Friday, March 13, 2020

SBDJ Siri 136: Lelaki Serba Hitam


Dalam hidupnya, nenek hanya mengenal huruf-huruf Arab dan tulisan jawi. Dia mengenal Alif, Ba, Ta, sampai habis. Dia tidak boleh mengeja huruf-huruf tetapi dia boleh membaca muqaddam dan Quran.

Toyol jadi-jadian

"Ganjil, macam mana kisah orang-orang Islam, orang putih yang tulis," sambung nenek lagi seperti merungut. Di wajahnya terpamer rasa takjub yang amat sangat.

"Bukan tulisan orang putih nek, tulisan rumi dalam bahasa Indonesia, terjemahan dari bahasa Arab," jelas saya.

"Hum! begitu," nenek angguk kepala.

Wajahnya nampak aman. Buat beberapa saat saya dan nenek tidak berkata apa-apa.

Kami merelakan suara kicau burung murni memukul gegendang telinga kami.

Serentak saya dan nenek merenung ke arah pepohon yang kaku di halaman rumah. Matahari petang terus bersinar lembut.

"Datuk ke mana nek? Dalam diam-diam dia menghilangkan diri," saya mengajukan pertanyaan.

Nenek terus membisu, matanya masih tertumpu di halaman rumah menerusi jendela yang terdedah. Saya jadi resah, bila nenek bersikap demikian. Saya jadi serba salah.

"Datuk ke mana nek?" ulang saya lagi.

"Hai! Dia tak bagi tahu kamu, ke mana dia nak pergi?" saya gelengkan kepala perlahan-lahan.

"Orang tua itu memang pelik, makin tua makin berahsia dengan bini dan cucu," nenek seperti merungut.

Geli hati saya melihat telatah nenek. Di depan Datuk tidak berani protes, di belakang Datuk bukan main lagi kepalang berani.

"Dia ke mana nek?" saya merayu.

"Ke mana lagi, kalau tidak berjumpa kaum kerabat dan handai taulannya, maklumlah dia nak balik ke tanah nenek moyangnya, bukan apa tu, nak bawa pesan," nenek menjuihkan bibir bawahnya. Dia mencemik Datuk.

Saya segera menutup bibir mulut dengan kedua belah tapak tangan, agar senyum saya tidak dapat dikesan oleh nenek.

Dari kata-kata yang nenek luahkan itu, saya dapat mengesan ke mana datuk pergi.

Sudah pasti Datuk pergi ke Tronoh, Seputih, ke Chemor, ke Kampung Kerinci, ke Kampung Abdullah Hukum yang terletak di kawasan Kuala Lumpur.

Dari situ Datuk berangkat ke Kajang, ke Temerloh dan beberapa tempat lain yang ramai didiami oleh orang-orang dari Negeri Jambi yang terdiri dari daerah Kerinci, Panai, Bilah, Rawa, Salok, Mendailing dan sebagainya.

Datuk pernah menyatakan kepada saya dia menganggap orang-orang dari tanah Jambi sebagai saudara sekeluarga, seagama, serumpun bangsa, seadat budaya.

Orang Jambi dan orang Melayu, Semenanjung tidak ada bezanya, masih serumpun dan seagama.

Cuma orang Belanda dan Inggeris yang membuatkan bangsa serumpun terpisah. Konsep Datuk itu selari dengan semangat Melayu Raya yang jadi teras perjuangan tokoh-tokoh politik Melayu ketika itu.

"Dah dekat dua bulan Datuk kamu tinggalkan kita," cetus nenek lalu membunuh angan-angan yang merewang dalam kepala saya.

"Iya, selalunya bila ke mana-mana dia ajak saya, kali ini dia tak ajak pula."

"Iya juga cakap kamu Tamar, entah aku tak tahu," nenek kerutkan dahinya.

"Aku yakin esok lusa dia baliklah tu, dia bagi tahu aku dia nak ke Jambi hujung bulan ni, dia suruh aku buat bekal daging ayam," tambah nenek lagi.

Kali ini wajahnya agak bercahaya. Matanya tadi kelihatan redup, kini nampak bersinar.

"Kalau dia balik hari ini, lagi baik nek," ungkap saya keriangan. Nenek terus ukir senyum.

Leher saya tegakkan, pura-pura merenung ke jalan kecil yang menuju ke rumah, menerusi jendela. Nenek gelengkan kepala.

"Kamu rindukan Datuk kamu."

"Sudah tentu, nenek macam mana?"

"Nenek pun begitu."

Kami pun berbalas senyum. Kemesraan terasa cukup erat dalam hati sanubari saya.

Dengan mendadak nenek terus bangun, tanpa berkata apa-apa dia terus meninggalkan saya sendirian di kamar.

Nenek terus ke dapur dan saya menyambung pembacaan yang tergendala. Baru tiga empat para dibaca, saya mula menguap dan kelopak mata mula terasa memberat. Bagi menghilang rasa mengantuk itu, saya terus bangun menuju ke dapur.

Aduh! Saya gembira sekali, waktu memasuki ruang dapur, saya sudah terhidu bau bubur merah dan kopi O yang amat menyelerakan. Saya berdiri di antara ruang pemisah bahagian dapur dengan bahagian tengah.

"Kenapa tercegat di situ? Kalau teringin sila masuk," pelawa nenek bersama senyum.

"Ha! Memang itu yang dinantikan," sahut saya sambil mempercepatkan langkah.

Lalu duduk bersila menghadapi mangkuk bubur merah dan cawan kopi O yang permukaannya berasap nipis.

Tanpa menanti perintah, saya terus menghirup kopi panas. Alahai! Panasnya terasa menjalar dalam tali perut.

Sesak nafas juga saya dibuatnya. Kelakuan tidak senonoh saya jadi bahan ketawa nenek.

"Kamu gelojoh sangat, kenapa tak nanti sejuk. Bersabarlah sikit, hidangan dah depan mata."

"Saya tersilap nek."

"Manusia ni, kalau selalu melakukan kesilapan dan tidak pula mahu berusaha membetulkan kesilapan, alamat hidupnya tak sempurna. Selalu salah langkah."

"Kalau begitu, saya mesti berusaha membetulkan kesilapan," sebuah janji saya berikan.

Kemudian, dengan rakus saya menikmati bubur pulut hitam.

BERJEMAAH

Sejak Datuk meninggalkan kami, saya jarang sembahyang jemaah di surau. Biasanya, selepas menunaikan sembahyang Isyak di rumah, nenek tidak menegah atau melarang saya pergi bertandang ke rumah kawan-kawan untuk belajar berzanji.

Malam itu saya tidak ke mana-mana, cara kebetulan pula pada malam tersebut, beberapa orang kawan saya pergi ke Taiping, Ipoh dan ke Pulau Pinang kerana urusan keluarga.

"Hai, kenapa kamu di rumah malam ni?" tanya nenek. Dan saya terpaksa menjelaskan perkara yang sebenar kepada nenek.

"Daripada kamu duduk termenung tak tentu sebab tu, ada baiknya kamu membaca Quran, dapat juga pahala."

"Hum..." saya mengeluh kecil.

"Kamu malas?"

"Saya tak malas."

Kerana waktu Isyak sudah masuk, saya terus mendirikan solat. Sebaik selesai solat dan berdoa, cadangan nenek saya penuhi.

Di saat khusyuk membaca halaman empat surah al-Baqarah, gegendang telinga saya menangkap bunyi suara orang berbisik dan melangkah di bahagian luar rumah. Saya segera berhentikan membaca surah al-Baqarah.

"Kenapa berhenti Tamar?"

"Ada suara orang berbisik dan berjalan di luar," kata saya pada nenek.

Kami berpandangan sama sendiri. Pada masa itu juga terdengar geselan dedaun akibat dirempuh angin malam. Suara burung hantu bertingkah dengan suara burung jampuk.

"Tutup Quran, kita mesti berjaga-jaga."

"Betul kata nenek tu."

Quran saya letakkan kembali ke tempatnya. Saya periksa selak pintu dan tingkap. Semuanya terkunci dalam keadaan cukup selamat.

"Aku ke dapur cari senjata," itu yang nenek bisikkan ke telinga saya.

Belum pun sempat saya mengangguk, nenek sudah melangkah ke ruang dapur.

Nenek datang semula ke sisi saya dengan dua bilah parang panjang di tangan. Saya merasa takjub tingkah laku nenek saya itu.

"Ambil untuk kamu sebilah Tamar."

Nenek hulur sebilah parang panjang kepada saya. Dalam keadaan terpinga-pinga saya segera menyambutnya.

"Untuk apa nek?"

"Bersiap sedia untuk menghadapi apa sahaja yang datang," nada suara nenek keras.

Dia terus menyingsing lengan baju. Saya menarik nafas panjang dan cuba mengerakkan parang panjang ke kanan dan ke kiri.

"Tekapkan telinga kamu ke dinding, dengar ke mana bunyi langkah itu," tutur nenek separuh berbisik.

Saya patuhi perintahnya untuk mengawasi bunyi telapak kaki di luar rumah. Ke arah manakah manusia misteri itu melangkah?

"Aku ke sana," beritahu nenek lagi.

Saya anggukkan kepala. Nenek pun melangkah ke pintu dapur. Berdiri di situ dengan parang di tangan.

Nenek bersedia memarang atau membunuh sesiapa saja yang memecahkan pintu dapur untuk masuk ke rumah.

Dalam keadaan berjaga-jaga dan berhati-hati itu, saya dikejutkan oleh suara kucing yang cukup kuat.

Berdasarkan nada suara kucing itu, saya pasti ekor kucing dipijak oleh manusia secara tidak sengaja. Bagi menyelamatkan diri, kucing itu lari ke arah perigi.

Beberapa saat kemudian, terdengar bunyi telapak kaki orang melangkah dengan berhati-hati. Bunyi telapak kaki itu hilang entah ke mana.

Tidak lama selepas itu terdengar suara anjing menyalak sesuatu di pinggir kawasan rumah. Saya segera mendekati nenek.

"Tak ada apa-apa pun nek."

"Mana boleh tak ada apa-apa. Kamu dengar anjing menyalak dan suara kucing."

"Itu perkara biasa nek."

"Biasa kata kamu, memanglah kamu tak boleh diharap, ada otak dan fikiran tak boleh dipakai."

"Percayalah cakap saya nek, kalau saya kata tak ada apa-apa, mesti tak ada apa-apa."

"Kalau ia tak ada apa-apa, kita mesti berjaga-jaga," sepasang biji mata nenek jegilkan ke arah saya.

Parang panjang diangkatnya agak tinggi hingga melepasi paras dahi saya. Rasa bimbang dan cemas segera menghantui diri.

Bagaimana kalau parang itu terlucut dari tangannya, lalu parang menghempap batang hidung saya?

Aduh! Saya tidak rela kehilangan hidung. Demi keselamatan hidung yang satu ini, cepat-cepat saya sambar pergelangan tangan nenek sambil memberitahunya supaya jangan mengangkat parang panjang di depan saya. Nenek tersenyum.

"Kamu takut Tamar?"

"Bukan takut, saya cemas."

"Pandai kamu bercakap," nenek terus ketawa pendek.

Belum pun ketawanya berakhir, saya segera meninggalkan nenek.

Sebaik saja saya sampai ke ruang tempat saya sembahyang tadi, saya terdengar seperti orang menahan batuk.

Salakan anjing kian hebat, begitu juga dengan bunyi burung hantu. Angin terus berdesir.

ANGKAT

Saya segera angkat tangan ke arah nenek, memberitahunya supaya berhati-hati. Nenek membalas dengan anggukkan.

Dalam keadaan yang tidak aman itu, pintu dapur diketuk orang dua kali berturut-turut.

"Siapa?" tanya nenek.

Tidak ada jawapan dari luar.

"Siapa, cakap siapa kamu," ulang nenek.

Hasilnya tetap sama. Nenek nampak resah. Mata parang tetap dihalakan ke arah pintu.

"Tiga kali aku seru, tiga kali tiada jawapan. Ertinya kamu musuh. Jangan cari fasal dengan kami. Siapa yang silap di antara kita, celaka padahnya," nenek begitu nekad mengeluarkan amaran.

Suasana terasa sepi sekali. Salakan anjing sudah berhenti, begitu juga dengan bunyi burung hantu, tetapi desiran angin masih dapat saya dengar dengan jelas.

Secara mendadak, saya dengar dentuman yang kuat. Pintu dapur terkopak dan nenek terlentang atas lantai, parang panjang di tangan terpelanting agak jauh dari nenek.

Tanpa membuang masa, saya menerpa ke arah nenek. Sebaik saja nenek saya dudukkan, seorang lelaki meluru masuk ke ruang dapur menerusi pintu yang terdedah.

Lelaki itu memakai serba hitam. Separuh wajahnya dari bahagian bawah dagu hingga ke dagu dibalut dengan kain hitam, macam samurai.

Saya tidak angkat muka untuk menatap sekujur tubuh lelaki berpakaian serba hitam. Saya jadi cemas tetapi, nenek tidak berdiam diri.

Nenek bertindak dengan pantas mengambil parang dan mengolekkan tubuhnya hingga ke tepi dinding lalu bangun sambil mengatur langkah silat.

Bila sudah melihat nenek mengatur langkah untuk bertindak, saya jadi berani. Barulah saya renung ke arah tubuhnya. Rasanya lelaki yang sedang berdepan dengan nenek itu, amat saya kenali.

Belum pun sempat saya sebut namanya, nenek terus meluru ke arah lelaki itu sambil menghayun parang panjang ke batang leher lelaki yang berpakaian serba hitam.

Saya terpegun melihat kehebatan lelaki berpakaian serba hitam itu. Dia tidak memperlihatkan kecemasan atau ketakutan, tetap tenang dan tabah menghadapi saat-saat yang dianggap cukup genting. Dia menanti mata parang panjang nenek jatuh ke lehernya.

Sebaik saja nenek menjatuhkan parang panjang ke arah batang lehernya, saya lihat lelaki itu merendahkan badanya dan bergerak. Cuma dua tapak ke kiri.

Secepat kilat lelaki itu menyambar dan merampas parang panjang dari tangan nenek. Saya lihat nenek seperti kena pukau, tidak bergerak dan terus kaku di situ macam patung.

Setelah mencampakkan parang panjang milik nenek ke tengah ruang dapur, lelaki itu terus menepuk kedua belah tangannya tiga kali berturut-turut. Nenek jadi lembik dan terus rebah atas lantai.

"Kamu bunuh dia," jerit saya sekuat hati dan terus menerpa ke arah lelaki berpakaian serba hitam.

Tanpa fikir panjang, saya angkat parang untuk dihayunkan di bahagian pinggang lelaki itu.

"Nanti," sergah lelaki itu sambil mengangkat tangan kanannya separas bahu.

Saya terkejut dan tergamam. Langkah saya terus kaku. Parang segera saya jatuhkan dan hujungnya saya tekankan ke lantai.

SUARA

Jauh di sudut hati, timbul persoalan baru. Rasanya suara itu amat saya kenali, macam suara Datuk.

Ah! Mana mungkin Datuk mahu melakukan perkara demikian. Dan saya memang mengharapkan lelaki itu bersuara lagi bagi memecahkan kebuntuan persoalan dalam diri saya. Harapan saya tidak menjadi kenyataan.

"Ah..." saya mengeluh pendek.

Lelaki itu membuka kain hitam yang menutup separuh wajahnya. Hati saya jadi cemas. Mungkin ini hanya satu helah untuk memerangkap diri saya. Dan ulu parang panjang saya pegang dengan kemas.

"Kamu tak kenal aku?"

Lelaki itu menjatuhkan kain hitam atas lantai. Saya menarik nafas dan seluruh badan terasa lemah. Parang panjang di tangan saya jatuh sendiri.

Saya bagaikan tidak bermaya mahu melangkah dan bersuara. Saya bagaikan tidak yakin bahawa lelaki yang berdiri di depan saya, berpakaian serba hitam itu adalah Datuk.

"Bangunkan nenek kamu."

Saya segera mendekati nenek yang terpinga-pinga. Kelopak matanya pejam celik berkali-kali. Dia juga seperti saya, tidak percaya apa yang ujud di depan matanya.

"Awak kunci sendi saya, macam mana saya nak bergerak," tutur nenek.

Saya lihat Datuk senyum panjang. Tanpa membuang masa, Datuk terus menepuk tangan tiga kali berturut.

Nenek pun dapat mengerakkan sepasang kaki dan tangannya. Dia terus meluru ke arah Datuk.

"Kenapa awak buat kerja macam ni?"

"Maafkanlah aku, sebenarnya aku nak menguji diri kamu, aku nak uji keberanian dan kecekapan kamu," tutur Datuk dengan tenang. Dia mengajak saya dan nenek duduk bersila di ruang dapur.

"Bila aku dah tahu kemampuan dan keberanian kamu mempertahankan diri, senanglah aku, tak bimbang meninggalkan kamu," tutur Datuk sambil menatap wajah nenek.

Desiran angin yang merempuh dedaun di luar rumah jelas kedengaran.

"Habis selama ini awak tinggalkan, tak pernah diuji dan tak pernah dicuba. Saya tak mengalami apa-apa," sanggah nenek dengan menjuihkan bibir bawah ke depan.

"Kali ini lama, boleh jadi lebih dari enam bulan, boleh jadi setahun dua.

"Hai!" Nenek jegilkan biji mata ke arah Datuk.

"Nanti aku ambil barang di luar, aku terlupa nak bawa masuk ke rumah," dengan cepat Datuk bangun. Rasa terkejut dan kehairanan masih terpamer di muka nenek.

Datuk masuk semula dengan beg rotan empat segi. Beg itu dibukanya lalu dikeluarkan beberapa helai kain batik. Manakala beg kecil kulit tidak dibukanya.

"Ha! Untuk awak," empat helai kain batik diserahkan kepada nenek.

Saya lihat wajah nenek berseri-seri. Marah dan rasa terkejutnya hilang serta merta.

"Awak beli di mana?"

"Saya sempat ke Johol Bahru, jumpa kawan-kawan lama dan cara kebetulan mereka baru balik dari Pulau Jawa, empat keluarga yang baru balik tu, berikan kain batik. Memang rezeki awak," jelas Datuk dengan tenang.

"Dua lagi saya nak sedekahkan pada orang susah."

"Terpulang pada awak kain tu hak awak," nada suara Datuk merendah.

Datuk membuka beg kecilnya, dia mengeluarkan sehelai kertas yang bertulis jawi.

"Surat apa tuk?" tanya saya.

"Alamat dan pesan orang-orang yang aku jumpa untuk orang di Tanah Jambi," Datuk menutup kembali beg kulitnya.

Kemudian dia mengeluarkan beberapa bilah keris pendek yang menurutnya pemberian kawan-kawan.

Akhir sekali, Datuk memberi saya sehelai kain songket tenun Terengganu yang dibeli khas untuk saya.

"Ini saja yang dapat aku belikan untuk kamu, Tamar," tutur Datuk.

Saya segera mengenakan kain songket ke tubuh. Nenek masih lagi membelek-belek kain batik.

"Itu upah dari aku sengaja menakut-nakutkan kamu, bukan apa sekadar untuk cuba menguji," sambung Datuk lalu disambut dengan ketawa oleh nenek dan saya.

Suasana cemas dan takut yang saya alami bersama nenek bertukar menjadi suasana riang.

Kami gembira atas kepulangan Datuk. Kami tidak marah dengan tindakan yang bertujuan untuk menguji kami.

"Awak memang nakal, kalaulah parang saya kena kepala awak, bukankah susah jadinya," nenek bagaikan merungut.

Dia terus ke dapur dan kembali dengan menatang secawan kopi panas bersama sepiring kuih untuk Datuk.

"Sebelum membuatnya, saya sudah perhitungan buruk baiknya, sudah saya sediakan petua mengunci gerak langkah awak berdua. Kalau tidak bersedia, memang tidak saya lakukan. Saya tahu awak bukan sebarang perempuan," Datuk memberikan komen.

Dia terus menghirup kopi, sementara menanti makan malam disediakan oleh nenek.

MAKAN

Setelah selesaikan makan malam, kami bertiga berubah tempat duduk di anjung, Datuk pun bercerita tentang kisah perjalanannya menemui kawan-kawan, kaum keluarga bertaburan di daratan Semenanjung.

Sesekali Datuk berjenaka, saya dan nenek turut ketawa. Dan kemesraan antara kami bertiga terasa kian erat.

Rasanya malam itu adalah malam yang penuh makna bagi diri saya. Belum pernah datuk bercerita begitu panjang disulam dengan senyum dan ketawa. Inilah kali pertama saya lihat Datuk tidak begitu serius.

"Aku letih, eloklah kita tidur, sebelum tidur aku nak baca Quran dulu," Datuk mengeliat. Tanpa berkata apa-apa nenek terus bangun.

"Dua hari lagi kita tinggalkan rumah ini, Tamar."

Kata-kata yang diucapkan oleh Datuk dapat ditangkap oleh gegendang telinga nenek. Dia segera berpatah balik lalu berdiri di depan Datuk.

"Cuba ulang lagi sekali, apa yang awak katakan," dalam senyum sinis nenek bersuara.

"Telinga awal cukup nipis."

"Dengar tu memang saya dengar tapi, tak jelas biji butirnya."

Datuk terus garu cuping telinga berkali-kali. Dia tarik nafas dalam-dalam dan yakin apa yang diucapkan oleh nenek.

Buat beberapa ketika Datuk mengerutkan dahinya ada sesuatu yang mengganggu jalur fikirannya.

"Lagi dua hari aku bertolak ke Jambi," suara Datuk memecahkan suasana kebekuan yang menguasai ruang anjung.

"Dengan siapa awak nak pergi?"

"Siapa lagi? Dengan Si Tamar."

"Awak nak tinggalkan saya seorang diri. Fasal itu awak uji saya," nada suara nenek meninggi. Saya lihat Datuk ukir senyum.

"Memang begitu niat aku, kamu boleh selamat di sini. Aku yakin dengan kemampuan awak," Datuk memuji nenek.

Ketegangan di wajah nenek nampak reda. Tanpa disuruh nenek duduk bersila di depan saya dan Datuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 136/284

BACA: SBDJ Siri 135: Kayuh Perahu Dengan Tangan
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon