Thursday, August 10, 2017

Roxy Getter, Wanita Paling Muda Tawan Gunung Kilimanjaro

Roxy Getter, Wanita Paling Muda Tawan Gunung Kilimanjaro

Mengenakan sepasang baju panas berwarna merah jambu, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu berkongsi perasaan terujanya menerusi satu rakaman video oleh ibunya, Sarah Getter.

Roxy Getter Kilimanjaro

“Hari ini, saya berjaya tawan Gunung Kilimanjaro,” ujar Roxy Getter sambil tersenyum gembira ke arah kamera.

Video tersebut seterusnya mendapat perhatian dunia dan orang ramai mengucapkan tahniah serta kagum dengan kebolehan Roxy mendaki gunung tertinggi di benua Afrika itu.

Berasal daripada Florida, Amerika Syarikat, Roxy bersama ibu dan ba­panya, Bobby Getter serta abangnya, Ben Getter telah pergi bercuti ke Afrika dan ia merupakan kunjungan pertama mereka ke benua itu.

Salah satu jadual perjalanan mereka termasuklah mendaki Gunung Kilimanjaro yang terletak di Tanzania.

Keluarga kecil itu mengambil masa enam hari untuk sampai ke puncak gunung itu dan ia merupakan satu kenangan yang cukup bermakna buat mereka, terutamanya Roxy.

Mencatat rekod dunia, Roxy kini merupakan kanak-kanak perem­puan paling muda berjaya mendaki Gunung Kilimanjaro. Rekod sama bagi kategori kanak-kanak lelaki dipegang oleh Keats Boyd.

Keats Boyd berjaya mendaki Gunung Kilimanjaro pada tahun 2008 semasa berusia tujuh tahun.

Berkongsi rasa teruja, ibu saudara Roxy, Teresa Getter memuat naik status di laman Facebooknya dan melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anak saudaranya itu.

“Kedua-dua anak saudara saya memiliki genetik atlet hebat. Saya yakin kedua-duanya mewarisinya daripada ibu mereka bekas ahli gimnastik serta bapa seorang pemain besbol yang hebat,” tulis Teresa.

Tidak sangka

Roxy Getter Kilimanjaro

Berkongsi pengalaman, Roxy berkata, dia benar-benar tidak me­nyangka pada usia semuda itu, dia berjaya menawan gunung ter­tinggi di Afrika.

“Ia amat sukar kerana kami semua terpaksa melalui jalan curam, selain bertahan dalam suhu serendah 7 darjah Celsius.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka akan sampai ke puncak Gunung Kilimanjaro, namun dengan kesungguhan tinggi, saya dan ahli keluarga akhirnya berjaya menawan gunung itu,” ujarnya.

Menurut Roxy, dia juga berasa amat penat dan hampir berputus asa.

“Kedua-dua kaki saya amat sakit dan ada masanya, terasa bagaikan tidak mampu lagi untuk meneruskan pendakian,” dedah Roxy kepada agensi berita British Broadcasting Corporation.

Ditanya adakah dia akan mencipta lebih banyak rekod pendakian selepas ini, kanak-kanak itu berkata, buat masa ini dia belum berminat lagi untuk mendaki gunung dan mahu berehat.

“Saya mungkin akan mendaki bukit atau gunung yang tidak terlalu tinggi selepas ini,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Kagum semangat anak

Roxy Getter Kilimanjaro

Bapa Roxy, Bobby Getter me­ngakui, dia tidak menyangka kedua-dua anaknya iaitu Roxy dan Ben berjaya mendaki gunung setinggi 5,895 meter dari aras laut itu.

“Sepanjang perjalanan, mereka tidak mengeluh atau berhenti. Roxy dan Ben meneruskan perjalanan dengan penuh bersemangat sehingga tiba di puncaknya,” ujar Bobby dalam satu temu bual dengan portal The Insider.

Lelaki tinggi lampai itu juga mengakui pada mulanya, dia agak gusar untuk membawa kedua-dua anak mereka itu untuk mengikuti pendakian Gunung Kilimanjaro kerana mereka pernah mempunyai masalah jantung sebelum ini.

“Begitu pun, kami sudah berjumpa dengan pakar kardiologi dan Roxy serta Ben didapati sihat dan boleh menyertai aktiviti pendakian,” katanya.

Ini juga merupakan kali pertama keluarga kecil itu berkhemah di kaki kawasan gunung dan menghabiskan masa hampir seminggu di situ.

Menurut Bobby, dia tidak me­nyangka Roxy dan Ben sanggup bermalam di gunung yang sejuk.

“Bayangkan keadaan terpaksa tidur di dalam khemah dan tidak mandi selama hampir seminggu, ia amat tidak selesa, namun kedua-dua anak saya berjaya melaluinya dengan tenang.

“Dua beradik ini begitu positif dan banyak bercakap, terutamanya Ben,” ujar Bobby.

Pendakian itu benar-benar merapatkan mereka lagi sebagai sebuah keluarga dan menguji kebolehan mereka dalam menghabiskan pendakian.

“Setibanya di puncak Gunung Kilimanjaro, saya dan isteri menjadi emosional dan tidak percaya anak-anak saya mampu melakukan satu pencapaian sebegitu pada usia yang amat muda,” ujarnya.

BACA INI JUGA: 10 Gunung Paling Sukar Ditakluki Di Dunia

sumber: kosmo

Resveratrol Membantu Mengecutkan Kanser

Resveratrol Membantu Mengecutkan Kanser

Resveratrol adalah sejenis polifenol yang dipanggil phytoalexin merupakan sejenis bahan yang dikeluarkan oleh tumbuhan sebagai pertahanan pertumbuhan tersebut terhadap penyakit.

Resveratrol

Pernah dengar tak tentang resveratrol? Apa sebenarnya resveratrol? Dalam bahasa yang mudah faham, Resveratrol adalah antioksidan yang sangat tinggi.

Ada kisah pesakit yang begitu yakin dengan pengambilan resveratrol untuk mengecutkan fibroidnya yang besar iaitu 13.3 cm.

Doktor sarankan untuk menjalani pembedahan membuang fibroid tetapi minta tempoh untuk usahakan rawatan alternatif.

Paling menakjubkan dalam 3 bulan mengamalkan resveratrol alhamdulillah fibroidnya mengecut dan ajaib ia hilang.

Mengapa fibroid atau kanser boleh disembuhkan dengan pengambilan resveratrol secara konsisten.

Ini kerana resveratrol yang mempunyai kandungan antioksidan yang sangat tinggi ini membantu program dalam tubuh kita berfungsi dengan sangat baik dan ini secara langsung menyebabkan sistem imun tubuh menjadi kuat melawan karsinogen.

***

Apa sekalipun, kesan pengambilan biasanya bergantung kepada tahap penerimaan tubuh pesakit. Ada yang berkesan dan ada juga yang tidak mengalami sebarang perubahan seperti yang diharapkan.

Yang penting adalah ikhtiar melalui pengambilan makanan atau suplemen tinggi Resveratrol.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: anakkuwiraku

Elizabeth Tan Akui Hampir Bunuh Diri

Elizabeth Tan Akui Hampir Bunuh Diri

Penyanyi Elizabeth Tan mengakui nyaris membunuh diri kerana mengalami tekanan jiwa beberapa bulan yang lalu.

Elizabeth Tan

Elizabeth atau mesra dengan panggilan Lizzy, 23, berkata, tidak dapat berfikir panjang juga menyebabkan dia seperti hilang akal.

"Ia kisah yang sangat panjang untuk saya ceritakan, tapi apa yang boleh saya beritahu, ketika itu saya mengalami tekanan dalam hidup saya.

"Saya tertekan dengan beberapa siri kehidupan yang saya alami ketika itu termasuk masalah percintaan, peribadi, keluarga dan agama.

"Saya juga terfikir untuk menamatkan hidup saya waktu itu kerana saya rasa seperti sudah tiada tujuan hidup.
"Saya hilang akal hingga tidak mengenali diri saya.

"Saya minta maaf kerana menangis kerana sedikit emosi ketika ini," katanya sambil mengalirkan air mata.

Lizzy ditemui selepas majlis pelancaran single terbaharunya berjudul "Darling" yang berlangsung di Warner Music Malaysia.

Menurutnya lagi, dia bersyukur kerana tersedar dan tidak meneruskan niatnya untuk membunuh diri.

"Mujur saya ada keluarga terutama ibu yang sentiasa memberi semangat dan sokongan serta menerima saya dengan baik, walaupun saya pernah melakukan kesalahan besar.

"Sepanjang tempoh menstabilkan emosi, ibu yang banyak membantu dan memberi nasihat serta menjaga saya selama dua minggu.

"Saya juga bertuah kerana ada rakan yang menasihati supaya saya tidak melakukan perkara yang sia-sia.

"Saya bersyukur kerana sempat berfikir secara rasional dan segera sedar," katanya lagi.

Lizzy sebelum ini mengakui hubungan cintanya dengan seorang ahli perniagaan terputus disebabkan orang ketiga.

Hubungan cinta mereka hanya dapat bertahan lebih kurang enam bulan sahaja.

Dalam perkembangan lain, Lizzy baru sahaja menamatkan penggambaran drama bersiri My Darling Inspektor Daniel yang sudah mula ditayangkan di Astro Ria (104) dan Ria HD (123) setiap hari Isnin hingga Khamis.

BACA INI JUGA: 8 Artis Wanita Korea Yang Mati Membunuh Diri

sumber: astroawani

Sambutan Hari Biodiesel Antarabangsa, International Biodiesel Day

Sambutan Hari Biodiesel Antarabangsa, International Biodiesel Day

Sambutan Hari Biodiesel Antarabangsa, International Biodiesel Day disambut pada tanggal 10 Ogos setiap tahun untuk memperingati penemuan minyak kacang tanah sebagai minyak enjin kereta pada tahun 1893.

Hari Biodiesel

Biodiesel merujuk kepada bahan api diesel berasaskan minyak sayuran atau lemak haiwan yang terdiri daripada rantaian panjang alkil (metil, propil atau etil) ester.

Biodiesel biasanya dihasilkan melalui tindak balas kimia lipid (contoh, minyak sayuran, lemak haiwan dengan alkohol.

Biodiesel bertujuan untuk digunakan dalam enjin diesel piawaian dan dengan itu berbeza dari minyak sayuran langsung yang digunakan sebagai bahan api enjin diesel diubah suai. Biodiesel boleh digunakan sendirian atau dicampur dengan petrodiesel.

Biodiesel boleh digunakan dalam bentuk tulin (B100) atau boleh dicampur dengan diesel petrolium pada sebarang kepekatan dalam kebanyakan enjin diesel suntikan.

Biodiesel merupakan cecair yang memiliki warna berbeza — antara keemasan dan perang gelap, bergantung kepada stok suapan pengeluarkan.

Biodiesel memiliki hampir tiada belerang dan seringkali digunakan sebagai tambahan kepada bahanapi Diesel Belerang Amat Rendah ("Ultra-Low Sulfur Diesel - ULSD").

Kerana sifatnya yang dapat diperbaharui dan cenderung lebih mesra alam, Bio Diesel menjadi alternatif utama yang paling baik saat ini untuk menggantikan pemakaian bahan bakar yang terbuat dari minyak bumi.

Apa ada kelebihan dan kekurangannya?

Sebenarnya, Bio Diesel sama seperti bahan bakar lain memiliki banyak kelebihan tetapi juga memiliki beberapa kelemahan.

Berikut ini beberapa kelebihan dan kelemahan yang dimiliki oleh bahan bakar jenis ini.

Kelebihan Bahan Bakar Bio Diesel

Sejauh ini, kebaikan terbesar penggunaan Bio Deisel adalah sifatnya yang boleh diperbaharui dan tidak beracun, menjadikannya sebagai bahan bakar alternatif paling selamat saat ini.

Dalam sebuah kajian di Department Energi Amerika Syarikat, penggunaan bahan bakar Bio Diesel dapat mengurangkan pengeluaran karbon dioksida disebabkan oleh pembakaran bahan bakar fosil sebanyak 75 peratus.

Kebaikan lain adalah, bahan bakar Bio Diesel tidak mengandungi bahan kimia beracun, seperti belerang, yang biasanya mengeluarkan asap berbahaya.

Malah, jika Bio Diesel digunakan setiap hari menggantikan bahan bakar berbahaya sekarang, hujan asid boleh dihilangkan selamanya.

Selain itu, pengguna tidak perlu mengubah enjin diesel yang dimiliki untuk menggunakan bahan bakar Bio Diesel. Bahan bakar ini dioperasikan pada mesin diesel standard.

Kelemahan Bahan Bakar Bio Diesel

Kandungan energi bio diesel diketahui 11 peratus lebih kecil dari bahan bakar diesel yang biasa kita gunakan sekarang.

Kelemahan kedua yang terdapat pada Bio Diesel adalah memiliki kualiti oksidasi yang buruk kerana Bio Diesel boleh menyebabkan beberapa masalah masalah serius ketika disimpan.

Bila disimpan untuk waktu yang lama, Bio Diesel cenderung berubah menjadi gel yang akan menyebabkan penyumbatan kepada komponen mesin.

Bio Diesel ini juga boleh mengakibatkan pertumbuhan mikrob, sehingga menyebabkan beberapa kerosakan pada enjin.

Selain itu kesan paling serius yang dihadapi dengan penggunaan Bio Diesel adalah kesukaran untuk mendapatkan sumber tanaman yang boleh digunakan untuk dijadikan bahan bakar.

Tanaman seperti tebu, jagung, kelapa sawit dan beberapa jenis komoditi lain cenderung mengalami kenaikan harga yang cukup signifikan jika dijadikan Bio diesel.

Selamat menyambut Hari Biodiesel.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: irmalenz

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (10 Ogos)

Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (10 Ogos)

Tarikh 10 Ogos merupakan hari ke 222 (hari ke 223 dalam tahun lompat) dalam kalendar Gregory dengan tinggal 143 hari lagi sebelum memasuki tahun selepasnya.

Le Louvre
Le Louvre.
Hari ini juga merupakan sambutan Hari Kemerdekaan di Ecuador (1809), Hari Perayaan Santo Lawrence dan Hari Biodiesel Antarabangsa.

Peristiwa

1511 - Alfonso de Albuquerque kembali ke Melaka dari Goa.

1675 - Batu asas Balai Cerap Greenwich Diraja, asas Meridian Perdana hari ini, diletakkan di Greenwich, London.

1792 - Revolusi Perancis: Pemberontak di Paris menawan Istana Tuileries, secara berkesan menamatkan pemerintahan beraja Perancis sehinggalah ia dipulihkan semula pada 1814.

1793 – Di Paris, Muzium Louvre dibuka secara rasmi, kepada orang ramai, dengan pameran 537 lukisan ketika Revolusi Perancis.

1809 - Sejarah Ecuador: Selepas hampir tiga abad di bawah pemerintahan Sepanyol, teriakan yang pertama untuk kemerdekaan terdengar di Quito.

1846 - Institut Smithsonian dipiagamkan oleh Kongres Amerika Syarikat.

1904 - Perang Jepun-Rusia: Pertembungan besar pertama antara armada kapal tempur keluli moden terjadi dalam Pertempuran Laut Kuning.

1920 - Wakil Sultan Mehmed VI menandatangani Perjanjian Sèvres yang mengiktiraf pemecahan Empayar Uthmaniyyah selepas Perang Dunia Pertama.

1990 - Kuar angkasa lepas NASA Magellan sampai ke Musytari, 15 bulan selepas pelancarannya.

2006 - Polis British menahan 25 orang yang disyaki terbabit dalam rancangan komplot keganasan meletupkan sekurang-kurangnya 10 pesawat dari UK ke Amerika Syarikat dan Kanada.

Kelahiran

1782 - Vicente Guerrero, Presiden Mexico.

1874 - Herbert Hoover, Presiden Amerika Syarikat ke-31.

1959 - Rosanna Arquette, pelakon, pengarah filem, aktivis Amerika Syarikat.

1981 - Taufik Hidayat, bekas pemain badminton Indonesia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Peristiwa Penting Hari Ini Dalam Sejarah Dunia (9 Ogos)

sumber: wikipedia

Wednesday, August 09, 2017

Hukum Menikahi Wanita Sedang Hamil Anak Luar Nikah

Hukum Menikahi Wanita Sedang Hamil Anak Luar Nikah

Apa hukumnya dan adakah sah pernikahan di antara seorang wanita yang sedang mengandung anak luar nikah dengan lelaki yang menghamilkannya?

Wanita Hamil

Ini kerana saya dapati banyak dalam Facebook di post mengenai isu ini di antaranya nikah itu tidak sah untuk perempuan yang sedang hamil anak luar nikah atau zina sehinggalah anak itu dilahirkan.

Ini juga memandangkan ada antara kenalan saya baru saja bernikah ketika mengandung anak zina dengan lelaki itu, di mana sahabat saya sedang mengandung 4 bulan semasa pernikahan.

Mohon pencerahan ustaz.

JAWAPAN:

Wa'alaikumussalam WBT,

Perkara ini khilaf dalam kalangan ulama dan dalam mazhab al-Syafie pernikahan itu sah.

“Jika seorang lelaki mengahwini seorang perempuan yang hamil daripada perbuatan zina sahlah nikahnya di sisi Abu Hanifah dan Muhammad (bin Hasan al-Syaibani), tetapi tidak dibenarkan dia menyetubuhi isterinya itu sehingga dia melahirkan anak, supaya dia tidak menjadikan airnya mengalir atas ladang orang lain (maksudnya ialah jimak), berdasarkan sabda Rasulullah SAW tidak dihalalkan bagi seorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat untuk mengalirkan air atas ladang orang lain dan sabda Baginda SAW bahawa jangan disetubuhi orang hamil sehingga dia bersalin maka inilah dalil menunjukkan larangan menyetubuhi isteri itu sehingga dia bersalin. Berbeza dengan mazhab Syafie yang mengatakan bolehnya bernikah dan bersetubuh bagi perempuan yang hamil daripada zina menurut pendapat yang asah.” (Rujuk Kitab Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/338)

Dalil dalam mazhab al-Syafie ialah berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya, "Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu (yakni yang diharamkan dalam ayat sebelumnya)."

Daripada Ibn Umar, sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya, "Perkara yang haram tidak mengharamkan perkara yang halal." Riwayat Ibn Majah (2015)

Tidak Haram Bernikah

Justeru, seperti mana halal menikahi seorang wanita sebelum dia berzina dan sebelum dia hamil maka tidaklah haram bernikah kerana nikah.

Terdapat riwayat bahawa seorang lelaki pernah memiliki anak lelaki. Dia berkahwin dengan seorang wanita yang memiliki seorang anak perempuan, lalu anak kepada lelaki dan anak kepada perempuan itu berzina.

Maka Saidina Umar al-Khattab r.a. bertanya kepada mereka hal itu, lalu mereka mengakuinya dan Umar menyebat kedua-duanya.

Umar bercadang untuk mengahwinkan mereka berdua tetapi tidak dipersetujui oleh anak lelaki tersebut dan Umar tidak menganggap hal itu menyebabkan iddah.

Perkara itu tidak diingkari oleh para sahabat, lalu perkara tersebut jadilah ijmak. Zina itu persetubuhan yang tidak melayakkan nasab keturunan atau begitu juga hamil akibat zina, justeru ia tidak menghalang sahnya nikah pada waktu mengandung. (Rujuk Kitab al-Majmu Sharh al-Muhazzab, 16/241-242)

Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia

Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-3 yang bersidang pada 21-22 Januari 1971 telah membincangkan Mengahwini Perempuan Yang Sedang Mengandung Anak Luar Nikah.

Persidangan telah memutuskan bahawa perempuan yang sedang mengandung anak luar nikah harus dinikahkan tetapi anaknya;
  • Tidak boleh dinasabkan kepada lelaki itu.
  • Tidak dapat pusaka daripadanya.
  • Tidak menjadi mahram kepadanya.
  • Lelaki itu tidak boleh menjadi walinya.

Wallahu a’lam.

BACA INI JUGA:

sumber: muftiwp

Menurut Kajian Wanita Gemuk Berisiko Lahirkan Anak Hiperaktif

Menurut Kajian Wanita Gemuk Berisiko Lahirkan Anak Hiperaktif

Wanita gemuk lebih cenderung melahirkan anak lelaki dengan masalah tingkah laku atau hiperaktif dan pembelajaran.

Wanita Gemuk
Gambar hiasan.

Penyelidik data perundingan kebangsaan Amerika Syarikat (AS) mendapati wanita yang mengalami masalah berat badan berlebihan di awal kehamilan berisiko melahirkan anak dengan masalah tersebut.

Kaitan itu hanya dilihat pada kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Pakar mendapati penemuan itu menunjukkan bahawa intervensi awal adalah kunci untuk membantu wanita mengurangkan berat badan sebelum hamil.

"Ia penting untuk kesihatan mereka dan juga bakal anak-anak mereka," kata penyiasat kanan, Dr Barbara Abrams di Universiti California, Berkeley.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, seramai 15 daripada setiap 100 wanita mengandung mengalami masalah obesiti yang teruk.

Kajian terbaharu mengaitkan masalah berat badan sebelum dan semasa sedang hamil boleh menyumbang kepada masalah tingkah laku kanak-kanak seperti hiperaktif.

BACA INI JUGA: Lelaki Gemuk Lebih Setia Dalam Percintaan

sumber: mstar

Keistimewaan Orang Tangan Kiri, Kenapa Ada Manusia Kidal?

Keistimewaan Orang Tangan Kiri, Kenapa Ada Manusia Kidal?

Kidal, kadang-kadang disebut “sinistrality” bermakna anda lebih suka menggunakan tangan kiri daripada tangan kanan untuk melakukan pekerjaan harian terutamanya menulis.

Kidal

Kebanyakan orang yang telah mempelajari mengenai kidal percaya bahawa kira-kira 10 peratus daripada orang-orang di dunia adalah kidal.

Terdapat hari sambutan orang kidal sedunia iaitu pada 13 Ogos setiap tahun dan ia diberi nama Left Handers Day.

Adakah anda juga tergolong dalam kumpulan yang menggunakan lebih tangan kanan atau kidal (tangan kiri)?

Ramai manusia yang menggunakan tangan kanan di dalam melakukan rutin harian mereka, tetapi tahukah anda kenapa ada sesetengah dari manusia di dunia ini menggunakan tangan kiri?

Pakar percaya peratusan ini konsisten sejak dahulu. Dari segi sejarah, bahagian kiri ataupun mereka yang gemar menggunakan anggota badan sebelah kiri dianggap sebagai perkara yang negatif oleh banyak budaya zaman dahulu.

Sebagai contoh, kata sinistra Latin membawa maksud asal “kiri” tetapi akhirnya mengambil konotasi “jahat” atau “tidak beruntung.”

Konotasi ini hidup pada hari ini dalam bentuk perkataan Inggeris “jahat” (sinister). Satu istilah slanga popular untuk kidal adalah “southpaw” yang berasal daripada sukan besbol.

Misteri Tang Kidal (Kiri)

Mengapa kebanyakan orang tidak kidal? Ahli sains percaya bahawa mereka yang kidal cenderung berasal daripada salah silah keluarga ataupun genetik.

Selain itu juga, ahli sains berpendapat, orang kidal memang dilahirkan seperti itu.

Pada tahun 2007, ahli-ahli sains menemui gen yang muncul berkaitan dengan kidal bagaimanapun, penyelidik dengan cepat menunjukkan bahawa itu adalah salah satu isu kompleks serta tidak mempunyai kesimpulan.

Sesetengah orang mungkin mempunyai tangan kanan atau tangan kiri yang kuat, sementara yang lain mungkin mempunyai tahap keselesaan kedua-dua tangan yang seimbang.

Sebagai golongan minoriti, mereka yang kidal sering menghadapi isu-isu tertentu yang kebanyakan dari kita tidak pernah fikirkan.

Sebagai contoh, melakukan perkara harian seperti menggunakan gunting, kamera, pembuka tin, mouse komputer dan jam tangan.

Mujurlah, kini terdapat banyak pengeluar yang membuat alatan khas untuk mereka yang kidal.

19 Fakta Menarik Manusia Tangan Kidal
  • Secara kasarnya 5% hingga 10% daripada penduduk dunia adalah kidal.
  • Lebih cenderung mempunyai alahan.
  • Mudah mendapat migrain.
  • Lebih cenderung menjadi penderita insomnia.
  • Gunakan lebih bahagian kanan otak.
  • Tiga kali lebih cenderung untuk menjadi penagih alkohol, sebelah kanan otak mempunyai toleransi yang lebih rendah untuk alkohol!
  • Cenderung untuk mencapai usia baligh 4 hingga 5 bulan lebih lewat daripada mereka yang menggunakan tangan kanan.
  • Lebih berkemungkinan mengalami gagap dan disleksia.
  • Dua kali lebih cenderung menjadi seorang lelaki.
  • Lebih bagus membuat banyak kerja dalam satu masa.
  • Pemikiran dan persepsi 3D lebih baik.
  • Rata-rata hidup 9 tahun kurang daripada orang tangan kanan.
  • 39% lebih cenderung untuk menjadi homoseksual.
  • Orang kidal tidak semestinya mempunyai kedua ibubapa yang kidal.
  • Menurut kajian tidak ada sesiapa pun yang dapat mendefinasikan mengapa sesetengah individu itu dilahirkan kidal. Tidak ada gen yang mengaitkan orang kidal dapat dikenalpasti, tetapi ianya mempunyai kaitan di dalam sesebuah keluarga.
  • Leonardo da Vinci menulis kesemua data peribadinya dari kanan ke kiri (seperti penulisan jawi), sehinggakan sesiapa yang ingin membacanya terpaksa menggunakan cermin bagi menterjemahkan mesej-mesejnya.
  • Lebih ramai lelaki kidal berbanding wanita.
  • Individu kidal, individu elastik.

    Semoga memberi manfaat.

    BACA INI JUGA: Left Right Confusion, Penyakit Keliru Kiri Atau Kanan!

    sumber: wanista

    Petros, Syarikat Minyak Dan Gas Milik Penuh Sarawak Tertubuh Secara Rasmi

    Petros, Syarikat Minyak Dan Gas Milik Penuh Sarawak Tertubuh Secara Rasmi

    Syarikat minyak dan gas milik penuh Sarawak, Petroleum Sarawak (Petros), telah ditubuhkan secara rasmi, demikian diumumkan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

    Petros Sarawak

    Beliau berkata anggota lembaga pengarah syarikat itu sudah dilantik dan mereka terdiri daripada profesional kelahiran Sarawak, yang berpengalaman luas dalam industri minyak dan gas, manakala tiada seorang pun daripada mereka adalah ahli poilitik.

    "Saya ingin memaklumkan kepada anda bahawa kita telah menubuhkan secara rasmi syarikat minyak kita, Petros," katanya, yang disambut dengan tepukan bergemuruh hadirin ketika berucap kepada staf kementerian dan pejabat beliau pada majlis makan malam penghargaan anjuran pejabatnya di sebuah hotel terkemuka.

    Ketua menteri, yang diiringi isteri, Datin Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, bagaimanapun tidak menyatakan nama anggota lembaga pengarah, pengerusi atau ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu.

    Penubuhan Petros merupakan langkah yang julung kali diambil kerajaan negeri bagi membolehkan Sarawak melibatkan diri secara aktif dalam pengeluaran minyak dan gas di Sarawak, sambil meneruskan permohonannya bagi mendapatkan 20 peratus royalti daripada Petronas.

    Tanpa menamakan calonnya, beliau berkata ketua pegawai eksekutif Development Bank of Sarawak (DBOS) yang baru ditubuhkan, telah dilantik dan bank itu akan memulakan operasinya tidak lama lagi.

    Katanya semua anggota lembaga pengarah DBOS adalah profesional dan bukan ahli politik, dan dipengerusikan Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri.

    Beliau juga memberitahu hadirin bahawa langkah sedang diambil untuk meningkatkan keupayaan modal insan di negeri ini dengan memberi peluang kepada rakyat Sarawak melanjutkan pengajian di peringkat lepasan ijazah di dalam dan luar negara.

    Katanya, Yayasan Sarawak, yang beliau pengerusikan, akan menambah biasiswa dan pinjaman kepada pelajar Sarawak yang layak memasuki universiti tempatan dan luar negara bagi mengikuti pengajian di peringkat lepasan ijazah.

    "Sebuah majlis penyelidikan negeri dengan dipengerusikan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi akan ditubuhkan bagi menyelia semua usaha penyelidikan pada masa akan datang dan bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada negeri ini," kata Abang Johari, sambil menjelaskan bahawa beliau sendiri telah mengarahkan agar penyelidikan dilakukan dengan kerjasama Swinburne University mengenai usaha memprototaipkan mesin menuai buah sawit.

    Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kementerian atas sokongan mereka dalam melaksanakan dasar, pendekatan dan teknologi baharu bagi mentransformasi Sarawak menjadi ekonomi digital di bawah kepimpinannya.

    Majlis itu diadakan bersempena ulang tahun kelahiran Abang Johari ke-67 pada 4 Ogos.

    Semoga memberi manfaat.

    BACA INI JUGA: 7 Faktor Yang Mempengaruhi Harga Minyak Petrol Dan Diesel Dunia

    sumber: astroawani

    Apa Itu Penyakit Denggi, Virus Yang Tiada Penawarnya

    Apa Itu Penyakit Denggi, Virus Yang Tiada Penawarnya

    Penyakit denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang merbahaya yang boleh membawa maut kerana sehingga kini belum ada ubat untuk mengubati penyakit ini.

    Penyakit Denggi Nyamuk Aedes

    Demam denggi biasa terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat dari gigitan nyamuk Aedes.

    Penyakit ini biasanya berlangsung selama 10 hari dan kadang-kadang memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya. Penyakit denggi kerap berlaku di kawasan bandar jika dibandingkan dengan luar bandar.

    Jenis-jenis Penyakit Demam Denggi

    Terdapat 2 jenis penyakit denggi iaitu:

    1. Demam denggi klasikal

    Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian.

    Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau 'breakbone fever'.

    2. Demam denggi berdarah

    Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri.

    Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'.

    Nyamuk Pembawa Agen Penyakit Denggi

    Nyamuk Aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain.

    Daripada 1 gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak 2-4 mg darah iaitu 1.5 kali berat badannya.

    Nyamuk Aedes ini boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan putih di kaki.Terdapat 2 jenis nyamuk Aedes yang membawa virus denggi iaitu:

    1. Aedes aegypti

    Ciri-ciri: Tanda putih-perak bentuk kecapi dikepala.

    Nyamuk Aedes aegypti berterbangan di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah. Ia bertelur dan berkembang biak di dalam bekas buatan di dalam dan di luar rumah.

    2. Aedes albopictus

    Ciri-ciri: garisan putih-perak disepanjang pertengahan kepala dan badan.

    Nyamuk Albopictus pula terdapat di kawasan perumahan di bandar, kebun dan juga di hutan. Ia biasa terdapat di luar rumah pada tumbuh-tumbuhan dan menggigit manusia di luar rumah.

    Kadang-kadang ia memasuki rumah untuk menggigit manusia dan jarak terbang kedua-dua jenis nyamuk ini biasanya tidak melebihi 350 meter.

    Tempat Pembiakan Nyamuk

    Nyamuk Aedes membiak di dalam takungan air jernih di dalam dan di luar rumah. Ia tidak boleh membiak di dalam air yang kotor.

    1. Di dalam rumah
    • Ia membiak di dalam piring alas pasu bunga.
    • Tadahan air seperti kolah mandi, tempayan atau baldi.
    • Perangkap semut.

    2. Di luar rumah
    • Di dalam tayar buruk.
    • Saluran air hujan.
    • Tin-tin kosong atau botol.
    • Bata bangunan atau kawasan pembinaan.
    • Cawan getah.
    • Lubang pokok.
    • Tunggul buluh.
    • Ketiak daun seperti pandan dan nenas.

    Cara Jangkitan Denggi

    Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk.

    Ia memerlukan masa pengeraman selama 8-10 hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air liur nyamuk.

    Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk Aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada di dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia.

    Apabila nyamuk Aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.

    Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina sedang menghisap darah orang yang dijangkiti virus denggi diganggu dan nyamuk itu dengan segera menggigit orang lain pula.

    Ini akan menyebabkan virus yang terdapat dalam belalai nyamuk tersdebut akan masuk ke dalam peredaran darah orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman.

    Cara ini dipanggil 'Penularan Mekanikal'.

    Selain dari cara-cara di atas jangkitan virus denggi boleh juga berlaku melalui penularan transovari dimana ia merupakan suatu proses penularan agen penyakit daripada serangga betina melalui telur, jentik-jentik hingga kepada serangga dewasa generasi berikutnya.

    Penularan transovari sangat penting bagi virus denggi kerana proses ini membolehkan virus tersebut berkekalan di persekitaran.

    Melalui proses penularan ini nyamuk bukan sahaja berperanan sebagai agen pembawa tetapi juga sebagai perumah kepada agen penyakit.

    Rawatan Demam Denggi

    Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi.

    1. Rawatan Demam Denggi Klasikal

    Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu:
    • Mengurangkan demam(suhu badan).
    • Mengelakkan dari perdarahan berlaku.

    2. Rawatan Demam Denggi Berdarah

    Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak.

    Demam yang sangat panas meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik.

    Pesakit juga diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Masa yang paling genting ialah pada hari ke 3 hingga hari ke 7.

    Pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ia menggambarkan darjah kehilangan plasma.

    Cegah denggi sebelum terlambat.

    Semoga memberi manfaat.

    BACA INI JUGA:

    sumber: alamblogr

    Sambutan World #QuranHour 31 Ogos 2017

    Sambutan World #QuranHour 31 Ogos 2017

    Tanggal 31 Ogos 2017 ini bakal menyaksikan acara kemuncak World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang julung kali diadakan tahun ini.

    World #QuranHour 2017

    Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah, Marhaini Yusoff berkata, sambutan World #QuranHour pada 9 Zulhijah 1438H jatuh pada tarikh yang sama di mana negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-60.

    Menurutnya, pengisian sepanjang hari tersebut bermula dengan World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai lokasi perdana pada jam 11 pagi.

    “Pada masa sama, kempen berinteraksi dengan al-Quran di 14 negeri. Majlis pelancaran World #QuranHour bertemakan Dunia Berbudi & Penyayang bakal disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Padang Arafah.

    “Pada tahun lepas, 70 lokasi di 50 negara dan 700 lokasi dalam negara telah berdaftar untuk menganjurkan satu jam bersama al-Quran kali pertama.

    “Saya berharap lebih ramai khususnya rakyat luar negara melalui pejabat kedutaan dan Kementerian Pendidikan menyertai aktiviti bersama al-Quran,” katanya.

    Beliau berkata, selepas program World #QuranHour di UIAM, tumpuan rakyat kepada Merdeka #QuranHour di Dataran Merdeka.

    Menurutnya, aktiviti bermula dengan program Gema Wahyu bermula pada jam 4 petang.

    Katanya, antara pengisian program adalah solat Asar berjemaah, bacaan al-Quran daripada qari dalam dan luar negara, selebriti, solidariti bacaan, sesi tadabbur dan tazakkur dan doa untuk Malaysia.

    Selepas itu, kata Marhaini, acara diteruskan dengan gema takbir selepas solat Maghrib, jemaah akan bertakbir sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

    “Bagi masyarakat Muslim yang tidak pulang ke kampung untuk beraya, rebutlah peluang berkumpul, bersolat jemaah dan bertakbir di Dataran Merdeka pada 31 Ogos nanti. Semoga ia memberi semangat untuk kembali kepada ALLAH dan menuju kemerdekaan sebenar.

    “Orang ramai termasuk mereka yang bukan Islam dan warga asing di sekitar ibu kota dialu-alukan menyertai Merdeka #Quran Hour jam 8.30 malam.

    “Merdeka #QuranHour sangat istimewa kerana kali pertama diadakan dalam suasana sambutan Hari Merdeka. Pengisian tadabbur dan tazakkur daripada surah Yasin yang dikaitkan menuju kemerdekaan diri diharapkan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai,” katanya.

    Beliau berkata, surah Yasin menekankan hubungan vertikal dengan ALLAH dan horizontal sesama makhluk dan ada tiga aspek iaitu memperbaiki hubungan dengan ALLAH, sesama manusia atau makhluk, dan seluruh alam.

    “Surah Yasin tidak asing bagi masyarakat Islam di negara ini. Ramai yang boleh membaca malah ada yang boleh menghafal. Namun hanya segelintir yang tahu makna dan pengajarannya untuk dijadikan panduan kehidupan.

    “Sempena World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, surah Yasin dijadikan pilihan untuk kita lebih memahami isi kandungannya yang boleh dipelajari, difahami dan diamalkan. Seterusnya ia mampu membentuk karakter individu berakhlak mulia dan mempunyai kerangka fikir al-Quran.

    “Saya berharap kepada sesiapa yang menganjurkan World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour untuk turut sama bertadabbur dan bertazakkur surah Yasin,” katanya.

    Marhaini Yusoff
    Marhaini Yusoff.

    Menurut Marhaini lagi, di akhir program ada jamuan sempena malam raya bagi meraikan peserta yang hadir untuk berkongsi makanan dalam semangat kasih sayang. Ini kerana makanan dan minuman disediakan adalah sumbangan masyarakat yang berbudi dan penyayang.

    Selain itu katanya, bagi agensi kerajaan, korporat, individu yang ingin melaksanakan sikap berbudi penyayang melalui sumbangan makanan dan minuman untuk jamuan itu boleh terus menghubungi 019-6500763 (Rusmin) dan 013-6826335 (Maslinda).

    “Berdasarkan pengukuran kesan di media sosial tahun lepas, kita mencapai 87 juta 'impression'.

    "Tapi lebih penting adalah kualiti umat yang ingin kita lahirkan apabila mula berinteraksi dengan al-Quran.

    “Setakat ini kita nampak hasil daripada gelombang World #QuranHour tahun lepas semakin besar.

    "Contohnya, di peringkat negeri, Melaka menjalankan Melaka #QuranHour setiap bulan. Ternyata kita melihat program al-Quran berkembang secara organik di masjid, organisasi mahupun di rumah," katanya.

    Marhaini berkata, hasil tindakan daripada baca, faham dan amal al-Quran, Rumah Ngaji Johor telah mengambil langkah untuk mewujudkan Fisabilillah Bakers. Seramai 100 sukarelawan belajar membuat roti dan menyumbangkannya kepada sahabat jalanan.

    “Inilah semangat yang ingin kita ambil, daripada nilai cakna yang terdapat dalam al-Quran. Orang yang berinteraksi dengan al-Quran, akan dapat dilihat dari segi perubahan karakter dan tindakan mereka.

    “Komuniti al-Quran juga sentiasa menjalinkan hubungan dan bergerak untuk berkongsi ilmu di peringkat negeri dalam luar negara. Kini perhubungan berlandaskan al-Quran turut terjalin hingga ke luar negara seperti China, Hungary, Bosnia, Croatia, dan Turki.

    “Selepas World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, impak terhadap diri kita agar terus menunduk hati masing-masing dengan keagungan ALLAH SWT. Seterusnya dapat memperkukuhkan diri dengan al-Quran, bukan sekadar membaca tetapi menjadi warganegara berkarakter dengan kerangka fikir al-Quran,” katanya.

    BACA INI JUGA: Sambutan 'World Quran Hour' Membaca Al-Qur'an Serentak Diseluruh Dunia

    sumber: sinarharian