Isnin, Jun 25, 2018

Panduan Cara Menanam Serai Secara Komersial


Menanam serai dikatakan agak senang dan mudah hendak diuruskan, tidak seperti menanam sayur kerana banyak penjagaan perlu dilakukan dan untuk menjana pendapatan tetap RM1,000 sebulan, tanah yang diperlukan adalah 1/2 ekar.

Panduan Menanam Serai Secara Komersial

Serai adalah tumbuhan yang berasal dari keluarga Poaceae iaitu suku rumput dengan nama botaninya cymbopogon spp, juga disebut dengan nama lemongrass, barbed wire grass, silky heads, citronella grass, cha de Dartigalongue, fecer grass dan pelbagai nama lagi.

Jenis-jenis Serai

Terdapat 2 jenis serai yang terkenal dan ditanam di Malaysia dengan 2 tujuan sebagai serai makan dan serai untuk perubatan serta kesihatan.

Serai Makan (cymbopogoncitratus) ditanam dengan tujuan untuk dimasukkan ke dalam masakan.

Serai Wangi (cymbopogonnardus) pula ditanam untuk mendapatkan minyak pati yang sangat berguna untuk tujuan kesihatan.

Minyak pati tersebut digunakan bagi kegunaan luar mengubati sakit perut, angin yang mengakibatkan kembung perut, serta masalah hilang selera makan.

Selain itu, serai juga boleh diekstrak sebagai penghalau serangga (insect repellent).

Kegunaan Serai

Tanaman serai wangi ini dijadikan minyak serai atau losyen bagi tujuan kegunaan luaran sahaja.

Pada asasnya, serai makan tidak mempunyai apa apa bau kecuali variety serai wangi.

Namun, apabila serai makan tersebut dicampur ke dalam masakan, ia akan menambah kesedapan juadah dengan mengeluarkan aroma seakan-akan lemon yang lebih menyedapkan masakan tersebut.

Aroma yang harum akan dikeluarkan ketika bahan ini digoreng bersama bawang kecil dan bawang besar.

Tumbuhan berperisa lemon ini boleh dikeringkan untuk dikisar menjadi tepung atau digunakan secara segar.

Serai yang telah keringkan dicampur ke dalam minuman teh bagi menambahkan lagi rasa segar yang terkandung di dalam minuman tersebut.

Asal-usul Serai

Tumbuhan herba ini ditanam secara meluas di kebanyakan kawasan di Malaysia.

Tumbuhan ini dikatakan berasal dari India dan Sri Lanka dan telah tersebar penanamannya keseluruh dunia.

Penanaman serai di Malaysia adalah sangat sesuai kerana iklim dan cuaca di Malaysia yang panas dan kering sepanjang tahun.

Iklim tropika dan subtropika paling sesuai dalam penghasilan tanaman herba yang berkualiti.

Serai makan boleh dijumpai dengan mudah dijual di mana mana pasaraya, kedai sayuran dan pasar harian.

Tanaman serai berpotensi besar untuk dimajukan kerana permintaan terhadapnya sangat tinggi di pasaran terutama pada musim perayaan dan majlis perkahwinan.

SERAI PAHA GAJAH

Keistimewaan serai paha gajah ialah saiz yang besar berbanding serai jenis lain dan hasil pengeluaran juga lebih cepat.

Hanya 10 hingga 12 batang serai paha gajah sudah mencapai berat sekilogram berbanding serai kampung yang memerlukan kira-kira 30 batang sekilogram.

Dalam tempoh lima hingga tujuh bulan, serai paha gajah yang batangnya besar dan umbi tegap mampu mengeluarkan hasil antara enam hingga tujuh tan di kawasan seluas 0.4 hektar (1 ekar).

Proses menanam dan penjagaan juga tidak rumit tetapi perlu menjaga rumput bagi memastikan pengeluaran hasil yang banyak.

Seawal lima bulan serai sudah boleh dijual dan usia paling cantik ialah dalam tempoh lima hingga tujuh bulan.

Ketika proses menuai serai paha gajah juga, ia mudah dibersihkan dan dalam sehari seorang mampu membersihkan sehingga 100 kilogram.

SERAI PAHA AYAM

Serai peha ayam mempunyai batang yang besar serta umbi yang tegap, namun kurang digemari kerana aromanya tidak seharum serai biasa.

Bagi penggemar serai tentu dapat membezakan dengan serai kampung walaupun kadang-kadang mata lebih tertarik dengan kegemukan serai peha ayam, tentu menyangka serai kampung telah cukup dari segi pembajaannya.

Dan pastinya, serai paha ayam menjadi pilihan untuk ditanam.

Biasanya dalam satu ekar, kita dapat menanam lebih kurang 10,000-15,000 rumpun serai jika hanya tanaman serai diusahakan.

Untuk integrasi kita boleh menanam antara 5,000–8,000 rumpun serai seekar.

Serumpun serai paha ayam pula boleh menghasilkan purata 3 kg yang siap proses.

Kalau tanah subur, baja boleh mencapai sehingga 9 kg serumpun.

PENANAMAN SERAI SECARA KOMERSIAL

1. Persediaan Awal

Sebelum menanam serai, pengusaha perlu meneliti samada kawasan penanaman mempunyai ciri seperti berikut:

Jenis tanah yang sesuai iaitu tanah gambut, tanah merah, tanah berpasir dan tanah BRIS.

Struktur kawasan penanaman samada berbukit, tanah rata, beralun atau laluan berair. Sistem pengaliran air yang berkesan bagi tujuan penyiraman dan pengaliran air banjir.

Jenis tumbuhan asal kawasan tersebut mempunyai akar, rumpai atau pokok berkayu.

Kawasan yang dipilih perlu dibajak dan digembur terlebih dahulu sekurang kurangnya 14 hari sebelum penanaman.

Proses penggemburan ini dilakukan bagi meningkatkan kandungan mineral di dalam tanah dan memudahkan proses pencucukan anak benih.

Sekiranya perlu, kawasan tersebut perlu disembur racun rumpai bagi mengawal pertumbuhan rumput yang akan mengganggu proses tumbesaran serai.

Benih serai perlulah berusia lebih lapan bulan atau lebih dan telah mula mengeluarkan akar dibahagian bawah batang.

Benih yang telah sedia perlu ditanam 4 hingga 6 benih serai pada satu lubang dengan menanam bahagian akar sedalam 1 inci.

Jarak tanaman adalah 0.5 meter diantara pokok dan 1.0 meter setiap barisan.

Tanaman serai mengikut jarak tersebut boleh menghasilkan kepadatan tanaman sehingga 20,000 rumpun bagi 1 hektar kawasan.

2. Penyediaan Anak Benih

Kita boleh mendapatkan anak benih daripada pasar tani atau kedai-kedai runcit sahaja.

Sebelum beli, rancang dahulu berapa rumpun kita nak tanam. Contohnya, kalau nak buat 10 rumpun, setiap rumpun kita letak 5 anak benih.

Jadi, kita kena beli 50 batang serai sebagai anak benih.

3. Merendam anak benih dalam air

Apabila cuba menanam terus benih serai yang dibeli dari pasar ke tanah, ada yang hidup dan ada yang mati.

Selalunya benih yang kita beli dari pasar tani telah dibersihkan dan tiada akar membuatkan anak benih susah nak hidup.

Jadi, kita perlu merendam semua benih kita dalam jag air. Kenapa perlu dalam jag air? Kerana jag air dibuat daripada kaca dan lutsinar.

Jadi kita boleh melihat takat air yang kita masukkan ke dalam jag. Nak pakai jag plastik pun boleh asalkan lutsinar.

Kita tegakkan semua benih serai dalam jag dan masukkan air cukup setakat sampai perut anak benih serai sahaja.

Kebiasannya, akar benih serai akan tumbuh selepas 4 hari kita merendamnya.

Benih yang kita ambil terus daripada rumpun serai tidak perlu direndam dengan air kerana sudah mempunyai akar.

4. Penyediaan Tanah

Serai memerlukan tanah yang sedikit padat untuk membolehkan anak benih berdiri tegak dan tidak mudah tumbang.

Tanah yang baik adalah campuran tanah lektrik, tanam merah dengan tanah bakaran sampah.

5. Cara Menanam Benih Serai Yang Betul

Menanam benih serai ke longgokan tanah atau batas adalah satu proses yang amat penting.

Pastikan kita menanam serai dengan kedalamannya cukup sekadar tenggelam akar sahaja dan bukannya sampai habis perut serai.

Serai akan mati jika kita menanam dengan terlalu dalam menyebabkan anak serai susah nak tumbuh keluar dari benih serai.

6. Mengasingkan Serai

Apabila telah matang dan serai sedia untuk dituai, dalam satu rumpun pasti ada batang serai yang gemuk, yang masih muda dan batang yang kurus melidi.

Kita kena asingkan serai yang gemuk dan serai yang kurus ini sebelum dihantar kepada pembeli.

7. Pantang Larang Serai

Jangan sesekali kita mengerat rumpun daun serai sewaktu serai dalam proses pembesaran. Kadang-kadang orang kita lebih suka mengerat daunnya supaya nampak cantik dan tidak semak.

Tetapi akibatnya membuatkan serai tumbuh melidi dan tidak gemuk kerana serai akan menggunakan tenaganya untuk kembali menumbuhkan daun.

Biarkan sahaja rumpun serai membesar dan menjadi semak sehinggalah sampai masa untuk kita menuainya.

PENGURUSAN TANAMAN

Benih serai yang telah ditanam perlu disiram sekurang kurangnya 2 kali sehari, namun jika bekalan air siraman kurang diberikan, serai masih boleh hidup subur kerana ianya mempunyai sifat tahan kepada cuaca panas dan kemarau.

Jika air berlebihan dibekalkan kepada tanaman serai, ia akan menyebabkan serai reput, berulat dan busuk terutama di bahagian akar.

PEMBAJAAN DAN KAWALAN RUMPAI

Pembajaan dilakukan dengan menabur baja NPK 15:15:15 di sekeliling pangkal pokok pada kadar 40 gram sepokok. Pembajaan dilakukan 2 kali sebulan.

Tanaman serai tidak memerlukan penjagaan yang rapi, dimana kawalan rumput di sekelilingnya perlu dicabut bagi mengelakkan persaingan mendapatkan makanan dan cahaya matahari.

Rumput pada tanaman serai sangat mudah untuk tumbuh membiak dan pengusaha tanaman perlu melakukan aktiviti merumpai sekurang kurangnya 2 minggu sekali.

Oleh kerana serai adalah sejenis tumbuhan herba, maka tiada serangga yang mendekati dan hinggap di pokok serai kecuali masalah Ulat Pengorek Batang.

Pengusaha perlu membuang rumpun yang terkena serangan ulat ini.

Manakala penyakit yang sering menyerang pokok serai adalah reput akar di mana bahagian batang dan akar serai akan membusuk.

Ini adalah disebabkan oleh kandungan air yang banyak lalu menyebabkan tanah di kawasan serai tersebut lembap.

Jika keadaan ini dibiarkan berterusan, ia akan merosakan rumput serai tersebut.

Pengusaha perlu mencabut rumpun yang telah rosak dan mengalihkannya pada kawasan yang agak kering dan panas.

Bagi kawasan berkepadatan 20,000 rumpun sehektar akan menghasilkan 25 hingga 30 tan batang serai yang boleh dipasarkan.

Proses penuaian serai dilakukan di antara tempoh masa 4 hingga 6 bulan bergantung kepada kemajuan tumbesaran serai.

Serai akan dicabut keseluruhan rumpun dan memotong bahagian pangkal serta daunnya.

Tinggalkan kira kira 10 cm hingga 15 cm bahagian batang.

Bahagian batang yang mempunyai umbisi akan dibersihkan dari kotoran tanah.

Kemudian, serai tersebut diikat menggunakan getah dan dikumpulkan di dalam bekas besar untuk dijual kepada peraih atau pemborong.

ANGGARAN PENDAPATAN SEEKAR TANAMAN SERAI

1. Seekar tanah adalah seluas 43,560 kaki persegi.

2. Jarak tanaman serai yang disyorkan adalah 4’x3’

Oleh itu dalam seekar tanah terdapat 3,628 rumpun serai (43560/12=3628).

3. Pendapatan Kasar

Dalam satu lubang tanaman, disyorkan untuk ditanam dengan 2 batang serai dan satu rumpun serai ini boleh menghasilkan 2kg~3kg serai.

Harga pasaran sekarang adalah RM2 per kg.

Oleh itu pendapatan kasar adalah, 3,600 rumpun x 2 kg x RM2 = RM14,400.

4. Perbelanjaan

a. Benih = RM1,000 seekar (21,600 batang).

b. Baja = RM560
  • 8 beg baja urea (N46) diperlukan seekar.
  • 1 beg (50kg) berharga RM70
  • (8 beg x RM70 = RM560.00).

c. Racun = RM 390
  • 12 liter racun BASTA diperlukan dalam seekar.
  • 1 kotak 4 liter jadi perlu 3 kotak.
  • 1 kotak berharga RM130.
  • 3 kotak x RM130 = RM390.

d. Upah tanam per ekar = RM 200

e. Upah meracun (3 kali) RM60/ekar = RM 180.

f. Upah membaja
  • RM30 per ekar (3 kali) = RM 90.
  • 2 kali baja Urea.
  • 1 kali baja 0:18:20:TE.

g. Upah menyiram = RM210
  • Pokok serai perlu disiram selama 7 hari bermula dari tarikh tanam, waktu menyiram 4.30~5.00 petang.
  • Upah siram RM30 per ekar (RM30x7 kali = RM 210).

h. Upah menuai = Lebih kurang RM1,000
  • Jumlah Perbelanjaan = Lebih kurang RM4,000
i. Pendapatan Bersih
  • PENDAPATAN BERSIH PER EKAR = RM 14,400-RM 4,000 = RM 10,000.
  • RM 10,000.00/5 bulan, sebulan RM2,000.00.

Bayangkan sekiranya anda tanam seluas 10 ekar, berapa pendapatan sebulan?

Ini adalah kiraan pendapatan paling minimum, tetapi ini semua bergantung kepada rezaki dari Allah.

Tanaman serai 2′x3′ seekar boleh mendapat hasil lebih tinggi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: myagri | IG | mybaha76

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon