Wednesday, January 30, 2019

Jenayah Perang Israel Terhadap Palestin


Pihak berkuasa Palestin perlu membawa tindakkan undang-undang untuk melawan segala penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap mereka di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), The Hague, Belanda.

Jenayah Perang Israel

Beberapa tahun yang lalu iaitu pada 1 April 2015, pihak Palestin secara rasmi telah menandatangani Statut Rom sekaligus menganggotai Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Keanggotaan terbabit telah membuka ruang dan peluang kepada pihak Palestin untuk mengemukakan dakwaan jenayah perang dan kemanusian terhadap Israel.

Buat sekian lama, rakyat Palestin telah banyak menderita akibat daripada kekejaman, penindasan dan diskriminasi yang telah dilakukan oleh pihak Israel terhadap mereka. Semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948, rakyat Palestin tidak pernah mengecapi keamanan.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan Israel serta penduduk Israel untuk memastikan setiap inci tanah milik rakyat Palestin menjadi milik mereka serta menafikan segala hak rakyat Palestin untuk mewujudkan negara yang bebas dan merdeka.

Untuk rekod, Israel telah banyak melanggar Konvensyen Geneva serta pelbagai jenis undang-undang antarabangsa khususnya yang berkaitan dengan hak asasi manusia terhadap penduduk Palestin.

Antara Konvensyen Geneva yang banyak telah dilanggar oleh pihak Israel termasuklah dengan melakukan pembunuhan kejam terhadap masyarakat awam Palestin tanpa mengira usia dan jantina, memindahkan ramai rakyat Israel ke kawasan yang ditakluki oleh mereka di tanah Palestin di Tebing Barat, mengenakan pelbagai jenis perintah berkurung dan penutupan jalan serta kawasan tanpa sebarang sebab yang munasabah serta mengunakan kuasa ketenteraan mereka secara berlebih – lebihan terhadap penduduk awam Palestin.

Pada masa yang sama juga, pihak Israel telah melanggar banyak peruntukan undang-undang antarabangsa dan beratus resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan mereka di tanah Palestin, meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok ditanah milik Palestin, serta menafikan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah mereka sendiri.

Semua perlanggaran undang – undang ini membolehkan pihak Palestin membawa kes mereka ke pengetahuan pihak ICC. Walaupun Israel tidak menjadi anggota kepada ICC, namun tindakkan undang - undang boleh diambil melalui ICC terhadap jenayah yang telah dilakukan oleh mana-mana warga Israel di tanah dan kawasan milik Palestin.

Pelbagai jenis tindakkan undang-undang yang boleh diambil oleh pihak Palestin melalui ICC terhadap Israel yang telah menjajah negara mereka semenjak penubuhan Israel pada tahun 1948 seperti jenayah perang, jenayah kemanusian, pembunuhan beramai-ramai orang awam dan lain - lain seperti yang jelas termaktub dibawah Artikel 5, Statut Rom, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Selain daripada itu Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terbabit itu juga memperuntukkan skop maksud “jenayah perang” yang lebih luas dengan membolehkan pihak berkuasa Palestin untuk mengemukakan lebih banyak pertuduhan ke atas Israel dimana Artikel 7 Statut Rom terbabit menyenaraikan sebarang usaha yang dilakukan oleh pihak penjajah untuk “menghalau atau mengusir” penduduk asal disesuatu kawasan yang dijajahnya melalui apa – apa cara pun tanpa kebenaran undang – undang antarabangsa adalah satu bentuk kesalahan jenayah perang yang boleh didakwa.

Tindakan ini banyak dilakukan oleh pihak rejim Israel yang telah banyak mengambil tanah secara haram serta menghalau penduduk Palestin dari tanah mereka sendiri dengan hasrat jangka panjang untuk menafikan hak warga Palestin untuk mewujudkan negara mereka sendiri.

Artikel 8 Statut Rom terbabit juga memperuntukkan jenayah perang meliputi aspek “penempatan penduduk” yang telah banyak dilakukan oleh pihak penjajah Israel dikawasan yang dijajah mereka semenjak mereka menduduki wilayah Palestin lebih setengah abad yang lalu.

Jika dilihat dengan teliti, pihak rejim Israel telah banyak membuka penempatan haram mereka dikawasan penduduk Palestin terutamanya di Tebing Barat dan Timur Baitulmaqdis yang ingin dijadikan mereka sebagai ibu kota negara Israel yang tidak boleh dikongsi oelh mana-mana pihak termasuk pihak Palestin. Terdapat pelbagai jenis hukuman yang disediakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah oleh ICC.

Antara jenis hukuman yang boleh dikenakan meliputi penjara untuk satu tempoh yang lama, denda, serta rampasan harta.

Ini jelas diperuntukkan dibawah Artikel 77 Statut Rom. Justeru, adalah penting bagi pihak berkuasa Palestin untuk mengambil tindakkan undang-undang dengan segera terhadap Israel bagi melindungi, menjaga dan mengambil kembali kedaulatan wilayah mereka yang telah lama diceroboh dan dijajah serta menegakkan keadilan terhadap rakyat Palestin yang sudah lama menjadi mangsa penindasan oleh Israel.

Semua negara dunia yang masih mempercayai pada prinsip keadilan perlu memberi kerjasama serta sokongan tidak berbelah bagi terhadap kerajaan dan rakyat Palestin di dalam perkara ini.

Negara–negara Islam termasuk Malaysia harus terus berani membantu kerajaan dan rakyat Palestin tanpa berasa bimbang atau takut terhadap ancaman atau ugutan yang bakal diterima dari mana-mana negara yang sentiasa menyebelahi Israel.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon