Tuesday, November 28, 2017

6 Petua Nampak Lebih Muda Tanpa Botox

6 Petua Nampak Lebih Muda Tanpa Botox

Ramai yang inginkan wajah mereka kelihatan 10 ke 20 tahun lebih muda berbanding umur sebenar. Tak kurang juga ada yang sanggup cucuk botox untuk menghilangkan kedut yang mula muncul di wajah seiring bertambahnya usia.

6 Petua Nampak Lebih Muda Tanpa Botox

Tapi hakikatnya jika ingin kelihatan lebih muda, ia bukan hanya memerlukan penjagaan luaran tapi juga disiplin diri dalam menjaga aspek mental dan kesihatan dalaman.

Yang penting konsisten dan istikhamah mengamalkan 5 perkara berikut:

1. Buang kepercayaan mitos bahawa makin tua diri kita, makin tak berguna

Apa yang kita fikir, itulah diri kita. Para ilmuan berpendapat jika kita percaya ketajaman akal makin berkurang bila umur menuju senja, maka itulah yang akan benar-benar berlaku.

Professor Becca Levy, pemegang Ph.D dan penyelidik dalam bidang kesihatan umum dari Universiti Yale mendapati pengaruh psikologi dan persepsi tentang pertambahan umur memberi kesan besar kepada kesihatan mental dan fizikal seseorang individu.

Mereka yang berpandangan negatif mengenai penuaan memberi keputusan ujian yang lebih teruk berbanding mereka yang berpandangan positif dan menerima umur yang bertambah sebagai satu perjalanan hidup yang harus dihargai.

Dari penelitian Professor Becca juga, individu berusia lanjut dengan persepsi positif mampu hidup 7 tahun lebih lama berbanding mereka yang negatif. Kesimpulannya, terima diri kita seadanya, hargai perubahan dan sayangi diri kita.

Peningkatan usia seharusnya diterima sebagai sebahagian daripada perubahan hidup yang harus dinikmati. Lagipun hidup adalah satu perjalanan, just enjoy the ride.

2. Latih diri bersikap positif

Bersikap positif perlukan latihan dan sebaiknya dimulakan seawal yang boleh. Dalam erti kata lain, latih mental dan hati kita dengan cara membaca dan melihat sesuatu yang positif setiap hari.

Dan di waktu yang sama berusahalah untuk bersangka baik, setiap hari. Ia bukan satu perkara yang mudah untuk berubah bila sudah terlalu lama kita dihidangkan dengan kisah sedih, kemalangan, kematian dan persekitaran yang mengundang kemarahan.

Tapi di akhirnya tetap hanya diri sendiri yang harus memilih sisi hidup mana yang mahu kita lihat – negatif atau positif.

Sejak tahun 1986, David Snowdon dari Universiti Kentucky telah meneliti dan membuat kajian bagi mendapatkan hubungkait antara kesihatan mental dan pertambahan usia.

Salah satu penemuannya adalah keadaan emosi positif pada usia tua dapat membantu menghilangkan rasa cemas dan di waktu yang sama memanjangkan umur seseorang individu.

Dalam erti kata lain, sikap positif bukan hanya dapat memanjangkan umur, ia juga dapat membuat kita hidup lebih gembira dan seterusnya melambatkan proses penuaan.

Sentiasa ceria dan cergas adalah antara rahsia kelihatan lebih muda.

3. Sentiasa asah otak dan pemikiran kita

Kajian oleh Dr. Yakov Stern, ketua bahagian Cognitive Neuroscience di Sergievsky Center, Universiti Columbia menunjukkan individu yang terus bergiat aktif di hari tua sama ada melalui pendidikan, pekerjaan dan apa saja hobi yang menggerakkan otot dan badan dapat mengurangkan risiko nyanyuk (Alzheimer) sebanyak 35% ke 40%.

Merangsang minda dengan permainan seperti teka silang kata, sudoku, catur dan apa saja aktiviti yang memerlukan kita menyelesaikan masalah dan mengatur strategi dapat merendahkan risiko penyakit Alzhemer.

Membaca buku motivasi dan melakukan aktiviti yang dapat meningkatkan kualiti diri serta pemikiran turut mempengaruhi cara kita melihat dunia.

Ini akan menjadikan kita lebih menghargai hidup, sentiasa bersemangat dan mempunyai sebab untuk melalui hari tersebut dengan lebih baik.

4. Bersenam

Sama ada berlari, mengeluarkan peluh di gym atau sekadar berjalan kaki, bersenam sememangnya memberi kesan yang baik dari sudut mental (dalaman) dan fizikal (luaran).

Selain menjadikan jantung lebih sihat, bersenam juga dapat mencegah risiko penyakit darah tinggi, strok, diabetes, mengawal berat badan, mengurangkan stress dan risiko tulang reput. Bila bersenam, badan mengeluarkan bahan kimia yang dipanggil endorfin.

Endorfin ini berinteraksi dengan reseptor di otak, dan ini akan mengurangkan persepsi badan terhadap kesakitan.

Endorfin juga mencetuskan perasaan positif dalam badan, sama seperti morfin. Ini secara langsung akan meningkatkan keyakinan diri dan menjadikan hidup lebih ceria.

5. Makan buah-buahan dan makanan anti oksida

Antara makanan yang dikenal pasti kaya anti oksida adalah buah-buahan berrie seperti blueberry, blackberry, strawberry, raspberry, cranberry dan kismis merah yang sangat kaya dengan vitamin antioksidan dan mineral.

Tapi bagaimana pula dengan buah tempatan? Manggis merupakan antara buah tempatan yang diakui mengandungi anti oksida yang tinggi.

Buah-buahan tempatan lain seperti rambutan, langsat, duku, mangga dan durian juga mempunyai berbagai vitamin, mineral dan serat yang dapat membantu memberi kesihatan yang lebih baik.

Dr. Mehmet C. Oz, M.D., salah seorang penulis buku Staying Young: The Owner’s Manual for Extending Your Warranty berkata salah satu cara untuk kelihatan lebih muda adalah dengan menjaga kesihatan penghadaman.

Untuk menjaga sistem penghadaman ini, badan kita memerlukan 25 gram serat setiap hari. Serat bekerja dengan menjaga semua nutrisi yang dimasukkan ke dalam tubuh dan melepaskan nutrisi tersebut bila ia diperlukan.

Antara bahan semulajadi yang mengandungi serat adalah sayur kobis, brokoli, tomato, sawi, bayam dan keledek.

6. Bekalkan badan dengan kolagen

Kajian menunjukkan penghasilan kolagen oleh badan berkurang pada kadar 1.5% setiap tahun selepas kita berumur 25 tahun.

Dan apabila umur meningkat antara 45 hingga 50 tahun, badan kita akan kehilangan hampir separuh daripada kolagen yang ada.

Ini menyebabkan kulit menjadi longgar, kendur, hilang lemak, nipis dan kasar. Jika kita mahu kulit kekal sihat dan anjal, maka kita perlu mengambil makanan yang boleh membantu meningkatkan kolagen di dalam badan.

Antara makanan yang dikenalpasti dapat meningkatkan pengeluaran kolagen oleh badan adalah produk berasaskan soya, sayur-sayuran hijau dan berwarna gelap, kekacang, buah-buahan dan sayuran berwarna merah seperti tomato dan lobak merah, serta buah yang mengandungi vitamin C seperti oren dan buah prune.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Pendaki Hebat Gunung Everest Yang Takut Sebutir Pasir!

Pendaki Hebat Gunung Everest Yang Takut Sebutir Pasir!

Nama Sir Edmund Percival Hillary tercatat dalam sejarah sebagai manusia pertama menjejakkan kaki ke puncak gunung Everest.

Sir Edmund Percival Hillary (kiri).

Pendaki kelahiran New Zealand ini merupakan orang pertama yang sampai ke puncak gunung pada ketinggian melebihi 29 ribu kaki, ditemani pemandu arah warga Nepal, Tenzing Norgay.

Sebelum itu, Edmund pernah melakukan ekspedisi untuk menakluki Everest pada tahun 1951, namun gagal.

Sejak tahun 1920an, banyak ekspedisi pendakian dilakukan untuk menawan puncak dunia itu tetapi semuanya gagal.

Kejayaan Edmund pada tahun 1953 telah membuka pintu kepada pendaki-pendaki lain untuk turut sama menakluki Everest.

Edmund pernah ditanya, sebagai seorang pendaki sejak usia remaja dan telah banyak menghabiskan waktu menjelajah alam ini, apa yang paling ditakutinya ketika melakukan pendakian? Sebutir pasir!

Itulah jawapan Edmund kepada pertanyaan itu.

Dia tidak takut cuaca yang ekstrem, entiti misteri mahupun jurang yang dalam tetapi, yang paling ditakuti Edmund hanyalah sebutir pasir.

Katanya, sebutir pasir yang masuk terselit di celah-celah jari kaki boleh membawa malang terhadap pendaki.

"Ia kecil, hanya sebutir pasir namun, apabila masuk ke dalam kulit kaki dan ke dalam kuku, lama-kelamaan kaki akan terkena jangkitan lalu mula membusuk.

"Semakin lama kaki semakin sakit, lemah dan akhirnya tidak dapat digerakkan lagi.

"Itu bermakna malapetaka untuk seorang pendaki," kata Edmund.

***

Kita sering berasa takut dan risau dengan hal-hal besar yang adakalanya belum tentu ada di depan mata, lalu mengabaikan perkara kecil yang tanpa kita sedar sebenarnya boleh memberi kesan buruk dalam kehidupan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Benarkah Everest Gunung Paling Tinggi Di Dunia?

-SENTIASAPANAS.COM

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (28 November)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (28 November)

Tarikh 28 November merupakan hari ke 332 (hari ke 333 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 33 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (28 November)
Nancy Astor, Ahli Parlimen wanita pertama British.

Hari ini juga merupakan sambutan Hari Kemerdekaan di Panama (1821), Albania (1912) dan Mauritania (1960) juga sambutan Hari Tentera Laut di Iran.

Peristiwa

1660 - Di London, Robert Boyle, John Wilkins, Christopher Wren dan ahli sains terkemuka lain menubuhkan satu persatuan terpelajar yang kini dikenali sebagai Royal Society.

1785 - Amerika Syarikat menandatangani Perjanjian Hopewell pertama dengan Indian Cherokee.

1905 - Nasionalis Ireland Arthur Griffith membentangkan dasar Sinn Féin, mengisytiharkan bahawa Akta Kesatuan Great Britain dan Ireland 1800 tidak sah.

1919 - Nancy Astor terpilih sebagai Ahli Parlimen wanita pertama dalam Dewan Rakyat British.

1966 - Penerbangan pertama kapal angkasa lepas Soyuz dilancarkan. Misi tanpa anak kapal ini merupakan pendahulu misi Soyuz 1.

1975 - Timor Leste mengisytiharkan kemerdekaan daripada Portugal.

1979 - Penerbangan 901 Air New Zealand terhempas ke Gunung Erebus di Antartika, membunuh kesemua 257 orang di dalamnya.

1998 - Perlembagaan Albania kini, antara lain membenarkan republik berparlimen, disahkan melalui satu pungutan suara.

2000 - Presiden Ukraine Leonid Kuchma dituduh secara terang-terangan terlibat dalam penculikan wartawan Georgiy Gongadze dan beberapa jenayah lain.

2007 - Persidangan Damai Annapolis untuk menyelesaikan Konflik Israel-Palestin berlangsung di Maryland, Amerika Syarikat.

2010 - WikiLeaks mengeluarkan koleksi lebih 250,000 kawat diplomatik Amerika Syarikat, termasuk 100,000 bertanda "sulit" atau "rahsia".

2011 - Akta Perhimpunan Aman diluluskan Parlimen Malaysia selepas enam pindaan daripada rang undang-undang asal.

Kelahiran

1927 - Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Yang di-Pertuan Agong ke-5 dan ke-14.

Kematian

1954 - Enrico Fermi, seorang saintis Itali.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (27 November)

sumber: wikipedia

Monday, November 27, 2017

Misteri Sumpahan Makam Raja-raja Purba

Misteri Sumpahan Makam Raja-raja Purba

Pada tahun 1922, sekumpulan pakar Mesir telah membuka makam Raja Tutankhamun yang berusia hampir 3,000 tahun, seorang putera raja yang mangkat dalam usia muda.

Misteri Sumpahan Makam Raja-raja Purba
Replika Makam Tutankhamun.

Namun, beberapa bulan kemudian satu demi satu malapetaka menimpa orang yang terlibat dalam pembukaan makam tersebut yang diakhiri dengan kematian.

Perkara yang sama berulang 50 tahun kemudian apabila empat daripada 12 arkeologi mati selepas beberapa hari membuka makam Raja Casimir IV Jagiellon, seorang pemerintah Poland pada abad ke 15 yang mangkat pada tahun 1492.

Persoalannya, sumpahan apakah yang menguasai makam raja-raja zaman silam ini?

Sebenarnya, tiada sumpahan. Kematian semua ahli arkeologi tersebut telah dibuktikan dengan sains.

Raja Casimir mangkat pada 7 Jun, iaitu pada musim panas dan cuaca pada hari tersebut sangat terik.

Mayat Raja Casimir mereput dan terurai dengan cepat daripada sepatutnya, memaksa tukang awet untuk menyapu calc, sejenis cecair limau pada tubuh raja.

Mayat Raja Casimir kemudiannya ditutup dengan sehelai kain yang sangat mahal sebelum dimasukkan ke dalam keranda kayu.

Tukang awet kemudiannya menyapukan cecair resin ke seluruh keranda yang tanpa sengaja, secara biologinya telah mencipta 'bom' dan meletus 500 tahun kemudian.

Apabila makam Raja Casimir dibuka oleh ahli arkeologi pada tahun 1973, kulat beracun Aspergillus flavus telah tersebar lalu 'menyerang' kawasan persekitaran dan akhirnya membawa maut kepada mereka.

Kulat ini boleh ditemui dalam makam dan mayat yang sudah berusia ratusan tahun.

Aspergillus flavus dikatakan boleh menyebabkan alergi yang teruk dan dari sesak nafas sehingga pendarahan dalam paru-paru.

Kulat yang sama dipercayai telah ditemui dalam makam Raja Tutankhamun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 5 Makam Wanita Purba Paling Terkenal

-SENTIASAPANAS.COM

Apa Itu Wabak Demam Kepialu (Tifoid)?

Apa Itu Wabak Demam Kepialu (Tifoid)?

Apa itu demam Tifoid (kepialu)? Demam kepialu merupakan sejenis penyakit yang boleh mengancam nyawa disebabkan oleh bakteria Salmonella thypi (S. thypi).

Apa Itu Wabak Demam Kepialu (Tifoid)

Demam kepialu biasa ditemui di beberapa bahagian negara membangun dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan, sebanyak 16 juta kes demam kepialu berlaku saban tahun. Kira-kira 600,000 daripadanya meragut nyawa.

Demam kepialu boleh dicegah melalui pemvaksinan dan biasanya boleh dirawat dengan penggunaan antibiotik bagi mengurangkan tempoh kesakitan serta mengurangkan gejala-gejalanya.

Bagaimanakah Demam kepialu menular?

S. thypi hanya berumah di dalam tubuh manusia dan seseorang yang menghidap penyakit ini akan membawa bakteria di dalam saluran darah dan saluran pencernaan mereka.

Sebilangan kecil daripada pesakit yang dinamakan sebagai pembawa, pulih daripada penyakit demam kepialu tetapi terus membawa bakteria di dalam badannya.

Apabila kedua-dua pesakit dan pembawa membuang air besar, S. thypi turut dikeluarkan bersama-sama najis.

Anda boleh jatuh sakit sekiranya memakan makanan dan meminum minuman yang dikendalikan oleh seseorang yang mengeluarkan S. thypi ataupun, jika sisa kumbahan tercemar dengan bakteria S. thypi memasuki air yang anda gunakan untuk minum atau membersihkan makanan.

Oleh kerana itu, demam kepialu sering ditemui di tempat-tempat di mana penduduknya kurang mengamalkan membasuh tangan manakala airnya mungkin tercemar dengan sisa kumbahan.

Sekali bakteria S. thypi dimakan atau diminum, ia akan membahagi dan merebak ke dalam saluran darah dan badan akan bertindak balas dengan menunjukkan beberapa gejala seperti demam.

Langkah-langkah pencegahan Demam Kepialu

Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat mencadangkan dua tindakan asas bagi melindungi diri anda daripada demam kepialu:

1. Rebus, masak, kupas atau lupakan sahaja

Elakkan makanan serta minuman yang berisiko. Ini mungkin mengejutkan anda tetapi melihat apa yang anda makan dan minum terutamanya semasa dalam perjalanan adalah sama pentingnya seperti anda mendapat pelalian.

Dengan menghindari makanan berisiko juga mampu melindungi diri anda daripada lain-lain penyakit seperti cirit-birit, kolera/taun, disenteri dan hepatitis A.

2. Dapatkan pemvaksinan

Jika anda menetap atau dalam perjalanan menuju ke negara yang biasa diserang wabak demam kepialu, anda perlu menimbangkan pemvaksinan menentang demam kepialu.

Berjumpalah dengan doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang pilihan vaksin anda.

Apakah gejala-gejala demam kepialu?
  • Demam tinggi yang berpanjangan, setinggi 39 hingga 40 darjah selsius.
  • Badan terasa lemah dan tidak bermaya.
  • Sakit perut dan hilang selera makan.
  • Sakit perut.
  • Dalam sesetengah kes, pesakit akan mengalami ruam bertompok warna merah jambu (seperti bunga mawar).
  • Satu-satunya cara untuk mengesahkan sama ada seseorang itu menghidap demam kepialu adalah dengan cara menguji sampel najis atau darah bagi mengesan kehadiran S. thypi.

Apakah yang boleh anda lakukan jika dijangkiti demam kepialu?

Jika anda mengesyaki diserang demam kepialu, segeralah berjumpa doktor.

Mereka yang diberikan antibiotik lazimnya akan mula menunjukkan tanda-tanda pulih dalam tempoh dua hingga tiga hari. Kematian jarang berlaku jika pesakit mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, pesakit yang tidak mendapatkan rawatan akan terus mengalami demam sehingga berminggu dan berbulan lamanya.

Sebanyak 20 peratus daripada mereka akan meninggal dunia disebabkan oleh komplikasi jangkitan.

Bahayanya tidak akan berakhir.

Sekalipun gejalanya kelihatan seperti telah tiada, namun, anda masih berkemungkinan membawa S. thypi.

Jika demikian, penyakit demam kepialu mungkin datang semula dan anda dalam masa yang sama boleh menyebarkan demam kepialu kepada orang lain.

Malah, jika anda terlibat dalam kerja-kerja mengendalikan makanan dan menjaga kanak-kanak kecil, anda mungkin dilarang meneruskan tugas sehinggalah doktor benar-benar pasti anda tidak lagi membawa bakteria S. thypi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Virus Ebola, Mudah Berjangkit Dan Tiada Penawar

sumber: utusan

Proton Bakal Cipta Kereta Terbang!

Proton Bakal Cipta Kereta Terbang!

Kita mungkin semakin hampir untuk melihat kereta terbang di ruang udara Malaysia jika Proton berjaya menghasilkan kereta terbang ini menjelang tahun 2019, apabila Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Li Chunrong berkata Proton akan menghasilkan 3 model kereta canggih untuk pasaran Malaysia seawal 2019.

Proton Bakal Cipta Kereta Terbang!

3 model berkenaan adalah kereta pemanduan automatik, kereta berkuasa elektrik sepenuhnya dan satu model kereta terbang.

Selain itu, Proton juga akan menaikkan kualiti 6 model yang sedia ada untuk meningkatkan daya saing Proton dengan jenama-jenama kereta lain yang ada di pasaran Malaysia.

24 Mei 2017 lalu, DRB-Hicom mengumumkan penjualan 49.9% sahamnya dalam Proton kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely), gergasi automotif China yang sebelum ini turut mengambil alih jenama Volvo dari Sweden.

Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) mengambil alih saham Proton sebanyak 49.9% pertengahan tahun 2017 dan syarikat gergasi China ini juga turut membeli jenama kereta terkenal dari Sweden, Volvo.

Kereta terbang ini bukan satu cerita dongeng dan kemungkinan besar ianya dapat dihasilkan pada tahun 2019.

Geely juga telah membeli syarikat kereta terbang start-up Amerika Syarikat, Terrafugia dengan satu nilai yang tidak dinyatakan.

Terrafugia yang ditubuhkan pada tahun 2006 mempunyai teknologi untuk menghasilkan kereta terbang.

Dengan adanya kepakaran dan tenaga kerja di Proton, ianya dapat mempercepatkan lagi proses untuk menghasilkan kereta ini; sekurang-kurangnya satu prototype yang berfungsi sepenuhnya untuk terbang.

Dengan peningkatan jumlah kereta di Malaysia, kereta terbang mungkin jawapan yang dicari untuk mengurangkan masalah kesesakkan jalan raya ini.

Selepas ini tidak perlu lagi guna drone untuk rakam gambar dari udara. Pandu sendiri sahaja kereta untuk rakam gambar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Siapa Pencipta Baju Melayu Dan Tahukah Anda Falsafah Disebaliknya?

Siapa Pencipta Baju Melayu Dan Tahukah Anda Falsafah Disebaliknya?

Baju Melayu adalah baju kebangsaan yang dipakai pada hari raya, majlis-majlis rasmi atau ketika ke masjid untuk bersolat. Tapi, tahukah anda sejarah asal-usul baju Melayu ini? Bagaimana baju Melayu tercipta? Siapa penciptanya?

Siapa Pencipta Baju Melayu

Baju Melayu dipercayai mula diilhamkan sekitar 700 tahun dahulu ketika di zaman pemerintahan Sultan Muhammad Syah, pemerintah ketiga empayar Kesultanan Melayu Melaka.

Sultan Muhammad Syah ketika itu mahu orang Melayu berbaju khusus bagi menampilkan mereka bangsa yang mempunyai jati diri dan bukannya berpakaian seperti pedagang Arab atau India di zaman itu.

Falsafah Baju Melayu

Penciptaan baju Melayu mempunyai falsafah tersendiri. Tiga poket dan lima butang pada baju Melayu bukan direka saja-saja. Ada falsafah yang tersirat.

Baju Melayu ada dua jenis rekaan iaitu Cekak Musang dan Baju Teluk Belanga.

Baju Cekak Musang butangnya lima, manakala baju Teluk Belanga butangnya satu, masing-masing membawa falsafahnya yang tersendiri.

Baju Cekak Musang

Siapa Pencipta Baju Melayu Dan Tahukah Anda Falsafah Disebaliknya?

Butang lima pada Baju Cekak Musang merujuk kepada lima rukun Islam dengan dua butang diatas membawa maksud mengucap dua kalimah syahadah dan sembahyang lima waktu.

Tiga lagi merujuk kepada berpuasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji bagi yang berkemampuan.

Jika pemakainya membuang salah satu butang, falsafah disebalik menegakkan rukun Islam itu tidak tercapai.

Baju Teluk Belanga

Siapa Pencipta Baju Melayu Dan Tahukah Anda Falsafah Disebaliknya?

Bagi baju Teluk Belanga pula, dipercayai bahawa satu butang pada baju Melayu Teluk Belanga membawa maksud Tuhan Yang Esa.

Poket

Tiga poket pada baju Melayu, satu di dada kiri dan dua dibawah juga ada falsafahnya.

Tiga poket itu dikatakan merujuk kepada iman, Islam dan ehsan.

Teori

Pun begitu, ada juga pandangan lain. Teori daripada seorang bekas budayawan UKM mengatakan kancing itu melambangkan keharmonian rumah tangga masyarakat Melayu.

Dua butir bertindih butan baju paling atas ibarat kerukunan di antara pasangan suami isteri iaitu ayah dan ibu.

Tiga butir butang dibawah pula melambangkan tiga anak mereka iaitu sulung, tengah dan bongsu.

Namun, teori ini kemudiannya disangkal oleh Allahyarhamah Azah Aziz atau nama sebenarnya Sharifah Azah Mohammad Alsagoff, seorang tokoh budayawan Melayu.

Menurutnya, kalangan bangsawan atau raja istana menggunakan tujuh butir pada baju Melayu mereka.

Butang tujuh ini merujuk kepada tujuh lapis langit dan bumi, tujuh tingkat syurga dan neraka, bertujuan mengingatkan bangsawan akan Allah Yang Maha Mulia.

Rahsia Samping

Siapa Pencipta Baju Melayu Dan Tahukah Anda Falsafah Disebaliknya?

Bagaimana dengan pemakaian Samping pula? Lelaki yang sudah berkahwin mesti bawah lutut manakala orang bujang Sampingnya mesti atas lutut.

Selain dipakai dibawah dan atas lutut, cara ikatanSamping juga ada maksudnya.

Contohnya, kerabat diraja mengikat kepala Samping di sebelah kanan. Bangsawan sebelah kiri. Rakyat biasa ditengah-tengah.

Dan yang paling penting, sebaik-baiknya pemakai baju Melayu juga seeloknya berperangai seperti yang terkandung dalam falsafah tersebut.

Sekarang dah tahu kan? Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Sejarah Hadiah Nobel Anugerah Untuk Manusia Luarbiasa!

Sejarah Hadiah Nobel Anugerah Untuk Manusia Luarbiasa!

Hadiah Nobel ialah hadiah yang dimulakan oleh wasiat Alfred Nobel dan dianugerahkan kepada individu (dan juga pertubuhan dalam kes Hadiah Keamanan Nobel) yang telah melakukan penyelidikan yang ulung, mencipta teknik atau radas yang luar biasa atau memberi sumbangan yang utama kepada masyarakat.

Sejarah Hadiah Nobel Anugerah Untuk Manusia Luarbiasa!

Hadiah-hadiah Nobel yang umumnya dianugerahkan setiap tahun dalam kategori-kategori yang disenaraikan di bawah, dianggap secara meluas sebagai pujian tertinggi dalam dunia pada hari ini.

Sejak November 2005, sebanyak 776 buah Hadiah Nobel telah dianugerahkan (758 kepada individu dan 18 kepada pertubuhan).

Bagaimanapun, beberapa pemenang hadiah telah menolak anugerah ini.

Terdapat juga tahun-tahun yang hadiah ini tidak dianugerahkan; umpamanya, semasa Perang Dunia II, hadiah-hadiah Nobel langsung tidak dianugerahkan antara tahun 1940 dan 1942.

Khususnya, pemilihan hadiah keamanan amat terjejas oleh pendudukan Jerman Nazi di Norway.

Hadiah-hadiah Nobel harus dianugerahkan sekurang-kurangnya satu kali pada setiap lima tahun.

Calon-calon harus masih hidup pada masa pencalonan dan sejak tahun 1974, anugerah ini tidak boleh diberikan selepas mati. Hadiah yang diberikan tidak boleh ditarik balik.

KATEGORI HADIAH NOBEL

Hadiah Nobel dalam Fizik
  • Dianugerahkan oleh Akademi Sains Diraja Sweden kepada "individu yang telah membuat penemuan atau rekaan yang paling penting dalam bidang fizik".

Hadiah Nobel dalam Kimia
  • Dianugerahkan oleh Akademi Sains Diraja Sweden kepada "individu yang telah membuat penemuan atau pembaikan kimia yang paling penting".

Hadiah Nobel dalam Fisiologi atau Perubatan
  • Dianugerahkan oleh Karolinska Institutet kepada "individu yang telah membuat penemuan yang paling penting dalam bidang fisiologi atau perubatan".

Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan
  • Dianugerahkan oleh Akademi Sweden kepada "individu yang telah menghasilkan karya berkecenderungan idealistik yang paling cermelang dalam bidang kesusasteraan".

Hadiah Keamanan Nobel
  • Dianugerahkan oleh Jawatankuasa Nobel Norway kepada "individu yang telah membuat kerja yang paling banyak atau paling baik untuk persaudaraan antara negara, penghapusan atau pengurangan tentera tetap, ataupun mengadakan dan mempromosikan kongres-kongres keamanan".

HADIAH PERINGATAN NOBEL

Hadiah Peringatan Nobel dalam Ekonomi
  • Juga dikenali sebagai Hadiah Bank Sweden dalam Sains Ekonomi untuk Peringatan Alfred Nobel, hadiah ini dimulakan pada tahun 1969 oleh Sveriges Riksbank (Bank Sweden). Walaupun hadiah ini dianugerahkan oleh Akademi Sains Diraja Sweden pada waktu yang sama dengan Hadiah-hadiah Nobel – dan menyebabkan banyak orang dan pengulas menganggapnya sebagai satu "Hadiah Nobel" – berdasarkan alasan-alasan teknik, hadiah ini bukannya sebuah hadiah Nobel kerana hadiah ini tidak diwasiat oleh Alfred Nobel atau dibiayai oleh pusakanya.

UPACARA PENGANUGERAHAN NOBEL

Jawatankuasa-jawatankuasa dan institusi-institusi yang berperanan sebagai lembaga pemilihan untuk penghadiahan lazimnya mengumumkan nama-nama penerimanya pada bulan Oktober.

Hadiah-hadiah ini dikurniakan di upacara rasmi yang diadakan pada 10 Disember setiap tahun, iaitu ulang tahun kematian Alfred Nobel.

Upacara hadiah keamanan diadakan di Institut Nobel Norway sejak tahun 1905 hingga 1946, kemudiannya di Aula Universiti Oslo dan kini di Dewan Bandaraya Oslo sejak tahun 1990. Upacara hadiah lain pula diadakan di Dewan Konsert Stockholm sejak tahun 2005.

Setiap anugerah boleh dikurniakan kepada tidak lebih daripada tiga penerima setiap tahun.

Setiap hadiah mengandungi sebutir pingat emas, diploma dan sejumlah wang.

Hadiah wangnya pada masa kini bernilai 10 juta krona Sweden (bersamaan dengan sedikit lebih sejuta euro atau kira-kira 1.3 juta dolar Amerika Syarikat).

Asalnya, ini dimaksudkan untuk membolehkan para penerima untuk menyambungkan kerja-kerja atau kajian merkea tanpa tekanan pembiayaan. Sebenarnya, kebanyakan pemenanng sudah bersara sebelum meraih hadiah mereka.

Jika terdapat dua pemenang dalam satu kategori, maka hadiah wang itu dibahagikan sama rata untuk dikongsi kedua-dua mereka.

Jika terdapat tiga pemenang pula, suruhanjaya penganugerahan boleh memutuskan sama ada untuk membahagikan wang itu sama rata untuk ketiga-tiga mereka, atau mengurinakan separuh wang itu kepada seorang pemenang dan separuh yang lain dikongsi sama rata oleh dua pemenang lain itu.

Para penerima juga sering menderma wang hadiah mereka untuk tujuan saintifik, kebudayaan atau kemanusiaan.

Sejak tahun 1902, Raja Sweden sentiasa mengurniakan hadiah-hadiah Nobel secara rasmi, kecuali Hadiah Keamanan Nobel, di Stockholm.

Raja Oscar II mula-mulanya tidak berkenan dengan pemberian hadiah kebesaran kebangsaan kepada warga asing, tetapi adalah dikatakan bahawa pendirian baginda berubah setelah menyedari nilai publisiti hadiah-hadiah ini kepada negara.

Hadiah Keamanan Nobel pertama dianugerahkan pada tahun 1901, oleh Presiden Parlimen Norway sehingga Jawatankuasa Nobel Norway ditubuhkan pada tahun 1904.

Lima ahli jawatankuasa ini dilantik oleh Parlimen Norway (Stortinget), dan diamanahkan dengan kerja penyediaan yang berkaitan dengan hadiah berkenaan dan penganugerahan Hadiah Keamanan Nobel.

Ahli-ahlinya bebas dalam menjalankan tugas mereka dan tidak menjawab kepada penggubal undang-undang. Ahli-ahli kerajaan Norway tidak dibenarkan menyertai kegiatan jawatankuasa ini.

WASIAT NOBEL

Hadiah-hadiah ini diperkenalkan oleh wasiat terakhir Alfred Nobel, seorang ahli kimia, usahawan, dan pencipta dinamit berbangsa Sweden.

Alfred Nobel pernah menulis beberapa wasiat ketika hidup, yang tewrakhir ditulis pada 27 November 1895—sedikit lebih setahun sebelum kematiannya.

Beliau menandatangannya di Kelab Sweden-Norway di Paris pada 27 November 1895. Hasil kerja Nobel secara langsung melibatkan perekaan bahan letupan, dan beliau menjadi kurang senang hati dengan penggunaan ciptaannya oleh pihak tentera.

Adalah dikatakan bahawa kerimasan ini sedikit sebanyak didorong oleh pembacaan obituari pramasa dirinya yang tersilap disiarkan oleh sebuah akhbar Perancis ketika kematian abang Nobel iaitu Ludvig, dan mengecam Alfred sebagai "saudagar maut."

Maka dalam wasiatnya, Alfred meninggalkan 94% hartanya kepada penubuhan lima Hadiah:

Keseluruhan estet saya yang boleh direalisasi yang tinggal patut diuruskan dengan cara ini:

Modal akan dilabur oleh wasi saya dalam sekuriti-sekuriti yang selamat dan terdiri daripada satu dana, yang faedah yang dikenakan padanya akan diagihkan setiap tahun dalam bentuk hadiah-hadiah kepada sesiapa yang, sepanjang tahun yang berlalu, akan dikurniakan amal yang terhebat pernah diberi kepada manusia.

Faedah itu akan dibahagi kepada lima bahagian sama rata, yang akan diperuntukkan seperti berikut: sebahagian kepada tokoh yang akan melakukan penemuan atau penciptaan terpening dalam bidang fizik; sebahagian kepada tokoh yang akan melakukan penemuan atau pemajuan kimia terpenting; sebahagian kepada tokoh yang akan melakukan penemuan terpenting dalam bidang fisiologi atau perubatan; sebahagian kepada tokoh yang akan menghasilkan karya berkecenderungan idealistik yang paling cemerlang dalam bidang sastera; dan sebahagian kepada tokoh yang akan melakukan kerja terbanyak atau terbaik demi persaudaraan antara bangsa, untuk pembubaran atau pengurangan tentera-tentera yang masih ada dan untuk menganjuran dan promosi kongres keamanan.

Hadiah-hadiah untuk fizik dan kimia akan dianugerahkan oleh Akademi Sains Sweden; hadiah untuk kerja fisiologi dan perubatan oleh Institut Caroline di Stockholm; hadiah untuk sastera oleh Akademi di Stockholm; dan hadiah untuk pejuang keamanan oleh satu jawatankuasa lima ahli untuk dilantik oleh Storting Norway.

Adalah hasrat saya yang nyata bahawa ketika menganugerahkan hadiah-hadiah berkenaan kewarganegaraan para calon tidak dipertimbangkan langsung, agar yang paling sewajarnya akan menerima hadiah, sama ada dia itu orang Scandinavia atau tidak.

Sungguhpun wasiat Nobel berjaya menubuhkan hadiah-hadiah ini, namun rancangan beliau belum selesai. Maka, oleh sebab adanya halangan lain, setelah lima tahun berlalu barulah Yayasan Nobel dapat ditubuhkan dan hadiah-hadiah pertamanya dianugerahkan pada 10 Disember 1901.

PROSES PENCALONAN DAN PEMILIHAN

Berbanding dengan sesetengah hadiah yang lain, pencalonan dan pemilihan Hadiah Nobel agak memakan masa dan dikawal ketat.

Inilah satu sebab yang penting Hadiah-hadiah menjadi semakin penting dan berprestij sejak bertahun-tahun sehingga menjadi hadiah-hadiah terpenting dalam bidang masing-masing.

Borang-borang yang berbentuk undangan peribadi dan eksklusif, dihantar kepada lebih kurang 3000 individu terpilih untuk menjemput mereka untuk mengemukakan pencalonan.

Contohnya, Yayasan Nobel menyatakan bahawa bagi Hadiah Keamanan, pihak-pihak berikut boleh mengemukakan pencalonan:
  • Ahli-ahli perhimpunan kebangsaan dan kerajaan negeri
  • Ahli-ahli mahkamah antarabangsa
  • Rektor universiti
  • Profesor-profesor sains sosial, sejarah, falsafah, undang-undang dan teologi
  • Pengarah-pengarah institut penyelidikan keamanan dan institut dasar luar negeri
  • Persons who have been awarded the Nobel Peace Prize
  • Board members of organisations who have been awarded the Nobel Peace Prize
  • Ahli-ahli aktif dan bekas ahli Suruhanjaya Nobel Norway
  • Bekas penasihat yang dilantik oleh Institut Nobel Norway

Syarat-syarat yang serupa dikenakan untuk hadiah-hadiah lain.

Tarikh akhir penyerahan pencalonan dikuatkuasa dengan ketatnya pada 31 Januari.

Pencalonan diri ditarik balik kelayakan secara automatik dan hanya orang yang masih hidup layak untuk menerima Hadiah Nobel.

Tidak sama dengan anugerah-anugerah lain, calon-calon Hadiah Nobel tidak diumumkan kepada orang awam dan tidak sepatutnya diberitahu bahawa mereka sedang dipertimbangkan untuk hadiah langsung. Catatan-catatan ini disimpan selama 50 tahun.

Setelah tarikh akhir pencalonan berlalu, satu Jawatankuasa menyusun dan menapis semua pencalonan sehingga terhasilnya satu senarai yang mengandungi kira-kira 200 calon awal.

Senarai ini dihantar ke pakar-pakar terpilih dalam bidang kerja setiap calon dan selepas itu, senarai dikurangkan lagi kepada kira-kira 15 calon muktamad.

Jawatankuasa ini kemudiannya menulis satu laporan yang mengandungi cadangan lalu menghantarnya ke Akademi atau mana-mana institusi serupa yang lain, bergantung kepada Hadiah.

Sebagai contoh mengenai saiz insitut, Perhimpunan untuk Hadiah Perubatan mempunyai 50 orang ahli. Ahli-ahli institusi ini bersidang dan mengundi untuk memilih pemenangnya.

Proses ini menampakkan sedikit perbezaan antara bidang-bidang berlainan. Contohnya, Hadiah Sastera jarang dikurniakan kepada rakan usaha sama tetapi hadiah-hadiah lain sering membabitkan pelbagai nama.

LARANGAN PENCALONAN SELEPAS MATI

Pencalonan anumerta (selepas mati) untuk Hadiah tidak dibenarkan sama sekali.

Hal ini kadang-kala mencetuskan kritikan bahawa pihak yang patut meraih Hadiah Nobel tidak dapat menerimanya kerana mereka meninggal sebelum dapat dicalonkan.

Telah berlaku dua kali yang mana Hadiah dikurniakan secara anumerta kepada tokoh yang masih hidup ketika masih hidup, iaitu Setiausaha Agung PBB Dag Hammarskjöld (1961, Hadiah Keamanan) dan Erik Axel Karlfeldt (1931, Hadiah Sastera) — kedua-dua mereka dikurniakan Hadiah pada tahun kematian masing-masing.

Sejak tahun 1974, penerimaan anugerah tidak dibenarkan untuk tokoh yang sudah meninggal dunia.

William Vickrey (1996, Ekonomi) meninggal sebelum sempat menerima hadiah beliau, tetapi selepas namanya diumumkan.

KRITIKAN HADIAH

Hadiah Nobel sering menghadapi kritikan selama bertahun-tahun, kerana ramai pihak berpendapat bahawa persetujuan rasmi dan pengiktirafan nama lebih penting daripada pencapaian sebenar dalam proses menentukan penerima Hadiah.

Senario sedemikian yang terburuk mungkin berlaku pada tahun 1973 apabila Henry Kissinger dan Le Duc Tho berkongsi hadiah Keamanan kerana membawa keamanan ke Vietnam, sungguhpun Perang Vietnam masih berlarutan ketika itu.

Le Duc Tho menolak anugerahnya itu atas sebab yang dinyatakan bahawa keamanan masih belum tercapai.

Terdapat juga banyak kritikan terhadap penganugerahan Hadiah Keamanan 1994 kepada Yasser Arafat.

KEGAGALAN MENGHARGAI PENCAPAIAN DENGAN SETIMPAL

Mahatma Gandhi dicalonkan untuk Hadiah Keamanan Nobel sebanyak lima kali antara tahun 1937 dan 1948 tetapi tidak pernah memenanginya.

Kaji selidik menunjukkan bahawa Pihak Berkuasa barangkali bercadang untuk menganugerahkan hadiah kepada beliau pada tahun 1948; bagaimanapun, beliau dibunuh pada tahun itu.

Jawatankuasa itu dilaporkan mempertimbangkan anugerah anumerta untuk beliau tetapi akhirnya membatalkan hasrat itu, sebaliknya memutuskan untuk tidak mengurniakan Hadiah Keamanan Nobel kepada sesiapa pada tahun itu.

Peraturan-peraturan ketat yang melarang penganugerahan Hadiah kepada lebih daripada tiga orang sekaligus juga dijadikan titik pertikaian.

Jika sesuatu hadiah diberi untuk mengiktiraf satu pencapaian oleh sepasukan lebih daripada tiga rakan usaha sama, maka sudah tentu ada pihak yang terlepas daripada hadiah tersebut.

Contohnya, pada tahun 2002, satu Hadiah dianugerahkan kepada Koichi Tanaka dan John Fenn kerana pemajuan spektrometri jisim mereka dalam kimia protein, maka tidak dapat mengiktiraf pencapaian Franz Hillenkamp dan Michael Karas dari Institut untuk Kimia Fizik dan Teori di Universiti Frankfurt.

Begitu juga, peraturan yang melarang penganugerahan anumerta sering gagal mengiktiraf pencapaian penting oleh soerang rakan usaha sama yang didapati meninggal dunia sebelum hadiah dikurniakan.

Contohnya, Rosalind Franklin melakukan beberapa perkembangan penting dalam penemuan strukutr DNA pada tahun 1953, namun beliau meninggal akibat penyakit barah ovari pada tahun 1958, maka Hadiahnya dianugerahkan kepada Francis Crick, James D. Watson dan Maurice Wilkins (one of Franklin's collaborators) in 1962.

Kritikan makin menjadi-jadi menyelubungi Hadiah Nobel dalam Fizik 2005, terutamanya pengiktirafan Roy Glauber dan bukan George Sudarshan untuk anugerah terlibat.

Meskipun kiraan petikan menunjukkan bahawa kertas kerja 1963 Glauber lebih banyak dijadikan rujukan, namun adalah jelas bahawa kedua-dua mereka memberi sumbangan penting ke dalam bidang-bidang optik kuantum dan teori kepaduan.

Di sini lagi, kematian secara tiba-tiba Len Mandel dan Dan Walls yang turut memberi sumbangan besar juga menarik balik kelayakan mereka.

Begitu juga, Hadiah Nobel dalam Kimia 2000 "Untuk penemuan dan pemajuan polimer-polimer organik yang konduksian" mengabaikan penemuan polimer "kompleks peralihan bercas" sama konduksiannya yang lebih awal, laporan Weiss et als 1963 mengenai konduksian tinggi dalam polipirol beroksida yang dibubuh iodin dan laporan sebelumnya bagi perkakas elektronik organik yang berfungsi dalam keadaan "pasang" konduksian tinggi.

KETIADAAN HADIAH MATEMATIK

Terdapat beberapa sebab yang berkemungkinan bagi ketiadaan hadiah Nobel untuk matematik.

Wasiat Nobel membincangkan hadiah-hadiah untuk penciptaan atau penemuan yang terbesar manfaat amalinya kepada manusia, iaitu kebarangkalian memikirkan kerja praktikal dan bukannya teori.

Matematik tidak dianggap sebagai suatu sains praktikal yang boleh dimanfaatkan manusia, iaitu satu tujuan penting bagi Yayasan Nobel.

Satu lagi sebab lain ialah bahawa sudah terdapat satu hadiah Scandinavia yang dikenali untuk ahli matematik.

Anugerah matematik yang sedia ada pada masa itu terutamanya dicetuskan oleh hasil kerja Gösta Mittag-Leffler yang menubuhkan Acta Mathematica, iaitu antara jurnal matematik yang terutama di dunia.

Dengan pengaruh beliau di Stockholm beliau menggesa Raja Oscar II untuk membiayai pertandingan berhadiah dan menngiktiraf ahli matematik yang cemerlang di seluruh Eropah, termasuk Hermite, Bertrand, Weierstrass, dan Poincaré.

Dalam sejarah Hadiah Nobel, terdapat hanya empat orang yang pernah menerima hadiah ini sebanyak dua kali.

Mereka adalah:

Marie Skłodowska-Curie
  • Fizik (1903): Penemuan keradioaktifan
  • Kimia (1911): Pengasingan radium tulen

Linus Pauling
  • Kimia (1954): Teori Orbital Hibrid
  • Keamanan (1962): Aktivisme Perjanjian Pengharaman Ujian Nuklear

John Bardeen
Fizik (1956): Rekaan transistor
Fizik (1972: Teori kesuperkonduksian

Frederick Sanger
  • Kimia (1958): Struktur molekul insulin
  • Kimia (1980): Penjujukan nukleotida virus

Selain itu, Jawatan Antarabangsa Persatuan Palang Merah (ICRC) telah menerima Hadiah Keamanan Nobel pada tahun 1917, 1944, dan 1963.

Dua hadiah yang pertama itu adalah semata-mata untuk menghargai kerja kumpulan ini semasa perang-perang dunia.

Adik-beradik yang pernah memenangi Hadiah-hadiah Nobel ialah Jan Tinbergen (Ekonomi, 1969) dan adik lelakinya, Niko Tinbergen (Perubatan, 1973).

Hanya seorang individu yang pernah merupakan pemenang Oscar dan Hadiah Nobel. Tokoh Ireland, George Bernard Shawm memenangi Hadiah Nobel dalam Kesusasteraan pada tahun 1925, serta anugerah Oscar untuk "Padanan Skrip Filem Yang Terbaik" pada tahun 1938.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia (Last edited July 2017)