Wednesday, August 09, 2017

Sambutan World #QuranHour 31 Ogos 2017

Tanggal 31 Ogos 2017 ini bakal menyaksikan acara kemuncak World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour yang julung kali diadakan tahun ini.

World #QuranHour 2017

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah, Marhaini Yusoff berkata, sambutan World #QuranHour pada 9 Zulhijah 1438H jatuh pada tarikh yang sama di mana negara menyambut Hari Kemerdekaan ke-60.

Menurutnya, pengisian sepanjang hari tersebut bermula dengan World #QuranHour di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai lokasi perdana pada jam 11 pagi.

“Pada masa sama, kempen berinteraksi dengan al-Quran di 14 negeri. Majlis pelancaran World #QuranHour bertemakan Dunia Berbudi & Penyayang bakal disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Padang Arafah.

“Pada tahun lepas, 70 lokasi di 50 negara dan 700 lokasi dalam negara telah berdaftar untuk menganjurkan satu jam bersama al-Quran kali pertama.

“Saya berharap lebih ramai khususnya rakyat luar negara melalui pejabat kedutaan dan Kementerian Pendidikan menyertai aktiviti bersama al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, selepas program World #QuranHour di UIAM, tumpuan rakyat kepada Merdeka #QuranHour di Dataran Merdeka.

Menurutnya, aktiviti bermula dengan program Gema Wahyu bermula pada jam 4 petang.

Katanya, antara pengisian program adalah solat Asar berjemaah, bacaan al-Quran daripada qari dalam dan luar negara, selebriti, solidariti bacaan, sesi tadabbur dan tazakkur dan doa untuk Malaysia.

Selepas itu, kata Marhaini, acara diteruskan dengan gema takbir selepas solat Maghrib, jemaah akan bertakbir sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Bagi masyarakat Muslim yang tidak pulang ke kampung untuk beraya, rebutlah peluang berkumpul, bersolat jemaah dan bertakbir di Dataran Merdeka pada 31 Ogos nanti. Semoga ia memberi semangat untuk kembali kepada ALLAH dan menuju kemerdekaan sebenar.

“Orang ramai termasuk mereka yang bukan Islam dan warga asing di sekitar ibu kota dialu-alukan menyertai Merdeka #Quran Hour jam 8.30 malam.

“Merdeka #QuranHour sangat istimewa kerana kali pertama diadakan dalam suasana sambutan Hari Merdeka. Pengisian tadabbur dan tazakkur daripada surah Yasin yang dikaitkan menuju kemerdekaan diri diharapkan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, surah Yasin menekankan hubungan vertikal dengan ALLAH dan horizontal sesama makhluk dan ada tiga aspek iaitu memperbaiki hubungan dengan ALLAH, sesama manusia atau makhluk, dan seluruh alam.

“Surah Yasin tidak asing bagi masyarakat Islam di negara ini. Ramai yang boleh membaca malah ada yang boleh menghafal. Namun hanya segelintir yang tahu makna dan pengajarannya untuk dijadikan panduan kehidupan.

“Sempena World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, surah Yasin dijadikan pilihan untuk kita lebih memahami isi kandungannya yang boleh dipelajari, difahami dan diamalkan. Seterusnya ia mampu membentuk karakter individu berakhlak mulia dan mempunyai kerangka fikir al-Quran.

“Saya berharap kepada sesiapa yang menganjurkan World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour untuk turut sama bertadabbur dan bertazakkur surah Yasin,” katanya.

Marhaini Yusoff
Marhaini Yusoff.

Menurut Marhaini lagi, di akhir program ada jamuan sempena malam raya bagi meraikan peserta yang hadir untuk berkongsi makanan dalam semangat kasih sayang. Ini kerana makanan dan minuman disediakan adalah sumbangan masyarakat yang berbudi dan penyayang.

Selain itu katanya, bagi agensi kerajaan, korporat, individu yang ingin melaksanakan sikap berbudi penyayang melalui sumbangan makanan dan minuman untuk jamuan itu boleh terus menghubungi 019-6500763 (Rusmin) dan 013-6826335 (Maslinda).

“Berdasarkan pengukuran kesan di media sosial tahun lepas, kita mencapai 87 juta 'impression'.

"Tapi lebih penting adalah kualiti umat yang ingin kita lahirkan apabila mula berinteraksi dengan al-Quran.

“Setakat ini kita nampak hasil daripada gelombang World #QuranHour tahun lepas semakin besar.

"Contohnya, di peringkat negeri, Melaka menjalankan Melaka #QuranHour setiap bulan. Ternyata kita melihat program al-Quran berkembang secara organik di masjid, organisasi mahupun di rumah," katanya.

Marhaini berkata, hasil tindakan daripada baca, faham dan amal al-Quran, Rumah Ngaji Johor telah mengambil langkah untuk mewujudkan Fisabilillah Bakers. Seramai 100 sukarelawan belajar membuat roti dan menyumbangkannya kepada sahabat jalanan.

“Inilah semangat yang ingin kita ambil, daripada nilai cakna yang terdapat dalam al-Quran. Orang yang berinteraksi dengan al-Quran, akan dapat dilihat dari segi perubahan karakter dan tindakan mereka.

“Komuniti al-Quran juga sentiasa menjalinkan hubungan dan bergerak untuk berkongsi ilmu di peringkat negeri dalam luar negara. Kini perhubungan berlandaskan al-Quran turut terjalin hingga ke luar negara seperti China, Hungary, Bosnia, Croatia, dan Turki.

“Selepas World #QuranHour dan Merdeka #QuranHour, impak terhadap diri kita agar terus menunduk hati masing-masing dengan keagungan ALLAH SWT. Seterusnya dapat memperkukuhkan diri dengan al-Quran, bukan sekadar membaca tetapi menjadi warganegara berkarakter dengan kerangka fikir al-Quran,” katanya.

BACA INI JUGA: Sambutan 'World Quran Hour' Membaca Al-Qur'an Serentak Diseluruh Dunia

sumber: sinarharian

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon