Wednesday, June 13, 2018

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?


Agong, atau Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah merupakan ketua negara Malaysia. Memandangkan Malaysia mengamalkan sistem raja berpelembagaan, peranan YDPA adalah sangat luas, namun tertakluk kepada perlembagaan.

Tidak ramai yang mengetahui tentang peranan sebenar YDPA, dan artikel ini bertujuan untuk memberikan pencerahan kepada umum secara ringkas tentang tugas sebenar seorang Agong.

Sejarah Takhta Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Pada Ogos 1957, selepas menolak cadangan gelaran Yang di-Pertuan Besar berbanding YDPA, Persidangan Majlis Raja-Raja akhirnya melantik pemegang takhta yang pertama.

Mengikut senioriti, Sultan Johor iaitu Sultan Ibrahim yang memerintah negeri itu sejak 1895 diberikan keutamaan untuk peranan tersebut, namun baginda terpaksa menolak kerana kekangan umur yang sudah tua.

Sultan Abu Bakar dari Pahang yang memerintah negeri itu sejak tahun 1932 adalah individu yang berhak (dari segi senioriti) untuk takhta tersebut, namun telah ditolak oleh sultan-sultan dari negeri lain melalui undian.

Memerintah Negeri Sembilan sejak 1933, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad akhirnya dilantik menjadi YDPA yang pertama selepas 8 daripada 9 undian sultan-sultan negeri menyebelahi baginda.

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Persidangan Raja-Raja yang pertama terdiri daripada:
  1. Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Abdullah Al-Mutassim Billah Shah (Pahang)
  2. Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad (Negeri Sembilan)
  3. Sultan Hisamuddin Alam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah (Selangor)
  4. Sultan Badlishah ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah (Kedah)
  5. Sultan Ibrahim Petra ibni Almarhum Sultan Muhammad IV (Kelantan)
  6. Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail (Perlis)
  7. Sultan Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin III (Terengganu)
  8. Sultan Yusuf Izzudin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Nasruddin Shah (Perak)
  9. Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim (Johor)

Turutan Giliran YDPA Dari Segi Senioriti

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Sejak kitaran pertama 9 YDPA (1957-1994), turutan bagi takhta YDPA antara sultan negeri masing-masing dikekalkan seperti berikut:
  • Yang di-Pertuan Besar of Negeri Sembilan
  • Sultan Selangor
  • Sultan Perlis
  • Sultan Terengganu
  • Sultan Kedah
  • Sultan Kelantan
  • Sultan Pahang
  • Sultan Johor
  • Sultan Perak

Peranan Umum Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Peranan YDPA adalah berdasarkan konsep raja berpelembagaan. Perkara 181 (1) di dalam Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa kedaulatan dan kuasa raja-raja akan terus berkekalan.

Perlembagaan ini memberi definisi tentang peruntukkan bidang kuasa YDPA.

Antaranya termasuklah memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera negeri-negeri Sabah dan Sarawak serta menjaga kepentingan sah kaum-kaum lain.

Selain itu, baginda juga memainkan peranan sebagai ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri, serta beberapa negeri lain yang tidak beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah-Wilayah persekutuan.

Selain itu, YDPA juga berperanan sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara. Baginda juga mempunyai kuasa untuk mengurniakan pengampunan dan menangguhkan hukuman bagi kesalahan yang dibicarakan oleh Mahkamah Tentera dan semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan.

Secara terperincinya, bidang kuasa YDPA terbahagi kepada 3, iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Peranan Eksekutif Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Fasal 39 Perlembagaan memberi kuasa eksekutif kepada YDPA. Walaupun terdapat beberapa pengecualian dalam Perlembagaan mengenai kuasa dan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, secara lazim baginda menerima nasihat dari Kabinet atau lebih khusus, Perdana Menteri.

Walaupun bertindak atas nasihat Kabinet atau Menteri atau selepas berunding atau atas cadangan seseorang atau sesuatu pertubuhan (selain Kabinet), YDPA boleh bertindak mengikut budi bicara dalam 3 fungsi Perlembagaan iaitu:
  1. Melantik seorang Perdana Menteri.
  2. Bersetuju atau tidak mempersetujui permintaan membubarkan Parlimen.
  3. Meminta mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan semata-mata mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran raja dan mengambil tindakan dalam mesyuarat itu.

Peranan Perundangan Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Kuasa perundangan Persekutuan adalah terletak kepada Parlimen yang mengandungi YDPA dan 2 majlis, iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat.

YDPA sebagai sebahagian komponen Parlimen mempunyai kuasa berikut:
  1. Memanggil Parlimen bermesyuarat dari semasa ke semasa.
  2. Memberhentikan dan membubarkan Parlimen.
  3. Memberi ucapan dalam mana-mana majlis Parlimen.
  4. Memperkenankan Rang Undang-Undang. 

YDPA juga mempunyai kuasa melantik 2 orang senator untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seorang untuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya serta mempunyai kuasa melantik 40 orang senator lain.

Peranan Kehakiman Yang di-Pertuan Agong (YDPA)

YDPA mempunyai fungsi penting dalam bidang kehakiman. Antara tanggungjawab baginda adalah:

1. Melantik Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, Hakim Mahkamah Agung, Hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi atas nasihat Perdana Menteri setelah dirundingkan dengan Majlis Raja-Raja.

2. Melantik mana-mana orang yang layak dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi untuk menjadi Pesuruhjaya Kehakiman (yang mempunyai kuasa sebagai Hakim Mahkamah Tinggi) atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan (satu langkah sementara sebelum pelantikan tetap sebagai Hakim Mahkamah Tinggi).

3. Memanjangkan perkhidmatan seorang hakim yang berumur lebih 65 tahun. Bagaimanapun lanjutan perkhidmatan itu tidak melebihi enam bulan setelah mencapai umur 65 tahun.

4. Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Perdana Menteri atau Ketua Hakim Negara selepas berunding dengan Perdana Menteri, mengemukakan presentasi kepada YDPA untuk menyingkirkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan atas alasan tertentu.

Selepas menerima representasi itu, YDPA akan melantik satu tribunal untuk memberi cadangan dan mungkin atas cadangan tribunal itu menyingkirkan hakim dari jawatannya. YDPA boleh menggunakan budi bicara baginda untuk menerima atau menolak cadangan tribunal untuk menyingkirkan atau mengekalkan hakim.

5. YDPA mengikut Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan boleh mengeluarkan Perisytiharan darurat apabila berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku seperti keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraan awam dalam Persekutuan atau negeri dalam keadaan terancam.

6. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Perlembagaan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak membuat peruntukan yang menetapkan YDPA sebagai Ketua Agama Islam negeri berkenaan.

Kesimpulan

Apa Sebenarnya Tugas Yang di-Pertuan Agong?

Sebenarnya tugas seorang YDPA tidak tertakluk kepada yang dinyatakan di atas sahaja, terdapat banyak lagi peranan lain yang dimainkan oleh baginda.

Untuk memahami dengan lebih lanjut tentang peranan YDPA dan sultan-sultan di Malaysia, rujuk laman sesawang ini, istananegara.gov.my dan majlisraja-raja.gov.my.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon