Wednesday, February 08, 2017

Sambutan 'World Quran Hour' Membaca Al-Qur'an Serentak Diseluruh Dunia

Loading...

World Quran Hour adalah program membaca Al-Qur'an secara serentak di seluruh dunia yang berlangsung selama sejam dengan penyertaan jutaan umat Islam.

World Quran Hour

Sambutan World Quran Hour disertai bukan sahaja umat Islam di Malaysia, malah di lebih 50 buah negara yang melibatkan hampir 100 lokasi di seluruh dunia.

Program World Quran Hour merupakan satu cetusan kepada umat Islam untuk menjadikan bacaan al-Qur'an sebagai satu amalan harian dengan membaca sekurang-kurangnya satu jam sehari.

Program bacaan al-Qur'an serentak, World Quran Hour di seluruh dunia selama sejam, merupakan kesi­nambungan inisiatif sejak tahun 2013 menerusi program #AktifkanRumahNgaji yang kini memiliki 1,000 pusat di seluruh Malaysia.

Program berskala besar World Quran Hour menyasarkan untuk mengajak umat Islam di seluruh dunia kembali kepada al-Qur'an, memahami dan menjadikan kitab suci itu sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Sambutan World Quran Hour akan dijalankan selama satu jam bersempena ibadah wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah setiap tahun.

Jemaah haji yang berwukuf di Padang Arafah dan negara lain akan turut menyertai program World Quran Hour di peringkat antarabangsa.

Ikuti temu bual Bernama bersama Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang juga Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berhubung komitmen serta harapan pihaknya terhadap program bertaraf global itu.

Berikut adalah transkrip temu bual Bernama dengan Datuk Hussamuddin Yaacub.

BERNAMA: Datuk, apa perkembangan terkini World #QuranHour?

HUSSAMUDDIN: Alhamdulillah, kesedaran tentang World #QuranHour momentumnya semakin memuncak.

Kita tengok di media sosial orang dah mula share dan bercakap tentang perkara ini dan kita sudah terima banyak komitmen untuk penyertaan di UIAM serta yang ingin menyertainya di kawasan masing-masing.

Di UIAM sendiri sebagai penganjur utama, mereka ada penuntut dari 117 negara yang sudah memberi komitmen akan terlibat secara langsung dengan membawa bendera negara masing-masing serta penyertaan daripada alumni mereka.

Kita juga bekerjasama dengan syarikat-syarikat korporat seperti Celcom selain Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd dan Andalusia Travel & Tours yang akan menggerakkan jemaah haji mereka menyertai program ini di Padang Arafah.

Selain itu, satu organisasi Islam yang mempunyai lebih 10 juta ahli di India akan turut menyertai program ini di sana begitu juga di Indonesia, tetapi yang paling menarik adalah penyertaan Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah (MTS) di Turki yang mempunyai lebih 10,000 cawangan di 165 negara termasuk di Malaysia, New York dan Australia. Hampir setiap negara yang ada orang Islam akan menyertai program ini.

BERNAMA: Mengapa memilih tempoh satu jam?

HUSSAMUDDIN: Satu jam ini satu simbolik sahaja... di Malaysia, World #QuranHour ini kita buat sejam di sini (Malaysia) dan tempoh sama juga dibuat di negara-negara lain tetapi memandangkan zon waktu berbeza, ia akan menjadi sehari.

Kita nak create satu impak di mana dalam sehari orang Islam mula berinteraksi dengan al-Quran, jadi kita harap akan timbul kecintaan terhadap kitab Allah ini.

Kita juga berharap ini merupakan satu titik permulaan di mana orang Islam akan menjadikan ini sebagai satu kebiasaan di mana mereka akan membaca al-Quran setiap hari selama sejam dan insya-Allah selepas 10 tahun mereka akan faham al-Quran sebenar-benarnya, menghayati, mengamalkannya dan dengan sendirinya kita akan lihat karakter seseorang itu akan berubah menjadi lebih baik.

BERNAMA: Bagaimana timbulnya idea untuk mengadakan World #QuranHour?

HUSSAMUDDIN: Kita telah memikirkan idea ini dua, tiga tahun lepas lagi kerana kita merasakan orang Islam walaupun mereka menunaikan solat tetapi masih tidak menunjukkan akhlak yang baik.

Sepatutnya orang yang bersolat kalau dia betul-betul faham makna solat, dia faham apa dibacakan ketika solat, dia akan terjemahkan kepada akhlak di mana dia akan menjadi orang yang bertanggungjawab, bersih, cantik kehidupannya, tidak akan memfitnah, rasuah, marah-marah, tetapi kenapa orang Islam masih begini?

Kita biarkan orang miskin tanpa membantunya, kita salah guna kuasa, jadi pemimpin tidak adil.

Puncanya kerana orang Islam tidak faham Islam, jadi cara nak memahami Islam adalah dengan baca dan fahami kitab Allah itu (al-Quran).

Ini yang kita nak push supaya orang Islam go back to basic, memahami Islam betul-betul. Kita lihat orang Islam sekarang contohnya militan Daesh tidak menggambarkan Islam yang betul.

Jadi apa yang dipaparkan dalam kehidupan seharian ini menyebabkan orang bukan Islam memandang Islam itu remeh, tidak bagus, tidak cantik dan benci kepada orang Islam.

Ini silap kita sendiri, jadi kita harap kalau kita boleh mulakan satu gerakan yang besar-besaran di peringkat dunia untuk menyeru orang-orang Islam belajar semula basic Islam melalui al-Quran.

Alhamdulillah, al-Quran sekarang sudah diterjemahkan kepada pelbagai bahasa di seluruh dunia, sekurang-kurangnya kalau nak belajar al-Quran akan mengambil masa tetapi kalau nak baca tafsirannya boleh, itu dikatakan berinteraksi dengan al-Quran.

Jadi maknanya kita nak galakkan orang Islam gali isi al-Quran itu, fahami isi al-Quran itu dengan harapan mereka akan menjadi seorang muslim yang lebih baik.

Sebenarnya World #QuranHour ini bukan program tetapi satu gerakan berskala besar dan bersungguh-sungguh untuk mengajak orang Islam mula pegang al-Quran, mula buka al-Quran dan mula belek al-Quran, buka mindanya, muka matanya dan buka hatinya.

Ini juga sebenarnya adalah satu proses replacing operating system yang ada dalam hati orang Islam... yang sepatutnya ada dalam hati orang Islam ialah Quranic operating system.

BERNAMA: Datuk ada sebut mengenai orang bukan Islam memandang Islam itu remeh disebabkan kegagalan orang Islam mengamalkan cara hidup Islam sebenarnya. Bagaimana pula dengan fenomena Islamofobia?

HUSSAMUDDIN: Saya tidak salahkan mereka berfikiran seperti itu kerana disebabkan tindak tanduk orang Islam yang tidak baik seperti Daesh.

Kita tengok zaman Nabi Muhammad SAW dahulu kenapa orang tertarik kepada Islam, orang bukan Islam tengok akhlak sahabat dan akhlak nabi.

Masa berperang ada adabnya... lepas berperang bagaimana Rasullullah SAW memaafkan (musuh) dia bawa orang tu ke dalam masyarakat, tetapi kita kalah pilihan raya kita bermusuh, kita buka parti baharu dan kita tidak ikut saf yang betul.

Sebab itu World #QuranHour ini adalah sebagai satu permulaan kepada anjakan besar-besaran untuk umat Islam mula membuka mata dan kembali untuk melihat kepada guide book yang Allah sediakan. Al-Quran dah lengkap cuma masalahnya kita tidak buka, baca dan fahamkan.

BERNAMA: Adakah pengisian tempoh sejam World #QuranHour hanya dengan membaca Al-Quran sahaja?

HUSSAMUDDIN: Kita gunakan konsep berinteraksi... kita nak supaya orang melihat al-Quran sebagai satu guidebook, bukan satu bahan yang dibaca sahaja untuk tadarus, taranum.

Seperti di UIAM nanti kita akan cuba bawa satu pendekatan baharu di mana kita akan ulas ayat-ayat (al-Quran) untuk disesuaikan dengan kehidupan kita hari ini.

Ini maknanya World #QuranHour adalah satu titik permulaan di mana kita nak ajak orang Islam melihat al-Quran dari sudut berbeza sebagai guidebook ataupun user guide untuk kehidupan, pengurusan dan kepimpinan.

Kita nak orang hayati maksud al-Quran dari perspektif berbeza dan kita nak relate dengan kehidupan seharian dalam keadaan sekarang.

Al-Quran itu sebenarnya boleh sesuai dalam apa zaman sekalipun cuma kita hanya fikir tentang baca sahaja, malah kita hantar anak-anak kita ke pusat tahfiz untuk baca dan menghafal sahaja.

Sepatutnya orang yang keluar dari pusat tahfiz kena jadi pemimpin yang betul-betul memahami al-Quran.

BERNAMA: Program ini julung kali diadakan, adakah ia akan diteruskan pada masa akan datang?

HUSSAMUDDIN: Insya-Allah kita dah sarankan kepada UIAM untuk bawa program ini ke international level dengan skala yang lebih besar dan ini akan jadi event tahunan, tetapi kita harap akan ada follow-up event.

Setiap hari dalam sejam kita nak jadikan budaya orang Islam mengkaji dan memahami al-Quran, bagaimana ia boleh dijadikan panduan dalam hidup.

Kalau ini boleh dijayakan saya rasa insya-Allah dalam masa 10 tahun kita akan lihat perubahan besar dalam cara umat Islam bertindak, cara umat Islam hidup, mereka akan jadi pemimpin yang lebih adil dan ikhlas.

Kita nak tengok orang Islam lebih berdisiplin dan takkan jadi bangsa yang suka memfitnah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Keajaiban Al-Qur'an Mengatasi Logik Akal

Sumber: SH

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon