Tuesday, November 27, 2018

Kenali Buah Langsat, Duku, Rambai Dan Dokong


Sememangnya terdapat perbezaan diantara buah Rambai, Buah Duku, Buah Dokong dan Buah Langsat jika seseorang itu belajar mengenainya, adalah jenis buah bermusim yang biasanya ditanam dikawasan keliling rumah di kampung tradisional atau pada dusun komersil dibeberapa lokasi.

Buah-buahan ini ditanam dibeberapa negara dan dipercayai berasal daripada kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia dan Sumatra.

Jom kenali perbezaan buah-buahan ini walaupun bentuk dan rupanya seakan-akan serupa.

1. Buah Langsat

Buah Langsat

Langsat atau nama saintifiknya, Lansium domesticum var domesticum, merupakan sejenis buah-buahan bermusim yang ditanam di negara kita daripada keluarga Meliaceae.

Ramai keliru dengan panggilan buah dari kumpulan ini iaitu Buah Duku, Buah Langsat, Buah Duku Langsat, Buah Dokong, Buah Rambai dan sebagainya. Langsat berbeza dengan buah lain (duku dan dokong) kerana ia mempunyai kulit buah yang agak nipis dan mempunyai biji yang pahit jika tergigit.

Nama lain bagi buah langsat seperti konkosan, lansa, lanseh, lansep, lanzon, lanzone, longson, bon-bon, langsad dan sebagainya mengikut lokaliti.

Pokok langsat merupakan tumbuhan yang perlukan Lindungan atau naungan, dengan kombinasi seperti dusun sedia ada, kawasan kelapa dan lain-lain jenis buah-buahan sesuai dijalankan.

Pokok langsat lazimnya memerlukan sekitar 40-60% teduhan supaya pertumbuhan subur dan cepat. Biasanya pokok Gliricidia, petai, petai belalang dan juga pisang adalah tanaman lindungan yang sesuai.

Pokok langsat akan mula berbuah selepas 6-10 tahun ditanam dan di peringkat awal berbuah, anggaran hasilnya ialah 3 tan sehektar (123 pokok sehektar dengan jarak tanaman 9m x 9m).

Langsat mencapai pengeluaran hasil optimum mulai tahun ke 15 keatas bergantung kepada pengurusan dan varieti. Anggaran hasil sebanyak 14-16 tan metrik sehektar.

Pokok langsat biasanya di serang penyakit dan perosak walau pun tahap serangan pada kadar serangan tidak membahayakan. Antaranya ialah kulat yang menyebabkan penyakit bintik berpusar (antraknos) pada buah dan penyakit kulapuk.

Buah-buah yang pecah juga merupakan masalah yang agak serius walau bagaimanapun, ini bukanlah penyakit tetapi satu faktor fisiologikal dimana ini biasanya berlaku apabila hujan turun selepas cuaca panas dan kering. Penyerapan air hujan akan juga menyebabkan buah menjadi bengkak dan akhirnya pecah oleh sebab ketegangan air di dalamnya.

Terdapat juga penyakit lain menyerang pokok langsat seperti Penyakit Reput Buah dimana buah menjadi rosak dan reput. Tidak serius tetapi boleh mengurangkan hasil. Guna racun kulat cooper oxychloride di peringkat berbuah dengan kadar 0.1%. Ulangi semburan jika perlu.

Terdapat juga serangan serangga perosak pada tanaman langsat seperti serangga 'Pengorek buah' yang bertelur di dalam buah yang muda. Seterusnya larva memakan buah yang sedang membesar dan menyebabkannya gugur. Cara kawalan dengan membersihkan dusun dari buah-buah yang diserang dan bakar.

Terdapat juga teritip yang menghisap cecair daun. Larva akan memakan pucuk muda dan meninggalkan lapisan kutikal. Daun yang disrang menjadi kering berwarna perang di bahagian tepi daun. Cara kawalan ulat ini adalah dengan menyembur racun dimethoate dengan kadar 0.1% bahan aktif di peringkat berpucuk.

Bagi masalah serangan Lalat Buah (Daucus spp) yang membuat tusukan pada buah yang sedang masak dimana akibatnya buah akan menjadi berair dan bertukar warna menjadi coklat. Buah rosak dan gugur. Cara kawal lalat buah adalah dengan menggunakan umpan seperti protein hydrolysaste untuk memberi tarikan.

Bahan ini dicampur dengan racun serangga dan disembur di kawasan daun. Lalat akan berkerumun di situ dan terus guna methyl-eugenol bagi merangkap lalat. Bahan ini dicampur dengan racun serangga dan diletak di kawasan ladang.

2. Buah Duku

Buah Duku

Duku atau nama saintifiknya, Lansium domesticum var duku, merupakan sejenis buah tropika yang ditanam di negara kita daripada keluarga Meliaceae, berbeza dengan buah lain (langsat dan dokong) kerana ia mempunyai kulit buah yang agak tebal (terutama duku Johor) dan mempunyai biji yang sederhana pahit jika tergigit.

Pokok Duku adalah sejenis tanaman buah-buahan yang berasal dari Asia Tenggara. Rasanya sedap tapi lambat berbuah. Jarang-jarang kita jumpa buah duku yang masam kecuali bila ia dipetik ketika belum cukup masak atau tidak pernah diberikan baja.

Buah duku biasanya memiliki kelompok 10 biji buah yang bulat dan besar, sekitar garis pusat 5 cm dan kulit buah yang lebih tebal. Musim buah duku iaitu bulan Julai, Ogos, September dan Oktober.

Secara umumnya Buah Duku ada dua Jenis iaitu DUKU JOHOR dan juga DUKU TERENGGANU. Kedua-dua jenis duku ini amat berbeza kerana mempunyai bentuk buah dan ketebalan kulit yang nyata berbeza.

Duku merupakan buah yang memerlukan masa untuk dipasarkan dengan betul kerana ia mudah rosak yang tahan hanya 2-3 hari sahaja selepas dipetik.

Duku mempunyai masalah serangan kulit pokok seperti Ulat Pengorek Kulit (Puru Batang) yang menyerang kulit batang, dahan malahan kadang-kadang daun dengan tanda seperti berkeruping.

Tanda serangan dimana terdapat bintik-bintik kecil warna coklat kehitaman pada peringkat awal dan ia akan menjadi puru pada bahagian kulit.

Kawalan boleh dijalankan dengan kita mengikis bahagian puru pada kulit yang diserang sebelum disembur dengan racun kimia seperti racun dimethoate dengan kepekatan 0.05% sehingga serangan terkawal.

Penuaian buah Duku/Duku Langsat

Buah mesti dielakkan daripada terhempas ke tanah semasa penuaian. Perubahan warna daripada satu indeks ke indeks kemasakan berikutnya mengambil masa selama 3-4 hari. Perubahan warna buah daripada indeks 1 ke indeks 6 mengambil masa kira-kira 17 hari.

Peringkat kemasakan yang sesuai untuk penuaian buah duku bergantung pada kegemaran pengguna. Berdasarkan kajian yang dijalankan mendapati, buah sesuai dipetik pada indeks 4 iaitu semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah.

Pada peringkat ini buah sudah berhenti membesar (18 gm sebiji) dan kandungan gula sudah mencapai peringkat maksimum (jumlah pepejal terlarut lebih daripada 18%).

Walau bagaimanapun, kandungan asid masih agak tinggi (0.9%) dan membuatkan buah mempunyai rasa manis dengan sedikit rasa masam. Bagi mereka yang gemarkan buah yang lebih manis, penuaian boleh dilakukan pada indeks 5 atau 6, tetapi jangka hayat buah ini lebih pendek.

Terdapat juga penanam dokong memetik buah lebih awal iaitu pada indeks 4 untuk tujuan eksport ke Thailand. Buah pada peringkat ini mempunyai rasa masam-masam manis (jumlah pepejal terlarut 16% dan asid 0.9%) dan saiz buah kecil sedikit (15 gm sebiji).

Indeks kemasakan buah dokong telah dibentuk berdasarkan warna buah dan boleh dijadikan panduan untuk penuaian:
  • Indeks 1: Setiap buah dalam satu tangkai, sudah menunjukkan warna kekujing walaupun keseluruhan buah masih kehijauan.
  • Indeks 2: Setiap buah pada satu tangkai berwarna kuning pucat dengan 6-8 biji buah masih terdapat warna kehijauan pada hujung buah. Biasanya buah-buah ini menghadap cahaya matahari.
  • Indeks 3: Setiap buah dalam satu tangkai berwarna kuning pekat dengan 1-2 biji buah pada bahagian paling bawah tangkai menunjukkan kesan kehijauan pada hujung buah.
  • Indeks 4: Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning cerah.
  • Indeks 5: Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning keperangan.
  • Indeks 6: Semua buah dalam satu tangkai berwarna kuning keperangan tetapi darjah keperangannya lebih daripada buah pada indeks 5.

3. Buah Rambai

Buah Rambai

Rambai atau nama saintifiknya, Baccaurea motleyana Mull, merupakan sejenis buah-buahan tropika dari Keluarga Euphobiaceae dipercayai berasal dari Semenanjung Malaysia. Tanaman ini juga terdapat di Indonesia, Borneo dan juga beberapa kawasan di Asia Tenggara.

Buah rambai ada yang jenis manis tetapi kebanyakanya masam. Terdapat beberapa jenis buah rambai yang boleh dikomersilkan jika kajian lanjut dibuat bersama-sama pakej teknologi yang sesuai.

Kegunaan lain pokok rambai ialah untuk dijadikan pokok hiasan, pokok naungan selain dari kayunya yang boleh dijadikan tiang atau perabut atau ukiran.

Buah rambai boleh di makan segar dengan memakan isinya dan dibuang kulitnya. Selain itu kulit buah rambai boleh dikeringkan selama 2-3 hari untuk dibuat halwa, jeruk dan sebagainya.

Kulit yang telah kering berwarna hitam jika di proses jadi serbuk yang dipercayai mampu melicinkan kulit muka. Kulit batang pokok rambai juga boleh digunakan sebagai bahan pewarna.

Setiap 100 gram buah mengandungi 142 mg potasium, 9.7 mg Posforus, 5.4 mg Kalium dan 11.8 mg Magnesium. Bagaimanapun, kandungan vitamin rambai agak rendah iaitu cuma 11.2 mg vitamin C, 0.55 mg Thiamine (Vitamin B1) serta 0.11 mg Riboflavin (Vitamin B2).

Bentuk buah rambai juga berbeza-beza dari bentuk bulat, lonjong, oblong dan ovoid. Saiz buah juga berbeza antara 2.3-3.8 cm panjang dan 1.5-3.3 cm lebar. Rasa buah rambai masam, manis dan kebanyakannya masam-masam manis.

Penanaman rambai menggunakan biji benih yang terpilih dari pokok yang menghasilkan buah yang manis. Pertumbuhan pokok rambai agak perlahan pada 2 tahun pertama. Pokok rambai juga kurang menghadapi serangan penyakit dan perosak.

Rambai Sarawak mempunyai saiz paling besar iaitu antara 19 - 21.36 gram setiap biji. Kebanyakan jenis tersebut diberi nama berasaskan kepada lokaliti dan juga bentuk buah.

Rambai telur contohnya berbentuk bulat yang mempunyai kulit licin dan halus seperti kulit telur.

Rambai Lumut mempunyai kulit berwarna hijau walau pun telah matang tetapi kulitnya akan tetap berwarna hijau.

Rambai Jantung kerana buahnya berbentuk jantung (elipsoid) dan mempunyai 1 biji sahaja didalamnya.

Rambai Langkawi berasal dari Pulau Langkawi dimana buahnya bulat berwarna coklau kekuningan dan masih banyak ditanam di Pulau Langkawi.

4. Buah Dokong

Buah Dokong

Dokong atau nama saintifiknya, Lansium domesticum Corr, merupakan sejenis buah-buahan yang popular di Malaysia dan Thailand sebagai buah dari keluarga MELIACEAE.

Terdapat tiga jenis dokong yang agak berlainan dari segi ciri dan kualiti buah, iaitu DOKONG KERING, DOKONG AIR dan DOKONG BIJI atau dokong butir.

Perbezaan diantara ketiga-tiga adalah dimana Dokong Kering merupakan klon yang ditanam secara komersial kerana buah yang sangat manis, kulit tidak bergetah, kandungan biji yang rendah dan kebanyakan biji adalah kesep. Buah jenis ini tersusun rapat di tangkai.

Klon Dokong Air pula mempunyai kandungan air yang sangat tinggi. Air akan terpancut keluar apabila kulit ditekan. Isi buah kurang manis jika dibandingkan dengan isi buah dokong kering. Kulitnya nipis tetapi bergetah. Jenis ini tidak ekonomik ditanam secara komersial kerana nilai dan sambutan pasaran adalah rendah.

Klon ketiga iaitu Klon Kombinasi antara Dokong Biji/Dokong Air mempunyai ciri dimana setiap ulas mengandungi satu biji benih yang besar dan bernas. Isinya sangat nipis, tidak berair dan rasanya masam-masam manis. Kulitnya lebih tebal dari dokong kering dan dokong air dan tidak bergetah. Buah ini tidak mempunyai nilai komersial tetapi bijinya boleh diguna sebagai sumber benih pokok penanti.

Dokong akan menghasilkan buah setisp 2-3 tahun sekali dengan banyak dan sangat bergantung kepada ilkim panas dan faktur hujan yang akan menghasilkan proses pembungaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3 | 4

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon