Wednesday, August 09, 2017

Apa Itu Penyakit Denggi, Virus Yang Tiada Penawarnya

Penyakit denggi adalah suatu penyakit berjangkit yang merbahaya yang boleh membawa maut kerana sehingga kini belum ada ubat untuk mengubati penyakit ini.

Penyakit Denggi Nyamuk Aedes

Demam denggi biasa terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat dari gigitan nyamuk Aedes.

Penyakit ini biasanya berlangsung selama 10 hari dan kadang-kadang memerlukan masa yang lama untuk sembuh sepenuhnya. Penyakit denggi kerap berlaku di kawasan bandar jika dibandingkan dengan luar bandar.

Jenis-jenis Penyakit Demam Denggi

Terdapat 2 jenis penyakit denggi iaitu:

1. Demam denggi klasikal

Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian.

Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau 'breakbone fever'.

2. Demam denggi berdarah

Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri.

Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'.

Nyamuk Pembawa Agen Penyakit Denggi

Nyamuk Aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain.

Daripada 1 gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak 2-4 mg darah iaitu 1.5 kali berat badannya.

Nyamuk Aedes ini boleh dikenali dengan tanda belang hitam dan putih di kaki.Terdapat 2 jenis nyamuk Aedes yang membawa virus denggi iaitu:

1. Aedes aegypti

Ciri-ciri: Tanda putih-perak bentuk kecapi dikepala.

Nyamuk Aedes aegypti berterbangan di sekitar rumah dan tinggal di tempat-tempat gelap di dalam rumah. Ia bertelur dan berkembang biak di dalam bekas buatan di dalam dan di luar rumah.

2. Aedes albopictus

Ciri-ciri: garisan putih-perak disepanjang pertengahan kepala dan badan.

Nyamuk Albopictus pula terdapat di kawasan perumahan di bandar, kebun dan juga di hutan. Ia biasa terdapat di luar rumah pada tumbuh-tumbuhan dan menggigit manusia di luar rumah.

Kadang-kadang ia memasuki rumah untuk menggigit manusia dan jarak terbang kedua-dua jenis nyamuk ini biasanya tidak melebihi 350 meter.

Tempat Pembiakan Nyamuk

Nyamuk Aedes membiak di dalam takungan air jernih di dalam dan di luar rumah. Ia tidak boleh membiak di dalam air yang kotor.

1. Di dalam rumah
  • Ia membiak di dalam piring alas pasu bunga.
  • Tadahan air seperti kolah mandi, tempayan atau baldi.
  • Perangkap semut.

2. Di luar rumah
  • Di dalam tayar buruk.
  • Saluran air hujan.
  • Tin-tin kosong atau botol.
  • Bata bangunan atau kawasan pembinaan.
  • Cawan getah.
  • Lubang pokok.
  • Tunggul buluh.
  • Ketiak daun seperti pandan dan nenas.

Cara Jangkitan Denggi

Manusia dijangkiti kuman virus denggi melalui gigitan nyamuk. Virus denggi ini hidup dan berkembang biak di dalam air liur nyamuk.

Ia memerlukan masa pengeraman selama 8-10 hari untuk berkembang biak dan terkumpul di dalam air liur nyamuk.

Nyamuk yang telah dijangkiti akan terus membawa virus denggi sepanjang hidupnya. Apabila nyamuk Aedes betina menggigit manusia atau haiwan ia akan memasukkan sekali virus denggi yang ada di dalam air liurnya ke dalam sistem aliran darah manusia.

Apabila nyamuk Aedes betina menghisap darah manusia yang mengandungi virus denggi ia akan melengkapi kitaran hidup virus tersebut dan menyebarkan kepada orang lain.

Penularan virus denggi boleh juga terjadi apabila nyamuk aedes betina sedang menghisap darah orang yang dijangkiti virus denggi diganggu dan nyamuk itu dengan segera menggigit orang lain pula.

Ini akan menyebabkan virus yang terdapat dalam belalai nyamuk tersdebut akan masuk ke dalam peredaran darah orang kedua tanpa memerlukan masa pengeraman.

Cara ini dipanggil 'Penularan Mekanikal'.

Selain dari cara-cara di atas jangkitan virus denggi boleh juga berlaku melalui penularan transovari dimana ia merupakan suatu proses penularan agen penyakit daripada serangga betina melalui telur, jentik-jentik hingga kepada serangga dewasa generasi berikutnya.

Penularan transovari sangat penting bagi virus denggi kerana proses ini membolehkan virus tersebut berkekalan di persekitaran.

Melalui proses penularan ini nyamuk bukan sahaja berperanan sebagai agen pembawa tetapi juga sebagai perumah kepada agen penyakit.

Rawatan Demam Denggi

Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi.

1. Rawatan Demam Denggi Klasikal

Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu:
  • Mengurangkan demam(suhu badan).
  • Mengelakkan dari perdarahan berlaku.

2. Rawatan Demam Denggi Berdarah

Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak.

Demam yang sangat panas meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik.

Pesakit juga diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Masa yang paling genting ialah pada hari ke 3 hingga hari ke 7.

Pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ia menggambarkan darjah kehilangan plasma.

Cegah denggi sebelum terlambat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: alamblogr

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon