Thursday, November 02, 2017

'Pilot' Dron Perlu Ada Ilmu Dan Memahami Peraturan Asas Penerbangan


Dikenali sebagai aktiviti rekreasi mahupun hobi, menerbangkan dron adakalanya boleh menjejaskan keselamatan jika sewenang-wenangnya dipandu tanpa asas betul.

Dron

Justeru pemandu dron atau ‘pilot’ perlu mempunyai ilmu serta memahami selok-belok penerbangan kapal terbang mini terbabit supaya tidak menjejaskan reputasi mahupun penggiat industri fotografi udara.

Itu disaran dua penggiat ‘tegar’ model kapal terbang mini terbabit, Sharif Zulkepele Harun dan Soffre Sukiman.

Kedua-duanya sangat teratur serta cekap mengendalikan dron masing-masing yang sesekali terbang rendah untuk mempel­bagaikan sudut gambar subjek yang ingin diambil.

Mereka turut ditemani Mohamad Faezzuddin Osman selaku pembantu Sharif yang turut me­ngambil peluang mempelajari serta memahami cara pengendalian kerana untuk memiliki spesifikasi model terbabit menelan kos tinggi sehingga mampu mencecah belasan ribu ringgit.

Shariff berkata, dia terbabit dalam pengendalian dron kerana komitmen terhadap pelanggan mengharapkan mutu visual menerusi pandangan sudut tinggi (high angle) mendesak dia memiliki model berkenaan.

Mengakui cabaran ketika itu sangat besar kerana dia terpaksa menghadiri kelas tertentu sebelum mengendalikan dron.

“Dulu pemilik dron perlu me­ngambil inisiatif sendiri, termasuk menghadiri kelas khas dalam memahami cara pemanduan dan pengendaliannya.

"Ia bukan sewenang-wenangnya boleh dikawal alat kawalan jauh kerana model saya pakai berkualiti sederhana.

“Maksudnya, saya di peringkat ‘medium range’ yakni model dron saya memerlukan talian akses kepada sistem satelit membolehkan dia terbang.

"Penjual model dron ketika itu tidak menyediakan perkhidmatan mengajar pengendalian, menyebabkan saya terpaksa menghadiri beberapa kelas anjuran agensi tertentu seperti Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk terbangkannya.

“Ia jauh lebih sukar berbanding mereka yang mahu mempelajari dron pada ketika ini yang sedia de­ngan sesi pembelajaran asas penjual model alat terbang terbabit,” kata­nya.

Mengakui sukan berkenaan dalam kelas tersendiri, Shariff berkata, peminat fotografi udara tidak perlu gusar kerana mereka boleh mulakan hobi memiliki dron bermula dengan model pada kualiti asas.

“Memang dengar saja harga model untuk julat sederhana dan tinggi, tidak terjangkau memiliki permainan mencecah ribuan ringgit, tetapi mereka ada opsyen memulakan hobi dalam fotografi udara dengan ‘spec’ asas.

“Mereka boleh menggunakan model tanpa Global Positioning System atau GPS (Sistem Kedudukan Sejagat) hanya boleh terbang sekitar lima meter ke bawah dan tidak lebih 200 meter jauh­nya.

“Mereka boleh belajar dengan kualiti kamera lebih rendah belajar untuk terbangkan dengna baik sebelum menaik taraf kualiti dron serta kamera digunakan untuk tujuan fotografi sudut tinggi.

“Ini membantu mereka untuk mengelak berlaku isu tertentu, termasuk dron rosak mahupun diculik’ atau didakwa atas kesalahan tertentu.

"Mula perkemaskan diri asas teknikal, penerbangan dan memahami undang- undang,” katanya yang turut menyediakan kursus sama di pusat latihannya, Infra Minda di Pinggiran Subang, Selangor.

Rakannya, Soffre pula berkata, ‘pilot’ baru perlu jelas de­ngan etika penerbangan mengelak berlaku impak negatif terhadap pemilik dron lain akibat cetek pengetahuan dalam sesetengah hal perundangan membabitkan pengendalian itu.

Dia turut aktif bersama dengan kumpulan komuniti alat terbabit sentiasa berharap kesempatan diberi pihak berkuasa dalam aktiviti berkenaan dapat difahami sewajarnya kalangan penggiat baru.

Ada kes membabitkan penerbang ‘gelap’ yang tidak peka dengan situasi membabitkan kawasan dilarang terbang.

Sikap mereka dikhuatiri mengheret pemilik dron yang lain andainya pihak berkuasa mula menetapkan sekatan terhadap memiliki dron seperti dilaksanakan negara jiran kita di Singapura dan Thailand.

Ia akan memberi kesan kepada peminat fotografi udara mahupun penggiat seni visual yang berdepan kekangan memiliki gambar baik.

“Sebelum ini kami terpaksa menggunakan khidmat helikopter, kos jauh lebih mahal tetapi kualiti termasuk gegaran dan bunyi rasa­nya tidak berbaloi.

"Jadi dron pilihan terbaik ketika ini untuk merakam gambar mahupun visual dari pandangan sisi atas,” katanya.

Perbezaan antara penggiat komersial dengan hobi berdasarkan beberapa kriteria. Kata Soffre, perbezaan mengikut tahap ketinggian dan jauh jarak.

“Kami selaku individu merakam visual serta gambar korporat, kami mendapatkan permit dari DCA dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sebelum melaksana­kan sebarang kerja penggambaran. Ini prosedur wajib dan masih ada beberapa peraturan kami perlu patuhi.

“Begitu juga dengan mereka yang berjinak-jinak dengan aktiviti ini perlu peka dengan peraturan tertentu,”katanya sambil memaklumkan, komuniti boleh dirujuk seperti Quadcopter Malaysia, Malaysia Aerialphotography dan Malaysia Cinemafotography.

Sementara itu, Faezuddin berkata, dia sebelum ini hanya me­ngetahui mengenai fotografi udara mahupun dron menerusi YouTube. Mengakui teruja dapat melihat secara dekat menyimpan harapan memiliki model berkenaan sendiri.

“Saya meminati bidang grafik dan fotografi. Sudah tentu impian memiliki dron sendiri. Mungkin saya perlu belajar dulu daripada Shariff sebelum bersedia menggerakkan dron.

"Barangnya bukan murah dan kendaliannya sedikit kompleks, oleh itu saya perlu memahami teknikalnya,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Bagaimana Hendak Menjadi Seorang Juruterbang Pilot?

sumber: hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon