berisiko untuk mendapat jangkitan virus polio kerana terdapat negara di dunia ini yang belum bebas dari penyakit polio.

Sekiranya terdapat pengembara yang dijangkiti virus polio dari negara terbabit masuk ke kawasan di negara ini yang ramai ahli masyarakatnya tidak mendapatkan imunisasi polio, maka risiko virus ini merebak adalah tinggi.

Penularan ini akan lebih mudah berlaku sekiranya kebersihan diri tidak dijaga dan persekitaran kotor.

Siapakah yang Berisiko Mendapat Penyakit Polio?

Individu yang tiada sejarah pelalian polio lengkap adalah berisiko dijangkiti virus polio jika;
  • Tidak membasuh tangan dengan sempurna selepas mengendalikan kes dijangkiti polio buang air besar termasuk selepas menukar lampinnya.
  • Tidak menggunakan bekalan air bersih.
  • Tidak menggunakan tandas dengan sempurna.
  • Mempunyai sistem imun yang rendah seperti pesakit yang sedang menjalani rawatan kemoterapi dan penerima organ.
  • Sejarah terkini perjalanan ke kawasan yang berlaku wabak polio.
  • Mengendalikan spesimen makmal virus polio.

Apakah nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menasihatkan orang ramai untuk:
  • Memastikan anak-anak mendapatkan vaksinasi polio yang lengkap mengikut jadual yang telah ditetapkan.
  • Membawa kanak-kanak yang cicir imunisasi ke fasiliti kesihatan yang terdekat.
  • Mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan yang terdekat sekiranya mengalami gejala AFP.
  • Sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer), terutamanya selepas keluar tandas dan selepas menukar lampin pakai buang serta menjaga kebersihan persekitaran.
  • Menyediakan makanan secara bersih dan selamat, termasuk membasuh ulam-ulaman atau sayur-sayuran yang dimakan mentah dengan air bersih, minum air yang telah dimasak serta memilih premis makanan yang bersih.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon