Sunday, November 26, 2017

Buah-buahan Kunci Kesihatan Mencegah Penyakit Berbahaya


Kandungan vitamin dan mineral yang tinggi dalam buah-buahan amat penting untuk kesihatan manusia. Di antara kandungan terpenting dalam buah-buahan ialah antioksidan yang tinggi bagi pencegahan penyakit merbahaya seperti penyakit kanser dan penyakit jantung koronari.

Buah-buahan Kunci Kesihatan Mencegah Penyakit Berbahaya

Makan buah-buahan merupakan satu nikmat yang perlu kita hargai di dunia ini, di samping mendapat faedah kesihatan yang telah dibuktikan oleh kajian sains.

Buah-buahan ialah makanan yang sedap dan manis serta sangat sesuai untuk semua peringkat umur. Buah-buahan dan sayur-sayuran telah dipromosikan secara sejagat sebagai makanan kesihatan.

Berdasarkan Konsep Pinggan Sihat yang dipromosikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tahun 2016, pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan yang secukupnya untuk setiap hidangan adalah setengah pinggan atau 50 peratus hidangan yang kita makan.

Di sini jelas menunjukkan kepentingan makan buah-buahan setiap hari bukan sahaja untuk kesihatan yang terbaik malah rasanya yang enak.

KEPENTINGAN BUAH-BUAHAN

Buah-buahan ialah makanan daripada sumber tumbuh-tumbuhan yang mengandungi pelbagai khasiat pemakanan yang sangat penting untuk kesihatan.

Di samping kalori yang ada di dalamnya, kandungan serat atau fiber yang tinggi yang terkandung dalam buah-buahan juga membantu dalam mencegah pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, sakit jantung koronari, darah tinggi dan strok.

ANTIOKSIDAN DAN ANTI KERADANGAN

Di antara kandungan yang paling berkhasiat dalam buah-buahan ialah khasiat antioksidan seperti anthocyanidin dalam buah delima, buah pitaya dan buah beri.

Begitu juga kandungan quercetin dalam buah limau oren, resveratrol dalam biji anggur, polifenol dalam buah zaitun, buah kurma dan buah tin.

Antioksidan beta karotina dan karotenoids pula terdapat dalam buah betik, lobak merah, tomato, mangga dan buah kelapa sawit.

Bukan itu sahaja, buah-buahan juga mengandungi agen anti keradangan yang boleh mencegah masalah saluran darah sempit akibat masalah arteriosklerosis, malah sesetengah buah-buahan juga mengandungi bahan fitoestrogen yang mampu menstabilkan hormon wanita.

KEUTAMAAN SUMBER VITAMIN C

Buah-buahan sangat kaya dengan vitamin C terutamanya buah-buahan jenis sitrus seperti limau dan oren.

Buah-buahan lain yang kaya dengan vitamin C ialah jambu batu, buah kiwi, buah epal, buah cili, betik dan tomato.

Dalam satu kajian Cohort yang dijalankan di Jepun selama 20 tahun menunjukkan seseorang dengan paras vitamin C yang paling tinggi mempunyai 29 peratus lebih rendah risiko mendapat penyakit strok atau angin ahmar.

Kajian juga menunjukkan seseorang dengan paras vitamin C yang rendah akibat kurang makan makanan yang tinggi vitamin C lebih mudah mendapat masalah tekanan darah tinggi.

Di sinilah kelebihannya jika kita selalu makan buah-buahan yang kaya dengan vitamin C yang boleh mencegah darah tinggi dan strok.

Dalam satu lagi kajian yang dilaporkan dalam American Jurnal of Clinical Nutrition pada tahun 1991 menunjukkan pemakanan buah-buahan yang tinggi kandungan vitamin C mengurangkan risiko kanser esofagus, tenggorok, mulut, pankreas, perut, usus, payudara dan pangkal rahim.

Di samping vitamin C yang tinggi, buah-buahan juga kaya dengan khasiat lain seperti beta karotina, serat, garam mineral dan polifenol yang merupakan antioksidan yang sangat kuat.

MENCEGAH PENYAKIT KRONIK

Dalam satu kajian yang dibuat oleh University of Copenhagen, Denmark yang mengkaji 100,000 orang lelaki di Denmark tentang tabiat mereka makan buah-buahan dan kaitannya dengan penyakit kardiovaskular.

Kajian ini menunjukkan mereka yang banyak makan buah-buahan setiap hari mempunyai kadar risiko 15 peratus lebih rendah untuk mendapat penyakit jantung koronari dan penyakit kardiovaskular yang lain seperti darah tinggi dan strok.

Kajian ini juga melaporkan bahawa mereka yang mengambil banyak buah-buahan setiap hari mempunyai kadar kematian 20 peratus lebih rendah akibat penyakit kardiovaskular berbanding mereka yang tidak makan buah-buahan setiap hari.

Dalam satu kajian meta-analisis yang dilaporkan dalam jurnal perubatan pada tahun 2014 menunjukkan pemakanan yang tinggi dengan serat menurunkan risiko mendapat penyakit diabetes, sakit jantung, strok dan kanser.

Di samping itu, pemakanan tinggi serat juga mengurangkan paras kolesterol dan tekanan darah tinggi.

Kajian juga menunjukkan pemakanan yang tinggi serat akan menurunkan risiko kematian akibat penyakit kronik secara umumnya sebanyak 15 peratus. Makanan yang tinggi serat juga termasuk buah-buahan di samping bijirin penuh, beras perang, oat, kekacang dan sebagainya.

KANDUNGAN MINERAL TINGGI

Buah-buahan mempunyai kandungan mineral yang sangat baik seperti kalium, magnesium, zink, selenium, kromium dan kalsium.

Buah pisang sememangnya sangat tinggi dengan mineral kalium atau potassium yang sangat baik untuk mengawal tekanan darah tinggi.

Terdapat kaedah pemakanan untuk mengawal tekanan darah tinggi yang dipanggil sebagai DASH yang terdiri daripada pemakanan yang tinggi sayur-sayuran dan buah-buahan.

Kajian juga menunjukkan seseorang yang banyak mengambil buah-buahan akan mempunyai berat badan yang lebih sihat dan ideal.

Oleh itu pengambilan buah-buahan secara konsisten setiap hari akan membantu mengawal berat badan dengan cara yang sihat dan tidak memerlukan seseorang untuk berlapar.

Jadikan amalan pengambilan buah-buahan setiap hari dan setiap hidangan yang kita makan sebagai satu kemestian jika kita ingin mendapat kesihatan yang terbaik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Mitos Cara Makan Buah-buahan Yang Betul

sumber: sinarharian

1 comment

  1. Buah-buahan memang bagus untuk kesihatan.. tapi itu la, benda yang bagus jarang dibuat..

    Makanan segera juga menjadi pilihan >.<

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon