Friday, June 12, 2015

Benarkah Everest Gunung Paling Tinggi Di Dunia?


Pada 29 Mei 1953, pendaki New Zealand bernama Edmund Hillary dan seorang Sherpa bernama Norgay Tenzing menjejakkan kaki di puncak Everest. Pada 23 Mei 1997, dua pendaki Malaysia, M. Nagapan dan M. Munisamy mencipta rekod kerana menundukkan gunung itu.

Mount Everest

Di antara dua peristiwa bersejarah itu - jaraknya 44 tahun - lebih 200 orang telah memacakkan keyakinan, maruah dan ego di puncak yang dikatakan tertinggi di dunia.

Ketinggian Everest ''ditemui'' oleh seorang juruukur kerajaan Inggeris bernama Hennessey pada tahun 1852. Berdasarkan kiraan Hennessey, Everest berdiri 29,002 kaki dari paras laut.

Gunung yang ditandakan dengan nombor Roman ''XV'' akhirnya disahkan paling tinggi dan diberi nama Everest mengambil sempena Pengarah Juruukur India ketika itu.

Orang tempatan sudah mempunyai nama khusus untuk gunung itu Chomolungma - Dewa Ibu Bumi. (Ketinggian rasmi Everest kini diletakkan sebagai 29,028 kaki).

Sebelum Everest, banyak lagi gunung yang dikatakan paling tinggi di dunia. Ada yang mengatakan Chimborazo yang tingginya 20,702 kaki di Banjaran Andes di Amerika Selatan. Ada yang mendakwa Dhaulagiri yang tingginya 26,795 kaki. Selepas itu perhatian beralih pada Kangchenjunga yang tingginya 28,168 kaki.

Selepas pengumuman rasmi kerajaan Inggeris mengenai gunung tertinggi itu, Everest mula menjadi sasaran. Hanya setelah 13 ekspedisi, nyawa 15 orang dan jangka waktu 101 tahun, barulah gunung itu dapat ditakluki.

Everest menjadi raja sehinggalah berita kecil dalam sebuah akhbar terkemuka di New York pada tahun 1987 mengisytiharkan bahawa ''data baru menunjukkan Everest mungkin gunung kedua tertinggi di dunia''.

Gunung yang dikatakan tertinggi itu ialah K2, yang sebenarnya sudah mempunyai nama khusus di kalangan rakyat tempatan - Chogori di Banjaran Karakoram.

Seorang ahli kaji bintang dari Universiti Washington, menggunakan kaedah mengukur Doppler dengan bantuan satelit, meletakkan ketinggian 29,228 kaki bagi K2. Ini bermakna K2 sebenarnya 200 kaki lebih tinggi daripada Everest.

Jadi ribuan manusia dari ratusan buah negeri - termasuk M. Nagapan dan M. Munisamy - mendaki gunung yang salah selama ini? Sekiranya kiraan George Wallerstein itu betul, pendaki pertama menjejak kaki ke gunung tertinggi di dunia ialah Lino Lacedelli dan Achille Compagnoni pada tahun 1954.

Anehnya saintis dari Itali sendiri - yang sepatutnya berbangga dengan penemuan terbaru itu - yang membuat kajian mereka sendiri dan mengisytiharkannya pada 6 Oktober 1987 bahawa Everest sebenarnya lebih tinggi. Pemimpin pasukan Itali itu tidak lain daripada Ardito Desio yang turut terbabit dalam ekspedisi yang memberi kejayaan di K2 pada tahun 1954 dulu.

Bukan sekali cerita seperti ini muncul. Sudah pasti ia akan menarik perhatian. Siapa yang tidak mahu tahu kalau ada gunung yang lebih tinggi dari Everest?

Pada tahun 1929 misalnya, Kermit dan Theodore Roosevelt Jr., dua orang anak Presiden AS ketika itu mendakwa menemui gunung bernama Minya Konka (kini bernama Gongga Shan) yang tingginya 30,250 kaki. Gunung itu letaknya di satu penjuru wilayah Sichuan di China.

Sebenarnya gunung itu, pada ketinggian 24,900 kaki, satu batu lebih rendah daripada Everest. Sebelum itu sebuah gunung lain bernama Anye Machin (kini Magen Gangri) dikatakan mempunyai ketinggian 29,529 kaki atau 500 kaki lebih tinggi daripada Everest.

Tiada siapa yang mengambil serius angka luar biasa yang diberikan oleh pengembara bernama George Pereira itu.

Tetapi cerita Anye Machin muncul semula pada tahun 1981 apabila seorang wartawan foto bernama Galen Rowell yang mendakwa catatan George Pereira itu betul.

Cerita ini bertambah menarik apabila anak kapal sebuah pesawat pengangkut DC-3 milik Amerika mendakwa mereka menandakan Anya Machin pada ketinggian 30,500 kaki.

Masuk pula watak bernama Milton Reynolds pemilik syarikat yang membuat mata pena Reynolds dari AS. Dengan pesawat jenis C-87 dia mahu membuktikan bahawa Anye Machin sebenarnya lebih tinggi dari semua catatan mengenainya. Dipendekkan cerita dia mengisytiharkan gunung itu tingginya 31,000 kaki.

Kerajaan China sejak awal lagi tidak pernah tertarik untuk menjadikan gunung di bumi mereka paling tinggi di dunia. Rekod mereka menunjukkan gunung itu ialah 20,610 kaki.

BACA INI JUGA: 7 Keajaiban Baru Alam Semulajadi Dunia

Sumber: Utusan.com.my

2 comments

  1. banyak betul gunung tertinggi di dunia ni. bukan Everest je.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Malah dikatakan gunung didasar laut lebih tinggi dari Everest..

      Delete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon