Thursday, August 10, 2017

Roxy Getter, Wanita Paling Muda Tawan Gunung Kilimanjaro


Mengenakan sepasang baju panas berwarna merah jambu, kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu berkongsi perasaan terujanya menerusi satu rakaman video oleh ibunya, Sarah Getter.

Roxy Getter Kilimanjaro

“Hari ini, saya berjaya tawan Gunung Kilimanjaro,” ujar Roxy Getter sambil tersenyum gembira ke arah kamera.

Video tersebut seterusnya mendapat perhatian dunia dan orang ramai mengucapkan tahniah serta kagum dengan kebolehan Roxy mendaki gunung tertinggi di benua Afrika itu.

Berasal daripada Florida, Amerika Syarikat, Roxy bersama ibu dan ba­panya, Bobby Getter serta abangnya, Ben Getter telah pergi bercuti ke Afrika dan ia merupakan kunjungan pertama mereka ke benua itu.

Salah satu jadual perjalanan mereka termasuklah mendaki Gunung Kilimanjaro yang terletak di Tanzania.

Keluarga kecil itu mengambil masa enam hari untuk sampai ke puncak gunung itu dan ia merupakan satu kenangan yang cukup bermakna buat mereka, terutamanya Roxy.

Mencatat rekod dunia, Roxy kini merupakan kanak-kanak perem­puan paling muda berjaya mendaki Gunung Kilimanjaro. Rekod sama bagi kategori kanak-kanak lelaki dipegang oleh Keats Boyd.

Keats Boyd berjaya mendaki Gunung Kilimanjaro pada tahun 2008 semasa berusia tujuh tahun.

Berkongsi rasa teruja, ibu saudara Roxy, Teresa Getter memuat naik status di laman Facebooknya dan melahirkan rasa bangga terhadap pencapaian anak saudaranya itu.

“Kedua-dua anak saudara saya memiliki genetik atlet hebat. Saya yakin kedua-duanya mewarisinya daripada ibu mereka bekas ahli gimnastik serta bapa seorang pemain besbol yang hebat,” tulis Teresa.

Tidak sangka

Roxy Getter Kilimanjaro

Berkongsi pengalaman, Roxy berkata, dia benar-benar tidak me­nyangka pada usia semuda itu, dia berjaya menawan gunung ter­tinggi di Afrika.

“Ia amat sukar kerana kami semua terpaksa melalui jalan curam, selain bertahan dalam suhu serendah 7 darjah Celsius.

“Sejujurnya, saya tidak menyangka akan sampai ke puncak Gunung Kilimanjaro, namun dengan kesungguhan tinggi, saya dan ahli keluarga akhirnya berjaya menawan gunung itu,” ujarnya.

Menurut Roxy, dia juga berasa amat penat dan hampir berputus asa.

“Kedua-dua kaki saya amat sakit dan ada masanya, terasa bagaikan tidak mampu lagi untuk meneruskan pendakian,” dedah Roxy kepada agensi berita British Broadcasting Corporation.

Ditanya adakah dia akan mencipta lebih banyak rekod pendakian selepas ini, kanak-kanak itu berkata, buat masa ini dia belum berminat lagi untuk mendaki gunung dan mahu berehat.

“Saya mungkin akan mendaki bukit atau gunung yang tidak terlalu tinggi selepas ini,” ujarnya sambil ketawa kecil.

Kagum semangat anak

Roxy Getter Kilimanjaro

Bapa Roxy, Bobby Getter me­ngakui, dia tidak menyangka kedua-dua anaknya iaitu Roxy dan Ben berjaya mendaki gunung setinggi 5,895 meter dari aras laut itu.

“Sepanjang perjalanan, mereka tidak mengeluh atau berhenti. Roxy dan Ben meneruskan perjalanan dengan penuh bersemangat sehingga tiba di puncaknya,” ujar Bobby dalam satu temu bual dengan portal The Insider.

Lelaki tinggi lampai itu juga mengakui pada mulanya, dia agak gusar untuk membawa kedua-dua anak mereka itu untuk mengikuti pendakian Gunung Kilimanjaro kerana mereka pernah mempunyai masalah jantung sebelum ini.

“Begitu pun, kami sudah berjumpa dengan pakar kardiologi dan Roxy serta Ben didapati sihat dan boleh menyertai aktiviti pendakian,” katanya.

Ini juga merupakan kali pertama keluarga kecil itu berkhemah di kaki kawasan gunung dan menghabiskan masa hampir seminggu di situ.

Menurut Bobby, dia tidak me­nyangka Roxy dan Ben sanggup bermalam di gunung yang sejuk.

“Bayangkan keadaan terpaksa tidur di dalam khemah dan tidak mandi selama hampir seminggu, ia amat tidak selesa, namun kedua-dua anak saya berjaya melaluinya dengan tenang.

“Dua beradik ini begitu positif dan banyak bercakap, terutamanya Ben,” ujar Bobby.

Pendakian itu benar-benar merapatkan mereka lagi sebagai sebuah keluarga dan menguji kebolehan mereka dalam menghabiskan pendakian.

“Setibanya di puncak Gunung Kilimanjaro, saya dan isteri menjadi emosional dan tidak percaya anak-anak saya mampu melakukan satu pencapaian sebegitu pada usia yang amat muda,” ujarnya.

BACA INI JUGA: 10 Gunung Paling Sukar Ditakluki Di Dunia

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon