Thursday, January 31, 2019

Cinta Laura Kecewakan Rakyat Indonesia

Cinta Laura Kecewakan Rakyat Indonesia

Kebelakangan ini, dia menjadi bualan hangat dalam dunia maya selepas warganet Indonesia mula mencanangkan namanya sebagai calon Ratu Cantik Dunia tahun 2020. Semuanya kerana aktres dan model berdarah kacukan Jerman-Indonesia ini pada awalnya didesak oleh peminat untuk menyertai pertandingan Puteri Indonesia 2019.

Cinta Laura

Pemenang pertandingan itu nanti secara automatik akan mewakili negara ke pertandingan Ratu Cantik Dunia tahun tersebut.

Tidak mahu terus dihujani dengan pertanyaan apatah lagi membiarkan peminat meletak harapan terhadapnya, Cinta memberi respons menerusi video secara langsung dalam satu aplikasi.

“Malangnya, saya tidak akan menyertai pertandingan Puteri Indonesia untuk mewakili kamu semua pada pertandingan ratu cantik tahun ini. Bukan saya tidak mahu malah saya sangat menghargai sokongan dan keyakinan kamu semua terhadap saya.

“Tetapi perkara ini sangat tiba-tiba dan saya tidak boleh membatalkan beberapa kontrak saya. Bulan Februari saya akan ke Sweden untuk menjalani proses rakaman lagu.

“Puteri Indonesia bakal mengubah peraturan mulai tahun depan iaitu peserta berumur 28 tahun ke bawah layak menyertai pertandingan. Jangan sedih kerana ada harapan, mungkin tahun depan saya masih mendapat sokongan kamu semua untuk menyertai pertandingan,” jawabnya.

Justeru ramai peminat kembali berharap agar Cinta menyahut cabaran pertandingan itu nanti seterusnya bakal menjadi kebanggaan dan mara ke pentas ratu cantik dunia, tahun hadapan.

Bintang genius

Cinta sememangnya menjadi kebanggaan ramai peminat. Bukan saja memiliki paras rupa yang cantik malah bintang berusia 25 tahun ini bijak dalam pelajaran.

Dia menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Psikologi dan Sastera Jerman di Columbia University, New York dengan kepujian.

Dia juga pernah ditawarkan biasiswa melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Oxford dan Universiti Cambridge. Namun buat masa ini dia memilih menangguhkan pengajiannya kerana mahu fokus pada kerjaya.

Pun begitu, anak kepada pasangan Michael Kiehl, seorang Pengurus Hotel Hyatt dan peguam terkenal Herdiana Soekarseno ini sering dianggap tidak pandai bertutur bahasa Indonesia dengan baik kerana pelat bahasa Inggeris terlalu pekat.

Ramai netizen mengejek gaya pertuturan Cinta dengan cara meniru berulang kali percakapan gadis kelahiran Quakenbrück, Jerman ini.

Namun Cinta tidak lupa tentang budaya dan keunikan negaranya. Walaupun dia berpenampilan seksi, dia kerap memilih memakai busana batik atau kebaya ketat ketika hadir di acara hiburan luar negara dan di Hollywood.

Secara tidak langsung dia tidak malu untuk memperkenalkan Indonesia di mata dunia.

‘Mangsa’ persepsi

Bekerja di Hollywood, Cinta bermastautin di Los Angeles Amerika Syarikat sejak 2011. Setahun selepas itu dia mendapat peluang bekerjasama dengan pemuzik di sana dan merakamkan dua lagu berjudul Boomerang dan Playlist.

Cinta pernah membintangi filem The Philosopers ‘After The Dark’ arahan sutradara bernama John Huddles. Pelakon yang juga popular menerusi sinetron Upik Abu dan Laura ini pernah menghadiri uji bakat filem pecah panggung Star Wars dan Tron, namun gagal.

Terdahulu dia juga pernah mendapat peluang keemasan menemubual pelakon utama filem francais terhangat, The Avengers seperti Chris Hemwsworth, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Robert Downey Jr.

Namun keterujaan bertemu dengan pelakon kelas A antarabangsa ketika itu nyaris terbantut dek satu hal yang tidak disangka-sangka.

Rupa-rupanya Robert Downey Jr. enggan ditemu bual oleh Cinta kerana Iron Man itu kurang percaya kemampuan Cinta bertutur dalam bahasa Inggeris disebabkan dia orang Indonesia.

Tidak berputus asa dengan persepsi yang dilemparkan terhadap dirinya, Cinta mengajak aktor berprofil tinggi itu berbual. Hasilnya Robert Downey Jr. kagum dengan Cinta dan akhirnya mahu meneruskan sesi temu bual.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Anak Ada Simpanan Lebih RM13,968 Wajib Bayar Zakat

Anak Ada Simpanan Lebih RM13,968 Wajib Bayar Zakat

Setiap kanak-kanak yang mempunyai simpanan melebihi nisab yang ditetapkan wajib menunaikan zakat sama ada melalui ibu bapa mahupun penjaga namun, masih ramai dalam kalangan masyarakat kurang kesedaran mengenai perkara tersebut kerana hanya mengetahui beberapa jenis zakat sahaja.

Zakat simpanan

Kebanyakan daripada mereka membuat tanggapan hanya zakat tertentu sahaja wajib ditunaikan sedangkan anak-anak mereka yang mempunyai simpanan melebihi nilai nisab juga perlu membayar zakat mengikut kadar 2.5 peratus.

Misalnya, pada tahun 2019 ini, pusat zakat menetapkan nilai nisab RM13,968.

Sekiranya simpanan anak-anak tidak melebihi nilai tersebut, maka tidak perlu membayar zakat simpanan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan pengisytiharan Ketua Negara baharu apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam satu istiadat di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong ke-16

Sebagaimana termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, baginda akan melafaz sumpah dengan disaksikan Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara.

Dengan pengisytiharan itu, Sultan Abdullah yang menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Januari 2019 lepas akan menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun bermula 1 Februari.

Mesyuarat khas itu juga akan menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Pemilihan Sultan Abdullah adalah mengikut keputusan penggiliran mengikut peruntukan perlembagaan dalam masa yang singkat, sekali gus mendokong sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia.

Kira-kira 500 tetamu jemputan terdiri daripada kerabat diraja, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ketua Hakim Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara serta dif-dif kenamaan dijangka menghadiri istiadat berkenaan.

Kali terakhir detik bersejarah seumpama itu berlaku adalah kira-kira empat dekad lepas, apabila Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh (1979-1984).

Sebelum itu, Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dijangka berangkat dari Istana Abdulaziz, Kuantan seawal 7.00 pagi ke ibu negara bagi menghadiri istiadat berkenaan.

Upacara di ibu negara akan bermula dengan keberangkatan tiba Sultan Abdullah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 8.30 pagi.

Menurut buku atur cara istiadat, rombongan diraja kemudian akan berangkat ke Dataran Parlimen bagi acara sambutan rasmi sebelum ke Istana Negara untuk istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

J-Queen, Durian Paling Mahal Di Dunia Mengalahkan Musang King

J-Queen, Durian Paling Mahal Di Dunia Mengalahkan Musang King

Durian spesies ‘Musang King’ dikatakan paling mahal harganya berbanding durian lain iaitu sekitar RM50 hingga RM80 sekilogram menjadi sambutan orang ramai kerana rasanya yang sedap berkrim dan mempunyai tekstur lembut.

Durian J-Queen

Namun, jangan terkejut jika ‘Musang King’ bukan lagi durian termahal kerana di Indonesia terdapat sejenis buah durian yang dijual dengan sangat mahal iaitu RM4,000 lebih sebiji.

Dipetik dari Tribun News, durian dikenali ‘J-Queen’ dijual dengan harga Rp14 juta sebiji lebih kurang dalam RM4,000 dijual di Plaza Asia, Tasikmalaya.

Menurut laporan, pada hari pertama durian ‘J-Queen’ dipasarkan, pihak pasaraya hanya memaparkan 2 daripada 4 buah durian ‘J-Queen’ tersebut. Menariknya, buah durian tersebut laris terjual pada hari yang sama.

Durian ‘J-Queen’ diasaskan di Indonesia oleh seorang lelaki bernama Aka.

Durian J-Queen

Matlamat Aka adalah untuk membuat spesies durian bermutu tinggi dan durian J-Queen dikatakan mempunyai isi buah berwarna emas, berjaya mencapai keseimbangan sempurna dengan rasanya yang begitu manis. Selain itu, 95% durian ‘J-Queen’ tidak mempunyai biji.

Pokok durian ‘J-Queen’ boleh berbuah 3 tahun sekali dengan satu pohon hanya mampu menghasilkan 20 biji durian ‘J-Queen’ yang sempurna tanpa benjol atau lonjong bulat.

Kajian menunjukkan buah durian J-Queen memerlukan masa 4 tahun untuk membiak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fmt

Wednesday, January 30, 2019

SBDJ Siri 17: Bertarung Dengan Bomoh Orang Asli

SBDJ Siri 17: Bertarung Dengan Bomoh Orang Asli

Dan Wansi segera bangun. Datuk juga begitu. Dalam beberapa saat saja lelaki itu hilang dari penglihatan datuk dan Wansi. Serentak dengan itu, terdengar suara jeritan Latifah yang cukup keras dan nyaring. Datuk dan Wansi segera masuk ke dalam bilik Latifah.

Siri SBDJ 15

Latifah berguling-guling atas lantai, kedua belah tangannya memegang batang leher. Matanya kelihatan merah. Haji Azhar dan isterinya tidak dapat berbuat apa-apa selain daripada menangis.

Wansi segera memegang pergelangan kaki kiri Latifah. Ditekannya dengan sekuat hati atas lantai. Jeritan Latifah berhenti dan tidak lagi berguling-guling atau meronta-ronta.

Wansi menyuruh Haji Azhar mengangkat anaknya ke atas tilam. Datuk rapat kepada Wansi dan mendengar dengan teliti apa yang dicakapkan oleh Wansi padanya.

Datuk keluar dari bilik untuk beberapa minit. Masuk kembali dengan kain hitam terselipang di bahu. Wansi menyambar kain hitam itu lalu melibas ke badan Latifah tiga kali berturut-turut.

Datuk duduk di hujung kepala Latifah. Dia membaca sesuatu. Tiga kali dahi Latifah ditamparnya dengan belakang tangan. Latifah bangun dan terus duduk.

“Apa yang kau nampak nak?” tanya Wansi.

“Orang hitam mengajak saya keluar,” suara Latifah merendah.

“Lagi apa yang dibuatnya pada kau,” sanggah datuk.

“Dia lari dengan tiba-tiba,” jawab Latifah tenang.

Wansi terdiam seketika. Dia meminta pensil dan kertas. Bila kertas dan pensil sudah ada di tangannya. Dia menulis sepotong ayat al-Quran. Kertas yang sudah ditulinya itu diserahkan pada Haji Azhar.

“Bacalah ayat ini, ke telinga Latifah bila di agak resah. Dan kau harus mengamalkannya,” ujar Wansi.

“Caranya?” tanya Haji Azhar.

“Baca seratus kali selepas kau sembahyang lima waktu, bila dia sebati dengan dirimu, banyak faedahnya. Untuk menghalau hantu syaitan,” cukup lembut nada suara Wansi.

Serentak dengan itu dia menyerahkan sebatang besi pendek yang berbentuk tulang. Menurut Wansi besi itu adalah besi tulang lengan mawas.

“Besi ni saya tinggalkan pada awak untuk tiga minggu, lepas tu saya ambil balik,” tambah Wansi.

Besi tulang mawas bertukar tangan dari Wansi ke tangan Haji Azhar.

“Untuk apa?”

“Untuk mengubat penyakit anak kau,” sahut datuk.

“Kalau dalam tempoh tiga minggu, anak saya tak baik macam mana?”

“Dengan pertolongan Allah anak kau akan baik. Percayalah, dengan syarat selama tiga minggu, jangan beri sesiapa menemui Latifah, kecuali kau dan emaknya,” Wansi memberikan sebuah keyakinan dan harapan pada Haji Azhar.

Haji Azhar tersenyum. Sebelum meninggalkan bilik Latifah Wansi berpesan pada Haji Azhar supaya mengunci bilik dari dalam.

Dan jangan memperhiraukan dengan apa yang berlaku di luar. Haji Azhar angguk kepala.

Rumah Haji Azhar cukup besar. Ada lapan bilik di dalamnya. Jarak bilik Latifah dengan anjung rumah memang agak jauh juga jaraknya.

Pada mulanya Haji Azhar menawarkan dua bilik penginapan untuk kami, tetapi datuk dan Wansi menolak dengan alasan tidur di anjung lebih baik. Tidak panas serta mudah menjalankan kerja-kerja untuk mengubati Latifah.

Saya resah tidak menentu. Dua tiga kali saya memejamkan mata. Saya tidak juga mahu tidur. Lampu gaslin sudah lama dipadamkan. Digantikan dengan lampu minyak tanah yang sengaja dipendekkan sumbunya oleh datuk.

Cahayanya sekadar cukup menerangi wajah datuk dan Wansi, tetapi lingkaran cahaya lampu itu sampai juga ke muka saya, agaknya kerana itulah saya tidak dapat tidur.

Saya merenung ke arah datuk dan Wansi. Mereka sedang membalut rokok daun sambil bercakap sesuatu. Saya mula terdengar kokok ayam bertalu-talu, saya kira sudah hampir pukul dua malam.

Dugaan saya tepat sekali. Tidak lama lepas itu, terdengar bunyi jam loceng Haji Azhar berbunyi dua kali berturut-turut.

Angin malam yang bertiup menambahkan rasa dingin di badan. Saya terpaksa membengkokkan badan, seperti angka lima.

Sayup-sayup saya terdengar suara burung hantu dan suara anjing menyalak panjang. Datuk dan Wansi masih juga belum tidur.

Tiba-tiba, datuk dan Wansi melompat dan lampu padam. Bila datuk menyalakan lampu minyak tanah kembali terdapat batang pisang berkembar dua terletak atas lantai di anjung rumah.

Batang pisang itu seolah-olah baru lepas digunakan untuk memandikan mayat.

Bila datuk mahu menjamah batang pisang tersebut, cepat-cepat Wansi menyepak tangan datuk.

“Jangan dipegang,” kata Wansi.

Saya menggeletar sendirian. Dua kali saya cuba bangun, tetapi saya terjatuh dengan sendiri hingga kain yang saya pakai terlucut dari pinggang.

Saya bogel dalam sinar samar-samar cahaya lampu minyak tanah. Wansi yang terpandangkan saya turut tersenyum.

“Kau pergi ke sana,” katanya pada saya, sambil merungut kerana datuk membawa saya.

Tanpa banyak bicara saya akur dengan perintahnya. Saya bersandar pada tiang rumah. Saya lihat dari batang pisang itu keluar asap berkepul-kepul.

Dua tiga ekor kelawar hitam berterbangan dengan bebasnya di anjung rumah, jika kelawar hitam itu kencing, airnya merah macam darah.

Di luar anjung, kedengaran bunyi deru angin yang cukup kuat. Saya lihat ada bayang putih memanjang melayang di halaman rumah. Darah saya tersirap.

Benda putih itu masuk ke dalam kawasan anjung dan hilang betul-betul di tengah-tengan batang pisang.

Suasana di luar rumah agak gamat juga dengan bunyi suara kokok ayam, salakan anjing dan suara jampuk bersahut-sahutan.

Kelawar yang hinggap di bahagian anjung rumah terus bersuara, cukup seram, giginya yang putih berkilat itu nampak tajam di samping memperlihatkan taringnya.

Saya jadi tidak tentu arah. Berdiri salah, duduk pun salah. Apakah syaitan-syaitan ini akan meragut nyawa saya. Timbul pertanyaan dalam diri.

Dalam keadaan yang serba gawat itu, saya masih dapat membaca beberapa potong ayat al-Quran yang saya kira dapat menghalau syaitan-syaitan itu. Datuk dan Wansi kelihatan tenang memandang batang pisang yang berasap itu.

Wansi berdiri lalu mengangkat sebelah tangannya ke atas. Lengan tangan kanan yang diangkatnya itu dirapatkan pada lubang telinga kanannya.

Sementara tangan kirinya diletakkan atas dada, kaki kanannya, menapak dua tapak ke depan. Manakala kaki kirinya dibengkokkan sedikit.

Wansi menjerit sekuat hati. Bila jeritannya berakhir. Dia bercakap dalam loghat bahasa Bawean, selesai dia bercakap, beberapa ketul batu dan kayu berterbangan masuk ke dalam anjung rumah. Wansi sedikitpun tidak bergerak.

Bunyi suara kucing hutan melalak di bawah rumah. Beberapa ekor tupai hitam, entah dari mana datangnya berlompatan di lantai. Semuanya melompat ke tanah.

Sebaik saja tupai-tupai itu ghaib, seekor beruk besar muncuk di depan datuk dan Wansi.

Kali ini datuk mara ke depan dan menolak Wansi ke belakang. Saya agak, tentulah datuk tahu, bahawa kawannya itu tidak berdaya menentang cubaan syaitan-syaitan itu.

Datuk berpeluk tubuh. Dia membaca mentera hingga tubuhnya kelihatan berasap. Batang pisang di tengah anjung bagaikan diangkat orang, bergerak sendiri menuju ke muka pintu dan hilang dalam gelap.

Tempat batang pisang itu digantikan dengan api yang menyala ganas. Bahang panas itu terasa ke muka saya. Wansi mengambil uncang hitam lalu memukul ke arah api. Api itu mula runduk.

Wansi memukul lagi hingga api itu bertukar mejadi bara sebesar bola pingpong. Bara itu terbang. Berlegar-legar dalam rumah akhirnya keluar menuju ke pondok tempat saya dan datuk serta Wansi beranung dulu. Pondok itu terbakar.

“Orang ni benar-benar mahu memalukan keluarga Haji Azhar dan mahu membinasakan kita,” kata Wansi sambil melurut langan kirinya dengan tapak tangan kanan.

Dalam beberapa saat saja pondok itu hancur menjadi abu. Bara api sebesar bola pingpong menuju ke arah kepala Wansi. Cepat-cepat Wansi mengelakkan diri.

Sementara itu , datuk masih berusaha untuk menghalau syaitan-syaitan ganas itu mengikut kemampuan yang terdaya olehnya.

Bara api sebesar bola pingpong terus berlegar-legar dalam ruang anjung. Wansi mula bertindak, saya lihat mukanya berubah. Mulutnya terus bercakap dalam bahasa Bawean.

Wansi membalut tangan kanannya dengan uncang hitam, kemudian bola bara api itu dipegangnya sekuat hati.

Saya lihat tapak tangannya berasap. Saya kira dalam hal ini Wansi lebih gagah dan banyak ilmu dunianya jika dibandingkan dengan kehandalan yang terdapat dalam diri datuk.

Datuk tersandar di dinding. Mukanya kelihatan biru. Dua kali datuk terbatuk dan mengeluarkan darah yang cukup kental. Saya urut belakang datuk.

Wansi meletakkan bola api yang sudah menjadi seketul arang itu di tengah anjung rumah. Dia rapat pada datuk. Dua kali dia menumbuk belakang datuk.

Datuk terbatuk, dari mulut datuk keluar segumpal cacing tanah dan ulat bulu.

Cacing dan ulat bulu itu bergerak atas lantai. Wansi memukulkan uncangnya ke muka datuk. Datuk segera pulih.

Wansi kembali ke tempat arang yang diletaknya. Arang itu masih berasap. Bila asapnya hilang saya lihat ada kepala manusia terletak di situ, berlilit dengan kain. Matanya terkedip-kedip merenung ke muka datuk, bagaikan minta pertolongan.

“Saya kenal dia Wansi,” kata datuk.

“Siapa manusia ni?”

“Bomoh orang asli, dari batu enam belas, saya pernah bertemu dengannya dua kali,” terang datuk dengan jujur.

Wansi tersenyum. Wansi duduk bersila di depan kepala manusia yang seoah-olah melekap pada papan lantai itu.

“Kenapa kau buat jahat dengan orang?” tanya Wansi.

“Saya dapat upah encik,” jawab kepala itu dalam gaya bahasa orang asli bercakap Melayu.

Matanya terkelip-kelip macam katak puru kena sembur air.

“Siapa yang mengupah kau?” datuk menyoal.

“Orang kampung ini juga.”

“Siapa namanya.”

“Tak boleh cakap encik, itu sumpah saya."

“Awak tahu, kerja awak ni menyusahkan saya dan orang lain,” kian keras nada suara Wansi.

Datuk mula resah. Dia berpusing-pusing dua tiga kali di depan kepala yang terlekap di lantai.

“Tak tahu encik, dia datang minta tolong, katanya orang itu meludah mukanya waktu dia usik-usik untuk ajak kahwin, orang itu maki dia, jadi saya ingat perbuatan orang itu tak baik menghina sesama manusia kerana itu saya tolong dia.”

Bagaikan mahu berbuih mulut orang itu bercakap, cukup seksa.

Datuk dan Wansi berbisik. Kepala yang terlekap di lantai kelihatan bergerak-gerak. Mukanya berpeluh-peluh. Dua tiga helai rambunya gugur. Suasanan malam yang tadi agak gawat sekarang sudah cukup tenang.

“Awak mesti bercakap betul dengan saya, kalau tidak saya botakkan kepala awak di sini,” Wansi mula mengugut. Datuk mengigit bibir.

“Jangan buat jahat dengan orang encik.”

“Saya tak buat jahat, awak yang mulakan dulu.”

“Saya mengaku, saya dah kalah, encik kuat. Apa yang encik mahu sekarang?”

“Jangan kacau orang di baruh, nanti orang di darat susah, siapa orang di baruh yang upah awak?”

“Baiklah encik, kalau saya cakapkan, encik mesti berjanji dengan saya tidak balas dendam.”

“Kami tak mahu balas dendam, kami cuma mahu tahu saja.”

“Orang itu akan datang sendiri berjumpa encik minta maaf, saya akan suruh dia jumpa encik."

“Bila?” potong datuk dengan cepat.

“Dua hari lagi.”

Selesai saja orang itu bercakap. Wansi pun memukul kepala orang itu dengan uncang yang dibuat dari kain hitam. Kepala orang itu pun hilang.

Jam milik Haji Azhar berbunyi empat kali berturut-turut. Dingin subuh mula meresap ke batang tubuh saya. Dalam kedinginan yang menggigit tulang itu saya terlelap.

Bila saya membuka kelopak mata, matahari pagi sudah pun memancarkan sinarnya di halaman rumah. Murai dan merbah sudah pun berhenti berkicau.

Datuk dan Wansi duduk bersila panggung sambil menghisap daun rokok nipah. Mereka merenung ke arah pondok yang tertegun gagah di bawah kelopak matahari pagi.

Kepala saya terasa pening kerana malam tadi saya menyaksikan dengan mata kepala saya sendiri pondok itu musnah dijilat api.

Apakah saya bermimpi atau ditipu oleh perasaan takut yang menguasai diri saya. Timbul berbagai pertanyaan dalam hati kecil saya.

“Kenapa pondok ini tidak hancur tok, malam tadi saya lihat terbakar,” itulah pertanyaan pertama pagi itu, saya ajukan pada datuk. Datuk merenung muka saya sambil tersenyum.

“Memang terbakar, tetapi dibakar oleh syaitan,” balas datuk.

Saya terdiam. Memanglah perkara ini tidak masuk di akal. Kalau diceritakan pada sesiapapun tidak ada orang yang percaya sedangkan pada kenyataannya saya melihat kejadian-kejadian itu sendiri.

Bila datuk melihat saya termenung panjang, dia pun menghampiri saya. Dan menyatakan apa yang saya lihat itu bukanlah satu perkara yang aneh.

Semuanya terjadi atas kemahuan Allah yang maha besar.

“Allah itu maha pemurah dan penyayang.”

“Jadi,” tingkah saya.

“Dia akan memperkenankan apa juga yang diminta oleh mahkluknya sama ada jahat atau baik.”

“Kalau minta jahat bagaimana?”

“Dipenuhinya dan tanggunglah akibat dari permintaan itu. Sebagai manusia kita diberikan fikiran untuk meminta sesuatu yang baik atau jahat.”

Saya pun angguk kepala mendengar cakap datuk itu. Dalam masa yang sama Haji Azhar minta datuk dan Wansi duduk sebulan di tempatnya.

“Minta maaf, saya banyak urusan. Saya boleh tunggu hingga hari Jumaat kerana ada orang yang akan datang ke sini?”

Saya lihat wajah Wansi cukup tenang.

“Siapa?” soal Haji Azhar.

“Nantilah saya beritahu kemudian, lagi pun saya mesti balik cepat kerana saya belum lagi membuat persiapan untuk…’” suara Wansi terhenti.

Dia merenung keluar pada pepohon rambutan dan langsat yang disentuh angin pagi. Matahari terus bersinar garang.

“Nak ke mana selepas mengubat anak saya ni?”

“Saya nak berangkat ke Tanah Suci,” jawapan Wansi itu amat mengejutkan hati datuk.

Memang sebelum ini, Wansi tidak pernah menceritakan hal itu padanya. Saya merasa amat kagum dengan datuk dan Wansi yang tidak mahu menceritakan apa yang di alaminya malam tadi pada Haji Azhar.

Meskipun Haji Azhar bertanya beberapa kali. Seolah-olah mereka sepakat merahsiakan perkara itu.

Bagi menanti hari Jumaat yang ditunggu, saya dan datuk serta Wansi ke Cangkat Banjar dan Cangkat Melintang mencari akar-akar kayu dan pucuk-pucuk hutan.

Akar-akar kayu yang dipilih itu dijadikan minuman menggantikan kopi, sementara pucuk-pucuk kayu dijadikan air pembasuh muka selepas menunaikan sembahyang subuh.

Menurut Wansi akar-akar kayu itu berguna bagi mencegah sakit buah pinggang, darah tinggi.

Pucuk-pucuk hutan pula berkesan bagi perjalanan darah di samping mengekalkan wajah supaya kelihatan muda dan merah.

Memang sudah menjadi amalan dalam hidup datuk selepas menunaikan sembahyang subuh, dia akan membaca Quran. Begitu juga dengan Wansi.

Saya disuruh oleh datuk membaca surah Yassin. Kelam-kabut juga saya dibuatnya oleh datuk.

Bagaimana tidak menggelabah bila datuk menyuruh saya membaca surah Yassin tanpa naskah Yassin.

Bila melihat saya dalam keadaan cemas begitu. Wansi memberikan naskah Yassin pada saya.

“Kau mesti ikut macam datuk kau, boleh baca Yassin tanpa buku,” ujar Wansi.

“Dah diajar, tapi cucu saya ni keras kepala sikit,” tingkah datuk.

Disambut dengan ketawa yang memanjang dari Wansi.

Ketika matahari mula bersinar. Dari muka jalan masuk ke rumah Haji Azhar, kelihatan seorang pemuda berbadan tegap mendatangi ke arah datuk dan Wansi.

Sebaik saja sampai di kaki tangga pemuda itu memberi salam. Wansi mempersilakannya naik.

“Jangan mengapakan saya, malam tadi saya tak boleh tidur, badan saya macam tebakar hangat sampai ke pagi,” terus terang pemuda berkulit hitam manis, berhidung mancung, rambut ikal itu meluah kan rahsia dirinya. Wansi dan datuk berpandangan.

Badan saya masih terasa dingin, walaupun matahari bersinar terang, kabus nipis kelihatan keluar dari bumi di antara pepohon manggis dan langsat.

Suasana di Kampung Belanja kiri pagi itu terasa cukup tenteram dengan kicau burung. Melompat dari dahan ke dahan.

“Apa sebabnya awak datang ke sini?” datuk bersuara parau.

“Sayalah yang mengupah bomoh orang asli memasukkan kain batik ke dalam perut anak Haji Azhar,” sambung pemuda itu sambil merenung lantai. Wansi memperkemaskan silanya.

“Kau harus tahu membuat atau menganiaya sesama manusia satu dosa besar.

"Allah tidak dapat mengampunkannya sekiranya orang yang kena aniaya itu tidak memaafkannya,” terang Wansi.

“Saya tahu, saya bertaubat tuan, saya melakukannya kerana mengikut nafsu.”

Sebaik saja pemuda itu selesai bercakap. Haji Azhar dipanggil oleh Wansi. Haji Azhar pun segera datang. Duduk bersila di antara datuk dan Wansi.

“Inilah orang yang saya tunggu,” kata Wansi pada Haji Azhar.

Bila mata haji Azhar terbeliak. Dia kenal benar dengan pemuda itu, pernah berkerja dengannya sebagai pemandu bot penambang dari Belanja Kiri ke Pekan Parit, di seberang tebing Sungai Perak.

Haji Azhar tahu pemuda itu boleh bergerak bebas dalam kawasan rumahnya. Orangnya pendiam dan bersopan-santun.

“Apa, dia keluarga awak?” satu pertanyaan keluar dari mulut Haji Azhar.

“Tidak tuan Haji,” pendek jawab Wansi.

“Habis kenapa dia jumpa awak.”

“Usah tanya tentang hal itu, kalau awak sayangkan anak awak, jangan rosakkan budak ni, jangan dipukul atau membalas dendam.”

“Saya tak faham.”

“Saya boleh beri awak faham, tapi awak jangan membalas dendam kerana perbuatan itu ditegah oleh agama kita yang suci, kalau awak boleh memenuhi syarat ni, awak akan bahagia hidupnya dan pemuda ini akan tenteram jiwanya.”

“Saya berjanji,” satu keputusan tegas dari Haji Azhar.

Datuk serta Wansi berdiri. Pemuda dan Haji Azhar duduk berhadapan sambil bersalaman, waktu salam keduanya belum terbuka.

Datuk membaca ikrar yang bermaksud, bahawa Haji Azhar tidak akan membalas dendam dan pemuda itu akan bertaubat.

Selasai saja ikrar itu dibuat, barulah Wansi menceritakan apa yang dilakukan oleh pemuda itu terhadap anaknya. Badan Haji Azhar saya lihat menggigil menahan marah.

Bila semua urusan selesai. Pada sebelah malamnya diadakan kenduri doa selamat. Dan pada keesokan harinya kami bertiga pun berangkat meninggalkan Kampung Belanja Kiri.

Dua bulan lepas itu, saya dijemput oleh Haji Azhar datang ke rumahnya lagi sekali, untuk menyaksikan Latifah bersanding dengan pemuda yang dipilih oleh Haji Azhar.

Dengan pemuda pilihan bapanya itu, Latifah memperolehi dua orang anak. Sekarang Latifah menetap di Kulai, Johor.

Menurut cerita terbaru yang saya dengar, anak sulung Latifah sudah melahirkan dua orang anak.

Haji Azhar meninggal dunia dalam tahun 1980 di Belanja Kiri kerana sakit tua, isterinya masih lagi hidup dan tinggal bersama Latifah.

Pemuda yang mengupah bomoh siam itu meninggalkan kampung Belanja Kiri, sesudah meminta ampun dan maaf pada Haji Azhar.

Walaupun perkahwinan Latifah pada hari itu cukup meriah tetapi datuk tetap berwajah suram, kerana Wansi yang banyak berjasa pada keluarga Haji Azhar tidak dapat datang. Dia meninggal dunia di Tanah Suci.

Dua hari selepas menghadiri majlis perkahwinan anak Haji Azhar itu, saya dengan datuk pergi ke Cangkat Pinggang dekat Kampar kerana urusan membeli tanah dusun.

Dua malam tidur di rumah ketua Kampung Cangkat Pinggan. Lepas itu kami bertolak ke Tapah. Di Tapah datuk menginap dua hari di rumah kawannya di Lubuk Katak kira-kira suku batu dari Pekan Tapah.

Pada keesokan harinya saya dengan datuk bertolak dari Pekan Tapah menuju ke Cameran Highlands. Sampai di Batu enam belas datuk memetik loceng bas. Kami turun di situ.

Dari gigi jalan kami memasuki satu lorong yang kiri kanannya di tumbuhi pokok-pokok hutan. Di hujung lorong itu terdapat sebuah perkampungan orang asli.

Tidak jauh dari kampung orang asli pada masa itu, terdapat beberapa buah bangunan pekerja yang terlibat dengan pembinaan projek hidro elektrik.

Kebanyakan pekerjanya terdiri daripada pemuda-pemuda Melayu terutama di bahagian buruh kasar seperti menebuk terowong dan meratakan batu.

Pergerakan pekerja-pekerja itu dapat dilihat dengan mudah dari perkampungan orang asli yang terletak di kawasan tanah yang tinggi. Sekarang projek itu sudah siap.

Kedatangan saya disambut dengan baik oleh bomoh orang asli yang berwajah agak garang itu. Namanya Bah Lanjut. Dia mempersilakan saya dan datuk duduk di anjung rumahnya.

Apa yang mendatangkan rasa kurang senang dalam diri saya, bila melihat anjing kepunyaannya berkeliaran dalam rumah.

Namun, hati saya agak terhibur kerana dari radionya terdengar suara Saloma mendendangkan lagu Mengapa Dirindu yang menjadi lagu top ketika itu.

Kerana mahu menghormati datuk dan saya yang diketahuinya tidak berapa senang dengan keadaan rumahnya, lalu dia menempatkan kami di sebuah pondok yang keadaannya cukup bersih. Siap dengan tempat tidur dan tikar sembahyang.

Menurut Bah Lanjut, pondok itu memang dikhaskan untuk orang Melayu dan Islam bermalam bila meminta ubat darinya.

Dalam pertemuan itu Bah Lanjut berkali-kali meminta ampun dan maaf atas perbuatannya di masa lalu malah, dia sanggup mengajar beberapa ilmu yang ada pada dirinya untuk datuk.

Hasratnya itu tidak ditolak, datuk mahu menuntut ilmu darinya asalkan ilmu yang dituntut itu tidak bercanggah dengan hukum-hukum Allah.

Bagi tujuan itu, datuk dan saya terpaksa tinggal di perkampungan orang asli itu selama dua minggu.

Di sini tugas saya bertambah lagi, terpaksa menjadi tukang masak pada datuk di samping berburu ayam hutan dan pelanduk untuk lauk makan tengahari dan malam, beras disediakan oleh Bah Lanjut hasil dari tanaman padi humanya di lereng bukit.

Tamat siri 17/284

BACA: SBDJ Siri 16: Kain Dalam Perut Gadis
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Jenayah Perang Israel Terhadap Palestin

Jenayah Perang Israel Terhadap Palestin

Pihak berkuasa Palestin perlu membawa tindakkan undang-undang untuk melawan segala penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap mereka di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), The Hague, Belanda.

Jenayah Perang Israel

Beberapa tahun yang lalu iaitu pada 1 April 2015, pihak Palestin secara rasmi telah menandatangani Statut Rom sekaligus menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Keanggotaan terbabit telah membuka ruang dan peluang kepada pihak Palestin untuk mengemukakan dakwaan jenayah perang dan kemanusian terhadap Israel.

Buat sekian lama, rakyat Palestin telah banyak menderita akibat daripada kekejaman, penindasan dan diskriminasi yang telah dilakukan oleh pihak Israel terhadap mereka. Semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948, rakyat Palestin tidak pernah mengecapi keamanan.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Israel serta penduduk Israel untuk memastikan setiap inci tanah milik rakyat Palestin menjadi milik mereka serta menafikan segala hak rakyat Palestin untuk mewujudkan negara yang bebas dan merdeka.

Untuk rekod, Israel telah banyak melanggar Konvensyen Geneva serta pelbagai jenis undang-undang antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan hak asasi manusia terhadap penduduk Palestin.

Antara Konvensyen Geneva yang banyak telah dilanggar oleh pihak Israel termasuklah dengan melakukan pembunuhan kejam terhadap masyarakat awam Palestin tanpa mengira usia dan jantina, memindahkan ramai rakyat Israel ke kawasan yang ditakluki oleh mereka di tanah Palestin di Tebing Barat, mengenakan pelbagai jenis perintah berkurung dan penutupan jalan serta kawasan tanpa sebarang sebab yang munasabah serta mengunakan kuasa ketenteraan mereka secara berlebih – lebihan terhadap penduduk awam Palestin.

Pada masa yang sama juga, pihak Israel telah melanggar banyak peruntukan undang-undang antarabangsa dan beratus resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan mereka di tanah Palestin, meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok ditanah milik Palestin, serta menafikan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah mereka sendiri.

Semua perlanggaran undang – undang ini membolehkan pihak Palestin membawa kes mereka ke pengetahuan pihak ICC. Walaupun Israel tidak menjadi anggota kepada ICC, namun tindakkan undang - undang boleh diambil melalui ICC terhadap jenayah yang telah dilakukan oleh mana-mana warga Israel di tanah dan kawasan milik Palestin.

Pelbagai jenis tindakkan undang-undang yang boleh diambil oleh pihak Palestin melalui ICC terhadap Israel yang telah menjajah negara mereka semenjak penubuhan Israel pada tahun 1948 seperti jenayah perang, jenayah kemanusian, pembunuhan beramai-ramai orang awam dan lain - lain seperti yang jelas termaktub dibawah Artikel 5, Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Selain daripada itu Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terbabit itu juga memperuntukkan skop maksud “jenayah perang” yang lebih luas dengan membolehkan pihak berkuasa Palestin untuk mengemukakan lebih banyak pertuduhan ke atas Israel dimana Artikel 7 Statut Rom terbabit menyenaraikan sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak penjajah untuk “menghalau atau mengusir” penduduk asal disesuatu kawasan yang dijajahnya melalui apa – apa cara pun tanpa kebenaran undang – undang antarabangsa adalah satu bentuk kesalahan jenayah perang yang boleh didakwa.

Tindakan ini banyak dilakukan oleh pihak rejim Israel yang telah banyak mengambil tanah secara haram serta menghalau penduduk Palestin dari tanah mereka sendiri dengan hasrat jangka panjang untuk menafikan hak warga Palestin untuk mewujudkan negara mereka sendiri.

Artikel 8 Statut Rom terbabit juga memperuntukkan jenayah perang meliputi aspek “penempatan penduduk” yang telah banyak dilakukan oleh pihak penjajah Israel dikawasan yang dijajah mereka semenjak mereka menduduki wilayah Palestin lebih setengah abad yang lalu.

Jika dilihat dengan teliti, pihak rejim Israel telah banyak membuka penempatan haram mereka dikawasan penduduk Palestin terutamanya di Tebing Barat dan Timur Baitulmaqdis yang ingin dijadikan mereka sebagai ibu kota negara Israel yang tidak boleh dikongsi oelh mana-mana pihak termasuk pihak Palestin. Terdapat pelbagai jenis hukuman yang disediakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah oleh ICC.

Antara jenis hukuman yang boleh dikenakan meliputi penjara untuk satu tempoh yang lama, denda, serta rampasan harta.

Ini jelas diperuntukkan dibawah Artikel 77 Statut Rom. Justeru, adalah penting bagi pihak berkuasa Palestin untuk mengambil tindakkan undang-undang dengan segera terhadap Israel bagi melindungi, menjaga dan mengambil kembali kedaulatan wilayah mereka yang telah lama diceroboh dan dijajah serta menegakkan keadilan terhadap rakyat Palestin yang sudah lama menjadi mangsa penindasan oleh Israel.

Semua negara dunia yang masih mempercayai pada prinsip keadilan perlu memberi kerjasama serta sokongan tidak berbelah bagi terhadap kerajaan dan rakyat Palestin di dalam perkara ini.

Negara–negara Islam termasuk Malaysia harus terus berani membantu kerajaan dan rakyat Palestin tanpa berasa bimbang atau takut terhadap ancaman atau ugutan yang bakal diterima dari mana-mana negara yang sentiasa menyebelahi Israel.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Gambar Panas Emma Maembong Tersebar Lagi!

Gambar Panas Emma Maembong Tersebar Lagi!

Belum reda kisah gambar mesra pelakon, Emma Maembong bersama abang kepada seorang menteri, Syed Abdullah Syed Abdul Rahman yang tidak bertudung tular, timbul pula gambar membabitkan pasangan itu.

Gambar panas Emma maembong

Terbaharu, dua keping gambar wanita mirip Emma berpakaian seksi dirangkul erat seorang lelaki dan sekeping lagi gambar jelas menampakkan Syed Abdullah berada dalam pelukan Emma.

Bagaimanapun, gambar yang dimuat naik dalam Insta Story akaun berkenaan tidak dinyatakan lokasi dan tarikh gambar dirakamkan.

Terdahulu, pendedahan dua keping gambar dipercayai Emma dalam keadaan tidak bertudung dan sekeping lagi gambar seorang wanita sedang duduk di celah kangkang Syed Abdullah di dalam sebuah bilik.

Susulan laporan itu, Emma tampil membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Instagramnya kerana tidak bertudung, namun menafikan wanita yang duduk di celah kangkang Syed Abdullah adalah dirinya.

Dalam kenyataan berasingan memetik laporan sebuah portal, Syed Abdullah membuat pengakuan gambar berdua-duaan berkenaan dirakamkan empat tahun lalu dan tidak mempunyai kaitan dengan Emma.

Sejak kebelakangan ini, Emma atau nama sebenar Fatimah Rohani Ismail, 27, dilihat menjalinkan hubungan baik dengan jejaka berusia 30 tahun itu.

Syed Abdullah yang juga abang kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq kerap berkongsi gambar bersama Emma di laman Instagram peribadinya berserta kapsyen 'rakan baik'.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Cara Mendapatkan Semula Mesej WhatsApp Yang Telah Di Padam

Cara Mendapatkan Semula Mesej WhatsApp Yang Telah Di Padam

Ramai yang menggunakan ciri ‘Delete message’ di WhatsApp setelah silap menghantar mesej, lazimnya kerana typo ataupun kadang-kadang terhantar ke orang lain namun, ada cara rahsia untuk mendapat semula mesej yang telah dibuang, walaupun sudah lenyap dari skrin.

Padam mesej Whatsapp

Hal ini boleh menjejaskan seramai 1 billion pengguna Whatsapp sedunia apabila mesej yang telah mereka buang boleh muncul semula, lapor portal Dailymail.co.uk.

Caranya mudah sahaja:
  • Uninstall aplikasi WhatsApp daripada iPhone atau Android.
  • Muat turun semula WhatsApp daripada stor aplikasi.
  • Log masuk, kemudian memulihkan rekod mesej daripada back-up.

Apabila mesej back-up telah dipulih kembali, semua mesej termasuk yang telah dibuang akan terus muncul.

Ia kerana WhatsApp secara automatik akan menjalankan back-up setiap hari pada 2 pagi selain menyimpan dalam rekod semua mesej yang dihantar dan diterima.

Namun, ini bukan kali pertama isu timbul mengenai ciri ‘Delete for everyone’ itu.

Sejurus selepas ciri itu dilancarkan pada November 2017, blog Android Jefe melaporkan bahawa pengguna Android boleh melihat mesej yang dibuang.

Walaupun pengguna tidak dapat melihat semula mesej yang dibuang itu dalam aplikasi WhatsApp, mesej itu boleh muncul semula menerusi dua cara.

1. Pengguna boleh meletakkan widget ‘Settings’ pada home screen, di mana pilihan ‘Notification Registration’ akan muncul atau,

2. Pengguna boleh muat turun aplikasi sejarah notifikasi yang menunjukkan semua notifikasi terbaharu, walaupun mesejnya telah dibuang dalam WhatsApp

Hal ini kerana apabila notifikasi muncul di telefon pintar Android, ia secara automatik disimpan dalam log notifikasi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Kelebihan Dan Keunikan Menternak Ayam Mutiara

Kelebihan Dan Keunikan Menternak Ayam Mutiara

Kita mungkin biasa mendengar ayam kampung, serama dan ayam belanda (piru, turkey), tetapi tidak ramai yang mengenali sejenis lagi ayam yang tidak kurang hebatnya iaitu ayam mutiara, api-api atau unggas emas dan di negara Barat yang ia digelar Guinea Fowl misalnya, juadah ayam mutiara yang beratnya boleh mencecah 1.6 kilogram ini amat popular kerana baik untuk kesihatan, sekali gus menjadikan harganya tinggi.

Ayam Mutiara

Hebatnya ayam yang berasal dari benua Afrika ini bukan kerana bentuk fizikalnya, kelabu berbintik putih dan bertanduk kecil atau kerana kokokan yang nyaring hingga layak digelar ‘polis ladang’ termasuk menghalau ular, tetapi kerana nilai komersialnya yang tinggi berikutan dagingnya yang berkhasiat dan rendah kolesterol berbanding ayam daging.

Tidak kurang dakwaan yang mengaitkan telurnya mampu meningkatkan hubungan kelamin.

Ayam ini juga berperanan sebagai penjaga kebun, ini disebabkan ayam mutiara ini sememangnya diketahui sebagai pengawal haiwan perosak secara semula jadi.

Ayam mutiara ini juga mudah dijaga kerana kurang makan, cuma masalahnya, ia suka bertelur di tempat tersembunyi seperti di kawasan semak.

Harganya subjektif bergantung kepada penawaran dan permintaan di pasaran. Dulu ayam mutiara dewasa cuma RM35 seekor kerana tak banyak permintaan tapi sekarang, harga induk ayam mutiara ini dijual di kedai haiwan peliharaan pada harga RM130 seekor. Kalau beli terus dari ladang mungkin boleh dapat harga murah lagi.

Seekor ayam mutiara betina mampu bertelur sehingga 30-40 biji pada satu-satu masa dan tempoh matangnya pula sembilan bulan ke atas atau satu hingga satu setengah tahun ke atas. Tempoh pengeraman menggunakan inkubator adalah 28 hari.

Menariknya, kita tidak perlu tunggu lama untuk mendapat hasil kerana anak ayam berusia dua setengah bulan pun sudah boleh dijual.

Ayam mutiara boleh disifatkan sebagai produktif serta tahan lasak berbanding ayam daging biasa. Ia mula bertelur selepas berusia setahun manakala ayam daging pula bertelur apabila ia mencecah usia 20 minggu.

Tetapi ayam mutiara ini sebaliknya mampu bertelur sehingga tujuh tahun lamanya. Oleh itu kita boleh katakan antara keunikan ayam mutiara ini adalah tempoh kemampuannya bertelur.

Keunikan lain ayam mutiara ini adalah ia lebih tahan lasak dalam keadaan cuaca panas. Ayam mutiara tahan lasak disebabkan asal usulnya dari Afrika Barat yang bercuaca panas.

Ayam daging sebaliknya tidak tahan panas dan boleh mati kerana faktor genetiknya yang sudah diubah suai berikutan kedudukannya sebagai ternakan komersial.

Pengubahsuaian itu menjadikan ayam daging ‘lemah’ kerana keutamaannya ialah untuk memastikan pertumbuhan yang lebih cepat.

Faktor itu juga turut menjadikan ayam daging lebih tinggi kolesterol kerana kandungan lemaknya yang banyak berbanding ayam mutiara.

Daging ayam mutiara diketahui lebih sihat dan rendah kolesterol jika dibanding dengan ayam daging. Bagi setiap 100 gram misalnya, lemak dalam ayam mutiara cuma dua gram manakala ayam daging, enam gram.

Ini menunjukkan kandungan lemak ayam daging adalah tiga kali ganda lebih tinggi daripada ayam mutiara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM