Thursday, January 31, 2019

Cinta Laura Kecewakan Rakyat Indonesia


Kebelakangan ini, dia menjadi bualan hangat dalam dunia maya selepas warganet Indonesia mula mencanangkan namanya sebagai calon Ratu Cantik Dunia tahun 2020. Semuanya kerana aktres dan model berdarah kacukan Jerman-Indonesia ini pada awalnya didesak oleh peminat untuk menyertai pertandingan Puteri Indonesia 2019.

Cinta Laura

Pemenang pertandingan itu nanti secara automatik akan mewakili negara ke pertandingan Ratu Cantik Dunia tahun tersebut.

Tidak mahu terus dihujani dengan pertanyaan apatah lagi membiarkan peminat meletak harapan terhadapnya, Cinta memberi respons menerusi video secara langsung dalam satu aplikasi.

“Malangnya, saya tidak akan menyertai pertandingan Puteri Indonesia untuk mewakili kamu semua pada pertandingan ratu cantik tahun ini. Bukan saya tidak mahu malah saya sangat menghargai sokongan dan keyakinan kamu semua terhadap saya.

“Tetapi perkara ini sangat tiba-tiba dan saya tidak boleh membatalkan beberapa kontrak saya. Bulan Februari saya akan ke Sweden untuk menjalani proses rakaman lagu.

“Puteri Indonesia bakal mengubah peraturan mulai tahun depan iaitu peserta berumur 28 tahun ke bawah layak menyertai pertandingan. Jangan sedih kerana ada harapan, mungkin tahun depan saya masih mendapat sokongan kamu semua untuk menyertai pertandingan,” jawabnya.

Justeru ramai peminat kembali berharap agar Cinta menyahut cabaran pertandingan itu nanti seterusnya bakal menjadi kebanggaan dan mara ke pentas ratu cantik dunia, tahun hadapan.

Bintang genius

Cinta sememangnya menjadi kebanggaan ramai peminat. Bukan saja memiliki paras rupa yang cantik malah bintang berusia 25 tahun ini bijak dalam pelajaran.

Dia menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda jurusan Psikologi dan Sastera Jerman di Columbia University, New York dengan kepujian.

Dia juga pernah ditawarkan biasiswa melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana di Universiti Oxford dan Universiti Cambridge. Namun buat masa ini dia memilih menangguhkan pengajiannya kerana mahu fokus pada kerjaya.

Pun begitu, anak kepada pasangan Michael Kiehl, seorang Pengurus Hotel Hyatt dan peguam terkenal Herdiana Soekarseno ini sering dianggap tidak pandai bertutur bahasa Indonesia dengan baik kerana pelat bahasa Inggeris terlalu pekat.

Ramai netizen mengejek gaya pertuturan Cinta dengan cara meniru berulang kali percakapan gadis kelahiran Quakenbrück, Jerman ini.

Namun Cinta tidak lupa tentang budaya dan keunikan negaranya. Walaupun dia berpenampilan seksi, dia kerap memilih memakai busana batik atau kebaya ketat ketika hadir di acara hiburan luar negara dan di Hollywood.

Secara tidak langsung dia tidak malu untuk memperkenalkan Indonesia di mata dunia.

‘Mangsa’ persepsi

Bekerja di Hollywood, Cinta bermastautin di Los Angeles Amerika Syarikat sejak 2011. Setahun selepas itu dia mendapat peluang bekerjasama dengan pemuzik di sana dan merakamkan dua lagu berjudul Boomerang dan Playlist.

Cinta pernah membintangi filem The Philosopers ‘After The Dark’ arahan sutradara bernama John Huddles. Pelakon yang juga popular menerusi sinetron Upik Abu dan Laura ini pernah menghadiri uji bakat filem pecah panggung Star Wars dan Tron, namun gagal.

Terdahulu dia juga pernah mendapat peluang keemasan menemubual pelakon utama filem francais terhangat, The Avengers seperti Chris Hemwsworth, Chris Evans, Scarlett Johansson dan Robert Downey Jr.

Namun keterujaan bertemu dengan pelakon kelas A antarabangsa ketika itu nyaris terbantut dek satu hal yang tidak disangka-sangka.

Rupa-rupanya Robert Downey Jr. enggan ditemu bual oleh Cinta kerana Iron Man itu kurang percaya kemampuan Cinta bertutur dalam bahasa Inggeris disebabkan dia orang Indonesia.

Tidak berputus asa dengan persepsi yang dilemparkan terhadap dirinya, Cinta mengajak aktor berprofil tinggi itu berbual. Hasilnya Robert Downey Jr. kagum dengan Cinta dan akhirnya mahu meneruskan sesi temu bual.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon