Jumaat, Julai 12, 2019

SBDJ Siri 89: Cawan Bergerak Sendiri


Loading...

Guru silat terus menggosok-gosok batang tongkat dengan secebis kain kuning. Saya hanya tersenyum merenung ke arah guru silat. Saya terus ke dapur membuat air kopi. Datang ke ruang tengah dengan dua cawan kopi yang masih panas.

Toyol jadi-jadian

“Kenapa Tamar?”

“Saya tak mahu pak guru.”

“Kamu takut, kalau tongkat ni bukan tongkat sebenar, tongkat palsu.”

“Hum...” saya tertunduk merenung lantai.

Guru silat senang hati melihat dua cawan kopi yang berasap di depannya. Ia terus letak tongkat atas lantai. Dengan tenang guru silat menghirup kopi.

Bila guru silat berpusing ke kanan. Cawan kopi yang dipegangnya terlepas dari tangan. Jatuh atas lantai.

Air kopi melimpah dan serpihan tembikar cawan berserakan. Telinga saya mula diasak oleh bunyi deru angin yang amat kencang di luar. Muka guru silat terus menjadi pucat.

“Kenapa pak guru?”

“Tongkat tadi dah hilang, kau lihat sendiri.”

“Ya,” ungkap saya cemas sambil merenung ke arah lantai yang beberapa saat tadi terdapat sebatang tongkat berada di situ.

Saya jadi menggelabah, selera untuk minum kopi terus mati.

Badan terus terasa dingin, desiran angin bertambah hebat bunyinya di luar. Saya mula terlihat dedaun tingkap yang rapat seakan-akan bergerak-gerak seperti ada sesuatu yang menekannya dari luar.

“Aku rasa ada sesuatu yang tak kena di rumah ni. Sekarang kau tengok sendiri Tamar. Bukankah sudah aku katakan tongkat pusaka itu memang berpuaka.”

“Ya,” saya mengangguk dengan nada gementar.

“Sepatutnya tadi, aku bakar saja tongkat sial itu,” sebaik guru silat berkata demikian, terasa seluruh rumah bergegar dan bergoyang.

Cawan kopi jatuh dan air kopi terus melimpah di lantai. Saya dan guru silat terpaksa berpaut pada dinding.

Anehnya, gegaran itu cuma berlaku beberapa minit saja. Bila keadaan kembali tenang, saya pun terdengar suara Azan berkumandang.

Bunyi deru angin yang hebat terus menyepi. Guru silat yang tersandar di dinding meluruskan kedua belah kakinya. Sepasang matanya merenung tajam ke arah lelangit rumah.

“Aku pening Tamar,” sebaik saja guru silat mengakhiri kata-katanya, ia terus terkulai di situ.

Saya jadi cemas, tidak tahu apa yang harus saya lakukan untuk mengatasi keadaan yang agak gawat itu. Entah macam mana, saya merasai badan saya melayang-layang.

Tiba-tiba saya terasa ada sesuatu yang menghentak pangkal bahu sebelah kanan. Pandangan saya jadi berpinar-pinar. Sayup-sayup terdengar gema besi berlaga sama sendiri yang amat memekakkan.

Seluruh sendi saya terasa lemah. Saya tidak terdaya berdiri. Badan terasa melayang-layang. Ketika itu juga saya terasa berada di satu tanah yang lapang.

Saya melihat bermacam-macam jenis binatang dari yang berkaki empat hingga berkaki dua dan termasuk dari jenis yang melata atas bumi.

Di hujung tanah lapang, saya melihat api yang cukup besar. Bahangnya terasa menyentuh kulit tubuh. Badan saya berpeluh dan api yang marak itu kian mendekati saya.

Cara yang paling baik dan selamat dari hangus dimamah api ialah berlari ke mana-mana dengan sekuat hati.

Saya pun berlari arah ke utara dengan sekuat hati. Tidak saya duga api yang marak itu terus memburu saya.

Apa yang terdaya saya lakukan ialah berlari dan terus berlari hingga sampai ke kawasan pinggir gunung.

Sebaik saja sampai di situ, seorang lelaki berbadan besar dengan rambut hitam lebat menutup kedua belah sayap bahunya, ketawa ke arah saya.

Lelaki berbadan besar itu mengambil seketul batu besar di kaki gunung. Batu itu dilemparkannya ke arah saya. Tidak ada kesempatan untuk saya menyelamatkan diri.

Saya terpaksa menyerahkan diri pada keadaan. Batu itu terus menghempap badan saya.

Kesakitan yang dirasai membuat saya menjerit dengan sekuat hati. Mungkin kerana saya menjerit terlalu kuat membuat lelaki berbadan tegap itu menjadi marah. Mulut saya terus ditendangnya dengan sekuat hati.

QURAN

Sayup-sayup saya terdengar suara orang membaca Quran. Makin lama, makin jelas kedengaran.

Saya amati pembacaan tersebut. Ternyata suara yang saya dengar itu sedang membaca ayat al-Kursi. Saya cuba mengikutinya dengan perlahan-lahan dalam hati.

Saya bagaikan digerakkan oleh tenaga ghaib untuk mengucap dua kalimah syahadat. Sebaik saja saya selesai mengucap, kelopak mata saya terus terbuka. Apa yang saya lihat wajah Datuk yang sedang membaca ayat al-Kursi.

Saya renung ke kanan, saya lihat di depan guru silat terletak satu baldi air. Di tepi baldi tersusun dua tiga biji buah limau nipis dan sehelai kain hitam. Guru silat terkapar di situ dengan mulut yang terbuka.

“Bangun Tamar.”

“Bila tuk balik dari surau?”

“Dah lama. Kamu berdua dirasuk syaitan. Waktu aku sampai tadi aku tengok kamu berlari dalam rumah. Si guru silat berenang atas lantai.”

“Ha...,” saya terkejut mendengar penjelasan dari Datuk. Saya cuba mengingati apa yang telah berlaku.

Lagi sekali saya merenung ke arah guru silat. Perlahan-lahan saya kedutkan dahi, bila melihat kiri kanan bibirnya meleleh dengan air liur. Badan guru silat menggeletik macam ikan kena penukul.

Datuk mengepal tangan kiri dan terus didekatkan ke hujung hidung. Mulutnya kelihatan bergerak-gerak macam membaca sesuatu.

“Huuuuppppp...,” pekik Datuk lalu membuka buku limanya, kelima-lima jari kirinya terkembang dan mengarah kepada guru silat. Datuk terus menepuk lantai tiga kali berturut-turut.

Serentak dengan itu, guru silat terus melompat sambil melepaskan buah silat yang cukup kencang ke dinding. Kakinya terus menendang baldi air.

Guru silat terus bersilat dengan semahu-mahunya. Gerakan dan tendangannya cukup pantas.

Datuk terus membongkok dan merangkak perlahan-lahan mengambil buah limau yang masih belum menjadi mangsa kaki guru silat.

Dua kali Datuk menepis tendangan guru silat yang hampir mengenai rusuk kirinya.

Datuk berjaya mencekup sebiji limau. Cepat-cepat Datuk membaling ke arah saya. Dengan kepandaian tersendiri saya menyambut buah limau tersebut dengan penuh bergaya. Datuk memberi isyarat yang ia memerlukan dua biji lagi limau nipis.

Saya lihat kedua-dua biji buah limau yang dikehendaki itu berada di hujung kaki guru silat, bukan mudah untuk mendapatkannya.

Silap langkah, bukan buah limau yang dapat tetapi, penendang dari guru silat yang boleh menghilangkan gigi dan membengkakkan pipi.

Paling malang, kalau buah limau yang dikehendaki dipijak oleh guru silat yang sudah diresapi syaitan.

Perlahan-lahan Datuk mengisut ke arah kaki guru silat. Tiba-tiba guru silat bertempik dan melompat lalu melepaskan satu tendangan yang kencang ke arah Datuk.

Secepat kilat Datuk menyambar telapak kaki guru silat lalu memusingkannya dengan sekuat hati, ditolak ke belakang hingga guru silat jatuh terlentang.

Ketika itu, Datuk terus sambar buah limau. Dicampakkan pada saya bagaikan penjaga pintu gol yang handal saya menyambut buah limau tersebut.

“Ah..."

Guru silat terus menyerang Datuk. Macam tadi juga, Datuk tetap bertahan dan mengelak.

Memang bukan tujuan Datuk mahu beradu kuat dengan guru silat. Matlamat utama Datuk mengambil sebiji lagi buah limau nipis supaya jumlahnya menjadi tiga biji dalam tangan saya.

Memang sukar untuk Datuk mengambil buah limau yang terakhir ini. Guru silat bagaikan tahu apa yang diingini oleh Datuk. Ekor matanya, tetap merenung ke arah buah limau tersebut.

Hati saya berdebar bila guru silat mengangkat kaki kanannya untuk memijak buah limau. Saya berdoa supaya cita-citanya tidak dilaksanakannya.

Doa saya diperkenankan oleh Allah. Guru silat menjauhkan kakinya beberapa inci dari buah limau.

Dengan hujung ibu jari kanannya ia mencuit buah limau. Buah limau itu bergolek ke arah tiang seri. Datuk tersenyum. Kerjanya menjadi mudah.

Saya kira, beberapa saat lagi limau yang sebiji itu pasti berada dalam tangan saya.

Datuk merendahkan badannya.

Perlahan-lahan Datuk golekkan badannya menuju arah buah limau. Malang sungguh nasib Datuk, kali ini guru silat terus bertindak macam orang gila.

Dengan sebatang kayu di tangan, guru silat terus menikam ke arah Datuk bertubi-tubi.

Mujurlah, Datuk bergolek ligat macam gasing. Tikaman yang dilakukan oleh guru silat tidak kena badan Datuk.

Guru silat terus marah, ia cuba melepaskan tendangan yang bertalu-talu ke arah Datuk. Semuanya dapat ditepis oleh Datuk dengan aman dan tenang.

Dalam suasana yang berdentum-dentum dengan bunyi telapak kaki di lantai serta ditingkah dengan bunyi tepisan tangan dan kaki dari Datuk dengan guru silat.

Suara Datuk dan guru silat saling tingkah-meningkah. Saya terlupa dengan keadaan di luar, terlupa pada malam, terlupa pada bunyi cengkerik dan katak. Antara terhibur dan cemas saya menyaksikan peristiwa Datuk dengan guru silat.

“Wahhhhhh...” Datuk menjerit dengan kuatnya.

Saya lihat Datuk berjaya menyambar tangan guru silat dan terus dipulas ke belakang sambil menekan ke kanan. Guru silat berusaha melepaskannya tetapi tidak terdaya. Pegangan Datuk cukup kuat dan kejap.

Dengan lembut dan perlahan-lahan Datuk menekan tangan guru silat ke bawah hingga badan guru silat melengkung dan akhirnya tersembam di lantai. Datuk segera mengambil buah limau di lantai dan terus diserahkan pada saya.

“Basuh limau itu Tamar.”

Saya terus ke dapur dan membasuh buah limau. Datang kembali mendekati Datuk. Guru silat tertiarap di lantai dengan kedua belah kaki dan tangannya terkedang. Bunyi nafasnya cukup kuat, macam nafas kerbau.

“Tamar.”

“Ya, ada apa tuk.”

“Kau belah semua limau tu, perah airnya dalam cawan. Campurkan dengan garam dan cabai. Lepas itu kau diangkan dekat api.”

“Baik tuk.”

“Buat sekarang.”

Saya segera mematuhi saranan yang Datuk luahkan. Saya terus ke dapur. Menyediakan barang-barang yang dikehendakinya.

Sepeninggalan saya ke dapur, saya tidak tahu apa yang Datuk lakukan terhadap guru silat.

Satu perkara yang pasti bila saya datang ke ruang tengah kembali, saya lihat guru silat sudah berubah kedudukan.

Kalau tadi ia tertiarap, kini ia terlentang mengandah ke tulang bumbung dengan sepasang kaki dan tangan rapat ke tubuh.

SILAT

Datuk terus merenung wajah guru silat. Kelopak mata guru silat dibukanya perlahan-lahan. Telinga kiri guru silat dihembusnya bertalu-talu.

Badan saya mula terasa sejuk dan suara pungguk merayu bulan sayup-sayup kedengaran. Desiran angin mula terdengar.

“Ambilkan aku pisau Tamar.”

“Pisau tak ada, di mana saya nak cari tuk.”

“Ambil dalam beg kecilku. Bawah kain pelekat ada pisau belati cap kuda terbang. Pergi ambil sekarang.”

“Baiklah,”jawab saya lemah.

Saya segera pergi ke beg kecil Datuk yang terletak di sudut dinding. Saya punggah isinya hingga bertabur atas lantai.

Akhirnya, saya jumpa dengan pisau belati yang dimaksudkan oleh Datuk. Saya segera menyerahkan padanya.

Datuk keluarkan pisau belati dari sarungnya. Ditatapnya mata pisau itu dengan teliti. Datuk tegakkan badan dengan sepasang matanya tertumpu ke dinding. Saya hanya melibat gerak-geri Datuk dengan hati-bati. Datuk terus menimang-nimang mata pisau belati di telapak tangan.

“Ke mari Tamar.”

Saya segera mendekati Datuk.

“Tekan kedua belah kakinya.”

“Baik tuk,” saya terus menekan kedua belah kaki guru silat.

Datuk angkat pisau belati tinggi-tinggi. Kemudian, badan pisau belati dilarikan pada buah betis guru silat.

“Tamar.”

“Ya tuk.”

“Aku mahu melukakan kaki guru silat ini. Bila darahnya keluar kau terus taruh air limau di tempat lukanya. Bila dia menjerit kau tutup mulutnya dengan kain pelekat,” Datuk mengeluarkan arahan.

Datuk pun mengambil kain pelekat di atas lantai. Kain pelekat itu dilangkah dua kali.

“Nah kain pelekat ni, letak dekat kepala lutut kamu. Ingat, apa yang aku pesan Tamar.”

“Ingat tuk.”

“Kamu mesti tenang dan jangan takut.”

“Baik tuk.”

“Huhhhhhh..,” Datuk menatap wajah saya sejenak.

Bahu kanan saya ditepuknya tiga kali berturut-turut. Datuk melakukan semuanya itu untuk memperteguh dan menguatkan semangat saya.

Saya terkejut besar bila Datuk membenamkan hujung belati ke buah betis guru silat.

Saya lihat darah pekat meleleh di kulit betis dan menitik atas lantai. Saya bagaikan terpukau melihat semuanya itu. Saya lupa dengan pesan Datuk.

“Hei apa lagi?” sergah Datuk.

“Apa? Apa benda,” saya seperti orang bangun tidur, tidak tahu apa yang mesti saya lakukan.

Muka Datuk kelihatan merah padam. Saya mencampakkan pisau belati yang ada kesan darah ke dinding. Pisau belati terpacak di situ.

“Bodoh,” pekik Datuk sambil merampas air limau dalam cawan.

Tidak memadai dengan itu, Datuk terus menolak saya hingga terjatuh. Saya terus membatu, tidak berani membantah. Semuanya kerana kelalaian dan kesalahan saya.

“Tak boleh harap,” kutuk Datuk.

“Maafkan saya tuk, saya tak sengaja.”

“Hummmmmmmmmm...”

Datuk terus menuangkan air limau ke atas buah betis guru silat yang sudah dilukakan oleh Datuk. Saya lihat seluruh badan guru silat bergerak ke kiri dan ke kanan.

Sepasang kakinya juga bergerak ke kiri ke kanan. Guru silat mengeruh macam lembu kena sembelih.

Saya sudah bersedia dengan kain pelekat. Kalau ia menjerit, sudah pasti kain pelekat menutup mukanya.

Lama juga saya menanti. Guru silat tidak menjerit tidak mengeluh. Dia membuka kelopak matanya perlahan-lahan.

Merenung lelangit rumah. Datuk terus mengesat kesan darah di kaki. Air limau tidak lagi dituangkan pada tempat yang luka.

“Tamar?” guru silat bersuara.

“Cuba mengucap pak guru.”

“Ashadu..” guru silat terus mengucap dengan tenang.

“Bagaimana pak guru,” saya menyoalnya kembali.

Guru silat termenung macam ada sesuatu yang difikirkannya. Datuk terus mendiamkan diri.

“Datuk kamu tak balik lagi Tamar?”

“Dah balik,” sahut Datuk lalu mendekati guru silat.

Mereka berpandangan. Datuk memicit bahu kanan guru silat beberapa kali. Macam digerakkan oleh sesuatu, saya terus bangun mengambil cawan dan pisau belati. Semua barang-barang itu saya letakkan di tempat di bahagian dapur.

Saya datang semula mendapatkan Datuk dan guru silat. Kali ini guru silat sudah pun duduk. Ia bagaikan tidak terasa apa-apa yang terjadi pada kakinya.

“Saya baru berjumpa dengan orang besar, saya berlawan dengannya. Dia kalah tetapi dia berjanji nak mencari saya,” guru silat membuka rahsia dirinya. Datuk tersenyum.

“Kau sebenarnya tak ke mana-mana, kau pengsan,” Datuk menjelaskan keadaan sebenar.

“Ya, saya ingat apa yang jadi pada saya dan Tamar, mana tongkat tadi, Tamar, agaknya dah hilang terus,” guru silat ajukan pertanyaan pada saya.

Cepat-cepat saya mengangkat kedua belah sayap bahu sambil menggelengkan kepala.

“Kalau ikut langkah dan petua, kamu berdua dirasuk syaitan, ingatan dan fikiran kamu dipisahkan dari pancaindera kamu, kalau tidak ditolong, kamu boleh jadi lari ke hutan, masuk gunung atau gua,” terang Datuk.

“Semuanya kerana tongkat sial,” sahut guru silat.

“Bukan kerana tongkat, kamu lalai, kamu lupa kuasa Allah, kamu tidak mengingatinya pada setiap saat,” sanggah Datuk. Guru silat terdiam.

Datuk terus menarik balutan di kaki guru silat. Bila balut itu terbuka, saya tidak dapat melihat kesan luka atau parut. Kaki guru silat tetap berkeadaan seperti biasa. Cuma sesekali guru silat terasa sakit bila melipatkan kakinya.

Datuk segera menepuk bahagian kaki yang dikatakan sakit tu, dua kali tepuk, guru silat terus menyatakan tidak terasa sebarang sakit.

“Tak usah banyak cerita lagi, bersiap sekarang juga kita pergi rumah si sakit,” Datuk keluarkan arahan. Matanya masih merenung ke setiap sudut ruang rumah.

“Dah jauh malam begini, tuk nak pergi juga?” sanggah saya.

“Dah pukul sebelas malam,” guru silat menyokong pendapat saya.

“Tak usah banyak cakap, kalau terlalu banyak cakap satu kerja pun tak jadi, ingat, manusia dipegang pada janji, kerbau dipegang pada tali,” tekanan suara agak keras dan meninggi.

Kedua-dua biji matanya dibeliakkan ke arah guru silat dan saya.

Dengan rasa kesal saya segera tukar seluar dan baju. Saya tidak tahu apa perasaan guru silat ketika itu.

Dari gerak-geri dan riak wajahnya ternyata ia tidak menyimpan rasa kecewa atau hampa. Guru silat tetap mematuhi perintah Datuk.

“Kita belum makan lagi tuk.”

“Tak usah gaduh fasal makan, kalau rezeki kita ada, kita makan di mana-mana, kalau tak ada kita minum kopi saja,” Datuk menyelesaikan masalah yang menghantui diri saya.

“Tak usah bimbang Tamar, bila semuanya sudah selesai kita balik nanti, aku masak nasi untuk kamu,” itu janji dari guru silat yang cukup menggembirakan.

LANGKAH

Sebelum membuka langkah menuju ke rumah si sakit, Datuk mengambil masa sejenak untuk membaca surah Yasin.

Selesai baca Yasin Datuk balut kepala dengan kain merah. Pakai seluar hitam dan baju hitam tetapi, tidak memakai samping hitam seperti kebiasaannya.

Kali ini Datuk mengenakan kain samping berwarna kuning. Cara ikatnya juga tidak seperti selalu. Ikatannya lebih banyak ke kanan.

“Tongkat tadi Tamar,” jerit guru silat.

Sepasang mata saya tertuju ke arah tongkat di dinding. Kepalanya yang terukir bentuk dua kepala ular nampak berkilau-kilau.

Datuk juga merenung ke arah tongkat tersebut. Datuk tidak memperlihatkan rasa terkejut. Ia cuma tersenyum.

“Inilah tongkat yang berpuaka itu,” guru silat beritahu pada Datuk. Saya lihat Datuk tersenyum.

Datuk menyuruh saya membuka tingkap sebelah kanan dengan seluas-luasnya. Cakap Datuk saya patuhi.

Bila tingkap terdedah, apa yang saya lihat ialah kegelapan yang pekat. Pepohon kelihatan kaku tetapi, di lantai masih ada bintang mengerdip.

Tiba-tiba saja saya terasa seram. Bulu tengkuk saya meremang dengan tiba-tiba.

Datuk membuka kain ikat kepalanya. Dengan hati-hati kain itu dililitkan ke hujung jari kelingking dan jari kelingking itu diarahnya pada tongkat yang tersandar di tepi dinding.

Ketika itu terasa angin masuk dengan deras ke dalam rumah melalui jendela yang terdedah.

Beberapa helai daun kering dan reranting kecil yang dibawa angin bertaburan atas lantai. Suara orang ketawa terdengar sayup-sayup ditingkah dengan bunyi lolongan anjing yang memanjang. Suara jampuk dan burung hantu bersahut- sahutan.

Tidak memadai dengan reranting dan daun kering, angin yang bergerak kencang itu membawa pasir dan tanah merah serta serpihan batu nisan.

Semuanya bertabur di atas lantai. Saya lihat baju dan seluar Datuk bergerak-gerak ikut rentak angin yang bertiup.

Guru silat macam ditolak sesuatu. Ia terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan macam orang mabuk. Datuk tidak peduli apa yang berlaku dalam rumah. Ia berdiri lurus.

Jari kelingkingnya yang berbalut itu digerakkannya ke kanan dan ke kiri, membentuk sebuah bulatan di udara. Matanya tidak berkerdip merenung ke arah tongkat di dinding.

Urat-urat di mata Datuk kelihatan merah dan seakan-akan timbul. Makin lama saya merenung mata Datuk, saya seperti melihat bebunga api yang membara dalam kolam matanya.

Wajah Datuk kelihatan serius. Misainya kelihatan seakan-akan bergerak ke kanan. Datuk angkat jari kelingking hala ke barat daya. Tongkat di tepi dinding terus bergerak, terangkat antara lantai dan lelangit rumah.

Muka Datuk kelihatan berpeluh. Datuk terdorong ke belakang macam ada sesuatu yang menumbuk dadanya dengan kencang. Datuk melawan hingga ia kembali berdiri tegak. Mulut Datuk kelihatan bergerak-gerak.

Dengan kekuatan yang ada di tubuhnya, Datuk macam melemparkan sesuatu ke arah tingkap yang terdedah. Ketika itu juga saya melihat tongkat tersebut melayang sambil mengeluarkan cahaya.

Tongkat itu meluru keluar. Datuk masih tidak berganjak dari tempat ia berdiri. Biji mata guru silat terbeliak melihat peristiwa yang memang tidak pernah diduganya.

Saya terkejut bila terjadi ledakan kecil di tempat tongkat aneh itu berdiri sebentar tadi. Bila ledakan itu berhenti kelihatan asap hitam berkepul lalu menguasai ruang rumah.

Datuk terus menepuk tangan tiga kali berturut-turut. Tepuk pertama asap yang tebal beransur kurang. Tepuk kedua asap bertambah nipis dan tepuk ketiga asap yang ada terus hilang dan guru silat yang tadi kelihatan lemah mula bertenaga.

Mukanya, jadi merah dan bersedia menghadapi apa saja.

“Kita diuji lagi, semuanya ada hubungan dengan si sakit,” kata Datuk tenang sambil membuka lilitan kain di jari kelingking.

Kain itu terus dililitnya ke kepala. Datuk sapu mukanya dengan telapak tangan kiri berturut-turut.

“Apa kita akan diuji lagi?” guru silat minta kepastian.

“Tak tahu, tak berani nak cakap, kalau ada ujian yang datang kita tentang.”

“Kalau kita kalah apa macam?”

“Segala-galanya kita serahkan pada Allah,” suara Datuk merendah.

Saya dan guru silat berpandangan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 89/284

BACA: SBDJ Siri 88: Mayat Berdiri
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon