Thursday, June 13, 2019

Menurut Kajian, Lelaki Gay Suka Berbaju Ketat, Mata Bulat Apabila Nampak Lelaki Kacak

Menurut Kajian, Lelaki Gay Suka Berbaju Ketat, Mata Bulat Apabila Nampak Lelaki Kacak

Menurut satu kajian, lelaki homoseksual dikatakan suka berbaju ketat, menyimpan janggut, bermisai dan mata akan membulat apabila melihat lelaki kacak, begitu kata infografik yang disiarkan sebuah akhbar online di Malaysia.


Infografik “Apakah ciri-ciri LGBT” itu membantu pembaca mereka mengetahui ciri-ciri seorang “gay” dan “lesbian” dan menurut paparan itu, lelaki homoseksual juga suka mengunjungi gymnasium, bukan untuk bersenam tetapi lebih kepada melihat orang.

Bagi gay yang berperanan sebagai perempuan pula, mereka suka melihat lelaki kacak, biasa matanya membulat apabila melihat lelaki kacak.

Di samping itu lelaki homoseksual juga gemar mengambil adik angkat dan pakaian berjenama, di samping berbaju ketat untuk menunjukkan perut yang berotot.

Infografik ini disiarkan bersama laporan yang menemubual seorang pendakwah, Hanafiah Abd Malek yang berkata LGBT semakin ketara hari ini.

Ciri-ciri LGBT

Menurut infografik itu lagi, perempuan homoseksual pula suka menyendiri, berjalan berpelukan dan berpegangan tangan.

“Lesbian pula membenci lelaki dan suka memburukkan lelaki. Kuat cemburu.”

Dalam laporan itu, Hanafiah turut ditanya tentang golongan yang mempunyai 2 alat kelamin atau khunsa.

Hanafiah berkongsi kes di zaman seorang sahabat Nabi Muhammad, apabila seorang wanita meniduri seorang pembantu dan pembantu itu mengandung, menyebabkan orang ramai musykil.

“Sahabat itu mencadangkan untuk mengira tulang rusuknya, jika kurang satu bermakna dia khunsa lelaki.

“Jadi, untuk menentukan khunsa adalah dengan mengira tulang rusuknya,” kata pendakwah itu.

Akademi Kaji LGBT

Ciri-ciri GAY

Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai telah menubuhkan satu akademi khusus untuk mengkaji golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Akademi itu menerima peruntukan daripada USIM di samping Kementerian Pengajian Tinggi.

Akademi kajian LGBT itu ditubuhkan pertengahan Januari 2018 lalu, selepas mengambil kira apa yang didakwa peningkatan golongan LGBT.

Golongan ini dikatakan semakin mendapat sokongan, malah mula diterima di kalangan masyarakat di Malaysia.

Antara tujuan akademi itu ialah mencari penyelesaian menangani LGBT, kerana mereka bukan golongan musuh atau golongan yang perlu dijauhi, bahkan kita mengambil pendekatan untuk mendekati dan menyantuni mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fmt

Video Gay Mirip Azmin Ali, PKR Serah Kepada PDRM dan SPRM Buat Siasatan

Video Gay Mirip Azmin Ali, PKR Serah Kepada PDRM dan SPRM Buat Siasatan

Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerahkan kepada PDRM dan SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap Timbalan Presiden parti, Azmin Ali yang telah bersidang bagi membincangkan mengenai klip video lucah membabitkan individu dipercayai mirip Azmin Ali.

Haziq Aziz vs Azmin Ali

Azmin Ali bagaimanapun tidak hadir dalam pertemuan tersebut tetapi Anwar Ibrahim menjelaskan beliau telah berbincang panjang lebar dengan Azmin melalui telefon dan sudah bertemu Perdana Menteri pada petang Rabu (11 Jun 2019).

Biro Politik PKR bagaimanapun tidak mengambil sebarang ketetapan kerana tidak mahu bercanggah dari segi perundangan dan perbincangan lanjut akan diadakan dalam masa terdekat.

Ketua penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin yang juga timbalan menteri dimana Haziq Aziz bekerja sebagai setiausaha sulit kanan meninggalkan ibu pejabat parti sebaik sahaja selesai mesyuarat dan tidak bersama dalam sidang media Presiden parti, Anwar Ibrahim.

Sejak beberapa hari lalu, satu rakaman klip video memaparkan dua lelaki sedang bercumbuan di atas katil yang dikaitkan dengan Azmin Ali telah beredar dilaman sosial.

Lebih memanaskan lagi keadaan, setiausaha sulit kanan kepada ketua penerangan PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, tampil membuat pengakuan bahawa salah seorang lelaki yang dirakam imejnya itu adalah dirinya.

Haziq Abdullah Abdul Aziz mendakwa aksi intim itu dirakam tanpa kerelaannya di sebuah bilik hotel di Sandakan, Sabah.

Azmin Ali bagaimanapun menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menganggap ia sebahagian daripada cubaan pihak tertentu untuk memusnahkan kerjaya politik serta peribadinya.

PENAFIAN AZMIN ALI

Selepas dua hari gempar dengan video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet menjadi tular di media sosial, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuka mulut mengenai perkara tersebut.

Kenyataan penuh Mohamed Azmin seperti berikut:

"Saya merujuk kepada laporan media hari ini berhubung fitnah dan tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkan saya dalam satu video lucah. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam.

"Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier politik saya.

"Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadhan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya gutter politik. Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, di mana kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Mohamed Azmin, beliau sudah mengarahkan para peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan-tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

"Saya akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terlibat dalam kerja jahat ini.

"Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

"Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini."

SUMPAH LAKNAT

Selebriti popular, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA mencabar abangnya, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membuat pengakuan bersumpah menafikan keterlibatan dalam sebuah video lucah yang sedang tular dalam media sosial.

Azwan, 53, yang kini berada di London mengakui langsung tidak terkejut dengan apa yang terjadi, bahkan malah masih menyimpan kemas 1001 aib abangnya itu.

“Muhasabah dirilah wahai Azmin walaupun saya tahu, dia akan berusaha sedaya upaya untuk melenyapkan isu ini.

“Inilah kifarah Tuhan selepas bertahun-tahun dia menghina Diva AA di hadapan arwah ibu, Mak Tom dan saya hanya bersabar,” ujarnya.

Tambah Azwan, dia juga mengenali individu bernama Haziq Aziz yang membuat pengakuan bersumpah sebagai lelaki bersama Azmin dalam video berkenaan.

Azwan sendiri kerap kali terjumpa dengan lelaki itu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

“Saya tidak kisah dia mahu bersama siapa atau berbuat apa tetapi sebagai seorang pemimpin yang kononnya diuar-uarkan bakal dijulang sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan, inikah yang mahu dijadikan contoh?

“Kalau Azmin katakan bukan dirinya yang dalam video itu, saya cabar dia buat pengakuan bersumpah atas nama Allah dalam masjid. Semoga bala tidak turun sebaik sahaja dia berbuat demikian,” ujar Azwan lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Wednesday, June 12, 2019

Misteri Roh Watseka Wonder Yang Membingungkan Dunia Paranormal

Misteri Roh Watseka Wonder Yang Membingungkan Dunia Paranormal

Lurancy Vennum lahir pada 16 April 1864 dan semasa berusia tujuh tahun, keluarganya berpindah ke Watseka, sebuah bandar kecil dalam daerah Illinois, Amerika Syarikat. Pada Julai 1877, semasa Lurancy berusia 13 tahun, perkara pelik dan misteri mula berlaku.

Misteri Roh Watseka Wonder

Suatu pagi, Lurancy bangun daripada tidur dan mengadu kepada ibunya dia berasa pening dan loya, sebelum tiba-tiba jatuh pengsan. Dia dalam keadaan 'tidur' selama lima jam sebelum sedar dan mengatakan dirinya baik-baik sahaja.

Keesokan harinya, keadaan sama berlaku dan mula berulang setiap hari. Dalam keadaan Lurancy tidak sedarkan diri, Lurancy meracau, memberitahu sedang berada di syurga, berjumpa malaikat, boleh mendengar suara roh, termasuk roh abangnya yang sudah meninggal dunia.

Sejak itu, Lurancy tidak terkawal. Dia sering pengsan dan meracau dengan suara yang berlainan.

Dalam sehari, adakalanya berbelas kali dia pengsan. Paling lama sehingga lapan jam dan bila sedar, Lurancy langsung tidak mengingati apa yang berlaku.

Keadaan Lurancy membimbangkan ibu bapanya kerana semasa meracau, Lurancy akan mula bertutur dalam bahasa yang sukar difahami, malah turut memberitahu ada roh berkeliaran dalam rumah mereka.

Pelbagai usaha dilakukan keluarga Vennum untuk merawat Lurancy namun doktor gagal menemui sebarang keganjilan dan mendapati Lurancy sihat.

Apa yang menimpa Lurancy kemudiannya mula menjadi berita hangat di Watseka. Rumah mereka mula dikunjungi orang ramai untuk menyaksikan sendiri perkara pelik yang menimpa gadis itu.

Ketika itu, kepercayaan berkaitan spiritual masih menebal dalam kehidupan masyarakat barat dan mereka percaya apa yang menimpa Lurancy ada kaitan dengan roh yang cuba berhubung melalui orang yang masih hidup

Setelah segala usaha untuk merawat gagal, pakar memberitahu Lurancy mungkin mengalami gangguan mental dan menyarankan dia dihantar ke hospital sakit jiwa.

Namun, sebelum sempat keluarga Vennum berbuat begitu, seorang lelaki bernama Asa Roff muncul di rumah mereka.

Dia menasihatkan agar tidak menghantar Lurancy ke hospital itu kerana tidak mahu dia menerima nasib seperti yang menimpa anaknya bernama Mary.

***

Mary Roff, lahir di Indiana pada Oktober 1846 dan semasa berusia enam bulan, Mary diserang penyakit sawan.

Sewaktu kecil juga, Mary sering mengadu terdengar suara misteri di dalam kepalanya. Suara itu menyuruhnya melakukan bermacam-macam perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

Semakin Mary membesar, dia mula mengalami keadaan dimana tiba-tiba dia tidak sedarkan diri dan akan bertutur dengan suara yang pelik apabila tersedar, seperti dirasuk sesuatu.

Keadaan Mary ketika itu turut menjadi tumpuan kerana Mary juga seakan memiliki suatu kelebihan.

Semasa berada dalam keadaan separuh sedar, Mary mampu menceritakan dengan tepat tentang suatu tempat yang belum pernah dijejakinya.

Dia juga boleh menggambarkan tentang seseorang sedangkan tidak mengenalinya, malah Mary juga boleh meramal apa yang akan berlaku namun, lama-kelamaan perangai pelik Mary mulai menakutkan apabila dia mula bersikap ganas.

Mula-mula dengan orang yang tidak dikenalinya, kemudian bertindak ganas dengan ahli keluarganya sendiri. Lebih menakutkan, Mary mula mempunyai obses dengan darah sehingga sanggup mencederakan dirinya sendiri.

Kemuncaknya, suatu hari mereka menemui Mary terbaring dilantai rumah tidak sedarkan diri berlumuran darah setelah memotong urat pergelangan tangannya dengan pisau.

Tiada pilihan lain, akhirnya keluarga Rof akur dengan saranan supaya menghantar anak mereka ke hospital sakit jiwa.

Malangnya, rawatan yang diterima bukannya menyembuhkan Mary, sebaliknya dia mati di hospital tersebut pada 5 Julai 1865.

Semasa Mary mati, Lurancy Vennum pula baru berusia setahun.

***

Dipendekkan erita, Asa Roff memujuk keluarga Vennom agar membenarkan Dr. E Winchester Stevens, seorang ahli spiritual untuk cuba merawat Lurancy sebagai salah satu ikhtiar terakhir.

Semasa merawat gadis itu, Dr. Winchester percaya Lurancy bukanlah gila atau mengalami gangguan jiwa seperti yang diperkatakan.

Dia percaya fizikal gadis itu menjadi penghubung antara dunia orang yang sudah mati untuk berkomunikasi.

Ketika memukau Lurancy untuk 'berhubung' dengan roh yang mempengaruhi tubuh gadis itu, ada beberapa roh yang tampil memperkenalkan diri.

Dr. Winchester memberitahu keluarga Vennum, roh Lurancy masih terlalu lemah untuk mengawal tubuhnya sendiri.

"Lurancy kini ada di syurga!" beritahu Dr. Winchester.

Untuk itu dia mencadangkan agar tubuh Lurancy menerima satu roh baru yang lebih mesra dan baik untuk menduduki tubuh Lurancy buat sementara waktu.

Ketika itu tubuh Lurancy yang pengsan tiba-tiba tersedar. Bila ditanya dia memperkenalkan dirinya sebagai Mary Roff!

Ketika Mary menjelma dalam tubuh Lurancy, personaliti gadis itu tiba-tiba hilang. Dia tidak kenal keluarga Vannum, malah tidak selesa berada di rumah itu!

Dia berulang-kali memperkenalkan dirinya sebagai Mary dan meminta agar pulang ke rumahnya.

Apabila keluarga Roff datang ke rumah Vennum, Lurancy serta-merta dapat mengenali mereka seorang demi seorang.

Mereka terkejut kerana personaliti Lurancy tidak ubah seperti Mary, anak mereka yang sudah meninggal dunia 13 tahun lalu.

Pada Februari 1878, keluarga Vennum membenarkan Mary yang berada di dalam jasad Lurancy untuk pulang ke rumah keluarganya, walaupun pada hakikatnya kedua-dua keluarga ini tidak pernah saling mengenali sebelum ini.

Gadis itu sangat gembira apabila pulang ke pangkuan keluarganya.

Apa yang peliknya, Lurancy tahu semua sejarah hidup keluarga Roff termasuk peristiwa yang menimpa mereka, kejiranan dan segala kenangan semasa hidup dahulu.

Mary di dalam tubuh Lurancy juga masih mengenali barang-barang peribadi dan juga rakan-rakannya.

Pasangan Roff acap kali menguji Lurancy untuk melihat benarkah di dalam tubuh gadis itu adalah roh anak mereka.

Dan semua yang disoal dan diajukan dapat dijawab dengan tepat, sebab itu mereka yakin di dalam tubuh Lurancy adalah anak mereka, Mary.

Dalam masa yang sama, keluarga Vennum sering datang melawat ke rumah keluarga itu untuk melihat anak mereka namun, Lurancy tidak mengenali langsung keluarganya sendiri.

Lebih kurang tiga bulan 'rasukan' ini berlaku, sepanjang masa itulah keluarga Roff seakan mendapat semula anak mereka.

Pada Mei 1878, Mar mula menangis dan memberitahu keluarganya bahawa sudah tiba masanya untuk dia pergi kerana roh Lurancy sudah sihat dan kuat untuk mengawal jasadnya itu.

Mary sempat berpelukan dengan setiap ahli keluarganya dan menunjukkan rasa sedih kerana sudah tiba masanya untuk meninggalkan mereka.

Dua hari kemudian, Mary pun 'pergi'. Lurancy yang tersedar semula dari 'tidur' yang berpanjangan terpinga-pinga bila melihat dia berada ditempat yang asing.

Dia langsung tidak mengenali keluarga Roff dan hanya menangis meminta dihantar pulang kepada keluarganya.

Pada 21 Mei, Lurancy dipulangkan semula kepada keluarganya dan apa yang lebih menarik, sejak kejadian misteri itu, Lurancy tidak lagi pengsan atau mengalami sebarang kerasukan.

Lurancy membesar dengan normal tanpa gangguan atas bantuan roh anak keluarga Roff.

Sebagai tanda terima kasih, apabila keluarga Roff datang melawat, mereka akan membenarkan roh Mary masuk ke dalam tubuh Lurancy untuk berkomunikasi dengan keluarganya.

Sangat pelik. Perjanjian misteri ini berlanjutan selama beberapa tahun dan akhirnya terputus apabila Lurancy berkahwin dan berpindah ke Kansas mengikut suaminya.

Mereka membeli sebuah ladang dan hidup disitu membesarkan 11 anak mereka. Lurancy meninggal dunia pada akhir tahun 1940an.

Sejak dari itu sampailah sekarang, banyak kajian telah dilakukan namun gagal membuktikan kisah 'penyatuan' Lurancy dan Mary yang dikenali sebagai 'Watseka Wonder' ini sebagai satu penipuan.

Kejadian itu digambarkan sebagai antara kes kemasukan roh paling misteri dalam rekod paranormal.

Sama ada Lurancy Vennum mahupun Mary Roff, mereka tidak pernah bertemu, bahkan hidup dalam dua hayat yang berbeza.

Tetapi, mereka pernah 'bersatu' dalam satu jasad!

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 70: Bantal Peluk Berjalan Malam

SBDJ Siri 70: Bantal Peluk Berjalan Malam

“Kita juga tidak percaya tapi ramai orang yang percaya dengan perkara yang karut-marut tu.” “Ajal maut milik Allah. Kalau ajal kita belum tiba, jatuh dalam gunung berapi pun kita hidup. Bila ajal dan janji kita sudah tiba, digigit semut pun kita mati.”

Toyol jadi-jadian

“Kita jangan lupa, nyawa kita ini dipinjamkan oleh Allah pada kita. Bila sampai waktunya nyawa kita akan diambilnya. Jadi kenapa kita takut pada mati, kalau kita sudah membuat persiapan yang cukup,” balas Haji Salim dengan tenang.

Ketika ia berkata-kata tadi, saya lihat sinar matanya cukup tajam.

“Kita setuju,” jawab Datuk.

“Mari sembahyang, Isyak dah sampai,” Haji Salim segera bangun. Ketika itu juga terdengar suara azan Isyak dari surau membelah ketenangan seluruh kampung.

“Kita jadi imam,” tambah Haji Salim.

“Silakan,” ujar Datuk tersenyum.

“Nanti dulu,” kata saya.

“Kenapa pula budak ni,” keras sekali suara Datuk.

“Saya terkentut dalam diam tuk.”

“Ah kamu ni, ada-ada saja. Pergi cepat.”

Saya meluru ke bilik air. Saya terdengar suara ketawa dari haji dan Datuk tingkah meningkah. Mereka geli hati dengan kelakuan saya. Memang kelemahan diri saya, air sembahyang saya cepat batal. Bila ada air sembahyang perut buat ragam dan sering mahu mengeluarkan udara kotor dari dalamnya.

Kalau tidak ada air sembahyang, perut tidak pula buat hal. Entah mengapa begini jadinya, mungkin dugaan pada orang yang ada air sembahyang terlalu banyak, fikir saya sendirian. Nantilah satu hari, mahu saya tanyakan hal itu pada Haji Salim.

Haji Salim mengambil tempatnya sebagai imam. Saya dan Datuk berdiri hampir berlaga bahu. Memang pesan Datuk kalau sembahyang jemaah mesti rapat, jangan ada ruang untuk syaitan lalu yang menggoda kita sembahyang.

Sembahyang Isyak dapat disempurnakan dengan aman. Haji Salim terus membaca doa. Suaranya cukup terang dan jelas sekali. Cara mendadak suaranya yang terang itu beransur lemah dan tidak kedengaran langsung.

Saya lihat Haji Salim terus rebah di tikar sembahyang. Datuk dan saya terus menghampirinya. Haji Salim kelihatan sukar untuk bernafas. Datuk segera mahu melakukan rawatan kecemasan.

“Tak payah, masanya sudah sampai,” kata Haji Salim. Nafasnya beransur tenang. Ia terus merenung wajah Datuk dengan senyum. Dengan susah payah Haji Salim melunjurkan kedua belah kakinya. Ia terus baring. Sepasang matanya merenung lelangit rumah dengan tenang.

Isterinya datang membawa bantal. Datuk segera mengambil bantal itu, terus mengenepikan ke kepala Haji Salim. Ia kelihatan lemah sekali.

“Maafkan aku, kalau ada tersilap dan kasar bahasa pada kamu,” Haji Salim renung muka isterinya. Perlahan-lahan isterinya anggukkan kepala bersama wajah yang gusar.

“Begitu juga pada kamu Tamar,” Haji Salim renung muka Datuk dan saya.

Serentak Datuk dan saya anggukkan kepala. Isteri Haji Salim mula tersedu dan Datuk terus memujuk isteri Haji Salim supaya jangan menangis dan meraung. Ternyata isteri Haji Salim patuh dengan cakap Datuk.

“Sahabat, kita nak tidur. Kita rasa bekalan kita sudah cukup,” suara Haji Salim cukup lemah. Sinar matanya cukup redup menikam wajah Datuk. Saya lihat Datuk menarik nafas dengan rasa yang penuh berdebar.

Beberapa saat kemudian, saya lihat Haji Salim merapatkan kedua belah kelopak matanya dengan aman. Wajahnya nampak seakan-akan orang tersenyum. Datuk segera merasai perjalanan nadinya.

“Dia kembali pada yang HAK. Semoga amal ibadahnya diterima oleh Allah,” beritahu Datuk pada isteri Haji Salim. Dan saya lihat perempuan tua yang berwajah tenang itu mengesat air matanya dengan hujung baju.

“Saya goreng pekasam kesukaannya tapi…,” perempuan Haji Salim tidak terdaya meneruskan kata-kata itu. ia terus tersedu. Saya dan Datuk berpandangan.

“Jangan disesali kematiannya. Kita mesti merelakan apa yang sudah diatur oleh Allah,” Datuk mengingatkan isteri Haji Salim yang masih termenung.

“Baik tuk.”

“Pergi sekarang.”

SEMPIT

Dengan hati-hati saya memijak anak tangga kiri kanan jalan menuju ke surau ditumbuhi pokok-pokok kecil yang merimbun. Memang sukar berjalan di jalan yang sempit. Kalaulah orang lain yang menyuruh, pasti saya bantah.

Melangkah di jalan yang sempit waktu malam, memang menyulitkan. Dua tiga kali saya terlanggarkan akar pokok yang melintang atas jalan. Bukan kepalang sakitnya.

Ada masanya saya terpaksa melompat, akibat dilanggar oleh katak puru yang muncul dari rimbunan pokok kecil di kiri kanan jalan. Saya lihat langit yang cerah, gumpalan awan terus berarak.

Saya sampai dekat pokok kelapa yang patah pucuk, akibat dipanah petir. Dari pangkal pokok kelapa itu, saya lihat cahaya gasolin di surau terang-benderang. Hati saya gembira kerana surau masih belum ditinggalkan oleh orang kampung.

Dalam gelap yang pekat itu, suara cengkerik kian rancak menyanyi. Beberapa ekor kelip-kelip terbang tidak tentu arah. Desir angin yang menyentuh dedaun terus berbunyi. Jarak surau dengan rumah Haji Salim kira-kira suku batu.

Tiba-tiba saya tersepak benda lembik. Saya berhenti melangkah sambil memusingkan kaki kanan saya dengan harapan dapat merasakan benda lembik itu. Anehnya, benda lembik itu tidak tersentuh bila melangkah. Dan dengan tiba-tiba saya teringatkan Haji Salim yang sudah menjadi mayat.

Saya juga teringat cakap orang tua-tua yang mengatakan bila ada orang mati malam, syaitan selalu merayau di kawasan orang ang meninggal dunia bertujuan untuk menakut-nakutkan orang yang masih hidup. Mengingatkan semuanya itu, cara mendadak sahaja bulu tengkuk saya meremang. Rasa takut mula bersarang dalam diri.

Cara yang paling baik dilakukan, berlari sahaja dalam gelap. Redah atau langgar apa sahaja, dengan itu cepat sampai ke surau dan terus pukul kerantung tujuh kali berturut-turut.

Setelah diperhitungkan dan dipertimbangkan dengan teliti, saya membuat keputusan untuk lari menuju ke surau. Baru lima enam langkah berlari, saya terlihat benda putih sebesar buah kelapa datang bergolek-golek ke arah kaki saya.

Dalam jarak dua kaki dari saya, benda putih itu berhenti bergolek. Bentuknya juga berubah jadi memanjang bantal peluk. Perlahan-lahan benda putih itu bangun, berdiri setinggi tubuh saya. Saya renung kiri kanan. Apa yang saya lihat, barisan kelip-kelip yang terbang menuju ke satu arah, iaitu arah barat daya.

Saya jadi tidak tentu arah dan bersedia menjerit memanggil Datuk. Tetapi, hasrat itu saya batalkan. Saya terus membaca ayat-ayat Quran untuk menghalau syaitan. Makin kerap ayat-ayat Quran itu saya ulangi, makin rancak benda putih itu berpusing-pusing di depan saya.

Saya terus lari sekuat hati menuju ke surau. Sampai di surau saya dapati tidak ada seorang pun di situ. Saya terus memanggil-manggil nama Siak beberapa kali. Tidak ada jawapan yang saya terima. Tetapi, mengapa Tuk Siak tidak mematikan lampu gasolin. Barangkali ia terlupa, kata hati saya.

Tanpa membuang masa, saya ambil kayu pemukul lalu memukul kerantung tujuh kali berturut-turut. Selesai sahaja kerantung (beduk) dipukul lampu gasolin terus padam dengan sendiri. Hati saya berdebar. Dan saya bagaikan mahu menangis rasanya. Saya terus duduk di tangga surau.

Dalam keadaan yang kelam-kabut itu, saya terdengar bunyi suara orang batuk dari arah belakang surau.

“Siapa yang mati?” tanya suara dari belakang surau.

“Tuk Siak di mana?”

“Aku tanya lain, kamu jawab lain.”

“Haji Salim yang mati.”

“Eloklah tu.”

Darah saya tersirap. Dan saya yakin, itu bukan suara Mat Upih Tuk Siak surau. Suara Mat Upih parau bercampur nyaring. Tetapi suara yang saya dengar ini, keras tidak nyaring dan serak.

Setiap orang kampung yang menerima berita kematian akan menjawab dengan kata-kata; Innalillah wa inna Ilaihirajiun. Mereka tidak akan mengucapkan perkataan, eloklah tu, seperti yang diucapkan oleh orang dari arah belakang surau.

“Itulah padahnya melawan kita,” tercetus lagi kata-kata dari orang yang tidak saya kenali. Dengan tidak disangka-sangka rasa marah dan benci tumbuh dalam hati saya terhadap orang itu.

“Ei, manusia tak baik cakap macam tu. Kamu juga akan mati,” balas saya.

“Sudahlah, tak lama lagi giliran Datuk kamu.”

“Nyawa Datuk aku bukan di tangan kamu, tahu.”

“Tunggu, dan lihat sendiri.”

“Laknat.”

Sebaik sahaja kata-kata itu saya ucapkan, saya tercium bau yang amat busuk. Saya terlihat dua lembaga manusia melintas di depan saya. Dari bentuk lembaga itu, saya tahu orang itu tidak lain tidak bukan ialah Kamal dan Daud.

“Aku tahu siapa kamu,” jerit saya.

Dalam saya terus berlari meninggalkan surau, terdengar suara orang ketawa berdekah-dekah dituruti dengan bunyi tapak kaki memburu saya dengan kuat. Saya terus berlari tanpa mahu menoleh ke belakang, ke kiri atau ke kanan.

Bila saya sampai di rumah Haji Salim, saya lihat orang sudah ramai. Mat Upih duduk di halaman rumah bersama dengan kawan-kawan. Semuanya memakai songkok putih.

“Macam mana tahu Haji Salim meninggal?” saya ajukan pertanyaan pada Mat Upih yang berkulit putih, berasal dari Pangkalan Bharu, dekat Pantai Remis.

“Ada orang datang beritahu para jemaah. Bila disuruh pukul kerantung, dia tak mahu. Katanya kamu nak pukul lepas sembahyang Subuh,” jawab Mat Upih.

“Pak Mat Upih kenal orangnya?”

“Inilah yang kami bincangkan. Orang tu memakai serba hijau, kami ingatkan keluarga si arwah yang datang dari jauh,” Mat Upih renung kawan-kawannya. Semua kawan-kawannya anggukkan kepala.

Saya garu pangkal telinga dua tiga kali. Di sudut halaman Datuk sedang berunding dengan penggali kubur. Isteri Haji Salim sedang bercakap dengan Borhan. saya terus menghampiri mereka.

“Aku nak suruh si Borhan ni telefon anak buahku dan telefon malam ni juga. Mana yang tak ada telefon pagi esok di pejabat,” terang isteri Haji Salim lalu memberi nombor telefon pada Borhan.

“Macam mana kau nak buat Borhan,” soal saya.

“Aku ke pekan malam ni juga, gunakan telefon abang aku Tamar.”

“Bila balik ke sini?”

“Malam ni juga.”

Borhan segera meluru ke Honda 70cc miliknya. Meninggalkan saya yang terpaku di sisi isteri Haji Salim. Bunyi enjin motosikal Borhan tidak kedengaran lagi.

Berita kematian Haji Salim cukup cepat merebak ke seluruh kampung. Tidak sampai dua jam rumah arwah Haji Salim jadi tumpuan. Semua yang datang tanpa di arah tahu dengan tugas masing-masing.

Ada yang datang membawa ketam, penukul dan paku serta gergaji. Ada yang datang membawa papan dan kayu. Mereka bergotong-royong membuat keranda dan pengusung. Menjelang pukul dua belas malam, semua kelengkapan itu siap.

Tepat pukul satu pagi, orang-orang yang datang pulang ke rumah masing-masing. Mereka sudah tahu tugas-tugas yang akan dilakukan pada esok pagi. Beberapa orang penduduk kampung terus membaca Quran di depan jenazah Haji Salim.

Pada mulanya, perbuatan itu ditentang oleh Datuk. Menurut Datuk membaca Quran di depan jenazah merupakan perbuatan yang bidaah, tidak pernah dilakukan oleh Nabi Besar Muhammad SAW.

“Tidak. Tujuannya baik dan perkara ini harus. Kita menyedekahkan pada roh arwah, kita tak usah bertekak atas perkara ini, nanti menimbulkan perbalahan antara kita,” sanggah Pak Imam.

“Saya tak pula bermaksud begitu. Setahu saya amal ibadah yang ditambah-tambah, perkara yang tidak dilakukan oleh nabi kita buat, sudah tentu perbuatan tu dicela oleh agama kita,” Datuk mempertahankan pendapatnya.

“Sebenarnya masalah ini, ulama-ulama besar pun tidak sependapat. Ada yang kata boleh, ada yang kata tidak. Sudah jadi kebiasaan orang-orang kita membaca Quran di depan jenazah,” tambah Imam lagi.

“Tak apalah, saya akan tanya pada ahli-ahli agama dalam hal ini, supaya orang kita dapat melakukan sesuatu yang baik mengikut nabi,” suara Datuk merendah.

“Saya setuju dengan awak, tapi apa yang berjalan sekarang jangan dikacau.”

“Demi perpaduan penduduk perkara tu saya tak halang. Tetapi bila saya dapat hujah yang kuat saya menentangnya.”

“Saya setuju,” Pak Imam tersenyum.

Saya tersenyum mendengar percakapan antara Datuk dan Pak Imam. Mereka sering bertolak ansur demi kepentingan dan perpaduan para penduduk. Pak Imam terus naik ke rumah. Saya duduk dekat pokok mempelam. Dua tiga kali saya menguap. Kelopak mata terasa amat berat sekali. Rasa dingin kian hebat mendakap seluruh badan. Tanpa diduga saya terlena sejenak.

“Tamar.”

Saya membuka mata. Saya lihat Datuk sudah pun duduk di sisi saya. Muka saya ditenungnya lama-lama. Kemudian pangkal ketiak kanan saya ditamparnya sekuat hati. Rasa mengantuk segera hilang.

“Jangan mudah tidur di mana-mana, nanti dikacau syaitan,” katanya pada saya.

“Saya mengantuk tuk.”

“Kalau mengantuk balik ke rumah.”

“Saya takut tuk.”

“Takut?” Datuk membeliakkan biji mata pada saya.

Saya terus menceritakan pada Datuk, segala kejadian aneh yang saya lalui ketika pergi ke surau beberapa jam tadi. Datuk mendengarnya dengan tenang.

“Dendamnya pada kita belum habis,” cetus Datuk sambil meraba ulu keris pemberian Haji Salim yang disimpan dalam uncang kecil. Datuk meninggalkan saya. Ia terus menemui isteri Haji Salim. Setelah bercakap-cakap sebentar dengan Datuk, isteri Haji Salim masuk ke rumah. Keluar kembali dengan ditemani oleh nenek.

Datuk dan nenek bercakap-cakap sebentar. Datuk tinggalkan nenek dan terus menghampiri saya.

“Kita balik dulu Tamar. Lepas Subuh kita datang lagi ke sini. Di rumah kamu boleh tidur.”

“Ini sudah cukup baik tuk.”

“Cepat bangun.”

Saya segera bangun. Badan saya menggeletar kesejukan. Langit tetap cerah tetapi sekitar kawasan rumah Haji Salim terus didakap oleh suasana malam yang agak pekat. Suara jampuk berpadu dengan suara pungguk mendendangkan irama malam yang tidak pernah habis selagi dunia berkembang. Begitu juga dengan suara cengkerik.

Langkah Datuk cepat, tidak tersepak tunggul atau akar. Ia cukup arif dengan jalan yang dilaluinya. Bagi mengelakkan supaya saya jangan jauh ketinggalan, saya terpaksa berlari. Kerana berlari membuat badan saya berpeluh dan menghilangkan rasa sejuk.

“Tamar.”

Datuk menepuk bahu saya. Langkah kami terus kaku.

“Ada apa tuk?”

“Kau nampak apa-apa Tamar.”

“Tak ada apa-apa tuk,” saya renung ke kiri, saya renung ke kanan. Dalam gelap gelita itu saya ternampak ada bentuk manusia berdiri antara saya dengan Datuk.

“Ada orang tuk.”

Sebaik sahaja kata-kata itu berakhir, bayang-bayang orang itu segera hilang. Ia muncul di depan Datuk. Kali ini bayang-bayang ini menjadi nyata. Mempamerkan wajah dan batang tubuhnya. Bila Datuk mahu menyapa, orang itu segera hilang dan berdiri jauh di belakang saya.

Orang itu membongkok macam mencari sesuatu di atas tanah. Perlahan-lahan orang itu mengeluarkan buluh tajam dan bersedia mahu menikam tanah yang ada kesan tapak kaki saya dan Datuk.

Waktu orang itu mahu menikam buluh tajam ke arah kesan tapak kaki saya dan Datuk, bagaikan kilat Datuk melompat lalu melakukan satu tendangan yang kuat ke arah pergelangan tangan orang itu. Buluh di tangan orang itu terpelanting lalu melekat di batang pokok pisang.

Orang itu terus tercengang. Tergamam untuk melakukan sesuatu. Dalam keadaan yang serba-salah itu Datuk melepaskan satu tendangan yang kencang pada orang tersebut. Saya lihat orang itu tersandar di pangkal pokok pisang.

Kalau orang itu tidak mengelak sudah pasti buluh tajam yang tercabut dan terjatuh dari pokok pisang mengenai perutnya. Kalaulah perkara itu terjadi, sukar untuk saya membayangkannya.

“Aku tahu, kamu menuntut dari kaum kubu di Sumatera, tidak ada sesiapa yang boleh mengalahkan kamu kecuali kaum itu sendiri,” kata Datuk. Saya lihat orang itu terdiam. Datuk segera merapatinya.

“Kamal, kamu menggelar diri kamu mahaguru. Kau memaksa orang memanggil kamu Datuk. Kamulah penipu besar di dunia ini,” Datuk terus mengutuk orang itu. tidak ada jawapan dari orang tersebut.

“Aku tahu, ilmu dunia orang kubu cukup hebat, bekas tapak kaki manusia musuhnya kalau ditikam dengan buluh orang itu boleh mati. Jika musuhnya berada jauh dalam jarah berpuluh-puluh batu, boleh dibunuh dengan membalingi pisau ke arah rumah musuh dan musuhnya mati dengan serta-merta. Aku juga tahu ilmu itu tidak ada pada kamu Kamal,” sambung Datuk dalam nafas yang tercungap-cungap.

Saya tidak berkata apa-apa. Bau hapak mula menyumbat lubang hidung saya. Ketika itu juga saya lihat beribu-ribu kelip-kelip berterbangan sekitar kawasan kami berada. Cahaya dari kelip-kelip itu memudahkan saya melihat pergerakan Kamal yang mula mahu bangun.

“Kalau ajalku belum sampai dan tidak diizinkan oleh Allah mati di tangan kamu, usahlah kamu memburu aku Kamal,” beritahu Datuk lagi. Kamal terus bangun.

“Buktinya Haji Salim,” pekik Kamal.

“Kamu silap. Ia mati kerana sudah sampai janjinya.”

“Sial, kamu sial, menghalang kerja-kerja aku.”

“Kalau kamu mahu menunjukkan kehandalan ilmu dunia kaum kubu yang kamu tuntut, aku bukanlah tempatnya. Aku tahu ilmu kamu tidak cukup lagi.”

“Mana kamu tahu.”

“Aku berasal di Tanah Jambi. Aku sudah bercampur gaul dengan beberapa orang ketua kaum tersebut, banyak ilmu dunia dia orang yang aku tahu. Serba sedikit pantang larang dan sumpahnya aku tahu,” Datuk berhenti bercakap.

Kelip-kelip kian bertambah. Kamal termenung panjang. Bau tokaknya kian kuat berbau. Lolongan anjing sayup-sayup terdengar. Bunyi angin kian kuat bertiup.

“Tokak di kaki kamu tu terjadi kerana kamu tidak pergi berjumpa dengan ketua orang kubu yang mahu tuntut ilmu. Kamu tidak membawa upahnya seekor babi hutan pada setiap tahun.”

“Ah mengarut.”

“Kamal, aku tak mahu cakap banyak. Eloklah kamu pindah dari sini sebelum kamu dilaknati oleh Allah. Pergilah ke mana-mana dan bertaubat.”

“Sudahlah.”

Dengan sekelip mata kelip-kelip yang beribu-ribu itu terus hilang. Kamal juga lesap dari pandangan saya dan Datuk. Buluh yang ada di bawah pohon pisang terbakar dengan sendirinya.

Datuk menarik nafas panjang. Di wajahnya terbayang rasa kesal. Lama juga Datuk termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

“Mari Tamar.”

Saya pun terus melangkah mengikut rentak kaki Datuk. Dua tiga kali melangkah, saya renung ke belakang. Bimbang, kalau Kamal muncul lalu menikam saya. Kalau perkara itu terjadi, tentu saya mati katak.

Kami selamat sampai ke rumah. Tidak ada perkara yang tidak diingini berlaku. Sampai di rumah saya terus tidur. Saya tidak tahu apa yang Datuk lakukan dalam biliknya.

USUNG

Pagi itu, sebelum pergi ke rumah arwah Haji Salim, Datuk duduk di kepala tangga. Saya terus menghampirinya.

“Tamar.”

“Ya, tuk.”

“Kau ingat dengan Daud.”

“Ingat tuk, kenapa tuk.”

“Dia menipu kita. Katanya dulu, Kamal orang nombor dua yang menjalankan perintah guru. Sebenarnya Kamal itulah kepala nombor satu.”

“Betul ke tuk.”

“Sudahlah, mari kita pergi ke rumah arwah Haji Salim.”

Waktu kami sampai orang ramai di rumah Haji Salim. Sanak saudaranya yang jauh sudah ada yang tiba. Saya pusing keliling rumah, kalau-kalau Saadiah dan keluarganya sudah tiba. Ternyata Saadiah masih belum sampai.

Rasa terkilan berbunga dalam diri saya. Rindu benar rasanya mahu melihat lesung pipit di pipi Saadiah. Dalam rasa kehampaan yang memanjang itu saya terus menuju ke arah Lebai Din yang buta kedua belah matanya.

“Tamar,” kata Lebai Din. Saya tersenyum bagaimana orang tua yang buta ini memanggil nama saya dengan tepat. Padahal saya tidak menegurnya.

“Kau pakai baju dan seluar putih hari ni,” tambahnya.

“Ya Pak Lebai,” jawab saya.

Lebai Din terus ketawa dan menepuk belakang saya beberapa kali dengan penuh kemesraan. Tangannya saya pegang erat-erat.

“Macam mana tahu Pak Aji meninggal?” tanya saya.

“Borhan beritahu.”

“Macam mana datang?”

“Jalan kaki Tamar.”

“Jauh tu Pak Lebai.”

“Sebagai orang Islam bila tahu saudara seagama meninggal kita mesti datang,” katanya. Saya anggukkan kepala. Setuju dengan pendapatnya itu.

Datuk datang dan terus duduk di sebelah Lebai Din. Saya tahu bila Datuk datang, saya tidak boleh bercakap ikut suka hati, nanti kena tegur oleh Datuk.

“Bila mahu dikebumikan,” tanya Lebai Din.

“Lepas Zuhur, nanti anaknya dari Beranang tiba. Kalau tak sampai juga, tak boleh ditunggu lagi.”

“Bagus, menyegerakan mengebumikan mayat memang dituntut oleh agama, tak baik melambat-lambatkannya,” jawab Lebai Din.

Orang tidak putus-putus datang ke rumah Haji Salim, orang sekampung semuanya tidak pergi kerja hari itu. orang luar dari kampung juga tidak kurang ramai yang datang. Melihat keadaan itu, saya meramalkan semasa hayatnya, Haji Salim memang terkenal dan dihormati.

“Orang yang duduk di tanah saya tu dah pindah,” Lebai Din memberitahu pada Datuk. Saya lihat Datuk terkejut.

“Macam mana awak tahu.”

“Lepas sembahyang Subuh tadi, orang tu lalu dekat rumah saya dan beritahu perkara tu.”

“Biadab, manusia biadab.”

“Biarlah dia biadab, asalkan kita tidak jadi macam dia. Saya bersyukur pada Allah…”

“Bersyukur, bersyukur apa?”

“Dia sudah meninggalkan pondok itu. kalau di suruh keluar dengan paksa lain pula jadinya.”

“Begitu,” saya lihat Datuk ketawa kecil. Keterangan dari Lebai Din membunuh keraguan dalam diri Datuk.

Seperti yang dijanjikan, lepas waktu Zuhur jenazah Haji Salim pun diusung ke tanah perkuburan. Masa di tanah kubur saya terlihat Kamal dan Daud ada di celah-celah orang ramai yang sedang mendengar Pak Imam membaca talkin.

“Mata kamu rabun.”

“Tak, saya nampak tuk.”

“Pandangan kamu saja, semuanya kerana takut.” Suara Datuk keras. Saya terus diam.

Bila semuanya sudah selesai. Orang ramai pun meninggalkan tanah kubur. Tetapi, Datuk dan Lebai Din masih berdiri di sisi pusara Haji Salim. Wajah mereka muram, mata mereka merah.

“Allah kasihkan dirinya, kerana itu ia dipanggil,” keluh Datuk. Lebai Din menarik nafas, matanya tidak berkedip merenung tanah pusara.

“Saya kehilangan kawan,” tambah Datuk lagi.

“Saya juga begitu. Susah mahu mencari orang macamnya, penyabar dan bertimbang rasa,” sahut Lebai Din. Serentak Datuk dan Lebai Din meninggalkan pusara.

“Tadi, saya rasa laknat tu ada sama,” cara mendadak sahaja Lebai Din memberitahu Datuk. Muka Datuk segera berubah. Perlahan-lahan ia menarik nafas.

Tamat siri 70/284

BACA: SBDJ Siri 69: Ilmu Kaum Kubu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Kata-kata Terakhir Steve Irwin

Kata-kata Terakhir Steve Irwin

"Jangan bimbang, mereka biasanya tidak akan berenang ke arah belakang." Steve Irwin (1962-2006), dikenali ramai kerana dia adalah ikon dari Australia yang juga personaliti televisyen, pakar hidupan liar, selain seorang penyokong kuat pemuliharaan.

Steve Irwin Last Words

Dia telah mencipta rancangan dokumentari bersiri The Crocodile Hunter dan juga pemilik dan pengurus Zoo Australia di Beerwah, Australia.

Pada 4 September 2006, Steve Irwin telah mengalami kemalangan yang tidak disengajakan apabila dadanya tercucuk duri ikan pari semasa melakukan aktiviti snorkerling di Great Barrier Reef di Batt Reef yang terletak di luar pantai Port Douglas, utara Queensland.

Akibat kemalangan itu, Steve Irwin telah mengalami kerosakan dalaman yang teruk dimana arteri jantungnya dan saluran darah utamanya terkoyak.

Kejadian itu berjaya dirakamkan dan salinannya telah diserahkan kepada polis Queensland.

Kata-kata terakhirnya itu sebenarnya merujuk kepada situasi pada masa itu yang menunjukkan ikan pari tidak berkelakuan biasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Anda Terlalu Was-was dan Ragu-ragu, Bagaimana Cara Mengatasinya?

Anda Terlalu Was-was dan Ragu-ragu, Bagaimana Cara Mengatasinya?

Ali berumur 25 tahun dan sejak kebelakangan ini beliau kerap berasa ragu-ragu (tidak yakin) ketika beribadat serta apa sahaja yang beliau lakukan setiap hari. Dia pernah berpatah balik walaupun telah keluar meninggalkan rumah sejauh 3km kerana berasa was-was sama ada pintu rumah sudah berkunci ke tidak. Rupa-rupanya telah dikunci.

Bahaya was-was

Begitu juga semasa solat dimana selalu ada rasa ragu-ragu bilangan rakaat yang telah ditunaikan. Masa wuduk tidak kurang hebatnya, selalu berasa ragu-ragu sudah atau belum membasuh anggota wuduk.

Anda pernah tak mengalami rasa ragu-ragu atau dengan kata lain was-was seperti Encik Ali?

Apa itu was-was sebenarnya?

Perasaan ragu-ragu, tidak yakin atau was-was merupakan satu fenomena yang melanda kebanyakan manusia.

Individu yang diserang penyakit ragu-ragu selalunya akan menghadapi kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian.

Perasaan was-was ini amat berbahaya kerana ia bukan sahaja akan menyukarkan seseorang itu dalam aktiviti kehidupan sehariannya malah sampai satu tahap boleh mengakibatkan hati tidak tenteram.

Bagi orang Islam, ia akan mengganggu tumpuan dalam aspek keimanan dan amal ibadah seperti solat dan kepercayaan kepada Allah SWT.

Ada sejenis jin bernama Al-Maraddah yang bertugas hanya untuk membisik di hati dan mengganggu perasaan agar manusia ragu-ragu atas was-was.

Jenis jin Al-Maraddah ini membisikkan perkara bukan-bukan supaya timbul kecelaruan di dalam hati, malah kadangkala mempengaruhi keputusan akal.

Ia membuatkan suatu perasaan tidak sempurna dan menghilangkan keyakinan terhadap ibadat yang dilakukan.

“Katakanlah (Wahai Muhammad), “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.” – Surah An-Nas: 1-6

Seorang sahabat Rasulullah, Utsman bin Abil ‘Ash pernah ditimpa gangguan was-was dan telah pergi kepada Rasulullah SAW dan mengadu kepada Baginda:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam shalatku dan membuat bacaanku terganggu.”

Rasulullah menjawab, "Itulah syaitan ‘Khinzib’. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah.’ Aku pun melakukan hal itu dan Allah menghilangkan gangguan itu dariku.” – HR. Muslim

Penyakit was-was boleh menjadi satu masalah yang kronik sehingga ke peringkat di mana pesakit berasa putus asa dalam menjalankan ibadat dan meninggalkan ketaatan dalam beribadat.

Jenis Was-Was

Secara umumnya penyakit was-was terbahagi kepada dua, iaitu was-was dalam ibadah dan was-was dalam akidah.

Was-was Ibadah biasa pada perkara-perkara seperti:
  • Ambil wudhu berulang-ulang kali seperti tiada kesudahan.
  • Mengangkat takbirratulihram (niat) yang berulang-ulang dengan muka yang amat tertekan.
  • Bersuci dengan sabun pencuci terutama selepas membuang air besar dan setiap kali dia akan terasa seperti masih ada lagi najis yang terkeluar dan proses basuhan berlanjutan seperti tiada kesudahannya.
  • Mandi hadas dengan basuhan berulang-ulang kerana tidak yakin dengan sahnya mandi hadas tersebut.
  • Membaca basmalah dan Al-Fatihah dalam keadaan yang amat sukar serta berulang-ulang sebutan ayat-ayat tersebut.
  • Ragu dan terlalu berhati hati dengan kebersihan tempat dan barangan.
  • Was-was bilangan tawaf mengelilingi kaabah.
  • Was-was akidah dari syaitan seperti berikut:
  • Mula terfikir sesuatu yang batil (palsu) yang bersangkut dengan ketuhanan seperti timbul persoalan kewujudan tuhan.
  • Memikirkan sesuatu yang batil tentang kenabian dan perkara-perkara yang ghaib.
  • Memikirkan sangkaan buruk.

Bahaya Was-Was

1. Terganggu Aktiviti Harian

Seseorang yang terkena penyakit was-was biasanya akan mengganggu kerana setiap perbuatan perlu dilakukan secara berulang-ulang kali sehingga terpaksa menggunakan lebih masa dalam melaksanakan sesuatu perkara.

2. Hidup tak tenang

Rasa resah dan gelisah akan menghantui hidup pesakit penyakit was-was kerana dirasakan setiap tindak tanduknya tidak sempurna. Akhirnya menghadapi tekanan perasaan.

3. Mengganggu ketenteraman orang lain

Bila semasa solat berjemaah, masalah was-was ini akan menyebabkan seseorang berkali-kali melakukan takbir, maka akan mengganggu tumpuan makmun lain.

4. Meninggalkan sunnah Rasul dan mengikuti was-was syaitan

Inilah yang sangat ditakuti kerana apabila penyakit was-was ini menyerang, ia boleh menyebabkan pembaziran, membuang masa dan melakukan perkara yang merugikan.

5. Merosak akidah

Ini yang paling ditakuti. Was-was yang boleh membawa kepada meragukan keesaan Allah SWT.

“Syaitan akan selalu mendatangi salah seorang dari kalian seraya bertanya, ‘Siapa yang menciptakan ini?’ ‘Siapa yang menciptakan ini?’ Sampailah kepada pertanyaan: ‘Siapa yang menciptakan Allah?’ Barang siapa yang mendapati dalam dirinya pertanyaan tersebut, maka berlindunglah kepada Allah (membaca isti’adzah) dan hendaklah menghentikannya (mengakhirinya)’.“ (HR. Bukhari)

Bagaimana Menentang Dan Merawat Was-Was?

Bagi mengelak daripada perasaan was-was berlaku kepada diri, boleh mencuba amalan berikut:-

Beribadatlah mengikut kemampuan dan ingat kerja kita adalah melakukan ibadat dan bukan menentukan menentukan sah atau tidak ibadat kita.

Jangan patuh dan layan pada was-was dan bila ia datang biarkan ia berlalu.

Setiap kali was-was, fikirkan dalam minda dan hati, yang anda sudah LAKUKANNYA!

Bila was-was datang sematkan pada diri bahawa ianya adalah bisikan syaitan dan jangan dengar bisikan syaitan.

Banyakkan berzikir dan berdoa kepada Allah kerana Dialah yang Maha Penyembuh.

“Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.“ – Surah al-A’raaf: 200

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: el-hajj

Hamza Bendelladj, Hacker Yang Mendermakan RM1.17 Bilion Kepada Palestin?

Hamza Bendelladj, Hacker Yang Mendermakan RM1.17 Bilion Kepada Palestin?

Bergantung kepada siapa yang anda bertanya, Hamza Daniel Bendelladj dianggap sebagai Robin Hood atau penjenayah siber alaf baru, seorang penggodam komputer berasal dari Algeria, menggunakan kod nama BX1 dan telah diberikan nama julukan "Smiling Hacker".

Hacker paling berbahaya

Dilahirkan pada tahun 1988 di Tizi Ouzou, Algeria, Hamza berada dalam senarai 10 penggodam paling dikehendaki oleh Interpol dan FBI, berikutan dakwaan menggelapkan puluhan juta dolar dari lebih 200 institusi kewangan Amerika Syarikat dan Eropah melalui virus komputer "RimiG33k" yang menjangkiti lebih daripada 50 juta komputer di seluruh dunia.

Hamza didakwa membangunkan virus ini bersama rakannya dari Rusia, Aleksandr Andreevic Panin atau "Gribodemon" untuk mencuri maklumat bank yang disimpan dalam komputer yang dijangkiti malah, Hamza juga telah menggodam laman sesawang rasmi kerajaan Israel.

Menggunakan perisian hasad (malware) dikenali sebagai SpyEye, Hamza memecah masuk ke dalam komputer bank-bank dan individu untuk memperoleh kata laluan serta kod pengenalan dan sebaik sahaja mendapat akses kepada sesebuah akaun, Hamza akan mengosongkan akaun tersebut.

Menurut dokumen mahkamah, antara 2009 dan 2011, Hamza dan yang lain membina, memasarkan dan menjual virus SpyEye dalam pelbagai versi kepada penjenayah siber, yang membolehkan mereka memperoleh kata laluan, nama pengguna dan maklumat kad kredit.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat mengatakan Hamza biasanya mengiklankan SpyEye dalam forum penggodam komputer dikenali sebagai Darkode.

Hamza dan pengguna SpyEye lain juga didakwa bertanggungjawab dalam pembinaan rangkaian besar komputer yang dijangkiti atau "botnet", yang mana telah digodam untuk maklumat kewangan dan peribadi.

Software hacker

Selepas diburu selama 3 tahun, Hamza akhirnya berjaya ditangkap pada 8 Januari 2013 oleh polis Thailand ketika transit di Bangkok dalam perjalannya dari Malaysia ke Mesir.

Ketika ditangkap, beliau tidak melawan dan mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya. Isteri dan anak perempuannya kemudian meneruskan penerbangan pulang ke Mesir tanpa Hamza.

Beliau menerima nama julukan "Smiling Hacker" disebabkan oleh tindakannya yang hanya tersenyum ketika ditangkap dalam keadaan tangannya yang bergari dan ketika dalam sidang media selepas ditangkap.

Apabila ditanya apa yang dilakukan dengan wang tersebut, dia menghabiskan semuanya dengan mendermakan berjuta-juta dolar kepada badan amal Palestin dan Afrika.

Namun, kontroversi pemberian wang hasil hacking kepada Palestin dan Afrika adalah dari mulut Hamza sahaja dan tiada sebarang bukti yang menyolong dakwaan ini. Mungkin kerana pihak bank terlalu malu dan takut kehilangan pelanggan lalu enggan memberikan kerjasama dalam siasatan atau hasil penemuan dirahsiakan.

Ekstradisi

Hacker berbahaya
Hamza Bendelladj dan Aleksandr Andreevich Panin.

Hamza diekstradisi ke Amerika Syarikat pada Mei 2013 di mana dia dibicarakan di Atlanta dan mengaku bersalah pada 25 Jun 2015, berhadapan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda sebanyak RM64 juta.

Rakannya Aleksandr Andreevich Panin ditangkap pada 1 Julai 2013 di Lapangan Antarabangsa Hartsfield-Jackson di Atlanta dan mengaku bersalah pada Januari 2014 di hadapan Mahkamah Persekutuan Atlanta.

Berikutan ekstradisi beliau ke AS, khabar angin mula tersebar di internet mengatakan bahawa Hamza bakal berhadapan hukuman mati di atas jenayahnya, membuatkan para penyokong beliau memulakan kempen untuk memohon agar hukuman itu tidak dikenakan.

Seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama @Hassan_JBr menulis:

"Wira Algeria adalah salah seorang daripada penggodam paling berbahaya. Dia menggodam 217 buah bank dan mendermakan RM1.17 bilion ($280 juta USD) kepada Palestin. Hukumannya? Mati."

Tweet berkenaan dikongsi sebanyak lebih daripada 4,500 kali.

Namun, pihak berkuasa AS menolak tuntutan yang dipublikasikan secara meluas ini malah, duta besar AS ke Algeria, Joan Polaschik, menulis bahawa "jenayah komputer tidak dihukum dengan hukuman mati."

Sejak penahanan Hamza, pegawai penguatkuasa undang-undang AS mengatakan mereka telah membongkar Darkode dan telah memfailkan tuduhan jenayah terhadap ramai individu berkaitan dengan forum berkenaan.

Walaupun telah mengaku bersalah, penyokong Hamza terus menggodam pelbagai laman sesawang di seluruh dunia, termasuk Air France dan universiti yang berpangkalan di Virginia, meminta untuk melepaskan beliau menggunakan hashtags #FreeHamzaBendellaj dan #FreePalestine.

Hamza telah berada dalam tahanan penjara di AS sejak penangkapannya pada Mei 2013, dengan mahkamah AS menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan 3 tahun percubaan, pada 20 April 2016, manakala Aleksandr Andreevich Panin pula dijatuhkan hukuman penjara 9 tahun 6 bulan.

Dalam laporan mereka, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menganggarkan virus "SpyEye" telah mencuri kira-kira RM4 bilion.

Antara tahun 2010 dan 2012, bank yang terjejas telah membaiki kerosakan yang disebabkan oleh malware ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

'Aku Tahu Engkau Pasti Datang..'

'Aku Tahu Engkau Pasti Datang..'

Perang Dunia Pertama sedang memuncak. Disuatu medan perang, pertempuran antara dua ketumbukan tentera sudah berlarutan sehari suntuk. Seorang perajurit menyusup di celah-celah rimbunan belukar dan tanah berlurah dalam desingan peluru yang bersimpang-siur. Dia menuju ke arah musuh.

Berjuang di medan perang
Gambar hiasan.

Malang, kehadirannya disedari dan ketika berlari ke arah sebatang pokok besar, beberapa butir peluru menembusi tubuhnya. Dia terhumban ke tanah. Sahabat baiknya yang melihat kejadian itu tergamam.

Perasaan sedih, marah dan segala kenangan manis yang telah dilalui bersama bertimpa-timpa datang menggodam jiwanya.

"Tuan, saya mesti selamatkan dia!" pinta anggota tentera itu.

"Boleh, kau boleh pergi," balas ketuanya, seorang leftenan.

"Tapi, saya rasa sia-sia. Kawan kau itu mungkin sudah mati dan engkau cuba bawa mayatnya ke sini, mungkin engkau juga akan menerima nasib yang sama, atau sekurang-kurangnya cedera."

Anggota tentera itu mengangguk kepala. Baginya perkataan 'boleh' itu lebih besar maknanya berbanding 'mati' dan 'cedera'.

Selepas mengucapkan terima kasih kepada ketuanya, dia terus berlari ke tengah medan, menyusup dicelah-celah belukar ke arah sahabatnya yang terbaring ditanah dengan badan dipenuhi darah.

Peluru menghambat setiap langkahnya. Beberapa butir daripadanya berdesing ditelinga tetapi dia tetap tidak berundur. Tanpa disangka, anggota tentera itu berjaya membawa sahabatnya itu balik ke kubu mereka!

Leftenan menggeleng kepala. Dia melihat paha dan lengan anggotanya itu ditembusi peluru, kemudian memeriksa nafas dan nadi askar yang diselamatkan tadi.

"Saya dah cakap, sia-sia. Tengok, kawan kau ni dah mati. Kau pula cedera!" kata leftenan dengan suara keras.

Tentera itu menggeleng kepala.

"Tidak, tuan," katanya sambil terbaring lemah.

"Kawan kau meninggal dan kau sendiri cedera, kau kata bukan sia-sia?" leftenan meninggikan suaranya.

"Ya, tuan," jawab tentera itu.

"Masa saya sampai, dia masih hidup. Bila saya pangku kepalanya, dia tersenyum dan berkata, "Aku tahu engkau pasti datang.."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Tuesday, June 11, 2019

Theodora, Pelacur Yang Akhirnya Menjadi Maharani Rom

Theodora, Pelacur Yang Akhirnya Menjadi Maharani Rom

Sejarah Theodora adalah satu kisah klasik yang kedengaran seperti cerita fantasi kerana kehidupannya yang bermula dalam kelas masyarakat paling bawah dalam Empayar Byzantine tetapi kemudiannya menjadi salah seorang wanita paling berkuasa dalam sejarah ketamadunan itu dan juga di dunia.

Maharani Rom
Theodora.

Theodora telah menjadi maharani kepada Empayar Byzantine pada abad ke-6 Masihi, suaminya Justinian I, merupakan salah seorang Maharaja Empayar Byzantine yang paling terkenal.

Sebagai seorang maharani, Theodora telah menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk memulakan reformasi di dalam kerajaan dan secara khusus mempromosikan status wanita dalam kerajaan dan masyarakat.

Sejarah rahsia Theodora

Theodora dilahirkan sekitar tahun 497 Masihi, namun tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan awalnya.

Menurut satu catatan Sejarah Rahsia yang ditulis oleh Procopius, bapa kepada bakal Maharani Byzantium itu adalah Acacius.

Acacius bekerja sebagai penjaga beruang di Hipodrom yang merupakan medan pertunjukan dan pertarungan di Constantinople, juga dikenali dengan nama Medan Atmeydani yang bermaksud Medan Kuda. Ibunya pula merupakan seorang penari dan pelakon.

Procopius juga menulis bahawa ketika pada usia mudanya, Theodora bekerja sebagai seorang pelakon wanita dan juga pelacur, pekerjaan yang dianggap hina dan tidak dihormati di dalam masyarakat Empayar Byzantine.

Ketika berusia 16 tahun, Theodora telah pergi ke Afrika Utara sebagai peneman kepada salah seorang pegawai kerajaan dan tinggal di sana selama empat tahun.

Dalam perjalanan pulang ke Constantinople, Theodora telah singgah di Alexandria di mana dia mula menganut agama Monophysitisme (cabang agama Kristian tidak ortodoks).

Selepas menganut agama baharu, Theodora juga telah mengubah cara hidupnya dan bekerja sebagai seorang penenun bulu biri-biri apabila kembali ke ibu kota Constantinople itu.

Bercinta dengan pewaris Empayar Byzantine

Pada ketika inilah Theodora telah menarik perhatian Justinian yang berkhidmat di bawah bapa saudaranya iaitu Maharaja Justin I.

Justinian telah tertarik kepada kecerdasan dan kecantikan Theodora lalu menjadikan wanita itu sebagai perempuan simpanannya dan menikahi Theodora tidak lama selepas itu.

Disebabkan reputasi buruk latar belakang Theodora, satu undang-undang khas terpaksa digubal dan diluluskan untuk membatalkan undang-undang Rom lama.

Sebelum ini, undang-undang lama melarang lelaki di dalam persatuan senat atau berkedudukan lebih tinggi daripada mengahwini pelakon atau pelacur.

Pada tahun 527 Masihi, Maharaja Justin telah meninggal dunia dan digantikan oleh anak saudaranya iaitu Justinian.

Walaupun Theodora tidak menjadi pemerintah bersama Justinian, tetapi dia memberikan pengaruh yang besar terhadap pentadbiran kerajaan itu.

Ramai beranggapan Theodora adalah pemerintah bersama dengan Justinian, cuma tanpa perlantikan rasmi.

Pemerintah semula jadi

Salah satu contoh terbaik kebolehan Theodora sebagai seorang pemerintah dapat dilihat melalui caranya menangani Rusuhan Nika.

Pada bulan Januari 532 Masihi, para penyokong kumpulan lumba kuda yang popular di Constantinople iaitu Greens and Blues telah bersatu dalam pemberontakan melawan Justinian.

Ketika pemberontakan berlaku, Maharaja Justinian I telah dinasihatkan oleh pagawai-pegawainya untuk melarikan diri dari ibu kota Constantinople agar tidak dibunuh.

Theodora sebaliknya telah menasihatkan suaminya untuk tetap tinggal dan menyelamatkan empayarnya.

Theodora telah memberikan ucapan yang menaikkan semangat dan meyakinkan maharaja dan para pegawainya untuk terus kekal di situ.

Maharaja Justinian I telah mengarahkan tenteranya untuk menamatkan pemberontakan dengan menggunakan kekerasan.

Melihat maharaja mereka mengetuai serangan, pasukan tentera yang diterajui oleh jeneral Belisarius begitu bersemangat dan akhirnya berjaya membunuh kesemua pemberontak yang berpangkalan di Hipodrome.

Namun, Rusuhan Nika telah menyebabkan kemusnahan yang teruk kepada bandar itu, memberi peluang kepada Justinian I dan Theodora untuk membinanya semula.

Program pembinaan semula ini menjadikan Constantinople sebagai salah satu kota paling indah di dunia pada masa tersebut.

Pencapaian yang paling ikonik dalam program pembinaan semula ini adalah Hagia Sophia kerana semasa berlakunya Rusuhan Nika, gereja ini telah rosak teruk.

Maharaja Justinian I telah membinanya semula (binaan kali ketiga dan bertahan sehingga hari ini) dan kini, Hagia Sophia merupakan sebuah masjid dan juga muzium.

Menyokong hak asasi manusia

Lakaran Wajah Theodora
Lakaran Wajah Theodora.

Theodora juga mula melakukan beberapa pembaharuan yang mungkin digambarkan sebagai mendahului zaman mereka.

Sebagai contoh, dia berjaya menamatkan penganiayaan yang dilakukan terhadap penganut Kristian bermazhab Monophysite pada tahun 553 Masihi. Beberapa lagi pembaharuan Theodora menyasarkan kepada kesejahteraan kaum wanita.

Sebagai contoh, Theodora meluluskan undang-undang yang membolehkan wanita memiliki dan mewarisi harta benda, membuatkan wanita mendapat lebih banyak hak dalam kes penceraian dan memulakan hukuman mati terhadap kesalahan merogol.

Theodora meninggal dunia pada tahun 548 Masihi, dipercayai akibat kanser atau gangren dan kematian Maharani Theodora itu adalah tamparan hebat kepada Justinian I yang kekal memerintah untuk 20 tahun lagi.

Maharani Theodora telah dikebumikan di Gereja Holy Apostles di Constantinople.

Theodora dan Justinian I kemudiannya dianggap sebagai Saint (kudus) oleh Gereja Ortodoks Timur dan mereka diraikan setiap 14 November setiap tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

SBDJ Siri 69: Ilmu Kaum Kubu

SBDJ Siri 69: Ilmu Kaum Kubu

“Kamu ni ada-ada saja,” Datuk terus meraba dan menggosok serta memicit pergelangan kaki saya. Berkerut muka saya menahan sakit. Sendawa saya bertalu-talu. “Aku dah pesan. Setiap kali bangun tidur, jangan bangun terus. Pusing ke kanan sekali, pusing ke kiri sekali sambil gerakkan kaki dan tangan perlahan-lahan. Kemudian duduk dan membongkok dua tiga kali.

Toyol jadi-jadian

"Kemudian menggeliat perlahan-lahan dan tarik nafas panjang-panjang,” Datuk mula membebel.

“Saya jarang buat tuk.”

“Inilah yang susah. Ada petua diberikan tetapi tidak mahu diamalkan. Tujuan aku suruh buat macam itu, untuk melembutkan urat, mengeluarkan angin dari badan dan perut.

"Lepas sembahyang Subuh terus tidur. Tidak makan tidak minum, akibatnya angin masuk perut,” tambah Datuk lagi.

Nenek yang baik hati terus menggosok-gosok bahu kanan dan kiri saya. Datuk bangun dan terus keluar.

Dengan langkah yang tenang saya terus ke dapur mencuci muka. Lepas cuci muka saya terus makan.

Bila perut diisi dengan nasi dan lauk-pauk, badan mula terasa segar dan malas mahu bergerak ke mana-mana. Saya sandarkan badan ke dinding. Datuk tetap dengan kerjanya di luar.

Selesai menjemur jalan, ia meraut bilah lukah. Kadang-kadang saya merasa hairan dengan Datuk. Setiap masa ada sahaja kerja yang dilakukannya. Ia seolah-olah tidak pernah merasa letih.

Setelah penat bersandar, saya bangun menuju ke arah serambi rumah. Baru tiga kali melangkah saya teringatkan tentang barang yang dibungkus oleh Datuk malam tadi.

Saya tidak tahu di mana Datuk meletakkan barang tersebut. Saya terus mendapatkan Datuk yang sedang meraut bilah lukah.

“Ha, apa yang kamu mahu. Kamu nak pergi menangkap burung?”

“Tidak tok.”

“Kalau bukan itu, apa yang kamu mahu?”

“Saya nak tanya tentang barang yang tok bungkus malam tadi.”

“Barang,” Datuk kerutkan dahi.

“Barang yang nampak bercahaya kemudian tok bungkus,” saya mengingatkan Datuk.

Datuk senyum. Ia faham dan ingat kembali peristiwa yang dialami. Ia meninggalkan bilah-bilah lukah yang baru diraut separuh.

Datuk masuk bawah rumah, ia mengambil sesuatu dari gelegar rumah. Saya hanya melihat dari luar.

Tetapi, saya tahu Datuk meletakkan benda itu pada gelegar rumah yang ada kuda-kuda dan kuda-kuda itu pula mengarah hala matahari terbenam.

Tentu ada petua dan muslihat yang tertentu Datuk melakukan semua itu. pada hal kalau diletakkan di mana-mana pun benda itu saya fikir tidak mendatangkan mudarat pada sesiapa saja.

Ah, Datuk sudah tua ada pengalaman dan ada sedikit ilmu. Tentu dia tahu dengan apa yang dibuatnya, fikir saya.

Datuk keluar dari bawah rumah membawa bungkusan kain merah. Tanpa memanggil saya, Datuk menuju ke halaman rumah. Ia membuat garisan bulat di tanah dengan ranting kayu. Bungkusan kain merah diletakkan di tengah dalam garisan bulat.

“Tamar ke mari,” laung Datuk.

Saya terus berlari menghampiri Datuk yang duduk bertinggung di luar garisan bulat. Peluh terus membasahi baju Datuk dalam panas yang terik dan garang.

“Kamu bertinggung di sini.”

Saya terus bertinggung di sisi Datuk. Peluh-peluh halus mula meruap di muka saya. Dengan perlahan-lahan Datuk membuka bungkusan kain merah.

Bila bungkusan itu terbuka, saya lihat biji telur burung puyuh. Datuk tidak menjamah telur tersebut. Ia menolak telur itu dengan ranting kayu supaya kedudukannya beratur lima sebaris.

Saya menggigit bibir. Pelik, telur yang sekecil itu boleh mengeluarkan api dan membakar dedaun kering.

Memang sekali pandang telur puyuh itu tidak ada bezanya dengan telur puyuh yang sering saya temui di sarangnya.

Tetapi bagaimana orang yang kakinya mempunyai tokak memanfaatkan telur tersebut untuk mengancam keselamatan orang lain.

Pertanyaan itu terus berputar-putar dalam tengkorak kepala saya. Mahu saya ajukan pertanyaan pada Datuk tetapi, bila saya melihat Datuk termenung panjang, hasrat itu saya batalkan.

Datuk terus duduk bersimpuh sambil menguris-guris tanah dengan ranting kayu. Ia menulis perkataan Allah dan Muhammad di tanah.

Beberapa minit kemudian tulisan di tanah itu dipadamkannya. Ia merenung ke arah saya.

Kedua belah bibirnya kelihatan bergerak-gerak. Bila mulutnya berhenti bergerak, ia menyerahkan ranting kayu pada saya.

“Pukul semua telur tu hingga pecah,” katanya. Saya terus memukul ke lima-lima biji telur puyuh itu dengan sekali gus. Saya lihat ada percikan api yang halus keluar dari telur.

Bila percikan api itu berhenti, keluar asap nipis dan akhirnya asap itu hilang dalam sinaran matahari yang keras.

“Orang itu menggunakan ilmu tuju-tuju telur puyuh, ilmu syaitan yang ada di dadanya sudah terlalu tinggi,” beritahu Datuk pada saya.

Datuk terus menguis-nguis kulit telur burung puyuh hingga berserakan atas tanah.

Sekejap lagi, kamu nampak apa yang ada dalam telur yang baru kamu pecahkan tadi,” dengan rasa dada yang lapang, saya terdengar ungkapan yang diluahkan oleh Datuk.

Sepasang mata saya tumpukan pada kulit-kulit telur burung puyuh dalam garisan bulat.

Panas terik terus menggigit kulit tubuh. Dan muka saya terus dibasahi peluh. Datuk pun demikian juga.

Saya terlihat beberapa batang jarum berkelip-kelip dipanah matahari. Saya juga melihat beberapa ekor semut api mengelilingi gumpalan rambut dan tulang ikan terubuk. Beberapa ketul batu juga terdapat di situ.

“Tuju-tuju telur puyuh ini kalau kena tubuh kita, sukar untuk diselamatkan. Bisanya tidak boleh ditahan. Seluruh badan jatuh biru. Tempat yang jadi sasarannya dada, perut dan mata,” terang Datuk.

“Macam mana, kalau jatuh atas tanah boleh mengeluarkan api?” soal saya.

Datuk mengelap peluh di dahi dengan jari telunjuk.

“Bila ada orang yang mampu mengalihkannya, benda itu jatuh ke tanah dan keluarkan api. Kalau jatuh dalam air menjadi racun. Berbulan-bulan baru racun dalam air itu hilang.”

“Di mana orang ni menuntut ilmu syaitan ni tok?”

“Aku agak dari kaum Kubu tu. Ilmu dunianya terlalu kuat.”

“Kau tak usah tanya semuanya itu. Makin lama kau hidup, makin banyaklah hal-hal dunia yang diturunkan oleh syaitan pada anak Adam dan kau akan tahu,” tamat berhenti bercerita.

Datuk menggenggam sekepal tanah dan tanah itu ditaburkan dalam garisan bulat.

Bila tanah yang ditabur oleh Datuk itu kena pada kulit telur, jarum, rambut dan tulang terubuk terus menjadi hitam, macam arang.

Kemudian hancur menjadi abu. Tanah dalam garisan bulat bertukar menjadi warna kemerah-merahan macam darah.

“Sekejap lagi tanah tu akan bertukar menjadi macam warna asalnya,” kata Datuk.

Tidak lama kemudian tanah yang di dalam garisan kembali dalam warna asalnya.

Datuk terus memadamkan garisan bulat dan menepuk bumi dengan tangan kiri sebanyak tiga kali berturut-turut.

Kau tengok sendiri, kain kuning jadi lapik telur puyuh pun hangus jadi abu,” Datuk menudingkan jari telunjuknya.

Cakap Datuk itu memang benar. Kesan kain kuning itu sukar dijejaki.

Suara azan Zuhur terus berkumandang. Datuk mengajak saya mengambil air sembahyang.

Selesai sembahyang Datuk mengajak saya duduk di ruang tengah. Ia mengajar saya tentang sifat dua puluh serta menunjukkan cara sembahyang yang betul.

“Awak tak pergi tengok Haji Salim?” nenek muncul di ambang pintu dapur dengan wajah yang agak cemas.

Datuk menutup kitab di depannya dan diletakkan atas rak. Datuk mengenakan baju ke badan, menukarkan kain dengan seluar.

“Kenapa dengan Haji Salim, bukankah dia nak ubat sakitnya sendiri,” Datuk berhenti melangkah dan merenung ke wajah nenek dengan seribu persoalan.

“Sakitnya datang balik. Dia muntah darah dan meracau tak tentu arah,” jawab nenek.

“Apa yang nak dibuat oleh bininya?”

“Nak dihantar ke hospital.”

“Ah,” kata Datuk dan terus meluru ke muka pintu.

Dengan sekelip mata Datuk hilang dari pandangan saya.

IKUT

Tanpa mengucapkan sesuatu pada nenek, saya terus melompat dan memburu Datuk dari belakang.

Tercungap-cungap saya bila sampai ke rumah Haji Salim. Saya lihat Datuk sedang memangku Haji Salim. Saya segera menghampiri Datuk.

“Bawakan saya ke hospital sahabat,” rayu Haji Salim.

“Saya tunaikan, kalau itu yang awak mahu,” balas Datuk dan meletakkan kembali kepala Haji Salim atas bantal.

Datuk meninggalkan rumah Haji Salim. Datang kembali dengan sebuah teksi.

Haji Salim pun diusung dan diletakkan dalam perut teksi. Bila berada dalam teksi batuk darah yang dideritai oleh Haji Salim berhenti. Ia tidak meracau lagi.

“Ke mana kita, nak bawa ke Taiping atau ke Ipoh?” tanya Datuk pada isteri Haji Salim yang memakai baju kurung kedah dan berkain batik.

Isteri Haji Salim termenung sejenak.

“Bawa ke Taiping. Anak saudaranya ada kerja di hospital Taiping,” tiba-tiba sahaja isteri Haji Salim bersuara.

“Kerja apa?” tanya Datuk.

“Pembantu hospital. Kalau haji masuk hospital, saya boleh tumpang di rumah anak saudaranya. Dapat saya menengok haji di hospital tiap-tiap hari,” terang isteri Haji Salim.

Teksi pun bergerak meninggalkan halaman rumah Haji Salim.

Saya dan nenek serta jiran-jiran berdoa, semoga Haji Salim yang peramah, suka mengambil berat tentang jiran-jiran akan segera sembuh.

“Mari kita balik Tamar. Kalau tunggu di sini pun tak guna, dia tu balik lambat tu. Agaknya dekat Maghrib baru sampai,” ujar nenek pada saya.

Nenek pun merapatkan pintu rumah Haji Salim. Kami pun meninggalkan rumah sahabat baik Datuk.

Sampai di rumah, saya beritahu nenek yang saya mahu pergi keluar. Tetapi nenek keberatan untuk memenuhi permintaan saya.

Nenek menyuruh saya menyambung kerja-kerja Datuk yang belum selesai.

Nenek suruh saya raut bilah lukah, nenek suruh saya membetulkan jala yang koyak.

“Saya nak pergi ke sawah nak menangkap burung,” kata saya.

“Nak tangkap burung apa Tamar?”

“Burung wak-wak.”

“Panas macam ni. Eh kau tahu kalau terlalu lama berpanas nanti demam.”

“Tak apalah,” balas saya terus meninggalkan nenek.

Dengan nenek saya berani menentang atau membantah perintahnya tetapi, dengan Datuk saya tidak berani buat demikian.

Telinga saya pernah dipulas oleh Datuk, macam mahu tercabut rasanya, akibat saya membantah cakapnya.

Sampai di kawasan sawah yang lapang, saya mula mencari rumpun Menerung yang jadi tempat berlindung burung wak-wak.

Pokok atau rumpun tersebut berbatang lembut serta mempunyai tiga segi, berdaun kecil dan panjang, mempunyai umbi dan akar yang kuat.

Tumbuhan jenis ini memang jadi musuh pada pesawah. (Mungkin di tempat anda tumbuhan jenis ini disebut dengan perkataan yang lain.)

Kini saya berdiri di depan kawasan tumbuhan Menerung (nerung) yang luas. Dua ketul kayu pembaling yang saya ikat di pinggang pun saya buka. Kayu itu saya pegang.

Kayu yang berukuran kira-kira satu kaki itu digunakan untuk membaling ke arah burung wak-wak yang mahu terbang.

Tiga minggu saya belajar membaling ke arah wak-wak yang terbang dari Haji Salim.

Tanpa membuang masa saya terus meranduk ke dalam rumpun Menerung.

Beberapa ekor burung wak-wak muncul dari rumpun menerung dan terus terbang untuk menyelamatkan diri.

Tanpa membuang masa saya terus membalingi kayu ke arah burung-burung tersebut.

Dua ekor tidak cukup. Paling kurang dapat sepuluh ekor baru cukup, saya membuat keputusan tersendiri sambil mengikat kaki dua ekor burung wak-wak dan saya letakkan di bawah perdu mempelam. Saya terus mengharungi rumpun menerung lagi.

“Bagaimana? Banyak burung yang kau dapat?” saya tergamam sebentar.

Di depan saya wujud dua orang lelaki. Mereka ialah Kamal dan Daud. Saya tidak menjawab pertanyaan mereka. Kamal mengangkat kaki yang dikuasai tokak separas dada saya.

“Sampaikan salam kami pada Datuk kamu,” kata Daud.

Saya terus muntah bagaikan mahu keluar semua isi perut saya. Tanpa membuang masa saya terus memusingkan badan dan lari langkah seribu.

Semua yang saya alami ketika berada di tengah sawah tidak saya ceritakan pada nenek. Dan nenek terus menyindir saya kerana pulang dengan tangan kosong.

KEMBALI

Tepat pukul enam setengah petang, teksi yang membawa Haji Salim ke Hospital Taiping pun pulang. Saya dan nenek bergegas ke rumah Haji Salim kembali.

“Doktor sudah mengesahkan Haji Salim sihat. Sebaik sahaja meninggalkan rumah ini batuk darahnya terus berhenti, badannya cukup sihat,” isteri Haji Salim memberitahu nenek.

Datuk dan pemandu teksi menganggukkan kepala mengiakan kata-kata isteri Haji Salim.

Bagi orang lain saya tidak tahu tetapi bagi saya, cerita yang disampaikan oleh isteri Haji Salim itu menimbulkan keraguan dalam hati saya.

Dalam saat-saat begitu, saya teringatkan Kamal (si tokak di kaki) dan Daud.

Jiran-jiran yang berkerumun di halaman rumah terus dikejutkan dengan suara batuk Haji Salim bertalu-talu.

Setiap kali Datuk itu berakhir, Haji Salim akan muntah darah. Darah yang diluahkannya berbuku-buku serta merah kehitam-hitaman.

Muntah dari Haji Salim Datuk kumpulkan dalam mangkuk putih.

Jiran-jiran yang berkumpul di halaman terus bercakap sama sendiri.

Ada yang mulut lepas mengatakan Haji Salim kena buatan manusia.

Bila kata-kata itu didengar oleh Haji Salim, ia segera bangun dan berdiri di muka pintu. Tidak peduli dengan larangan Datuk dan isterinya yang menyuruh ia baring.

“Hei kamu. Sakit yang aku tanggung ni bukan buatan manusia. Sakit ini datangnya dari Allah. Baliklah ke rumah masing-masing. Jangan bercakap yang bukan-bukan di sini,” suara Haji Salim meninggi.

Jiran-jiran yang jumlahnya antara sepuluh hingga lima belas orang berpandangan sesama sendiri. Kemudian mereka bersurai. Haji Salim terus merebahkan badanya atas pelantar.

Isterinya memberikan segelas air Lidah Buaya yang dicampurkan dengan gula batu yang dibancuh dengan serbuk Lampoyang.

Bila bahan yang ada dalam gelas itu diteguk oleh Haji Salim. Batuknya beransur kurang dan muntah darahnya tidak sekerap tadi berlaku.

“Kenapa awak halau jiran-jiran kita?” isteri Haji Salim mengajukan pertanyaan.

Perlahan-lahan Haji Salim mengalihkan wajahnya ke kanan, merenung muka Datuk. Saya lihat Datuk meraba batang hidungnya dua tiga kali.

“Kalau dibiarkan mereka di situ, makin banyak perkara karut-marut mereka cakapkan.

"Membiarkan mereka bercakap tentang manusia yang melebihi kuasa Allah, mengajar mereka menjadi syirik.

"Aku tak mahu bersubahat dalam perkara semacam ini,” kata Haji Salim dengan tenang.

Datuk anggukkan kepala. Isteri Haji Salim terdiam.

Saya terus menguap sambil merenung ke luar rumah. Sebentar lagi maghrib pasti tiba.

Tetapi, Datuk masih tidak berganjak dari duduk merenungi ke arah Haji Salim.

Kerana cuaca sudah beransur gelap, isteri Haji Salim terus memasang pelita minyak tanah.

Pelita minyak tanah itu diletakkan tidak jauh dari saya. Isteri Haji Salim terus bangun. Ia mahu menutup semua jendela rumah.

Bila semua jendela rumah sudah dirapatkan, isteri Haji Salim terus keluar, menutup pintu reban ayam itik. Kemudian terus ke telaga.

Dari cahaya lampu minyak tanah, saya terlihat jejari Haji Salim yang kasar dan keras meraba pergelangan tangan Datuk. Kemudian jejari Datuk dan Haji Salim kelihatan bercantum.

“Kamu jangan balik, tunggu aku,” suara Haji Salim tenang.

“Ya, saya tunggu kalau itu hajat sahabat.”

“Aku rasa persahabatan kita tidak lama. Aku kembali kepada yang berhak.”

“Tak usahlah mengarut sahabat.”

“Aku bercakap benar. Banyak ayat-ayat suci yang aku amal sudah lupa atau tersilap baca.”

“Sudahlah haji.”

“Aku mahu kau jadi imam maghrib di sini, kita sembahyang sama-sama.”

“Baiklah.”

Haji Salim tersenyum. Dengan perlahan-lahan ia bangun. Saya cuba menolongnya tetapi, Haji Salim menolak pertolongan saya.

Ia sendiri pergi ke perigi mengambil air sembahyang. Kemudian menukarkan kain yang dipakainya dengan kain baru.

Kali ini saya lihat, Haji Salim berpakaian lengkap sebagai seorang Haji. Perkara seperti ini memang jarang dilakukannya.

Datuk hanya memerhatikan sahaja gerak dan tingkah laku kawan karibnya itu.

Apa yang nyata, sejak Haji Salim bercakap-cakap dengannya sebentar tadi, Datuk lebih banyak termenung. Macam memikirkan sesuatu.

Dalam keadaan yang saya anggap berlainan dari keadaan biasa itu, saya terdengar suara azan Maghrib. Beberapa saat kemudian Datuk mengambil tempatnya sebagai imam.

Fardu Maghrib sudah ditunaikan. Doa dan wirid sudah pun selesai dibaca tetapi, Haji Salim tidak membenarkan saya dan Datuk pulang.

Sebenarnya, saya tidak setuju dengan tindakan Haji Salim itu. Ada kerja yang perlu saya lakukan di rumah.

Saya mahu menyiapkan sangkar burung yang belum siap. Apakan daya Datuk sendiri memperkenankan permintaan Haji Salim. Sama ada rela atau tidak, saya terpaksa akur dengan keputusan Datuk.

“Tunggu, kita sembahyang Isyak pula. Kali ini biar kita jadi imam. Lepas tu kita makan dan baca Quran sampai pagi,” ujar Haji Salim dalam sinar lampu gasolin yang menyinar menerangi tiap sudut ruang.

Datuk sandarkan badan ke dinding. Isteri Haji Salim menyorongkan tepak sirih. Sehelai daun sirih yang besar dan hijau segar Datuk ambil.

Datuk renung urat-urat sirih yang berselirat. Datuk letakkan kembali daun sirih ke tempat asalnya kembali.

“Ada sedikit petua yang nak kita sampaikan pada awak,” Haji Salim bersuara tenang.

“Petua apa tua?” sahut Datuk.

“Nanti dulu, lepas sembahyang Subuh kita bagi tahu.”

“Tak apalah, saya tunggu.”

“Bila kita bagi tahu, amalkan petua tu.”

“Tengoklah, kalau sesuai dan saya yakin pula, tentulah saya amalkan.”

“Baguslah tu.”

Datuk dan Haji Salim berbalas senyum. Angin malam yang masuk melalui jejaring bahagian atas dinding rumah, membekalkan rasa dingin pada diri saya.

Datuk menegakkan kaki kiri dan terus memeluk kepala lutut. Haji Salim memicit daging lengan kirinya perlahan-lahan. Suasana begini amat membosankan bagi diri saya.

Bunyi cengkerik dan dedaun yang disentuh angin jelas kedengaran. Sesekali gegendang telinga saya menangkap bunyi suara kucing biang menggaru papan, terdengar juga suara burung jampuk merayu di hujung dahan.

Isteri Haji Salim terus merendang ikan pekasam, baunya cukup menyelerakan.

Saya kira, isteri Haji Salim seorang yang cukup cekap membuat kerja-kerja di dapur.

Kalau saya mahu mencari calon isteri, saya pasti memilih gadis yang memiliki tingkah laku macam isteri Haji Salim.

Barangkali cucunya, Saadiah mewarisi perangai yang terpuji itu. Saya senyum sendirian.

Saadiah berwajah manis, memiliki lesung pipit di pipi, berkulit cerah terus terbayang di ruang mata.

Bagi saya, Saadiah gadis melayu yang cukup ayu, bersopan santun tetapi berat mulut. Sinar matanya cukup tajam.

Pernah saya bermimpi berjalan dengannya sambil berpegang tangan. Dan mimpi itu tidak pernah saya ceritakan pada sesiapa.

“Kenapa senyum seorang diri,” kejut Haji Salim.

Matanya merenung muka saya. Apakah Haji Salim dapat membaca rahsia hati saya? Kalau benar, perkara itu amat memalukan, fikir saya.

“Orang yang senyum sendiri, dipermainkan syaitan,” tambah Haji Salim lagi.

Datuk anggukkan kepala. Setuju dengan pendapat Haji Salim.

“Begini Pak Aji, saya fikir orang yang senyum sendiri dan bercakap sendiri tu bukan dipermainkan syaitan. Tetapi ia melepaskan sesuatu yang tersembunyi dalam hatinya,” antara berani bercampur takut, saya menjawab kata-kata Haji Salim.

“Betul cakap kamu tu Tamar. Tapi syaitan tu selalu mengambil kesempatan dari orang yang suka mengikut perasaan,” jawab Haji Salim.

“Macam mana nak mengatasinya Pak Aji?”

“Kita mesti selalu beristighfar Tamar.”

“Sekarang kau dah faham,” celah Datuk.

“Faham,” jawab saya.

Ingatan saya pada Saadiah terus punah. Kesal juga rasa hati bila khayalan dikacau oleh orang lain. Saya terus menelan air liur.

Harapan terus juga berbunga, semoga pada satu waktu dan ketika, saya dapat bertutur sepatah dua dengan Saadiah yang saya rindui secara diam-diam.

Saya menguap panjang. Badan kian bertambah dingin. Bunyi angin malam kian keras bertiup di luar. Suara anjing terdengar sayup-sayup di pinggir kampung.

Haji Salim bangun menuju ke ruang kerjanya. Datang kembali ke tempat saya dan Datuk dengan sebilah keris tanpa ulu. Keris itu diletakkan atas lantai.

Haji Salim bangun kembali. Kali ini masuk ke bilik tidurnya. Entah apa yang dibuatnya di dalam, tidak ada sesiapa pun yang tahu.

Haji Salim keluar dari bilik. Di tangannya ada ulu keris berbentuk kepala burung garuda.

“Ulu dan mata keris ni, saya berikan awak.”

“Terima kasih,” Datuk menyambut pemberian itu dengan wajah tenang.

Beberapa saat, Datuk menatap ulu dan mata keris itu dengan teliti sekali. Saya lihat Datuk menarik nafas dengan penuh bersemangat.

“Kenakan ulu dan matanya pada pagi Jumaat, buat sarungnya pada pagi Isnin, ini petua.”

“Usah bimbang, pesan awak saya buat.”

“Simpanlah baik-baik.”

“Sudah tentu.”

Datuk terus menatap wajah Haji Salim tanpa berkedip. Haji Salim tetap mempamerkan senyuman yang cukup manis.

Dua tiga kali, saya terdengar batuk isteri Haji Salim di dapur. Haji Salim terus memperkemaskan silanya.

“Awak ada dengar cerita, ilmu dunia boleh mengambil nyawa manusia,” Datuk bagaikan terkejut mendengar kata-kata dari Haji Salim.

“Takbur dan bidaah,” sahut Datuk.

Tamat siri 69/284

BACA: SBDJ Siri 68: Puja Lidah Anak Dara
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM