Thursday, January 31, 2019

Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Sultan Abdullah Yang di-Pertuan Agong ke-16

Rakyat Malaysia sekali lagi akan menyaksikan pengisytiharan Ketua Negara baharu apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam satu istiadat di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong ke-16

Sebagaimana termaktub dalam Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, baginda akan melafaz sumpah dengan disaksikan Raja-raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-252 (Khas) yang akan berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara.

Dengan pengisytiharan itu, Sultan Abdullah yang menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Januari 2019 lepas akan menduduki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun bermula 1 Februari.

Mesyuarat khas itu juga akan menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh sama.

Pemilihan Sultan Abdullah adalah mengikut keputusan penggiliran mengikut peruntukan perlembagaan dalam masa yang singkat, sekali gus mendokong sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan Malaysia.

Kira-kira 500 tetamu jemputan terdiri daripada kerabat diraja, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri, Ketua Hakim Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara serta dif-dif kenamaan dijangka menghadiri istiadat berkenaan.

Kali terakhir detik bersejarah seumpama itu berlaku adalah kira-kira empat dekad lepas, apabila Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh (1979-1984).

Sebelum itu, Sultan Abdullah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar dijangka berangkat dari Istana Abdulaziz, Kuantan seawal 7.00 pagi ke ibu negara bagi menghadiri istiadat berkenaan.

Upacara di ibu negara akan bermula dengan keberangkatan tiba Sultan Abdullah di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pada 8.30 pagi.

Menurut buku atur cara istiadat, rombongan diraja kemudian akan berangkat ke Dataran Parlimen bagi acara sambutan rasmi sebelum ke Istana Negara untuk istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo