Wednesday, July 26, 2017

Sambutan Hari Pengguna Di Malaysia


Sambutan Hari Pengguna di Malaysia disambut pada 26 Julai setiap tahun, yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK).

Hari Hak Pengguna

Sambutan Hari Pengguna juga disambut bersempena dengan pembentangan Akta Pelindungan Pengguna pada 26 Julai 1999. Acara sambutan ini akan dijalankan bermula pada 26 Julai hingga 1 Ogos setiap tahun.

Selain objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memberi makluman mengenai Sambutan Hari Pengguna Malaysia yang disambut pada 26 Julai setiap tahun, program ini juga akan melibatkan anggota masyarakat daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk turut serta dalam menjayakan program Hari Pengguna Malaysia ini.

Melalui program ini juga, penganjur mengharapkan kesedaran dan penglibatan masyarakat pengguna supaya menyedari akan hak-hak mereka dan dapat mempraktiskannya secara berhemah.

Dengan adanya kesedaran ini, ia akan dapat merealisasikan hasrat negara untuk menjadikan masyarakat pengguna bijak dalam segala aspek dan secara tidak langsung dapat mewujudkan peniaga beretika.

Keadaan ini akan membentuk sebuah negara yang makmur dan sejahtera.

Selain itu juga, objektif sambutan Hari Pengguna ini lebih memaparkan tanggungjawab kerajaan dan kementerian di dalam program pendidikan dan perlindungan pengguna.

Persefahaman dan kerjasama yang erat antara pengguna, peniaga, kerajaan dan media massa di dalam aspek konsumerisme yang boleh membantu negara mencapai wawasan negara maju.

8 Hak-Hak Pengguna

1. Hak untuk mendapatkan keperluan asas

Pengguna berhak mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan di dunia moden ini.

Keperluan asas ini termasuk makanan yang mencukupi dan selamat, pakaian, perumahan, kemudahan kesihatan dan pendidikan, dan sebagainya

2. Hak untuk mendapatkan keselamatan

Pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh membahayakan pengguna.

3. Hak untuk mendapatkan maklumat

Pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkannya membuat keputusan yang bijak.

Pengguna hendaklah dilindungi juga daripada dakyah pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

4. Hak untuk membuat pilihan

Pengguna dipastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan.

Pengguna perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutu dan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

5. Hak untuk bersuara

Ini bagi memastikan kepentingan pengguna mendapat pertimbangan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada pentadbiran pengadilan.

6. Hak untuk mendapatkan ganti rugi

Pengguna berhak mendapat penyelesaian untuk pembelian keluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang `mengelirukan' serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian.

Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar.

Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan.

7. Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna

Pengguna berhak mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidikan pengguna.

Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

8. Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat

Pengguna berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya.

Hak ini diperjuangkan oleh pengguna kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

5 Tanggungjawab Pengguna
  1. Kesedaran untuk mengkritik.
  2. Penglibatan dan tindakan.
  3. Tanggungjawab sosial.
  4. Bersatu padu.
  5. Tanggungjawab terhadap alam sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kamikonsumer

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon