Tuesday, December 10, 2019

Apa Itu Penyakit Polio?


Polio atau poliomyelitis adalah penyakit akibat jangkitan virus polio yang merosakkan sistem saraf pusat dan lazimnya menjangkiti kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun yang belum mendapat pelalian, namun virus ini juga boleh menjangkiti orang dewasa.

Penyakit Polio

Virus liar polio (wild polio virus – WPV) masih endemik di tiga buah negara (Afghanistan, Pakistan dan Nigeria) dan beberapa buah negara lain juga dijangkiti virus ini kerana pergerakan manusia, kerana selagi terdapat negara yang menyebarkan WPV, semua negara masih berisiko dijangkiti.

Agen penyebab

Poliovirus jenis 1, 2 dan 3 (genus Enteroviruses). WPV jenis 2 telah dibasmi semenjak tahun 1988.

Cara jangkitan

Jangkitan berlaku dari orang ke orang melalui transmisi faecal-oral, yang bermaksud kontaminasi dengan najis dari individu yang dijangkiti.

Namun, wabak polio jarang berlaku disebabkan oleh makanan atau air yang tercemar kerana 95% kes yang dijangkiti tidak akan mengalami gejala.

Jangkitan virus polio biasanya berlaku dalam saluran gastrousus (GI) dan merebak ke kelenjar limfa setempat. Dalam kes tertentu ia merebak ke sistem saraf pusat.

Tempoh pengeraman

7 hingga 14 hari sebelum gejala timbul. Ia boleh berlaku seawal 3 hari.

Tanda dan Gejala

Seramai 95% kes tidak menunjukkan gejala dan tubuh membentuk antibodi memberi perlindungan sepanjang hayat. Manakala 5% lagi menunjukkan tanda dan gejala selesema dan kemudiannya pulih semula.

Kurang dari 1% kes yang dijangkiti virus polio menyebabkan penyakit lumpuh yang menjejaskan sistem saraf.

Tanda dan gejala ringan yang terdapat dalam 5% pesakit yang dijangkiti adalah demam, malaise (letih dan lesu), sakit kepala, loya dan muntah.

Pesakit boleh menjadi lumpuh sekiranya virus ini menyerang sistem saraf pusat. Pesakit akan mengalami sakit otot dan kaku di bahagian leher dan belakang. Lumpuh biasanya tidak simetri (bukan pada kedua-dua belah anggota) dan pesakit mengalami demam sebelum lumpuh peringkat awal. Kaki lebih kerap terjejas berbanding tangan.

Komplikasi

Otot pernafasan dan/atau otot menelan menjadi lumpuh sehingga boleh mengancam nyawa. Kelumpuhan anggota badan adalah kekal.

Rawatan

Tiada rawatan khusus. Rawatan diberikan semasa fasa akut sehingga ke peringkat komplikasi lumpuh. Peralatan pernafasan diperlukan bagi pesakit yang mengalami kelumpuhan otot pernafasan.

Terapi fizikal dilakukan untuk memaksimumkan fungsi otot selepas menjadi lumpuh bagi mencegah kecacatan lain yang muncul lewat.

Pelalian Pencegahan

Jenis vaksin: terdapat dua jenis vaksin polio iaitu Oral Polio Vaccine (OPV) yang dititiskan ke dalam mulut dan Inactivated Polio vaccine (IPV) yang diberi secara suntikan.

Bilangan dos: 3 dos prime dan 1 dos tambahan.

Jadual: diberi ketika berumur 2, 3, dan 5 bulan dengan dos tambahan pada umur 18 bulan (Jadual Imunisasi Kebangsaan di Malaysia).

Kontraindikasi: Tiada

Pengembara: Mereka yang hendak mengembara ke negara yang endemik atau sedang mengalami jangkitan WPV, dinasihatkan untuk mendapatkan pelalian polio selewat-lewatnya 4 minggu sebelum berlepas.

Langkah berjaga-jaga khusus: Individu yang mempunyai sistem imuniti yang rendah (immunocompromised) hendaklah mengambil vaksin IPV.

Vaksin OPV yang mengandungi virus polio yang dinyahaktifkan boleh bertukar menjadi aktif dan menyebabkan penyakit kepada mereka yang immunocompromised ini.

Panduan mencegah jangkitan:
  • Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas.
  • Pastikan sanitari baik, gunakan tandas dengan sistem kumbahan yang baik.
  • Didihkan air minuman atau minum air yang dibotolkan atau air berkarbonat. (pastikan pembalut penutup botol tidak rosak).
  • Makan makanan yang tidak memerlukan banyak pengendalian. Kupas kulit buah-buahan. Elakkan salad atau ulam-ulaman (sayuran yang tidak dimasak).
  • Memakan hidangan bufet sebaik sahaja dihidang.
  • Elakkan makan makanan berbungkus yang dijual di tepi jalan.

SEJARAH POLIO YANG MELANDA EROPAH DAN AS DAHULU

Pada awal abad ke-20, wabak polio menyerang masyarakat di Eropah dan Amerika Syarikat. Ratusan ribu orang dijangkiti dengan angka kematian mececah ribuan orang. Belum lagi dikira mereka yang mengalami kecacatan seumur hidup.

Semua yang mengalami selesema akan sentiasa berharap agar ianya bukan polio. Selepas penemuan vaksin pertama pada tahun 1955, dan seterusnya vaksin kedua pada tahun 1960, mimpi ngeri tersebut berakhir.

Lihat sahaja dua tahun lepas (2016), semasa virus Zika yang berasal daripada Afrika mula masuk ke Malaysia, semua orang, khususnya ibu mengandung, risau dan takut jika terkena jangkitan yang boleh membuatkan bayi cacat. Begitulah mungkin perasaan yang dialami dahulu semasa wabak polio merebak, atau mungkin lebih.

Masyarakat dan profesional harus berinteraksi

Walaupun vaksin telah terbukti secara saintifik di atas kertas dan realiti bahawa ia sangat berkesan dalam mencegah penyakit yang berkaitan serta selamat digunakan, mungkin ada sebahagian dalam kalangan masyarakat tidak mampu memahaminya.

Golongan profesional kesihatan, khususnya, perlu mencari titik temu dengan golongan ini. Ia bukan masalah saintifik, sebaliknya isu sosial.

Di sinilah interaksi antara dua pihak mula berperanan. Segala kebimbangan dan salah faham harus dijelaskan. Dalam masa yang sama, penjelasan tersebut harus sampai kepada mereka yang berkaitan.

Persepsi dan keyakinan kepada sains pun mungkin sedikit sebanyak terjejas dengan kemunculan golongan pseudosains yang jelas tidak saintifik.

Keraguan terhadap syarikat-syarikat farmaseutikal besar daripada Eropah dan Amerika Syarikat juga mungkin membuatkan orang takut dan berwaspada.

Melihat kepada pengurangan pada liputan vaksin serta kemunculan semula kes-kes seperti campak, batuk kokol dan difteria, tindakan perlu diambil. Jika tidak dibendung, tidak mustahil wabak akan berlaku semula.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon