Monday, May 27, 2019

8 Khasiat Serai Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

8 Khasiat Serai Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu

Serai adalah sejenis tumbuhan herba malar hijau dengan bentuk nipis serta berdaun panjang seringkali kita lihat ditanam di belakang rumah, dipercayai berasal dari kawasan tropika seperti di Malaysia, Indonesia dan China.

Khasiat Serai
Serai.

Tumbuhan serai juga selalunya digunakan dalam masakan di kalangan masyarakat Asia. Kandungan nutrisinya yang pelbagai, contohnya vitamins A dan C, folate, asid folik, magnesium, zat besi, zinc, potassium, phosphorus dan kalsium menjadikan serai sangat berkhasiat untuk tubuh manusia.

Berikut adalah di antara manfaat kesihatan yang terkandung dalam serai.

1. Membantu sistem penghadaman

Serai dapat menggalakkan sistem penghadaman yang sihat. Ia mempunyai sebatian antiseptik yang berkesan membunuh bakteria jahat dan parasit dalam saluran pencernaan dan menyediakan bakteria baik di dalam kolon.

Ini dapat membantu untuk merawat masalah kesihatan penghadaman seperti masalah pencernaan, sembelit, pedih hulu hati, cirit-birit, kembung perut, muntah dan kekejangan.

Untuk saluran penghadaman yang sihat, anda boleh cuba minum teh serai secara berkala.

2. Mengawal tahap kolesterol

Buat mereka yang mempunyai masalah kolesterol tinggi, serai dapat membantu anda mengurangkan penyerapan kolesterol dari usus kerana ia anti-kolesterol dan anti-aterosklerosis.

Kandungan kalium yang tinggi dalam serai juga membantu mengurangkan dan mengawal tekanan darah.

3. Membersih dan menyahkan toksin

Pengambilan teh serai secara konsisten dapat membantu membersih dan menyahtoksik badan dari dalam badan anda.

Ini kerana, sifat diuretik serai membantu membuang toksin, asid urik dan kolesterol tidak baik daripada badan dengan meningkatkan kekerapan dan kuantiti membuang air kecil.

4. Merawat selesema

Serai adalah bersifat anti-bakteria dan anti-kulat yang membantu badan anda mengatasi batuk, demam dan gejala selesema.

Selain itu, ia dikuatkan lagi dengan vitamin C yang meningkatkan sistem imunisasi badan untuk melawan sebarang jangkitan.

5. Melawan kanser

Penyelidikan di Universiti Ben Gurion, Israel, telah menunjukkan bahawa teh serai sangat membantu untuk melawan kanser.

Komponen citral yang dijumpai dalam serai akan menyebabkan apoptosis dalam sel-sel kanser tanpa merosakkan sel-sel sihat. Ia akan menyebabkan sel-sel kanser terbunuh dengan sendirinya.

Selain itu, terdapat beberapa ciri-ciri antioksidan dalam serai yang dapat membantu mengurangkan risiko kanser dengan memerangi radikal bebas.

6. Melegakan tekanan

Serai juga mengaktifkan pengeluaran serotonin, iaitu bahan kimia dalam otak yang bagus untuk melegakan kemurungan dan tekanan.

Kandungan citronella di dalamnya juga terkenal dengan kesan menenangkan pada minda dan badan, selain membantu anda mendapat tidur dengan lebih baik.

7. Mengekalkan kulit yang sihat

Untuk yang mengutamakan penjagaan kulit, serai adalah pilihan yang baik. Ciri-cirinya anti-bakteria, anti-septik dan anti-kulat dapat membantu mengurangkan pertumbuhan bakteria atau mikrob pada kulit, seterusnya membebaskan kulit anda dari sebarang jangkitan atau kulat.

8. Mengurangkan bau badan

Kompenen kimia utama yang terdapat dalam serai iaitu citral adalah bersifat aromatik, sangat bagus untuk mengelakkan bau badan.

Selain itu, serai juga mempunyai ciri-ciri anti-mikrob dan anti-bakteria yang membantu mengawal pengeluaran peluh secara berlebihan dan memusnahkan serta menghalang mikro-organisma yang menyebabkan bau badan.

Serai bukan sahaja wangi, tetapi juga menyihatkan!

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, May 26, 2019

Misteri Telaga Ajaib Gua Mother Shipton Di England

Misteri Telaga Ajaib Gua Mother Shipton Di England

Bandar Knaresborough di North Yorkshire, England, mempunyai satu fenomena yang aneh. Di sana terdapat sebuah "telaga ajaib" yang dikatakan mempunyai keupayaan untuk menukar semua objek menjadi batu.

Mother Shipton Cave
Mother Shipton Cave.

Fenomena misteri ini telah menjadi salah satu tarikan kepada berjuta-juta pelawat yang datang untuk menyaksikannya setiap tahun.

Menurut Amusing Planet, telaga ajaib itu pertama kali diketengahkan oleh John Leyland pada tahun 1538, sebelum zaman Raja Henry VIII.

John Leyland menyatakan dalam tulisannya mengatakan bahawa, telaga ajaib itu dianggap sebagai benda ajaib yang mempunyai kuasa penyembuhan oleh penduduk tempatan.

Tulisannya itu merupakan permulaan kepada legenda yang menyelubungi "telaga ajaib" itu untuk satu tempoh yang lama.

Telaga ajaib yang dikatakan mempunyai kuasa untuk menukar semua objek menjadi batu itu terletak di dalam sebuah gua yang dikenali sebagai Gua Mother Shipton (Gua Ibu Shipton).

Nama gua itu berasal daripada seorang wanita tempatan yang dipercayai seorang penyihir, Ursula Southeil, juga dikenali sebagai Mother Shipton.

Menurut legenda, Mother Shipton adalah anak hasil daripada hubungan seorang pelacur bersama syaitan dan dia dilahirkan di dalam gua itu. Selain kepercayaan pelik itu, Mother Shipton juga adalah seorang peramal terkenal.

Mother Shipton dipercayai telah meramal beberapa peristiwa sebelum ianya berlaku seperti kekalahan angkatan bersenjata Sepanyol pada tahun 1588, Kebakaran Besar London yang berlaku pada tahun 1666 sehinggalah kepada penciptaan telefon bimbit!

Selain legenda Mother Shipton yang dikatakan boleh memberi ramalan yang menakutkan itu, ia juga mempunyai legenda lain yang lebih menarik perhatian.

Seperti yang dilaporkan John Leyland, telaga yang berada dalam gua itu juga mempunyai kuasa ajaib yang boleh menyembuhkan.

Ramai penduduk tempatan dan dari luar yang berkunjung ke telaga ajaib ini kerana kepercayaan itu.

Menurut Oddity Central pula, seorang ahli fizik telah memeriksa telaga ajaib itu pada awal tahun 1600-an. Daripada penyelidikan itu dia telah membuat kesimpulan bahawa air yang mengalir melalui telaga itu mempunyai keajaiban untuk menyembuh apa-apa jenis penyakit. Sejak itu, telaga itu menjadi semakin popular.

Namun, keajaiban yang terbukti ada pada telaga itu ialah keupayaannya untuk mengubah sebarang objek menjadi batu.

Walaupun dipenuhi dengan legenda, Mother Shipton yang dikatakan mempunyai kuasa ajaib untuk menyembuh untuk satu masa yang panjang, keupayaan telaga itu mengubah objek menjadi batu adalah sepenuhnya secara semula jadi.

Menurut Force To Know, telaga itu mengubah objek menjadi batu adalah kerana kandungan mineral yang tinggi di dalam airnya. Melalui proses penyejatan dan mendapan dari masa ke semasa, objek yang ditinggalkan di situ berubah menjadi batu kerana ia dilindungi oleh mineral padu.

Proses semula jadi itu juga pernah dikaitkan dengan salah satu kuasa sihir Mother Shipton. Sebagai seorang penyihir, dia dikatakan mempunyai kuasa untuk menukar segala objek menjadi batu.

Legenda yang menakutkan itu diperkuatkan lagi dengan fakta bahawa apabila dilihat dari satu sisi, gua itu kelihatan seperti sebuah tengkorak gergasi.

Legenda yang sering diperturunkan oleh penduduk tempatan dan pelawat itu meningkatkan lagi rasa ingin tahu ramai orang.

Apabila Hutan Diraja yang menempatkan Gua Mother Shipton dijual oleh Raja Charles I kepada Sir Charles Slingsby pada tahun 1630, gua itu sudah pun begitu terkenal.

Ramai orang datang untuk menyaksikan proses pengerasan aneh itu dengan mata mereka sendiri. Pemilik baru tempat itu memutuskan untuk meraih pendapatan dengan mengadakan lawatan berbayar kepada pengunjung yang hadir di tanah miliknya.

Dengan berbuat demikian, Sir Charles Slingby secara tidak langsung telah mencipta tempat tarikan pelancong yang pertama di England.

Pada hari ini, kebanyakan orang tahu bahawa telaga itu tidak mempunyai sebarang kuasa ajaib tetapi hanyalah proses unik alam semula jadi.

Walau bagaimanapun, juataan pelancong masih lagi melawat tempat itu kerana kebolehannya mengubah objek menjadi batu.

Walaupun ciri-ciri ajaib yang dikaitkan dengan telaga Knaresborough ini mungkin terbukti salah tetapi disebabkan sifat ingin tahu, ia mempunyai keupayaan yang kuat untuk menjadikan tempat ini tarikan pelancong menarik di England.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Kisah Kematian Mustafa Kemal Ataturk Dan Kontroversi Jasad Tidak Di Terima Bumi

Kisah Kematian Mustafa Kemal Ataturk Dan Kontroversi Jasad Tidak Di Terima Bumi

Bila kita berbicara tentang Mustafa Kemal Ataturk, cerita paling masyhur mengenai beliau ialah jenazahnya yang tidak diterima bumi kerana dosa-dosa yang dilakukan pada umat Islam, apabila menghapuskan sistem kekhalifahan dan tindakan kejam beliau kepada institusi agama.

Mustafa Kemal Ataturk

Kisah jasad tidak diterima bumi ini adalah topik kontroversi yang sering diceritakan para agamawan di medan-medan ceramah tak kira masa atau tempat. Wallahu a'lam.

Tahun-tahun Terakhir Ataturk

Pada tahun 1937, sudah timbul tanda-tanda kemerosotan kesihatan Ataturk dan pada awal tahun 1938, semasa melakukan lawatan ke Yalova, Turki, beliau ditimpa penyakit serius dan memerlukan rawatan doktor.

Selepas mendapat rawatan jangka pendek di Yalova di mana keadaan kesihatan beliau dilihat bertambah baik, Ataturk meneruskan lawatan seperti dirancang.

Namun, keadaan kesihatan beliau kembali merosot semasa melakukan perjalanan ke Ankara, Mersin dan Adana.

Apabila beliau pulang semula ke Ankara pada Mei 1938, Ataturk dinasihatkan untuk berangkat ke Istanbul bagi mendapatkan rawatan untuk penyakit beliau.

Hasil diagnosis yang dilakukan pakar perubatan mendapati beliau menghidap sirosis, sejenis penyakit hati yang mengakibatkan peningkatan dalam tisu berserat dan pemusnahan sel-sel hati.

Dan ini sesuatu yang tidak mengejutkan kerana menurut rekod, Ataturk dikenali sebagai kaki botol, suka menari, bermain permainan kad dan perempuan.

Berikutan itu, beliau mengambil keputusan menjadikan Istana Dolmabahce, Istanbul, di sebelah utara bahagian Eropah Selat Bosphorus sebagai kediaman beliau.

Semasa bulan-bulan terakhir ini, walaupun dalam keadaan sakit yang teramat, Ataturk cuba meneruskan rutin harian seperti biasa.

Antara rutin beliau pada bulan-bulan tersebut ialah mempengerusikan mesyuarat Majlis Menteri-Menteri, menyelesaikan urusan berkenaan wilayah Hatay dan menjadi tuan rumah kepada Raja Carol II dari Romania semasa lawatan baginda ke Turki pada Jun 1938.

Namun, Ataturk dilihat jarang berdiri dan pada ketika itu, berehat di atas kapal layar Savarona sehingga akhir Julai 1938, di mana keadaan kesihatan beliau kembali merosot lalu dipindahkan ke satu bilik khas di Istana Dolmabahce.

Semasa di Dolmabahce, Ataturk koma pada bulan September sebelum kembali tidak sedarkan diri pada 9 November.

Pada tanggal 10 November 1938, beliau meninggal dunia pada usia 57 tahun dengan jam bilik tidurnya menunjukkan waktu kematian 9.05 pagi.

Pengebumian

Persiapan telah diatur oleh pihak berkuasa untuk menguruskan urusan pemakaman negara untuk Ataturk. Pada ketika itu, belum ada keputusan berkenaan tempat pemakaman.

Sehari selepas kematian beliau, Parlimen Turki yang bersidang di Ankara melantik Ismet Inonu sebagai Presiden Republik Turki yang baharu.

Pada mulanya, tidak ada keperluan untuk melakukan solat jenazah bagi Ataturk namun, Makbule Atadan, kakak kepada Ataturk, yang menetap di Dolmabahce selama beberapa hari sehingga hari kematian Ataturk, mendesak agar urusan tersebut dilakukan di sebuah masjid sebelum jenazah dibawa ke Ankara.

Akhirnya, Atadan diyakinkan oleh Presiden Jabatan Pengurusan Agama, Rifat Borekci bahawa solat jenazah juga seharusnya dilakukan di luar masjid.

Pada 19 November, jam 8.10 pagi waktu tempatan, solat jenazah Ataturk diimamkan oleh Profesor Serafettin Yaltkaya, Pengarah Institut Kajian Islam di mana ia dilakukan dalam Bahasa Turki dan bukan mengikut Bahasa Arab.

Semasa upacara berlangsung, sebarang usaha untuk mengambil gambar adalah tidak dibenarkan, selain solat jenazah dihadiri oleh orang-orang yang rapat dengan beliau, beberapa orang jeneral, pegawai-pegawai agama, kakitangan istana dan Mejar Yasar Okur, seorang hafiz Al-Quran merangkap pegawai tentera yang berkhidmat bersama Ataturk selama 15 tahun.

Memandangkan urusan pengebumian ditangguhkan bagi memberi peluang kepada def-def kehormat dan orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada Ataturk, jenazah beliau telah diawet di Ankara oleh pakar patologi dari Akademi Perubatan Tentera Gulhane (GMMA), Prof. Lutfi Aksu.

Sementara proses pengkafanan dilakukan oleh salah seorang dari sembilan pakar perubatan yang menandatangani sijil kematian beliau, Prof. Mehmet Kamil Berk.

Kemudian, jenazah Ataturk dibaringkan dalam posisi rehat sementara Atadan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan tentera serta individu berpengaruh lain memberi penghormatan terakhir pada waktu-waktu tertentu.

Jenazah Ataturk diletakkan dalam satu keranda kayu walnut berkualiti tinggi dengan bahagian dalam diperbuat daripada kayu mahogani.

Keranda yang dilitupi dengan bendera kebangsaan Turki diletakkan pada 16 November di dewan sambutan istana pada sebuah catalfaque.

Ianya diapit dengan tiga obor tinggi pada setiap sisi mewakili enam rukun utama Kemalisme dan diletakkan lingkaran bunga di atas keranda untuk tatapan orang ramai.

Selama tiga hari, beribu-ribu orang hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada beliau pada catalfaque di mana pegawai-pegawai kehormat bertugas menjaga jenazah.

Selepas selesai solat, jenazah Ataturk dibawa keluar dari Dolmabache, diletakkan atas kaison yang ditarik kuda dan dibawa di hadapan perarakan jenazah ke Taman Gulhane.

Dari Seraglio Point, sebuah bot torpedo membawa jenazah beliau ke kapal perang TCG Yavuz, yang diiringi oleh kapal tentera laut Turki dan kapal-kapal asing membawa jenazah sehingga melepasi Pulau Buyukada. Setelah itu, Yavuz meneruskan perjalanan ke bandar pelabuhan Izmit.

Keranda yang membawa jenazah dipindahkan ke atas keretapi pengebumian dan dibawa ke Ankara di mana ia tiba pada 20 November 1938.

Menanti jenazah tiba ialah def-def kehormat terdiri daripada Presiden Turki, Ismet Inonu, Speaker Parlimen Turki, Abdulhalik Renda, Perdana Menteri, Celal Bayar, menteri-menteri Kabinet, Panglima Angkatan Tentera Turki, Field Marshall Fevzi Cakmak, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan tentera serta semua ahli parlimen.

Keranda Ataturk kemudian sekali lagi dibawa di atas kaison ke Bangunan Perhimpunan Agung Kebangsaan Turki di Ulus, di mana ia diletakkan atas sebuah catalfaque di hadapan bangunan Parlimen untuk tatapan umum.

Ini memberi peluang kepada ribuan penduduk Ankara memberi penghormatan terakhir kepada Bapa Turki Moden.

Pada hari berikutnya, satu lagi upacara pengebumian lebih besar diadakan bagi memberi peluang kepada pemimpin-pemimpin asing memberi penghormatan terakhir.

17 pemimpin asing hadir memberi penghormatan

Perarakan dengan keranda jenazah Ataturk yang dilitupi dengan bendera Turki diletakkan atas kaison yang ditarik kuda dibawa ke Muzium Etnografi Ankara turut diiringi sembilan detasmen pegawal kehormatan.

Antara negara yang menghantar detasmen tersebut ialah Britain, Iran dan Yugoslavia.

Setibanya di muzium, keranda Ataturk diletakkan dalam sebuah keranda batu marmar berwarna putih yang dibina khas dengan bendera Turki menutup penutup keranda.

Dan dari rekod rasmi ini, cerita jenazah Ataturk tidak diterima bumi muncul dan tersebar secara meluas di serata dunia termasuk di medan-medan ceramah.

Dan bila memandang polisi pemerintahan Ataturk, maka tidak hairanlah bagaimana ia dapat dikaitkan sebagai satu kisah teladan yang menarik tetapi sumbernya goyah.

Cerita sebenar kenapa kerajaan Turki menyemadikan sementara jenazah beliau di situ ialah mereka mahu membina satu kompleks pemakaman besar untuk Ataturk di atas bukit paling tinggi di Ankara pada ketika itu, Rasateppe.

Memandangkan projek kompleks pemakaman yang dipanggil Anitkabir akan mengambil masa 15 tahun, maka pihak kerajaan memilih Muzium Etnografi Ankara sebagai tempat persemadian sementara beliau.

Anitkabir

Anitkabir makam mustafa kemal

Dan impian tersebut menjadi kenyataan pada 1953, apabila penutup keranda batu dibuka kali pertama dan keranda tersebut dibawa keluar dengan bantuan kren jenis trispastos untuk diletakkan di atas catalfaque dengan disaksikan oleh kakak Ataturk, Makbule Atadan, Presiden Celal Bayar, Speaker Parlimen Refik Koraltan, Perdana Menteri Adnan Menderes, Panglima Angkatan Tentera Turki Nuri Yamut, Abdulhalik Renda dan beberapa pegawai tinggi kerajaan.

Gabenor Ankara, Kemal Aygun menugaskan ahli patologi dari fakulti perubatan Universiti Ankara, Profesor Kamile Sevki Mutlu untuk mengeluarkan keranda, memeriksa jenazah dan menyelia proses pengebumian semula di mana ia perlu mengikut tradisi pengebumian tempatan.

Proses yang berlaku pada 9 November 1953 ini menyaksikan Prof. Mutlu dibantu oleh dua rakan sekerjanya, Dr. Cahit Ozen dan Dr. Seref Yezgan serta 10 guru sekolah tinggi teknikal vokasional yang dihadiri pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Selepas membuka bahagian dalam zink, mereka menemui sebuah plastik coklat mengandungi jenazah Ataturk yang disokong penyokong kayu.

Selepas mengeluarkan plastik dan kain kafan jenazah, pasukan Prof. Mutlu mendapati jenazah beliau masih dalam keadaan baik dan tidak busuk, terima kasih kepada proses pengawetan yang dijalankan 15 tahun lepas oleh Prof. Aksu yang meninggal dunia pada tahun 1951.

Turut ditemui dalam keranda tersebut ialah sampel bahan kimia pengawet yang digunakan dalam satu botol tertutup bersama label kimia tersebut.

Def-def kehormat naik ke catalfaque seorang demi seorang dan memandang wajah Ataturk dan atas nasihat Prof. Mutlu, keranda ditutup semula selepas jenazah dikafankan dengan kain yang baru dan diberi kimia khas untuk kekal utuh.

Sehari selepas itu, pada tanggal 10 November 1953, keranda dilitupi bendera Turki dibawa keluar dari Muzium Etnografi Ankara dan diusung oleh 12 askar untuk diletakkan atas kaison untuk dibawa ke lokasi kekal persemadian beliau, Anitkabir.

Pengusungan keranda diketuai oleh pelbagai pemimpin komuniti agama Turki seperti Armenian Patriach, Greek Orthodox, Roman Katolik dan ketua Rabbi Yahudi selain Presiden Bahagian Hal Ehwal Agama Turki.

138 pegawai simpanan muda termasuk daripada barisan sehingga tiga kilometer terdiri daripada Presiden, Perdana Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, ahli-ahli perhimpunan kebangsaan, gabenor-gabenor wilayah dan diplomat-diplomat asing.

Sementara 21 juta rakyat Turki berdiri tegak dan senyap seketika selama lima minit di setiap pelosok negara.

Seorang laksamana tentera laut menjaga kusyen baldu mengandungi Pingat Kemerdekaan, satu-satunya pingat dalam banyak pingat yang dimiliki, yang dipilih Ataturk untuk dipakai.

Dan Bapa Turki Moden disemadikan di tempat persemadian kekalnya, kompleks pemakaman Anitkabir.

Seorang pegawai menceritakan pengalaman semasa proses tersebut berlangsung, “Saya masih bertugas pada hari pengebumiannya, bila saya menitiskan air mata tentang hakikat kematian. Hari ini saya tidak bersedih kerana 15 tahun telah mengajar saya bahawa Ataturk tidak pernah mati.”

Legasi

Hari ini, pada 9 November setiap tahun, pada 9.05 pagi, semua aktiviti dihentikan seketika selama dua minit.

Siren dibunyikan di segenap pelosok negara dan rakyat Turki diam seketika pada waktu tersebut untuk menghormati Ataturk tanpa mengira sama ada di jalan raya, kafe atau pasar raya dan bagi pelajar sekolah, mereka juga diam seketika selama seminit pada 9.05 pagi.

Pada hari itu, bendera Turki dikibarkan separuh tiang bagi mengingati presiden pertama Republik Turki.

Bagi yang mengikuti sejarah Turki, pasti sedar akan jasa Ataturk membebaskan negara daripada dijajah Britain, Perancis, Itali dan Greece dan menghalau mereka keluar dari bumi Anatolia.

Dan Ataturk turut berjasa membawa Turki maju ke depan dengan melancarkan pelbagai polisi bagi mengukuhkan kembali Turki sebagai sebuah negara yang hebat.

Kehebatan beliau dalam mengendalikan soal pemerintahan mengagumkan ramai sehingga menjadikan beliau atau ideologi Kemalisme sebagai cara melawan imperialisme Barat.

Daripada Shah Reza di Iran sehinggalah presiden pertama Tunisia, Habib Bourgiba menjadikan beliau sebagai inspirasi.

Sementara parti Nazi Jerman diketuai Adolf Hitler menganggap beliau seperti sebahagian daripada mereka dan meniru bulat-bulat sebahagian polisi Ataturk seperti bersikap keras terhadap gereja, institusi Islam dan menghalau keluar kelompok minoriti seperti yang dilakukan beliau pada 20-an dan 30-an.

Pada hari kematian Ataturk, Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Jerman menyifatkan kematian beliau satu kehilangan yang sukar digantikan.

Namun pada masa yang sama, polisi keras Ataturk terhadap Islam sama sekali mencalarkan imej beliau sebagai patriot dan nasionalis.

Ya, beliau membenarkan kebebasan wanita tetapi menafikan kebebasan mereka menutup aurat. Beliau masih membenarkan azan dan Al-Quran tetapi semuanya diubah dalam Bahasa Turki berikutan sikap anti-Arab beliau.

Pendek kata, pendekatan sekular Ataturk menolak Islam sehingga ke tebing curam namun, tindakan ini mendorong ramai ulama bangkit termasuk Said Nursi hafizahullah untuk memelihara cahaya agama daripada terus pudar di bumi Anatolia.

Kemalisme

Jasad Mustafa Kemal Ataturk
Jasad Mustafa Kemal Ataturk.

Tetapi, legasi terbesar Ataturk ialah Kemalisme, satu doktrin politik yang menganggap dirinya moden dan pro-Barat, sosialis, pro-tentera dan ultra-sekular dalam pendekatannya sehingga mencekik warga Turki untuk bernafas dalam mendapatkan hak mereka terutama soal kebebasan agama.

Dan ini sudah dibuktikan dengan siri kudeta pada 1960, 1971, 1980 dan 1997 di mana tentera dan sistem kehakiman memperlihatkan diri mereka sebagai penjaga Kemalism.

Dan mereka tidak teragak-agak menyingkirkan mana-mana tokoh sama ada Adnan Menderes atau Necmettin Erbakan sekiranya agenda kerajaan berlawanan dengan enam prinsip utama Kemalism.

Namun, keghairahan Kemalism ini akhirnya memakan diri kerana perlahan-lahan ditolak rakyat yang mula condong kepada pan-Islamisme dan mahukan kembali hak mereka yang dinafikan.

Ini dibantu pula dengan beberapa keputusan Kesatuan Eropah (EU) yang tidak memihak kepada mereka termasuk mengharamkan mahkamah keselamatan negara dan kebijaksanaan parti-parti politik bercorak Islam termasuk Parti Pembangunan dan Keadilan (AKP) bermain catur politik yang membantu mereka naik ke puncak.

Dan siapa sangka dengan cubaan rampasan kuasa terbaru pada 2016, ia bukan langkah akhir kejatuhan sebuah lagi kerajaan pilihan rakyat tetapi satu lagi pukulan besar kepada Kemalisme.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Kehebatan Tekonologi 5G Punca 'Perang Ekonomi' China-AS!

Kehebatan Tekonologi 5G Punca 'Perang Ekonomi' China-AS!

Dengan peperangan teknologi yang semakin jelas ketika ini, masih ramai yang kabur tentang 5G. Apa sebenarnya yang hebat sangat tentang 5G sehinggakan dua kuasa besar dunia bertarung antara satu sama lain?

Kehebatan 5G

Anda mungkin berfikir bahawa 5G adalah seperti 4G, tetapi hanya sedikit lebih laju. Sebenarnya, ia jauh lebih laju berbanding 4G malah, ia boleh mengubah dunia yang sedang kita jalani.

Teknologi baru 5G menjanjikan perubahan dalam hidup kita dengan menghubungkan berjuta-juta peranti dan membolehkan segala-galanya menjadi kenyataan daripada kereta tanpa pemandu hinggalah kepada rumah pintar.

Dengan kelajuan sehingga 20 kali ganda lebih pantas daripada 4G yang kebanyakan kita gunakan sekarang, teknologi kilat 5G akan mempercepat dan menyambungkan segala-galanya.

Kepantasan luar biasa

Sebagai contoh, untuk memuat turun filem berdurasi 2 jam, 3G akan mengambil masa kira-kira 26 jam. Bagi 4G, anda perlu menunggu selama 6 minit.

Tetapi dengan 5G, anda tidak sempat untuk bangun dan menyediakan popcorn anda kerana muat turun anda akan siap dalam masa 3.6 saat.

Ya, 3.6 saat!

Cuba bayangkan, tempoh masa yang anda ambil untuk memutuskan filem mana yang anda ingin muat turun adalah lebih lama berbanding tempoh masa untuk memuat turunnya!

Dan tidak, 5G bukan hanya mengenai kelajuan. Ia merupakan pengubah kepada segala-galanya. Dengan teknologi ini, kita mungkin akan mempunyai bandar-bandar di mana semua perkara berkomunikasi antara satu sama lain.

Sebagai contoh, para doktor boleh melakukan pembedahan secara jarak jauh dari bahagian dunia yang lain.

Dan bolehkah anda bayangkan sebuah kehidupan di mana video anda tidak pernah tersekat dan panggilan telefon yang tidak pernah putus?

Tidak dapat disangkal lagi bahawa teknologi 5G sangat menakjubkan namun persoalannya, mengapa China dan Amerika Syarikat berebut-rebut dan mengambil berat tentangnya? Tak lain hanya kerana disebabkan satu sebab yang sama, iaitu wang.

Keuntungan wang menjadi taruhan

Kelajuan 5G
Kelajuan muat turun 5G untuk filem durasi 2 jam.

Apabila AS memenangi perlumbaan 4G pada awal dekad ini, ia memberikan rangsangan hampir RM400 bilion kepada KDNK mereka. Dan bagi 5G, "hadiah" nya sudah tentu lebih lumayan.

Sekiranya AS menang, ia akan mewujudkan anggaran 3 juta pekerjaan dan menambah kira-kira RM2 trilion kepada KDNK sedia ada.

Jumlah ini tersangatlah besar dan jika dibandingkan dengan KDNK Malaysia pada tahun 2018 iaitu sebanyak RM1.49 trilion, nilai yang bakal dijana oleh 5G sahaja adalah lebih tinggi.

Dan sudah tentu, ia bukan sahaja melibatkan wang yang banyak dan kemampuan untuk anda memuat turun filem Avengers semata-mata.

Perebutan kuasa untuk mengawal dunia

Ia juga berkait rapat dengan kuasa. Ini kerana apabila sesebuah negara itu mengawal 5G, mereka juga mempunyai akses kepada setiap perkara yang semua orang lakukan dalam talian.

Ini secara harfiahnya bermakna segala-galanya yang kita lakukan akan dikawal oleh mereka kerana hampir kesemua perkara pada hari ini dilakukan dalam talian.

Dalam perlumbaan ini, teknologi 5G yang terhebat dihasilkan oleh syarikat gergasi China iaitu Huawei dan bagi kebanyakan orang, Huawei mungkin paling dikenali sebagai pembuat telefon.

Tetapi, ia juga merupakan pemain utama dalam membina infrastruktur untuk semua komunikasi kita pada hari ini dan disebabkan syarikat ini adalah syarikat China, banyak kerajaan tidak percaya akan keselamatan teknologi ini.

5G China jauh meninggalkan Amerika Syarikat

Para pengkritik bimbang bahawa dengan membiarkan China membina 5G, ini bukan sahaja akan membolehkan mereka mengintip bahkan mematikan aliran data yang kita bakal bergantung.

Cuba bayangkan, jika Huawei menjadi pembekal 5G terkemuka di dunia, maka China boleh mengintip sesiapa sahaja dan perkara ini adalah sangat tidak menyenangkan bagi AS, kerana ini adalah perkara yang mereka juga ingin lakukan.

Walaupun AS sedang membina teknologi 5G sendiri, namun 5G oleh China sudah terlalu jauh meninggalkan mereka dan sukar untuk dikejar.

Ia seperti persaingan pada satu ketika dahulu di antara DVD dan CD. Dan jika anda tertanya-tanya apakah itu CD, itulah tahap teknologi 5G milik A.S ketika ini.

Jadi, ini adalah satu perlumbaan di mana ramai orang telah mengatakan bahawa A.S sudah tewas.

Donald Trump cuba jadi "penyelamat"

Akan tetapi, negara Uncle Sam ini bernasib baik kerana mempunyai pemerintah yang cukup gila yang sanggup main kotor.

Presiden Donald Trump telah menandatangani perintah eksekutif mengharamkan syarikat AS daripada menggunakan peralatan telekomunikasi yang dianggap sebagai ancaman kepada keselamatan nasional dan ini merupakan serangan langsung terhadap China dan syarikat gergasinya Huawei.

Oleh ketika mana serangan A.S. terhadap syarikat itu sudah pun menyebabkan kesan domino yang besar, rangkaian mudah alih terbesar UK mengeluarkan Huawei dari pelancaran 5Gnya, manakala 3 pengendali mudah alih Jepun telah berhenti mengambil pesanan atau melewatkan pelancaran telefon Huawei baru.

Donald Trump dapat melihat bahawa AS tidak akan memenangi perlumbaan ini, jadi dia terpaksa menggunakan helah yang licik.

Dia mungkin tidak begitu arif tentang 5G namun Trump tahu bagaimana untuk melengahkan pihak lawan.

Amerika Syarikat terdesak untuk memenangi perlumbaan

Mungkin ada pihak yang tidak menyalahkan Donald Trump sepenuhnya kerana AS kelihatan tidak mempunyai cara lain untuk memenangi perlumbaan 5G ni.

Ini kerana AS tidak akan dapat memiliki 5G dalam masa terdekat, melainkan jika mereka berpura-pura untuk memilikinya.

Ketika ini, syarikat telekomunikasi AS iaitu AT&T memaparkan logo 5G palsu pada iPhone dan iPAd.

Syarikat itu menyatakan bahawa ikon terbaru itu akan kelihatan apabila pengguna memuat turun versi beta terbaru Apple iaitu iOS 12.2.

Namun, ia bukanlah 5G sebenar. AT&T hanya menukar nama rangkaain 4G LTE Advanced mereka kepada 5GE dan "E" tersebut bermaksud evolusi.

Jadi, AS mungkin mempunyai peluang untuk memenangi perlumbaan ini dengan cara yang mereka lakukan sebelum ini, iaitu mencipta pemalsuan.

Kuasa manakah yang akan terlebih dahulu menjadi penyedia 5G di dunia? Dan apakah kesan buruk yang dibawa oleh teknologi hebat ini?

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Fotofobia, Gejala Mata Sensitif Melampau Terhadap Cahaya

Fotofobia, Gejala Mata Sensitif Melampau Terhadap Cahaya

Fotofobia ialah suatu gejala di mana mata menjadi sensitif yang melampau terhadap cahaya seterusnya pesakit yang mengalami simptom ini akan cuba mengelak dari cahaya matahari atau tempat terang.

Fotofobia mata sensitif cahaya

Pesakit yang mempunyai masalah fotofobia mungkin disebabkan oleh masalah kesihatan yang berkaitan dengan mata atau sistem urat saraf.

Punca

Fotofobia sering dialami oleh pesakit konjuntivitis akut. Penyebab fotofobia yang lain adalah mata yang mempunyai luka dipermukaan kornea, ulser kornea, mata yang mempunyai warna yang cerah (seperti kes albino), uveitis (radang mata), katarak (sesetengah jenis) dan sesiapa yang menderita migrin.

Yang lebih penting, fotofobia juga merupakan gejala kepada masalah kesihatan yang lebih serius seperti botulisma, rabies, keracunan raksa atau meningitis (radang selaput otak).

Oleh yang demikian, sesiapa yang mengalami fotofobia secara akut adalah dinasihatkan bertemu doktor secepat mungkin.

Rawatan

Rawatan terbaik untuk fotofobia adalah merawat punca masalah dan di dalam kebanyakan kes, apabila faktor penyebabnya telah dirawat, fotofobia akan hilang.

Sewaktu menjalani rawatan, pesakit hendaklah mengelak dari terdedah kepada cahaya matahari dan sebarang cahaya lain yang terang untuk mengurangkan ketidakselesaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: lelakisihat

Saturday, May 25, 2019

Keluarga Rotshchild Pencipta Negara Haram Israel

Keluarga Rotshchild Pencipta Negara Haram Israel

Nama keluarga Rotshchild sudah tidak perlu diperkenalkan lagi kerana keluarga ini yang terpalit dengan pelbagai kontroversi dahsyat dan buruk, tak cukup dengan itu, Jacob Rothschild sendiri telah mengaku bahawa keluarganya memainkan peranan yang sangat penting dalam penciptaan Israel.

Rothschild Zionism

Dalam satu temu bual, Jacob memberitahu bahawa nenek moyangnya "membantu membuka jalan bagi penciptaan Israel," memaksa kerajaan British menandatangani Perisytiharan Balfour pada tahun 1917.

Keluarga Rothschild dipercayai telah merancang Perang Dunia Pertama dan menunggu sehingga 1917 apabila Britain menunjukkan tanda-tanda berhadapan dengan masalah.

Keluarga Zionis ini kemudiannya menjanjikan kepada kerajaan British bahawa mereka dapat meyakinkan Amerika Syarikat untuk terlibat dalam perang tersebut dan memastikan kemenangan Britain ke atas Jerman.

Sebagai balasan, mereka mahukan kerajaan British menyerahkan kawalan Palestin kepada Zionis.

Oleh itu, Perisytiharan Balfour telah diwujudkan, yang merupakan surat rasmi dari Setiausaha Luar Negeri Kerajaan British, James Balfour kepada Baron Rothschild.

Perisytiharan itu menyatakan bahawa:

"Pandangan kerajaan memihak kepada penubuhan rumah kebangsaan bagi orang Yahudi di Palestin, dan akan menggunakan usaha terbaik mereka untuk memudahkan pencapaian objek ini."

Menurut blog Uprooted Palestinians, ketika satu temubual TV, Times of Israel melaporkan bahawa James Balfour mendedahkan peranan sepupunya, Dorothy de Rothschild, buat pertama kali

Jacob Rothschild menggambarkan Dorothy yang pada ketika itu hanya remaja sebagai "setia kepada Israel" dan apa yang dilakukannya tersangat penting.

Dorothy menghubunkan pemimpin Zionis, Chaim Weizmann dengan kerajaan British. Chaim merupakan Presiden Pertubuhan Zionis dan kemudian menjadi Presiden Israel yang pertama.

Malah, Dorothy "memberitahu Chaim Weizmann bagaimana untuk menyepadukan dan bagaimana untuk memasukkan dirinya ke dalam kehidupan kerajaan British, yang mana dipelajari oleh Chaim dengan begitu pantas.

Rothschild juga berkata bahawa cara pengisytiharan itu diperoleh adalah sangat luar biasa.

Dorothy de Rothschild
(Dorothy de Rothschild).

Ia dilakukan dengan Chaim Weizmann memujuk Arthur Balfour dan Lloyd George, perdana menteri dan kebanyakan menteri bahawa ideanya untuk mewujudkan rumah kepada orang Yahudi harus berlaku.

Dan walaupun idea ini kelihatan seperti sukar, namun ia sudah menjadi kenyataan pada hari ini.

Temu bual bersama Jacob Rothschild itu dilakukan oleh bekas duta Israel, Daniel Taub sebagai sebahagian daripada projek Balfour 100.

Daniel Taub menemuramah Jacob di Waddeston Manor di Buckinghamshire, sebuah rumah yang diwariskan kepada negara oleh keluarga Rothschild pada tahun 1957, di mana perisytiharan itu disimpan.

Menurut Daniel Taub, pengisytiharan itu telah "mengubah perjalanan sejarah bagi Timur Tengah."

Chaim Weizmann Keluarga Rotshchild
Chaim Weizmann.

The Times melaporkan bahawa Jacob Rothschild berkata bahawa keluarganya ketika itu tidak sepakat dalam menubuhkan gagasan Israel, dengan menyatakan bahawa sesetengah ahli "tidak berasakan bahawa ia adalah satu perkara yang baik untuk menubuhkan rumah bagi orang Yahudi di Palestin".

Surat-surat Dorothy juga disimpan di Waddeston Manor yang mana menggambarkan urusannya dengan pelbagai pemimpin Zionis dan nasihatnya mengenai organisasi Persidangan Zionis.

Jacob Rothschild juga memberitahu bahawa Perisytiharan telah melalui lima kali draf sebelum akhirnya dikeluarkan pada 2 November 1917.

Alison Weir melaporkan dalam bukunya, "Against Our Better Judgment: The Hidden History of How the U.S. Was Used to Create Israel", bahawa draf perisytiharan itu berulang-alik ke tangan Zionis di Amerika Syarikat sebelum dokumen itu dimuktamadkan.

Penulis utama yang dirahsiakan tersebut adalah seorang Zionis, Leopold Amery.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Siaran TV Digital myFreeview Percuma Yang Masih Ramai Tidak Tahu

Siaran TV Digital myFreeview Percuma Yang Masih Ramai Tidak Tahu

Ramai masih tidak menyedari tentang kewujudan myFreeview iaitu siaran TV digital yang diwujudkan dalam usaha kerajaan Malaysia untuk menghentikan sepenuhnya siaran analog secara berperingkat.

TV Digital myFreeview

Projek dikenali sebagai DTT (Televisyen Terestrial Digital) itu adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan diselia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menyediakan khidmat penyiaran TV dan radio terbaik kepada rakyat.

Paling penting, semua siaran menerusi myFreeview adalah percuma dan tiada bayaran bulanan dengan 15 saluran percuma termasuk lima dalam definisi tinggi (HD).

Menerusi myFreeview, penonton dapat menyaksikan program-program terbaik penyiar TV percuma termasuklah Radia Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima, TV Al Hijrah dan Bernama News Channel.

Bagi membolehkan anda mendapat akses kepada siaran TV digital ini sangat mudah dengan hanya memasang dekoder DVB-T2 dan aerial UHF kepada set TV sedia ada.

Juga melalui Televisyen Digital Bersepadu (Integrated Digital TV atau IDTV) yang telah dilengkapi dengan dekoder serta memasang aerial UHF.

Set TV sedia ada sudah mencukupi asalkan ia mempunyai sambungan masuk AV/HDMI yang boleh disambungkan kepada dekoder menggunakan kabel AV/HDMI.

Setakat ini, terdapat 13 jenama IDTV yang mendapat pengesahan Sirim telah pun berada di pasaran.

Apa Kelebihan myFreeview?

1. Percuma tanpa yuran langganan

myFreeview tidak memerlukan sebarang yuran bulanan dan ia disediakan secara percuma seperti mana siaran TV sebelum ini.

2. Imej lebih tajam dan jelas serta audio berkualiti tinggi

Siaran TV digital myFreeview menjanjikan resolusi serta kualiti gambar dan bunyi lebih jelas secara definisi standard (SD) dan definisi tinggi (HD).

Cara pemasangan dekoder myFreeview juga sangat mudah.

3. Penambahan perkhidmatan dan saluran TV

Setakat ini myFreeview mempunyai 15 saluran TV dan enam saluran radio termasuk lima saluran dalam HD (TV1, TV2, RTM Sports HD, RTM News/Bes HD dan TV3) dan lebih banyak penyiar baharu dijangka menyertai perkhidmatan ini pada masa hadapan.

4. Perkhidmatan TV Interaktif

myFreeview juga sedang dalam perancangan membangunkan televisyen interaktif seperti beli-belah atas talian, menonton video atas permintaan (on demand) menggunakan talian internet.

5. Sarikata pelbagai bahasa dan akses Panduan Program Elektronik

Walaupun percuma, myFreeview turut didatangkan dengan pelbagai kemudahan dan akses termasuk sarikata pelbagai bahasa bagi memudahkan menonton rancangan pelbagai bahasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Punca PDRM 'Gugur' Kalimah Allah, Nabi Muhammad Pada Logo Pasukan

Punca PDRM 'Gugur' Kalimah Allah, Nabi Muhammad Pada Logo Pasukan

Ketua Komunikasi Korporat PDRM Urusetia Ketua Polis Negara berkata, pihaknya telah menetapkan dua garis panduan dalam penggunaan logo pasukan yang berkuatkuasa pada 2014 di bawah kepimpinan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang merupakan Ketua Polis Negara ketika itu.

Logo PDRM

Ini adalah bagi menafikan dakwaan yang Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengubah logo pasukan itu, dengan mengugurkan kalimah ALLAH dan Nabi Muhammad SAW.

Logo PDRM dengan kalimah ALLAH dan Nabi Muhammad SAW hanya boleh digunakan pada bendera, papan tanda atau bahan yang diletakkan di tempat atau lokasi tinggi.

Manakala logo yang tidak tertera kalimah ALLAH dan Nabi Muhammad pula diguna pakai dalam urusan percetakan (buku atur cara, notis atau kenyataaan) agar tidak tercemar kesucian kalimah itu, jika risalah berkenaan dijadikan pelapik duduk, dipijak dan sebagainya.

Oleh itu pihak PDRM berharap, pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan tuduhan palsu mengenai isu logo itu, agar menghentikan fitnah yang mampu membangkitkan kegusaran dan menjejaskan kredibiliti PDRM sebagai pasukan keselamatan di mata rakyat.

p/s: Di bulan Ramadhan pun masih ada juga yang rancak nak memfitnah.

Peniaga dinasihat tidak jual aksesori polis dalam talian

Sementara itu, peniaga dalam talian dinasihatkan untuk tidak menjual sebarang kelengkapan dan peralatan pakaian seragam Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara terbuka kerana dikhuatiri boleh mengundang perlakuan jenayah seperti penyamaran.

Dalam satu kenyataan PDRM, pihaknya mengesan terdapat peniaga menjual butang baju Melayu dengan menggunakan logo PDRM secara dalam talian.

Kelengkapan dan peralatan PDRM hanya boleh dijual kepada pegawai polis termasuk Sukarelawan Simpanan Polis, Polis Bantuan, Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) dan Kadet Polis dengan menunjukkan Kad Sijil Pelantikan tersebut.

Kesahihan status pembeli dan kad kuasa ditunjukkan secara dalam talian tidak mungkin dipastikan.

Pembeli juga dikehendaki menandatangani di atas pembelian yang dibuat, proses ini tidak dapat dilakukan sekiranya penjualan dalam talian.

Setiap peniaga berlesen juga dikehendaki mencatat butiran pembeli dalam Buku Daftar Penjualan yang ditandatangani pada setiap pembelian dilakukan.

Peniaga dalam talian yang ingkar dengan peraturan ditetapkan akan berdepan tindakan seperti pembatalan permit perniagaan atau dikenakan tindakan undang-undang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

9 Makanan Sumber Serotonin Untuk Tidur Yang Lena Dan Jantung Sihat

9 Makanan Sumber Serotonin Untuk Tidur Yang Lena Dan Jantung Sihat

Serotonin merupakan hormon penting di dalam tubuh yang mempengaruhi kesihatan hati dan pola tidur yang lena, juga mampu mengawal tekanan darah, adalah zat amino Tryptophan yang boleh diperolehi dari makanan yang kemudian diangkut ke otak, kemudian diubah menjadi serotonin.

Sumber Serotonin

Kekurangan hormon serotonin dapat diatasi dengan diet yang tepat atau dengan pengambilan suplemen serotonin.

Oleh itu, ketika menjalani diet, pengambilan makanan yang mengandungi Tryptophan sangatlah penting.

9 jenis makanan yang kaya dengan kandungan serotonin.

1. Seafood

Ikan dan makanan laut yang mengandungi banyak lemak seperti tuna, kerang, tiram, kepiting, makarel, ikan salmon, ikan hering, ikan sardin, serta suplemen minyak ikan adalah sumber yang kaya dengan serotonin.

2. Daging

Daging, selain kaya dengan protein juga merupakan sumber semulajadi yang kaya dengan serotonin.

Daging seperti lembu, hati dan ayam mengandungi serotonin yang mampu membantu mengatasi kekurangan hormon ini.

3. Telur

Putih telur juga tinggi kandungan serotonin, merupakan makanan harian yang mudah diperolehi dan semua orang menyukainya.

Telur juga mengandungi banyak vitamin dan nutrisi penting lain yang diperlukan oleh tubuh.

Namun, hindari pengambilan terlalu banyak kuning telur kerana mengandungi banyak lemak yang berbahaya bagi kesihatan jantung.

4. Produk Susu

Produk susu seperti buttermilk atau susu mentega iaitu produk sampingan pembuatan mentega, dadih (susu lembu), dan keju adalah sumber makanan serotonin yang baik.

Selain banyak vitamin dan nutrisi kesihatan, tauhu juga mengandungi serotonin.

5. Sayuran

Sayuran seperti bawang putih, labu, asparagus, brokoli, bayam, kacang hijau, kentang, kubis, bit, bawang bombay dan tomato juga mengandungi serotonin.

6. Popcorn

Makanan yang mengandungi karbohidrat dan serat wajib dimakan supaya tubuh kita kekal rileks dan tenang.

Popcorn adalah salah satu contoh makanan tersebut dan tentunya kaya dengan kandungan serotonin.

7. Kekacang

Kacang almond, kacang tanah, pistachio, kacang pinus dan hazelnut juga membantu tubuh mendapatkan hormon serotonin.

Kekacang ini juga mengandungi banyak zat lemak omega 3 yang membantu menjaga kesihatan kulit, rambut serta kuku.

8. Minuman

Kopi, teh hitam, teh, coklat juga mengandungi sedikit serotonin di dalamnya.

Namun, ambillah dalam jumlah yang sedikit saja kerana kandungan kafein yang tinggi di dalamnya.

9. Biji-bijian

Biji-bijian merupakan sumber makanan yang sangat kaya serotonin. Bijian juga mengandung protein, kalium, zat besi, vitamin B, vitamin E, magnesium dan kalsium.

Biji labu, biji semangka dan biji bunga matahari adalah beberapa contoh bijian yang mengandungi serotonin.

Selain itu, dedak padi, roti gandum, cereal, kentang dan beras juga mengandungi serotonin.

Tips Penting:

1. Hindari pengbilan serotonin dalam jumlah berlebihan kerana boleh mendatangkan bahaya.

2. Pengambilan berlebihan boleh menyebabkan lemahnya tulang, peningkatan risiko serangan jantung dan banyak penyakit vaskular lainnya.

3. Kekurangan hormon serotonin boleh menyebabkan hilangnya nafsu makan, penyakit tulang, anemia, sakit otot, masalah tulang, kebas, depresi dan rendahnya sistem kekebalan tubuh.

4. Gejala kekurangan serotonin adalah berkeringat, sakit kepala, mual, demam, rentak jantung tidak teratur dan tidak sedarkan diri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wanita22