Isnin, November 26, 2018

Adakah Anda Sudah Layak Membayar Zakat Pendapatan?


"Sudah bayar zakat ke?" Bila tiba musim hari raya, soalan ini yang wajib ditanya. Ada yang sanggup menunggu hingga pagi raya untuk membayar kerana lebih afdhal (dan pahalanya semakin banyak). Suasananya juga meriah, keluarga di rumah rasa lega jika zakat telah dibayar. Bolehlah raya!

Zakat Pendapatan

Seronokkan dapat membayar zakat fitrah. Zakat ini wajib dibayar hingga kalau tak bayar tak seronok rasanya. Tetapi, ada satu lagi zakat yang wajib yang dipanggil Zakat Pendapatan.

Zakat ini dibayar sebagai tanda terima kasih kita kepada Allah SWT yang telah memberikan rezeki yang cukup kepada kita selama ini.

Tetapi apa sebenarnya Zakat Pendapatan ini, syarat-syaratnya dan mengapakah ia begitu penting?

Ikuti 11 panduan asas tentang Zakat Pendapatan.

1. Wajib ke?

Kewajipan membayar zakat adalah sama dengan solat. Zakat juga merupakan salah satu dari lima Rukun Islam yang menjadi kewajipan ke atas orang Islam.

Di dalam Al-Quran zakat disebut hampir 30 kali, malah selalu disebut sekali dengan solat. Jadi zakat adalah sama penting dengan solat dalam hidup kita.

2. Apakah maksud zakat pendapatan?

Zakat pendapatan adalah sebahagian kecil bayaran yang kita buat selepas menerima bayaran seperti gaji bulanan, tunggakan gaji, elaun, bonus atau dari sumber lain seperti pekerjaan tambahan (overtime atau part time).

Begitu juga jika kita menerima wang sewaan rumah, bangunan atau kenderaan. Bayaran zakat pendapatan ini dibuat kepada pejabat zakat yang berhampiran.

3. Adakah saya wajib membayar?

Ya, jika kita memenuhi syarat-syarat ini:
  • Seorang Islam yang dewasa, merdeka dan sihat akal fikiran.
  • Kita memiliki sepenuhnya pendapatan dan boleh menggunakan wang ini pada bila-bila masa.
  • Wang pendapatan ini mencapai nilai minimum (nisab) yang ditetapkan mengikut negeri.

Contohnya di negeri Melaka, jumlah pendapatan tahunan yang dikenakan zakat adalah sebanyak RM12,432-76 bersamaan gaji minimum sebulan sebanyak RM1,036.

Jadi, hanya pendapatan bulanan bermula dari RM1,036-00 ini sahaja perlu membayar zakat dan nilai minimum ini adalah berbeza mengikut ketetapan pusat zakat negeri masing-masing.

4. Berapa banyak zakat yang perlu saya bayar?

Pembayaran zakat pendapatan adalah sebanyak 2.5% sahaja dari jumlah pendapatan kita dan baki pendapatan sebanyak 97.5% boleh kita gunakan.

5. Kiraan 2.5% ini dari gaji kasar atau bersih?

Terdapat dua cara kiraan yang boleh digunakan iaitu:
  • 2.5% dari pendapatan kasar, iaitu tanpa potongan perbelanjaan, atau;
  • 2.5% dari pendapatan setelah ditolak perbelanjaan untuk diri sendiri, isteri, anak, KWSP dan pemberian kepada ibu bapa.

Sekiranya kita ada membuat simpanan di Tabung Haji atau Takaful juga boleh ditolak kerana badan-badan ini telah pun membayar zakat untuk sumbangan kita.

Cara paling mudah mengira bayaran zakat pendapatan adalah dengan menggunakan kalkulator zakat pusat zakat negeri masing-masing.

6. Adakah saya perlu bayar bulanan atau lumpsum setahun sekali?

Mana-mana satu pun boleh. Pilih cara yang kita rasa lebih mudah.

7. Perlukah bayar di pejabat zakat sahaja?

Jika bayar di kaunter pejabat zakat lebih baik kerana dapat bertanya dengan lebih lanjut.

Tetapi jika kita sudah pasti, atau ada rezeki ingin bayar lebih boleh sahaja bayar melalui online banking atau potongan gaji majikan secara tetap.

8. Kepada siapa zakat ini akan diberikan?

Zakat pendapatan serta lain-lain zakat akan diberikan kepada orang Islam yang fakir, miskin, pihak yang membuat kutipan zakat (amil), mereka yang terbuka hatinya memeluk Islam (muallaf), orang yang berhutang bagi tujuan yang baik, mereka yang berjuang untuk Islam, orang dalam perjalanan yang terputus wang belanja (musafir) dan untuk memerdekakan hamba.

9. Apakah kebaikan jika saya membayar zakat?

Kadang-kadang kerana terlalu sibuk, kita tidak sempat untuk mendengar kesusahan orang lain.

Zakat sebenarnya melatih kita untuk sentiasa menderma bagi membantu mereka yang sangat memerlukan, menjalinkan rasa kasih-sayang dengan orang yang tidak dikenali serta menjadikan hidup kita lebih berkat dan bahagia. Zakat juga akan menyuburkan harta kita.

10. Perlu bayar cukai pendapatan lagi ke?

Sebenarnya jika kita membayar zakat pendapatan, kita boleh mendapat pelepasan cukai pendapatan jika jumlah zakat yang dibayar sama atau melebihi cukai pendapatan kita.

Jika jumlah zakat yang dibayar adalah kurang, kita hanya perlu membayar bakinya sahaja kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Cara untuk mendapat pelepasan atau pengurangan ini adalah dengan mengemukakan resit zakat yang telah dibayar kepada LHDN.

11. Zakat pendapatan ini sama dengan sedekah?

Zakat sebenarnya adalah pemberian atau sedekah. Cuma zakat pendapatan adalah wajib dilakukan jika kita cukup syarat, manakala sedekah yang tidak wajib (sunat) adalah terpulang kepada diri masing-masing.

Hak orang miskin

Zakat vs Sedekah

Sebenarnya di dalam setiap rezeki yang kita terima, ada bahagian orang lain di dalamnya. 2.5% dari pendapatan kita adalah milik lapan golongan yang telah ditetapkan di dalam Al-Quran.

Ada di antara mereka ini menyuarakan kesusahan mereka untuk dibantu dan ada juga yang berdiam diri sehingga kita tidak merasai keperitan yang mereka lalui.

Zakat pendapatan adalah satu rahmat Allah SWT yang melatih kita untuk mengingati mereka yang memerlukan dengan memberikan sedikit bantuan.

Zakat dalam bahasa Arab bermaksud bertambah, berkat, puji dan bersih. Sudah pasti dengan menunaikan zakat ini, rezeki yang kita perolehi menjadi bersih serta hidup kita akan lebih diberkati.

Ingin rasakan ketenangan yang hadir dari lubuk hati? Mulakan dengan “memberi”. Rasa tenang akan hadir sewaktu harta dunia berada di hujung jari dan bukan lagi di dalam hati.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: tzkrh

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon