Sunday, July 14, 2019

Ahli Politik Punca Perpecahan Kaum Di Malaysia

Ahli Politik Punca Perpecahan Kaum Di Malaysia

Menurut pakar di Malaysia, bagi membina dan membentuk perpaduan kaum, ia mestilah dimulakan dengan satu sistem pendidikan satu kurikulum, satu dasar dan satu sekolah bersifat kebangsaan dan kononnya lagi, kemahiran menguasai pelbagai bahasa seperti bahasa Mandarin dan bahasa Tamil dalam kepelbagaian kaum diharap dapat memupuk semangat perpaduan serta keharmonian rakyat.

Ahli politik punca perpecahan kaum

Malangnya, pakar ini terlupa menyebut satu perkara paling asas dan terpenting bagaimana sebenarnya menyelesaikan isu perpaduan di Malaysia (Baca: Semenanjung), terutamanya antara Melayu, Cina dan India, malah antara melayu dengan melayu.

Untuk membina perpaduan sejati antara rakyat di Malaysia di Semenanjung ini, pemimpin kerajaan dan pembangkang perlu terlebih dahulu menunjukkan hubungan baik antara mereka jika serius ingin memperbaiki perpaduan kaum di negara ini.

Punca keretakan hubungan antara kaum di Malaysia (Semenanjung) adalah perbalahan pemimpin politik dan kegagalan menunjukkan contoh yang baik.

Orang Melayu, Cina dan India seperti pasir, air dan simen – jika digaul menjadi blok kukuh. Begitulah cara kita dahulu. Sekarang mungkin seperti kek aising, cantik di luar tetapi rapuh di dalam.

Apa punca masalah itu? Tentunya masalah politik. Kerana pemimpin politik tidak menunjukkan imej perpaduan. Imej ini bukan terletak pada rakyat, tetapi bermula dengan pemimpin.

Justeru, sebelum kita bercakap tentang perpaduan antara rakyat terutamanya Melayu, Cina dan India, ahli politik hendaklah menunjukkan imej perpaduan agar menjadi contoh kepada rakyat.

Media juga sepatutnya menjadi wadah untuk membantu membina rasa hormat dan menghormati perbezaan pelbagai pihak.

Malangnya, media di Malaysia biasanya dimiliki atau ditaja pihak tertentu dengan tujuan tertentu demi kepentingan masing-masing, tidak kiralah pihak mana. Membantu menyemai sistem pecah belah dan perintah.

Selagi ahli politik ini sentiasa memburukkan satu pihak secara berlebihan, selagi itulah akan wujud reaksi lain ekoran apa yang disiarkan dan pastinya sukar kalau terus melaga-lagakan.

"Respect is earn, not given".

BACA INI JUGA:

sumber: fmt

STPM Atau Matrikulasi, Peluang Mana Lebih Baik?

STPM Atau Matrikulasi, Peluang Mana Lebih Baik?

Kementerian Pendidikan pernah menegaskan bahawa kerajaan tidak membezakan antara kelayakan pemegang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan matrikulasi untuk kemasukan ke universiti awam sebaliknya, ini diputuskan berdasarkan meritokrasi.

STPM Atau Matrikulasi

Namun, berdasarkan data dari tahun akademik 2018/2019, peluang untuk ke universiti awam bagi pelajar yang melalui sistem pendidikan matrikulasi adalah lebih cerah baik berbanding dengan pelajar yang mengambil peperiksaan STPM.

Menurut jawapan bertulis bertarikh 3 Julai 2019 oleh Menteri Pendidikan Maszlee Malik, 33,197 lepasan STPM dan 20,907 calon lepasan matrikulasi yang memohon ke universiti awam.

Daripada jumlah 33,197 calon STPM itu, 24,375 atau 73.4 peratus ditawarkan tempat pengajian di IPTA.

Manakala daripada jumlah 20,907 calon lepasan matrikulasi berkenaan sebanyak 20,269 atau 96.9 peratus ditawarkan tempat ke IPTA.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Saturday, July 13, 2019

Kisah Perang Thermopylae Disebalik '300' Tentera Spartan

Kisah Perang Thermopylae Disebalik '300' Tentera Spartan

Peminat-peminat filem pasti tahu tentang sebuah filem aksi yang diadaptasi daripada komik berjudul '300' lakonan Gerard Butler, sebuah filem aksi yang unik kerana membawa beberapa teknik baru pembikinan filem yang akhirnya menjadi ikutan sehingga kini.

300 Spartan

Sejarah dalam filem itu, walaupun berdasarkan kisah sebenar yang pernah berlaku, lebih banyak mengambil inspirasi daripada kisah komik '300' hasil karya Frank Miller dalam jalan cerita serta persembahan.

Kisah tentera Greek terpaksa berhadapan dengan jumlah askar Persia yang lebih 10 kali ganda bilangan mereka, dipimpin oleh Raja Leonidas itu berlaku dalam dua peperangan serentak, sebenarnya melibatkan dua tempat berbeza dalam waktu yang sama.

Mengapa peperangan yang digelar 'Perang Thermopylae' ini sangat popular untuk dibicarakan peminat sejarah lama dunia?

Agenda penaklukan Persia

Selepas tewas dalam Perang Marathon pada tahun 490BC, orang Persia di bawah pimpinan anak kepada Raja Darius I yang menaiki taktha, Raja Xerxes mula meneruskan agenda ayahnya meluaskan pengaruh kerajaan Persia.

Pelan untuk menakluk Greece melalui Hellenspont dan seterusnya masuk melalui Thrace, dengan membawa jumlah angkatan yang besar diteruskan berpandukan kepada rancangan asal.

Bagi memastikan rancangan mereka berjaya ekoran kegagalan menyeberangi Gunung Athos dalam beberapa pertempuran sebelum itu, Xerxes bercadang untuk membina sebuah terusan merentasi tanah genting pergunungan tersebut.

Mengetahui rancangan penaklukan Persia, penduduk Athens dan Sparta mula bersedia membina peralatan bagi melindungi bandar mereka, termasuklah kapal-kapal layar.

Xerxes menawarkan perjanjian damai, meminta hadiah sumbangan daripada orang Greek sebagai tanda perdamaian namun ditolak bulat-bulat oleh orang Greek ketika itu, yang yakin kerjasama di antara Athens dan Sparta akan berjaya mengusir keluar serangan Persia.

Berdepan perang yang semakin hampir, beberapa strategi untuk menentang Persia diajukan dalam perbincangan kedua-dua pemerintah.

Jeneral-jeneral Sparta diberikan tanggungjawab mengetuai perang di darat, sementara Jeneral Athens mengetuai serangan di laut.

Pergerakan tentera Persia yang sudah melintasi Hellenspont, menyebabkan mereka perlu melalui satu laluan sempit yang terletak di Thermopylae.

Ini menimbulkan idea pada salah seorang Jeneral Athens bernama Themistocles, kerana laluan sempit itu mampu membolehkan tentera yang lebih sedikit jumlahnya berdepan jumlah angkatan Xerxes yang lebih ramai.

Bagi merealisasikan idea beliau, Themistocles memujuk tentera Sparta meninggalkan kedudukan mereka, bagi membantu mempertahankan kawasan milik Athens.

Sebagai pertukaran, Themistocles dan seluruh tentera Athens berjanji akan mempertahankan sebuah kawasan bernama Artemisium daripada serangan laut Xerxes.

Selepas dipersetujui tentera Sparta, seluruh lelaki dewasa Athens diminta untuk turut menyertai peperangan dan golongan wanita serta kanak-kanak dipindahkan ke kawasan bernama Peloponnesus, untuk dilindungi.

Tentera yang berperang di darat, mula bergerak ke Thermopylae di bawah arahan Sparta, mempertahankan jurang sempit yang terletak di antara bukit dan laut, pintu kepada bahagian selatan Greece yang dikenali dengan nama 'The Hot Gates.'

Strategi Themistocles memerlukan kemaraan tentera Persia di halang secara serentak di dua tempat, tentera Athens berperang dalam perang yang dinamakan 'Peperangan Artemissium' sementara tentera Sparta terlibat melindungi The Hot Gates, dalam 'Peperangan Thermopylae.'

Mempertahankan 'The Hot Gates'

Ketika mendapat berita tentang tugas mereka, Raja Leonidas dan tenteranya sedang meraikan festival Carneia yang melarang mereka menyertai peperangan - berdasarkan undang-undang masyarakat Sparta.

Bagaimanapun, majlis penasihat mereka merasakan kepentingan untuk melindungi The Hot Gates jauh lebih besar berbanding pantang-larang mereka.

Raja Leonidas diberikan pelepasan untuk membawa 300 orang askarnya yang digelar Hippeis dan berharap mereka dapat mengumpulkan lebih ramai askar dalam perjalan ke Thermopylae, serta mampu bertahan sementara menunggu kedatangan tentera Sparta sebenar.

Mereka tiba di Thermopylae dengan jumlah keseluruhan hampir 7,000 orang, gabungan dengan tentera-tentera Greece lain dari negeri Arcadia dan Corinth, termasuk 1,000 orang Phocian yang pernah bertugas membina dinding pertahanan di The Hot Gates.

Oleh kerana orang Phocian sudah mengetahui tentang laluan pergunungan yang ada mampu memintas kedudukan mereka seterusnya menggagalkan strategi pertahanan Themistocles, Raja Leonidas meminta 1,000 orang Phocian yang sudah mahir dengan kawasan tersebut untuk melindungi laluan pergunungan itu.

Pada pertengahan bulan Ogos tahun 480BC, tentera Persia mula kelihatan di Teluk Malian, berdekatan Thermopylae.

Xerxes menghantar wakil untuk rundingan dengan tawaran lumayan kepada Leonidas dan tenteranya. Rundingan itu ditolak.

Xerxes menunggu selama lebih empat hari tanpa melakukan apa-apa. Hanya pada hari ke lima, melihat Leonidas dan orang-orangnya terus berdegil mempertahankan kedudukan mereka, Xerxes mengarahkan tenteranya menyerang.

Kebijaksanaan Themistocles, keperkasaan Leonidas

Strategi bijak Themistocles mencipta benteng di darat dan lautan membolehkan kemaraan tentera Persia disekat dengan mudah, buat sementara kerana lokasi yang dipilih Themistocles memang menyukarkan tentera Persia untuk mara.

Kedua-dua titik pertarungan merupakan kawasan laluan sempit yang akan membolehkan tentera Greece yang lebih kecil jumlahnya, mampu berdepan dengan tentera Persia yang lebih ramai.

Jumlah yang terlalu besar (dianggarkan di antara 70,000 ke 800,000 orang), tentera Persia melakukan tindakan lebih pantas, disebabkan keperluan untuk mendapatkan bahan bekalan askar-askar yang ada.

Harapan Themistocles, sekiranya mereka berjaya mempertahankan kedua-dua kawasan ini untuk satu tempoh, lama-kelamaan tentera Persia akan perlu bergerak atau merempuh masuk.

Bagaimanapun, jumlah pengorbanan yang diperlukan sukar sekali untuk diramal dari pihak mereka.

Xerxes mula menyerang The Hot Gates

Raja Leonidas mengarahkan tenteranya mempertahankan laluan sempit itu dengan formasi mereka yang dinamakan 'phalanx.'

Berikutan kelebihan berdasarkan faktor geografik serta kelebihan tentera Hoplites arahan Leonidas, mereka berjaya mempertahankan kedudukan mereka di hari pertama serangan tentera Persia yang berjumlah lebih 10,000 orang.

Peralatan yang digunakan orang Greece ketika itu juga jauh lebih sesuai untuk pertempuran, kerana tentera Persia yang dilengkapi pedang dan tombak yang lebih pendek memerlukan mereka masuk ke dalam perangkap Leonidas.

Tidak mengerti kenapa sukar untuk mereka memecah masuk, Xerxes menghantar beberapa kumpulan besar lagi, namun semua serangan Persia berjaya dipatahkan pihak Greece.

Menjangkakan serangan yang dilakukan sebelum itu sekurang-kurangnya berjaya menurunkan jumlah tentera Greece, hari kedua peperangan Thermopylae berlaku dalam corak yang sama dengan kegagalan demi kegagalan tentera Persia.

Hanya selepas seorang warga Trachinia bernama Ephialtes belot dengan memberitahu tentera Persia dan Xerxes berkenaan laluan pergunungan yang mampu merentasi kedudukan orang Greece, Xerxes mengarahkan komandernya bernama Hydarnes dengan lebih 20,000 orang untuk cuba melalui laluan tersebut.

1,000 orang Phocian yang ditugaskan mengawal laluan tersebut terpaksa berundur melihat jumlah tentera yang besar di hadapan mereka.

Khabar buruk kegagalan orang Phocian melindungi laluan tersebut sampai ke telinga Leonidas.

Atas perbincangan, beliau memutuskan untuk terus mempertahankan kedudukan mereka; walaupun tahu mereka kini sudah dikepung tentera Persia.

Berjuang hingga mati

Walaupun Leonidas mengambil keputusan untuk terus bertahan, dia membuka peluang kepada mana-mana tentera yang mahu berundur untuk meninggalkan mereka di situ.

Majoriti askar gabungan itu mula beredar, dengan hanya Leonidas, pasukan pengawal Hippeis beliau disertai oleh 400 orang Thebans dan 700 orang Thespian mengambil keputusan untuk terus mempertahankan The Hot Gates.

Tindakan Leonidas yang tidak mahu berpatah balik menimbulkan beberapa persoalan pada pengkaji sejarah tentang sebab sebenar Leonidas terus berkeras mempertahankan kedudukan mereka.

Banyak pihak menyebut tindakan itu diambil berikutan tatacara perang orang Sparta yang tidak dibenarkan berundur.

Walau bagaimanapun, pendapat paling popular menyebut, Leonidas bertindak mengorbankan dirinya bagi memastikan tentera yang mahu berundur berjaya melarikan diri.

Ini kerana masih ada pihak perlu menghalang kemaraan Persia daripada arah laut. Dengan berkorban, seramai lebih 3,000 orang askar selamat untuk berjuang di kemudian hari.

Tentera Spartan

Spartan sangat terkenal sebagai antara pahlawan paling ditakuti dalam sejarah dan antara yang paling brutal.

Walaupun ramai yang percaya Spartan hanyalah mitos dan bukan fakta, namun spartan dibesarkan dan dilatih untuk menjadi pahlawan yang kejam.

Kanak-kanak spartan diperiksa untuk melihat jika ada kecacatan atau ketidakupayaan. Jika terdapat kekurangan, kanak-kanak itu akan dibiarkan mati.

Pada usia 7 tahun, kanak-kanak yang melepasi ujian ini akan diambil daripada keluarga dan menjalani latihan ketenteraan yang sangat dahsyat.

Mereka akan belajar bertarung dan memburu dan untuk melatih kebolehan berdikari, pada usia 12, spartan harus tidur di luar kawasan rumah dan membuat katil sendiri menggunakan buluh serta mencari makanan sendiri dengan cara mencuri.

Jika prestasi spartan seseorang itu tidak memuaskan dia akan dihukum untuk bekerja lebih keras dan dibuli.

Nasib Buruk

Menyedari risiko di serang dari belakang oleh tentera Hydarnes, Leonidas sudah bersedia berhadapan dengan nasib buruk yang bakal menimpa mereka. Serangan tentera Xerxes terpaksa dipertahankan dengan jumlah tentera yang lebih kecil.

Nekad, sekurang-kurangnya mahu mengorbankan seberapa ramai tentera Persia sebelum mereka dibunuh, Leonidas dan saki-baki tenteranya bergerak mendekati angkatan tentera Persia dan mula berperang dalam kawasan yang lebih luas secara berdepan.

Pada hari ketiga perang Thermopylae, Leonidas terkorban selepas dipanah askar Persia. Tentera di bawahnya cuba berundur ke bahagian lereng bukit namun mereka terus ditekan oleh jumlah tentera Persia yang jauh lebih ramai.

Melihat semakin sukar untuk bertahan, orang-orang Theban mengambil keputusan menyerah diri dan orang-orang Sparta terus berjuang sehingga tidak ada seorang pun tinggal.

Strategi Themistocles berjaya akhirnya

Selepas tentera kecil Leonidas gagal mempertahankan Thermopylae, pintu untuk Persia masuk terbuka luas.

Themistocles mengubah strateginya walaupun dia sendiri berjaya mempertahankan Artemissium selama 3 hari.

Beliau mengeluarkan arahan untuk menyembelih semua binatang ternakan yang ada agar tidak jatuh ke tangan Persia.

Tentera Athens mula berundur ke Salamis bagi merangka strategi baru dan mengumpulkan kembali orang-orang mereka.

Xerxes dan tenteranya berjaya masuk ke Greece, memusnahkan bandar yang tidak tunduk kepadanya seperti Plataea dan Thespiae sebelum mara ke ibu negeri Greece, Athens yang sudah kosong.

Themistocles mengambil keputusan untuk mempertahankan Teluk Saronic, di mana strategi hampir serupa sekali lagi digunakan.

Kali ini, mereka mengambil inisiatif lebih awal menyerang tentera Persia lebih awal berbanding bertahan seperti di Thermopylae dan Artemissium.

Tentera Persia mengalami kekalahan dalam Perang Salamis, memaksa Xerxes dan tenteranya berundur.

Kedudukan tentera Parsi yang sudah terlalu jauh daripada Hellespont, membuatkan Xerxes mula risau sekiranya kawasan tersebut dapat dikuasai orang Greece menyebabkan laluannya untuk kembali ke Asia tersekat.

Xerxes berundur dengan tenteranya namun berdepan situasi teruk akibat wabak dan kekurangan bekalan makanan.

Dia meninggalkan panglimanya bernama Mardonius untuk meneruskan kemaraan mereka, namun kejayaan tentera Greece mengambil semula Attica dan beberapa kawasan lain, menjadi pemangkin kepada kebangkitan semula orang Greece.

Dalam Perang Plataea, tentera Sparta, Athens dan Tegeans sekali lagi bergabung menyerang kubu orang Persia pada tahun 479BC.

Mardonius berjaya dibunuh dan 43,000 tentera Persia terkorban, menandakan berakhirnya ancaman ke atas Greece.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 90: Ilmu Pukau Kucing

SBDJ Siri 90: Ilmu Pukau Kucing

Atas perintah Datuk, tingkap yang terdedah saya rapatkan. Guru silat, saya lihat terus menggeliat. Dedaun dan pepasir yang bertaburan atas lantai segera disapunya. Datuk nampak tenang tetapi, dahinya berkerut.

Toyol jadi-jadian

Bila rumah sudah bersih, Datuk segera ambil tiga biji bantal. Saya hanya melihat Datuk menyusun tiga bantal itu selari di ruang rumah dan letakkan bersetentangan dengan tulang bumbung.

Saya tidak tahu kenapa Datuk berbuat demikian? Kerja Datuk itu, macam kerja orang bodoh.

Kebuntuan dalam kepala saya segera berakhir, bila guru silat mengajukan pertanyaan pada Datuk:

“Kenapa bantal diletakkan macam tu?”

“Petua orang tua-tua.”

“Petua apa?”

“Petua menghalang syaitan dari menumpang tidur.”

“Banyak sangat guna petua. Kenapa tak gunakan ayat-ayat Quran untuk halau syaitan.”

“Kita berusaha mencari sesuatu yang baik. Kalau apa yang kita buat tidak bercanggah dengan hukum agama, apa salahnya kita gunakan. Kita gunakan kedua-duanya untuk kebaikan, ini lebih baik dan berkesan.”

“Betul juga cakap awak tu, kita mencari sesuatu yang baik,” suara guru silat lembut.

Datuk anggukkan kepala beberapa kali. Saya segera menggaru pipi kanan.

“Sekarang, awak dah tahu rahsianya,” Datuk terus menepuk belakang guru silat beberapa kali sambil ketawa.

Saya cuma tersenyum melihat keramahan dan kemesraan yang terjalin.

“Saya dah faham. Saya mahu belajar dari awak lagi,” sahut guru silat bila ketawa Datuk berhenti.

“Boleh, asalkan awak sabar.”

“Lebih dari sabar mahu saya buat, apa yang awak cakap semuanya nak saya patuhi.”

“Ini sudah cukup baik,” senyum Datuk kian melebar.

“Saya tetap baik untuk selama-lamanya,” tingkah guru silat.

Lagi sekali Datuk dan guru silat berbalas tampar-menampar bahu. Mereka ketawa dan melangkah serentak menuju ke ambang pintu.

Wajah keduanya, kelihatan tenang dan penuh keyakinan. Saya mengikuti dari belakang. Tugas merapatkan daun pintu dan menghunikannya adalah tanggungjawab saya.

Senang rasa hati saya bila tugas itu dapat saya laksanakan dengan sempurna.

“Berhati-hati sebelum memulakan langkah,” ujar Datuk sebaik saja sampai di anak tangga terakhir.

Sepasang matanya menatap wajah saya dan guru silat, penuh kelembutan. Saya anggukkan kepala tetapi, guru silat mempamerkan gigi dan gusi pada Datuk.

“Tamar.”

“Ya, tuk.”

“Mulakan melangkah dengan kaki kanan sambil membaca Bismillah, serahkan semuanya pada Allah.”

“Saya faham tuk.”

“Kamu ni, bila aku ingatkan, jawabnya faham. Bila disuruh buat kamu selalu terlupa.”

Saya segera menundukkan muka. Sindiran Datuk cukup tajam tetapi saya tidak terdaya untuk menafikan kebenaran dari kata-katanya itu.

Guru silat merenung ke arah saya sambil melemparkan senyum. Saya bertambah malu. Kulit muka terasa tebal.

“Orang muda memang selalu lupa,” secara mendadak guru silat bersuara.

Mungkin guru silat mahu memberikan kekuatan semangat pada saya.

“Perangai buruk macam tu, mesti dibuang,” balas Datuk.

“Betul juga cakap awak,” sahut guru silat, lalu menghulurkan kaki kanannya memijak tanah.

Kami pun meninggalkan kawasan rumah pusaka peninggalan orang tua guru silat.

Perjalanan menuju ke rumah si sakit di malam yang kian larut itu, membekalkan rasa bimbang dan cemas dalam hati saya.

Dengan pertolongan Allah yang Maha Besar dan Maha Kuasa, kami tidak menghadapi sebarang masalah. Tidak ada perkara yang tak diingini terjadi. Cuma sesekali, kami diganggu oleh bunyi suara harimau di kaki langit.

Suara ngauman harimau itu tidak mendatangkan rasa takut atau cemas. Datuk sudah pun memberikan kata-kata semangat.

Kata Datuk, harimau yang mengaum tidak akan menangkap manusia. Harimau juga tidak akan menyerang manusia, bila manusia berjalan tiga sederet waktu malam.

Sebagai manusia, saya tidak dapat menerima bulat-bulat cerita yang Datuk tuturkan. Hati kecil saya terus berdetik cemas, bila terdengar bunyi dahan yang bergeselan sama sendiri.

Suara dari geselan itu, ada kalanya memanjang dan ada kalanya pula pendek macam orang mengeluh. Bunyi geselan dahan itu terus ditingkah oleh suara monyet malam yang dikejutkan oleh sesuatu.

Suasana malam terasa amat menyeramkan. Kalau berjalan seorang diri, sudah pasti saya tidak sanggup melakukannya.

Saya tidak tahu, kenapa Datuk kali ini tidak mahu bercakap banyak. Kalau guru silat bertanya sesuatu, Datuk seperti keberatan untuk menjawabnya.

Datuk lebih kerap beristighfar, bila kaki atau tubuhnya terlanggar sesuatu. Perjalanan di larut malam itu berakhir di rumah si sakit.

PATUH

Beberapa kaki mahu sampai ke kaki tangga rumah si sakit, Datuk menyuruh kami membaca surah Al-Ikhlas tiga kali berturut-turut. Perintah itu kami patuhi.

“Biar aku yang ketuk pintu,” Datuk renung muka guru silat.

“Silakan,” sahut guru silat.

Datuk terus ketuk pintu rumah si sakit, tiga kali berturut-turut. Isteri si sakit buka pintu dan mempersilakan kami masuk.

Sebaik saja kami duduk berdepan dengan si sakit yang kelihatan tenang dan aman itu, secara tidak diduga bomoh tua pun sampai.

Tanpa memberi salam, ia terus berdiri di ambang pintu. Wajahnya kelihatan masam dan bengis.

Saya menarik nafas sambil menjeling ke arahnya. Tidak ada kata-kata yang terungkap dari mulut bomoh tua.

Hati saya menjadi cemas dan bimbang. Saya berdoa semoga tidak akan tercetus sebarang pertengkaran atau perkelahian.

“Apa khabar, sila duduk,” suara Datuk lembut.

“Tak payah,” jawab bomoh tua lalu memusingkan badan ke kanan. Isteri si sakit merenung muka guru silat.

“Maafkan kami, kalau kami tersilap,” guru silat bersuara.

“Saya juga macam tu,” sahut isteri si sakit.

“Tak payah,” cukup keras suara bomoh tua.

Bomoh tua segera memusingkan tubuhnya, memberikan belakang pada kami yang berada dalam rumah. Datuk tunduk merenung lantai, terkejut dengan sikap bomoh tua.

Perlahan-lahan bomoh tua melangkah, menuju ke muka pintu. Daun pintu sebelah kanannya ditumbuk dengan sekuat hati. Perbuatannya itu menimbulkan rasa marah pada guru silat.

“Biadab, kurang ajar,” kutuk guru silat dan bersedia untuk menerkam ke arah bomoh tua yang sedang menekan kiri kanan belikatnya dengan sepasang tangan.

“Biar saya ajar dia,” guru silat minta izin dari Datuk.

“Jangan, musuh jangan dicari.”

“Saya tahu tapi, si tua kutuk ni dah melampau.”

“Sabar dulu.”

“Hati saya tak boleh sabar lagi.”

“Kau mengucap dan kemudian bacalah Surah Al-Ikhlas, semoga Allah akan memberi kesabaran pada kamu.”

Guru silat menarik nafas panjang. Saya lihat mulutnya berkumat-kamit dan saya yakin, guru silat tersebut mematuhi apa yang diperintah oleh Datuk.

Semua biji mata yang berada dalam rumah tertumpu ke arah bomoh tua yang sedang memijak anak tangga. Dalam beberapa saat saja bomoh tua hilang ditelan kegelapan malam.

Semua yang ada dalam rumah berpandangan sama sendiri. Masing-masing mahu mendengar apa yang mahu dikatakan oleh Datuk.

Dalam keadaan yang agak kurang tenteram itu, saya melihat satu bungkusan melayang dari luar masuk ke rumah. Bungkusan itu tersadai atas lantai.

“Siapa pula yang baling kita dengan daun keladi,” isteri si sakit bersuara.

Wajahnya nampak cemas dan bersedia untuk mengambil bungkusan dari daun keladi untuk dicampak kembali keluar rumah.

“Jangan sentuh,” pekik Datuk.

“Kenapa?” sanggah guru silat.

“Tunggu dulu,” jawab Datuk tenang.

Tiba-tiba kami terhidu bau najis manusia. Saya yakin bau itu datangnya dari bungkusan daun keladi yang ada di depan kami.

“Awak ada tercium bau busuk?” soal Datuk.

“Ya,” sahut isteri si sakit.

“Bau najis tu datang dari bungkusan daun keladi, kalau ada sesiapa yang sentuh daun keladi itu, mungkin seluruh badannya berbau busuk sampai mati,” Datuk memberi penjelasan.

Saya kedutkan dahi, tidak sanggup rasanya menghadapi dugaan seperti ini.

Kenapa Datuk harus melalui pekerjaan yang sukat dan menyulitkan ini? Timbul pertanyaan dalam kepala saya.

Semuanya ini berpunca dari bomoh tua sial, kutuk batin saya sambil menggigit bibir.

“Ambilkan saya segenggam beras dan segelas air,” Datuk renung muka isteri si sakit.

Tanpa bersuara, isteri si sakit terus bangun ambil segenggam beras dan secawan air lalu menyerahkan pada Datuk.

Datuk rendamkan beras dalam cawan beberapa minit sambil telapak tangannya menutup permukaan cawan.

Semua orang yang berada dalam rumah menyaksikan asap nipis keluar dari celah jejari Datuk yang menutup permukaan cawan. Wajah Datuk nampak berpeluh. Sepasang biji matanya tertumpu ke arah bungkusan daun keladi.

“Curahkan air ini ke daun keladi,” kata Datuk.

“Sekarang? Tanya saya ragu-ragu. Datuk anggukkan kepala. Saya renung ke arah guru silat.

“Cepat, Tamar.”

“Biar saya yang buat,” guru silat mohon kebenaran.

“Siapa pun boleh tapi, mesti cepat jangan sampai asap yang kamu nampak hilang,” suara Datuk keras.

Guru silat segera menyentuh badan cawan. Air dan beras yang ada dalam cawan segera dicurahkan ke arah bungkusan daun keladi.

Sebaik saja air dan beras terkena daun keladi, bau busuk segera berakhir. Semua wajah dalam rumah tidak berkerut lagi.

Malah si sakit yang tadi menutup hidungnya dengan bantal, segera melemparkan bantal ke tepi dinding.

“Saya buang daun tu boleh tak?” tanya isteri si sakit.

“Biar saya yang buang,” Datuk segera bangun dan menjamah daun keladi.

"Sebenarnya daun keladi ni tak isi apa-apa,” kata Datuk lagi sambil membuka bungkusan daun keladi di depan kami.

“Jadi bau busuk datang dari mana?” soal si sakit.

“Daun keladi ini dijadikan syarat untuk mengirim bau najis. Biasanya hanya secalit najis saja yang dikenakan pada tulang daun keladi. Kemudian daun keladi tu dikirimkan melalui angin. Tujuannya untuk memalukan orang tertentu.”

“Siapa agaknya yang membuat kerja ni?” tanya isteri si sakit. Datuk gelengkan kepala. Saya tarik nafas dalam-dalam.

“Apa ilmu yang digunakan orang tu?” guru silat pula mengajukan pertanyaan pada Datuk.

Saya lihat Datuk termenung sejenak, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

“Saya kurang arif tentang hal ini,” balas Datuk.

“Sikit pun awak tak tahu?” guru silat minta kepastian.

“Saya tak tahu. Biasanya orang yang menggunakan najis manusia untuk sesuatu tujuan diamalkan oleh orang yang menuntut ilmu pukau kucing.”

“Pukau kucing tu macam mana,” guru silat terus mendesak.

“Begini, orang yang gagal memukau penghuni rumah atau gagal mencuri sesuatu dari rumah yang dihajati akan meninggalkan najis sendiri di mana-mana bahagian rumah,” Datuk memberikan penjelasan.

Guru silat anggukkan kepala dua tiga kali dan Datuk melanjutkan kisahnya.

Menurut Datuk, kawasan rumah yang jadi sasaran ialah di bahagian bucu rumah yang menghala ke arah matahari jatuh. Tujuan berbuat demikian untuk memalukan penghuni rumah yang terlibat.

Sebab disebut pukau kucing kerana ilmu itu tidak akan menjadi pada penghuni rumah yang membela kucing terutama kucing jantan yang berjaga sepanjang hari. Tetapi, bila kucing itu tidur di luar rumah ilmu itu akan menjadi.

“Sekarang kita dah faham, agaknya orang yang membaling daun keladi tadi ada ilmu yang awak katakan itu,” isteri si sakit bersuara tenang. Datuk tersenyum.

Dua tiga kali ia menelan air liur. Badan saya mula terasa sejuk. Kokok ayam mula terdengar sayup-sayup. Embun jantan mula berjatuhan dari langit.

“Saya tak berani nak cakap. Mungkin cakap awak tu benar, mungkin tidak. Maklumlah ilmu jahat ni ada bermacam-macam,” suara Datuk merendah sambil memeluk tubuh menahan rasa dingin dari menguasai tubuhnya.

Guru silat terus bangun merapatkan daun pintu yang terdedah.

MENGUAP

Suara cengkerik kian hebat di luar, ditingkah dengan desiran angin malam yang bertiup lembut. Kokok ayam terus bersahut-sahutan.

Guru silat sudah dua tiga kali menguap. Kelopak mata saya terasa pedih dan berair. Rasa mengantuk bertambah berat.

Tetapi, setiap kali saya cuba merapatkan kelopak mata untuk tidur sambil duduk, saya terdengar suara si sakit seperti orang melepaskan nafas kepenatan yang amat sangat.

Rupanya suara si sakit itu dapat juga didengar oleh Datuk dan guru silat. Serentak mereka memandang ke arah si sakit.

Guru silat segera menggerakkan sepasang bulu keningnya. Ternyata ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepalanya.

“Ada apa-apa masalah, agaknya kamu susah nak bernafas?” tanpa bertangguh-tangguh guru silat mengajukan pertanyaan. Si sakit tersenyum sambil bersuara lembut.

“Tak ada apa-apa.”

“Hum,” guru silat seperti mengeluh sambil merenung ke arah saya dan Datuk.

Isteri si sakit segera bangun menuju ke dapur. Gegendang telinga saya menangkap bunyi sudu berlaga dengan cawan. Saya senyum sendirian.

Isteri si sakit sedang membancuh kopi. Sebentar lagi tekak kami pasti basah dan rasa mengantuk pasti tidak terasa lagi. Ramalan saya memang tepat, isteri si sakit meletakkan kopi dan kuih di depan kami.

“Minumlah buat hilang mengantuk,” katanya penuh sopan.

“Terima kasih,” ucap saya setelah isteri si sakit meletakkan cawan kopi di depan saya.

“Agaknya, ada rancangan malam ni?” guru silat renung muka Datuk.

“Tengok keadaan,” pendek saja jawapan dari Datuk.

“Dah jauh malam ni,” si sakit seperti merungut.

“Ya, dah dekat pukul satu,” sahut saya.

“Patutlah terasa sejuk,” tingkah guru silat.

Di luar desiran angin malam yang melanggar dedaun melahirkan suara dalam nada yang gemeresik.

Suara burung hantu dan kokok ayam bersama bunyi cengkerik berpadu menghiasi suasana malam yang kian tua.

Bagi mengurangkan rasa sejuk, saya terus menghirup air kopi dan menjamah goreng keledek yang masih panas.

“Kadang-kadang saya jadi bingung dengan perangai bomoh tua tu,” si sakit membuka rahsia.

Badannya kelihatan berpeluh. Buncit di perutnya kelihatan menurun dan urat-urat hijau yang timbul di permukaan perutnya turut berkurangan.

“Apa benda yang kau bingungkan?” celah Datuk.

“Bomoh tua tu suka marah-marah tak tentu fasal. Baik pagi, petang dan malam, bila datang terus marah-marah,” si sakit membuka rahsia.

“Pelik juga memikirkan perangainya,” guru silat bagaikan mengeluh.

“Siang tadi, ada dia datang?” Datuk mencungkil rahsia.

“Ada, petang tadi dia datang dan marahkan kami, ikut sedap mulutnya. Pedih hati kami yang mendengarnya,” rahsia yang dicari sudah pun terbongkar.

Isteri si sakit terus anggukkan kepala, mengiakan apa yang diucapkan oleh suaminya.

Air kopi terus saya hirup. Guru silat perlahan-lahan meraba pangkal hidungnya. Datuk masih merenung ke arah si sakit yang tidak dapat bergerak dengan bebas.

Bunyi dedaun yang berlaga sama sendiri, akibat dirempuh angin malam jelas kedengaran.

“Selain dari memaki hamun kamu berdua, apa lagi yang dikatanya pada kamu?” Datuk memecahkan suasana yang agak sepi menguasai ruang rumah.

Di wajah isteri si sakit kelihatan keresahan bagaikan mahu merahsiakan sesuatu dari Datuk.

“Apa katanya pada kamu?” ulang Datuk.

“Dia dah memutuskan, tidak mahu mengubati saya. Kalau ada apa-apa yang terjadi pada saya, dia tidak mahu bertanggungjawab,” kelopak mata si sakit terkebil-kebil.

“Semua alat-alat dan ramuan ubatnya habis dibawanya balik,” lanjut isteri si sakit dengan wajah hampa yang amat sangat.

“Segala mangkuk putih, gelas dan cawan digunakan habis dihempaskannya di tangga,” si sakit pula memberi penjelasan. Datuk menarik nafas panjang.

“Bila bomoh dah buat begitu, saya memang tidak yakin yang saya boleh baik dan hidup. Saya hanya menanti saat saja untuk mati,” si sakit melahirkan perasaan kecewa dan putus asa.

Sinar matanya yang tadi kelihatan bercahaya, kini menjadi pudar, begitu juga dengan isterinya.

Kedukaan dan kehampaan yang merajai sepasang hati suami isteri tergambar juga di wajah guru silat.

“Apa si sakit tak ada harapan nak hidup?” guru silat menentang wajah Datuk.

Saya lihat Datuk menggigit ibu jari kanan. Macam ada sesuatu yang difikirkannya.

“Aneh dan pelik perangainya,” Datuk seperti mengeluh.

“Apa yang pelik dan apa yang aneh?” soal guru silat. Datuk gelengkan kepala beberapa kali kemudian terus termenung panjang.

Macam-macam perkara yang buruk datang dalam tempurung kepala saya. Saya bayangkan kepayahan dan kesukaran yang bakal kami alami.

Di samping itu, bukanlah satu perkara yang mudah untuk mengembalikan keyakinan diri sendiri pada si sakit yang sudah putus asa.

“Bila bomoh tu dah lepas tangan, tak mahu ubat suami saya, apa suami saya boleh hidup?” pertanyaan yang tulus ikhlas dari isteri si sakit.

Datuk jegilkan biji mata lalu menatap wajah perempuan yang dalam keresahan itu.

“Kamu tahu nyawa manusia milik siapa?” tanya Datuk pada perempuan tersebut.

“Saya tahu, itu saya tahu.”

“Apa yang kamu tahu, cakap sekarang.”

“Nyawa atau roh manusia milik Allah.”

“Kalau dah tahu begitu, kenapa kamu risau.”

“Tapi dia mengubati suami saya.”

“Hiss kamu,” Datuk terus genggam penumbuk. Wajahnya jadi merah.

Saya dan guru silat berpandangan. Datuk terus bangun lalu membuka jendela. Badan saya terasa sejuk.

Dari jendela yang terdedah, saya melihat langit yang digantungi awan nipis yang lembut. Bintang kelihatan bertaburan di mana-mana. Suara pungguk kian jelas kedengaran. Datuk merapatkan daun tingkap rapat-rapat. Ia duduk di tempat asalnya.

Datuk memperkemaskan silanya. Dengan tenang ia menghirup air kopi. Tiba-tiba tanpa diduga seekor cicak jatuh di depannya.

Dan cicak itu tidak berusaha untuk melarikan diri. Ekornya terjungkit-jungkit beberapa kali ke arah Datuk.

Datuk tidak menghiraukannya tetapi, jari telunjuk Datuk memetik lantai tiga kali berturut-turut. Anehnya, cicak itu terus berbunyi dan akhirnya hilang.

“Kita minta sesuatu pada Allah, kita tidak minta bantuan dari bomoh dan dukun atau patung, kita tidak minta sesuatu dari manusia. Allah berkuasa atas segala-galanya, kerana digerakkan oleh Allah saya datang ke sini,” Datuk bagaikan memulakan satu ceramah pendek.

Saya mula resah, sesungguhnya saya tidak suka Datuk berbuat demikian. Saya sedar bila dia mula bercakap sesuatu yang ada hubungan dengan hukum agama pasti memakan masa yang agak panjang dan membosankan.

“Awak faham dengan apa yang saya cakapkan tadi?” cara mengejut Datuk menyoal isteri si sakit.

Isteri si sakit anggukkan kepala.

“Kalau dah faham, apa yang awak risaukan.”

“Bukan risau cuma saya bimbang.”

“Jangan risau dan bimbang, yakinlah pada kuasa Allah dan diri sendiri. Insya-Allah kita selamat,” Datuk memberikan secebis nasihat.

Isteri si sakit tunduk merenung lantai sambil mengerutkan dahi luasnya.

Semuanya tertunduk diam mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Datuk. Mungkin pada pendapat dan fikiran mereka kata-kata Datuk itu memang benar dan tidak diragui.

Datuk bangun kembali lalu menuju ke arah tingkap yang terdedah dan terus berdiri di situ.

“Pedulikan bomoh tu,” kata Datuk.

“Tapi, bagaimana dengan saya, tak ada sesiapa yang mahu mengubati,” si sakit seperti merayu.

“Bukankah sudah saya minta pertolongan pada Allah,” Datuk terus sergah si sakit.

Lagi sekali mata si sakit terbeliak dan si sakit terus menarik nafas dalam-dalam dan akhirnya termenung panjang.

TINGKAP

Datuk yang berdiri dekat tingkap merenung ke arah kami. Angin malam yang menyerbu masuk ikut jendela menolak rambutnya.

Isteri si sakit sudah tidak mahu berkata apa-apa. Semuanya diserahkan pada keadaan. Kalau sudah ditakdirkan oleh Allah yang suaminya akan meninggal dunia cara begitu, ia tetap menerimanya dengan tabah.

“Kita disuruh berusaha dan berikhtiar dan sekarang kita harus berusaha,” ujar Datuk lembut.

Wajah si sakit dan isterinya segera berubah menjadi riang. Begitu juga dengan wajah guru silat kelihatan berseri-seri. Segaris senyum terpamer di kelopak bibirnya.

Datuk pun melangkah ke arah kami. Tiba-tiba langkahnya mati diganggu oleh bunyi dengungan yang amat kuat macam dengung kumbang.

“Jaga-jaga, ada benda masuk ikut tingkap,” jerit guru silat pada Datuk.

Bagaikan kilat, Datuk palingkan muka ke arah tingkap. Datuk merendahkan kepalanya dari dilanggar benda yang masuk ikut tingkap.

Bentuknya bulat sebesar kelapa gading dan mengeluarkan percikan cahaya. Benda bulat itu terus meluru ke arah si sakit.

Bunyi dengungan cukup kuat memekakkan anak telinga. Guru silat menutup kedua belah lubang telinganya dengan telapak tangan.

“Jaga, lindung suami kamu dengan tikar,” jerit Datuk dengan sekuat hati, bila ia melihat benda bulat itu berlegar di depan muka si sakit.

Kali ini bentuknya terus mengecil, bulat seperti ikan buntal. Isteri si sakit tergamam. Tidak tahu apa yang harus dilakukannya.

Melihat keadaan yang agak kelam-kabut itu, guru silat segera menerkam ke arah isteri si sakit.

Perempuan yang terkejut dan terkaku dengan keadaan yang dihadapinya terus ditolak oleh guru silat hingga jatuh tersungkur. Guru silat terus menarik tikar mengkuang yang di duduk oleh isteri si sakit.

Akibat ditarik secara mengejut dan kuar, isteri si sakit bergolek atas lantai macam buah mempelam yang terlepas dari tangkai lalu bergolek atas permukaan jalan raya.

Dalam keadaan yang cemas itu saya masih sempat tersenyum melihat telatah isteri si sakit yang melucukan itu.

“Serkup badan yang sakit,” Datuk mengeluarkan perintah.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 90/284

BACA: SBDJ Siri 89: Cawan Bergerak Sendiri
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Kenapa AS Tidak Berani Serang Iran?

Kenapa AS Tidak Berani Serang Iran?

Pada 12 Mei 2019 lalu, telah dilaporkan berlaku ledakan ke atas empat buah kapal pembawa minyak. Dua milik Arab Saudi, satu milik Norway dan satu lagi milik Emeriah Arab Bersatu, disyaki telah dilakukan oleh perisik Iran di Selat Hormuz.

Kenapa AS Tidak Berani Serang Iran

Amerika atas arahan commader in chief Presiden Donald Trump telah menghantar kapal terbang pengebom B-52 dan kapal perang ke arah Teluk Parsi.

Wajib diketahui, di sekitar Teluk Parsi, dalam negara Teluk Arab terdapat banyak pangkalan tentera darat, laut dan udara milik Amerika malah, pangkalan bala tentera Amerika berselirat dalam negara-negara Arab sehingga ke Israel.

Sebagai jawapan kepada ledakan empat buah kapal minyak ini, Amerika juga dilaporkan akan menghantar 120,000 tentera ke Timur Tengah. Penghantaran ini masih dalam perancangan.

Kenyataan Donald Trump dari Rumah Putih ini menjadikan suasana di Timur Tengah tegang. Malah dunia juga mula merasa gelisah. Timbul persoalan, adakah Amerika Syarikat akan menyerang Iran?

Suasana tegang ini sengaja disusun. Suhunya sengaja dinaikkan di bawah Donald Trump.

Ketika Barack Obama di Rumah Putih, telah dibuat satu perjanjian yang dipanggil Joint Comprehensive Plan of Action (JCPOA).

Perjanjian P5+1 ini adalah antara Iran dengan lima negara – China, Perancis, Rusia, United Kingdom, Amerika + Jerman dan Kesatuan Eropah.

Perjanjian JCPOA berjangka panjang. Iran akan dibantu dan dibenarkan untuk mendirikan tenaga nuklear untuk menjana kuasa elektrik kerana Iran tidak dibenarkan membuat senjata nuklear.

Aliran minyak Iran

Iran bersetuju tidak akan membuat bom nuklear. JCPOA ditandatangani pada 14 Julai 2015 tetapi, hari ini – ketika tulisan ini digarap - Iran akhirnya mengakui telah melanggar semua perjanjian.

Pada 13 Oktober 2017, Presiden baru Amerika Donald Trump telah membakulsampahkan JCPOA dan menuduh Barack Obama menjual dan menggadai kepentingan Amerika kepada Iran.

Justeru Donald Trump terus memberi tekanan kepada Iran. Sekatan ekonomi oleh Amerika diperketat. Negara-negara dilarang membeli minyak mentah dari Iran. Sesiapa melanggar akan menerima akibat yang sama dari Amerika. Ekonomi Iran menjadi porak-peranda.

Export utama Iran ialah minyak

Dilaporkan, Iran kehilangan pasaran minyak mentah sebanyak satu juta tong sehari. Akibatnya amat berat kepada ekonomi Iran.

Sayugia diingati bahawa 20-30 peratus minyak mentah yang diguna pakai dalam dunia semuanya melintasi Selat Hormuz.

Minyak yang melintasi Selat Hormuz datang dari negara teluk dan Iran. Negara China, India, Jepun dan Kesatuan Eropah membeli minyak dari Iran.

Justeru Selat Hormuz menjadi lubang pernafasan sistem ekonomi kapitalis dunia yang memerlukan bahan bakar minyak.

Amerika Syarikat mahu menutup semua aliran minyak Iran, untuk memastikan rejim Iran jatuh. Ini satu lagi projek regime change atau tukar kerajaan yang sedang dijalankan oleh kuasa Zionis -Anglo-Amerika.

Kepala penjahat dan batu api projek menyerang Iran ini dikepalai oleh Arab Saudi dan Zionis Israel.

Israel tidak mahu Iran menjadi gagah hingga dapat menyerang Isreal. Lihat bagaimana Iraq – yang memiliki kudrat untuk melawan Israel akhirnya berjaya dimusnahkan.

Kini, yang menjadi sasaran Israel ialah Iran yang dilihat sebagai satu kuasa besar yang boleh menundukkan Israel.

Justeru, kaum Zionis sedang bekerjasama dengan kaum Wahabi untuk memusnahkan Iran yang melalui jaringan lobi telah berjaya melobi para dalang Amerika untuk menjadikan Iran sebagai musuh.

Iran kini dicap dan digambarkan sebagai pembawa malapetaka kepada Timur Tengah, walhal satu dunia tahu tentang perancangan Wahabi dan Zionis ini.

Yang tidak tahu peranan jahat tok Arab Saudi hanyalah para lebai-lebai kampung, lebai pondok dan Mat Kati dari Batu Kikir. Untuk mereka tok Arab itu semuanya baik, jujur warak sebagai cucu cicit nabi.

Tegang bertambah tegang

Arab Saudi sebenarnya gentar berhadapan dengan dasar politik dalaman dan dasar luar Iran yang jelas menjalankan dasar antikaum feudal.

Islam yang antiraja dan antifeudal ini amat-amat ditakuti oleh Bani Saud kerana sikap antiraja ini akan mempengaruhi warga Saudi.

Malah, pengaruh antiraja ini akan merebak ke semua Negara Teluk, negara Arab Islam termasuk ke Brunei dan Malaysia. Ini menakutkan semua jaringan kaum feudal. Amin.

Dasar luar Iran pula jelas menentang Zionis Israel dan imperialis Amerika kerana Iran satu-satunya negara Dunia Ketiga bersama Cuba, Korea Utara dan Venezuela yang berani bangun bersuara menentang kuasa imperial Amerika.

Ini menakutkan Arab Saudi kerana rejim Saud tahu, tanpa bantuan dan sokongan Amerika, dalam masa dua minggu pak syeikh Arab Saudi akan lingkup.

Kemudian, pada 13 Jun 2019, dua buah kapal pembawa minyak mentah meledak lagi. Kali ini betul-betul ketika melintasi Selat Hormuz. Kapal ini satu milik Norway dan satu lagi milik Jepun.

Yang pelik lagi menghairankan ialah ketika ledakan ini berlaku, perdana menteri Jepun, Shinzo Abe sedang membuat lawatan rasmi di Tehran.

Apa yang bertambah pelik, Shinzo Abe datang ke Tehran dengan tujuan melamar Presiden Hasan Rouhani untuk dijemput berbincang dengan Donald Trump.

Suasana tegang bertambah tegang. Pada 20 Jun 2019, berita meledak selepas sebuah drone milik Amerika ditembak jatuh oleh Pasukan Revolusi Iran.

Drone berharga 110 juta dolar jenis RQ-4A-Global Hawks ini bertugas sebagai pengintai dari udara. Drone ini sedang mengintip wilayah Iran. Dum. Jatuh ditembak. Berkecai.

Dunia menunggu apakah jawapan Donald Trump dan Amerika. Pada 21 Jun 2019, media dunia melaporkan bagaimana Presiden Donald Trump telah memanggil pulang satu gerombolan kapal terbang pengebom Amerika yang telah naik ke udara menuju Iran.

Kapal terang pengebom ini dipanggil pulang ke pangkalan kerana Presiden Donald Trump berasa amat bersalah jika Iran dibom, maka akan gugur 150 warga Iran yang tidak berdosa.

Donald Trump tidak sanggup melihat mayat bergelimpangan. Air mata keldai beliau mencurah masuk ke cawan teh.

Apabila berita Donald Trump membatalkan serang terhadap Iran ini diketahui, maka satu dunia ketawa. Lawak Donald Trump kali ini betul-betul menjadi. Kah, kah, kah.

Donald Trump dah jadi wali?

Dunia mula bertanya, apakah Donald Trump telah menjadi wali? Adakah Donald Trump telah mula ke gereja? Adakah soldadu Amerika di bawah Komander Donald Trump telah bertaubat tidak mahu membunuh lagi?

Lawak Donald Trump ini semakin menjadi-jadi apabila NGO Anti-War – NGO menentang perang - mengeluarkan data tentang kematian dalam perang. Dilaporkan jumlah kematian warga Iraq sehingga ke hari ini ialah 1,455,590.

Laporan rasmi kerajaan menunjukkan jumlah soldadu Amerika yang gugur di Iraq ialah 4,801. Manakala jumlah soldadu antarabangsa yang gugur menyokong Amerika di Afghanistan ialah 3,487.

Berjuta mati berbanding dengan 150 warga Iran yang akan gugur kerana tindak balas menjatuhkan drone Amerika. Dunia terus bertanya, kenapa Donald Trump membuat lawak. Ops, membuat kenyataan membatalkan serangan terhadap Iran?

Jawapannya mudah: Amerika takut. Donald Trump hanya gertak. Iran tak berganjak. Iran bukan Iraq. Iran memiliki soldadu yang telah diduga berperang selama 10 tahun dengan tentera Saddam.

Penduduk Iran seramai lebih dari 80 juta orang tidak berpecah-pecah seperti di Iraq. Budaya dan tamadun Parsi kuno pernah menjadi empayar menyerang Greek.

Ideologi Syiah yang antifeudal dan antiimperialis sama seperti ideologi Marxist-Leninist yang digunakan oleh Vietnam untuk mengalahkan Amerika. Ideologi ini bertahan lama.

Gertak Donald Trump ini sebenarnya ada tujuan. Beliau ingin bertanding sekali lagi untuk masuk ke Rumah Putih. Dengan melaungkan dan memukul gendang perang terhadap Iran, Donald Trump dilihat sebagai calon presiden yang layak untuk dipilih sekali lagi.

Donald Trump mewakili sentimen Amerika Syarikat berkulit putih yang selama ini merasa terpinggir.

Gertak Donald Trump ini juga bertujuan untuk membawa Presiden Rouhani ke meja perundingan. Donald Trump mahu dilihat duduk sameja dengan musuh ketat.

Ini cantik untuk BBC. Indah Untuk CNN. Molek untuk New York Times. Bayangkan tajuk berita, “Dua musuh duduk sameja”, two sworn enemy (musuh ketat). Tak percaya?

Lihat berita dunia Ahad 30 Jun 2019 yang lalu. Satu dunia melihat Donald Trump bersalaman dengan musuh ketat Kim Jung Un dari Korea Utara. Ini namanya wayang. Ini namanya sandiwara. Ini namanya politik. Pelakon utama di Rumah Putih sedang mengikut arahan pak dalang.

Tapi, bagaimana jika Donald Trump betul-betul akan menyerang Iran?

Kalah jadi abu menang jadi arang

Seluruh dunia mengalu-alukan Presiden Donald Trump untuk melanggar Iran. Bomlah Iran kalau berani. Bom sekarang.

Al-Arabiya News pernah melaporkan kenyataan Ali Rahimi Timbalan Presiden Iran pada ketika itu.

Beliau berkata, “If sanction are adopted against Iranian oil, not a drop of oil will pass through the Straight of Hormuz”. Ini dasar Iran seawal tahun 2011. Terlalu ramai yang lupa dan alpa akan dasar Iran ini.

Iran tidak akan membenarkan minyak dari negara mana pun melintasi Selat Hormuz. Jika minyak Iran tak keluar, maka semua minyak tidak akan keluar.

Untuk membuktikan kenyataan ini, kapal pembawa minyak telah meledak. Masih tidak percaya? Drone ditembak jatuh. Masih tak percaya? As sepatutnya menyerang Iran sekarang.

Drone milik Amerika

Pertama, jika Iran diserang, harga minyak dunia akan melambung naik. Malah ada yang meramalkan harga akan naik ke tahap 1,000 dolar satu tong.

Ini baik untuk Malaysia, sebuah negara pengeluar minyak. Petronas akan ketawa terbahak-bahak membawa dompet ke bank.

Kedua, perang ini pasti akan melimpah ke Arab Saudi. Di selatan Saudi, Perang Yaman sedang masuk tahun ke empat.

Apabila Amerika menyerang Iran, pasti ia akan memberi nafas kepada gerakan anti-Saudi dan anti-Wahabi di Yaman.

Ketiga, bila rejim Saud tumpas maknanya Israel juga akan tumpas. Ini maknanya pengaruh Amerika akan berkurangan di Timur Tengah. Dua batu api, Israel dan Arab Saudi, wajib dibenamkam sama dalam perang ini.

Keempat, bila perang merebak ke Arab Saudi, maka ini tanda hari-hari terakhir Bani Saud, kerana bila tumpas, maka para Wahabi juga akan ketandusan fulus.

Kelima, bila Amerika sibuk di Timur Tengah maka negara lain di Amerika Latin seperti Cuba dan Venuezeula akan bernafas kembali.

Sejarah dua dekad dahulu telah membuktikan apabila Amerika ‘gila’ di Timur Tengah, negara di Latin Amerika mengambil langkah kiri.

Presiden Donald Trump yang dihormati, sila jangan gertak gertak. Sila jangan buat lawak. Serang Iran sekarang agar dunia kapitalis akan huru-hara.

Dalam huru-hara ini dunia baru dapat dimunculkan sama seperti selepas perang dunia ke dua dahulu.

Tetapi, jika Tuan Presiden menggunakan bom nuklear maka, yang kalah jadi abu menang jadi arang.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Misteri Gadis Dalam Bot Pukau Pemancing

Misteri Gadis Dalam Bot Pukau Pemancing

Memburu udang galah bersepit biru kadang kala berdepan dengan bahaya terutama sang bedal bermata merah yang menunggu dalam air, namun bahaya itu masih boleh dielakkan dengan syarat pemancing tidak mengganggu ketenteraman reptilia itu.

Misteri Gadis Dalam Bot
Gambar hiasan.

Apapun, reptilia yang menghuni lubuk mahupun tebing sungai itu tetap bertindak ganas dan berbahaya jika kita sengaja mengacaunya.

Pemancing udang galah sudah maklum hakikat ini justeru, mereka sentiasa mengamalkan petua terbaik sebelum turun memancing.

Hari itu hujung minggu. Sekumpulan empat orang dari Tanjung Malim, Perak bergegas ke Kampung Bertam (bukan nama sebenar) terletak di pinggir Sungai Perak.

Tok Alang penyewa lima bot pancing untuk pelanggan yang berminat memancing udang.

Kumpulan empat orang yang berhasrat untuk memburu udang galah hampir kecewa kerana bot sudah habis dibawa pelanggan yang turun memancing lebih awal pagi minggu itu.

Alang Atan yang mengetuai kumpulan empat orang itu terpaksa menunggu satu jam bagi membolehkan dua sampan pulang ke jeti kerana disewa pemancing malam Sabtu.

Alhamdulillah, hasrat mereka tercapai apabila dua sampan yang baru saja tiba sudah disambar kumpulan Alang Atan.

Bersama Alang Atan ialah seorang anak muda berketurunan Orang Asli bernama Pandak. Yazid dan Hisham pula menaiki sampan yang satu lagi.

Pandak sudah biasa dengan keadaan sungai berkenaan, malah beliau boleh membilang lubuk yang banyak udang dan mengarahkan Yazid supaya tidak berpisah jauh dalam apa juga keadaan.

Lubuk pertama mereka singgah lalu memulakan aktiviti memancing dengan menggunakan empat batang joran kecil setiap seorang.

Lubuk ini kurang menjadi. Cuma beberapa ekor yang berjaya didaratkan dengan saiz kecil yang tidak langsung menarik minat.

Pandak mengajak pindah ke lubuk kedua yang agak jauh ke hulu sungai.

Sedangkan lima bot yang lebih awal sudah tidak kelihatan. Pandak mencari pedoman sekeliling melalui pengalamannya yang luas di hutan mahupun di sungai.

Lubuk ditemui dan keadaan sekitarnya dirasakan berlainan. Tetapi sikap berani Pandak membuatkan mereka tidak merasa terlalu takut.

Lubuk berkenaan menarik minat mereka dengan udang galah bersepit biru bersaiz L. Satu demi satu udang didaratkan.

Mereka rasa terhibur malah Yazid dan Hisham yang berlabuh jauh sedikit turut mengaut rezeki yang banyak.

Namun, dalam keadaan yang ghairah itu cuaca bertukar dengan tiba-tiba. Hujan panas turun dengan lebat. Ini petanda kurang baik, kata Pandak kepada Alang Atan.

Dalam masa yang begitu pantas, sebuah sampan dengan dua orang wanita cantik mendekati sampan Yazid sambil mempelawa Yazid mengikutnya.

Yazid dan Hisham bagaikan terpukau mengikut saja sampan wanita itu yang memecut laju ke hulu sungai.

Pandak dan Alang Atan turut terpaku beberapa minit dan kemudian menyedari keadaan pelik itu lalu mengikut arah sampan Yazid tetapi sampan sudah hilang daripada pandangan. Pandak terus mengejar tetapi gagal.

Hujan panas masih turun. Mereka mula bimbang cerita Alang Atan. Hulu sungai sudah bertambah kecil dan cetek.

Mereka berpatah balik dan di pertengahan perjalanan mereka menjumpai sampan yang dinaiki Yazid dan Hisham yang hilang entah ke mana. Hilang bagaikan misteri sehingga hari ini.

Alang menamatkan cerita dengan wajah sayu malah kecewa dan terkilan atas kehilangan dua rakan karibnya.

Hilang tanpa kesan, mati tanpa kubur namun yang hidup terus mencari rezeki dan udang galah bersepit biru terus diburu.

Renungan

Begitulah lumrahnya alam ciptaan Allah yang maha mengetahui, setiap yang hidup pasti merasai mati, manakala yang hidup terus membina kehidupan yang diredhai Allah semoga mendapat rahmat dan keberkatan – InsyaaAllah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

HongMeng OS Huawei Lebih Pantas Berbanding Android!

HongMeng OS Huawei Lebih Pantas Berbanding Android!

Mula diberi fokus ketika Huawei disekat dalam perdagangan antara Amerika Syarikat-China, Google dan beberapa syarikat gergasi lain, HongMeng OS nampaknya bakal menjadi sistem operasi altenatif kepada telefon pintar keluaran Huawei.

HongMeng OS Pantas

Terbaharu, menerusi perkongsian daripada Huawei Central, HongMeng OS sudah mula ditawarkan buat beberapa penguji.

Dan siapa sangka, meskipun dalam peringkat awal dikatakan prestasi HongMeng OS lebih pantas berbanding Android.

Selain itu, difahamkan bahawa interface, ikon serta bunyi pada HongMeng OS juga turut berbeza berbanding ROM EMUI yang digunakan pada Android.

Sekiranya prestasi sistem operasi ini menunjukkan reaksi yang positif, pastinya HongMeng OS bakal menggugat penguasaan Android serta jenama telefon pintar lain keluaran China.

Walau bagaimanapun, model telefon pintar yang diuji dengan sistem operasi ini tidak dikongsikan kepada umum sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada orang ramai.

Sebelum ini, CEO Huawei turut menyatakan perkara yang sama dimana HongMeng OS jauh lebih pantas berbanding Android dan macOS.

Sama-sama kita nantikan pada 9 Ogos 2019, dimana Huawei bakal mengadakan aturcara Huawei Global Developers Conference (HDC) dimana orang ramai bakal mendapat info lanjut mengenai HongMeng OS serta model Huawei Mate 30.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Friday, July 12, 2019

12 Ramalan Warren Buffett Termasuk Kematiannya Sendiri

12 Ramalan Warren Buffett Termasuk Kematiannya Sendiri

Warren Buffett merupakan seorang billionaire yang tidak perlu diperkenalkan lagi kerana beliau merupakan usahawan paling berjaya di dalam sejarah zaman moden ini dengan teknik pelaburan value investing yang dipopularkan oleh Benjamin Graham.

Ramalan Warren Buffett

Warren Buffett juga terkenal dengan ramalan yang dibuat terhadap bidang ekonomi termasuk pasaran saham dan yang paling menonjol adalah tentang kematian dirinya sendiri.

Ada ramalan yang dibuat oleh Warren Buffett menjadi kenyataan dan ada pula yang tersasar, perkara normal bagi setiap manusia, kerana kita tidak mampu meramal masa depan dengan tepat.

Nak tahu apa ramalan popular yang dibuat Warren Buffett? Jom kita layan 12 ramalan berikut.

1. Mata Wang Digital/Cryptocurrency

Ramalan:

Cryptocurrencies merujuk kepada Bitcoin, yang terkenal kepada pelabur generasi baru sejak sedekad yang lalu, merupakan mata wang digital paling popular dan mempunyai harga yang tinggi dalam pasaran saham.

Warren Buffet meramalkan mata wang ini akan berakhir dengan tragedi seperti krisis bubble dot com yang berlaku pada awal tahun 2000.

Yang berlaku:

Ramalan itu hampir menjadi kenyataan kerana pada tahun 2017, Bitcoin telah melonjak ke paras $14,000 USD tetapi jatuh ke paras $3,400 USD pada awal tahun 2019.

Terkini, ianya telah naik semula ke paras $8,700 USD.

2. Golongan Yang Mempercayai Bumi Ini Adalah Rata

Ramalan:

Pada tahun 1984, Warren telah memberi ucapan mengenai golongan ini. Beliau tidak percaya bumi ini adalah rata dan telah memberitahu bahawa golongan ini akan berkembang pada masa akan datang. Ia memberi perumpamaan seolah-oleh mereka ini adalah golongan yang keras kepala.

Yang berlaku:

Ramalan itu menjadi kenyataan kerana golongan yang mempercayai bumi ini rata semakin bertambah dari sehari ke sehari.

3. Berkshire Hathaway

Ramalan:

Beliau memberitahu pertumbuhan Bekrshire Hathaway sebanyak 48.2% pada tahun 1985 tidak akan berulang lagi sepanjang tempoh kehidupanya.

Ianya sama seperti melihat Komet Harley yang mengorbit bumi setiap 76 tahun sekali.

Yang berlaku:

Ramalan itu salah dan hanya benar untuk seketika, kerana pada tahun 1998, Berkshire Heathaway telah mencatatkan pertumbuhan sebanyak 48.3%

4. Pasaraya Sears

Ramalan:

Warren yang membuat ramalan bahawa penggabungan dua syarikat makanan dan pasaraya Sears akan berakhir dengan kegagalan.

Walaupun mempunyai pengurus yang berpengalaman seperti Eddie Lampert, penggabungan kedua syarikat itu dilihat sukar untuk bersaing dengan Walmart dan Costo.

Yang berlaku:

Ramalan menjadi kenyataan. Sears telah diisytiharkan bankrap pada tahun 2018 dengan menutup kesemua rangkaian pasarayanya.

5. ABC, Geico dan The Washington Post

Ramalan:

Warren yang mengeluarkan kenyataan tidak akan menjual ketiga-tiga saham syarikat ini kerana mempunyai nilai pelaburan yang akan menguntungkan pada masa hadapan.

Beliau telah memberi ucapan ketika perjumpaan tahunan Berkshire Heathway pada tahun 1986.

Yang berlaku:

Ramalan ini tidak benar. Berkshire tidak dapat menolak tawaran yang lumayan daripada Disney untuk membeli syarikat ABC pada tahun 1996 dengan nilai $2.5 bilion.

Begitu juga dengan syarikat Washington Post yang menjual keseluruhan saham yang dimiliki kepada Jeff Bezof dengan nilai sebanyak $1.1 bilion.

Hanya saham Syarikat Geico sahaja yang dimiliki oleh Berkshire Hathaway buat masa ini.

6. Freddie Mac

Ramalan:

Pada tahun 1988, Berkshire Hathaway telah membeli syarikat lelongan rumah Freddie Mac. Beliau memberitahu bahawa jika sesebuah syarikat itu mempunyai pengurus yang baik dan perniagaan yang baik, beliau pasti akan memiliki syarikat tersebut untuk selama-lamanya.

Yang berlaku:

Warren telah menjual keseluruhan saham syarikat Freddie Mac kerana percaya pihak pengurusan baru ini tidak cekap.

Tindakan ini dapat menyelamatkan saham syarikatnya kerana krisis ekonomi yang melanda pada tahun 2008 benar-benar melibatkan urusan jual beli rumah.

7. Coca-Cola dan Gillette

Ramalan:

Kedua-dua syarikat ini dikatakan akan menjadi juara dalam bidang masing-masing dan Warren telah menulis mengenai kedua-dua syarikat ini di dalam perjumpaan tahunan pada tahun 1998.

Yang berlaku:

Kedua-dua syarikat ini memang ternyata menjadi jaguh dalam bidang masing-masing.

Syarikat Coca-Cola mendominasi minuman ringan seluruh dunia dengan 50% pegangan pasaran. Bagi Gillete pula, mereka mengalami persaingan hebat dengan syarikat baru iaitu Shaved Club dan Harris.

Dominasi Gillete pada tahun 2010 sebanyak 70%, telah menurun kepada 50% disebabkan persaingan sengit ini.

8. Sukan Ping Pong

Ramalan:

Warren meramalkan bahawa Ariel Hsing akan menjadi seorang jaguh ping pong yang akan memenangi pingat emas pada kejohanan sukan Olimpik suatu hari nanti.

Ariel Hsing merupakan seorang juara remaja yang berjaya memenangi kejohanan remaja pada usia 12 tahun.

Beliau merupakan tetamu istimewa yang dijemput oleh Warren Buffett pada setiap perjumpaaan tahunan syarikatnya.

Yang Berlaku:

Ramalan ini tidak tepat kerana pada sukan Olimpik di London pada tahun 2012, Ariel hanya berjaya memasuki kelompok 32 sebelum tewas pada pusingan tersebut.

9. Sektor Hartanah

Ramalan:

Beliau telah menjangkakan sektor hartanah akan kembali rancak selepas Amerika Syarikat mengalami krisis ekonomi yang teruk pada tahun 2008.

Warren juga meramalkan bahawa kadar pengangguran akan berkurangan pada masa akan datang.

Beliau telah meramal perkara ini pada perjumpaan tahunan pada tahun 2011.

Yang berlaku:

Ramalan ini sangat tepat. Jumlah rumah yang dihasilkan oleh Amerika Syarikat sejak tahun itu adalah sebanyak 1.2 juta unit dan kadar pengangguran menurun pada kadar 3.8%, jatuh dari paras 8.9% pada tahun 2011.

10. Dana Indeks/Index Funds

Ramalan:

Warren yang membuat pertaruhan pada tahun 2008 dengan menyatakan bahawa kadar pulangan index funds adalah lebih baik daripada 5 hedge fund yang terbaik di Amerika Syarikat.

Beliau yang membuat pertaruhan selama 10 tahun untuk mengetahui keputusan pertaruhan tersebut.

Yang Berlaku:

Ramalan itu tepat. Pada tahun 2018, Warren telah memenangi pertaruhan tersebut kerana index fund pada masa itu memberi pulangan sebanyak 8.3% manakala purata kadar pulangan 5 hedge fund hanya memberi pulangan sebanyak 3.5 %.

Ted Seides, seorang pelabur tersohor adalah salah seorang yang menyahut cabaran tersebut.

Kesudahannya, Warren telah menderma wang yang diperolehi sebanyak $2.2 juta kepada badan kebajikan.

11. Indeks S&P

Ramalan:

Beliau yang menjangkakan bahawa pulangan purata untuk pelaburan dalam indeks S&P 500 adalah sukar untuk melebihi 17% yang diperolehi dari tahun 1982 hingga 1999, tetapi perkara itu tidak mustahil akan berlaku pada dekad yang akan datang.

Yang berlaku:

Ramalan ini tepat kerana pada tahun 2010 sehingga 2018, kadar keuntungan daripada indeks ini hanya berjaya naik 12.5% daripada paras 1.2% sejak sedekad sebelum itu.

12. Kematian Dirinya

Ramalan:

Pada tahun 2006, Warren menjangkakan hidupnya akan berakhir pada 12 tahun akan datang. Beliau telah memberitahu pihak media ketika perjumpaan tahunan untuk syarikatnya pada tahun 2006.

Yang berlaku:

Ramalan itu tidak tepat kerana sehingga artikel ini ditulis, beliau masih lagi hidup, malah masih aktif memilih saham yang mampu memberikan pulangan yang baik kepada para pelabur syarikat beliau.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahlabur

SBDJ Siri 89: Cawan Bergerak Sendiri

SBDJ Siri 89: Cawan Bergerak Sendiri

Guru silat terus menggosok-gosok batang tongkat dengan secebis kain kuning. Saya hanya tersenyum merenung ke arah guru silat. Saya terus ke dapur membuat air kopi. Datang ke ruang tengah dengan dua cawan kopi yang masih panas.

Toyol jadi-jadian

“Kenapa Tamar?”

“Saya tak mahu pak guru.”

“Kamu takut, kalau tongkat ni bukan tongkat sebenar, tongkat palsu.”

“Hum...” saya tertunduk merenung lantai.

Guru silat senang hati melihat dua cawan kopi yang berasap di depannya. Ia terus letak tongkat atas lantai. Dengan tenang guru silat menghirup kopi.

Bila guru silat berpusing ke kanan. Cawan kopi yang dipegangnya terlepas dari tangan. Jatuh atas lantai.

Air kopi melimpah dan serpihan tembikar cawan berserakan. Telinga saya mula diasak oleh bunyi deru angin yang amat kencang di luar. Muka guru silat terus menjadi pucat.

“Kenapa pak guru?”

“Tongkat tadi dah hilang, kau lihat sendiri.”

“Ya,” ungkap saya cemas sambil merenung ke arah lantai yang beberapa saat tadi terdapat sebatang tongkat berada di situ.

Saya jadi menggelabah, selera untuk minum kopi terus mati.

Badan terus terasa dingin, desiran angin bertambah hebat bunyinya di luar. Saya mula terlihat dedaun tingkap yang rapat seakan-akan bergerak-gerak seperti ada sesuatu yang menekannya dari luar.

“Aku rasa ada sesuatu yang tak kena di rumah ni. Sekarang kau tengok sendiri Tamar. Bukankah sudah aku katakan tongkat pusaka itu memang berpuaka.”

“Ya,” saya mengangguk dengan nada gementar.

“Sepatutnya tadi, aku bakar saja tongkat sial itu,” sebaik guru silat berkata demikian, terasa seluruh rumah bergegar dan bergoyang.

Cawan kopi jatuh dan air kopi terus melimpah di lantai. Saya dan guru silat terpaksa berpaut pada dinding.

Anehnya, gegaran itu cuma berlaku beberapa minit saja. Bila keadaan kembali tenang, saya pun terdengar suara Azan berkumandang.

Bunyi deru angin yang hebat terus menyepi. Guru silat yang tersandar di dinding meluruskan kedua belah kakinya. Sepasang matanya merenung tajam ke arah lelangit rumah.

“Aku pening Tamar,” sebaik saja guru silat mengakhiri kata-katanya, ia terus terkulai di situ.

Saya jadi cemas, tidak tahu apa yang harus saya lakukan untuk mengatasi keadaan yang agak gawat itu. Entah macam mana, saya merasai badan saya melayang-layang.

Tiba-tiba saya terasa ada sesuatu yang menghentak pangkal bahu sebelah kanan. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Sayup-sayup terdengar gema besi berlaga sama sendiri yang amat memekakkan.

Seluruh sendi saya terasa lemah. Saya tidak terdaya berdiri. Badan terasa melayang-layang. Ketika itu juga saya terasa berada di satu tanah yang lapang.

Saya melihat bermacam-macam jenis binatang dari yang berkaki empat hingga berkaki dua dan termasuk dari jenis yang melata atas bumi.

Di hujung tanah lapang, saya melihat api yang cukup besar. Bahangnya terasa menyentuh kulit tubuh. Badan saya berpeluh dan api yang marak itu kian mendekati saya.

Cara yang paling baik dan selamat dari hangus dimamah api ialah berlari ke mana-mana dengan sekuat hati.

Saya pun berlari arah ke utara dengan sekuat hati. Tidak saya duga api yang marak itu terus memburu saya.

Apa yang terdaya saya lakukan ialah berlari dan terus berlari hingga sampai ke kawasan pinggir gunung.

Sebaik saja sampai di situ, seorang lelaki berbadan besar dengan rambut hitam lebat menutup kedua belah sayap bahunya, ketawa ke arah saya.

Lelaki berbadan besar itu mengambil seketul batu besar di kaki gunung. Batu itu dilemparkannya ke arah saya. Tidak ada kesempatan untuk saya menyelamatkan diri.

Saya terpaksa menyerahkan diri pada keadaan. Batu itu terus menghempap badan saya.

Kesakitan yang dirasai membuat saya menjerit dengan sekuat hati. Mungkin kerana saya menjerit terlalu kuat membuat lelaki berbadan tegap itu menjadi marah. Mulut saya terus ditendangnya dengan sekuat hati.

QURAN

Sayup-sayup saya terdengar suara orang membaca Quran. Makin lama, makin jelas kedengaran.

Saya amati pembacaan tersebut. Ternyata suara yang saya dengar itu sedang membaca ayat al-Kursi. Saya cuba mengikutinya dengan perlahan-lahan dalam hati.

Saya bagaikan digerakkan oleh tenaga ghaib untuk mengucap dua kalimah syahadat. Sebaik saja saya selesai mengucap, kelopak mata saya terus terbuka. Apa yang saya lihat wajah Datuk yang sedang membaca ayat al-Kursi.

Saya renung ke kanan, saya lihat di depan guru silat terletak satu baldi air. Di tepi baldi tersusun dua tiga biji buah limau nipis dan sehelai kain hitam. Guru silat terkapar di situ dengan mulut yang terbuka.

“Bangun Tamar.”

“Bila tuk balik dari surau?”

“Dah lama. Kamu berdua dirasuk syaitan. Waktu aku sampai tadi aku tengok kamu berlari dalam rumah. Si guru silat berenang atas lantai.”

“Ha...,” saya terkejut mendengar penjelasan dari Datuk. Saya cuba mengingati apa yang telah berlaku.

Lagi sekali saya merenung ke arah guru silat. Perlahan-lahan saya kedutkan dahi, bila melihat kiri kanan bibirnya meleleh dengan air liur. Badan guru silat menggeletik macam ikan kena penukul.

Datuk mengepal tangan kiri dan terus didekatkan ke hujung hidung. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak macam membaca sesuatu.

“Huuuuppppp...,” pekik Datuk lalu membuka buku limanya, kelima-lima jari kirinya terkembang dan mengarah kepada guru silat. Datuk terus menepuk lantai tiga kali berturut-turut.

Serentak dengan itu, guru silat terus melompat sambil melepaskan buah silat yang cukup kencang ke dinding. Kakinya terus menendang baldi air.

Guru silat terus bersilat dengan semahu-mahunya. Gerakan dan tendangannya cukup pantas.

Datuk terus membongkok dan merangkak perlahan-lahan mengambil buah limau yang masih belum menjadi mangsa kaki guru silat.

Dua kali Datuk menepis tendangan guru silat yang hampir mengenai rusuk kirinya.

Datuk berjaya mencekup sebiji limau. Cepat-cepat Datuk membaling ke arah saya. Dengan kepandaian tersendiri saya menyambut buah limau tersebut dengan penuh bergaya. Datuk memberi isyarat yang ia memerlukan dua biji lagi limau nipis.

Saya lihat kedua-dua biji buah limau yang dikehendaki itu berada di hujung kaki guru silat, bukan mudah untuk mendapatkannya.

Silap langkah, bukan buah limau yang dapat tetapi, penendang dari guru silat yang boleh menghilangkan gigi dan membengkakkan pipi.

Paling malang, kalau buah limau yang dikehendaki dipijak oleh guru silat yang sudah diresapi syaitan.

Perlahan-lahan Datuk mengisut ke arah kaki guru silat. Tiba-tiba guru silat bertempik dan melompat lalu melepaskan satu tendangan yang kencang ke arah Datuk.

Secepat kilat Datuk menyambar telapak kaki guru silat lalu memusingkannya dengan sekuat hati, ditolak ke belakang hingga guru silat jatuh terlentang.

Ketika itu, Datuk terus sambar buah limau. Dicampakkan pada saya bagaikan penjaga pintu gol yang handal saya menyambut buah limau tersebut.

“Ah..."

Guru silat terus menyerang Datuk. Macam tadi juga, Datuk tetap bertahan dan mengelak.

Memang bukan tujuan Datuk mahu beradu kuat dengan guru silat. Matlamat utama Datuk mengambil sebiji lagi buah limau nipis supaya jumlahnya menjadi tiga biji dalam tangan saya.

Memang sukar untuk Datuk mengambil buah limau yang terakhir ini. Guru silat bagaikan tahu apa yang diingini oleh Datuk. Ekor matanya, tetap merenung ke arah buah limau tersebut.

Hati saya berdebar bila guru silat mengangkat kaki kanannya untuk memijak buah limau. Saya berdoa supaya cita-citanya tidak dilaksanakannya.

Doa saya diperkenankan oleh Allah. Guru silat menjauhkan kakinya beberapa inci dari buah limau.

Dengan hujung ibu jari kanannya ia mencuit buah limau. Buah limau itu bergolek ke arah tiang seri. Datuk tersenyum. Kerjanya menjadi mudah.

Saya kira, beberapa saat lagi limau yang sebiji itu pasti berada dalam tangan saya.

Datuk merendahkan badannya.

Perlahan-lahan Datuk golekkan badannya menuju arah buah limau. Malang sungguh nasib Datuk, kali ini guru silat terus bertindak macam orang gila.

Dengan sebatang kayu di tangan, guru silat terus menikam ke arah Datuk bertubi-tubi.

Mujurlah, Datuk bergolek ligat macam gasing. Tikaman yang dilakukan oleh guru silat tidak kena badan Datuk.

Guru silat terus marah, ia cuba melepaskan tendangan yang bertalu-talu ke arah Datuk. Semuanya dapat ditepis oleh Datuk dengan aman dan tenang.

Dalam suasana yang berdentum-dentum dengan bunyi telapak kaki di lantai serta ditingkah dengan bunyi tepisan tangan dan kaki dari Datuk dengan guru silat.

Suara Datuk dan guru silat saling tingkah-meningkah. Saya terlupa dengan keadaan di luar, terlupa pada malam, terlupa pada bunyi cengkerik dan katak. Antara terhibur dan cemas saya menyaksikan peristiwa Datuk dengan guru silat.

“Wahhhhhh...” Datuk menjerit dengan kuatnya.

Saya lihat Datuk berjaya menyambar tangan guru silat dan terus dipulas ke belakang sambil menekan ke kanan. Guru silat berusaha melepaskannya tetapi tidak terdaya. Pegangan Datuk cukup kuat dan kejap.

Dengan lembut dan perlahan-lahan Datuk menekan tangan guru silat ke bawah hingga badan guru silat melengkung dan akhirnya tersembam di lantai. Datuk segera mengambil buah limau di lantai dan terus diserahkan pada saya.

“Basuh limau itu Tamar.”

Saya terus ke dapur dan membasuh buah limau. Datang kembali mendekati Datuk. Guru silat tertiarap di lantai dengan kedua belah kaki dan tangannya terkedang. Bunyi nafasnya cukup kuat, macam nafas kerbau.

“Tamar.”

“Ya, ada apa tuk.”

“Kau belah semua limau tu, perah airnya dalam cawan. Campurkan dengan garam dan cabai. Lepas itu kau diangkan dekat api.”

“Baik tuk.”

“Buat sekarang.”

Saya segera mematuhi saranan yang Datuk luahkan. Saya terus ke dapur. Menyediakan barang-barang yang dikehendakinya.

Sepeninggalan saya ke dapur, saya tidak tahu apa yang Datuk lakukan terhadap guru silat.

Satu perkara yang pasti bila saya datang ke ruang tengah kembali, saya lihat guru silat sudah berubah kedudukan.

Kalau tadi ia tertiarap, kini ia terlentang mengandah ke tulang bumbung dengan sepasang kaki dan tangan rapat ke tubuh.

SILAT

Datuk terus merenung wajah guru silat. Kelopak mata guru silat dibukanya perlahan-lahan. Telinga kiri guru silat dihembusnya bertalu-talu.

Badan saya mula terasa sejuk dan suara pungguk merayu bulan sayup-sayup kedengaran. Desiran angin mula terdengar.

“Ambilkan aku pisau Tamar.”

“Pisau tak ada, di mana saya nak cari tuk.”

“Ambil dalam beg kecilku. Bawah kain pelekat ada pisau belati cap kuda terbang. Pergi ambil sekarang.”

“Baiklah,”jawab saya lemah.

Saya segera pergi ke beg kecil Datuk yang terletak di sudut dinding. Saya punggah isinya hingga bertabur atas lantai.

Akhirnya, saya jumpa dengan pisau belati yang dimaksudkan oleh Datuk. Saya segera menyerahkan padanya.

Datuk keluarkan pisau belati dari sarungnya. Ditatapnya mata pisau itu dengan teliti. Datuk tegakkan badan dengan sepasang matanya tertumpu ke dinding. Saya hanya melibat gerak-geri Datuk dengan hati-bati. Datuk terus menimang-nimang mata pisau belati di telapak tangan.

“Ke mari Tamar.”

Saya segera mendekati Datuk.

“Tekan kedua belah kakinya.”

“Baik tuk,” saya terus menekan kedua belah kaki guru silat.

Datuk angkat pisau belati tinggi-tinggi. Kemudian, badan pisau belati dilarikan pada buah betis guru silat.

“Tamar.”

“Ya tuk.”

“Aku mahu melukakan kaki guru silat ini. Bila darahnya keluar kau terus taruh air limau di tempat lukanya. Bila dia menjerit kau tutup mulutnya dengan kain pelekat,” Datuk mengeluarkan arahan.

Datuk pun mengambil kain pelekat di atas lantai. Kain pelekat itu dilangkah dua kali.

“Nah kain pelekat ni, letak dekat kepala lutut kamu. Ingat, apa yang aku pesan Tamar.”

“Ingat tuk.”

“Kamu mesti tenang dan jangan takut.”

“Baik tuk.”

“Huhhhhhh..,” Datuk menatap wajah saya sejenak.

Bahu kanan saya ditepuknya tiga kali berturut-turut. Datuk melakukan semuanya itu untuk memperteguh dan menguatkan semangat saya.

Saya terkejut besar bila Datuk membenamkan hujung belati ke buah betis guru silat.

Saya lihat darah pekat meleleh di kulit betis dan menitik atas lantai. Saya bagaikan terpukau melihat semuanya itu. Saya lupa dengan pesan Datuk.

“Hei apa lagi?” sergah Datuk.

“Apa? Apa benda,” saya seperti orang bangun tidur, tidak tahu apa yang mesti saya lakukan.

Muka Datuk kelihatan merah padam. Saya mencampakkan pisau belati yang ada kesan darah ke dinding. Pisau belati terpacak di situ.

“Bodoh,” pekik Datuk sambil merampas air limau dalam cawan.

Tidak memadai dengan itu, Datuk terus menolak saya hingga terjatuh. Saya terus membatu, tidak berani membantah. Semuanya kerana kelalaian dan kesalahan saya.

“Tak boleh harap,” kutuk Datuk.

“Maafkan saya tuk, saya tak sengaja.”

“Hummmmmmmmmm...”

Datuk terus menuangkan air limau ke atas buah betis guru silat yang sudah dilukakan oleh Datuk. Saya lihat seluruh badan guru silat bergerak ke kiri dan ke kanan.

Sepasang kakinya juga bergerak ke kiri ke kanan. Guru silat mengeruh macam lembu kena sembelih.

Saya sudah bersedia dengan kain pelekat. Kalau ia menjerit, sudah pasti kain pelekat menutup mukanya.

Lama juga saya menanti. Guru silat tidak menjerit tidak mengeluh. Dia membuka kelopak matanya perlahan-lahan.

Merenung lelangit rumah. Datuk terus mengesat kesan darah di kaki. Air limau tidak lagi dituangkan pada tempat yang luka.

“Tamar?” guru silat bersuara.

“Cuba mengucap pak guru.”

“Ashadu..” guru silat terus mengucap dengan tenang.

“Bagaimana pak guru,” saya menyoalnya kembali.

Guru silat termenung macam ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk terus mendiamkan diri.

“Datuk kamu tak balik lagi Tamar?”

“Dah balik,” sahut Datuk lalu mendekati guru silat.

Mereka berpandangan. Datuk memicit bahu kanan guru silat beberapa kali. Macam digerakkan oleh sesuatu, saya terus bangun mengambil cawan dan pisau belati. Semua barang-barang itu saya letakkan di tempat di bahagian dapur.

Saya datang semula mendapatkan Datuk dan guru silat. Kali ini guru silat sudah pun duduk. Ia bagaikan tidak terasa apa-apa yang terjadi pada kakinya.

“Saya baru berjumpa dengan orang besar, saya berlawan dengannya. Dia kalah tetapi dia berjanji nak mencari saya,” guru silat membuka rahsia dirinya. Datuk tersenyum.

“Kau sebenarnya tak ke mana-mana, kau pengsan,” Datuk menjelaskan keadaan sebenar.

“Ya, saya ingat apa yang jadi pada saya dan Tamar, mana tongkat tadi, Tamar, agaknya dah hilang terus,” guru silat ajukan pertanyaan pada saya.

Cepat-cepat saya mengangkat kedua belah sayap bahu sambil menggelengkan kepala.

“Kalau ikut langkah dan petua, kamu berdua dirasuk syaitan, ingatan dan fikiran kamu dipisahkan dari pancaindera kamu, kalau tidak ditolong, kamu boleh jadi lari ke hutan, masuk gunung atau gua,” terang Datuk.

“Semuanya kerana tongkat sial,” sahut guru silat.

“Bukan kerana tongkat, kamu lalai, kamu lupa kuasa Allah, kamu tidak mengingatinya pada setiap saat,” sanggah Datuk. Guru silat terdiam.

Datuk terus menarik balutan di kaki guru silat. Bila balut itu terbuka, saya tidak dapat melihat kesan luka atau parut. Kaki guru silat tetap berkeadaan seperti biasa. Cuma sesekali guru silat terasa sakit bila melipatkan kakinya.

Datuk segera menepuk bahagian kaki yang dikatakan sakit tu, dua kali tepuk, guru silat terus menyatakan tidak terasa sebarang sakit.

“Tak usah banyak cerita lagi, bersiap sekarang juga kita pergi rumah si sakit,” Datuk keluarkan arahan. Matanya masih merenung ke setiap sudut ruang rumah.

“Dah jauh malam begini, tuk nak pergi juga?” sanggah saya.

“Dah pukul sebelas malam,” guru silat menyokong pendapat saya.

“Tak usah banyak cakap, kalau terlalu banyak cakap satu kerja pun tak jadi, ingat, manusia dipegang pada janji, kerbau dipegang pada tali,” tekanan suara agak keras dan meninggi.

Kedua-dua biji matanya dibeliakkan ke arah guru silat dan saya.

Dengan rasa kesal saya segera tukar seluar dan baju. Saya tidak tahu apa perasaan guru silat ketika itu.

Dari gerak-geri dan riak wajahnya ternyata ia tidak menyimpan rasa kecewa atau hampa. Guru silat tetap mematuhi perintah Datuk.

“Kita belum makan lagi tuk.”

“Tak usah gaduh fasal makan, kalau rezeki kita ada, kita makan di mana-mana, kalau tak ada kita minum kopi saja,” Datuk menyelesaikan masalah yang menghantui diri saya.

“Tak usah bimbang Tamar, bila semuanya sudah selesai kita balik nanti, aku masak nasi untuk kamu,” itu janji dari guru silat yang cukup menggembirakan.

LANGKAH

Sebelum membuka langkah menuju ke rumah si sakit, Datuk mengambil masa sejenak untuk membaca surah Yasin.

Selesai baca Yasin Datuk balut kepala dengan kain merah. Pakai seluar hitam dan baju hitam tetapi, tidak memakai samping hitam seperti kebiasaannya.

Kali ini Datuk mengenakan kain samping berwarna kuning. Cara ikatnya juga tidak seperti selalu. Ikatannya lebih banyak ke kanan.

“Tongkat tadi Tamar,” jerit guru silat.

Sepasang mata saya tertuju ke arah tongkat di dinding. Kepalanya yang terukir bentuk dua kepala ular nampak berkilau-kilau.

Datuk juga merenung ke arah tongkat tersebut. Datuk tidak memperlihatkan rasa terkejut. Ia cuma tersenyum.

“Inilah tongkat yang berpuaka itu,” guru silat beritahu pada Datuk. Saya lihat Datuk tersenyum.

Datuk menyuruh saya membuka tingkap sebelah kanan dengan seluas-luasnya. Cakap Datuk saya patuhi.

Bila tingkap terdedah, apa yang saya lihat ialah kegelapan yang pekat. Pepohon kelihatan kaku tetapi, di lantai masih ada bintang mengerdip.

Tiba-tiba saja saya terasa seram. Bulu tengkuk saya meremang dengan tiba-tiba.

Datuk membuka kain ikat kepalanya. Dengan hati-hati kain itu dililitkan ke hujung jari kelingking dan jari kelingking itu diarahnya pada tongkat yang tersandar di tepi dinding.

Ketika itu terasa angin masuk dengan deras ke dalam rumah melalui jendela yang terdedah.

Beberapa helai daun kering dan reranting kecil yang dibawa angin bertaburan atas lantai. Suara orang ketawa terdengar sayup-sayup ditingkah dengan bunyi lolongan anjing yang memanjang. Suara jampuk dan burung hantu bersahut- sahutan.

Tidak memadai dengan reranting dan daun kering, angin yang bergerak kencang itu membawa pasir dan tanah merah serta serpihan batu nisan.

Semuanya bertabur di atas lantai. Saya lihat baju dan seluar Datuk bergerak-gerak ikut rentak angin yang bertiup.

Guru silat macam ditolak sesuatu. Ia terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan macam orang mabuk. Datuk tidak peduli apa yang berlaku dalam rumah. Ia berdiri lurus.

Jari kelingkingnya yang berbalut itu digerakkannya ke kanan dan ke kiri, membentuk sebuah bulatan di udara. Matanya tidak berkerdip merenung ke arah tongkat di dinding.

Urat-urat di mata Datuk kelihatan merah dan seakan-akan timbul. Makin lama saya merenung mata Datuk, saya seperti melihat bebunga api yang membara dalam kolam matanya.

Wajah Datuk kelihatan serius. Misainya kelihatan seakan-akan bergerak ke kanan. Datuk angkat jari kelingking hala ke barat daya. Tongkat di tepi dinding terus bergerak, terangkat antara lantai dan lelangit rumah.

Muka Datuk kelihatan berpeluh. Datuk terdorong ke belakang macam ada sesuatu yang menumbuk dadanya dengan kencang. Datuk melawan hingga ia kembali berdiri tegak. Mulut Datuk kelihatan bergerak-gerak.

Dengan kekuatan yang ada di tubuhnya, Datuk macam melemparkan sesuatu ke arah tingkap yang terdedah. Ketika itu juga saya melihat tongkat tersebut melayang sambil mengeluarkan cahaya.

Tongkat itu meluru keluar. Datuk masih tidak berganjak dari tempat ia berdiri. Biji mata guru silat terbeliak melihat peristiwa yang memang tidak pernah diduganya.

Saya terkejut bila terjadi ledakan kecil di tempat tongkat aneh itu berdiri sebentar tadi. Bila ledakan itu berhenti kelihatan asap hitam berkepul lalu menguasai ruang rumah.

Datuk terus menepuk tangan tiga kali berturut-turut. Tepuk pertama asap yang tebal beransur kurang. Tepuk kedua asap bertambah nipis dan tepuk ketiga asap yang ada terus hilang dan guru silat yang tadi kelihatan lemah mula bertenaga.

Mukanya, jadi merah dan bersedia menghadapi apa saja.

“Kita diuji lagi, semuanya ada hubungan dengan si sakit,” kata Datuk tenang sambil membuka lilitan kain di jari kelingking.

Kain itu terus dililitnya ke kepala. Datuk sapu mukanya dengan telapak tangan kiri berturut-turut.

“Apa kita akan diuji lagi?” guru silat minta kepastian.

“Tak tahu, tak berani nak cakap, kalau ada ujian yang datang kita tentang.”

“Kalau kita kalah apa macam?”

“Segala-galanya kita serahkan pada Allah,” suara Datuk merendah.

Saya dan guru silat berpandangan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 89/284

BACA: SBDJ Siri 88: Mayat Berdiri
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM